Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK4

"MACAMANA Rin?” suara Kak Jah sekali lagi mematikan lamunan Syirin. “Kau rasa dia mampu ke nak biayai pembedahan Mimi nanti?”
“Mungkin juga!” bersinar mata Syirin dengan harapan yang baru berputik.
Tiba-tiba mukanya mendung kembali. “Tetapi mungkin tidak semudah itu kak. Mereka telah berpisah. Perkahwinan mereka dah musnah.”
Sekali lagi fikiran Syirin menerawang kepada perbualannya bersama Syirah malam itu. Hanya satu malam Syirah bersama mereka dan sepanjang waktu itu, Syirah ada mengakui bahawa perkahwinannya telah musnah sejak hari pertama mereka bernikah.
“Macam yang aku beritahu kau kat kedai tadi, kami bernikah di pejabat kadi. Tak ada langsung kenduri yang diadakan untuk meraikan pernikahan kami.” cerita Syirah dengan wajah yang muram.
“Selesai sahaja upacara akad nikah pagi itu, kami balik ke rumahnya. Lepas tu aku ditinggalkan di situ dan dia terus pergi ke pejabatnya. Dia sedikit pun tidak mempedulikan aku selepas itu.” Syirah semakin sugul menceritakan kisah yang telah berlaku di hari pernikahannya dengan Erman.
Syirin sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu. Namun, dia menjadi pendengar yang setia. Dibiarkan sahaja kembarnya itu meneruskan ceritanya. Cuma sekali sekala dia menyampuk juga untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci.
“Kau tahu tak? Sejak aku kahwin dengan dia, aku makin sunyi. Dia beri aku duit belanja, jadi aku buat keputusan untuk tidak bekerja. Aku tinggal keseorangan di rumah. Bosan, kau tau tak?” Syirah mendengus, meluahkan perasaannya. Dia bengang kerana Erman tidak pernah mahu mempedulikannya. Erman juga tidak pernah mahu menghiraukan kesunyian yang semakin membelenggu dan menyelubungi dirinya.
“Habis tu, Erman ke mana?” Syirin bertanya untuk mencari jawapannya.
“Dia mana ada. Pagi-pagi lagi dah keluar, tengah malam baru dia balik dari kerja. Dia lebih mengutamakan kerjanya tu.”
“Hari-hari macam tu?” tanya Syirin bagaikan sukar untuk mempercayai kata-kata kembarnya itu.
Syirah menganggukkan kepalanya.
Menurut Syirah lagi, hampir setiap hari dia hanya bertemu Erman semasa hendak tidur. Itu pun hanya sekali sekala sahaja kerana acap kali Syirah telah pun tidur apabila Erman balik dari pejabat dan apabila dia bangun dari tidur, Erman telah pun pergi ke pejabat. Erman jarang sekali bercakap dengannya. Akhirnya, Syirah tiada pilihan selain dari pergi meninggalkan Erman begitu sahaja.
“Kenapa kau tak cakap pada Erman apa yang kau rasa?” Syirin bertanya.
“Kenapa kau tak beritahu dia betapa sedih dan sunyinya kau diperlakukan begitu? Lagipun, dia mesti sayangkan kau.”
“Sayang? Huh!” pantas Syirah mencelah kata-kata Syirin, suaranya penuh kebencian.
“Perasaan sayang tiada kena mengena langsung dalam perkahwinan kami. Erman memang mahu kami bernikah dan aku pulak begitu bodoh kerana menyangka yang dengan menikahi Erman, aku pasti akan bahagia. Aku memang bodoh!” Syirah mengutuk dirinya sendiri.
“Sangkaan aku memang meleset sama sekali. Aku telah mengahwini orang yang salah. Erman kaya raya, dapat memberikan segala yang aku impikan. Dia tiada isteri, jadi aku sangka….” suara Syirah semakin perlahan dan tersekat-sekat. Sesaat kemudian, dia mula menangis dan mengongoi.
Wanita yang tadinya kelihatan begitu cantik dan anggun, kini digantikan oleh seorang gadis yang begitu sedih dengan air mata yang bercucuran jatuh mengalir di pipinya.
Syirin bergerak pantas ke sisi kembarnya itu, lalu ditariknya Syirah ke dalam pelukannya. Perasaan marah yang tertuju kepada Erman yang tidak pernah dikenalinya itu menerjah memenuhi ruang fikirannya.
Tidak pernah dilihatnya kembarnya itu menangis dengan begitu hiba, walaupun semasa kematian kedua ibu bapa mereka. Cuba ditenangkan Syirah sambil memupuk lembut bahu kembarnya itu.
Apabila tangisan kembarnya kembali reda, dia berkata-kata dengan suaranya yang tenggelam timbul di sebalik pelukan Syirin. Situasi itu agak menyukarkan Syirin untuk betul-betul memahami setiap butir bicara yang diucapkan oleh Syirah.
Ada sesuatu yang sedang diceritakan. Namun segalanya bagaikan mendengar orang bisu sedang berkata-kata. Bagaimanapun, kata-katanya yang terakhir itu begitu jelas kedengaran di telinganya dan tanpa disedarinya, ia menyemarakkan lagi kemarahan Syirin kepada seorang lelaki yang tidak pernah dikenalinya itu.
“Aku sayangkan dia. Aku betul-betul sayangkan dia, tapi dia hanya menggunakan aku. Dia tak peduli apa yang aku rasa. Dia hanya fikir pasal duit, duit, duit!” suara Syirah yang semakin meninggi. “Dia hanya pentingkan duit, hanya itu yang dia sayang!”

“RIN pernah beritahu akak yang Syirah ada kata yang Erman tu lelaki yang tak berhati perut,” suara Kak Jah sekali lagi mematikan lamunan Syirin. “Tapi daripada apa yang Rin beritahu akak, kakak kembar Rin tu pun bukan baik sangat orangnya. Mimi tu hanyalah seorang budak, mungkin dia yang akan menolong suatu hari nanti. Rin kena cuba. Tanya dia terlebih dahulu, jangan buat andaian aje pada masa ni.” Kak Jah cuba untuk memberikan pandangannya di dalam perkara ini.
Syirin hanya senyap, cuba untuk menimbangkan pandangan yang diberikan oleh Kak Jah kepadanya.
“Apa pekerjaan Erman tu sebenarnya?”
“Entahlah kak, saya pun tak pasti,” Syirin mengakui. “Rasanya dia tu seorang ahli perniagaan. Syirah tak ada pula beritahu saya dengan lebih lanjut mengenai suaminya tu.”
“Macam nilah Rin, memandangkan suami Syirah tu ahli perniagaan, kenapa tidak Rin tawarkan aje satu business proposal kepadanya. Rin jangan cuba minta imbuhan, tapi Rin cuba minta pinjaman pada kadar interest yang rendah, sebab Rin adalah ahli keluarga. Mungkin bukan sebagai ahli keluarga dia tapi sebagai ahli keluarga isteri dia. Dan akak rasa, sekarang ni pun Rin masih belum beritahu suami Syirah apa yang dah terjadi, kan?”
Syirin menggelengkan kepalanya, mengesahkan sangkaan Kak Jah.
“Takkan Rin nak senyapkan aje perkara ni dari pengetahuan dia?”
“Memang betul cakap akak tu,” Syirin bersuara perlahan.
Dia agak terkedu seketika kerana tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memberitahu suami Syirah apa yang telah terjadi ke atas isterinya itu. Kegelisahan dan kerisauannya di atas apa yang sedang menimpa Mimi telah melupakan dia dari perkara-perkara lain di dalam hidupnya. Peristiwa yang terjadi telah membuatkan dia juga lupa untuk menangisi pemergian Syirah. Mungkin kerana Syirah baru sahaja muncul kembali ke dalam kehidupan mereka, jadi kehilangan Syirah tidaklah begitu dirasai oleh Syirin.
Bagaimanapun, tika ini kewujudan Erman mungkin adalah rahmat dari ALLAH. Rahmat dari segala kejadian yang berlaku. Mungkin betul kata-kata Kak Jah, dia sepatutnya telah memberitahu hal kematian Syirah kepada Erman. Erman perlu dihubungi. Bagaimanapun, Erman perlu dicari terlebih dahulu. Setelah itu barulah dapat Syirin menerangkan kejadian sebenar dan kemudian meminta pertolongan dari Erman.

Syirin amat berharap yang Erman akan dapat membantunya. Serasa Syirin, dia mungkin ada nombor telefon Erman. Syirin cuba mengingatkan di mana dia pernah melihat nombor telefon tersebut.
Oh ye, nombor itu ada bersama dengan alamatnya yang mungkin tercatat di dalam buku nota kecil yang tersimpan di dalam beg tangan Syirah yang telah diserahkan oleh pegawai polis wanita tersebut.
Harapan kembali bersinar tatkala Syirin berada di hujung jalan buntu. Dia memanjatkan doa kepada ALLAH agar jalan yang akan diambilnya ini akan dapat membantu dia menyelesaikan masalah yang dihadapinya ketika ini.

SETIBANYA di rumah Syirin, Kak Jah turut sama masuk ke dalam. Dia membuntuti Syirin masuk ke bilik Mimi. Syirah telah mendiami bilik itu pada malam dia berada di situ.
Di atas katil Mimi, terdampar dua buah beg pakaian dari jenama Louis Vutton. Beg-beg itu terbuka dan isinya kelihatan tidak terurus.
“Kenapa bersepah sangat ni? Rin tak pernah kemaskan barang-barang ni semua ke?” Leter Kak Jah bila melihat pakaian yang berselerak itu. Sepanjang pengetahuannya, Syirin adalah seorang yang pengemas, tidak pernah dibiarkan barang-barang tidak tersusun atau pun bersepah.
Syirin senyap sambil menggelengkan kepalanya. Sebenarnya dia telah lama tidak menjenguk ke bilik Mimi. Sehingga kini, fikirannya hanya tertumpu kepada Mimi yang terlantar di hospital dan inilah kali pertama dia memasuki bilik itu setelah sekian lama.
Dia sendiri tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata apabila dia melihat keadaan pakaian, kasut dan alat-alat solek yang bertaburan di atas katil itu.
Jelas kelihatan yang semuanya itu adalah dari jenama yang mahal-mahal belaka. Syirin kenal benar dengan perangai Syirah yang sentiasa menitik-beratkan penampilan diri agar tampak anggun dan bergaya sejak dari dulu lagi. Dia juga sentiasa menitikberatkan susun atur dan letak barang-barang peribadinya.
Keadaan tunggang langgang dan lintang pukang itu sungguh berbeza sekali dengan sikapnya yang satu itu. Syirin hanya dapat mengagak yang mungkin kembarnya itu telah mengemaskan pakaiannya dalam keadaan tergopoh gapah dan mungkin juga dalam keadaan yang tertekan.
Apabila melihatkan barang-barang kepunyaan Syirah, timbul perasaan sebak dan hiba di hati Syirin. Air matanya mula bergenang tatkala Kak Jah mengambil sehelai kertas di antara longgokan pakaian Syirah di dalam salah satu dari beg pakaian tersebut.
“Siapa Encik Marwan Datuk Safuan?”
“Siapa?” Syirin bertanya kembali, kehairanan kerana itulah kali pertama dia mendengar nama itu.
Kak Jah menghulurkan bil di tangannya kepada Syirin. Tertera di bil itu nama sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur berserta nama Encik Marwan Datuk Safuan. Bil itu bertarikh beberapa hari sebelum kembalinya Syirah ke dalam kehidupan mereka semua.
“Saya tak kenal orang ni, kak. Mungkin Syirah berjumpa dengan kawan-kawannya di sana sebelum membuat keputusan untuk kembali ke sini.” Diletakkannya bil itu ke tepi dan mengalihkan perhatiannya kembali kepada isi-isi di dalam beg-beg tersebut.
“Ha, kak. Kat sini ada sekeping gambar!” suara Syirin hampir berteriak. Kak Jah pantas mendekati Syirin untuk turut sama meneliti gambar tersebut di sebelah Syirin.
“Huh, jadi ini ke si Erman tu?” komen Kak Jah. Syirin hanya mengangkat bahunya tanda tidak pasti.
“Taklah hensem mana pun orangnya, kan?”
Syirin tidak menjawab. Ditelitinya wajah lelaki di dalam gambar tersebut. Agak kacak tapi tampak seperti lelaki itu masih terlalu muda. Mungkin sebaya dengannya atau mungkin dalam lingkungan awal dua puluhan. Rambutnya pula agak tebal dan sedikit panjang, mencecah ke bahu. Matanya pula tepat memandang ke arah kamera dengan penuh keyakinan dan bergaya. Persis seorang model dan terlalu yakin dengan apa yang ada pada dirinya.
Pada Syirin, lagak lelaki itu bagaikan seorang kasanova. Dari gayanya dan jika dilihat dari segi kualiti pakaiannya, kelihatan lelaki itu adalah dari kalangan orang berada. Tapi adakah lelaki ini akan sudi untuk menghulurkan bantuan sebagaimana yang diharapkan?
Syirin meneliti gambar itu sekali lagi. Sememangnya lelaki itu secocok dengan Syirah. Sama muda dan sama bergaya. Tetapi daripada cerita-cerita yang telah diberitahu oleh Syirah mengenai suaminya, disangkanya Erman adalah seorang yang jauh lebih tua dan matang. Lelaki ini pula tampak lebih easygoing dan lebih ceria daripada apa yang digambarkan oleh Syirah kepadanya.
Walau siapa pun dia, sekarang ini hanya dialah harapan yang ada buat Syirin untuk membantu Mimi. Untuk kebahagiaan dan kegembiraan adik bongsunya itu, Syirin perlu menemui Erman.
Diletaknya gambar itu di meja kecil milik Mimi. Teringat kembali akan tujuan dia memasuki bilik itu. Tujuannya adalah untuk mencari beg tangan Syirah.
Baru dia teringat, beg tangan itu sebenarnya telah diletakkan di ruang tamu. Dia berjalan menuju ke sana. Seperti yang dijangka, beg tersebut ada di situ.
Dicapainya beg tangan Syirah dan dicari buku nota yang pernah dilihatnya sebelum ini. Setelah berjumpa, dia mencari nombor telefon Erman untuk dihubungi.
Setelah bertemu dengan nombor telefon tersebut, Syirin mula mendail nombor yang tertera. Sedikit menggeletar tangannya semasa menekan nombor-nombor tersebut. Dia berdoa di dalam hati sementara menanti panggilan itu dijawab oleh yang empunya diri.
“Ini Vila Impian. Kami tidak dapat menjawab panggilan…”
Ayat seterusnya semakin kurang kedengaran di telinganya apabila Syirin mula meletakkan telefon di tangannya ke gagang telefon. Rasa kecewa mula menapak di hatinya kerana panggilan itu telah dijawab oleh mesin perakam suara. Apa yang ingin disampaikan kepada Erman tidak dapat diucapkan kepada mesin tersebut.
Bagaimana patut diberitahu melalui sebuah mesin bahawa isteri lelaki tersebut telah pun meninggal dunia.
Tatkala itu perasaan malu mula menyelubungi Syirin di atas kebodohan yang dirasainya kala itu. Dia sedar kini bahawa dia sebenarnya perlu bersemuka dengan Erman. Dia tidak boleh memberitahu Erman berita tentang kematian isterinya dan kemudian meminta pertolongan darinya dengan cara yang lain.
“Kak Jah, saya rasa saya perlu pergi berjumpa sendiri dengan Erman. Apa pendapat akak?” Syirin memandang ke arah Kak Jah meminta pandangannya.
“Akak rasa bagus juga cadangan Rin tu. Takkanlah nak diberitahu kematian Syirah melalui telefon aje. Elok juga Rin pergi jumpa Erman. Lepas tu bolehlah beritahu dia sekali tentang masalah yang Rin sedang hadapi sekarang ni.” Kak Jah menyetujui cadangan Syirin.
“Tapi macam mana nak cari dia?” Syirin bertanya. Buntu otaknya memikirkan jalan untuk berjumpa dengan Erman.
“Rin ada peta Malaysia?”
“Akak nak buat apa dengan peta tu?” Syirin keliru dengan pertanyaan yang dihamburkan oleh Kak Jah itu.
“Rin pergi ambil peta Malaysia tu dan kita cari di mana tempat tinggalnya. Lepas tu, barulah senang kita nak buat perancangan,” Kak Jah memberitahu.
Diambilnya peta Malaysia yang tersimpan rapi di dalam almari buku di bilik Mimi. Bersama Kak Jah, mereka mula mencari di mana letaknya kediaman Erman. Walaupun tidak tepat, sekurang-kurangnya mereka telah dapat mengenal pasti tempat di mana Vila Impian berada.
Marang, Terengganu. Kawasan itu berdekatan dengan pantai. Pasti tidak sukar untuk mencari Vila Impian itu nanti. Kalau tidak dijumpai, nombor telefon yang ada itu pasti dapat digunakan untuk memudahkan perjalanannya kelak.
Walaupun malam sudah semakin larut, Syirin dan Kak Jah mula merancang perjalanan Syirin ke sana.

No comments: