Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Sunday, February 20, 2011

SSR6

Sejam berlalu dan Ameera Syuhadah menanti dengan penuh debaran. Dia tidak pasti sama ada adik Franz ataupun mungkin juga Franz sendiri yang akan hadir di situ. Hatinya masih kuat mengatakan bahawa Franz masih lagi berbohong tentang siapa dirinya yang sebenarnya. Ameera Syuhadah juga rasa gelisah. Dia tidak mahu Hamd dan Lynd pulang sebaik sahaja lelaki itu mengetuk pintu rumahnya. Kalau itu yang berlaku, akan payah jadinya. Baru hendak melayan perasaannya, kali ini terdengar pula ketukan di pintu rumahnya. Hanya beberapa ketukan. Kemudian suasana senyap kembali. Ameera Syuhadah terkedu. Baru dia tersedar yang ketukan itu adalah isyarat untuknya. Dup dap dup dap. Degupan jantungnya semakin kuat berbunyi, terasa bagaikan menampar-nampar gegendang telinganya. ‘Siapakah dia, bagaimanakah agaknya rupanya?’ Hati Ameera Syuhadah tertanya-tanya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Dipastikan dirinya lebih kemas sebelum menemui tetamu yang baru hendak dikenalinya itu. Dia telah menukar pakaiannya dari T-Shirt berlengan pendek kepada T-Shirt yang longgar dan berlengan panjang. Kainnya pula tidak ditukar. Dia masih berkain batik, tapi dipastikan terlebih dahulu yang ikatannya itu lebih kemas. Malu nanti jika kain itu terlondeh di hadapan sesiapa juga orang yang akan ditemuinya itu nanti. Pasti akan heboh satu Miami dengan adegan yang tidak ingin dilihat itu. Setelah tudungnya dipakai, dia melangkah menuju ke pintu. Sebaik pintu dibuka, dia mengintai keluar. Ingin memastikan sama ada Hamd dan Lynd ada di sekitar kawasan itu. Apabila semuanya dalam keadaan yang memuaskan hatinya, barulah Ameera Syuhadah melangkah keluar dan menuju ke arah tangga. Sebaik pintu ke tangga di buka, Ameera Syuhadah terkedu. Seorang lelaki dengan raut muka yang paling serius sedang merenungnya. Tubuh Ameera Syuhadah ditatap dari atas ke bawah dan ke atas kembali beberapa kali. Seolah-olah dia sedang menilai siapa diri Ameera Syuhadah yang sebenarnya. Mungkin juga dia sedang cuba untuk menimbulkan perasaan gerun di hatinya. Ameera Syuhadah akui, lelaki itu berjaya dalam misinya yang satu ini jika benar itu adalah objektifnya. Walaupun hatinya terasa kecut dengan situasi yang sedang dihadapinya itu, Ameera Syuhadah tetap cuba berlagak berani. Dia membalas renungan itu dengan pandangan yang juga tajam. Diamati paras wajah lelaki yang sedang ditatapnya. ‘Hem, kacak juga orangnya,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah. Dia sukakan penampilan lelaki itu. Gayanya kemas walau dengan rambut yang mencecah ke bahu. Santai berpakaian serba hitam. Persis gaya Richard Dean Anderson dalam MacGyver. ‘Hm, macam lanun pun ada, rugged pun ada,’ desis hati Ameera Syuhadah. Dia sedar, entah kenapa hatinya sudah terpaut kepada lelaki itu. Cepat-cepat cuba ditepis perasaannya itu ke tepi. “Awak ni adik Franz ke?” Tanya Ameera Syuhadah dengan sinis walau hatinya berdetik mengatakan bahawa dia sedang berhadapan dengan diri Franz sendiri. “Yup. My brother asked me to pick up something from you. Where is it?” Tanya lelaki itu dengan nada yang tegang, seolah-olah sedang menahan perasaan geram. Rahangnya pula bagai sedang diketapkan. ‘Amboi, speaking. Tak reti nak beri salam.’ Ngomel Ameera Syuhadah dalam hatinya. Mungkinkah dia marah atau bengang? Tanya Ameera Syuhadah pula kepada dirinya sendiri. Mungkin benar ini adik Franz dan dia sebenarnya tidak mahu datang ke sini dan berjumpa dengannya. Mungkin juga dia tidak suka Ameera Syuhadah berkawan dan berhubungan dengan abangnya. Kemungkinan demi kemungkinan yang bermain di kepalanya tidak Ameera Syuhadah nafikan. Semua kemungkinan itu tetap ada. “Hai, tak reti nak berbahasa Melayu ke?” Sindir Ameera Syuhadah selamba. “What?” Dahi lelaki itu sudah berkerut. Rahangnya semakin kejap. Mungkin dia cuba untuk menakutkan Ameera Syuhadah. Ataupun mungkin juga dia cuba hendak menahan tawa. Ameera Syuhadah tidak pasti yang mana satu yang sedang cuba dilakukan oleh lelaki yang kacak itu. “Tak apalah.” Jawab Ameera Syuhadah ringkas. Malas dia hendak melayan lagi. “Nah, ini untuk Franz.” Ameera Syuhadah menghulurkan bungkusan di tangannya. “What’s this? I thought I am supposed to get a piece of paper, or an envelope from you?” Tanya lelaki itu dengan muka yang berkerut. “Saya tahu, benda tu ada kat dalam bekas plastik ni. Pada masa yang sama, saya juga ada sedikit buah tangan untuk Franz, tapi awak juga jangan segan nak menjamah apa yang ada kat dalam tu.” Semakin berkerut dahi lelaki itu. Matanya tajam memandang ke dalam beg plastik di tangannya. “Jangan takut. Makanan tu tak makan orang, tapi awak yang sepatutnya makan makanan tu.” Seloroh Ameera Syuhadah selamba. “Oh ye, nanti jangan lupa pulangkan kembali bekas makanan saya tu.” “When?” Tanya lelaki itu lagi dengan senyum sinisnya. Semakin bertambah menarik pada pandangan mata Ameera Syuhadah. “Whenever. Asalkan awak tak buat pekasam untuk masa yang lama, sudah cukup bagi saya.” “Okay. I’ll give this to my brother then.” “Fine. Assalamualaikum.” Balas Ameera Syuhadah sambil berlalu pergi. Lelaki itu pula telah pun melangkah pantas meninggalkan ruang itu dan menuruni anak tangga. Beberapa jam telah berlalu sejak Ameera Syuhadah bertemu dengan adik Franz. Hamd dan juga Lynd telah pun pulang dari rumah jiran mereka dan keduanya sedang menonton TV di ruang tamu. Ameera Syuhadah pula masih menunggu panggilan dari Franz. Ingin diketahui apa kesimpulan yang telah dibuat oleh kawan barunya itu. Tapi nampaknya dia hampa dalam penantiannya. Sekilas dipandang ke arah jam di dinding, telah hampir jam 12 tengah malam. ‘Mungkin Franz tak akan telefon malam ini. Baik kau tidur aje Ameera Syuhadah, daripada menunggu buah yang tak pasti bila gugurnya,’ nasihat Ameera Syuhadah kepada dirinya sendiri. Dia bangkit dari duduknya dan menuju ke bilik tidur. Penyaman udara yang telah ditetapkan pada 250C terasa begitu selesa. Baru hendak menutupi tubuhnya dengan comforter yang telah di bentang, telefon di sisinya berbunyi. Dibiarkan sahaja salah seorang dari kedua gadis di luar bilik untuk menjawabnya. Mungkin itu panggilan untuk mereka. Jarang sekali ada panggilan untuknya pada waktu-waktu begini. “Kak Ameera, panggilan untuk akak!” Terdengar laungan Hamd dari luar bilik. Dengan pantas, Ameera Syuhadah mengangkat gagang telefon di sisinya. “Okey Hamd, akak dah angkat!” laungnya sebagai memberitahu Hamd supaya meletakkan gagang telefon yang berada di luar bilik. Setelah gagang di luar diletakkan, barulah Ameera Syuhadah bersuara. “Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam.” Jawapan lembut dari seorang lelaki yang tidak disangka menyapa gegendang telinganya. “Hm, apa khabar?” “Alhamdulillah, baik. Awak sihat?” Kedengaran suara riang Eddy Arif menjawab pertanyaan Ameera Syuhadah. “Saya di sini pun alhamdulillah sihat.” “Saya dah terima kad yang awak kirimkan tu.” Beritahu Eddy Arif tentang kad yang telah diterimanya pagi itu. “Amacam, hensem tak mamat sekor tu?” Tanya Ameera Syuhadah tentang gambar Orang Utan sedang mendabik dada yang menghiasi muka depan kad tersebut. “Hensem, walaupun dengan bulu hitamnya yang lebat dan hidungnya yang besar tu.” “Itulah yang dikatakan hitam-hitam si tampuk manggis, walaupun hitam dipandang manis...” Eddy Arif tergelak kecil, tahu apa yang dimaksudkan oleh gadis itu. “Dah tidur ke?” Tanyanya seketika kemudian dengan suaranya yang romantis, yang pasti boleh mencairkan hati seorang perempuan. “Baru nak masuk tidur, tapi bila awak dah telefon ni, takkanlah saya nak teruskan niat saya tu. Dah lunch ke belum?” Ameera Syuhadah bangkit dan duduk menyandar di tepi katil. Separuh dari tubuhnya masih ditutupi oleh comforter. “Belum lagi. Saya ada di Restoran Patani sekarang ni, nak lunch dengan customer, tapi dia pulak masih belum muncul lagi.” “Restoran Patani? Wa.. rindu betullah pada masakan di situ. Kecur pula saya bila dengar yang awak nak menjamu selera di situ.” Seloroh Ameera Syuhadah dengan gembira. Dia memang suka pergi makan di restoran itu bila berkesempatan. Masakannya memang enak dan sedap. “Macam nilah Ameera. Sekejap lagi saya akan makan, dan awak pulak akan masuk tidur, jadi bolehlah awak mimpikan yang kita konon-kononnya sedang makan bersama. Macam mana?” “Amboi, saya kena bermimpilah ni ye?” “Betul.” “Hai, nampaknya perut orang tu yang kenyang tapi perut saya jugak yang masuk angin.” Seloroh Ameera Syuhadah kembali. “Awak anggap sahaja yang kita sedang makan angin.” Balas Eddy Arif sekali lagi sambil tertawa kecil. “Hm, saya kena bayangkan wajah awak dalam mimpi sayalah ni, ye?” “Okey apa, boleh hilang rindu awak pada saya.” “Eh, awak pasti ke yang saya rindukan awak?” Soal Ameera Syuhadah dengan perlahan, sengaja mahu dilihat apa reaksi Eddy Arif dengan usikannya. “Saya pasti.” “Kenapa begitu pasti?” “Sebab saya rindukan awak?” “Betul ke awak rindukan saya?” Tanya Ameera Syuhadah masih mahu menduga. “Betul. Saya selalu teringatkan awak. Masa makan kejap lagipun, mesti saya akan ingatkan awak, seolah-olah awak yang berada di depan saya.” “Pelanggan awak tu lelaki ke perempuan?” “Lelaki. Kenapa?” “Cuba bayangkan wajah pelanggan awak tu bertudung dan memakai baju kurung saya. Pasti ada yang kureng, kan?” Ketawa Eddy Arif meledak keluar. Terasa lucu dengan usikan Ameera Syuhadah yang agak keterlaluan. Takut juga dia hendak membayangkan penampilan Shafiq, pelanggannya yang bermisai tebal itu memakai tudung dan berbaju kurung. Pasti akan ada yang mengatakan bahawa lelaki itu telah hilang akalnya. “Okeylah Eddy, saya betul-betul dah mengantuk ni. Esok ada kelas pagi, and I need my beauty sleep.” Akhirnya Ameera Syuhadah mencelah ketawa lelaki itu kerana dia terasa malas mahu berbual lama. “Baiklah, nanti bila saya berkesempatan, saya akan telefon lagi, cuma saya akan pastikan yang saya akan telefon lebih awal daripada waktu ini.” “Baiklah. Thanks for calling.” Ameera Syuhadah terus meletakkan gagang telefon. Entah kenapa, kali ini hatinya tidak segembira selalu. Selalunya hatinya pasti akan gembira sebaik menerima panggilan dari Eddy Arif. Entah kenapa malam ini lain pula jadinya. Mungkin juga kerana dia sebenarnya mengharapkan yang panggilan tadi itu datangnya dari Franz, bukannya Eddy Arif. Ameera Syuhadah melemparkan keluhan ringan. Cuba dilontarkan perasaan gundahnya ke tepi. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan tentang itu. Dia perlu tidur. Esok dia ada kelas yang perlu dihadiri. Ameera Syuhadah melelapkan matanya. Cuba dibawa wajah Eddy Arif ke dalam mimpinya. Namun entah mengapa, wajah adik Franz pula yang menghiasi mimpi-nya malam itu.

No comments: