Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK2

BAB 2
KAK Jah sedang menunggu Syirin di luar wad tersebut. Semenjak Mimi terlantar di hospital, Kak Jahlah orangnya yang telah banyak membantu. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kak Jah membuatkan Syirin rasa terhutang budi kepadanya.
Kak Jahlah yang akan menghantar Syirin pulang ke rumahnya saban malam. Tidak terbalas budi yang telah dicurahkan oleh Kak Jah kepada dia dan adiknya, fikir Syirin. Kak Jah telah membuktikan bahawa dia lebih dari hanya sekadar kawan biasa dan juga majikan kepada Syirin.

“MIMI dah tahu ke tentang keadaan dirinya yang sebenar?” soal Kak Jah semasa di dalam perjalanan pulang menuju ke rumah Syirin.
Syirin hanya menggelengkan kepalanya.
“Belum lagi, kak. Saya tak sanggup nak beritahu dia. Dia masih ingat bahawa kakinya hanya sakit,” suara Syirin terhenti di situ. Hatinya sebak.
Cuba ditahan perasaan sedih yang ingin menjengah. Tersekat suaranya di kerongkong, enggan mengucapkan apa yang telah diberitahu oleh Doktor Basri kepada Mimi. Otaknya berputar ligat. Pelbagai persoalan datang menerpa.
Bagaimana untuk memberitahu adiknya yang masih begitu muda itu bahawa masalah yang sedang dihadapinya tidak semudah seperti yang disangka?
Bagaimana untuk memberitahu seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa tentang kehidupan bahawa kakinya itu hampir hancur, tulang belakangnya mengalami kerosakan serius dan harapannya untuk kembali berjalan adalah amat tipis.
“Bagaimana dengan pakar dan juga pembedahan yang telah Doktor Basri cadangkan tu?” soalan Kak Jah mematikan persoalan yang sedang bermain di kepala Syirin.
“Itu semuanya tidak akan menjadi masalah kiranya saya ni mampu menyediakan wang sebanyak yang diberitahu...” jawab Syirin sebak. Perasaan putus asa dan tidak keupayaan kerap menghantuinya tatkala dia ingin berdepan dengan dilema tersebut.
Dia teringat kembali akan kata-kata Doktor Basri tempoh hari.

“UNTUK pengetahuan awak, kecederaan yang dialami oleh Mimi terlalu serius. Selain dari mengalami keretakan di tulang rusuk dan tulang kakinya yang hampir hancur itu, ia juga melibatkan saraf tunjang dan juga tulang belakang Mimi.” beritahu Doktor Basri dengan lembut. Dia sedar, walaupun gadis di hadapannya itu tampak tenang, namun dia sebenarnya sedang menahan perasaan yang sedang berkecamuk dan sedih.
“Terdapat dua tulang belakangnya yang dikenali sebagai lumbar yang telah patah dan saraf tunjangnya juga telah membengkak. Apa yang boleh saya katakan pada masa ini ialah Mimi mungkin mengalami Spinal Cord Incomplete Injury, ataupun SCI. Jika ini yang terjadi, Mimi tidak akan mengalami kelumpuhan secara keseluruhannya dan masih mempunyai pergerakan di bahagian atas badannya.” Doktor Basri diam seketika. Direnung lagi wajah ayu gadis yang sedang tunduk di hadapannya itu.
“Ingin saya tekankan kepada awak di sini bahawa ini baru penilaian awal yang telah kami lakukan. Buat masa ini, kerosakan keseluruhannya masih belum dapat ditentukan. Bagaimana pun, kita hanya akan tahu bila Mimi sedar kelak.” bicara Doktor Basri terhenti lagi. Harapannya agar Syirin dapat memahami segala penerangan yang disampaikannya sebentar tadi.
“Rasa-rasanya Mimi akan sedar ke Doktor?” Syirin bertanya untuk memastikan ke mana hala tuju perbincangan mereka ketika itu. Dirasakan bahawa ada lagi maklumat yang ingin disampaikan oleh Doktor Basri kepadanya.
“Untuk Mimi sedar, itu kita kena berserah kepada ALLAH. Banyakkan berdoa. Awak juga jangan mudah menyerah kalah. Teruskan dengan terapi yang sedang awak lakukan sekarang ini. Bagaimana pun, apa yang perlu awak tahu ialah, sekiranya Mimi sedar dalam jangka masa yang terdekat ini, tindakan selanjutnya perlu kita ambil secepat mungkin untuk memulihkan Mimi. Tulang lumbarnya mengalami kerosakan yang teruk dan perlu diganti dan kepakaran yang ada untuk menggantikan tulang lumbar ni, bukannya di sini.”
Mendengar kata-kata Doktor Basri, Syirin mengaup wajahnya yang pucat. Ditatap wajah Doktor Basri dengan pandangan yang sayu. Tidak tergamak rasanya untuk dia bertanya dengan lebih lanjut tapi Mimi adalah adiknya.
“Di mana dan berapa pula kosnya, Doktor?”
Tanpa banyak kata, Doktor Basri memberitahu Syirin tempat dan kos rawatan yang diperlukan itu dengan penuh simpati.
Tergamam Syirin mendengar jumlah wang yang disebutkan oleh doktor itu. Fikirannya mula berputar ligat, hatinya pula tambah berkecamuk.
Di mana hendak dicekau sejumlah wang yang disebut oleh Doktor Basri? Dia bukannya orang kaya yang punya harta berjuta.
Kehidupan Syirin dan adiknya serba sederhana dan kalau hendak difikirkan, memang jumlah itu tidak akan dapat dikumpulkannya walaupun sehingga dia tua. Kecualilah jika dia menang loteri ataupun jika dia berkahwin dengan seorang jutawan.
Loteri memang sudah sah haram dari segi agama, dan jutawan mana pula yang akan hendakkan dia? Dia bukanlah seorang bintang yang ada nama dan glamor. Dia cuma seorang gadis biasa yang banyak menghabiskan hidupnya bekerja di sebuah kedai bunga.
“Dengan rawatan yang doktor sarankan tu, bolehkah Mimi pulih sepenuhnya?” akhirnya Syirin terpaksa bertanya, sekadar untuk menyedapkan hatinya.
“Syirin, awak harus faham bahawa kami ni pun macam awak juga, hanya manusia biasa. Bagaimanapun, sebagai seorang doktor, kami sentiasa berusaha agar setiap pesakit akan sembuh sepenuhnya. Tapi awak harus ingat bahawa ALLAH juga yang menentukan segala-galanya.” Doktor Basri cuba mengingatkan Syirin.
Dia sedar setiap ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya, begitu juga Syirin yang telah diketahuinya sebagai penjaga kepada Mimi dalam usia yang begitu muda.

“SYIRIN memang betul-betul dah tak ada jalan ke ni?”
Kata-kata itu membawa Syirin kembali kepada Kak Jah di sisinya. Dia menggelengkan kepalanya. Sekali lagi fikirannya gundah.
Di manakah hendak dicari jumlah wang yang begitu banyak, yang dirasakannya amat mustahil untuk diperoleh.
Jumlah yang besar juga diperlukan untuk tiket penerbangan dan perbelanjaan sepanjang di tempat orang. Pastinya waktu pemulihan Mimi juga tentunya akan mengambil masa yang agak lama.
“Bagaimana pula dengan pinjaman dari pihak bank?” Kak Jah cuba menyarankan satu cadangan. Dikalihkan pandangannya ke arah Syirin.
Sekali lagi Syirin menggelengkan kepalanya.
“Saya dah cuba. Akak pun tahu, saya ni mana ada harta untuk dijadikan cagaran pinjaman? Saya hanya sekadar tinggal menyewa sekarang ni. Simpanan yang ada tu pun, terlalu jauh dari mencukupi. Mungkin sekadar cukup untuk bayar bil hospital nanti, itu pun belum tentu lagi.” jawab Syirin sambil merenung jauh ke hadapannya.
“Kenapalah ayah saya tak pernah terfikir untuk mengambil insurans dulu? Sekurang-kurangnya kalau ada wang insurans tu, bolehlah tolong bayar hutang. Tak perlulah kami menjual rumah. Rumah dan tanah tu bolehlah dijadikan cagaran bila terdesak begini.” keluh Syirin, meluahkan perasaannya yang sedang berbaur kesal.
Kak Jah menghulurkan tangan kirinya dan menggenggam erat tangan Syirin sebagai tanda simpati. Dia sedar nasib yang menimpa Syirin.
Apabila ibu dan bapa Syirin terlibat di dalam kemalangan yang turut meragut nyawa mereka, rumah yang didiami telah dijual untuk melangsaikan segala hutang piutang yang ditinggalkan oleh mereka.
Dia tahu betapa susahnya kehidupan Syirin kala itu. Masih mentah dan ditinggalkan pula dengan seorang adik yang pada ketika itu baru berusia 2 tahun.

No comments: