Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, February 19, 2011

SSR8

Seperti dua malam yang lepas, sekali lagi Ameera Syuhadah menunggu dalam debaran. Entah kenapa, dia begitu teruja untuk menemui Zack yang dikatakan sebagai adik Franz itu. Namun begitu, kali ini dia lebih tenang kerana Hamd dan Lynd telah keluar ke perpustakaan kampus. Selalunya mereka akan pulang menjelang 11 malam.
Sebaik terdengar bunyi ketukan di pintu rumahnya, Ameera Syuhadah yang telah siap berpakaian, bergegas menuju ke muka pintu. Dibuka dengan hati yang berdebar.
Sebaik pintu di buka, kelibat Zack telah hilang dari pandangannya. Dibiarkan pintu rumahnya terbuka dan dia melangkah keluar dengan segera.
“Tunggu!” Pinta Ameera Syuhadah sebelum kelibat Zack sekali lagi hilang di sebalik daun pintu keluar menuju ke tangga. “Di sini aje.” Dia memberitahu.
Langkah lelaki itu terhenti dan dia berpaling menghadap Ameera Syuhadah. Sinaran lampu kaliman-tang yang lebih terang dari dua malam yang lepas membasahi wajah lelaki itu. Ameera Syuhadah merenung wajah itu seketika. Masih serius seperti dulu. Kemudian di kalih pula pandangannya ke bawah, ke tangan yang sedang memegang bungkusan. Pasti bungkusan itu untuknya.
Ameera Syuhadah melontarkan kembali pandangan matanya ke arah muka Zack. Lelaki itu masih lagi merenungnya. Mulutnya juga masih terkunci. Suasana hening mula menyelubungi. Ameera Syuhadah mula rasa tidak sedap hati.
“Err, awak sebenarnya nak serahkan bungkusan itu kepada saya, kan?”
Zack senyap tidak menjawab. Cuma kening sebelah kanannya yang terangkat. Senyuman sinis mula bertaut di bibirnya.
‘Hish, apa kenanya pulak dengan mamat sorang ni?’ Getus Ameera Syuhadah dalam hati. Dia mula bengang dengan situasi yang sedang dihadapinya itu.
“Fine. You can keep bekas tu. Franz can return it to me later. I am going in,” selamba Ameera Syuhadah mengugut. Serentak dia berpaling, berpura-pura hendak meninggalkan tempat itu. Lagipun dia tidak betah berdiri lama di situ. Takut Imah dan Yus pula yang lalu.
“Wait.” Akhirnya lelaki itu bersuara. Ameera Syuhadah memalingkan badannya semula menghadap Zack. Dengan muka cemberut, dia menantikan sahaja perkataan yang seterusnya yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
“Here. From my brother.” Pemuda itu menghulurkan beg plastik di tangannya kepada Ameera Syuhadah.
Ameera Syuhadah menyambut huluran tersebut. Kemudian, tanpa sepatah perkataan, dia berpusing menuju ke arah rumahnya. Sambil berjalan, dia sempat melihat apa yang ada di dalam beg plastik tersebut. Ada sesuatu yang bukan miliknya di situ.
“Hei, tunggu!” Ameera Syuhadah bergegas mendapat-kan Zack yang telah pun menuruni anak tangga.
Lelaki itu berhenti di tempatnya. Dia memandang ke ke arah Ameera Syuhadah. Dahinya berkerut. Mungkin keliru kenapa perjalanan perlu dihentikan di situ.
“Ini bukan milik saya,” beritahu Ameera Syuhadah kepada lelaki itu sambil menghulurkan sebuah kotak kecil yang berbalut kertas bunga.
“It’s not mine as well. Must be yours, from my brother.”
“Tapi….”
Tangan Zack terangkat ke atas sebagai tanda supaya Ameera Syuhadah tidak menyoalnya lagi.
“Why don’t you ask him about that?” Arahnya sambil meneruskan perjalanannya menuruni anak tangga.
Ameera Syuhadah kelu di situ. Diperhatikan sahaja lelaki itu hilang dari pandangan matanya dalam beberapa saat sahaja. Seolah-olah ada yang sedang dikejarnya.
Akhirnya Ameera Syuhadah menghembuskan nafas. Dia mengeluh.
‘Kehadiran lelaki ini bagaikan badai yang datang melanda, benar-benar mengacau-bilaukan perasaan aku ni,’ omel Ameera Syuhadah di dalam hati. Dia mengaku yang dia semakin tertarik kepada lelaki itu, walaupun dia agak biadab kepadanya.
‘Hei Ameera, you need to be careful here,’ Ameera Syuhadah mengingatkan dirinya. Akhirnya dia berpatah untuk masuk ke rumahnya semula.

Di dalam rumah, Ameera Syuhadah mengeluarkan bekas-bekas makanan yang telah dipulangkan semula oleh Franz kepadanya. Setelah selesai, dia mengalih pandangan matanya ke arah bungkusan yang diterimanya dari Franz. Direnung bungkusan di tangannya. Lama. Mempertikaikan sama ada dia wajar menerima hadiah itu.
‘Ameera Syuhadah, kau terima aje hadiah tu. Takkan kau nak menolak pemberian orang,’ hatinya memberi pertimbangan.
‘Tapi kau tak patut menerimanya. Untuk apa dia memberi? Mungkin dia mempunyai maksud di sebalik pemberiannya?’ Sebahagian hatinya memberikan alasan.
‘Ameera, kau tak pernah meminta, tapi dia yang ikhlas memberi. Kau patut menerimanya. Tak baik kau menolak pemberian Franz. Cuba kau bayangkan pula kalau makanan yang kau beri pada dia hari tu ditolaknya mentah-mentah. Kau tak sakit hati ke?’ Hati Ameera Syuhadah pula mendesaknya.
Memikirkan tentang alasan yang baru ini, Ameera Syuhadah akhirnya akur. Dia mula membuka bungkusan itu dengan cermat. Diamati apa yang ada di dalamnya.
Ameera Syuhadah terkedu. Hadiah yang diterimanya bukan sebuah pemberian yang murah. Pewangi Poison Ungu telah menjadi pilihan Franz. Dibuka penutup botol itu dan disemburkan sedikit ke pergelangan tangannya.
Semerbak keharuman memenuhi ruangan rumah. Dicium pula pergelangan tangannya. Ameera Syuhadah rasa selesa dengan keharuman yang baru dihidunya itu. Walaupun baunya agak kuat, namun ia kaya dengan berbagai emosi.
Ameera Syuhadah kembali menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia pasti dia akan menarik perhatian orang lain kepadanya sekiranya dia menggunakan pewangi itu. Walaupun baru aje mengenakan pewangi itu ke tangan, dia sudah mula berfikiran nakal. Terasa dirinya seksi dan menarik, apatah lagi bila ianya dihadiahkan oleh seorang lelaki.
Ditatapnya sekali lagi kepada botol pewangi itu. Cuba di analisa maksud di sebalik nama yang tertera di situ.
Agaknya Franz mengatakan yang aku ni bagaikan racun. Tapi kepada siapa? Kepada dia ke? Tanya Ameera Syuhadah pada dirinya sendiri.
‘Dahlah tu Ameera, jangan bersoal jawab dengan diri sendiri. Pasti tiada jawapan untuk itu. Kau perlu bertanya kepada insan yang memberikan kau hadiah ini. Barulah kau akan tahu nanti. Mungkin dia tiada maksud di sebalik pemberiannya ini,’ nasihat Ameera Syuhadah kepada dirinya.


Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Tepat setengah jam kemudian Franz menelefonnya.
“Awak ada beri saya hadiah ke?”
“Dah terima?”
Ameera Syuhadah menganggukkan kepala. Seketika kemudian baru dia tersedar yang mereka sedang di talian. “Ada, tapi kenapa?” soalnya pula.
“Untuk kuih raya yang awak berikan hari tu,” jawab Franz.
“Franz, saya tidak mengharapkan sebarang balasan. Saya ikhlas memberinya kepada awak. Bukankah sekarang ni bulan Syawal?” jelas Ameera Syuhadah kepada Franz.
“Dan hadiah itu pula adalah tanda terima kasih saya kepada awak.” Tekan Franz pula.
“Tapi kenapa Poison?”
“Awak agak?”
“Saya ni racun?” Pantas Ameera Syuhadah menjawab, menyuarakan soalan yang sedang bermain di fikirannya.
Meledak ketawa Franz. Dia sudah mengagak yang itulah yang akan disangka oleh gadis itu.
“Kenapa ketawa, Franz?” Tanya Ameera Syuhadah lagi setelah Franz berhenti ketawa.
“Saya dah agak mesti awak akan buat kesimpulan tersebut. Awak nak tahu sebabnya?”
“Mestilah.”
“Menurut promoter tu, the perfume is incredibly evocative, haunting and almost disturbingly erotic. Memorable and a bit naughty. With the right amount, it makes you sexy and beautiful and dangerous too.
Bagi saya pula, awak bukanlah racun tapi sebenarnya kehadiran awak adalah suatu misteri. Kehadiran awak telah memberi impak yang agak besar kepada saya dan kehidupan saya. Kehidupan saya semakin menceriakan. Saya tidak lagi hanya memikirkan tentang kerja tapi kini saya ada sesuatu yang saya nantikan menjelang malam tiba. Awak. Seperti perfume tu juga, saya merasakan yang kehadiran awak, walaupun kita tidak pernah bertemu, seolah-olah menghantui saya. Menggugat ketenangan saya.”
“Sampai begitu sekali?” Ameera Syuhadah mula ragu-ragu. Apakah persahabatan yang dihulurkannya ini akan membawa akibat yang tidak pernah diimpikannya?
“Yup. Mungkin awak tidak mengetahuinya tapi awak benar-benar telah menceriakan hari saya.” Tekan Franz sekali lagi.
“Kalau begitu, alhamdulillah. Saya bersyukur kerana ada juga gunanya saya ni kepada awak,” kata Ameera Syuhadah secara berseloroh. Dia rasa kurang senang kerana dipuji begitu.
Franz ketawa kecil. Dia dapat merasakan yang gadis itu kurang senang bila dipuji. Dia membuat kesimpulan yang gadis yang sering bercerita dengannya ini memang tidak akan tunduk dengan pujian, tidak akan kalah kepada kaki bodek.
“Ameera, awak nak tahu tak apa pandangan adik saya tentang awak?”
“Boleh juga.” Pantas Ameera Syuhadah menjawab. Kata-kata Franz telah menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hatinya. Jarang sekali kenalannya memberitahu pendapat mereka tentang dirinya.
“Okey, yang pertama, raut wajah awak terlalu serius. Sukar saya nak percaya sebab di telefon ni awak tak kedengaran sebegitu.”
“Memang saya dikenali sebagai seorang yang serius. Kalau tak percaya, awak boleh tanya pelajar-pelajar di sini. Itu adalah reputasi saya.”
“Hm, satu kontradiksi yang menarik.”
Ameera Syuhadah tersenyum. Dia tahu agak sukar untuk orang lain mempercayai kata-katanya sebentar tadi. Telah acap kali orang yang tidak mengenalinya akan membuat kesimpulan yang dia sombong orangnya. “Apa lagi?” tanyanya lagi untuk terus mengetahui apa pandangan adik Franz terhadapnya.
“Yang kedua, walaupun awak berada di bumi Miami yang merupakan sebuah kota Megapolitan, tetapi awak tetap kekampungan. Memang susah nak jumpa keadaan seperti itu di sini.”
“Kekampungan?” Ameera Syuhadah mencelah.
“Iya.”
“Kenapa dia kata begitu?”
“Sebab awak terlalu simple dan terlalu ringkas bila berpakaian. Dua kali dia bertemu dengan awak tapi dua kali itu juga dia melihat awak hanya berkain batik yang terikat ringkas di pinggang awak, macam emak-emak di kampung. Silap-silap hari bulan, boleh terlondeh ikatan kain awak tu.” Gurau Franz dengan sinis.
“Merepeklah awak ni, Franz. Sebenarnya saya lebih suka berkain batik bila di rumah. Lagipun emak saya dah membekalkan kain-kain tu untuk saya, takkan saya tak pakai. Ianya mengingatkan saya kepada emak saya, boleh hilang rindu saya pada dia bila memakainya.” Jelas Ameera Syuhadah. Dia tidak pernah mempedulikan apa kata orang tentang pakaiannya.
“Memang cara yang bagus untuk menunjukkan yang kita menghargai pemberian orang lain,” ujar Franz.
Ameera Syuhadah tergelak. “Memang sepatutnya kita menghargai pemberian orang. Saya juga hargai pemberian awak tu. Saya akan memakainya hanya bila kita bertemu nanti.”
“Awak benar-benar nak jumpa dengan saya?”
“Iya.”
“Kenapa?”
“Sebab saya nak tahu dengan siapa sebenarnya saya bercakap. Ada rupa, ada bentuk, bukan hanya sekadar suara.”
“Walaupun saya seorang yang cacat?”
“Kecacatan seseorang bukan alasan.” tukas Ameera Syuhadah pula.
Franz senyap. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.
“Baiklah, tapi beri saya masa untuk memikirkan bila waktu yang sesuai. Boleh?”
“Boleh. Saya tunggu.”
Mereka berbicara beberapa minit lagi sebelum Ameera Syuhadah menghentikan perbualan mereka. Kedengaran bunyi pintu dibuka. Lynd dan Hamd telah pun pulang dari perpustakaan.

No comments: