Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC4

"Awak tahu siapa yang datang menziarahi saya di pejabat ni petang semalam?” Itu kata-kata pertama yang dilontarkan oleh Ilia sebaik sahaja PAnya, Diana melangkah masuk ke pejabatnya itu.
“Siapa?” Tanya Diana yang kaget dilontarkan soalan itu oleh Ilia secara tiba-tiba.
“Umar Affandi Muhammad Khaliq.” Beritahu Ilia. Diana terus terbayangkan wajah yang pernah muncul di dada akhbar The Edge.
“Untuk apa?”
“Untuk meminta supaya saya menimbangkan semula kertas cadangan penggabungan syarikat ini dengan syarikatnya.” Ilia menjelaskan.
“Eh, diakan tak ada appointment dengan Datin semalam?” Diana bertanya untuk kepastian.
“Tapi, dengan machonya dia telah menceroboh masuk!” Jawab Ilia sambil tersengih.
“He did what!?” Diana terjerit kecil, terperanjat dengan berita yang baru disampaikan kepadanya itu.
Ilia lantas menceritakan apa yang telah berlaku kepada Diana. Diana merupakan seorang wanita jelita dan tinggi lampai. Rambutnya yang lurus panjang pasti dicemburui oleh syarikat syampu rambut. Gaya dan penampilannya pula bagaikan seorang model, menyebabkan ramai orang yang sering menyangka bahawa Diana hanya pandai bergaya tapi tidak tahu membuat kerja. Kononnya dia hanya sekadar perhiasan di pejabat Datuk Majid.
Ilia juga menjangkakan begitu pada mulanya tatkala diperkenalkan kepada Diana oleh Datuk Majid. Namun setelah melihat sendiri kepada kecekapan yang ditonjolkan oleh Diana, persepsi itu telah berubah dengan sendirinya.
Mereka menjadi semakin rapat setelah kematian Datuk Majid. Dianalah satu-satunya teman yang dia ada. Tanpa Diana, Ilia sedar yang dunianya akan lebih sepi dan lebih sunyi. Kata-kata Umar Affandi terngiang-ngiang kembali ke telinganya.
Dan Datin kesunyian sekarang.
Ilia cuba menepis kata-kata itu dari berterusan menghantuinya.
“Bagaimana awak lakukannya?” Tanpa sedar, soalan itu tiba-tiba terpacul dari mulut Ilia.
Berkerut dahi Diana mendengar soalan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Dipandang wajah Ilia dengan pandangan yang keliru.
“Maksud Datin?”
“Macam mana awak membuatkan semua lelaki-lelaki tu boleh tertarik kepada awak? Macam lebah tertarik kepada madu, macam semut tertarik kepada gula?” Ilia mengubah soalan agar lebih difahami Diana akan maksudnya.
Dalam pemerhatian Ilia, selama lebih tiga tahun mengenali Diana, terlalu mudah lelaki-lelaki tertarik dan terpikat kepada gadis itu.
Mereka mengerumuni Diana bagaikan semut mengerumuni gula. Namun Diana memilih hanya seorang lelaki untuk menjadi pasangannya pada satu-satu masa. Dan hubungan mereka tidak kekal lama. Lelaki-lelaki itu silih berganti. Yang ditinggalkan pasti berganti.
Termangu Diana seketika. Dia keliru. Kenapa soalan itu diajukan oleh Datin Ilia? Semakin berkerut dahinya memikirkan jawapannya.
Sebenarnya dia tidak hairan dengan soalan itu, sebaliknya terasa pelik akan tujuan soalan itu sendiri. Dia kenal siapa Datin Ilia Durrani. Kemesraan yang telah terjalin membuatkan Diana tidak kesah bila disuakan soalan sedemikian.
“Kenapa Datin nak tahu?” Soalnya semula.
For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.
Kata-kata Fandi menampar kembali gegendang telinganya. Mula terasa kehangatan yang menyelinap menyelubungi tubuhnya, menggetarkan perasaannya. Perasaan yang tidak pernah dirasainya selama ini.
Ilia ingin merasakan lebih dari itu. Keghairahan yang timbul terasa amat sukar untuk dibendungnya. Wajah lelaki itu memenuhi setiap ruang mimpinya malam tadi.
“Saya dah buat keputusan yang saya perlukan seorang lelaki dalam hidup saya.”
Terkedu Diana sebaik mendengar kata-kata itu. Ha?!
“Tapi Datin kan isteri Datuk Majid!”
“Memanglah, tapi itu dua tahun yang lalu.” Ilia membetulkan kenyataan itu. “Dan awak juga yang selalu menyarankan supaya saya keluar berhibur dan berseronok.” Ilia mengusik Diana.
“Saya tahu tu, Datin. Mungkin juga apa yang saya maksudkan ialah supaya Datin keluar berhibur ataupun berjalan-jalan dengan kawan-kawan Datin. Saya lupa yang Datuk Majid dah lama meninggalkan kita semua. Terasa masih baru lagi. Terasa seperti Datuk Majid masih lagi berada bersama kita.”
Sayu nada suara Diana. Melaut rasa simpatinya kepada wanita di hadapannya ini. Dia turut merasa serba salah bila memikirkan kehidupan Datin Ilia yang terpinggir dan terasing sejak berkahwin dengan Datuk Majid.
“Datuk dah tak ada dan saya masih di sini. Awak pun tahu kan yang saya mana ada kawan. Awaklah satu-satunya kawan yang saya ada.”
Perlahan nada suara Ilia tatkala dia meluahkan perasaannya kepada Diana . Dia juga sedar yang dia tidak pernah mengalami kejutan perasaan seperti apa yang dirasakannya ketika bersama Fandi.
Ilia teringat kembali kepada peristiwa lapan tahun yang lalu. Dia telah berkenalan dengan Datuk Majid semasa menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Zizie, anak Tan Sri Roslan yang sama sekuliah dengannya.
Mereka telah berbual dan mengenali antara satu sama lain. Kerana keserasian, Datuk Majid telah mengajaknya keluar bersama sejurus selepas itu dan beberapa kali kemudiannya. Selang beberapa bulan, Datuk Majid telah melamarnya.
Ilia sedar, tidak seperti yang disangka oleh semua pihak, mereka bukanlah seperti pasangan suami isteri yang lain. Sedari awal memang telah diketahuinya yang perkahwinan itu hanyalah sekadar pada nama.
Kewujudan Ilia hanya setakat menjadi peneman dan rakan kepada suaminya yang hidup kesunyian setelah kematian isterinya yang tercinta. Anak tunggalnya pula tiada di situ. Dia telah berkahwin dan mengikut suaminya yang membuka perniagaan di Kanada.
Di depan khalayak ramai, mereka berdua bagaikan pasangan suami isteri yang lain. Namun tiada siapa mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Di sepanjang tempoh perkahwinan mereka, tidak pernah sekalipun Datuk Majid memberikan nafkah batin kepadanya. Ilia tidak pernah disentuh selayak seorang isteri. Mereka juga tinggal di bilik yang berasingan.
Bagaimanapun, Datuk Majid telah mengajarnya tentang dunia perniagaan, memberinya perangsang dan motivasi serta melindunginya dari pelbagai perkara. Selama enam tahun di bawah satu bumbung, akhirnya Ilia menjadi jelmaan ataupun bayangan kepada Datuk Majid.
Bagaimanapun, apa yang dirasakannya sekarang ini adalah terlalu berbeza. Bagaikan ada bunga api yang sedang meletup dan berdentam dentum di dalam mindanya.
Wajah Fandi, senyumannya, lesung pipitnya dan renungannya yang redup itu sentiasa bermain di matanya.
Dia terkapai-kapai sendirian. Mungkin juga telah bersemi bunga-bunga cinta di dalam hatinya. Dia tidak tahu.
Yang pasti, dia sedang mengalami sakit angau yang maha dahsyat! Dan dia kembali mengelamun.

No comments: