Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC9

Alia melangkah menuju ke luar rumah. Pintu besar itu ditutup di belakangnya. Fandi sedia menanti, membelakanginya dan sedang leka memerhatikan keadaan sekeliling taman.
Kawasan taman itu memang luas. Landskapnya pula memang menarik dan terjaga rapi. Di satu sudut taman, terletak pancuran air yang berdekatan dengan gazebo berpangkin kayu, mengizinkan penghuninya bersantai dan menenangkan fikirannya di situ.
“Ahem! Sorry, lambat sikit. Dah lama tunggu?” Ilia menegur Fandi yang segak berkemeja T berkolar berwarna putih dan berseluar slack berwarna hitam.
Fandi mengalih pandangannya ke arah Ilia.
“Baru sebentar….” Melongo mulut Fandi sebaik sahaja matanya tertancap pada tubuh Ilia, atau lebih tepat lagi kepada pakaian yang menyelaputi wanita yang sedang berdiri di hadapannya itu.
Cepat-cepat dia menutup mulutnya. Jantungnya berdegup hebat. Dia meneguk air liurnya.
“Baru sekejap tadi.” Fandi memulakan semula. “Durra dah sedia?”
“Dah. How do I look? Sesuai ke dengan tempat yang awak nak bawa saya tu?” Tanya Ilia sambil mempamerkan aksi manja kepada Fandi. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya tiga ratus enam puluh darjah di hadapan Fandi.
Fandi senyap memerhati, cuba ditahan rasa hati. Diteguk lagi air liurnya beberapa kali.
Ditatap penampilan Ilia malam itu. Bergaun merah darah separas lutut, tanpa lengan dan bertali halus, mendedahkan sebahagian besar dadanya yang bidang. Loket emas bertatahkan berlian pula terletak kemas di lurah antara dua payudaranya. Sekali sekala kilauan berlian yang dipanah cahaya lampu jalan berdekatan menarik lagi perhatian Fandi kepada aset tubuh badan Ilia.
Di bawah sinaran lampu neon itu, tubuh mongel dan kulit halus Ilia begitu menggoda. Ditatap pula wajah wanita yang disaluti mekap yang nipis itu. Memang mempesonakan. Dengan tahi lalat kecil di hujung bibir sebelah kanan, makin terserlah keayuan wajahnya.
“Amboi, seksinya Mak Datin ni. Ya Allah, Engkau kuatkanlah imanku ini.” Doa Fandi di dalam hati. Di sebalik apa yang dia rasa, Fandi berlagak selamba, seolah-olah keseksian yang dibentangkan di depan matanya itu tidak mengundang apa-apa kesan dan reaksi darinya.
“Since you are obviously ready, jom kita pergi.”
Fandi mempersilakan Ilia untuk mendahuluinya menuju ke kereta Audi kepunyaannya. Tiba di kereta, Fandi membukakan pintu kereta untuk Ilia supaya Ilia dapat meloloskan dirinya ke dalam.
“Eiii, kenapalah pula dengan Datin ni malam ni?” Fandi mengomel sendirian sambil berjalan menuju ke pintunya sendiri.
“Hish, kenapalah dia berpakaian seksi malam ni, tak boleh nak concentrate le pulak. Macam mana aku nak persuade dia untuk setuju dengan proposal aku tu kalau otak aku bukannya di atas tapi lebih ke bawah? Dahlah tiap-tiap malam tidur aku tak lena sebab asyik teringatkan dia, nampaknya lepas ni, makin tak nyenyak tidurlah aku jadinya…”
Fandi terus mengomel kepada dirinya sendiri sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam perut kereta. Dijeling kepada Ilia yang sedang memerhati gerak lakunya. Dihadiahkan sebutir senyuman kepada wanita itu. Tanpa banyak bicara, Fandi memandu menuju ke destinasi.
Pada pandangan mata kasar, Fandi kelihatan tenang memandu kereta itu. Walhal, yang sebaliknya pula yang dirasai oleh Fandi. Terasa mahu sahaja dia membawa wanita itu ke Thailand dan mengajaknya bernikah sahaja di sana.
Memang kerja gila. Tapi itulah yang dia rasa. Nafsunya begitu ingin bermaharajalela. Pasti wanita di sebelahnya akan terkejut besar jika dia tiba-tiba berbuat demikian.
“Cool it Fandi, cool it, man…” Fandi cuba mengawal gelora di dada. Dia lantas cuba untuk mengingati ALLAH. Agak payah kerana syaitan sentiasa ingin menggoda tapi akhirnya dia berjaya.
Untuk memecahkan kesunyian dan keheningan yang menyelubungi, Fandi akhirnya memasangkan cakera padat sepuluh CD itu. Suara gemeresik M.Nasir berkumandang memenuhi setiap ruang kereta. Dia sememangnya meminati penyanyi dan pemuzik tersebut. Bagi Fandi, lagu-lagunya berkualiti dan kerap menjadi halwa telinganya.
“Hem… nampaknya awak sukakan M.Nasir?” Ilia bertanya bila dilihat jari jemari Fandi bergerak-gerak di stereng kereta mengikut alunan muzik yang sedang didendangkan.
“Lebih kurang macam tulah. Saya suka dengar iramanya yang rancak, jadi tak adalah bosan sangat semasa memandu, apatah lagi kalau jalan tengah jammed.”
Sekali lagi sebutir senyuman dilemparkan kepada Ilia. Ilia membalas senyuman itu. Mereka berbalas senyuman. Namun senyuman Ilia penuh makna.
Maklumat yang baru diterimanya itu akan disimpannya di dalam kotak ingatannya. Sebenarnya dia juga sukakan M.Nasir. Teringat kembali kepada kata-kata Encik Hussaini beberapa hari yang lepas.
Berkongsi minat. Shared interest. Mungkin mereka boleh berkongsi minat yang satu ini.
“Saya juga sukakan M.Nasir. Muziknya sentiasa segar. Memandangkan dia juga seorang pencipta lagu, jadi seronok bila mendengar kompilasi lagu-lagu yang telah diciptakan untuk penyanyi lain.” Ilia mula memanjangkan bicara.
“Lagu apa yang paling Ilia minat?”
“Keroncong untuk Ana, Kembara Jalanan dan juga Sumpah Semerah Padi. Bagaimana dengan awak pula?”
“Saya juga sukakan lagu Sumpah Semerah Padi. Selain dari tu, Tanya itu Hud-Hud dan Pheonix Bangkit juga menarik. Rentaknya catchy. Tak adalah rasa boring.”
Bercerita tentang M.Nasir memendekkan lagi perjalanan yang sememangnya pendek itu. Dari Bukit Tunku ke Pusat Bandar Kuala Lumpur bukannya jauh. Tanpa kesesakan lalu lintas, pasti sekejap sahaja mereka akan sampai ke destinasi yang dituju.
Tersenyum Ilia melihat destinasi mereka malam itu. Fandi telah membelok masuk ke simpang menuju ke Menara Kuala Lumpur. Tempat itu memang disukainya walau jarang dia ke sana. Dan dia gembira kerana Fandi telah memilih lokasi itu untuk makan malam mereka berdua.

No comments: