Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, February 19, 2011

SSR9

Waktu telah menjangkau pukul 9:30 malam. Kelas malam itu telah habis seperti biasa, tapi Ameera Syuhadah masih lagi berada di kampus. Dia telah berjanji untuk bertemu dengan Franz pada malam itu. Di saat ini, dia semakin resah menanti. Debaran terasa begitu kuat. Entah kenapa dia tidak dapat hendak menenangkan dirinya.
Walaupun hatinya begitu kuat mengatakan bahawa lelaki yang akan ditemuinya malam itu adalah orang yang sama yang telah dua kali ditemui di tangga rumahnya, namun hatinya juga tidak dapat mengelak dari memberi-tahunya yang Franz mungkin juga adalah seorang yang berbeza, seorang yang cacat dari segi fizikalnya.
Selepas kelasnya berakhir tadi, dia pantas menuju ke Whitten University Center, di tempat yang telah mereka janjikan dua malam yang lepas. Agak lama juga dia menjadi pak pacak di situ, namun kelibat lelaki Melayu tidak juga muncul-muncul. Sebenarnya Ameera Syuhadah takut juga sekiranya ada pelajar Melayu lain di situ. Takut mereka mengetahui tentang pertemuan itu.
‘Hish, mana pulak mamat ni. Takkan nak tunggu lama lagi. Sampai bila? Malam dah semakin lewat ni. Nanti aku juga yang susah kalau berterusan begini.’ Gerutu Ameera Syuhadah di dalam hati. Dia tidak mahu Hamd dan Lynd di rumah akan risaukan dirinya yang pulang lewat. Dia memang jarang pulang lewat kerana dia bukannya jenis yang suka duduk di perpustakaan. Dia lebih selesa belajar di rumah sahaja. Perpustakaan hanya akan dijejaki hanya sekiranya dia memerlukan bahan rujukan. Segala bahan itu pula akan difotostatnya dan dibawa pulang ke rumah.
‘Eii...nak tunggu lagi ke tidak ni? Atau baik aku balik aje...’ Ameera Syuhadah berterusan mengomel sendirian untuk menenangkan hatinya yang gundah. Telah agak lama dia di situ dan dia tidak mahu menunggu lebih lama.
Akhirnya Ameera Syuhadah mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Dia mula membuka langkah untuk meninggalkan perkarangan bangunan itu. Namun beberapa saat kemudian, dilihat kelibat adik Franz berjalan pantas menuju ke arahnya.
Ameera Syuhadah menghentikan langkah. Sebaik sahaja lelaki itu berada di sisinya, terus di renung wajah Zack yang kelihatan begitu serius. Melihatkan lelaki itu berseorangan, dia mula membenarkan telahannya.
Tanpa bicara Ameera Syuhadah mengangkatkan sedikit kepalanya ke arah Zack. “Mana? Where is he?” Dia bertanya lembut, tapi terlalu perlahan nada yang keluar dari bibirnya itu. Bagaikan satu bisikan, namun lelaki itu bagaikan mengerti dan dapat menangkap apa yang Ameera Syuhadah cuba nyatakan.
Dia tersenyum, namun senyumannya penuh makna. Ditunjukkan pula tangannya ke satu arah.
Ameera Syuhadah mengalih pandangannya ke sudut yang dimaksudkan. Namun agak gelap di situ. Entah apa yang perlu di lihatnya di situ, dia sendiri tidak pasti. Mungkin juga untuk melihat seorang lelaki yang berkerusi roda. Ameera Syuhadah mengecilkan sedikit matanya, untuk menajamkan lagi penglihatannya. Namun masih tiada apa-apa di situ.
Tiba-tiba….
“I am here. Right beside you.” Ada nada lucu di situ.
Ameera Syuhadah terkesima. ‘Hish, aku benar-benar terkena kali ini.’ Hatinya bungkam. Dia kaku di tempatnya berdiri. Tapi tidak lama. Spontan tangannya menyiku kuat ke arah Franz. Lelaki itu tidak sempat mengelak. Terkena perutnya.
Ameera Syuhadah memusingkan badan. Dikalihkan pandangannya ke arah lelaki yang sedang membongkok menahan kesakitan dengan muka yang menyeringai. Dia cuba untuk tidak mempedulikan keadaan lelaki itu. Dibeliakkan mata dan diketapkan bibirnya, tanda geram dengan pembohongan yang telah dilakukan oleh Franz ke atasnya. Pada masa yang sama, dia juga cuba untuk menahan ketawanya dari meledak keluar pada ketika itu juga.
“Zack atau Franz?” Jerkah Ameera Syuhadah dengan wajah serius walaupun tawanya bagaikan mahu terburai.
“Zack. Tapi pada awak, saya adalah Franz.” Jawab lelaki itu perlahan. Badannya masih lagi terbongkok.
“You set me up!” Rengus Ameera Syuhadah lagi.
Wajah seringai Zack terus berubah. Dia kembali bermuka selamba. Badannya kembali tegak. Tangannya masih lagi menggosok perutnya yang mungkin masih kesakitan. Dia kemudiannya mengubah caranya. Riak wajahnya kini bertukar. Ada sinar yang terpancar dari anak matanya. Dia mengulum senyum dan kemudian menghadiahkan sebutir senyuman sehingga menampakkan kedua lesung pipit yang menghiasi kiri dan kanan ppinya. Sebutir senyuman yang begitu menggoda.
Ameera Syuhadah pasti itu adalah caranya untuk lelaki itu memohon kemaafan daripadanya. Dia sudah tidak betah menahan ketawa. Jika berterusan begitu, dia pasti gagal. Lantas dia berpusing dan berjalan pantas meninggalkan lelaki itu tanpa mahu menunggu lebih lama. Senyum sudah terlepas dari bibirnya, dia tidak mahu ketawanya akan turut terburai sama.
Zack kaget dengan tindak balas Ameera Syuhadah yang tidak disangkanya itu. Dia terpaksa mengejar gadis itu dari belakang. Selang beberapa saat, dia kembali dapat menyamakan langkahnya dengan langkah Ameera Syuhadah. Akhirnya dia mematikan langkahnya dan mencapai untuk menarik lengan gadis itu.
Ameera Syuhadah terkedu. Langkahnya mati di situ. Sudah menjadi kepantangannya bila dia disentuh oleh seorang lelaki. Direnung muka Zack dengan tajam. Kemudian di kalih pula renungan tajamnya ke tangan Zack yang sedang erat memegang lengannya itu.
Baru Zack tersedar yang tindakannya telah mengun-dang kemarahan dari gadis itu. Lantas dilepaskan lengan gadis itu dengan pantas. “I’m sorry!” Rayunya perlahan.
Ameera Syuhadah pura-pura tidak mendengar. Dengan muka yang masam, dia berpaling dan kembali menyambung langkahnya yang terhenti. Zack bertindak mengekorinya dari belakang.
“Boleh saya hantar awak balik?” Zack menawarkan pula beberapa saat kemudian di dalam cubaannya untuk mendapatkan kembali perhatian gadis di hadapannya itu.
Ameera Syuhadah mematikan langkahnya. “Awak ada kereta?”
Zack menganggukkan kepalanya.
“Mana?” Tanya Ameera Syuhadah selamba.
Diunjukkan ke arah medan kereta yang berada tidak jauh dari situ tanpa mengalihkan pandangan dari mata gadis itu. “Saya hantar awak balik?” Sekali lagi dia menawarkan.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Bodohlah dia untuk menolak pelawaannya. Malam kini semakin larut dan entah kenapa, ketika itu tiada keraguan di hatinya untuk membenarkan lelaki itu menghantarnya pulang.
Zack tersenyum senang dengan penerimaan Ameera Syuhadah. Lantas dia membuka langkah menuju ke keretanya. Sebaik tiba di keretanya, pintu penumpang pun dibuka.
‘Hem, kereta Honda Civic model terbaru menjadi pilihannya,’ getus suara hati Ameera Syuhadah.
“Amboi, gentlemannya awak ni?” Ameera Syuhadah menyindir akan tindak tanduk pemuda itu.
Zack tidak menjawab. Sebaliknya dia tersengih bagaikan kerang busuk sementara menantikan Ameera Syuhadah memboloskan dirinya ke dalam perut kereta.
“Marah lagi ke?” Tanya Zack sekali lagi sambil memandu perlahan menuju ke arah Santona Street.
Ameera Syuhadah menjongketkan bahu. Malas dia menjawab soalan lelaki itu. Pandangannya pula dilontarkan ke luar tingkap kereta. ‘Biar dia bengang dengan reaksi aku ini. Tapi lantaklah, siapa suruh dia mengenakan aku begini,’ getus hati Ameera Syuhadah.
‘Walaupun aku telah dapat menekanya terlebih awal, tapi sakit jugak hati aku ni kerana dia sanggup buat macam ni pada aku. Dan sebagai balasan, aku nak dera perasaannya. Biar dia tahu perasaan orang yang cuba ditipunya ini,’ omel hati kecil Ameera Syuhadah lagi.
“Ameera, awak dengar tak? Are you listening? Am I talking to a deaf now?” Suara Zack kedengaran sedikit membentak. Mungkin kemarahan sudah mula bertandang di hatinya.
Namun begitu, Ameera Syuhadah masih bersikap acuh tak acuh. Suasana semakin hening dan sunyi.
“Hei, Meera. I am really sorry. Forgive me, boleh tak?” suara Zack mula bertukar rentak.
Ameera Syuhadah menoleh dan memandang muka lelaki di sebelahnya tanpa secalit pun perasaan. Dia masih membisu tanpa kata.
‘Kiranya bolehlah kalau aku nak jadi pelakon tambahan kat dalam mana-mana drama atau filem yang mahukan artis tempelan untuk meramaikan watak,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah lagi.


Akhirnya pemanduan Zack sampai ke penghujungnya. Dia memberhentikan keretanya di medan letak kereta kawasan Santona Apartment, betul-betul berhadapan dengan apartmen gadis itu. Sebaik dia memberhentikan keretanya, pantas Ameera Syuhadah membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Dilemparkan pandangannya ke arah lelaki yang masih tampak serba salah itu. Ditatap lama wajah yang nampak kegelisahan dengan tindak tanduk yang telah Ameera Syuhadah tontonkan kepadanya.
‘Eii... kesian pulak aku tengok muka monyok mamat ni,’ Ameera Syuhadah mengomel lagi.
Akhirnya dia mengambil keputusan. Dengan selamba, Ameera Syuhadah melemparkan senyumannya yang paling manis kepada lelaki itu.
Zack terpempan dengan tindakan spontan Ameera Syuhadah. Hampir tidak percaya dengan penglihatannya kala itu. Wajah yang beberapa kali dilihatnya serius itu jelas berubah. Berseri dan manis, memukau pandangan matanya. Bagaikan terkena tarikan magnet, jantungnya mula berdegup kencang. Dap dup dap dup. Terasa aliran darah mengalir laju ke segenap salur darahnya. Dia keliru. Dan dia terus memerhati langkah yang di ambil oleh gadis itu sehingga dia mendekati anak tangga untuk menapak naik ke rumahnya.Di pintu masuk, Ameera Syuhadah pasti yang Zack masih lagi memandang ke arahnya. Namun, di dalam kegelapan malam yang cuma diterangi oleh lampu jalan yang agak malap, dia tidak dapat mengagak, apakah riak di wajah lelaki itu. Dia melambaikan tangannya ke arah Zack. Sekali lagi dilemparkan sebutir senyuman sebelum menutup daun pintu.

No comments: