Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC10

Melangkah masuk ke Restoran Berputar seakan memasuki satu alam yang baru. Berada di puncak menara, malam yang cerah itu menjanjikan sesuatu yang indah. Bintang-bintang bertaburan menghiasi dada langit. Lampu-lampu yang berwarna warni dan berkilauan, saujana mata memandang. Indah dan menawan.
Pandai Fandi memilih lokasi, puji hati kecil Ilia. Dia memang gemarkan restoran itu dek pemandangan yang boleh dinikmati sambil menjamu selera. Namun tidak banyak kesempatan yang dia ada untuk datang selalu ke tempat itu.
Mereka dibawa ke satu sudut yang agak tersorok, namun berdekatan dengan dinding bercermin itu. Keindahan malam di sebuah kota raya yang sentiasa hiruk pikuk dengan sebuah kesibukan dapat juga disaksikan dari situ. Pelayan restoran pula sudah sedia menanti untuk mereka membuat pilihan.
“Okey, Durra nak makan apa, ala Carte ataupun buffet?” Fandi memberi peluang untuk Ilia membuat pilihan. Ilia menatap menu di hadapannya.
“What do you suggest?”
“Kalau rasa nak makan banyak dan dengan pilihan yang banyak, buffet lagi bagus, tapi kalau nak jaga badan, Durra boleh order ala Carte sahaja.”
“Cuba awak tengok saya ni, awak rasa saya patut jaga badan ke ataupun tidak?” Ilia bertanya dengan manja sambil mendepangkan tangannya. Matanya terkedip-kedip menggoda. Aksi itu ada dilihatnya di dalam drama lakonan Jasmin Hamid. Dia sukakan pelakon itu yang memang pandai membawa watak penggoda. Lakonannya memang berkesan.
Tapi tak tahulah pula Ilia sama ada dia akan berjaya membawakan watak ini. Dia bukannya seorang pelakon. Lakonannya juga bukanlah untuk sebuah kamera yang sedang berputar. Dia sedang berlakon untuk memancing perhatian seorang lelaki. Dan dia mungkin terpaksa menunggu lama untuk melihat hasilnya itu.
Fandi menarik nafasnya dalam-dalam. Sekilas ditatap tubuh yang separuh terdedah di hadapannya. Gebu dan halus. Memang menggiurkan. Lagipun dia memang seorang lelaki sejati. Dia juga punya perasaan dan nafsu. Terpaksa ditelan air liurnya. Kemudian dikalih pandangannya pada wajah wanita itu kembali.
“Ukuran badan awak tu dah kira okey dah tu, Durra. Buat apa nak kuruskan lagi. Tak elok untuk kesihatan.” Fandi meluahkan buah fikirannya.
Ilia tersenyum manja. Hem… dia dah perasan… Hatinya mula berlagu riang.
‘Sebelum saya membuat pilihan, saya nak juga tahu, apa pilihan awak?’
“Saya ni jenis yang suka makan, jadi saya mesti pilih makan secara buffet sahaja.”
“Kalau macam tu, saya pun ikut sekali macam awak.”
“Minuman pula bagaimana? Awak nak minum apa, Durra?”
“Fresh orange.”
“Two fresh orange please.” Fandi menoleh memberitahu pelayan yang masih setia menanti.
“Jom, kita ambil makanan.” Fandi mempelawa Ilia untuk ke meja yang telah terhidang dengan pelbagai juadah yang menarik.
Ilia bangun dan mengekori Fandi. Dia memilih beberapa jenis lada Benggala, daun salad dan juga brokoli untuk hidangan permulaan. Baru beberapa tapak melangkah pulang ke mejanya, baru dia tersedarkan sesuatu.
Dia berpusing ke dulang yang menyediakan tiram dan mula mengambil beberapa biji tiram yang telah dibukakan kulitnya. Setelah berpuas hati dengan pilihan yang ada di dalam pinggannya, dia kembali menuju ke meja.
Fandi telah pun sedia menanti di situ.
“Hm nampaknya selera kita hampir sama” kata Ilia, merujuk kepada apa yang ada di dalam pinggan Fandi dan juga pinggannya.
Fandi hanya tersenyum dengan andaian yang telah Ilia buat. Apabila Ilia telah kembali duduk di tempatnya, Fandi mula menyuap makanannya.
Ilia juga melakukan tindakan yang sama. Perutnya memang lapar. Sejak tengah hari tadi dia tidak mengambil sebarang makanan untuk dijadikan alas perut. Mesyuarat demi mesyuarat terpaksa dihadiri kerana pelancaran tapak projek untuk resortnya yang baru itu akan diadakan tidak lama lagi. Kakitangannya juga sibuk dengan segala persiapan yang sedang diatur. Dia perlu memantau perjalanan persiapan itu untuk memastikan tiada perkara yang sangkut di mana-mana.
Sedang asyik mereka menjamu selera, seketika kemudian, pelayan restoran itu datang dan mula menghidangkan minuman yang telah dipesan Fandi.
“Selalu ke awak datang ke sini?” Ilia memulakan bicara apabila pelayan itu beredar dari meja itu dan membiarkan mereka menikmati juadah yang telah terhidang.
“Tidak juga. Itu pun bila diajak oleh kawan-kawan saya. Bagaimana dengan Durra pula?”
“Pun jarang sekali. Kali terakhir adalah bersama dengan Datuk Majid.” Ilia menjelaskan. Makanan dikunyahnya perlahan-lahan agar mudah terhadam nanti.
Sebaik disebut nama Datuk Majid, kenangannya bersama Datuk Majid kembali berputar di ingatannya. Datuk Majid yang sentiasa cuba untuk memanjakan dirinya. Datuk Majid sebagai seorang teman. Datuk Majid sebagai seorang bapa. Namun Datuk Majid bukan seorang suami dalam erti kata sebenarnya. Semua kenangan bersamanya ada kalanya manis dan menyentap di jiwa dan ada kalanya terlalu pahit untuk dikenang.
Wajah Ilia mendung seketika. Walaupun hanya sepintas lalu, namun Fandi tetap menyedarinya.
Kenapa dia kelihatan muram? Sudah dua tahun berlalu. Masih bersedihkah dia dengan pemergian Datuk Majid? Sayang sangatkah Durra kepadanya?
Hati Fandi terus tertanya-tanya apabila melihat kemurungan yang terpapar di wajah yang mulanya tadi begitu manja dengan aksi yang begitu menggoda itu.
Fandi sebenarnya terasa pelik kerana karakter yang ditunjukkan oleh Durra sejak pertemuan mereka minggu lepas asyik berubah-ubah.
Watak yang mana satu sebenarnya adalah kepunyaan Durra, masih menjadi misteri. Siapakah dia? Adakah dia seorang wanita yang mementingkan kerjayanya? Adakah dia seorang wanita yang benar-benar kesunyian seperti pengamatannya minggu lepas? Adakah dia seorang wanita penggoda seperti yang digosipkan oleh orang ramai?
Fandi teringat kembali kepada aksi-aksi Durra sejak pertemuan mereka. Minggu lalu, dia tampak begitu serius walaupun kelam-kabut seketika dengan kehadirannya yang tidak di undang.
Sebaliknya tidak begitu pada malam ini. Dia begitu menggoda dan mengghairahkan, mengalahkan lagak seorang pelacur kelas atasan ataupun GRO di kelab-kelab malam.
Namun baru sebentar tadi, wanita ini kelihatan muram, seperti ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya.
Nampaknya wanita ini lebih kompleks dari yang disangka.
Namun walau siapa pun dia, perasaan Fandi yang telah lama tidak bergolak kerana seorang perempuan menjadi tidak menentu, apatah lagi dengan keseksian yang dibentangkan di depan matanya kini. Hatinya terus tertanya-tanya, namun jawapannya masih tiada.


MEREKA terus menikmati hidangan yang tersedia tanpa banyak bicara. Sekali sekala mereka berbual-bual tentang beberapa tajuk yang sedang berlaku di Malaysia tika ini.
“Durra memang suka makan tiram ke? Saya tengok banyak juga yang Durra dah ambil.” Fandi menegur Ilia yang sedang leka memerah limau nipis ke atas tiram yang hendak dimakannya. Limau itu adalah untuk menghilang bau hanyir pada tiram yang hendak ditelannya. Dilihatnya hampir separuh dari pinggan itu berisi dengan tiram.
“Memang saya sukakannya. Walaupun tidak ramai orang yang menyukainya, tapi bagi mereka yang sudah biasa duduk di tepi laut yang berbatu-batu, dan telah biasa memakan teritip, pasti akan mengatakan bahawa rasa tiram ini hampir sama dengan rasa teritip.”
“Teritip?”
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Baru kali ini saya mendengar nama teritip. Apa tu?” tanya Fandi ingin tahu.
“Tidak ramai orang yang tahu tentang teritip. Teritip tidaklah sepopular tiram. Teritip adalah antara makanan bagi orang yang tinggal berdekatan dengan laut, makanan orang kebanyakan. Tiram pula popular kerana mutiara yang terkandung di dalamnya, makanan orang kaya.” Ilia membezakan status bagi kedua makanan kegemarannya itu.
“Bentuknya juga macam tiram?”
“Bentuk teritip taklah sama macam tiram, malah jauh lebih kecil dari tiram. Satu lagi, teritip ni melekat pada batu-batu di tepi laut. Bukannya seperti tiram yang perlu diselami ke dasar laut.”
“Habis tu, kalau dah melekat di batu, macam mana caranya Durra mengambilnya? Tak susah ke?”
“Teritip perlu dicatuk keluar dari batu.”
“Dicatuk? Macam mana pula tu? Macam ayam yang mematuk ke tanah tu ke?” Tanya Fandi sambil tangannya melakukan aksi kepala ayam yang sedang mencatuk cacing di tanah untuk makanannya.
Tergelak Ilia melihatkan aksi Fandi yang bersahaja. Hampir tersembur salad yang sedang dikunyahnya. Dipastikan terlebih dahulu makanan itu telah ditelan sepenuhnya sebelum dijawab pertanyaan Fandi seketika tadi.
“Lebih kurang. Tapi aksi awak tu lebih kepada aksi ular nak patuk mangsanya sahaja.”
Tercetus ketawa Fandi mendengar teguran Ilia.
“Sebenarnya, semasa nenek saya hidup dulu, saya selalu mengikut nenek saya pergi mencatuk teritip di tepi pantai. Dengan berbekalkan sebuah topi, sebiji botol dan bakul yang berisi alat mencatuk, kami akan ke pantai bila air telah surut. Kadang-kadang tu, sambil mencatuk tu, ada juga yang masuk ke mulut saya. Jadinya, orang lain bawa balik botol yang penuh berisi teritip, tapi botol saya pula hanya separuh penuh sebab yang separuh lagi dah masuk dalam perut.”
Tersengih Ilia bercerita kepada Fandi. Fandi yang sedang asyik merenung raut wajah Ilia yang ayu turut sama mentertawakan cerita lucu yang disampaikan oleh Ilia.
“Hish, tak basuh dulu ke? Tak masin?”
“Buat apa nak basuh, makan direct from the source. Kami gunakan belakang camca yang telah diasah menjadi sudip kecil untuk mengeluarkan teritip dari kerangnya, jadi tak perlu basuh sebab ianya bersih dan tidaklah masin sekiranya kita tak rendam dalam air laut tu. Lagipun teritip ni kecil aje, jadi taklah berbau hanyir seperti kita makan tiram ni. Dan satu lagi, laut dulu bukan macam sekarang ni. Dulu, air laut begitu bersih dan tidak tercemar seperti sekarang.”
“Ada benarnya kata awak tu, Durra. Tapi tak payahlah kita membincangkan dengan lebih panjang lagi. Saya cuma nak tahu, teritip awak tu dimakan begitu sahaja ke, ataupun dimasak oleh nenek awak, Durra?”
“Both. Bagaimanapun, selalunya sebaik sahaja sampai di rumah, nenek saya akan menanak nasi terlebih dahulu. Kami makan teritip mentah bersama nasi panas. Memang best.” Ilia menerangkan sambil menunjukkan isyarat ‘best’ dengan ibu jarinya sambil memasukkan sebutir lagi tiram ke dalam mulutnya.
Fandi memerhatikan sahaja Ilia yang menjilat sisa-sisa tiram dari bibirnya itu. Walaupun gerak laku itu begitu bersahaja, namun ia sudah cukup untuk membuatkan fikiran Fandi memikirkan sesuatu yang lebih nakal lagi.
Fandi! You need to concentrate here! Fandi memarahi dirinya sendiri. Cuba hendak difokuskan fikirannya kepada apa yang sedang diceritakan oleh Ilia kepadanya.
“Sebelah malamnya pula nenek akan membuat sambal teritip. Bersama dengan ulam, tak perlu lauk lain, itu pun sudah lebih dari mencukupi. Hem, dah lama benar tak makan sambal teritip ni bersama-sama dengan ulam-ulaman, terasa rindu pula.” Sambung Ilia lagi sambil mula menyuap satu demi satu tiram di pinggan ke dalam mulutnya.
Seronok Fandi mendengar cerita Ilia. Air muka Ilia juga jelas membayangkan betapa cerianya zaman kanak-kanaknya suatu ketika dulu. Dia sentiasa tersenyum simpul sambil bercerita. Fandi yang memerhati juga tidak jemu dari memandang wajah yang bersinar dengan kegembiraan itu. Hilang kemuraman yang tadinya telah datang bertandang di wajah itu.

No comments: