Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Wednesday, October 20, 2010

SJM4

Naim terkedu. Agak lama dia kaku di situ. Suara itu telah 5 tahun tidak didengarnya. Sukar dia mempercayai yang dia akan mendengar kembali suara lunak itu pada saat ini. Terlalu lama suara itu menjadi igauan mimpinya. Terlalu lama pemilik suara itu telah cuba dilupakannya. Kenapa pula hari ini dia akan mendengar kembali suara itu?
Naim memusingkan badannya. Perlahan. Sedikit demi sedikit, imej gadis yang pernah mengisi ruang mimpinya, kini memenuhi ruang penglihatannya. Sekali lagi dia terkedu. Akalnya seakan mati tiba-tiba. Tidak mahu berfungsi seperti selalu. Tiada sebarang ekspresi pada raut wajahnya.
Mati senyuman Nadia pada ketika itu. Walaupun dia sudah menjangkakan reaksi Naim, namun terhiris juga perasaannya. Dia tahu dia bersalah. Tapi 5 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama. Dia amat-amat berharap yang Naim telah memaafkannya.
‘Maisarah.’ Sapa Naim dengan dingin. Diamati gadis di hadapannya. Memang dia tidak salah. Wajah ayu yang pernah dipujanya itu tidak banyak berubah. Kini dia tampak lebih kurus dari dahulu. Raut wajahnya tampak lebih matang, namun masih lembut dan menenangkan mata yang memandang.
Nadia menelan airliurnya. Walaupun nada suara Naim agak dingin, sekurang-kurangnya dia masih mahu menegur, tidak menjerkah. Dan jauh disudut hatinya, dia terasa sedih kerana lelaki itu kini memanggilnya Maisarah, bukan lagi Nadia. Hanya dia yang akan memanggilnya Nadia. Nadia tahu kenapa dia bersikap begitu, namun dia cuba untuk tidak ambil peduli. Dipaksa dirinya untuk kembali mengukir senyuman buat lelaki yang pernah menjadi pujaannya itu.
‘Assalamulaikum Naim. Apa khabar?’ ucap Nadia sambil melontarkan pandangannya ke arah kedua tangan Naim yang begitu kuat menggenggam kedua-dua botol comel makanan bayi itu. Mungkin kedua botol itu akan pecah sekiranya dia terus berbuat demikian.
Nadia tersenyum kecil kepada dirinya sendiri. Mungkin Naim sedang membayangkan yang tangannya sedang menjerut lehernya pada ketika itu untuk melepaskan geram yang bersarang dihati.
‘Baik.’ Jawab Naim ringkas.
‘Balik bercuti ke?’ tanya Nadia sekadar berbasa basi. Memandangkan reaksi Naim yang terus dingin, ingin sahaja dia beredar dari situ. Dia sedar yang kehadirannya tidak diingini oleh lelaki di depannya ketika itu.
‘Tak. Saya dah ditukarkan ke sini.’
Terkedu Nadia seketika. ‘Dia dah ditukarkan ke sini. Ini bererti aku mungkin akan berpeluang untuk bertemu dengan dia lagi. Itu pun jika takdir mengizinkan.’
‘Dah lama?’
“Baru sebulan.’
Naim masih terus kekok di situ. Dia sendiri tidak pasti apa yang boleh dilakukannya kini. Hatinya yang pernah terluka gara-gara gadis di hadapannya itu seakan mahu berdarah kembali. Pedihnya kembali terasa. Kalau boleh, dia ingin sekali melangkah pergi. Tapi kakinya enggan menurut kata hatinya.
‘So, what are you up to, Naim?’
‘My neck,’ gumam Naim walaupun hatinya berat untuk menjawab, ‘dan rasa macam akan tenggelam dengan cepat.’
‘Hah?!’
Nadia keliru, tidak pasti dengan apa yang dimaksudkan oleh Naim sebentar tadi.
‘Cuba awak tengok ni.’ Jawab Naim. Tanpa sedar dia sudah mengunjuk kepada botol-botol ditangannya dan ke arah rak di hadapannya. Dia bagaikan sudah terlupa persengketaannya dengan Nadia selama ini.
‘Macam mana seseorang tu nak tahu apa yang perlu didapatkannya? Jenis sayur apa? Brand apa? Yang dalam botol ke atau yang dalam kotak? Bijiran ke formula?’ Suara Naim semakin meninggi. ‘Kalau formula pulak, jenis apa yang paling baik? Soya ke, cecair ke, tepung ke? Yang dah siap untuk diminum ke atau pun yang dah siap dicampur?’
Nadia terasa mahu ketawa, tapi cuba ditahannya. Dia tahu yang Naim tidak akan menghargai ketawanya itu pada saat ini.
‘Seingat saya, awak kan sukakan jus buah-buahan, bukannya makanan sebegini.’
Mata Naim mencerlung. Dia memandang Nadia dengan mata yang buntang. ‘Memanglah saya sukakan jus buah-buahan, dan ini semua bukannya untuk saya.’
Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jelas tersirna keresahan diwajahnya yang kacak itu. Tersirna juga rasa hatinya yang kaget dengan situasi yang sedang dihadapinya itu.
Naim nampak macam tengah panik. Setahu aku, dia tak pernah panik. Tak pernah macam ni. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlaku di luar kawalannya, gerutu Nadia di dalam hati. Tapi mungkin juga tekaannya itu salah. Setahunya, Naim sentiasa tenang menghadapi apa jua keadaan.
‘Naim, apa yang sedang berlaku sebenarnya ni?’ tanya Nadia sambil cuba memujuk hatinya bahawa dia hanya sekadar ingin mengetahui perkembangan lelaki itu.
‘Tak ada apa-apa,’ omel Naim perlahan sambil tangannya mula meletak botol-botol comel yang dipegangnya tadi kembali ke atas raknya. Dilakukan dengan berhati-hati agar susunan botol-botol itu tidak terjatuh pula nanti.
‘Takkanlah tak ada apa-apa. Saya tengok awak macam tak tentu arah aje,’ tukas Nadia.
‘Just the end of the world.’ Gumam Naim sekali lagi.
‘Sound serious.’
‘Memang pun.’
Hish, susahnya nak dapatkan maklumat dari dia ni, omel Nadia di dalam hati. Memang begitu perangainya sejak dulu. Berat mulut. Sepatah ditanya, setengah patah yang dijawab. Nadia tidak bertanya lagi. Sebaliknya dia berterusan merenung lelaki di hadapannya.
Walaupun Naim membelakangkannya, dia terus menunggu. Dia terus menanti reaksi Naim. Telah lama dia mengenali lelaki itu. 2 tahun mereka bersama sebelum Nadia menamatkan hubungan mereka. Dia yakin Naim masih belum berubah dari sikapnya yang satu itu.
Tepat seperti sangkaannya. Macam dulu juga, Naim pasti tidak akan bertahan bila dihadiahkan renungan ataupun suasana senyap yang lama. Akhirnya dia berpaling menghadap Nadia. Kedua tangannya sudah berpeluk ke tubuh. Kedua kakinya pula sedikit terkangkang. Nadia tahu lelaki itu sudah mula rasa tercabar.
“Saya dah jadi seorang bapa,’ perlahan kata-kata itu terhambur dari mulut Naim. Nada suaranya tidak kedengarannya gembira, seolah-olah dia kini sedang berada di dalam situasi yang tidak disenanginya sama sekali.

SJM3

Nadia tergamam. Dahinya berkerut. Cuba memastikan sesuatu. Dia menapak mendekati. Direnung dan diteliti tanpa berkelip wajah yang sedang berkerut tapi tetap gagah di dalam pakaian seragamnya yang serba putih itu.
‘Sah, memang dia!’ Hati Nadia melonjak gembira, tapi hanya seketika. Dia beralih arah. Berdiri di satu sudut, menyembunyikan dirinya dari pandangan lelaki itu. Diperhatikan sahaja gerakgeri lelaki itu dengan hati yang sendu. Direnung setiap raut yang bermain diwajahnya. Cuba ditahan rasa hatinya dari tersirna di anak matanya. Rasa rindu yang telah lama terpendam cuba untuk membuak keluar, namun dia cuba untuk memendamkannya kembali.
Nadia terus menatap susuk tubuh lelaki itu. Memang tinggi dan kacak. Rambutnya yang hitam lebat itu masih dipotong pendek, selayak tugasnya sebagai seorang pegawai tinggi Tentera Laut. Tubuhnya masih sasa seperti dahulu. Teringat pula kepada pancaran kasih yang sering tersirna dari anak matanya. Hanya untuk dirinya. Redup dan hangat. Telah 5 tahun berlalu sejak pandangan itu dilihatnya. Pandangan yang sering membuai perasaannya. Dia bagaikan berada di masa itu. 5 tahun yang lalu. Dan kehangatan mula menular ke dalam dirinya.

Pengumuman yang dibuat dari corong pembesar suara, menyentak Nadia dari perjalanan memorinya. Dia menarik nafas panjang, sedalam yang mungkin. Dia mengingatkan dirinya tentang duka lalu. Duka yang masih menjadi igauan buruk semasa tidurnya.
‘Mai, jangan diingat perkara yang lalu, hanya akan membuka parut yang telah lama sembuh. Kau jalan ke arah lain, jangan kau tegur dia. Jangan biarkan parut luka kau tu kembali berdarah.’ Nadia cuba menasihatkan dirinya.
‘Kami berdua semakin dewasa. Kami semakin matang. Pasti aku boleh menegur Naim tanpa mendatangkan sebarang masalah. Hanya menegur, takkan itu pun salah....’ akalnya memberikan alasan. Dia memang benar-benar ingin bertanyakan khabar lelaki itu.
‘Eekk,’ tukas hatinya pula. ‘Mana mungkin tak salah, kau akan mengundang padah...’
‘Tapi aku hanya nak bertanya khabar. Kami pernah bercinta, takkan sekarang tak boleh berkawan?’
‘Berkawan? Setelah apa yang kau lakukan pada Naim? I dont think so...’ tukas hatinya lagi.
‘tapi tak salah kan kalau aku hanya menegurnya?’ pintas akalnya pula.
‘Mai, lebih baik kau berpura-pura tak nampak dia. Baik kau cepat-cepat beredar dari sini.’

Nadia terus mengomel sendirian. Dia benar-benar rindukan lelaki itu. Tidak cukup melihatnya dari tempatnya berdiri. Ingin didengar sekali lagi suara lelaki yang garau dan serak-serak basah itu. Suara penuh kelakian. Suara yang kerap mengganggu tenangnya satu ketika dulu.
Nadia ingin melangkah pergi, tapi kakinya tidak mahu mendengar perintah hatinya. Sebaliknya kakinya terus melangkah perlahan mendekati Naim. Dia berhenti di belakang lelaki yang sedang khusyuk melihat apa yang berada ditangannya. Diperhatikan pula apa yang berada di atas rak di depan Naim.
“Baby food? Makanan bayi? Dia dah ada anak ke? Dia dah beristeri?’
Fikiran Nadia mula bercelaru. Kesedihan mula bertapak di dalam hati. Terasa luluh, namun cuba ditahan rasa hati agar tidak tersirna di saat itu.
“Strained carrots, strained spinach. Baby makan benda-benda macam ni ke?’
Kedengaran suara Naim mengomel perlahan, namun masih jelas menampar gegendang telinga Nadia yang berada di belakangnya.
Begitu lama suara itu tidak didengarnya. Betapa dia begitu merindui suara itu. Dia mula teragak-agak, namun dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia mengetap kedua bibirnya seketika sebelum mengulum senyuman kecil. Dia menegur Naim.
“Memang susah nak makan daging bila tak ada gigi ni,’ seloroh Nadia sambil menanti reaksi dari lelaki di hadapannya yang sedang khusyuk menilik satu persatu makanan bayi di dalam botol-botol bersaiz comel yang terletak cantik di atas rak sehinggakan kehadirannya tidak disedari.

SJM2

Nadia Maisarah Ismail. Cantik dan ayu. Sentiasa tegas di dalam membuat keputusan. Namun pagi ini dia benar-benar berada di dalam dilema.
Direnung rak yang berada di hadapannya. Berbagai jenis roti dan kek tersusun rapi di situ. Semuanya nampak enak dan lazat. Kecur airliurnya.
‘Wei Maisarah, kau nak tamatkan diet kau hari ini atau kau nak teruskan?’ cabar hati kecilnya.
‘Dah 5 hari aku asyik makan sayur, mana ada tenaga kalau aku terus macam ni?’ jawab nafsunya pula.
‘Hei, kau kata kau nak turunkan berat kau tu sebanyak 3 kg. Apa kau dah lupa ke?’ hatinya cuba mengingatkan.
‘Tak. Tapi hidup tanpa kabohidrat dan lemak sekali sekala, amatlah tidak bermakna. Kalau aku mati kat tengah jalan yang sentiasa membahayakan tu, tak ke kempunan namanya?’ gumam nafsunya pula.
Akhirnya Nadia nekad. Dicapai sebungkus Potato Bread dari atas rak. Terasa mahu dibukanya bungkusan itu ketika itu juga. Perutnya memang sudah berlagu. Dia masih belum makan sedari pagi tadi. Agak sibuk sehingga dia terlupa untuk makan. Baru hendak membuka bungkusan ditangannya, tiba-tiba dia terasa malu. Tidak patut dia berbuat begitu.
“Mai, kau bukan budak kecik lagi. Takkanlah kau tidak boleh tahan rasa lapar kau tu,’ nasihat hatinya yang sentiasa mahu menjaga tatasusila diri.
Nadia melepaskan keluhan kecil. Diusap perutnya perlahan. Dia akur dengan kata hatinya. Mungkin juga dia boleh ke Medan Selera yang terletak di luar pasar raya itu selepas ini. Sekarang masanya untuk dia menahan kelaparan yang semakin menyeksakan itu. Dia meneruskan perjalanannya untuk melengkapkan senarai barangan yang perlu dibeli.
Nadia cuba melupakan rasa laparnya. Dia cuba memikirkan perkara lain. Difikirkan tentang kerjanya pula. Dia tersenyum gembira. Tersirna di raut wajahnya. Dia benar-benar terasa bebas. Bebas dan ceria. Setelah beberapa hari memerap di dalam pejabatnya bersama dengan komputer ribanya itu, kerjanya itu dapat diselesaikan juga akhirnya.
Sejak sebulan yang lepas, pejabat adalah dunianya. Keluar rumah sebaik jam menunjuk ke angka 6 pagi dan hanya pulang ketika jam sudah dinihari. Pulangnya ke rumah hanya sekadar untuk menukar baju. Telah sebulan juga dia tidak melihat panas matahari. Kulitnya juga semakin pucat tanpa vitamin D yang datangnya dari pancaran mentari pagi yang percuma itu. Mujur Mak Ngah memahami kesibukannya saban hari. Dan mujur juga semuanya itu akan berubah hari ini. Dia akan bercuti selama sebulan. Tapi dia masih lagi belum ada apa-apa perancangan bagaimana dia mahu menghabiskan cutinya itu.
Bila memikirkan tentang cutinya, dia sudah terasa bosan. Entah apa yang boleh dibuatnya untuk menghabiskan cutinya itu. Mak Ngah pasti akan memerap di dalam rumah seperti biasa. Mak Lang dan dan Pak Lang pula pasti akan sibuk, tiada masa untuk menemaninya ke mana-mana. Irdina pula pasti sibuk dengan kuliahnya. Cuti semesternya hanya akan bermula sebulan dari sekarang. Abang Irfan pula tidak mahu melayannya sekarang. Dia sedang sibuk dengan projek barunya itu.
Fikiran Nadia melayang pula kepada kawan-kawannya pula. Marina sudah berumah tangga tiga bulan yang lepas. Zarina pula sedang mengandungkan anak kedua. Maria pula sedang berkhusus di luar negara. Kamalia pula pasti sibuk dengan anak-anak muridnya.
“Hai, nampaknya cuti kali ni aku bertemankan novel-novel jugalah....’ Nadia mengeluh sendirian. Dipandang pula ke arah sekelilingnya. Seorang kanak-kanak perempuan sedang merengek memegang bucu baju ibunya. Si ibu pula cuba untuk tidak melayan kerenah anaknya. Dia sedang sibuk memilih di antara 2 jenama susu. Dikalihkan kembali pandangannya kepada kanak-kanak kecil tadi. Comel dan manja. Bibir merahnya sedang memuncung. Air mata pula bergenang di tubir matanya.
Tersentap hati Nadia dengan senario yang berada di depan matanya. Namun cuba ditepis perasaan sayu yang ingin menyelinap masuk ke dalam hatinya. Dia memang mahukan anak dari zuriatnya sendiri, tapi sehingga kini dia masih sendiri. Sama seperti lelaki yang berada 4 meter di depannya itu. Dia berpakaian seragam serba putih. Pasti seorang Tentera Laut. Tapi dia kelihatan seperti seorang yang sedang kehilangan arah. Tangannya sedang menggaru-garu kepala. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca maklumat yang tertera pada tin-tin susu formula itu.
Nadia terus tertarik untuk terus merenung lelaki itu. Bagaikan sebuah tarikan magnet. Terlalu kuat untuk dialihkan pandangannya ke arah lain. Hatinya turut berdetik. Susuk tubuh itu bagaikan dikenali dan dia terus memerhati.

SJM1

Kapten Muhammad Naim Tan Sri Takiyuddin. Kacak bergaya. Sentiasa tenang dalam apa jua situasi. Pakar di dalam menjana strategi. Namun tidak pada hari ini.
Naim membelokkan keretanya masuk ke tempat meletak kenderaan di Alpha Angle, Wangsa Maju. Dicari ruang parkir kosong yang berdekatan dengan pintu masuk ke bangunan itu. Mujurlah hari ini pagi Isnin, jadi masih banyak ruang parkir yang masih kosong.
Setelah dipastikan keselamatan keretanya terjamin, dia pun melangkah masuk ke pusat membeli-belah itu. Diperhatikan sekeliling, tercari-cari arah yang hendak ditujunya. Sebaik semuanya telah dapat dikenalpasti, akhirnya Naim mula menapak laju. Destinasinya adalah bahagian pasar raya. Dia berhenti di pintu masuk. Dipandang ke dalam. Terasa begitu aneh. Terasa kehilangan arah. Tidak tahu ke mana yang hendak dimulakannya terlebih dahulu. Dipandang pula keadaan sekeliling. Terdapat beberapa barisan troli di situ.
‘Naim, mungkin juga kau patut ambil troli tu terlebih dahulu.’ Omel Naim kepada dirinya.
Tanpa membuang masa, dia terus mencapai troli yang berada di depannya dan kembali menuju ke pintu masuk pasar raya. Sekali lagi dia tercegat di situ.
Seorang wanita yang agak berumur telah mengekori Naim dari belakang. Namun wanita itu bukan penyabar orangnya. Marah kerana Naim menghalang laluan masuknya ke pasar raya itu. Selamba sahaja dia melanggar belakang Naim. Sakit belakang Naim akibat hentakan troli yang sedikit kuat itu.
Naim menoleh ke belakang. Dikerutkan dahinya ke arah wanita itu. Hasrat hatinya ingin memberi isyarat agar wanita itu akan lebih berhati-hati. Namun lain pula jadinya. Bukannya wanita itu meminta maaf darinya, sebaliknya dia menjegilkan matanya pula ke arah Naim.
‘Maafkan saya, Makcik!’ Ucap Naim untuk memohon kemaafan dari wanita tua itu. Mungkin dia yang bersalah, jadi biarlah dia yang beralah.
“Hei, pihak tentera sekarang ni hanya ajar supaya kau orang jadi pak pacak kat muka pintu aje ke? Dah tak ajar benda lain lagi?’
Cemuhan wanita tua itu sedikit sebanyak memeranjatkan Naim. Tidak disangka yang dia akan dijerkah sebegitu oleh wanita tua yang mungkin sebaya dengan Allahyarham ibunya. Malas mahu melayan kerenah wanita tua itu, Naim melangkah ke tepi, memberikan laluan kepada orang tua itu.
“Sepatutnya lelaki tidak dibenarkan masuk ke pasar raya macam ni, buat menyemak aje,’ bebel wanita tua itu lagi sambil melangkah pergi.
Naim menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Bukan kecik pun pintu masuk ke pasar raya ni,’ omel Naim di dalam hati. Dia bengang dengan sikap wanita yang kurang ajar itu.
“Sabar ajelah Naim. Agaknya perempuan tu baru menopos, tu yang angin satu badan tu,’ Naim cuba memujuk hatinya yang kurang senang dengan sikap wanita tua itu.
‘Okey, kini tibalah saat yang dinanti-nantikan. Mari kita mulakan!’ serunya di dalam hati.
Naim mula berjalan dengan tegak. Troli ditolak dengan berhati-hati. Rak-rak yang tersusun itu diperhatikan satu persatu, bagaikan sedang memerhati barisan musuh-musuh yang hendak dikalahkannya. Serius raut wajahnya ketika itu. Cuba diingati setiap barang yang perlu sambil melihat sekiranya barang itu ada di rak yang berdekatan. Namun semuanya itu agak menyukarkan. Dia mula terasa sesal kerana tidak mencatatkan terlebih dahulu barang keperluannya di atas kertas.
Naim mengeluh kecil. Dia tahu yang dia telah kehilangan arah ketika itu. Bukannya dia pernah membeli-belah di situ. Ini kali pertamanya. Dan ini juga kali pertamanya hendak membeli setiap barang yang berada di dalam kepalanya. Dia cuba untuk menumpukan perhatiannya kepada pembeliannya. Namun agak sukar. Di satu penjuru, kelihatan seorang wanita muda sedang memujuk anak lelakinya yang sedang menjerit-jerit dengan lantang. Jeritan kanak-kanak kecil itu sudah cukup membingitkan telinganya dan mengganggu konsentrasinya.
Sekali lagi Naim mengeluh kecil. Semuanya ini memang meresahkan. Dia memang tidak gemar membeli belah dipusat-pusat membeli-belah begini. Terlalu ramai orang dan terlalu sukar hendak mencari barang-barang keperluannya. Kerana itu dia lebih gemar pergi ke kedai-kedai runcit berdekatan dengan tempat tinggalnya. Dia sebatang kara. Dia juga seorang tentera. Bukan sebarang tentera. Dia seorang tentera laut yang sentiasa dedikasi menjaga keamanan dan keselamatan laut negara. Dan dia juga sudah biasa hidup bersendirian dan tinggal di berek tentera. Keperluannya tidak banyak kerana makan minumnya sentiasa dijaga dan disediakan oleh pihak tentera laut. Namun pada hari ini semuanya itu bakal berubah. Dan kerana itu dia kini berada di sini. Untuk cuba memenuhi keperluan barunya itu.
‘Naim, kau kena anggap shopping trip kau ni macam satu misi jugak. Kau pastikan tempat letak setiap barang-barang tu terlebih dahulu, lepas tu kau ambil setiap barang yang kau perlukan, dan kemudian kau kena keluar dari sini dengan segera. Kau pasti boleh!’ Naim cuba membangkitkan semangatnya.
Kali ini Naim mengubah strategi. Dia berjalan ke bahagian yang paling depan sekali daripada setiap deretan rak yang ada. Diamati setiap laluan di sebelah kirinya. Diperhatikan pula kepada setiap papan tanda yang tergantung di siling. Di hujung sekali, tertera tanda “Toilettries, Feminine Hygine”.
“Naim, yang pasti, laluan terakhir tu tak ada kaitan langsung dengan apa yang kau nak beli, jadi kau boleh elakkan dari melaluinya,’ omelnya sendirian. Otaknya terus membuat perancangan setiap laluan yang akan ditempuhinya. Setiap barang yang perlu dibeli juga sudah mula tersenarai kembali di fikirannya satu persatu. Tugasnya kini semakin mudah. Hatinya juga semakin tenang membeli-belah. Dia tidak lagi panik seperti tadi.
Muzik sedang berkumandang di udara. Sesekali suara lunak seorang lelaki yang mungkin adalah DJnya akan mencelah di sebalik alunan muzik itu untuk membuat pengumuman. Sering kali riuh rendah mulutnya berbicara memberitahu tentang harga terendah barangan ataupun promosi yang sedang dijalankan oleh pihak pasar raya, sesekali dia mengumumkan meminta ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka untuk tampil ke kaunter perkhidmatan.
Suara hingar bingar dan jerit pekik kanak-kanak kini tidak lagi dihiraukan oleh Naim. Setiap kebisingan itu telah ditapis oleh otaknya. Dia semakin tekun mencari setiap barang keperluan yang baru pertama kali hendak dibelinya itu. Walaupun dia tampak tenang, namun resah dihatinya tak siapa yang tahu. Hatinya begitu bercelaru bila mengingatkan situasi yang bakal dihadapinya sedikit masa lagi.

SJM Prolog

Suasana petang itu agak hening. Yang kedengaran hanyalah desiran ombak yang membelah pantai. Boy hanya merenung jauh pantai yang sunyi tanpa penghuni. Hari ini hari Isnin. Jam di tangannya pula baru menunjukkan ke angka lima petang. Jalan besar mula sibuk dengan kenderaan. Keadaan semakin sibuk dengan orang ramai yang mahu pulang dari kerja. Kesibukan itu tidak dipedulikan sangat oleh Boy. Dia lebih sukakan pemandangan di pantai. Laut memang minatnya. Dan perpindahan keluarganya ke Kem Si Rusa di Port Dickson itu dua bulan yang lalu telah memberikan kelebihan kepadanya. Hampir setiap hari dia akan berada di situ, kecuali pada hari Sabtu dan Ahad yang menjanjikan ramai pengunjung ke pantai itu, apatah lagi sekarang adalah musim cuti sekolah.

Ucu kebosanan. Cuaca pula agak panas untuk dia memeruk di dalam rumah.
‘Mak, Ucu nak pergi pantai, boleh?’
‘Tunggu petang sikit. Kan panas kat luar tu,’ ujar Puan Sufiyah memberikan alasan.
‘Ala, Mak, Ucu panas la. Kat luar tu banyak angin. Kat pantai lagi banyak angin. Nanti Ucu jalan kat bawah pokok ajelah...’ rayu Ucu pula.
‘Baiklah, tapi hati-hati masa melintas jalan tu dan jangan lupa bawa air minuman ni sekali,’ Puan Sufiyah mengingatkan. Jarang benar dia menyekat pergerakan Ucu semasa cuti sekolah kerana dia mahu anaknya membesar dengan baik seperti kanan-kanak yang lain. Jika di waktu persekolahan, pasti anaknya itu akan memerap di rumah kerana banyak kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan, apatah lagi dia juga menghadiri kelas tuisyen dengan cikgu sekolahnya. Sebaik sahaja anaknya itu selesai dengan UPSRnya, dia telah memberikan kelonggaran kepadanya untuk bermain di luar. Anaknya yang telah dua kali lompat kelas itu memang bergeliga otaknya dan telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam UPSRnya walaupun umurnya dua tahun lebih muda dari rakan-rakannya yang lain. Kerana umurnya yang lebih muda itu jugalah, Ucu tidak pernah hiraukan penampilannya, seperti hari ini. Dengan T-Shirt dan seluar sukan serta rambut yang menggerbang tidak terurus, dia keluar ke mana sahaja yang tergerak hatinya untuk melangkah. Rupanya yang comot dan selekeh itu juga dibiarkan begitu sahaja.
Ucu menyeberang jalan setelah dipastikan tiada sebarang kenderaan. Kemudian ditunggang basikalnya dengan berhati-hati di tepi jalan agar tidak berlaku kemalangan. Dia menuju ke arah Pantai Teluk Kemang. Di situ nanti pasti lebih santai berbasikal dan boleh juga dia menjamu matanya dengan aneka barang yang dipamerkan di kedai-kedai yang berderetan di situ.
Sebaik tiba di Pantai Teluk Kemang, Ucu tersenyum. Tidak ramai pengunjung kala itu. Hanya beberapa buah kenderaan. Tiada kanak-kanak langsung kecuali seorang budak lelaki yang sedang duduk menghadap pantai. Bolehlah dia bermain kasut berodanya di situ dengan senang tanpa sebarang gangguan. Litar simen itu akan menjadi miliknya untuk sementara waktu.
Ucu meletak basikalnya di tepi litar. Dikeluarkan kasut berodanya dari tempat membawa barangan. Dia mula memakai kasut itu dengan perasaan yang seronok. Dia mula bermain dengan gembira. Tidak disedarinya pandangan kanak-kanak lelaki tadi sudah pun berpindah kepadanya, memandangnya bermain dengan asyik.
Ucu semakin melajukan lariannya. Tiba-tiba, bedebuk!
‘Aduh!!’ Ucu mengerang kesakitan. Dia terjatuh. Tidak disangka dia akan jatuh ketika itu. Dia melihat sekeliling. Rupa-rupanya seketul batu berada di dalam laluannya.
‘Eh awak, sakit ke?’
Tiba-tiba satu suara kanak-kanak lelaki menegurnya dari arah sisi.
Ucu mengalih matanya ke arah suara itu. Dilihat pula pada sekeliling. Hanya kanak-kanak itu yang berada di situ. Mungkin juga itu kanak-kanak yang dilihatnya tadi.
Ucu menganggukkan kepala. Dia memang sakit. Sakit lutut dan sakit hati. Sakit hati lebih dari sakit lutut. Sakit hati kerana malu terjatuh di depan budak lelaki itu.
‘Eh, darah mengalir ni. Awak tak apa-apa ke?’ tanya budak lelaki itu sekali lagi kepada Ucu. Dia segera melutut di depan Ucu, kemudian menghembuskan sedikit udara ke lukanya yang mula berdarah. Mungkin untuk melegakan sedikit kesakitan yang Ucu rasakan ketika itu. Sedikit sebanyak, Ucu rasa tersentuh dengan tindakan budak lelaki itu.
‘Luka ni sikit aje. Saya akan bersihkan bila saya balik nanti.’ Jawab Ucu sambil cuba menahan sakit di lututnya itu.
‘Rumah awak kat mana?’
Ucu menunjukkan arah rumahnya.
‘Jauh tu. Awak datang naik apa?’ tanya budak itu lagi.
Ucu mengunjukkan basikalnya pula.
‘Awak tunggu kat sini kejap.’ Arah budak lelaki itu pula.
Ucu memerhatikan sahaja budak itu berlalu pergi menuju ke arah salah sebuah kedai yang berada di situ. Tidak lama kemudian dia kembali ke tempat itu. Ada sesuatu yang berada di dalam genggaman tangannya.
‘Meh sini saya tolong kesatkan,’ arah budak lelaki itu sekali lagi. Di tangannya sudah ada tisu muka, bersedia untuk mengelap darah yang berada di kesan luka Ucu.
Ucu menghulurkan lututnya yang berdarah. Dibiarkan budak itu membersihkan lukanya. Kemudian budak itu meletakkan pula dua keping handyplast di atas lukanya.
‘Okey, dah siap,’ ujar budak lelaki itu dengan perasaan puas. Ditekankan sedikit agar lekatan handyplast itu lebih kemas. Mungkin dia bangga dengan hasil kerjanya.
‘Saya Ucu, awak?’ Ucu memperkenalkan dirinya. Dia menyorokkan sedikit lututnya kerana seluarnya kini telah koyak. Malu juga bila dilihat oleh budak itu.
‘Saya Boy.’ Boy memperkenalkan dirinya pula.
‘Awak nak minum?’ Pelawa Ucu bila tiada idea yang singgah padanya.
‘Air? Boleh jugak. Mana?’ Tanya Boy bila dilihat tiada air di situ.
Wajah Ucu merona merah. ‘Ada, ada kat basikal saya.’
‘Saya ambilkan?’
“Tak apa, saya boleh ambil.’ Kata Ucu sambil berdiri.
‘Boleh jalan?’
Ucu mencuba kakinya. Dia menganggukkan kepala. ‘Boleh. Awak tunggu kat situ,’ arahnya sambil mengunjuk kepada tempat duduk yang berdekatan. Dia mula berjalan berjengkot menuju ke basikalnya.
Sambil minum air yang telah dibekalkan oleh Puan Sufiyah, mereka mula bercerita tentang latar belakang keluarga masing-masing. Sejak itu juga mereka akan kerap keluar bermain bersama. Boy juga akan turut bermain kasut beroda yang memang menjadi permainan kegemarannya itu.

Hari demi hari berlalu. Saban hari mereka menghabiskan masa berdua kecuali di hujung minggu. Satu hari, mereka berbual mesra di tepi pantai setelah sejam bermain kasut roda itu.
‘Boy, dah besar nanti, awak nak jadi apa?’
‘Saya nak jadi tentera.’
‘Kenapa?’
‘Saya nak ikut jejak ayah saya. Saya nak pertahankan kedaulatan Islam dan negara kita. Awak?’
‘Saya tak tahu lagi.’ Jawab Ucu tersengih.
‘Kenapa?’
‘Sebab saya lebih suka bermain. Penatlah belajar ni,’ jawab Ucu beria-ia. Dia lebih sukakan cuti sekolah yang panjang ini kerana lebih banyak masanya dapat dihabiskan dengan bermain basikal dan kasut roda. Tidak perlu menyemakkan kepalanya dengan segala macam kerja rumah yang perlu disiapkannya.
‘Ceh, mana boleh main aje. Kenalah bekerja untuk cari duit. Awak kan suka makan,’ tukas Boy kembali. Dia sudah punya sasaran yang hendak dikejar di dalam hidupnya, dan dia tidak akan mensia-siakan hidupnya begitu sahaja.
‘Kalau macam tu, saya kahwin dengan awak aje.’
‘Hah? Kenapa?’ Boy terlongo, hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Kenapa pula harus ditimbulkan soal kahwin, mereka kan budak lagi. Soal kahwin adalah soal orang-orang tua.
‘Sebab, bila awak dah jadi pegawai tentera macam ayah awak, awak mesti banyak duit. Kalau saya kahwin dengan awak, awak boleh jaga saya macam ayah awak dan ayah saya yang jaga emak awak dan emak saya. Awak juga boleh bagi duit awak tu pada saya, jadi saya tak payah kerja,’ jawab Ucu selamba.
‘Okey,’ pantas Boy bersetuju. Dia mengangguk deras. Walaupun mereka masih budak-budak dan tidak wajar memikirkan tentang kahwin semasa usia mereka masih muda, tapi dia akui, sehingga kini, Uculah satu-satunya kawan perempuan yang dia ada. Tapi apalah yang dia tahu apakah maksud perkahwinan itu yang sebenarnya. Yang dia tahu, dia selesa bersama Ucu. Dan kalau boleh dia mahu Ucu menemaninya buat selama-lamanya. Dia bahagia bersama Ucu.

Tuesday, October 19, 2010

SSR5

Tepat pada masa yang dijanjikan, Ameera Syuhadah telah pun berada di hadapan deretan kedai seperti yang dikehendaki. Sambil menanti, sekali lagi dia mempertikaikan kewajarannya menerima ajakan Eddy Arif untuk berjumpa dengannya. Walaupun hatinya berat untuk bertemu dengan lelaki itu, namun dia tidak mahu berbuat yang sebaliknya. Dia telah berjanji dan dia tidak mahu memungkiri janji itu.
Sambil menanti, dia mundar mandir dan melihat-lihat barangan yang dijual di kedai-kedai yang terdapat di situ. Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Sekitar lima minit kemudiannya, kedengaran hon kereta dibunyikan berdekatan dengan tempatnya berdiri. Dia menoleh dan memandang ke arah kereta Nissan Sentra yang telah berhenti tidak jauh darinya. Di belakang stereng kereta pula, seorang lelaki sedang ralit memandangnya. Di tatap wajah pemandu dengan lebih teliti. Sah memang Eddy Arif sedang tersenyum memerhatinya.
Ameera Syuhadah membalas senyumannya sambil melangkah mendekati kereta itu. Pintu kereta telah pun siap dibuka oleh Eddy Arif dari dalam.
“Assalamualaikum,” sapanya sambil memboloskan dirinya ke dalam perut kereta.
“Waalaikumussalam. Dah lama tunggu?”
“Baru sekejap. Belum pun hangat menanti,” jawab Ameera Syuhadah selamba sambil merenung wajah Eddy Arif. Pertama kali bertemu dengannya di bawah sinaran mentari, jelas kelihatan di mata Ameera Syuhadah yang Eddy Arif mempunyai wajah yang begitu tampan. Ketampanan itu semakin terserlah dengan senyuman yang sedang meniti di bibir lelaki itu...
“Ameera, awak tunggu sebentar di sini. Saya nak jumpa pelanggan pertama saya di kedai tu,” kata Eddy Arif sambil mengunjuk ke salah sebuah kedai yang berada di hadapan mereka.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Matanya mengekori langkah Eddy Arif yang keluar dan menuju ke arah kedai yang dimaksudkannya. Dari situ, Ameera Syuhadah dapat melihat yang kedai tersebut menjual pelbagai jenis cenderahati untuk pelbagai keadaan.
Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Seperti yang dijanjikannya, Eddy Arif hanya menghabiskan sekitar sepuluh minit di kedai itu. Kelibatnya muncul bersama seorang lagi lelaki lain di muka pintu kedai. Mungkin lelaki itu adalah tuan punya kedai tersebut. Dia sedang mengatakan sesuatu sambil memandang ke arah Ameera Syuhadah yang berada di dalam kereta. Sesaat kemudian, Eddy Arif tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya sebelum bibirnya bergerak menjawab sesuatu kepada lelaki itu.
‘Entah apalah agaknya yang sedang diperkatakan oleh mereka berdua. Mungkin sedang mengumpat aku kot,’ omel Ameera Syuhadah di dalam hatinya. Dilihatnya Eddy Arif melangkah laju menuju semula ke arahnya.
“Apa yang awak berdua bualkan semasa memandang saya tadi?” Pantas Ameera Syuhadah menghujani Eddy Arif dengan pertanyaan itu sebaik sahaja lelaki itu memboloskan dirinya ke dalam kereta.
“Tak ada apa-apa.”
“Jangan bohong.”
“Saya tak bohong.” Tukas Eddy Arif pula.
Ameera Syuhadah senyap, malas dia berbalah. Tapi entah kenapa perasaan tidak senang yang telah menyelinap ke dalam dirinya tadi tidak dapat ditolaknya ke tepi.
“Ameera, kawan saya tadi cuma bertanya sama ada yang menunggu kat dalam kereta ni kawan ke lawan.” Akhirnya Eddy Arif memberitahu bila dilihat gadis di sebelahnya diam membisu.
“Habis tu apa jawapan awak?” Tanya Ameera Syuhadah dengan muka berkerut.
“Mestilah saya katakan yang awak tu kawan saya. Takkan saya nak biarkan lawan yang berada di dalam kereta saya ni, mahu sahaja lawan tu sabotaj saya pulak nanti. Tak gitu?” Jawab Eddy Arif dengan nada selamba. Matanya dijeling ke arah Ameera Syuhadah beberapa kali sambil tangannya pula terus memandu ke destinasi yang seterusnya.
Ameera Syuhadah senyap. Firasatnya kuat mengatakan bahawa bukan itu yang diperkatakan oleh mereka berdua tadi. Tapi dia tidak punya bukti. Dia tidak berkemampuan seperti Superman ataupun Bionic Woman yang mempunyai kelebihan pendengaran Supersonik dan mendengar kata-kata lelaki berdua itu.
Akhirnya Ameera Syuhadah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan perkara itu. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana yang baru sahaja hendak dibina. Lagipun untuk apa dia mempertikaikan semua itu. Lelaki di sebelahnya itu pun bukanlah dikenalinya. Baru dia tersedar. Entah kenapa dia begitu mudah untuk menyetujui ajakan lelaki itu beberapa hari yang lepas. Salahnya kerana terburu-buru.
Hatinya kembali berbolak balik. Dia tidak sepatutnya keluar dengan lelaki ini. Teringat pula dia kepada beberapa berita yang telah disiarkan di dada akhbar mutakhir ini. Banyak kes yang berlaku bermula dengan kesanggupan si gadis mengikut teman lelaki yang baru dikenalinya pergi ke mana sahaja yang difikirkan menarik pada awalnya. Tapi siapa sangka malang pula yang sedang menunggu mereka.
Ameera Syuhadah semakin gusar. ‘Ke manalah pulak agaknya destinasi mereka selepas ini?’ Hatinya mengomel sendiri. Sudah terlambat untuk dia melepaskan dirinya ketika ini.
‘Itulah kau Meera, terlalu ikutkan perasaan. Apa kau rasa lelaki ini boleh dipercayai ke?’ Dia mengomel lagi. Dia kemudiannya terus menyepikan diri. Terus diperhatikan sahaja pemanduan Eddy Arif dengan hati yang resah. Dilihat pula pada papan tanda yang terdapat di jalan raya. Mereka kini menuju ke arah Sungai Lembing.
“Kita nak ke mana ni?” Akhirnya Ameera Syuhadah membuka mulut bertanya.
“Hai, ingatkan dah tak ada suara tadi,” sindir Eddy Arif yang menyedari keresahan yang telah menyerang gadis di sebelahnya.
“Bukan tak ada suara, cuma suara tu bersembunyi sekejap. Sekarang ni dia dah keluar semula.” Tukas Ameera Syuhadah selamba. “Kita nak ke mana sebenarnya ni?” Sekali lagi dia mengulang pertanyaannya.
“Ke Institut Perindustrian Belia.” Jawab Eddy Arif ringkas.
“Nak jumpa pelanggan kat sana ke?”
Eddy Arif mengangguk. “Yup. Saya perlu berjumpa salah seorang pensyarah di situ. Mereka ada menempah cenderahati untuk majlis sukan yang akan diadakan di situ nanti.”
“Banyak ke tempahan yang awak terima dari mereka?”
“Nak kata banyak tu, taklah, tapi agak kerap juga kami menerima tempahan. Jadi saya selalu ke sana untuk bertemu mereka. Saya perlu menunjukkan prototaip yang dikehendaki sebelum cenderahati tersebut dibuat dengan jumlah yang dipesan.”
Suasana sunyi seketika. Eddy Arif mula senyap. Mungkin dia terpaksa menumpukan perhatiannya kepada pemanduannya. Jalan raya agak sibuk. Orang ramai sedang berpusu-pusu menuju ke Stadium Darul Makmur yang sedang menjadi tapak bagi Pesta Pertanian. Deretan kereta yang di parkir di tepi jalan menambahkan kesesakan.
“Awak nak singgah ke sini ke nanti?” Tanya Eddy Arif sambil membelok ke kiri.
“Tak mahulah. Terlalu sesak dengan orang.” Jawab Ameera Syuhadah. Dia sememangnya tidak gemarkan suasana sesak begitu. Lagipun tiada apa yang hendak dicarinya di situ. Dahlah malas bercucuk tanam, memasak pun dua kali lima sahaja. Dia lebih kerap membeli makanan untuk santapan tengah hari dan malamnya. Emaknya pun tahu betapa malasnya dia untuk melakukan kerja-kerja dapur. Ada sahaja alasan yang diberikan. Bukannya dia tidak tahu memasak, cuma itu bukan keutamaannya. Dia juga sedar, pasti kemahiran memasaknya akan dapat digilap satu hari nanti, apatah lagi dia juga punya impian untuk menyambung pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi. Kini dia sentiasa berdoa kepada Allah yang permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akan termakbul juga akhirnya.


Dari Institut Perindustrian Belia, mereka menuju ke beberapa lagi buah kedai yang terdapat di Kuantan. Akhirnya Eddy Arif membelok masuk ke jalan yang menuju ke Pantai Teluk Cempedak. Telah dua kali Ameera Syuhadah ke situ sebelum ini bersama Along Azmeer dan keluarganya. Pantai itu memang cantik. Di sebelah kanannya terletak Hotel Hyatt yang bertaraf 5 bintang dan di sebelah kirinya pula terletak deretan kedai-kedai makan dan cenderahati.
Ameera Syuhadah menanti di pantai sementara menunggu Eddy Arif masuk bertemu pelanggannya di salah sebuah kedai cenderahati yang terdapat di situ. Dibuang pandangannya ke tengah laut. Damai dan tenang. Angin laut yang bertiup lembut, membuai perasaannya. Teringat dia kepada kampung halamannya di Tanjung Bidara, Melaka. Apa khabar agaknya emak di sana?

“Meera, awak lapar ke?” Suara Eddy Arif mematikan lamunannya tiba-tiba.
‘Kenapa?”
“Jom kita makan.”
“Awak belanja?”
“Saya yang ajak, sudah pasti saya yang akan belanja,” jawab Eddy Arif sinis.
‘Ada juga kes di mana orang lain yang mengajak, orang lain yang kena belanja....” tukas Ameera Syuhadah selamba.
Eddy Arif tergelak kecil. “Tapi orang tu bukan saya,” jawabnya tegas. Dijeling ke arah gadis di sebelahnya.
Ameera Syuhadah tersengih. Dia tahu yang lelaki itu agak egois orangnya. “Kita nak makan di mana?”
“Di gerai tu, boleh?” Eddy Arif mengunjuk ke arah gerai yang dimaksudkannya.
“Saya tak kesah, asalkan sedap.”
Eddy Arif tersenyum sambil menganggukkan kepala. Dia sudah biasa makan di gerai itu. Masakannya sedap dan terdapat pelbagai pilihan yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Jom kita duduk di situ,” ajak Eddy Arif ke meja yang dimaksudkan. Ameera Syuhadah terus menurut kerana dia juga sukakan kedudukannya yang mengadap ke laut. Apatah lagi memandangkan hari itu masih belum ramai pengunjung yang datang, pemandangan yang terbentang luas di hadapannya lebih menarik dan selesa dengan angin pantai yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Ameera Syuhadah membiarkan sahaja Eddy Arif memesan makanan untuk mereka berdua. Pesanan juga amat cepat disiapkan. Ameera Syuhadah akui yang makanan yang telah disediakan di situ memang sedap dan kena dengan seleranya.
Sambil mengisi perut yang kosong, mereka berdua berbual santai. Hampir sejam mereka di situ sebelum Eddy Arif menghantarnya pulang semula ke Taman Guru.


Sejak hari itu, telah beberapa kali Ameera Syuhadah keluar bersama dengan Eddy Arif, sama ada untuk keluar makan ataupun sekadar berjalan-jalan. Bagaimanapun ia tidak sekerap yang lelaki itu diinginkan. Saban minggu Eddy Arif mengajaknya keluar tetapi Ameera Syuhadah yang lebih kerap mengelaknya. Dia tidak mahu pertemuan demi pertemuan itu akan di salah anggapkan oleh Eddy Arif. Dia hanya menganggap lelaki tidak lebih dari seorang kawan. Dia masih punya impian yang ingin digapai. Menambah ilmu di dada sudah menjadi cita-citanya yang utama.

SSR4

Ameera Syuhadah mengemaskan fail-fail yang berselerakan di atas meja. Dia perlu ke Bahagian Pentadbiran untuk membantu menyelesaikan masalah Sistem Gaji yang sedang dihadapi oleh Jennifer, seorang pegawai HR di syarikatnya. Baru dia hendak melangkah menuju ke sana, terdengar pula teriakan Kak Masyitah memanggilnya.
“Ameera, panggilan untuk kamu!” Teriaknya sambil mengunjukkan gagang telefon di tangannya.
“Siapa?” Dia menyebut walaupun tiada bunyi yang keluar dari bibirnya.
Kak Masyitah tidak menjawab, sebaliknya dia menjongketkan bahunya, raut wajahnya pula dicemikkan.
Memandangkan Kak Masyitah masih menanti dia datang untuk menjawab panggilan itu, terpaksa Ameera Syuhadah berpatah dan mengambil gagang telefon dari tangannya.
“Helo, Ameera Syuhadah bercakap.” sapanya dengan lembut.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam kepadanya.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Soal Ameera Syuhadah setelah menjawab salam yang dihulurkan. Terasa seperti pernah didengarnya suara itu, tetapi suara yang kurang jelas itu menyukarkan dia untuk membuat kepastian.
“Memang pun saya memerlukan bantuan Cik Ameera,” balas lelaki itu kembali.
“Bantuan yang bagaimana tu?” Ameera Syuhadah terasa cuak. Ada sesuatu yang agak mencurigakannya, seakan-akan lelaki itu sedang cuba mempermainkannya.
“Bantu saya untuk melelapkan mata. Bantu saya untuk membasahkan mandi saya, dan bantu saya untuk mengenyangkan perut saya?” Selamba lelaki itu menjawab pertanyaan Ameera Syuhadah.
Berdegup jantung Ameera Syuhadah seketika. Kelu lidahnya untuk membalas kembali kata-kata lelaki itu. Nampaknya ada mamat gila yang menghubunginya.
‘Siapa pula gerangannya mamat ni?’ hati Ameera Syuhadah cuba meneka. Cuba dibayangkan beberapa wajah lelaki yang pernah dikenali, tapi tiada satu pun yang menyerupai suara lelaki ini.
“Ini siapa?” Akhirnya dia terpaksa bertanya apabila tiada nama yang timbul dalam kepalanya. “Apa kena mengena tidur, mandi dan makan awak tu dengan saya pulak?” Tempelaknya pula dengan nada yang sedikit tinggi. Kak Masyitah yang berada di meja sebelah pula mula memasang telinga, semakin tertarik kepada perbualan sebelah pihak yang didengarinya ketika itu.
Lelaki itu sudah terkekek-kekek ketawanya, mungkin seronok kerana dapat mempermainkan Ameera Syuhadah.
“Takkan awak tak tahu siapa saya? Awak yang menyebabkan tidur saya tak lena, mandi saya tak basah, dan tidur saya tak lena….”
Ameera Syuhadah semakin gelisah. Cuba diamati lagi suara itu. Ditumpukan pula pada gelaknya yang bersahaja. Teringat kembali kepada perjalanan malamnya. Dia yakin lelaki itu orangnya.
“Encik Eddy Arif Effendi. Dah tak ada kerja lain ke?” Dia menyindir pula.
“Hem, kenal juga akhirnya awak pada saya. Masih ingat lagi rupanya awak pada saya ni. I’m touched…” ujar Eddy Arif sambil tertawa kecil.
“Hem, hanya awak sahaja lelaki yang saya kenal yang loyar buruk orangnya.”
“Terima kasih,” balas Eddy Arif, masih dengan nada berseloroh.
“Ya, ada apa-apa yang boleh saya bantu selain daripada memenuhi permintaan awak yang awal tadi tu?”
“Tak ada apa-apa. Saya call ni sekadar untuk mendengar suara awak yang manja tu. Saya selalu terkenang-kenangkan awak….”
‘Hish, biar betul mamat ni,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah. Walaupun dia juga mungkin sudah terpikat kepada lelaki itu, namun dia tidak akan berterus terang sebegitu sekali. Naik geli geleman juga dibuatkan bila mendengar seorang lelaki menyatakan perasaan sebegitu kepadanya.
“En. Eddy, awak baru sahaja mengenali saya dan saya pun baru aje mengenali awak. Rasanya tak sesuai awak buat perangai sebegini,” nasihat Ameera Syuhadah kepada Eddy Arif. Dijelingnya pula kepada Kak Masyitah yang masih memasang telinga, cuba mendengar perbualannya.
“Yelah, saya aje yang hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong,” balas Eddy Arif dengan nada pura-pura merajuk.
“En. Eddy, pipi dan hidung awak tu dah elok terletak di tempatnya. Tak payahlah nak merendahkan diri awak tu tidak pada tempatnya, nanti awak bongkok sebelum masanya pulak,” tukas Ameera Syuhadah selamba.
“Yelah…cik adik sayang…” jawab Eddy Arif masih dengan nada berguraunya.
Ameera Syuhadah menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Ingin dilepaskan keluhannya kepada Eddy Arif yang bagaikan hilang akal itu, namun ditahankan sahaja rasa hatinya.
“En. Eddy, saya agak sibuk sekarang ni. Awak nak apa sebenarnya?” Ameera Syuhadah cuba mengingatkan Eddy Arif tujuan dia menelefon di waktu begini. Dia agak sibuk, jadi dia malas hendak melayan kerenah lelaki itu. Lagipun sekarang adalah waktu pejabat, tidak elok dia melayan panggilan yang tidak berkaitan dengan kerjanya.
“Boleh kita jumpa?”
Tersentak Ameera Syuhadah dengan permintaan itu. Tidak disangkanya sebegitu sekali kehendak Eddy Arif. Dia jadi serba salah. Teringat kembali kata-kata Kak Hasnah kepadanya beberapa hari yang lalu.
Kerana nasihat Kak Hasnah jugalah dia kerap menepis ingatannya kepada Eddy Arif. Lagipun dia masih punya perjuangan yang belum selesai.
“Eddy Arif, bagaimana kalau awak telefon saya di waktu lain sahaja? Saya agak sibuk sekarang ni,” sekali lagi Ameera Syuhadah cuba menekankan kesibukannya kala itu sambil cuba untuk mengelak dari memberikan jawapan kepada pelawaan lelaki itu sebentar tadi.
“Boleh, tapi awak kenalah bagi jawapan kepada pelawaan saya terlebih dahulu.” Desak Eddy Arif pula.
Ameera Syuhadah cuba mencari alasan. “Macam nilah, biar saya fikirkan dahulu. Awak telefon saya esok petang, selepas waktu pejabat, boleh?”
“Baiklah. Saya akan telefon lagi esok,” pantas Eddy Arif bersetuju dengan saranan Ameera Syuhadah. Dia dapat merasakan yang dia punya peluang untuk bertemu dengan gadis itu lagi.
‘Hm, macam mana ni? Apa aku nak buat? Aku nak pergi ke tidak?’ Ameera Syuhadah terus bersoal jawab dengan dirinya sendiri. Dia tidak sangka perkenalannya malam itu akan berlanjutan sehingga ke saat itu.


Eddy Arif menelefon lagi keesokan petangnya seperti yang dijanjikan. Kali ini Ameera Syuhadah lebih bersedia.
“Bagaimana Ameera, boleh kita berjumpa?”
“Di mana?”
“Awak ikut saya menemui beberapa orang pelanggan saya terlebih dahulu dan lepas tu saya akan bawa awak keluar makan.”
“Bila?”
“Hari Sabtu ini.”
“Pelanggan awak tak kesah ke kalau saya ada bersama dengan awak pada masa tu?” Tanya Ameera Syuhadah dengan rasa kurang senang.
“Mereka tak kesah, tapi kalau awak rasa tak selesa, awak duduk aje dalam kereta dan tunggu saya di situ. Saya berjumpa mereka tak lama, dalam sepuluh hingga ke dua puluh minit sahaja. Bagaimana?” Tanya Eddy Arif kembali untuk mengetahui pendapat Ameera Syuhadah pula.
“Kalau macam tu, baiklah. Saya setuju. Tapi di mana awak nak ambil saya nanti?” Akhirnya Ameera Syuhadah bersetuju untuk keluar menemui Eddy Arif. Sebenarnya hatinya turut meronta-ronta ingin bertemu dengan lelaki itu sekali lagi. Lain benar perasaannya kali ini.
“Awak tahu di mana letaknya Balai Polis?” suara Eddy Arif mematikan lamunan Ameera Syuhadah seketika tadi.
“Di sebelah Kompleks Teruntum.”
“Awak perasan tak dengan deretan kedai yang terletak bersebelahan dengan Balai Polis tu?”
Ameera Syuhadah cuba untuk mengingatinya. Cuba dibayangkan tempat yang dimaksudkan oleh Eddy Arif.
“Saya tahu. Kenapa?” Tanya Ameera Syuhadah kembali.
“Saya jemput awak di situ.”
“Pukul berapa?”
“Awak kerja ke hari Sabtu ni?”
“Tidak.”
“Kalau begitu, saya jemput awak di depan deretan kedai-kedai tu sekitar pukul 11 pagi,” ujar Eddy Arif sambil menetapkan masa pertemuan mereka.“Baiklah.” Setuju Ameera Syuhadah dengan hati yang sedikit berat. Walaupun dia ingin menatap wajah lelaki itu sekali lagi, entah kenapa hatinya agak keberatan untuk berbuat demikian. Tapi memandangkan dia baru sahaja bersetuju, cuba ditetapkan hatinya untuk mengotakan janji yang telah dibuatnya baru sebentar tadi.

SSR3

Jam di dinding baru sahaja menunjuk ke angka 10. Namun begitu telah beberapa kali Ameera Syuhadah cuba menahan dirinya dari menguap.
‘Hai, inilah akibatnya kalau tak cukup tidur,’ omelnya sendirian.
“Hai, Meera, dah beberapa kali akak tengok Meera menguap. Tak cukup tidur ke malam tadi?” Tegur Kak Hasnah sambil menghulurkan semug air Nescafe susu yang menjadi kegemaran Ameera Syuhadah. Telah menjadi tugasnya untuk membuat dan mengedarkan air minuman kepada kakitangan di syarikat itu. Telah beberapa kali dia lalu lalang di hadapan meja Ameera Syuhadah dan setiap kali itu juga dilihatnya gadis yang selalunya ceria itu bagaikan tidak bermaya. Mungkin juga dia tidak cukup tidur. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi kepada gadis itu.
“Bukannya tak cukup tidur, malah tak tidur pun,” jawab Ameera Syuhadah. Dia menepuk mukanya beberapa kali agar dapat menyegarkan mata dan dirinya yang keletihan itu.
“Hai, yang akak tahulah, kamu tu masih bujang, jadi takkanlah letih jaga anak ataupun bapak anak kot,” seloroh Kak Hasnah pula.
“Ala, letih melayan bakal bapak anak la kak,” seloroh Ameera Syuhadah kembali sambil tersengih. Dia sudah biasa bergurau dan bercerita dengan Kak Hasnah yang memang peramah dengan semua orang.
“Ha? Sejak bila tu?” Kak Hasnah terlongo. Dia kehairanan. Sebelum ini memang Ameera Syuhadah tidak pernah bercerita tentang sebarang lelaki dalam hidupnya kepadanya, tup-tup hari ni dia mengatakan begitu pula.
‘Biar betul…’ ucap Kak Hasnah di dalam hati.
“Sejak malam tadi.” Selamba Ameera Syuhadah menjawab. Sengaja mahu menimbulkan perasaan ingin tahu di dalam diri Kak Hasnah.
Dahi Kak Hasnah semakin berkerut. “Malam tadi? Kamu ke mana sebenarnya?” Tanya Kak Hasnah dengan perasaan semakin ingin tahu.
“Akak kan tahu hujung minggu lepas ni saya balik ke rumah Along saya di KL, kan?”
Kak Hasnah menganggukkan kepalanya. “Jadi, kamu sepatutnya balik dari KL malam tadi, kan?” Sekali lagi dahinya berkerut memikirkan sesuatu.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum. Pasti Kak Hasnah akan mengajukan soalan yang seterusnya.
“Habis tu bila masanya kamu berjumpa dengan bakal bapak anak kamu tu?” Kak Hasnah terus bertanya kerana dia tahu Ameera Syuhadah adalah gadis yang selalunya tidak menyimpang dari tujuannya bila melakukan sesuatu perkara.
“Malam tadi. Kat dalam bas.” Sekali lagi Ameera Syuhadah menjawab selamba.
“Dalam bas?” Tanya Kak Hasnah kembali bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.
Terkekek-kekek ketawa yang tercetus dari bibir Ameera Syuhadah. Terasa lucu dengan reaksi Kak Hasnah. “Yep.” Selamba dia menjawab dengan ketawa yang masih bersisa.
“Ameera Syuhadah, kalau nak mencari bakal bapak anak, bukannya kat dalam bas. Tu semua takkan kekal lama.” Kak Hasnah mula meluahkan nasihatnya kepada Ameera Syuhadah. Dia tidak senang dengan apa yang telah berlaku. Bagi Kak Hasnah, pertemuan di dalam bas ni tidak akan menjanjikan apa-apa kebahagiaan.
“Kenapa pulak kak?” Sengaja Ameera Syuhadah bertanyakan soalan itu untuk mengetahui alasan yang akan Kak Hasnah berikan. Kak Hasnah berumur lebih dari 50 tahun dan telah punya beberapa anak yang telah berkahwin. Pasti ada sebabnya dia berkata begitu.
“Meera, bercinta kat dalam bas tu, sebenarnya tak akan membuatkan kamu mengenali lelaki tu dengan baik. Kamu tidak akan mengenali siapa diri lelaki itu yang sebenarnya. Bila tiba di perhentian dan di hujung perjalanan, maka setakat itu sahajalah perkenalan kamu. Cinta kamu tu juga akan mati di situ juga. Cinta itu tidak akan ke mana. Cinta tu macam cinta Chipsmore, kejap ada, kejap lagi dah tak ada.” Nasihat Kak Hasnah kepada Ameera Syuhadah.
Ameera Syuhadah tertawa kecil. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Kak Hasnah. “Oi, cinta pun ada yang macam biskut, ye kak…” usiknya pula sambil terus tersenyum.
“Eiii, cinta ni macam-macam jenisnya, Meera. Ada yang macam biskut, ada yang macam monyet,” gurau Kak Hasnah kembali.
“Cinta yang macam monyet tu, cinta yang macam mana pulak, Kah Nah?”
“Cinta yang suka melompat-lompat dari seorang ke seorang yang lain, macam monyet tu…”
Ameera Syuhadah dan Kak Hasnah semakin galak ketawa. Lucu juga bila memikirkan yang manusia ni mempunyai bermacam-macam ragam dan perangai. Kerana kelainan yang ada pada diri setiap manusia ini jugalah yang menjadikan asam garam dan rempah ratus hidup di dunia ini.


Petang itu Zen menelefonnya di pejabat. Hampir sebulan lamanya sejak mereka menghubungi di antara satu sama lain. Zamzalina atau lebih dikenali hanya sebagai Zen di kalangan rakan-rakannya kini telah pun bekerja sementara di pejabat FAMA di Tangkak.
Ameera Syuhadah dan Zen telah lama berkawan. Mereka mula saling mengenali pada hari pertama persekolahan dan pendaftaran Tingkatan Satu di Sekolah Muzaffar Shah, Melaka. Hanya mereka berdua sahaja yang datang mendaftar di sekolah itu dengan memakai pakaian seragam untuk Keluar Bandar, iaitu sepasang baju kurung kuning air dan berkain biru tua bersama dengan kasut hitam. Pelajar-pelajar yang lain semuanya berpakaian rasmi sekolah iaitu baju putih dan berseluar biru tua atau berkain biru muda. Kerana kelainan itu, mereka telah menjadi begitu akrab. Mereka juga pernah beberapa kali bertandang ke rumah teman masing-masing. Hubungan mereka tidak pernah putus. Surat dan panggilan telefon mendekatkan lagi jarak waktu dan lokasi. Mereka tidak pernah berahsia. Setiap rasa hati selalu dibincangkan bersama.
“Kenapa dengan kau hari ni, Meera. Aku dengar macam tak bermaya aje?” Ngomel Zen pada temannya itu.
“Ala, aku ngantuklah. Malam tadi aku tak cukup tidur.” Jawab Ameera Syuhadah sambil cuba mengawal keletihannya. Dikalihkan pandangan matanya kepada jam di dinding. Nasib baik setengah jam lagi waktu pejabat akan berakhir. Bolehlah digantikan tidurnya bila balik ke rumah nanti.
“Kau balik dari rumah Along kau ke malam tadi?” Zen meneka. Dia sudah mahir dengan keadaan Ameera Syuhadah yang selalunya akan keletihan setiap kali balik dari rumah abang sulungnya itu. Dahlah dia letih melayan anak-anak buahnya, baliknya pula pasti dengan bas tengah malam.
“Haah.” Ameera Syuhadah menjawab sepatah.
“Kenapa kau tak tidur dalam bas?”
“Ala. Macam mana aku nak tidur, mamat yang duduk di sebelah aku tu ajak berborak.”
“Hensem ke mamat tu?”
“Bolehlah tahan.”
“Kau mengurat dia eh...” Zen mengusik.
“Mana ada. Dia yang ajak aku berborak.” Ameera Syuhadah menafikan sangkaan temannya itu.
“Kau berborak pasal apa sampai empat jam?”
“Zen, mamat tu kata dia adalah ahli perniagaan. Dia juga kelakar orangnya. Pada masa yang sama, dia tu agak loyar buruk. Mulanya memanglah aku ada beritahu yang aku ni nak tidur, tapi dia buat endah tak endah. Jadinya aku kena layan dia bercakap.”
“Ha, tulah kau. Siapa suruh layan. Sekarang ni kau juga yang terpaksa tanggung akibatnya…” bebel Zen kepada temannya itu.
“Yelah, yelah. Tak usahlah kau nak membebel pada aku pulak. Ha, kau ada hal ke telefon aku petang-petang macam ni?”
“Tak ada apa. Cuma aku dah rindu sangat pada kau yang comel tu. Bila kita nak jumpa, Meera?”
“Kau tak ada seru ke nak datang ke Kuantan ni?” Tanya Ameera Syuhadah kembali.
“Hei, kau pun tahu kan yang aku ni mana pernah menjejakkan kaki aku ke Kuantan tu. Takut aku nak ke sana sorang-sorang. Aku ni bukannya jenis kaki merayau macam kau, sampai rumah aku di Felda Air Kangkung pun kau boleh datang terjah sorang-sorang. Aku ni kena orang bawa dulu, barulah aku berani nak ke tempat tu kemudiannya….” Ngomel Zen selamba sambil memberikan alasan untuk tidak ke sana dalam waktu yang terdekat.
“Yelah, Zen, aku tahulah tu,” cepat-cepat Ameera Syuhadah memotong cakap Zen. Kalau dia tidak berbuat demikian, pasti Zen akan berterusan bersyarah dengannya. Memang patut pun dia begitu. Dia bercita-cita hendak menjadi seorang pendidik suatu hari nanti. Kerjanya di FAMA hanya sekadar untuk memenuhi masa sebelum dia dapat mengisi kekosongan yang diimpikannya itu.
“Macam nilah Zen, dua minggu lagi aku nak balik kampung, nak jumpa emak. Apa kata kita jumpa di Melaka aje pada masa tu?” Ameera Syuhadah akhirnya mengusulkan.
“Okey juga cadangan kau tu. Kita jumpa dua minggu lagi.”
“Nanti kau belanja, okey?” Sempat Ameera Syuhadah memberikan cadangannya.
““Yelah. Nanti aku belanjalah. Lagipun minggu depan aku dapat gaji. Kaulah orang pertama yang aku belanja selepas emak dan bapak aku, amacam?”
“Itu sudah kira sangat bagus. Dua minggu lagi…”
Setelah mencapai kata sepakat, akhirnya Ameera Syuhadah bersetuju untuk pergi menemui Zen di Perhentian Bas Melaka, di tempat biasa mereka bertemu beberapa kali sebelum ini.

SSR2

"Excuse me, boleh saya duduk di sini?”
Ameera Syuhadah membuka matanya. Di kalihkan pula pandangannya ke arah suara yang baru saja menegurnya itu. Di dalam kesuraman cahaya di dalam bas itu, yang kelihatan hanyalah susuk tubuh seorang lelaki. Dia yang membelakangkan cahaya yang agak suram itu, tidak dapat diketahui bagaimana rupanya. Yang Ameera Syuhadah tahu, lelaki itu punya suara yang begitu gemeresik. Sedap suaranya dan sedikit menggoda.
Walaupun kelihatannya lelaki itu cuba bersikap sopan, tetapi entah kenapa, perasaan Ameera Syuhadah dilanda perasaan yang tidak begitu menyenangkan. Takut juga sekiranya lelaki itu jenis yang miang orangnya. Namun dia cuba untuk menepis apa yang dia rasa ketika itu.
Ameera Syuhadah bangkit, bergerak ke sisi tempat duduknya dan melangkah setapak ke belakang untuk memberikan laluan. Disuakan sedikit tangannya, memberi isyarat agar lelaki itu mengambil tempat duduk di sisinya.
Tanpa lengah, lelaki itu terus menghenyakkan tubuhnya ke kerusi di sebelah Ameera Syuhadah. Serentak melabuhkan tubuhnya ke kerusi, sempat Ameera Syuhadah menjeling memandang ke arah susuk tubuh itu. Lelaki itu agak tinggi. Dengan berbalutkan baju sejuk yang berkait, tubuhnya juga kelihatan sasa.
Bas mula bergerak meninggalkan Perhentian Bas Putra. Di kalih seketika pandangannya keluar tingkap tanpa mempedulikan lelaki di sebelahnya itu. Malam yang gelap tanpa cahaya, namun sesekali kelihatan bintang bersinar di dada langit. Teringat pula dia kepada lagu nyanyian P. Ramlee dalam filem Anakku Sazali.
Tanya sama pokok, apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok, angin yang goncang….
Bersama dengan irama yang sedang bermain di kepalanya, Ameera Syuhadah menyelesakan dirinya untuk kembali menyambung tidur yang terganggu sebentar tadi. Namun, baru dia berura-ura hendak melelapkan matanya, dia ditegur sekali lagi oleh jiran barunya.
“Hendak ke mana?”
“Bas ni bas apa?” Selamba Ameera menyoal kembali. Timbul juga geram di hatinya kerana tidurnya hendak diganggu. Apatah lagi, malam ini dia tiada hati untuk berbual dengan sesiapa. Badan dan matanya yang keletihan meminta supaya dia lebih mengutamakan tidur dari melayan sesiapa jua pada saat ini.
“Bas Ekspres.”
“Bas ni menuju ke mana?”
“Ke Kuantan.”
“Hem, sudah gaharu cendana kerisi, sudah tahu bertanya lagi?” Tempelak Ameera Syuhadah tanpa segan silu.
“Eh, peribahasa baru ke?” Selamba lelaki itu menyindir Ameera Syuhadah di atas penggunaan peribahasa yang digunakannya sebentar tadi.
Walaupun tidak kelihatan raut wajahnya itu, Ameera Syuhadah pasti lelaki itu sudah tersengih. Nada suaranya yang berbaur gurauan menyarankan demikian.
“Kenapa, salah ke?”
“Tak salah, tapi macam dalam drama.”
“Hidup ni kan memang sebuah drama. Drama kehidupan. Sebuah realiti. Yang kat TV tu hanyalah sebahagian darinya yang dipersembahkan kembali untuk tontonan umum, sama ada untuk dijadikan sempadan, ataupun tauladan.” Ameera Syuhadah membidas sambil mengeluarkan hujahnya yang panjang meleret. Tanpa di sedarinya, lelaki di sebelahnya sudah tersenyum meleret.
“Memang betul seperti kata awak tu. Cik ke puan ni?” Selamba sahaja lelaki itu menyelitkan pertanyaan tentang status diri Ameera Syuhadah. Dia sendiri terasa seronok bertikam lidah dengan gadis di sebelahnya itu. Mungkin juga dia seorang pelajar memandangkan Kuantan adalah salah sebuah negeri yang menempatkan ramai pelajar sama ada di cawangan-cawangan universiti ataupun kolej-kolej.
“Kenapa nak tahu?”
“Saja nak tahu. Sekurang-kurangnya saya tahu serba sedikit mengenai diri teman saya berbual.”
“Kalau kita tak berbual, boleh tak?”
“Kalau kita berbual, bagaimana?” Tukas lelaki itu pula.
Hati Ameera Syuhadah semakin geram. Dirasakan lelaki di sebelahnya itu seorang yang sedikit degil.
“Untuk apa?”
“Saja. Saya tak mengantuk, jadi awak temankanlah saya berbual di sepanjang perjalanan kita ni.”
“Tapi, saya yang mengantuk. Saya nak tidur.” Tekan Ameera Syuhadah pula. Malas dia melayan lelaki itu berbual hanya kerana dia yang tidak mengantuk.
“Awak tak kasihankan saya ke?”
Suara lelaki itu kedengaran seperti sedang merayu kepadanya. Kepala lelaki itu pula menoleh memandang-nya. Namun Ameera Syuhadah buat-buat tidak faham dengan rayuan lelaki yang semakin kurang menyenangkan hatinya itu.
“Awak tak kasihankan saya ke?” tanya lelaki itu sekali lagi bila pertanyaannya tidak diendahkan oleh Ameera Syuhadah.
“Siapa awak un….”
“Saya Eddy Arif.“ Belum sempat Ameera Syuhadah menyambung kata-katanya, pantas lelaki itu memperke-nalkan dirinya.
Ameera Syuhadah menghadiahkan jelingan tajam ke arah lelaki itu. Pasti lelaki itu tidak nampak akan jelingan matanya, tapi Ameera Syuhadah tidak peduli.
“Awak tak percaya?” Tanya lelaki itu bila Ameera Syuhadah masih mendiamkan dirinya.
“Percaya tentang apa?” Akhirnya Ameera Syuhadah membuka mulutnya bila lelaki itu masih menanti jawapannya.
“Percayakan bahawa itu nama saya?”
Ameera Syuhadah hanya menjongketkan bahunya. Di perhatinya dengan ekor matanya gerak geri lelaki itu bangun dan mengambil sesuatu dari poket seluarnya.
“Nah.” Dia menghulurkan sesuatu. Ameera Syuhadah memandangkan ke arahnya. Sekeping kad yang mungkin berwarna putih sedang disuakan ke mukanya. Terpaksa Ameera Syuhadah mengambil kad yang dihulurkan itu.
Ameera Syuhadah mahu menyimpan sahaja kad yang diberikan, tapi tidak semena-mena, cahaya dari telefon bimbit lelaki itu menerangi suasana. Disuakannya ke arah kad yang sedang dipegang oleh Ameera Syuhadah.
Eddy Arif Effendi.
Pengarah Urusan.
Ameera Syuhadah melihat kembali kepada kad di tangan. Hem, seorang pengarah urusan yang menaiki sebuah bas untuk berulang alik ke Kuantan dan Kuala Lumpur.
Ada ke orang seperti itu? Hati Ameera Syuhadah tertanya-tanya kerana dia sedar yang kebanyakan manusia ni lebih suka menunjuk-nunjuk, apatah lagi bila bergelar Pengarah Urusan sesebuah syarikat.
“Awak buat apa di KL ni?” Tanpa sedar, soalan itu pula yang tercetus dari mulut Ameera Syuhadah.
“Mencari peluang perniagaan. Takkan saya nak cari peluang perniagaan hanya di Kuantan. Bukankah KL lebih menjanjikan peluang yang lebih besar.”
“Kenapa naik bas? Kenapa tak naik kereta sahaja?”
“Kenapa tidak bas? Kenapa perlu berkereta?” Soal Eddy Arif semula.
“Bukankah lebih senang berkereta, lebih mudah untuk awak bergerak ke sana ke mari untuk mencari peluang perniagaan tersebut?” soal Ameera Syuhadah kembali.
“Dengan menaiki bas antara KL dan Kuantan, saya tidak perlu memenatkan diri saya memandu. Di KL pula, banyak teksi yang boleh saya naiki untuk saya ke sana ke mari. Tak perlu membuang masa mencari parking dan juga membuang duit membayar duit parking yang terlalu mahal di bandar raya ni. Lagipun, saya bukannya mempunyai perniagaan jutaan ringgit, cukup sekadar untuk berdiri tegak dan masih perlu bertatih lagi.” Terang lelaki itu dengan panjang lebar.
‘Hem, boleh diterima akal juga kata-kata lelaki ni,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah pula.
“Sekali lagi saya ingin bertanya. Awak dah berkahwin, bertunang?” Lelaki itu kembali mengajukan pertanyaan.
Ameera Syuhadah hanya menggelengkan kepalanya perlahan. Tersirna kekeliruan dari anak matanya, namun sudah pasti lelaki itu tidak akan menyedarinya.
‘Hish, kenapa mamat sorang ni beria-ia nak tahu fasal status perkahwinan aku?’ Getus hati kecilnya..
“Bagus.”
“Kenapa? Awak rasa ada tindak balas kimia ataupun rapor ke di antara kita?” Sindir Ameera Syuhadah yang semakin terasa lucu dengan situasi yang sedang dihadapi-nya kini.
“Bukan begitu. Saya tidak mahu nanti dikatakan mengganggu isteri atau pun tunangan orang, apatah lagi jika orang itu mungkin juga berada di dalam bas ini.” Terang Eddy Arif selamba. Diperhatikan pula sekelilingnya, mungkin ingin memastikan keadaan sekelilingnya selamat sebelum dia menyambung bicara.
“Boleh kita berbual?” Tanyanya lagi.
“Am I likely to find you interesting?”
“Yes.”
Kali ini kening Ameera Syuhadah terangkat dengan keyakinan yang dilampiaskan oleh lelaki itu. Namun tersemat juga rasa suka dengan sikap lelaki itu yang sedikit berterus terang dan yakin akan dirinya itu.
“Such modesty.” Sindirnya kembali. Sengaja mahu menduga sejauh mana keyakinan yang ada pada lelaki itu.
“Cik adik, awak patut tahu yang false modesty tu tidak akan membawa awak ke mana-mana.” Tukas lelaki itu pula.
“Memang betul. Tapi pada masa yang sama, bila kita ada sikap rendah diri ni, ia akan menjadikan kita lebih dihormati. Awak tak terasa ke yang keyakinan yang awak katakan itu boleh memakan diri awak sendiri?”
“Keyakinan perlu ada, terutama bila kita berniaga. Macam mana orang nak yakin dengan kita sekiranya kita tidak yakin pada diri kita sendiri. Sifat tidak yakin itu sebenarnya akan terserlah semasa kita berurusan dengan pelanggan kita. Betul tak apa yang saya katakan ni?”
Ameera Syuhadah mengangguk, mengakui kebenaran kata-kata lelaki itu. Dia juga banyak berurusan dengan pelanggan, jadi dia tahu apa yang lelaki itu perkatakan.
Mereka terus berbual kosong. Pengetahuan lelaki itu agak luas, jadi banyak topik yang telah disentuh dan dibincangkan. Terasa seronok dan terus hilang rasa mengantuknya. Lelaki itu juga agak lucu orangnya. Sesekali tercetus tawa yang cuba dikawal dari meledak. Takut mengganggu penumpang yang lain. Tanpa sedar, mereka telah tiba di pertengahan perjalanan.
Bas Ekspres Transnasional itu berhenti rehat di Restoran Delima di Temerloh. Lampu di dalam bas juga telah dipasangkan. Penumpang telah mula bangun dan turun untuk merenggangkan badan dan menikmati juadah yang ada dijual. Mungkin mereka sudah kelaparan. Maklumlah, bila berada di dalam bas yang bergerak, suhu yang sejuk juga menjadikan perut yang pada mulanya kenyang, lapar semula. Seolah-olah berada di dalam gim selama 2 jam layaknya.
“Awak tak nak turun ke? Jomlah, saya belanja awak minum ke, makan ke?” Eddy Arif mempelawa Ameera Syuhadah untuk turut sama berhenti rehat di restoran berkenaan. Dia telah pun berdiri sambil memandang ke arah Ameera Syuhadah yang masih berfikir sama ada hendak turun ataupun tidak.
“Tak apalah, awak turun dulu, saya tak pasti lagi.” Ameera Syuhadah menolak ajakan itu dengan lembut. Dia malas mahu turun sebenarnya. Perutnya tidak lapar dan air minuman juga ada dibawa dari rumah abangnya tadi.
Akhirnya lelaki itu terpaksa juga melangkah pergi dan meninggalkan Ameera Syuhadah yang masih melekat di kerusinya itu.
Ameera Syuhadah memandang ke arah lelaki yang sedang melangkah pergi. Jelas kelihatan raut wajah lelaki itu di matanya. Kacak dan tampan. Segak bergaya. Tinggi orangnya. Rambutnya rapi tersisir dan kumis nipis melengkapkan lagi penampilan dirinya.
‘Em, boleh tahan jugak hensemnya tu,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah. Dia tersenyum sinis, menyindir diri sendiri yang mudah berkenan dan jatuh hati kepada lelaki kacak. Tapi dia juga sedar, hatinya akan lebih tertarik kepada lelaki yang mempunyai penampilan ala-ala lanun yang kerap menjadi hero di dalam filem-filem Hollywood. Wajah-wajah Richard Dean Anderson dalam siri MacGyver dan juga Kevin Sorbo yang nakal dalam siri Hercules bersilih ganti di ruang matanya. Bukan kekacakan wajah yang menjadi tarikannya, tapi watak-watak mereka yang lebih memikat hatinya.
Ameera Syuhadah menjongket bahunya. Entahlah, mungkin satu hari nanti dia akan bertemu juga dengan lelaki sebegini, dia mengeluh sendiri. Namun dia juga berdoa di dalam hatinya agar kehadiran lelaki itu akan hanya berlaku setelah impiannya tercapai.
Ameera Syuhadah berdiri beberapa minit di dalam bas itu untuk meregangkan badannya yang ketegangan. Sepatutnya dia tidur di dalam perjalanan tadi, tapi nampak gayanya dia terpaksa berjaga sehingga tiba ke destinasinya.
Ameera Syuhadah akui, walaupun sebentar tadi tidurnya terganggu, namun perbualannya dengan Eddy Arif agak menarik. Banyak juga yang dipelajari dari Eddy Arif.
Setelah perjalanan diteruskan, mereka berbual lagi. Akhirnya apabila bas sampai ke Taman Guru, Ameera Syuhadah membunyikan loceng. Eddy Arif memerhatikan sahaja dia melangkah turun. Sebaik bas bergerak, dia melambaikan tangannya kepada Ameera Syuhadah. Ameera Syuhadah membalas lambaian itu. Timbul juga rasa ingin tahu di hatinya. Apakah Eddy Arif akan menghubunginya kelak? Dia tidak pasti, tapi nombor telefon pejabatnya telah pun diberikan kepada Eddy Arif tadi. Ameera Syuhadah tidak kesah. Sekiranya Eddy Arif mahu terus berkawan dengannya, dia tidak akan menolak. Diakuinya yang sedikit sebanyak hatinya telah pun tertarik kepada pemuda itu!

SSR1

Mac 1997.
Suasana di Hentian Bas Pekeliling agak sunyi. Cahaya yang memancar di situ tidak seterang mana. Di dalam kekelaman malam itu, masih kelihatan beberapa kelompok manusia lain di dalam situasi yang sama dengan Ameera Syuhadah. Mungkin mereka juga sedang menanti kehadiran bas yang akan membawa mereka ke Kuantan, Pahang.
Ameera Syuhadah tenang di bahagian tempat duduk belakang di dalam kereta Azmeer, abang sulungnya. Di kalih pula pandangan matanya ke arah jam di tangan. Masih ada sepuluh minit sebelum waktu untuk berangkat.
Azmeer dan isterinya Nadia memerhatikan sahaja gerak geri Ameera Syuhadah yang sedang mengambil tiket bas dari kocek bahagian dalam beg sandangnya itu.
“Jaga diri Angah baik-baik. Dah tengah-tengah malam ni, jangan dok tegur orang-orang kat sekeliling tu. Lelaki kat KL ni, bukannya boleh percaya sangat, nampak aje baik tapi ramai yang buaya, lebih suka mengambil kesempatan ke atas anak-anak dara macam kamu tu…” Beria-ia Azmeer berpesan kepada Ameera Syuhadah.
Walaupun itulah nasihat Alongnya setiap kali dia berpergian, Ameera Syuhadah tetap akur mendengar. Dia tahu betapa abang sulungnya itu sayangkan dirinya.
“Nanti, bila dah tiba di Kuantan, telefon Along,” pesan Azmeer lagi.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. “Yelah Along, Angah tahulah nanti. Bila tiba aje di rumah, nanti Angah call, Angah janji.” Janji Ameera Syuhadah untuk menenangkan hati abangnya.
Ameera Syuhadah tahu betapa abangnya yang seorang itu amat gusarkan keselamatan dirinya. Dia akan menanti panggilan dari Ameera Syuhadah, memastikan yang dia telah selamat sampai ke destinasinya, walaupun kala itu jam telah menunjukkan angka pukul 5 pagi.
“Hati-hati bila dah tiba di Kuantan nanti,” pesan Azmeer sekali lagi. Dia nyata agak berat hati untuk melepaskan Ameera Syuhadah pergi dengan menaiki bas TransNasional di waktu tengah malam begini.
Azmeer akui adiknya itu memang gadis yang pandai menjaga diri, namun nalurinya sebagai seorang abang yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap perjalanan hidup adiknya yang seorang itu membuatkan dirinya sentiasa tidak senang bila adiknya dibiarkan pulang sendirian ke Kuantan. Jika tidak kerana esok dia ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri, pastinya dia akan menghantar adiknya pulang ke sana. Dialah satu-satunya adik perempuannya. Dialah racun dan dialah juga penawar di dalam keluarganya. Walaupun dia sendiri telah beristeri dan berkeluarga, namun kasih sayangnya terhadap adiknya yang seorang itu tidak pernah pudar.
Azmeer sedar, setelah ayah mereka meninggal dunia di dalam satu kemalangan yang meragut nyawanya beberapa tahun yang lepas, kini dialah pengganti ayahnya. Dia yang perlu menjaga adik-adiknya, Ameera Syuhadah dan juga Azmil. Diakuinya juga yang adiknya yang seorang ini memang manja. Namun begitu dia juga nakal tetapi tegas dan berani menghadapi segala kesedihan dan dugaan di dalam perjalanan hidupnya.
Ameera Syuhadah hanya mampu tersengih. Pesanan itu memang kerap di dengarnya. Alongnya pasti berpesan sebegitu setiap kali dia hendak melepaskan Ameera Syuhadah pergi ke mana-mana walaupun dia tahu bahawa adiknya ini memang boleh berdikari dan lebih senang ke sana ke mari tanpa dia menemaninya. Bukan sekali itu Ameera Syuhadah dibenarkan pulang sendirian ke Kuantan, tapi sudah berulang kali.
Bas yang akan ke Kuantan telah pun menghampiri. Bergegas Ameera Syuhadah mencapai beg sandangnya itu dan melangkah keluar. Kedua abang dan kakak iparnya turut sama keluar dari perut kereta. Ameera Syuhadah berjalan menghampiri keduanya. Tangannya disuakan untuk bersalam sebelum dia meninggalkan mereka.
“Along, Angah pergi dulu. Kak Long, jangan lupa tolong hantarkan baju Angah tu pada Makcik Sapura ye, nanti baju tu Angah nak pakai masa jamuan makan malam yang dianjurkan oleh syarikat Angah tu nanti.” Sempat Ameera Syuhadah berpesan kepada kakak iparnya itu agar tidak lupa untuk menghantar kain untuk dijahit oleh Makcik Sapura, tukang jahit yang biasa mengambil tempahan baju dari mereka.
“Yelah, Kak Long tak lupa, tapi kalau nak pastikan lagi, nanti telefon dan ingatkan Kak Long. Boleh?”
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. “Okey, sa....yang akak…” jawabnya Ameera Syuhadah sambil memeluk kakak iparnya dengan manja.
Nadia membalas pelukan adik iparnya. Dia senang dengan sifat Ameera Syuhadah yang manja itu. Terasa juga yang dirinya dihargai. Sikap adik iparnya yang suka berterus terang dan lebih terbuka telah memudahkan mereka lebih banyak bercerita dan menjadikan hubungan mereka begitu rapat. Sikap Ameera Syuhadah jelas sungguh berbeza sekali dengan sikap adik-adiknya sendiri yang kurang mesra sesama mereka.
Seketika Ameera Syuhadah memerhati keadaan sekitarnya. Kalau tadi kurang kelihatan penumpang yang akan menaiki bas itu, tapi sebaik bas datang menghampiri, agak ramai juga orang yang telah berkumpul dan bersedia untuk menaiki bas tersebut.
‘Hem… nampaknya, malam ini bas mesti penuh. Maklumlah sekarang ni kan awal bulan, mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk menziarahi sanak saudara dan sahabat handai. Tidak kurang juga yang balik dari membeli belah di Kuala Lumpur ni. Lagi pun sekarang ni jugak tengah musim Mega Sale, pasti ramai yang mengambil kesempatan ini untuk membeli belah di Kuala Lumpur yang menawarkan lebih banyak pilihan dengan adanya kompleks membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga Bukit Bintang.’ Omel Ameera Syuhadah sendirian.
‘Aku harap penumpang kat sebelah aku malam ini bukanlah jenis tangan sotong.’ Gumam Ameera Syuhadah. Dia bungkam memikirkan kemungkinan itu. Teringat kembali peristiwa di mana dia pernah diraba oleh penumpang yang duduk di sebelahnya. Nasib baik juga kejadian itu hanya berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya dengan menaiki bas mini. Dia tetap bersyukur kerana kejadian seperti itu belum pernah dialaminya semasa menaiki bas ekspres sebegini. Dan dia tetap berdoa yang kejadian yang sama tidak akan dialaminya lagi.

Bas mula bergerak dari Perhentian Bas Jalan Pekeliling menuju ke arah Perhentian Bas Putra. Seperti biasa, sebaik sahaja bas bergerak, kepala Ameera Syuhadah akan mula terlentok. Dia mula tidur-tidur ayam. Baru hendak terlena, bas telah pun tiba ke destinasi seterusnya. Beberapa orang penumpang baru sudah mula menapak naik ke dalam perut bas. Ameera Syuhadah cuba untuk tidak mengendah-kan kehadiran mereka walaupun dia tahu, pasti salah seorang dari mereka itu akan duduk di sebelahnya yang masih kosong. Namun timbul juga harapan di hatinya. Dia berharap jirannya itu adalah seorang wanita. Jadi dia tidak perlu risau di sepanjang perjalanan itu. Dia cuba untuk tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya sehinggalah satu suara menegurnya.

SPC20

Cahaya bulan yang penuh itu dipantulkan oleh air kolam yang tenang berkocak. Mungkin Durra menggunakannya setiap hari sebagai aktiviti senamannya. Timbul pula satu lagi persoalan, apakah yang dipakai Durra ketika berenang?
Eh ke situ pula fikirnya, Fandi memarahi dirinya yang mula menyimpang dan berfikir yang bukan-bukan.
Fandi melabuhkan dirinya ke salah sebuah kerusi yang ada di meja itu sambil menunggu kemunculan Ilia. Sekali lagi timbul keraguan di hatinya.
Malam ini Durra menampilkan satu lagi watak baru kepadanya. Siapa sebenarnya wanita ini, fikirnya lagi. Betul ke wanita ini boleh memasak?
Memandangkan Ilia tiada di situ, Fandi memasukkan jari telunjuk kanannya ke dalam masakan ketam itu dan di masukkan jarinya yang bersisa masakan itu ke lidahnya untuk merasa.
“Hem, boleh tahan juga sedapnya.” Dia memuji sambil menjilat bibirnya. Baru hendak merasa masakan udang pula, kelibat Ilia telah pun kelihatan dari sebalik pokok ru tersebut.
“Maaf, lambat sikit.” Ujar Ilia sambil meletakkan dulang berisi minuman di atas meja. Apronnya telah pun ditanggalkan di dapur tadi.
“Tak apa. Lagipun, kalau saya rasa bosan, boleh juga terjun kat dalam kolam tu…” seloroh Fandi sambil tersenyum.
“Pandai berenang?”
“Kalau setakat nak mengalahkan awak, Durra, mungkin boleh.”
“Itu sudah pasti.”
“Kenapa?”
“Sehingga sekarang ni pun saya masih merangkak di dalam kolam renang ni. Saya hanya boleh jadi juara jika lawan saya adalah kanak-kanak kecil yang lain yang tak pernah berenang sebelum itu…” terang Ilia selamba.
“Betul?” tanya Fandi hampir tidak percaya.
Ilia tersengih sambil menganggukkan kepalanya. Fandi kehairanan lalu menunjuk ke arah kolam renang itu dengan penuh tanda tanya.
“Selalunya kolam ini tidak berisi. Dibiarkan kosong sehingga benar-benar perlu berbuat sebaliknya. Seperti hujung minggu ini. Kolam ini akan dipenuhkan untuk tetamu-tetamu kecil saya yang akan datang berkunjung.”
“Siapa?”
“Awak betul-betul nak tahu?”
Fandi menganggukkan kepalanya.
“Anak Kak Munirah yang kedua akan menyambut ulang tahunnya yang ke sebelas pada hari Sabtu ini. Seperti biasa, kami akan meraikannya di sini sahaja. Tak perlu pergi jauh, kami akan berkelah dari pagi hingga ke petang sambil bermandi manda. Lebih selesa dan tak perlu bersusah payah dan keselamatan juga lebih terjamin.”
“Dah lama ke buat begini?”
“Sejak dua tahun yang lepas.”
“Habis tu, awak pun turut sama menyertai perkelahan tu, Durra?”
“Mestilah, sebab saya sponsor mereka, takkanlah saya tak join sekali. Lagipun, kalau saya tak ada, mesti tak meriah.”
“Kenapa pulak?”
“Saya kan penyeri majlis” selamba Ilia berseloroh sambil menyuap makanan ke mulutnya.
Fandi juga turut tersengih mendengar celoteh Ilia yang tampak lebih relaks pada malam itu. Dia terasa lebih seronok memandangkan Ilia lebih santai dan tidak menunjukkan aksi-aksi menggodanya seperti selalu.
“Oh ye, siapa Kak Munirah tu?” tiba-tiba Fandi teringat akan nama yang telah disebut oleh Ilia sebentar tadi.
“Dia pembantu rumah saya.”
“Hm. Mana dia? Tak nampak pun kelibat dia sejak saya datang tadi.”
“Dia dah balik.”
“Ha, dah balik? Habis tu siapa yang ada lagi di rumah ni ketika ni?” Fandi mula terasa kurang senang. Makanan yang sedang disuapnya itu telah mula kurang enak. Perutnya kenyang tiba-tiba.
“Just you and me…” Jawab Ilia selamba sambil memegang gelas minuman dan disuakan ke arah Fandi sambil senyum menggoda. Dia sedar keresahan yang telah mula terbit dari Fandi dengan pengakuannya itu. Dia juga tahu sebabnya.
Fandi terkedu. Baru dia hendak menenangkan perasaannya, namun ini pula yang berlaku.
“Fandi, don’t worry. Tak ada penguat kuasa agama yang akan rush kita malam ni. We won’t be disturbed. Pak guard kan ada di luar tu. And if anything, saya kan dah janji yang saya akan behave malam ni.…”
Lembut Ilia memujuk Fandi yang dia tahu tidak senang dengan keadaan yang baru diketahuinya tika itu. Dia sedar yang Fandi adalah berlainan dengan lelaki yang lain.
Lelaki lain pasti akan mengambil kesempatan itu untuk mula memainkan jarum masing-masing. Tapi bila bersama Fandi, dialah yang selalunya memainkan peranan itu. Itulah yang menyebabkan dia semakin menyenangi Fandi.
Sebenarnya Ilia sendiri telah berjanji kepada dirinya sendiri untuk berkelakuan seperti biasa. Dia ingin menonjolkan ciri-ciri dirinya yang sebenar kepada Fandi.
Biarlah Fandi tahu siapa dirinya. Tidak perlu dia berpura-pura. Penat rasanya untuk dia meneruskan lakonannya itu. Dia sedar bahawa itu bukan umpannya untuk memancing Fandi. Mungkin cara ini lebih berkesan. Itulah harapannya kini.
“Fandi, makanlah. Jangan malu-malu. Jangan tak sudi. Penat tahu saya memasak semua ini untuk awak…” Selamba Ilia mengaku dalam usahanya untuk memujuk Fandi yang telah berhenti makan.
Hakikatnya dia hanya membantu Kak Munirah untuk menyediakan hidangan malam ini. Selain itu, tugasnya adalah memanaskan sahaja semua masakan itu di dalam microwave seperti kebiasaannya.
“Betul ke awak yang masak semua ni?” Usik Fandi sambil menyambung suapannya. Timbul pula kasihan di hatinya untuk meninggalkan wanita itu ketika ini. Rezeki sudah ada di depan mata. Biarlah dia menunggu sehingga semuanya selesai.
“Kenapa? Tak percaya?” Manis senyuman yang dilemparkan Ilia kepada Fandi. Dia senang kerana Fandi telah mula menyuap semula.
“Pandai awak memasak…” Puji Fandi jujur. Lauk pauk di hadapannya itu memang sedap dan lazat, kena dengan seleranya. Tidak kisahlah siapa juga yang memasaknya.
“Terima kasih…” Sambut Ilia dengan senyuman yang masih tersimpul. Sempat dia mengingatkan dirinya untuk menyampaikan pujian itu kepada Kak Munirah yang lebih berhak menerimanya.
Walaupun pada mulanya ingin sahaja dia mengaku kepada Fandi yang semua ini adalah disediakan oleh Kak Munirah, tapi dipendamkan sahaja hasrat itu.
Hatinya memujuk supaya dia berahsia untuk sementara. Takkanlah hendak dibiarkan sahaja rancangan yang telah diatur itu punah begitu sahaja. Dia mesti mempamerkan kepada Fandi bahawa dia juga layak menjadi calon suri rumah yang baik buat Fandi. Mungkin Fandi akan terpikat dengannya nanti.

SPC19

Fandi memandu masuk ke perkarangan rumah Ilia. Jam di dashboard menunjukkan waktu hampir mencecah sembilan malam. Suasana sunyi menyelubungi. Tiada tetamu lain di situ. Pasti hanya akan ada mereka berdua sahaja di dalam jamuan itu. Sahlah dia yang keliru.
Dia sepatutnya tidak datang pada malam itu. Dia sepatutnya jangan datang, fikir Fandi.
Ini memang kerja gila. Dia tidak patut rasa tercabar dengan dakwaan Ilia tempo hari. Dia bukannya penakut, tapi cuba untuk mengelakkan dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Fandi menggelengkan kepalanya. Pasti umminya akan memarahinya sekiranya ummi tahu di mana dia malam ini. Keluar makan malam di rumah seorang janda.
Walaupun akalnya mengatakan begitu, namun hatinya asyik membisikkan yang sebaliknya. Hatinya sering berkata bahawa tidak salah dia di situ malam itu. Mereka bukannya berdua kerana pembantu rumahnya pasti ada bersama. Pasti pembantu rumah Datin Ilia yang akan menghidangkan hidangan makan malam itu nanti.


SEBENARNYA petang tadi dia ada menelefon ke pejabat Ilia. Tujuannya cuma satu. Ingin dibatalkan sahaja pertemuan mereka malam nanti. Tetapi pembantu peribadi Durra, Diana, pula memberitahu yang Durra telah pulang awal.
“Minta maaf Encik Umar. Datin dah balik. Setahu saya dia kena memasak untuk jamuan makan malam ni.” Selamba Diana memberitahu. Mungkin juga Diana tahu agenda Ilia malam itu.
Terbit kekeliruan di hati Fandi. Takkanlah kerana hendak menyediakan hidangan makan malam itu nanti, Durra perlu pulang lebih awal? Dititip jam di tangan. Baru sahaja menunjukkan pukul 3 petang. Lagipun berapa jam yang diperlukan untuk menyediakan makan malam untuk mereka berdua?
Baru dia teringat kata-kata Diana sebentar tadi. Mungkin Durra sebenarnya akan mengadakan jamuan makan malam dan pasti dia telah menjemput beberapa orang lain bersama.
“Betul ke dia yang memasak?” Tanpa sedar, soalan itu telah tercetus dari mulutnya bersama kekeliruan yang dirasainya.
Ketawa besar Diana bila mendengarkan kekeliruan yang dihadapi oleh Fandi, namun tidak diberikan sebarang bentuk komen di atas kekeliruan itu.
“Er…Diana, boleh berikan saya nombor telefon bimbit Datin?”
Pasti dia nak tolak ajakan Datin, getus hati kecil Diana. “Tak ada.” Pendek sahaja jawapannya memberi alasan.
“Er… nombor telefon rumahnya?”
“Encik Umar boleh tanya daripada Datin malam ni.” Malas Diana mahu terus melayan permintaan dari Fandi. Mahu sahaja dia meletakkan telefon itu, tapi nanti akan dikatakan yang dia tidak beradab pula nanti.
Fandi sedar keengganan Diana untuk memberikan maklumat yang dikehendakinya itu. Lalu, tanpa banyak membazirkan masa, dia mengucapkan terima kasih sahaja lalu memutuskan talian itu.


KERANA tiada pilihan lain, maka Fandi terpaksa juga menghadirkan dirinya di situ. Walaupun dia telah berada di situ, namun hati dan akalnya masih berdolak-dalik antara satu sama lain.
Hatinya meminta agar dia meneruskan sahaja dengan temu janji itu.
Akalnya pula meminta supaya dia memberitahu sahaja Durra yang dia terpaksa membatalkan temu janji itu dan kemudiannya pulang sahaja ke rumahnya.
Fandi memandang ke pintu besar di hadapannya. Rumah itu terlalu besar buat seorang wanita comel seperti Durra untuk menginap di dalamnya. Pasti dia kesunyian. Rasa kasihan bertapak di hati Fandi.
Diangkatnya tangan untuk mengetuk pintu. Belum sempat tangannya mengena daun pintu, pintu itu telah dibuka dari dalam.
Hampir ternganga mulut Fandi melihat penampilan Durra pada malam ini. Terlalu berbeza daripada selalunya. Sepasang apron bercorak bunga melindungi sepasang kebarung kuning keemasan. Dia hanya berkaki ayam, selayaknya bila berada di rumah orang Melayu. Rambutnya juga sedikit tidak terurus.
Memandangkan Fandi berterusan merenungnya, Ilia menghela nafas panjang dan menghembusnya keluar. Timbul rasa tidak senang tiba-tiba.
“Awak lambat.” Dia menegur.
Fandi mengetap mulutnya. “Awak okey ke?”
Berkerut dahi Ilia mendengar pertanyaan itu. “Saya okey. Kenapa? Saya nampak tak okey ke?”
“Frankly, saya pun tak pasti.”
Memang benar. Fandi sendiri pun tidak pasti apa sebenar maksud kata-katanya tadi. Dia sendiri keliru dengan apa yang dilihatnya. Agak sukar untuk menjelaskan apa yang tersirat di dalam kepalanya.
Wanita di hadapannya jelas berlainan dari yang ditemuinya sebelum ini. Wanita itu adalah seorang wanita korporat dan juga seorang wanita penggoda. Malam ini dia tampak lebih bersifat ketimuran. Lebih bersopan. Lebih keibuan.
“Awak nampak macam kelam kabut aje.” Akhirnya Fandi bersuara.
“Don’t worry. Everything is under control. Jemputlah masuk!” ajak Ilia pula. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang dan mempamit Fandi untuk melangkah masuk ke dalam.
Tanpa banyak cerita, Fandi menurut. Dia melihat sekeliling sementara menantikan Ilia menutup daun pintu.
Terbit rasa kagum di hati Fandi. Ruang utama itu memang tersergam indah. Marmar yang menghiasi lantai bercorak kontemporari.
Dinding ruang itu pula terbuka hingga ke siling di tingkat kedua. Sebuah lampu candelier yang agak besar tergantung dari siling itu dan menerangi ruang utama. Terdapat anak tangga dari kiri dan kanan sudut menuju ke balkoni terbuka di tingkat atas yang mempamerkan beberapa buah pintu bilik yang tertutup rapat.
Mungkin hanya dua sahaja dari pintu itu yang berpenghuni dan sering digunakan, bilik Durra dan bilik pembantu rumahnya, fikir Fandi membuat kesimpulan.
Ini merupakan suatu pembaziran. Alangkah eloknya sekiranya bilik-bilik itu semuanya dihuni oleh kanak-kanak persis Durra, pasti comel dan manja. Matanya mula membayangkan wajah-wajah comel itu.
“Hem, awak nak terus melihat sekeliling ataupun awak dah lapar?”
Soalan itu membawa diri Fandi kembali ke alam nyata. Pastinya dia telah mengelamun di situ sebentar tadi. Hai, kenapalah asyik mengelamun aje kerjanya akhir-akhir ini, dia mengusik dirinya sendiri.
“Er…”
“Memandangkan awak tak boleh nak buat keputusan, biar saya sahaja yang tentukan. So, sila ikut saya.”
Tanpa lengah Ilia terus mempelawa Fandi untuk terus mengekorinya ke meja makan yang telah disiapkan di tepi kolam mandi. Malam itu bulan penuh dan cuaca agak baik, jadi Ilia merasakan tempat itu lebih sesuai untuk dijadikan tempat untuk mereka menjamu selera. Lebih romantik rasanya. Dan Kak Munirah juga bersetuju dengannya.
“Hem, menarik!” Fandi memuji hiasan meja yang mungkin telah diatur oleh Ilia. Diperhatikan pula deretan lauk pauk yang telah tersedia di atas meja itu. Ada ketam, udang, ikan dan sayur-sayuran.
Terlalu banyak. Memang satu jamuan. Dapatkah mereka berdua menghabiskannya? Timbul gusar di hati Fandi melihat pembaziran yang bakal terjadi.
“Sedap ke?”
Tersenyum Ilia mendengar keraguan yang terdapat di dalam nada suara Fandi.
“Kena makan, barulah tahu bagaimana rasanya.”
Tercetus ketawa Fandi dengan sindiran Ilia. “Okey, asalkan lepas ni nanti saya tak sakit perut, itu kira okeylah tu.”
Ilia pura-pura tidak mendengar.
“Awak duduk dulu. Biar saya ke dapur ambilkan minuman. Lepas tu kita boleh makan.”Ilia pantas menuju ke sebuah lagi pintu yang sedikit tersembunyi di sebalik sebatang pokok ru yang agak rendang. Pemergian Ilia digunakan oleh Fandi untuk melihat pemandangan sekeliling.

SPC18

"Datin, Encik Umar ada di luar. Dia nak jumpa Datin.” Kedengaran suara lembut Diana dari pembesar suara telefon di atas mejanya.
“Can he wait?”
“Yup.”
“Okey, kalau macam tu, minta dia tunggu dalam 10 minit lagi. Kemudian awak boleh suruh dia masuk.”
Ilia segera menyiapkan email yang sedang dirangka untuk dihantar kepada salah seorang dari pembekal barang-barang binaan resort yang hendak dibinanya itu. Hatinya sedang melonjak gembira kerana Fandi sudi menjengahnya. Seminggu telah berlalu dan dia semakin merindui lelaki itu. Pasti lelaki itu ada agenda tertentu semasa menemuinya nanti.
Diamati penampilannya di sebalik cermin kecil yang disimpannya di dalam laci. Ingin dipastikan agar wajah itu tampak segar dan berseri. Diberi tumpuan kepada bibirnya pula. Dicalitkan sekali lagi lipstick berwarna merah jambu ke bibir untuk menyerlahkan lagi seri wajahnya.


BERSAMA senyuman yang terukir di bibir, Ilia menyambut kehadiran Fandi yang menjengukkan mukanya di sebalik daun pintu.
“Saya tak mengganggu ke?”
“Tak payahlah tercegat kat situ aje. Selalunya tak payah dijemput pun, awak dah masuk dan tercegat di dalam. Awak kan selalu buat pejabat ni macam pejabat awak sendiri, takkanlah hari ni nak malu-malu pula…” Sempat Ilia menyindir Fandi yang telah mula tersengih mendengar kata-katanya itu.
Fandi mengambil tempat bertentangan dengan meja Ilia. Mungkin ingin menjadikan meja itu sebagai penghalang serangan Ilia. Dan mungkin juga dia menyangka yang dia akan “selamat” di situ. Ilia tersengih memikirkan arah tujuan pemikirannya.
“Milo? Kopi?” Ilia mempelawa.
Fandi menggelengkan kepalanya.
“Tak apalah, saya datang ni sekejap aje. I was in the neighborhood, jadi apa salahnya kalau singgah sebentar. Lagipun, saya baru sahaja minum kopi di pejabat Tuan Haji Kamaruddin setengah jam yang lalu.”
“Tuan Haji Kamaruddin?” Terangkat kening Ilia mendengar nama salah seorang dari ahli lembaga pengarahnya disebut Fandi.
Fandi menganggukkan kepalanya.
“Untuk apa? Nak memujuk lagi? Berjaya ke?”
“Saya akui yang memang sukar sekali saya nak mempengaruhi ahli lembaga pengarah awak tu. Nampaknya mereka semua berada dalam genggaman awak, dan mereka juga sayangkan awak. Mereka tidak akan membelakangkan awak, Durra. Walaupun awak masih muda, they really trust your judgement and your leardership.” Puji Fandi.
Dia kagum dengan situasi yang dihadapinya bersama dengan ahli lembaga pengarah syarikat itu. Dia juga kagum dengan kesetiaan yang ditunjukkan mereka kepada Datin Ilia.
Walaupun berbuih mulutnya berbicara, akhirnya mereka semua mengesyorkan pula kepadanya agar melupakan sahaja hasratnya itu. Ada juga yang memberi nasihat agar dia berusaha untuk memujuk Ilia kerana bagi mereka, Ilia begitu cekap menjalankan tugasnya di dalam menerajui syarikat itu. Mereka akan mengikut keputusan yang akan dibuat Ilia di dalam hal ini.
“After all, I was the one that brings more money to them.” Ilia menyatakannya dengan sinis. Namun dia bangga dengan pencapaiannya di dalam syarikat itu.
Tertawa Fandi dengan kenyataan itu. Dia juga yakin, pasti Ilia bangga dengan pencapaiannya itu. Maklumat itu diketahuinya kerana dia juga pernah melihat company profile yang telah diserahkan oleh abangnya Abu Bakar, ketua kewangannya semasa mereka memulakan projek ini untuk memilih syarikat mana yang lebih sesuai. Dia sedar, syarikat itu semakin maju di bawah pimpinan Datin Ilia Durrani Abdullah.
“Jadi, sememangnya saya tidak berpeluang untuk menjadi rakan kongsi awak, Durra? Awak tidak mahu mempertimbangkannya langsung? Mungkin dengan itu, saya pun akan mendapat benefitnya sekali. Awak membuat keuntungan, saya pun akan merasa tempiasnya sama.”
“Tapi untuk menjadi rakan kongsi, saya rasa mungkin juga sukar untuk saya menerimanya. Saya tak mungkin akan menjual bahagian saya di dalam syarikat ini. Bagaimana kalau saya yang membeli saham di dalam syarikat awak tu?”
Nampaknya dia pula yang nak membuka langkah membeli saham di syarikat aku pula, omel Fandi dalam hati. Ini akan menimbulkan masalah baru pula nanti.
“Mungkin boleh dipertimbangkan. Berapa yang awak sanggup nak membayarnya kepada kami?” sengaja Fandi memberi peluang itu kepada Ilia. Ingin dipastikan sejauh mana kesungguhan wanita itu di dalam merebut peluang ini.
“How much can you offer? Saya rasa saya boleh invest beberapa juta sekiranya perlu.”
“That’s a lot of investment we are talking about.”
Ilia menjongketkan bahunya.
“Saya rasa saya mampu untuk menyediakannya.”
Fandi tidak pernah memberikan perhatian kepada kewangan Ilia secara terperinci, tapi dia sedar yang wanita di hadapannya ini memang kaya. Harta peninggalan Datuk Majid memang banyak. Tambahan pula sebagai ketua eksekutif syarikat yang diterajuinya itu, pasti gajinya juga tinggi.
“Selain dari membuat investment, apa yang awak buat dengan duit awak tu, Durra?” Tanpa sengaja, Fandi mendengar dirinya bertanyakan soalan itu kepada Ilia.
Ilia berfikir sejenak. Dia kemudiannya merenung Fandi.
“Awak tahu tak, Fandi, soalan itu menyedarkan saya yang saya memang kurang sekali berbelanja.”
Kenyataan Ilia sedikit memeranjatkan Fandi.
“Awak kan mengendalikan syarikat ini, pasti awak ada membuat investment demi investment untuk kepentingan syarikat awak ni.” Fandi melambai tangannya ke sekitar pejabat Ilia.
Ilia mengangkat kepalanya memandang Fandi. “Eh, itu lain. Itu wang syarikat. Saya ingat tadi awak maksudkan wang saya sendiri.”
Hem, terdapat pengasingan di sini, fikir Fandi. Sungguh menarik untuk difikirkan. Very interesting.
“Kalau macam tu, saya kena ulang semula soalan saya tu tadi. Apa yang awak buat dengan duit awak tu Durra?” Fandi mengulang sinis.
“Saya bangun pagi. Saya datang kerja. Saya balik rumah. I just live. Saya tak perlu lihat bil dan tak perlu bayar bil. Semuanya di autodebitkan oleh pihak bank. Saya juga bukanlah seorang yang boros. Saya juga jarang berbelanja. Credit card company pun mungkin rasa rugi sebab dapat pelanggan yang macam saya ni yang paling kurang berbelanja. Dan seorang lelaki mesti rasa bahagia sebab maintenance saya ni memang tak tinggi.” Sempat Ilia berseloroh dengan ayatnya yang terakhir itu.
Fandi juga ikut ketawa. Bagaimanapun dia terasa agak pelik kerana wanita di hadapannya dikenali oleh orang ramai sebagai seorang pisau cukur. Takkanlah orang sebegitu kurang berbelanja.
Mungkin juga itu hanyalah sekadar anggapan orang yang cemburu dengan apa yang wanita ini ada. Biasalah, lumrah manusia, masakan senang bila orang lain mendapat lebih keuntungan daripada apa yang dia dapat.
“Boleh saya tanya satu soalan yang sedikit peribadi?”
Berkerut dahi Fandi mendengar soalan yang dilontarkan kepadanya itu namun dibalasnya juga. “Bergantung kepada soalannya nanti.”
“Kenapa saya membuatkan awak nervous?”
Nasib baik Fandi tidak minum apa-apa, jika tidak, pasti dia dah tersedak.
“Siapa yang cakap macam tu dengan awak, Durra?”
Ilia terfikir juga sama ada dia wajar mempercayai nalurinya.
Di dalam soal perniagaan, ketajaman dan ketepatan nalurinya di dalam membuat sebarang keputusan memang tidak boleh disangkal lagi.
Tapi ini adalah soal hati, dan di dalam persoalan ini, dia sememangnya masih mentah, masih seorang budak hingusan.
“Tak perlu orang memberitahu. Saya ada mata yang memandang. Saya ada akal yang memikir.”
“Itu hanya anggapan awak sahaja.” Balas Fandi pula.
“Kalau macam tu awak tidak akan keberatan untuk menerima pelawaan saya pula?”
“Pelawaan apa?”
“Makan malam di rumah saya malam ni.”
“Sorry, malam ni saya ada temu janji lain.”
“Mak we?”
“Tidak.”
“Hanya alasan?”
“Juga tidak. Saya dah janji dengan Ummi saya yang saya akan balik makan malam bersama keluarga. Ada kenduri sedikit.” Jelas Fandi lega. Nasib baik dia ada alasan itu untuk menolak pelawaan Ilia dengan baik.
“Kalau macam tu, bagaimana dengan malam esok?”
“Temu janji dengan doktor gigi.” Jawab Fandi selamba.
“Hish, boleh percaya ke ni? Atau awak takut?”
Fandi jadi keliru. “Takut? Takut apa?”
Ilia hanya tersenyum. Dia merapatkan kakinya ke kaki Fandi di bawah meja. Lalu dia memainkan hujung kakinya ke atas ke bawah di sepanjang kaki Fandi sambil matanya redup memandang ke mata Fandi.
Hish, macam ulat bulu pula wanita ni, bisik hati Fandi. Kakinya dibiarkan di situ sahaja, tidak mahu tunduk dengan karenah Ilia.
“Saya tak takutkan awak, Durra, tapi saya lebih takutkan ALLAH.” Sengaja Fandi menyindir Ilia yang dirasakan semakin berjaya menghilangkan daya konsentrasinya ketika itu.
Ilia terasa hati dengan sindiran itu. Ditarik kakinya kembali. Panjang juga muncung mulutnya bila ditegur begitu.
“Betul awak tak nak memenuhi pelawaan saya?”
Fandi senyap tanpa bicara.
“What if I promise to behave? And we can discuss business….” Ilia mengumpan. Dia tidak ingin mengaku kalah begitu sahaja. Dia telah pun merancang agenda untuk makan malamnya bersama Fandi. Dia teringat kembali kata-kata Datuk Hamdan beberapa hari yang lepas. Ini peluangnya untuk menggunakan umpan yang lain pula di dalam usahanya untuk memancing Fandi.
“Baiklah. Kalau macam tu, kita jumpa malam lusa. And I have to make a move now, ada meeting in half an hour. “ Jawab Fandi sambil bangun untuk beredar.
“See you then!” Ilia mengingatkan Fandi sambil memerhatikan sahaja lelaki itu melangkah tenang meninggalkannya bersama senyuman di bibir.
Sekurang-kurangnya Fandi telah bersetuju untuk memenuhi pelawaannya. Akan digunakan peluang itu sebaik yang mungkin, itu tekadnya.

SPC17

Petang Sabtu itu Ilia mengambil peluang untuk menghabiskan masa yang terluang dengan bersiar-siar di Taman Tasik Perdana yang hanya beberapa minit sahaja dari rumahnya.
Tujuannya cuma satu. Untuk memerhatikan gelagat manusia. Namun, tidak seperti orang lain yang kebanyakannya berpasangan, dia hanya bersendirian di situ.
Begitulah dia. Tanpa ada orang yang menemani. Ke mana-mana, dia hanya sendiri. Entah bila dia akan berteman, dia sendiri tidak pasti. Sememangnya Fandi dirasakan begitu layak untuk menjadi teman hidupnya, tapi entah bila agaknya lelaki itu akan lembut hati dan tertarik dengannya.

ILIA menjongketkan bahunya. Tidak guna dia membazirkan waktu memikirkan benda yang belum pasti. Dia memandang sekitar taman itu. Di hujung minggu begitu, ramai pengunjung yang datang beriadah. Mereka mengambil peluang yang ada untuk merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
Masing-masing dengan aktiviti yang berlainan. Sepasang remaja perempuan sedang berlari-lari anak mengejar antara satu dengan yang lain sambil usik mengusik dan bercerita. Sesekali pecah ketawa mereka. Mungkin ada yang mencuit hati.
Di satu sudut yang lain pula, kelihatan beberapa kumpulan manusia sedang berjalan pantas mengelilingi tasik itu. Mungkin mereka tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Namun tujuannya tetap sama, mengeluarkan peluh sekadar yang termampu.
Perhatian Ilia beralih pula kepada seorang wanita separuh umur yang sedang melayan sepasang kanak-kanak kecil bermain-main di tepian tasik. Mungkin itu anak-anaknya, mungkin juga itu cucu-cucunya. Agak sukar untuk memastikan kerana wajah wanita tua itu begitu bersih dan masih terpapar keayuan dan kelembutannya.
Si kakak yang besar terjatuh dan cuba dipujuk oleh wanita tua itu. Kerana asyik cuba memujuk si kakak yang kesakitan, wanita tua itu tidak menyedari yang si adik telah bergerak dari sisinya dan menuju ke arah tasik. Dia sedang mengejar bola yang telah terlepas dari tangannya.
Ilia terus memerhatikan si kecil yang comel itu. Dia pantas melangkah menghampirinya kerana dia pasti yang si comel itu akan terus melangkah dan tidak mempedulikan bahaya yang sedang dihampirinya.
Wanita tua yang baru menyedari ketiadaan si comel di sisinya memerhati mencari si comel yang entah ke mana perginya.
“Ya ALLAH, ke mana pula perginya Nurin?” bisik hati tua itu penuh kebimbangan.
Berkerut dahinya memandang sekeliling. Sebaik terpandangkan tubuh mongel itu menghampiri tasik, dia terkedu di tempatnya berdiri. Kakinya bagaikan terpaku di situ. Pucat wajahnya tidak berdarah.
“Ya ALLAH, cucu aku!” Wanita tua itu cuba menjerit, namun kerana terlalu takut dan bimbang, suaranya langsung tidak kedengaran.
Sedetik. Dua detik. Ketika itu si comel hampir mencecah tepian tasik, ingin dicapai bola yang telah masuk ke dalam air.
Sememangnya takdir telah menentukan. Dilihat wanita tua itu seorang gadis pantas menyambar tubuh si comel sebelum dia sempat terjatuh menyembah air di tasik. Si comel pula menangis kerana terkejut.
Tindakan pantas Ilia menyedarkan wanita tua itu dari perasaan terkejutnya. Dia menarik si kakak di sisinya dan berjalan pantas menuju ke arah Ilia dan si comel.
“Alhamdullillah. Terima kasih nak. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap wanita itu dengan perasaan lega yang bukan kepalang. Di dokongnya si comel yang masih tersedu-sedu kesedihan. Cuba dipujuk anak kecil itu. Kakaknya juga mengusap badan si adik, mungkin dia juga ingin sama cuba untuk memujuk adiknya itu.
Tampak sungguh yang si kakak begitu sayangkan si adik. Cemburu Ilia melihat kasih sayang yang sedang dipertontonkan di depannya.
“Sama-sama Makcik. Bukannya apa-apa pun, sekadar menolong apa yang terdaya. Saya tengok dia begitu asyik mengejar bola sampai tak memandang ke depan. Itu yang saya cuba tangkap dia daripada terjatuh. Saya rasa dia tak apa-apa. Saya juga minta maaf kerana menyebabkan si comel ni menangis. Mungkin dia terkejut agaknya sebab dia tidak mengenali saya yang cuba menangkapnya tadi.” Lembut bicara Ilia cuba menjelaskan kejadian tadi kepada wanita tua itu.
“Terima kasih sekali lagi sebab dah selamatkan Nurin. Ya ALLAH Ya Tuhanku, tak beranilah lagi makcik nak bawa budak-budak berdua ni lagi. Kalau emak dan bapanya tahu, pasti mereka akan kecewa dengan makcik. Makcik betul-betul tak perasan tadi. Sebab nak pujuk Akila yang terjatuh, makcik bolehkan tak perasan yang Nurin mengejar bolanya sampai ke sini.”
“Alhamdullillah, nasib baiklah anak ada tadi, kalau tak, tak tahulah apa nak jadi dengan cucu makcik yang sorang ni.” Ujar wanita tua itu sambil terus mengusap tubuh Nurin yang telah senyap di dalam pelukannya. Di hatinya tidak henti-henti mengucap syukur ke hadrat ALLAH kerana DIA menggerakkan wanita muda di hadapannya itu untuk menyelamatkan cucunya yang amat disayangi itu.
“Tak ada apa-apa tu makcik. Takdirlah yang menentukan segalanya ini.” Balas Ilia dengan lembut. Wanita tua itu membalas dengan senyuman ikhlas yang datang dari hatinya.
“Eh sibuk dengan budak-budak berdua ni, lupa pulak makcik nak bertanyakan nama anak ni. Siapa namanya?”
“Saya Ilia Durrani, makcik. Makcik pula?”
“Hem, nama makcik ni Adawiyah. Yang ini pula, Akila Hannah dan yang kecil ni pula namanya Nurin Zuhairah.” Hajah Adawiyah memperkenalkan dirinya dan cucu-cucunya.
“Sedap nama cucu-cucu makcik ni.” Ilia memuji.
“Nama-nama zaman milenium ni, semuanya sedap-sedap, Durra. Eh, boleh makcik panggil anak, Durra aje? Rasanya sesuai benar nama tu dengan anak. Sebutir permata yang rasanya betul-betul telah berkilauan pada hari ini.” Ulas Hajah Adawiyah dengan sedikit panjang lebar. Tangannya pula mengeluarkan dua botol air minuman dari dalam beg sandang yang dibawa bersama dan dihulurkan kepada Akila dan juga Nurin.
Pujian dan kata-kata Hajah Adawiyah sedikit memeranjatkan Durra. Dia tersentak kerana wanita tua itu memilih untuk memanggilnya begitu.
Teringat dia akan kata-kata seorang lagi insan yang juga memanggilnya begitu. Insan itulah yang kerap menjadi igauannya kini. Lelaki itu juga ada menyatakan fakta yang hampir sama dengan makcik di sisinya ini. Terasa bagaikan satu kebetulan.
“Selalu ke Durra datang ke sini?” soal Hajah Adawiyah sambil memerhati cucu-cucunya yang telah minum itu bermain-main di kakinya.
“Tak juga. Bila sesekali rasa nak tengok manusia yang bermacam ragam ni, barulah saya ke sini. Kalau tak tu, saya selalunya bersantai aje di rumah.” Ilia menjelaskan.
“Durra tinggal di mana?”
“Saya tinggal dekat sini aje, di Bukit Tunku. Makcik pula?”
“Makcik tinggal di Bukit Damansara tu. Berdua aje dengan suami makcik. Makcik ada tiga anak. Dua dah kahwin dan seorang lagi tu masih membujang. Anak-anak semuanya dah berumah sendiri. Mereka tak nak makcik kesunyian, jadi mereka ambil pembantu rumah dan waktu siangnya mereka biarkan cucu-cucu makcik ni berada bersama makcik.” Jelas Hajah Adawiyah tanpa dipinta.
“Pakcik tak kesah ke?”
“Hem, pakcik pun bekerja, jadi dia pun tak kesah sangat bila cucu-cucunya yang ramai tu meriuhkan rumah kami.” Hajah Adawiyah memberitahu sambil tersengih.
“Ramai ke cucu-cucu makcik?”
“Ada enam orang. Empat lagi tu, anak kepada anak makcik yang sulung. Dua lelaki, dua perempuan. Bila dah berkumpul ramai-ramai, riuh rendah bunyinya. Sampaikan kadang-kadang suara kita ni pun kena ditinggikan supaya boleh mendengar bila bercakap.” Hajah Adawiyah tenang bercerita.
Lembut dan lunak suaranya. Tidak dapat Ilia bayangkan bagaimana dia melayan cucu-cucunya yang enam orang itu dengan kelembutan yang ada padanya.
Ilia suka menatap wajah tua itu. Ada ketenangan dan kelembutan yang terpancar di situ.
Teringat dia kepada Allahyarhamah neneknya yang telah lama meninggalkan dunia ini. Hanya itu saudara yang dia ada. Dia tidak pernah mengenali kasih sayang kedua ibu bapanya yang telah pergi meninggalkan dia sejak dia kecil lagi.
Ibunya telah meninggal selepas melahirkannya. Bapanya pula pergi setelah diserang kanser beberapa tahun kemudiannya. Neneknya yang kaya dengan kasih sayang itulah yang membesarkannya dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh.
“Durra dah kahwin?” tiba-tiba tercetus soalan dari mulut Hajah Adawiyah.
Kaget Ilia seketika. Tidak disangka soalan itu yang akan ditanya oleh wanita itu.
“Durra marah ke bila makcik bertanya macam-macam ni? Kalau ye, makcik minta maaf, makcik pun tak tahu kenapa hari ini macam-macam soalan yang makcik tanyakan daripada Durra yang baru aje makcik kenal ni…” Hajah Adawiyah meminta maaf. Dia mula merasa kurang senang dengan sikap dirinya sendiri yang bertanya bermacam-macam soalan kepada Ilia.
Dia sendiri tidak pasti kenapa hari ini dia begitu peramah dan mudah bertanya itu ini dengan wanita yang baru sahaja dikenalinya itu. Ringan sahaja mulutnya bertanya. Mana tahu, mungkin juga Ilia tidak menyenanginya.
Melihatkan Hajah Adawiyah yang kelihatan serba salah, akhirnya Ilia menghadiahkan sebutir senyuman kepadanya.
“Tak apalah makcik. Saya tak kesah. Sebenarnya saya pernah berkahwin, tapi dua tahun yang lepas, suami saya meninggal dunia.” Akhirnya Ilia bersuara. Kasihan juga dia melihatkan Hajah Adawiyah yang semakin resah.
“O…. begitu. Kasihan Durra. Sabar ajelah. Semuanya tu dah ditakdirkan ALLAH, Durra dah menjanda di dalam usia yang begini muda. Habis tu, sekarang ni Durra tinggal dengan siapa?”
“Saya tinggal sendirian.”
“Masih ada keluarga yang lain?”
“Tak ada makcik. Saya sebatang kara aje di dunia ni.” Mendung riak air muka Ilia mengenangkan nasib dirinya.
“Begitulah hidup ni Durra. Semuanya berada di dalam ketentuan ALLAH. Pasti ada hikmahnya, cuma kita sebagai manusia ni sahaja yang tak tahu.” Hajah Adawiyah cuba membuang resah di hati anak muda di sebelahnya itu. Diurut bahunya, seakan memberitahu bahawa dia juga turut bersimpati kepada nasibnya itu.
“Bila dengar cerita Durra begini, makcik terasa begitu bersyukur kepada ALLAH kerana masih punya ahli keluarga. Tak apalah Durra, walaupun Durra sebatang kara, makcik pasti Durra akan bahagia. Usia Durra masih muda dan perjalanan Durra masih panjang. Durra redalah dengan apa yang Durra ada sekarang ni, ye….”
Hajah Adawiyah menyambung nasihatnya. Tangan Ilia pula diusap lembut. Timbul rasa kasih pada wanita yang nampak cekal melalui perjalanan hidupnya itu.
Walaupun baru mengenali wanita itu, entah kenapa, terasa kemesraan yang tidak dapat hendak diungkai. Mudah saja dia menjawab soalan demi soalan yang ditanya oleh wanita di sebelahnya itu.
Sambil memerhatikan gadis-gadis comel itu bermain, kedua-dua wanita itu terus bercerita dan mengenali hati budi masing-masing. Hampir sejam berlalu tanpa disedari. Mereka berpisah setelah senja semakin berlabuh dengan harapan mungkin esok atau lusa mereka akan bertemu lagi.