Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK9

SEKITAR pukul sebelas pagi, terdengar ketukan di pintu biliknya. Agak keras bunyi ketukan itu. Sudah pasti itu adalah Erman.
‘Aku pasti yang dia ni memang bukan seorang yang jenis penyabar,’ fikir Syirin.
Sengaja dia melengahkan masa. Dia belum bersedia untuk bersemuka dengan Erman walaupun dia tahu itu hanyalah satu angan-angan.
Kalau boleh, sampai bila-bila pun lelaki itu tidak mahu ditemuinya. Walaupun itu adalah abang iparnya sendiri. Tetapi dia tiada pilihan lain.
Terasa kecut juga perutnya bila teringatkan peristiwa semalam. Wajah Mimi yang terbaring pucat di katil hospital melintas kembali di hadapan matanya. Dia akur dengan kehendak takdir. Tentu ALLAH telah mengaturkan sesuatu buatnya.
Dia memberanikan diri. Dikumpulkan semangat yang masih bersisa dan berjalan menuju ke pintu bilik. Sebaik pintu bilik itu terbuka, dilihatnya Erman sedang berdiri di situ. Tangan kanannya diseluk ke dalam kocek seluarnya dan yang sebelah lagi berada di palang pintu. Tangan itu juga memegang sampul surat yang tebal.
Syirin berjalan menuju semula ke dalam bilik. Dibiarkan pintu ternganga. Dibiarkan Erman berdiri di situ.
Syirin pasti Erman akan masuk mengekorinya walau tanpa dijemput. Itu satu kepastian. ‘Muktamad!’ seperti kata pengacara rancangan ‘Who wants to be a millionaire’.
Dia meneruskan semula aktiviti mengemas pakaiannya yang tidak seberapa itu ke dalam beg pakaian. Dia melambat-lambatkan pergerakannya.
Biar ada kerja daripada memandang muka Erman yang meloyakan itu, bisik hatinya walau sekilas tadi sempat dia memandang muka Erman sebelum berpaling kepada kerja-kerja di tangannya.
Wajah Erman tampak lebih tenang, malah pagi ini baru Syirin tersedar bahawa lelaki itu memang kacak. Dia santai dengan berkemeja putih dan berseluar denim berwarna hitam. Tergugat perasaannya seketika.
“Kan aku dah kata semalam, jangan lambat. Dah siap ke belum ni? Aku tak ada banyak masa nak menangguk kat sini tunggu kau tu siap!” Erman melemparkan rasa tidak puas hatinya.
Syirin tidak menjawab. Dia hanya menjeling ke arah Erman. Masih geram di atas sikap Erman yang menyakitkan hatinya. Sebenarnya dia punya alasan untuk lewat bersiap pagi itu.
Sepanjang pagi itu dia telah menghubungi Doktor Basri dan juga Kak Jah untuk mengetahui perkembangan Mimi. Dia ingin memberitahu Doktor Basri yang dia akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan pembedahan yang diperlukan oleh Mimi. Doktor Basri amat gembira dengan perkhabaran itu dan berjanji akan menguruskan hal tersebut dengan secepat mungkin.
Bagaimanapun, Doktor Basri memberitahu bahawa pakar pembedahan tersebut tidak akan dapat berbuat apa-apa sekarang ini.
“Kita perlu pastikan yang Mimi kuat dan lebih bertenaga untuk melalui pembedahan itu nanti. Tapi awak jangan risau, kita akan buat persiapan itu dari sekarang agar segala-galanya akan berjalan dengan lancar nanti.”
“Terima kasih doktor. Buat pengetahuan doktor juga, saya tak dapat nak datang melawat Mimi buat masa ini.” Bergetar suara Syirin dengan ayat yang baru diluahkannya.
Sebak hatinya bila mengenangkan keadaan Mimi yang terlantar sendirian di hospital. Dia berharap Mimi faham akan pengorbanan yang sedang dilakukannya sekarang ini.
“Saya akan menghubungi doktor setiap hari nanti, bolehkan?”
“Boleh, tiada masalah. Awak jangan risau, Mimi akan kami jaga dengan baik.” Doktor Basri cuba meredakan kerisauan yang jelas bertapak di hati Syirin.
Keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh Syirin kepada adiknya sedikit sebanyak telah menarik perhatian doktor muda itu.
Doktor Basri kagum dengan kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Syirin kepada adiknya itu. Dia bagaikan seorang ibu kepada Mimi. Tidak ramai wanita yang dapat berbuat demikian.
Walaupun Doktor Basri mempunyai 2 orang kakak dan seorang adik perempuan, namun kerana masing-masing sibuk dengan tugas, kemesraan yang suatu ketika dulu pernah wujud di antara mereka kini telah hilang ditelan dek masa. Dia juga tidak pasti apakah adik beradik perempuannya akan setabah Syirin sekiranya mereka berada di tempat gadis itu.
“Terima kasih doktor. Assalamualaikum.” Syirin menekan butang ‘OFF’ di telefon bimbit yang baru dibelinya semalam.
Perbualan di telefon sebentar tadi sedikit sebanyak melegakan perasaan Syirin. Kini dia harus menumpukan perhatiannya kepada agenda yang telah dipersetujuinya bersama Erman.
Tiada lagi pusingan U untuknya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundurkan, terlajak kata, buruk padahnya.
Komitmen telah pun dibuat dengan pihak hospital, walaupun masih tiada hitam putihnya, kata-kata sebagai seorang Islam perlu dikotakan. Itu amanah yang perlu dipikul dan dia berharap Erman juga akan berpegang pada janjinya.

PANGGILAN kedua dibuat kepada Kak Jah. Nombor telefon Kak Jah pula didailnya. Kali ini terasa lebih sukar kerana Kak Jah adalah antara kenalan yang terdekat.
Tidak sanggup rasanya untuk memberitahu Kak Jah tentang perjanjiannya dengan Erman. Dia hanya memberitahu yang Erman telah bersetuju memberikannya wang dengan syarat dia perlu menguruskan salah satu dari syarikatnya yang ketiadaan pengurus, buat sementara waktu memandangkan dia punya pengalaman menguruskan kedai bunga Kak Jah sebelum ini.
“Habis tu, Rin akan tinggal di mana? Macam mana akak nak hubungi Rin nanti kalau ada apa-apa masalah yang timbul?” soal Kak Jah pula.
Syirin cuba untuk menghindarkan dirinya dari memikirkan sebarang kemungkinan yang timbul. Dia harus fokus terhadap apa yang bakal dilaluinya nanti agar Mimi akan menemui kebahagiaan yang sepatut menjadi miliknya.
“Kak Jah, nanti akak simpan aje nombor telefon yang saya gunakan untuk telefon akak ni.” Syirin menyarankan kepada Kak Jah kerana telefon bimbit yang digunakan ini baru saja dibelinya semalam untuk kegunaan ketika kecemasan seperti sekarang ini. Apatah lagi apabila difikirkan kegunaannya di dalam mencari Erman. Tidak tanpa di sangka, pencariannya itu telah pun berakhir di dalam masa yang singkat. Siapa sangka ianya menjadi begitu berguna di dalam situasinya sekarang ini. Mudah untuk dia menghubungi Doktor Basri dan mengetahui perkembangan Mimi dari masa ke semasa. Mudah juga untuk dia menghubungi Kak Jah dan dapatlah dia bercakap dengan Mimi pada masa Kak Jah pergi melawat Mimi nanti.
“Hmm… dah ada telefon bimbit nampaknya?” Kak Jah menegur, bertujuan untuk mengusik Syirin.
“Yelah kak. Senang sikit bila dah ada telefon bimbit ni, taklah saya tercari-cari pondok telefon bila keadaan memaksa begini. Lagipun senang akak nak menghubungi saya, apatah lagi bila dah berada di tempat orang begini.”
Kak Jah tersenyum mendengar penjelasan Syirin. Dia gembira kerana Syirin kini berpandangan jauh. Dia tahu, Syirin tidak suka berbelanja kecuali untuk keperluan yang terdesak seperti mana sekarang ini.
“Ini pun saya hanya gunakan kad prepaid sahaja, senang… tak banyak kerenah.” Syirin menambah. “Satu lagi Kak Jah, saya berharap benar Kak Jah dapat tolong tengok-tengokkan Mimi sepanjang ketiadaan saya di sana. Tolong ye Kak Jah?” Syirin merayu memohon kesudian Kak Jah untuk menjaga Mimi yang kini keseorangan.
“Rin… Rin jangan bimbang. Kan Kak Jah dah janji pada Rin semalam yang Kak Jah akan jaga Mimi macam adik Kak Jah sendiri. Rin jangan risau tentang tu semua, tahulah Kak Jah nak uruskan hal di sini nanti. Setiap petang, Rin jangan lupa telefon akak, nanti akak boleh bagi Rin cakap dengan Mimi sendiri. Macam mana?” Luluh hati Syirin mendengar jawapan Kak Jah itu.
Mengalir air mata Syirin. Sayu hatinya akan kebaikan yang ditunjukkan oleh Kak Jah terhadap mereka adik beradik.
“Terima kasih, Kak Jah,” sebak suara Syirin mengucapkan rasa terharunya kepada Kak Jah.
“Dahlah tu, Rin. Rin pun dah banyak membantu akak selama ni. Inilah peluang akak untuk membantu Rin pulak. Dahlah tu, jangan nangis lagi,” Kak Jah cuba memujuk.
Kak Jah faham perasaan Syirin yang begitu menyayangi Mimi. Syirin tidak pernah berpisah dengan adik comelnya sebelum ini, jadi sudah tentu lebih sukar untuk dia berpisah dengan Mimi di dalam keadaan begini.
Dia juga sayangkan Syirin dan Mimi. Mereka begitu rapat dengannya, lebih rapat dari ahli keluarganya sendiri.
Masakan tidak, mereka lebih kerap menghabiskan masa bersama di kedai bunga itu daripada di rumah, jadi kemesraan yang terbina di antara mereka adalah lebih akrab dan utuh daripada ahli keluarganya sendiri.
“Kak, bagaimana dengan kedai bunga akak tu pulak? Siapa yang akan membantu akak di kedai?” Syirin baru teringat akan situasi yang ditinggalkannya kepada Kak Jah.
“Itu Rin jangan risau. Buat sementara ni, Lina ada untuk membantu. Semester dia tu, dua minggu lagi baru nak mula. Jadi semasa cuti ni akak mintalah dia tolong. Pertolongan yang kena berbayar, Rin oii! Katanya nak cari duit extra untuk tampung bil telefonnya tu. Hish!! budak-budak sekarang ni, duit telefon tu bukan main tinggi lagi. Agaknya, biar tak makan asalkan dapat bercakap di telefon. Kena pulak kalau yang tengah bercinta tu.” Kak Jah mengomel akan kerenah Lina, adiknya yang agak boros menggunakan telefonnya.
“Orang muda kak, kita nak cakap macam mana lagi? Lepas tu, bila Lina dah masuk semester nanti, macam mana pulak?”
“Rin, tu semua Rin jangan risau. Akak memang kena cari pengganti sementara dalam waktu terdekat ni. Yelah, sebulan Syirin di sana dan lepas tu Syirin nak teruskan dengan rawatan Mimi pulak, mesti Rin kena cuti lama. Nanti akak buat iklan, mesti ramai yang sudi bekerja dengan akak nanti.” Kak Jah memberitahu Syirin perancangannya.
Kak Jah tahu Syirin amat sayangkan kedai bunga itu sebagaimana dirinya juga. Mereka berdua telah sama-sama membangunkan kedai bunga itu sejak dulu lagi dan mereka sememangnya telah menumpukan sepenuh perhatian kepada kedai itu.
Itulah sebabnya dia tidak ragu-ragu untuk mengambil Syirin sebagai rakan kongsi dan menyerahkan sebahagian daripada keuntungan yang mereka raih kepada Syirin setiap bulan sejak dua tahun yang lalu.
Kak Jah sedar kalau tanpa Syirin, tidak mungkin kedai bunganya akan maju seperti sekarang ini. Syirin sememangnya punya idea dan kreativiti yang tinggi.
Susunan bunga segarnya menarik perhatian pelanggan dan bunga tekapnya pula melariskan lagi jualan di kedai bunganya itu. Di samping itu juga, Syirin rajin membuat cross-stitch bila ada kelapangan.
Dari masa ke semasa, Syirin juga akan memberikan idea-idea baru dan bernas kepadanya. Jika boleh digunakan idea tersebut, mereka kemudiannya akan sama-sama merealisasikannya.
Kerana inovasi dan perubahan yang kerap berlaku di kedai itu, pelanggan mereka tidak jemu-jemu datang ke kedai bunga tersebut untuk melihat sendiri kreativiti yang dipamerkan dan kehadiran mereka ini telah meningkatkan lagi hasil jualan di kedai bunga itu.
Kedai bunga itu bagaikan sebuah galeri seni yang tidak formal. Mereka mempunyai pelanggan-pelanggan tetap yang kini sentiasa bertanyakan khabar Syirin dan Mimi. Kedai bunga itu tidak berseri tanpa Syirin dan Mimi.
Kini tiada lagi terdengar suara-suara riang dan ceria dari kedua-duanya mereka. Mereka berdua juga adalah penyeri kedai bunga itu. Yang seorang itu adalah gadis cilik yang comel dan keletah, sementara yang seorang lagi adalah gadis jelita dan manja.

Kak Jah sedar yang Syirin tidak menyedari akan kejelitaan semula jadi yang dimilikinya. Kak Jah juga sedar bahawa kejelitaan itulah yang menjadi daya penarik kepada kedainya kerana mereka mempunyai pelanggan tetap, tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Semuanya menerima layanan yang sama rata dari Syirin.
“Kalau macam tu, baiklah Kak Jah. Insya ALLAH, esok saya telefon lagi. Assalamualaikum!” Syirin mengakhiri perbualan dengan mengucapkan salam dan terus mematikan talian.
Syirin terasa sebak semula. Dia terkenangkan Mimi. Dia tidak pasti apakah Mimi sedar bahawa dia sekarang berada jauh di tempat orang. Semalam sebelum melangkah datang ke sini, dia singgah terlebih dahulu di hospital untuk berjumpa Mimi dan menerangkan kepada Mimi tentang pemergiannya untuk mencari Erman. Bagaimanapun, ketika itu Mimi berada di dalam keadaan separuh sedar akibat ubat penahan sakit yang disuntik kepadanya.
Syirin telah pergi meninggalkan Mimi tanpa menyedari bahawa dia akan berada sebulan di sini. Dia harap Mimi akan mengerti keadaannya nanti.
Dia hanya ditinggalkan buat sementara, untuk mencari wang yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Mimi. Syirin pasti Mimi akan rindu padanya sebagaimana dia juga akan merindui Mimi. Dia berharap panggilan telefonnya petang nanti akan dapat memberikan pengertian kepada Mimi akan tujuan kenapa dia ditinggalkan pergi.

No comments: