Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK5

SYIRIN berdiri sambil memandang ke arah laut yang luas terbentang di hadapannya. Pemandangan yang amat mengasyikkan dan pasti Mimi akan sukakan tempat ini sekiranya dia berada di sisi ketika ini.
Mereka berdua tidak pernah pergi bercuti di tepi pantai, sekadar sesekali pergi berjalan-jalan dan berkelah bila keadaan mengizinkan. Tidaklah pula sampai bermalam di tempat peranginan itu atau pun termasuk di dalam kategori Cuti-Cuti Malaysia.
Syirin mula teringatkan kata-kata Syirah sebelum dia pergi meninggalkan mereka lima tahun yang lalu.
“Esok aku nak pergi ke Kuala Lumpur.” Syirah memberitahunya selang beberapa hari selepas kedua ibu bapa mereka dikebumikan.
“Untuk apa? Dengan siapa?” tanya Syirin ingin tahu.
“Untuk mengejar impian aku. Dan kau tak perlu tahu dengan siapa aku pergi. Aku beritahu ni pun bukannya apa, supaya kau tak tercari-cari aku. Kononnya hilanglah, kena bawa larilah…. Lepas tu, sibuk le pulak nak buat laporan polis dan macam-macam lagi yang pastinya akan menyusahkan aku nanti.”
“Habis, bagaimana dengan kami?” Syirin sedih dengan sikap kembarnya yang tidak pernah memikirkan tentang dirinya dan juga Mimi.
‘Itu aku tak tahu dan tak mahu ambil tahu. Pandai-pandailah kau menguruskan kehidupan kau. Aku akan uruskan kehidupan aku di Kuala Lumpur nanti,” selamba Syirah membuang cakap kepada Syirin.
“Bila kau akan balik semula ke sini?” tanya Syirin lagi sekadar ingin mengetahui perancangan Syirah.
“Itu aku belum tahu. Janganlah kau nak harap sangat aku balik ke rumah ni lagi. Untuk pengetahuan kau, aku tak plan pun nak balik ke rumah ni dalam jangka masa yang terdekat ni. Lainlah bila aku dah popular dan dah kaya…” Syirah tersenyum sinis memandang ke arah Syirin.
Syirin malas untuk terus melayan kerenah Syirah. Dia tahu, dia tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menghalang pemergian Syirah. Kematian kedua ibu bapa mereka membuka jalan untuk Syirah memilih haluannya sendiri.
Syirin akui yang Syirah sememangnya sukakan kehidupan yang serba mewah. Dia memang membenci kehidupan keluarga mereka yang serba kekurangan. Teringat kembali kepada kereta sport BMW merah yang dimiliki Syirah, Syirin kembali sedar yang Syirah sebenarnya telah pun menemui kemewahan yang dicari walaupun kemewahan itu akhirnya tidak memberikan apa-apa kegembiraan dan kebahagiaan sebagaimana yang diimpikan.
Syirin mengetap bibirnya untuk menahan sebak yang bertandang di dadanya. Dia bertekad untuk terus melangkah ke hadapan.
Di daerah ini, ada seorang lelaki yang menjadi punca kesedihan Syirah. Walaupun semuanya sudah terlewat buat kembarnya dan tiada lagi peluang kedua buatnya, namun lelaki itu jugalah yang kini menjadi harapan untuk masa depan yang lebih cerah buat adiknya Mimi.
Perasaan marah berbaur geram dan semangat yang membara telah mengetepikan kesedihan Syirin buat sementara.
Jika abang iparnya itu bersikap lebih bertanggungjawab terhadap Syirah, pasti Syirah tidak akan lari meninggalkannya. Sudah semestinya Syirah tidak akan pulang ke sisi mereka dalam keadaan yang begitu tertekan sehinggakan dia hilang tumpuan semasa pemanduannya dan menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
Sedikit sebanyak, lelaki itu bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku itu sebagaimana juga Syirah. Duitnya tidak akan dapat menggantikan layanannya terhadap Syirah atau pun menghidupkan Syirah semula tetapi duitnya itu pasti akan dapat membantu Syirin di dalam usahanya untuk memulihkan Mimi.
Dan sekarang, Syirin perlu mencari Erman secepat mungkin.
Seseorang di daerah ini pasti mengenali Erman dan Syirin nekad untuk memulakan pencarian setelah perutnya diisi. Semenjak pagi ladi dia belum menjamah makanan dan kini perutnya sudah mula terasa pedih kerana kelaparan.

SETELAH mengerjakan solat jamak takhir dan qasar, Syirin mula terasa malas untuk keluar.
“Ahh… malas pula nak keluar…” bisik hati kecilnya. Perasaan penat dan suasana dingin yang menyelubungi bilik itu menambahkan lagi rasa kemalasan Syirin.
“Hishh, kena keluar juga ni. Kalau tak, macam mana perut ni nak diisi. Lagipun Rin, tujuan kau datang sini adalah untuk mencari seorang lelaki bernama Erman, bukannya untuk berseronok dan bermalas-malas. Ingat! Mimi memerlukan kau untuk menyempurnakan tugas ini…” Syirin memarahi dirinya sendiri.
Merajuk sendiri, Syirin memasang tekad untuk memulakan pencariannya. Dia bersiap untuk keluar. Dibawa bersamanya dompet kembarnya yang berisi sejumlah wang yang agak banyak dan kad-kad kredit kepunyaan Syirah untuk diserahkan kembali kepada Erman apabila mereka bertemu kelak.
Syirin melangkah keluar. Kedudukan Hotel Seri Malaysia yang terletak di atas bukit itu sememangnya memberikan suatu kelainan kepada pengunjung. Jelas kelihatan panorama pantai yang mengasyikkan dan kelihatan juga dari situ, Pulau Kapas yang sering dikunjungi oleh pelawat dari dalam dan luar negeri.
“MasyaALLAH!” tercetus kata-kata itu dari mulut Syirin. Dia kagum dengan keindahan yang terdampar di depan matanya itu. Sejenak Syirin memerhati pemandangan sekeliling, menikmati keindahan yang telah dikurniakan ALLAH untuk sekalian makhluknya.

SEKETIKA kemudian, Syirin mula melangkah ke kaki bukit dan menghala ke jeti Marang, mencari gerai yang bersesuaian untuk dia mengisi perutnya.
Hanya terdapat beberapa gerai makanan di situ dan beberapa orang pelayan kedai sibuk menarik perhatian pelanggan yang lalu lalang di situ untuk singgah di gerai masing-masing.
“Dik, sila dik. Nasi ayam ada, nasi campur ada, ABC ada…” kedengaran suara mereka berteriak memanggil.
Syirin tidak ambil peduli. Dia masih berkira-kira apa yang mahu dimakannya. Akhirnya Syirin menuju ke salah sebuah gerai yang berdekatan. Dia memutuskan untuk memesan nasi ayam dan juga air sirap limau sebagai makanan tengah harinya yang telah terlewat itu.
Syirin berjalan ke tempat duduk yang disediakan. Dicari tempat duduk yang bersesuaian, yang lebih selesa dan menghadap ke laut.
Sambil memerhati ke kiri dan ke kanan, tiba-tiba perhatiannya tertumpu ke satu sudut di hadapannya.
Seorang lelaki sedang memerhatinya dengan satu pandangan yang cukup tajam dan tanpa secalitpun senyuman di bibirnya.
Syirin terkesima. Persekitarannya terasa semakin hilang dari pandangan. Suara hingar bingar di sekelilingnya semakin pudar, seolah-olah hanya dia dan lelaki itu sahaja yang berada di situ pada ketika itu.
Syirin terus terpaku dengan pandangan lelaki tersebut. Terasa peluh dingin mula memercik apabila melihatkan lelaki itu memandangnya dari atas ke bawah dan kembali ke atas semula.

“DIK, makanan dan minumannya dik!”
Syirin tersentak. Suara pelayan gerai itu membawanya kembali ke alam nyata.
Dilemparkannya sekelumit senyuman dan ucapan terima kasih sambil mengambil sudu dan garpu yang dihulurkan oleh pelayan itu kepadanya. Tanpa berlengah lagi, dia memulakan santapannya untuk hari itu.
Baru menyuap beberapa kali, Syirin teringat kembali kepada lelaki yang sedang memerhatikannya tadi. Makanan yang terhidang telah mula hilang keenakannya. Lalu dikalihkan pandangannya sekali lagi ke arah lelaki itu.
Memang lelaki itu agak tampan. Sekali pandang, persis Bae Yong Jun, hero kacak yang popular di dalam drama bersiri “Winter Sonata”.
Dia santai berkemeja T berkolar berwarna hitam dan berseluar denim yang telah lusuh. Agak ranggi dengan rambut hitam lebat beralun dibuai angin laut.
Orang Melayu ke Cina? Entahlah… Mungkin dia adalah orang Melayu tempatan kerana sambil dia memerhati Syirin, dia kelihatannya bertegur sapa dengan orang-orang yang berada di situ.
Pada mulanya, Syirin menyangka bahawa lelaki tersebut mungkin adalah salah seorang nelayan yang datang makan di situ tetapi bila diperhatikan dengan lebih teliti, lelaki tersebut memakai kasut kulit dan tangannya pula terjaga dengan rapi. Tidak seperti tangan orang-orang yang biasa bekerja kuat sebagai nelayan ataupun petani.

SEDANG dia asyik memerhati lelaki tersebut, ketika itu dia sedang berbual dengan seseorang yang berdiri di sisinya, tiba-tiba lelaki itu mengalihkan pandangannya ke arah Syirin. Syirin tidak sempat melarikan pandangan matanya. Dengan kening yang terangkat persis Ziana Zain, lelaki itu mengangkat gelasnya ke arah Syirin sambil tersenyum sinis.
Syirin berasa malu dengan perlakuannya sebentar tadi, yang kini telah disedari lelaki terbabit. Dia mula merasakan bahang kepanasan menular dari tengkuk ke mukanya.
Syirin pantas menoleh ke arah pantai tetapi sebelum itu dia sempat melihat dari ekor matanya bahawa lelaki itu semakin tajam merenungnya dan ada tanda-tanda kemarahan terpamer di wajahnya.
Pada hemat Syirin, mungkin juga lelaki itu marah dengan tindakannya yang tidak mengendahkan cubaan untuk menggodanya. Kemarahan lelaki itu menimbulkan rasa yang tidak menyenangkan di hati Syirin.
‘Padan dengan mukanya. Dia ingat, dia tu kacak sangat?’ Macam Mat Salleh pulak, siap menyuakan gelas minuman kepada Syirin lagak, seperti lakonan dalam filem barat.
‘Eii.. tak tergoda aku,’ ngomel hati Syirin lagi.
Syirin sedar, walaupun dia hanyalah gadis yang sederhana dari segi rupa paras dan penampilan, namun telah ramai lelaki yang cuba untuk menggodanya sebelum ini.
Berbagai karenah dan telatah yang dipamerkan oleh mereka. Tapi kali ini cara dan pandangan yang diberikan oleh lelaki itu amat berbeza. Pandangan itu amat tajam dan dingin, sehingga mengecutkan perut Syirin.
Pandangan yang ditunjukkan itu bukan sekadar pandangan dari seorang lelaki yang tertarik kepada seorang perempuan, malah lebih kepada ugutan dan sukar untuk dimengerti. Seolah-olah hendak ditelannya Syirin jika berkesempatan.
Baru Syirin tersedar. Dia adalah seorang gadis, malah orang asing di situ. Pelbagai kejadian yang tidak diingini boleh berlaku.
Mengalir peluh dingin bila difikirkan semuanya itu oleh Syirin. Dia terpaksa berpura-pura menikmati makanannya dengan penuh khusyuk, seolah-olah apa yang berada di depannya itu adalah makanan terlazat yang pernah dimakannya. Walaupun pada hakikatnya, makanan itu terasa bagaikan hampas ketika ditelan.
Selang beberapa ketika kemudian, di toleh semula pandangannya ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu sedang membayar harga makanannya kepada pelayan gerai yang nampaknya memang mengenali antara satu sama lain. Mereka berbual mesra dan selepas itu, lelaki tersebut mula beredar dan menuju ke arah jeti yang berdekatan.

No comments: