Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Monday, June 3, 2013

Harga Sebuah Kejujuran

“Bos!” Omar memanggil Safian, bosnya yang sedang asyik menikmati makanan tengahari. Safian pula tidak ambil pusing panggilan Omar. Jam dah menunjuk ke pukul 3 petang, barulah mereka berpeluang untuk mengisi perut yang sudah lama mendendangkan rock and roll. Kalau boleh, Safian tidak mahu ada sebarang gangguan tatkala perut hendak diisi.


“Bos!!” sekali lagi Omar memanggil. Oktaf suara dinaikkan. Kali ini diikuti pula dengan cuitan pada bahu bos yang sedang leka di sebelahnya.

“Apa dianya?” Kali ini panggilan Omar mendapat respon walaupun cemberut di wajah bos yang sedang memandangnya itu amat tidak diharapkan.

“Bos, bos tengok tu!!!” Omar menjuihkan bibirnya ke sudut di sebelah kanan yang agak tersorok sedikit dari pandangan mata. Safian memenuhi permintaan pembantunya. Isa yang berada di depan mereka turut memalingkan badannya untuk mengetahui apa yang ingin ditunjukkan oleh Omar kepada ketua mereka itu.

Di situ, seorang lelaki tua sedang merenung mereka. Tajam. Dalam. Dingin. Kiranya pandangan itu adalah sebuah pisau, pasti ada yang sudah terluka. Pandangan yang begitu menusuk. Dia sedar yang dia sedang diperhatikan oleh mereka, tapi lelaki tua itu tidak kisah langsung. Sebaliknya dia seolah-olah sedang mencabar supaya mereka bertiga melakukan sesuatu. Safian terasa seram sejuk. Bulu roma terasa sudah meremang. Perasaannya mula tidak enak, serasa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Dia teringat kata-kata seorang ustaz, bahawa seseorang itu boleh dikenakan sihir hanya melalui pandangan mata. Sihir dalam kategori ‘Ain itu boleh berlaku dengan cepat dan tepat.

“Dah, jangan pedulikan orang tua tu. Makan!” Sebaliknya Safian memberi arahan. Lagipun mereka tidak punya banyak masa. Kerja yang menunggu masih banyak. Jika lewat mereka pulang ke pejabat, makin lamalah mereka di situ.

Malam itu, Safian merehatkan diri di dalam bilik. Mereka baru sahaja balik usai makan malam. Dia bersendirian di bilik itu manakala Omar dan Isa di bilik sebelah. Dia benar-benar kepenatan. Bukan penat secara fizikal, tapi penat mental. Begitulah kalau dah bekerja membuat audit. Bukan satu dua syarikat yang perlu di audit, tapi berpuluh-puluh anak syarikat yang perlu di audit sepanjang tahun. Kadar penyelewengan yang mungkin berlaku pula terlalu tinggi, jadi perhatian yang perlu diberikan juga adalah tinggi. Kerana itu rehat perlu cukup untuk memastikan setiap penyelewengan yang berlaku dapat dikesan dengan segera.

Lampu bilik telah dipadamkan kecuali lampu sisi. Baru sahaja beberapa saat melelapkan mata, dirasakan ada orang asing di bilik itu. “Isk…isk…” hidungnya mula berdecit-decit menghidu sesuatu. “Wanginya….” Getus hati kecil Safian. Pantas dia membuka mata.

“Hah!??!!” dia terkedu. Di dalam kesamaran bilik itu, di hujung kakinya, jelas kelihatan seorang perempuan berdiri di situ. Rambutnya hitam pekat berkilat, panjang mengurai.

“Teknik rebonding ke?” “Tak, Rejoice aje…” Iklan itu pula yang terbayang di ruang mata, bagaikan terdengar dek telinga. “Haish…. masa ni pulaklah kau nak ingat kat iklan Rejoice tu…” Safian menempelak dirinya sendiri.

Safian mula bangkit dari baringnya. Dia meneliti perempuan di hadapannya. Walau dalam kesamaran itu, jelas sekali yang perempuan itu memang cantik. Senyuman pulak memang menggoda. “Eh, tunggu dulu, aku nak kat mana? Kat bilik kan?” Safian mengkalihkan matanya ke sekeliling. “Betul, betul aku kat dalam bilik aku ni.” Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Tapi, macamana pulak perempuan ni boleh masuk bilik aku ni?” Safian mula bermonolog. Dia masih keliru. Tiba-tiba dia seakan baru tersedarkan sesuatu. Diperhatikan sekali lagi perempuan itu. Masih di situ. Masih dengan senyuman menggoda. Diperhatikan pula pakaiannya. Serba putih. Seakan-akan melayang pula. Teringat pulak cerita ‘Pontianak Harum Sundel Malam’.

“Ya Allah, jauhkanlah aku dari godaan jin dan syaitan,” Safian berdoa ke hadrat Allah. Baru sahaja hendak membaca ayat-ayat suci al-Quran, dilihatnya perempuan itu mula menuju ke arahnya. Lemah gemalai. Pakaian putih yang dipakainya beralun-alun bagaikan ditiup angin. Begitu juga rambut hitamnya yang panjang itu. Tertampil sesusuk tubuh yang mengiurkan. Walau dalam cahaya yang hanya datang dari lampu sisi, jelas terserlah kulit yang halus dan gebu. Kedua tangan yang dihulurkan kepada Safian serta matanya yang tertala ke mata Safian bagaikan memukaunya dari berfikir tentang perkara lain. Safian terpaku di situ.

“Abaaangggg….” Suara manja yang begitu gemersik bagaikan terus memukau Safian. Perempuan itu semakin menghampiri. Fikirannya kosong sekosong kosongnya. Tiada langsung ingatannya kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan di Kuala Lumpur. Tiada lagi ingatan kepada Allah. Dia bagaikan patung bernyawa. Perempuan itu pula semakin mendekati. Hanya beberapa inci sahaja sebelum tangan yang terhulur itu menjamah wajah Safian. Mata Safian terus memandang tanpa berkelip sekali pun.

“Abaaannggg….” Sekali lagi suara perempuan itu mendayu dan berlagu di cuping telinga Safian. Terasa lemah lutut dan badannya bagaikan berada di awang-awangan. Tangan perempuan cantik itu pula mula menyentuh kulit wajahnya.

Tiba-tiba, “Aaaahhhhh….!!!!” jeritan perempuan itu memenuhi ruang bilik. Safian tersentak, tersedar dari keadaannya yang bagai terpukau dan lupa diri. Dipandang kepada perempuan itu. Wajah yang tadinya cantik, kini bertukar hodoh. Kulit yang mulus tadi sudah berubah, hitam sana hitam sini. Bernanah sana bernanah sini. Bau busuk juga mula memenuhi ruangan bilik. Perempuan itu sedang memegang tangan kanannya. Telapak tangannya bagaikan terbakar.

Kesan terbakar itu juga dapat dibau pada wajahnya. Mujur juga dia telah berwudhuk sebelum dia tidur tadi. Safian yakin itulah pembentengnya dari godaan jin itu tadi. Terlintas dikepalanya peristiwa semasa makan petang tadi. Mungkin juga lelaki tua itu yang telah menghantar ‘pesuruhnya’ ke sini. “Astaghfirullah,” Safian beristighfar. Tidak baik dia menaruh sebarang syak wasangka kepada lelaki tua itu. Mungkin dia hanya sekadar memerhati dan secara kebetulan perhatian itu seakan-akan tertumpu kepada mereka bertiga.

“Na’uzubillahi minassyaithonirrajum!! Allahu Akbar!!!” Dia menjerit kuat. Mula berdepan dengan makhluk yang masih tajam merenungnya. Tanpa lengah, mulut Safian mula terkumat-kamit. Kedengaran ayat-ayat suci al Quran dari beberapa surah-surah terpilih termasuklah ayat Qursi dan ayat 285, 286 dari al Baqarah. Makhluk hodoh itu tidak menunggu lama. Dalam raungan kepanasan, dia mula menghilang dari pandangan.

Safian melepaskan keluhan lega. “Alhamdulillah…” bibir Safian tidak lepas-lepas mengucapkan syukur kepada Allah yang telah melindunginya pada godaan kali ini. Ternyata hatinya yang resah tadi rupanya mempunyai sebab.

Sebenarnya Safian adalah timbalan ketua juru audit di sebuah syarikat gergasi di Malaysia. Sudah menjadi tugas dia dan anak-anak buahnya untuk mengesan penyelewengan yang semakin berleluasa itu. Dan dia semakin ramai musuh. Dia digelar sebagai Jebat oleh rakan dan musuh hanya kerana dia berasal dari Melaka dan kerana sikapnya yang tegas menangani penyelewengan di dalam syarikat gergasi itu. Walaupun dia hanya makan gaji, tapi dia sedar akan tanggungjawabnya. Apatah lagi dia seorang Islam. Amanah itu penting. Itu adalah harga dirinya. Jika integriti itu di perkotak katikkan, pasti mudah baginya untuk mengumpul harta kekayaan. Tapi dia sedar, harta yang tidak berkat itu tidak akan ke mana. Kalau menjadi darah daging dia dan ahli keluarganya, pasti kelak bala sahaja yang akan menimpa. Dia sedar itu. Dan dia cuba untuk sentiasa berpegang kepada amanah yang diberikan. Mujur ada emaknya yang memantau perjalanan hidupnya sekeluarga. Emaknya juga yang kerap mengingatkan. Tiap kali dia pulang menemui emaknya, pasti akan ada pesanan yang dititipkan kepadanya.

“Yan, duit boleh dicari, tapi hanya iman yang akan dapat menyelamatkan kau dari harta yang haram. Harta haram tak akan menjamin kebahagiaan. Jika harta haram yang kau gunakan untuk membesarkan anak-anak kau yang berlima tu, mereka tak akan jadi manusia. Percayalah cakap mak ni….” Safian ingat pesanan emaknya itu. Dia mahukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan dapat mendoakan dirinya apabila dia meninggalkan dunia ini kelak. Kerana itu, dia sentiasa berdoa agar Allah sentiasa memelihara dia dan keluarganya. Berdoa agar hidupnya sekeluarga sentiasa dalam keberkatan dan Rahmat Allah.

Dunia Safian sentiasa sibuk. Tugas sebagai juru audit memang mencabar, apatah lagi bila melibatkan syarikat gergasi ini. Dikala ini, dia sedang terlibat dengan dua buah kes besar yang melibatkan sebuah syarikat perkapalan dan sebuah syarikat kraftangan yang berada di bawah syarikat gergasi itu. Kes penyelewengan yang melibatkan pegawai atasan. Dia pernah dicari di hotel tempat dia menginap oleh konco-konco yang telah diupah untuk membelasahnya. Mujur dia terselamat. Teringat pula dia kepada ugutan yang pernah diterimanya sebelum ini. “Kau jangan ingat kau akan menang. Tak dapat jalan kasar, jalan halus aku akan guna untuk hapuskan kau!”

Nampaknya musuhnya itu sudah memulakan tindakan. “Ya Allah, kau peliharalah aku dan keluargaku dan selamatkanlah kami dari segala musibah….” Doa Safian dari sudut hatinya yang paling dalam. Hanya kepada Allah dia berserah. Dia memandang ke arah jam yang terletak di meja sisi di bilik itu. Hampir 12 malam. Kantuknya mampir semula. Baru berkira mahu mengambil wudhuk sekali lagi sebelum tidur semula, dirasakan suasana di bilik itu sudah berubah corak. Semakin aneh. Diperhatikan sekeliling. Sedikit berkabut. Seolah-olah ada asap. Dahinya berkerut. Dititip pula pandangannya ke arah pintu. Kelihatan kepulan-kepulan asap putih menembusi dari ruang bawah pintu yang agak sempit itu.

“Eh, ada kebakaran ke?” Safian bermonolog. Dahinya semakin berkerut. Cuba mengamati dengan telinga. Tiada pula bunyi penggera kebakaran.

“Ya Allah, musibah apa lagi yang bakal datang ni?” getusnya.

Safian tidak perlu menunggu lama. Dia terkejut. Sekelipan, asap yang berkepul tadi sudah membentuk rupa. Seekor harimau. Besar. Matanya tajam merenung Safian. Kini mengaum menunjukkan taringnya. Belum lagi mendekati. Safian terpaku. Sekali lagi dia bagaikan terpukau. Mujur tidak lama. Dadanya sudah berombak kencang.

Dup dap dup dap. Bagaikan baru berlari 100 meter. Peluh dingin sudah menitik halus di dahi. Safian cuba bertenang. “Ya Allah, Engkau bantulah aku Ya Allah. Engkau selamatkanlah aku, Ya Allah…” dia berdoa di dalam hati. Bertawakal. Kerana dia tahu hanya Allah yang dapat membantunya melawan makhluk jin ini. Hendak melarikan diri, itu bukan pilihan yang dia ada. Makhluk itu berada di laluannya. Jadi apa ikhtiarnya sekarang?

Hemm, tanpa melengahkan masa, Safian mula membuka langkah silatnya. Seni mempertahankan diri yang pernah dipelajari dari Allahyarham datuknya satu ketika dulu cuba diingati kembali walau dia tahu harimau di hadapannya kini bukanlah lawannya. Ngaumannya sahaja sudah cukup menggeletarkan kepala lututnya.

Sambil langkah dibuka, bibirnya mula berzikir. Baru hendak membaca ayatul qursi, sang harimau sudah mula bertindak. Mula menerkam. Tubuhnya yang besar, bertambah besar apabila kaki depannya telah terangkat ke atas. Berterusan menderam, kaki depan itu mula mencakar. Safian mula kesakitan. Mukanya mula calar balar. Tidak berdaya hendak menepis. Langkah silatnya bagaikan bukan tandingan kepada harimau yang tegak berdiri lebih besar dari dirinya itu. Ruang bilik yang tidak seluas mana, tidak memihak kepada Safian. Safian hanya mampu mengelak selagi terdaya. Lengannya juga telah calar balar. Pedihnya hanya Allah yang tahu. Serangan demi serangan yang cuba dielak, menyebabkan badannya terhempas ke dinding. Tangannya pula terus cuba untuk menahan asakan sang harimau. Tetapi makhluk itu terlalu berat. Safian tidak lagi dapat menampung. Dia terjatuh di atas katil. Diikuti oleh makhluk yang semakin mengganas. Keduanya terus bergelut. Safian tidak mahu berputus asa atau mengalah. Mengalah bererti kecundang. Kecundang bererti mati. Itu bukan pilihan.

Kedua Safian dan makhluk itu terus bergelutan. Habis bertaburan barang-barang di dalam bilik itu. Cakaran-cakaran yang dapat dielak, kini meninggalkan kesan-kesan cakaran yang sudah memenuhi katil dan sebahagian dinding. Badannya juga sudah semakin lemah. Luka sudah penuh dibadan. Namun Safian masih tidak berputus asa.

Dum! Dum!

Tiba-tiba kedengaran ketukan dipintu. Bertalu-talu. Kedengaran suara Omar dan Isa menjerit memanggil namanya. Jeritan itu bagaikan memberikan sumber tenaga baru kepada Safian. Dikerah segenap tenaga yang masih tinggal untuk menolak dan menepis serangan makhluk harimau itu. Memberi sedikit ruang yang diperlukan. Dia berlari menuju ke pintu. Cakaran kuku harimau dibelakang badan dan kakinya tidak diambil peduli. Inilah satu-satunya peluang yang dia ada. Pantas pintu dibuka. Segera dia meloloskan diri. Dia akhirnya terkulai dipangkuan Omar yang sedang berdiri dimuka pintu.

Terkejutnya Omar dan Isa bukan kepalang sebaik melihatkan keadaan ketua mereka yang begitu memeranjatkan. Pakaiannya sudah koyak rabak. Luka pula penuh di badan. Bau darah yang hanyir sudah mula menusuk ke lubang hidung. Mereka berpandangan sesama sendiri sambil soalan, “Bos, apa dah jadi, bos? Kenapa ni?” berulang kali ditanya mereka kepada Safian yang sudah terkulai dipangkuan Omar. Soalan tanpa sebarang jawapan. Memaksa mereka untuk membuat keputusan.

“Isa, cepat! Kau pergi laporkan pada pihak pengurusan hotel. Aku tunggu kat sini!” Pantas Omar memberi arahan.

Isa pantas melakukan seperti yang diarahkan. Berlari masuk ke biliknya dan memberitahu kepada pihak pengurusan hotel. Sebaik laporan telah dibuat, dia bingkas keluar semula ke luar bilik untuk menemani Omar, berjaga-jaga di situ dan menanti sekiranya ada serangan susulan. Mereka memang cuak dan berdebar. Masakan tidak, penyerang Safian masih belum keluar, masih tiada kelibatnya.

Sebenarnya mereka sudahpun tertidur. Mereka memang keletihan. Sebaik kepala mencecah bantal, mimpi sudah menjadi mainan tidur. Namun tidur mereka yang enak menjadi terganggu apabila hentakan pada dinding bilik yang kuat menyedarkan mereka dari mimpi. Bukan sekali, tapi banyak kali. Pasti sesuatu telah berlaku dan pantas mereka berkejar ke bilik ini. Memang mereka terkejut besar melihat keadaan Safian yang begitu parah sekali.

Omar dan Isa tidak perlu menunggu lama. Pihak keselamatan hotel telah tiba. Zulkipli dan beberapa pembantunya dari pihak keselamatan hotel datang untuk membantu sebelum pasukan polis tiba ke situ.

“Encik, apa yang dah berlaku?” tanya Zulkipli sambil membongkok melihat keadaan Safian yang sudah tidak sedarkan diri. Agak terkejut melihatkan keadaan lelaki itu yang cedera parah. Lebih terkejut lagi peristiwa itu berlaku di hotel tempat dia bertugas. Tidak pernah kejadian yang seumpama itu berlaku di hotel itu.

“Kami sendiri pun tak pasti. Tadi, dengar macam bunyi orang bergaduh, tu yang kami datang serbu kat sini. Bila pintu bilik terbuka sahaja, kami tengok keadaan bos kami dah macam ni.” Dengan wajah keruh, Omar cuba menerangkan keadaan yang tidak tahu hujung pangkalnya itu.

“Ada nampak sesiapa keluar dari bilik ni?”

Omar dan Isa menggelengkan kepala mereka. Lantas Zulkipli bangkt dan mula memberi arahan. Kedua kakitangannya semakin berhati-hati di muka pintu, semakin bersedia untuk bertindak. Cortar juga semakin dipegang kejap. Dengan pistol yang tergenggam erat di tangan kanannya, pintu yang sedikit ternganga itu ditolak sehingga habis dengan kaki kirinya oleh Zulkipli. Badannya masih terselindung di dinding. Apabila dapat dipastikan tiada sesiapa yang bersembunyi di belakang pintu, Zulkipli mula melangkah ke dalam bilik diikuti oleh kedua kakitangannya. Kali ini pintu bilik air dan pintu almari pula ditolak dan digeledah. Apabila keadaan semakin selamat, mereka maju lagi ke dalam bilik. Kosong. Tiada sesiapa di situ. Namun bilik itu tunggang langgang. Bagai dilanggar ribut taufan. Atau puting beliung. Kerusi meja sudah tidak pada tempatnya. Kaki kerusi sudah ke atas dan tercampak ke sudut bilik. Walaupun tidak pecah, tapi kesan hentakan yang kuat ada pada kaca cermin bilik itu. TV juga sudah jatuh ke lantai. Dinding dan tilam di katil pula penuh dengan kesan calar dari kuku binatang. Sebahagian besar cadar sudah koyak rabak. Hanya sekali pandang, Zulkipli yakin, penyerang Safian bukan manusia. Tapi akalnya menolak firasat hatinya. Dimana logiknya. Dari mana pula datangnya binatang itu? Dan ke mana pula lesapnya penyerang itu? Siapa penyerang itu? Superman ke? Batman ke? Atau Cicakman?

Zulkipli menapak ke luar bilik, menghampiri Omar dan Isa. “Tak ada sesiapa pun kat dalam ni. Awak pasti penyerang tu belum keluar?”

“Masa kami ketuk pintu tu, memang kami dengar bunyi orang sedang bergelut. Tak lama lepas tu Encik Safian keluar. Saya ada kat sini sejak tadi tapi saya tak nampak pun ada orang keluar dari sini. Encik pasti ke?” tanya Omar kembali. Mula terasa cuak bila Zulkipli memberitahu tiada sesiapa di dalam. Habis tu, bunyi apa yang mereka dengar tadi? Habis tu, macamana Encik Safian boleh jadi macam ni? Habis tu, apa yang dia orang nak jawab dengan bos-bos besar yang ada kat KL tu? Habis tu, apa yang dia orang nak beritahu pada keluarga Encik Safian? Hish, pening pening…. Omar dan Isa masing-masing menggaru kepala yang tidak gatal. Wajah Safian ditenung dengan penuh simpati.

Hish, masak aku ni nampaknya…getus hati kecil Zulkipli. Macamana nak jawab dengan pihak pengurusan ni? Dia menggaru kepala yang terasa semakin gatal, semakin buntu. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Sedar malam ini adalah malam yang panjang. Baru berhasrat hendak mundar mandir di situ dan memikirkan bagaimana hendak menulis laporannya nanti, kelibat Inspektor Hashim diikuti oleh dua orang pembantunya serta dua orang paramedik telah menghampiri.

“Assalamualaikum.” Inspektor Hashim menyapa sambil menghulurkan tangannya kepada Zulkipli yang pernah menjadi rakan sejawatnya dan kepada kedua Omar dan Isa.

“Wa’alaikumussalam.”

“Dapat?”

Zulkipli menggelengkan kepala. “Hilang.”

“Lolos?”

Sekali lagi Zulkipli menggelengkan kepala. “Puff, hilang. Nothing.” Dia menekankan jawapannya sekali lagi. Kali ini diturutkan dengan gerakan memetik jari tengah dan ibu jari kedua tangannya, bagaikan apa yang berlaku tadi adalah sebuah pertunjukan magik pula.

Inspektor Hashim tidak memberi sebarang komen. Setelah memberi arahan kepada kedua pembantunya untuk menyiasat di dalam, dia pula melutut di sisi Safian dan mula menilik badan Safian yang penuh luka itu. Safian yang sudah tidak sedarkan sedari tadi, cuba untuk tidak diganggu sementara pasukan Paramediks memberikan bantuan. Cuba hendak diselidiki jenis serangan ke atas lelaki itu. “Masalah ni….” Inspektor Hashim mengeluh perlahan. Dapat dirasakan bahawa agak sukar hendak menyelesaikan kes ini. Rasanya kes ini termasuk dalam kategori X-Filesnya.

“Kau dah tengok kesan luka pada badan mangsa?”

Inspektor Hashim mengangguk. “Sekali pandang macam ni, aku tengok macam kena cakar dengan sesuatu.”

“Betul.” Zulkipli mengesahkan. “Banyak lagi kesan cakaran tu kat dalam!” tegas Zulkipli.

Inspektor Hashim mengangguk perlahan. “Apa pun, kena tunggu keputusan forensik.” Dia melihat sahaja Safian yang sedang dibawa pergi oleh pasukan Paramedik. Dia tidak mahu membuat kesimpulan awal. “Kerja aku banyak kat dalam tu. Kau pun tahu, seperti biasa, kawasan ni akan jadi kawasan larangan buat sementara ni. Aku nak mintak tolong sikit,” Inspektor Hashim memandang bekas rakan sekerjanya itu.

“Apa dia?”

“Itu…” Inspektor Hashim memalingkan wajahnya dan memuncung kepada tetamu-tetamu hotel yang semakin ramai mengerumuni. Perasaan ingin tahu seorang manusia memang sukar hendak dibendong.

“Tang tu, no problem. Dah tugas aku pun kat hotel ni…”

“Thanks….” Ucap Inspektor Hashim sambil melangkah masuk ke dalam bilik hotel itu.

---------------------------

Berada di hospital, Omar terpaksa menghubungi ahli keluarga Safian untuk memaklumkan keadaannya di sini. Segera Fatimah menelefon emak Safian dan keluarganya di kampong. Dia meminta mereka semua bersabar dan berdoa sementara dia akan ke Kota Bharu awal pagi esoknya dengan menaiki kapalterbang. Harap-harap, masih ada tiket. Dia akan meminta tolong dari kawannya yang bekerja dengan kaunter tiket MAS. Sementara menanti pagi, Fatimah melakukan solat hajat dan berdoa akan keselamatan suaminya. Anak-anaknya dibiarkan tidur, tidak mahu mengganggu lena mereka. Namun mereka perlu diberitahu kerana mereka pasti akan tertanya-tanya kenapa dia perlu meninggalkan mereka dengan pembantu rumah dan ke Kota Bharu sendirian. Mana pernah dia meninggalkan mereka untuk pergi sejauh ini. Mujr kedua ibubapa dan emak mertuanya akan tiba di rumah itu pagi esok. Mereka akan menjaga anak-anaknya seramai lima orang itu sepanjang ketiadaannya nanti. Harapannya suaminya akan selamat dan dia akan dapat segera kembali ke Kuala Lumpur untuk mengambil anak-anaknya pula.

Dua hari berada di hospital, masih tiada tanda-tanda yang Safian akan sedar. Menurut doktor, walaupun keadaan Safian tidak terlalu kritikal, tapi dia dalam keadaan koma. Keadaan itu memaksa Fatimah untuk berbincang dengan keluarganya dan keluarga mertuanya melalui telefon. Kata sepakat dicapai. Untuk memudahkan mereka semua menjaga Safian, Fatimah telah membuat permohonan agar Safian dapat dipindahkan ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans. Walaupun jauh dan memenatkan, pilihan apa lagi yang mereka ada. Tambahan pula, semua ahli keluarganya berada di Kuala Lumpur. Sedang menanti dengan solat hajat, doa dan Yassin agar Safian selamat dari segala bahaya. Sebaik tiba di Hospital Tawakal, semua ahli keluarga Safian telah menunggu. Berbekalkan air Yassin dan doa dari ahli keluarga dan sanak saudara selama beberapa hari itu, Mak Munah, ibu Safian, menatap wajah tenang anak sulungnya. Sayu hati seorang ibu sebaik melihat wajah Safian. Luka-luka yang dibaluti oleh kain pembalut itu diusap perlahan. Sedih mengenangkan nasib si anak yang cuba menangkis segala godaan duniawi. Tapi dia redha kerana anaknya sentiasa tenang menghadapi segala bahaya yang datang. Walau disuakan dengan wang dan harta benda, namun tuntutan nafsu dan godaan syaitan dapat dipatahkan. Walau ini adalah akibat dari tekanan itu, dia seribu kali rela. Inilah perjuangan anaknya dalam menjaga imannya.

Mak Munah terus menyapu air Yassin ke muka Safian. Surah-surah Rukyah terus meniti dibibir tuanya. Sesekali dihembus ke muka Safian. Hati memohon ke hadrat Allah agar anak sulungnya akan bangkit dari komanya. Masa yang berlalu tidak diendah. Ucapan sayang tidak diucap, namun disalurkan dari sentuhan kasih seorang ibu. Tidak jemu membelai dengan air Yassin yang membawa berkah. Akhirnya, beberapa jam di sisi ibu tersayang, Safian membuka mata. Bergenang airmata seorang ibu sebaik melihat anak kesayangannya itu kembali sedar.

“Alhamdulillah, akhirnya anak emak dah sedar….” Ujar Mak Munah sambil mencium lembut dahi anaknya. Dia bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umar anaknya, walau sedetik, dia tetap akur. Dia sedar, perjalanan anaknya terlalu bahaya kerana terpaksa menghadapi segala bentuk serangan, baik secara lahiriah atau batiniah. Alhamdulillah anaknya punya jati diri dan tidak mudah putus asa. Walau hampir di setiap negeri di Semenanjung Malaysia ini dia punya musuh, namun dia tetap cekal menjalankan tanggungjawabnya. Semuanya kerana Allah.

Sebulan berlalu dan Safian semakin pulih. Dia sudah dibenarkan pulang kerumah, malah sudah mula bekerja. Walau pada luarannya dia telah pulih seperti sediakala, hanya doktor yang merawatnya yang tahu dia masih mempunyai masalah kesihatan. Dia sukar untuk menelan dan bernafas. Bahagian lehernya sentiasa terasa panas. Dia juga mengalami insomnia. Tidur malamnya hanya beberapa minit sahaja. Telah dua minggu dia mengalami kesukaran tidur. Walau di dalam bilik berhawa dingin sekali pun, dia akan dilanda rasa kepanasan melampau. Kalau dihitung dengan jari, tidak sampai sepuluh jari pun jumlah jam tidurnya dalam dua minggu ini. Semuanya disimpan sendiri. Tidak mahu emaknya mengetahui, apatah lagi Mak Munah telah pulang ke kampong dua minggu yang lepas. Tapi seminggu kemudian, dia kembali ke rumah itu. Hati seorang ibu, tiada siapa yang dapat menafsirnya. Sepanjang Mak Munah dikampong, dia kerap bermimpi yang anaknya dilanda musibah. Kembali ke Kuala Lumpur, sebaik melihat Safian, sekilas ikan di air, dia sudah tahu jantan betinanya. Dia sudah tahu keadaan Safian. Dia tidak perlu bertanya. Bila berpeluang, dia akan memberi minuman yang telah dibacakan ayat-ayat Rukyah kepada Safian. Dapatlah Safian menyejukkan sedikit badannya. Dapatlah dia melelapkan mata barang seketika. Sebaik membuka mata, cuba dihabiskan masa yang terluang itu dengan mengabdikan diri kepada Illahi. Namun tekak yang sentiasa kering itu amat menyukarkan dia untuk berkata-kata, bagaikan kaca-kaca kecil dan halus menghiris anak tekaknya. Tiada apa yang dapat Safian lakukan kecuali menyerahkan dirinya kepada Allah. Berdoa agar dia sabar mengharungi penderitaannya ini.

Sebulan berlalu. Keadaan Safian tetap sama. Tiada perubahan. Doktor pakar juga telah kehilangan kata, tidak tahu hendak dicari di mana lagi punca penyakitnya. Dari sudut dan aspek kedoktoran, Safian memang tiada masalah kesihatan. Dan hari demi hari, Safian semakin kurus. Hanya mampu menelan bubur kosong yang dimakan menggunakan straw. Semangkuk bubur, mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Itupun secara sembunyi-sembunyi setiap kali emaknya datang menziarah. Tidak mahu hati si emak gusar melihat keadaannya. Biarlah emaknya hanya nampak senyuman yang tersisip di bibirnya. Walau dia tahu emaknya tidak akan tertipu dengan persembahannya.

“Yan, Yan sihat?” tegur Mak Munah di pagi Ahad itu. Dia telah mengambil tempat di sisi Safian di sofa 2 tempat duduk itu.

Safian tersenyum. Kepala pula sudah dianggukkan. “Kenapa Mak?”

“Mak tengok Yan makin hari makin kurus…” jawab Mak Munah dengan nada penuh kerisauan.

Safian melebarkan senyumnya. “Yan dietlah Mak. Dah gemuk benar rasanya badan Yan ni…” dengan manja Safian memberikan jawapan.

“Haish, dah kurus macam ni pun nak kurus lagi?” tempelak Mak Munah selamba.

“Bukan macam tu. Yan ikat perut la Mak… Yan nak kumpul duit hantaran untuk isteri nombor dua… hik hik…” dia berbisik mengusik kepada Mak Munah, namun tidak mahu isteri kesayangannya pula yang terdengar gurauannya itu.

“Amboi… amboi… dah pasang niat rupanya anak mak ni. Boleh mak tahu siapa dia? Kenalkan pada Mak. Kalau Mak berkenan, mak top up aje mana yang tak cukup tu… tak payah nak ikat-ikat perut ni…” Mak Munah mengusik dan memberi saranan sambil mengusap perut Safian dengan lembut. Diikutkan rentak permainan anak sulungnya itu walau hati terasa pilu.

“Betul ni, Mak?” tanya Safian manja. Walaupun dia yang paling tua di antara dia tujuh beradik, tapi dialah anak yang paling manja, kalah adiknya yang bongsu.

Mak Munah mengangguk. Tersisip senyuman dibibir tuanya.

“Alhamdulillah, best dapat Mak yang sporting ni…” Safian tergelak kecil sambil memeluk lembut bahu emaknya. Terasa betapa emaknya begitu menyayangi dirinya. Bila bersama emak, terasa diri yang sudah berumur lebih 40 tahun ini bagaikan masih berumur 4 tahun. Masih boleh bermanja bagai anak kecil. Dia tersenyum kecil.

“Mak…” panggil Safian dengan lembut.

“Hmmm…” balas Mak Munah sambil merenung Safian dengan penuh kasih.

“Yan sayang sangat dengan Mak….” Ucap Safian sambil mencium tangan kanan emaknya. Bagaikan pasangan kekasih pula kedua beranak itu.

“Mak tahu. Mak pun sayangkan Yan…” balas Mak Munah lembut.

“Mak….”

“Iye…”

“Mak jangan sedih nanti yek…”

“Kenapa Mak nak sedih pulak?” tanya Mak Munah sedikit cuak.

“Tak adalah… saje je Yan mintak macam tu. Manalah tahu kan, esok-esok…”

“Yan, kenapa cakap macam tu?” pantas Mak Munah memintas cakap anaknya. “Mak sentiasa doakan agar semua anak-anak Mak sihat wal’afiat. Emak ni yang dah tua….” Tidak sanggup Mak Munah hendak menyambung kata-katanya. Tidak terzahir. Perasaan sedih yang menyelubunginya sedari menjejakkan kakinya ke rumah anaknya semalam cuba ditahan dari tersirna.

Safian menggenggam tangan emaknya. Erat. Lembut. Penuh kasih. Sayang seorang anak kepada emaknya. Terimakasih seorang anak kepada emaknya. Hanya sebuah sentuhan. Tidak perlu sebarang luahan. Safian tahu emaknya amat memahami. Dan dia terus berdoa agar Allah akan mempermudahkan perjalanannya nanti. Dia redha.

Esoknya Safian ke pejabat seperti biasa. Menjelang tengahari, dia pengsan. Segera dia dikejarkan ke Hospital Tawakal. Namun akhirnya doktor yang merawat menyarankan agar dia di bawa pulang ke rumah kerana tiada apa yang dapat mereka lakukan lagi. Mak Munah merayu kepada Fatimah agar Safian dapat dibawa pulang ke kampong. Tiada apa yang dapat Fatimah lakukan selain dari akur dengan permintaan emak mertuanya itu.

Setibanya di kampong, Mak Munah mula melakukan segala persiapan yang dirasakan perlu. Anak-anak melakukan arahan yang diberi tanpa banyak soal. Malam itu Safian sedar kembali. Tapi cuma seketika. Namun masih sempat meninggalkan sedikit wasiat dan meminta maaf dari semua. Selepas itu dia kembali nazak. Mak Munah dan isterinya Fatimah membisikkan “Allah!!!” ditelinga Safian, membantunya yang sedang dalam perjalanan pulang untuk mengadap Allah. Sebelum dia menutupkan mata buat selama-lamanya. Dan Mak Munah sentiasa berdoa agar anaknya ini termasuk di dalam golongan orang-orang yang Soleh.

Tiba sudah waktu untuk memandikan jenazah. Bilal kampong yang bertanggungjawab meminta adik beradik lelaki Safian seramai 4 orang itu untuk sama-sama membantu. Dia menolak tawaran orang lain dengan memberi alasan bahawa lebih afdal sekiranya adik beradik Safian yang membantu dia memandikan jenazah abang mereka. Itu hanyalah sekadar alasan untuk mengelakkan sebarang fitnah oleh penduduk kampong. Semasa melihat mayat Safian tadi, bahagian torso atau dada Safian telah bertukar warna hitam legam bagaikan arang. Mengikut fitrahnya, itu menunjukkan kematian Safian ada bersangkut paut dengan unsur-unsur sihir atau ilmu hitam. Mungkin juga Allahyarham Safian telah dikenakan santau memandangkan dia terlalu sukar untuk bercakap atau menelan hatta benda-benda yang lembut sekalipun.

Mak Munah begitu bersyukur kerana jenazah anaknya selamat disemadikan dengan lancar. Menitis air matanya tatkala memandang kelima-lima cucunya, anak-anak Allahyarham Safian. Dan dia berserah kepada Allah untuk memberi pembalasan kepada mereka yang telah menyiksa kehidupan terakhir anaknya itu.



Nota kaki: mereka-mereka yang terlibat di dalam kes penyelewengan yang diuruskan oleh Safian khabarnya telah menerima hukuman oleh pihak berkuasa. Apabila samseng-samseng yang telah diupah, gagal menjalankan misi mereka, Safian telah dikenakan sihir untuk mengelakkan dia dari menjadi saksi utama. Namun bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Safian sebelum itu telah diserahkan oleh Safian kepada pihak pendakwaan. Omar, Isa dan beberapa saksi lain telah menguatkan lagi dakwaan tersebut sehingga pelaku-pelaku jenayah telah disabitkan kesalahan.

Dengarnya pihak kerajaan juga akan melaksanakan enakmen undang-undang yang melibatkan sihir terhadap mangsa. Semuga usaha ini akan berjaya dan dapat dipercepatkan pelaksanaanya agar pemangsa dan pengamal-pengamal sihir mendapat hukuman yang setimpal. Apatah lagi amalan-amalan ini adalah syirik dan menyengutukan Allah. Mangsa juga sebenarnya dizalimi dengan kejam oleh mereka-mereka ini cuma penderitaan mereka tidak terzahir di mata kasar manusia.



No comments: