Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK3

BAB 3
PERKENALAN mereka pula bermula ketika Syirin datang mencari pekerjaan di kedai bunganya yang baru dibuka.
Walaupun Syirin muda hampir sepuluh tahun darinya, ketabahan dan kecekalan serta kerajinan yang ditunjukkan Syirin menjadikan mereka lebih serasi sebagai kawan, bukannya sebagai majikan dan pekerjanya.

“KALAU Rin tanya pendapat akak, akak akan katakan yang Rin hanya membuang masa cuba untuk mendapatkan wang tersebut di sini. You are missing the obvious answer.” kata Kak Jah tegas. Dia rasa sudah sampai masanya dia menyuarakan apa yang bermain di fikirannya tanpa berselindung lagi.
“Jawapan apa? Apa maksud akak?” berkerut dahi Syirin cuba memikirkan maksud kata-kata Kak Jah kepadanya sebentar tadi.
“Suami Syirah.” jawab Kak Jah ringkas. “Siapa namanya? Erman, kan? Kalau tak silap akak, bukan ke Syirah ada beritahu yang suami dia tu kaya dan berada orangnya. Betulkan?”
Syirin mengangguk. Fikirannya berputar kembali ke hari kepulangan Syirah.

DIA mendongakkan kepalanya tatkala terdengar pintu kedai itu terbuka dan dilihat kembarnya itu berdiri di hadapannya.
Belum pun sempat hilang rasa terkejutnya dengan kehadiran Syirah secara tiba-tiba itu, Syirah mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Syirin.
“Kau tahu tak, bagaimana susahnya aku nak cari kau? Mulanya aku pergi ke rumah lama kita, tapi Makcik Semah, jiran lama kita tu beritahu aku yang kau dah berpindah. Nasib baik dia ada alamat rumah sewa kau. Pergi ke rumah sewa kau pulak, jiran kau tu… siapa namanya? Hah, Kak Siti! Dia beritahu aku yang kau kerja di kedai bunga. Tapi dia tak tahu yang mana satu. Nasib baiklah kedai bunga kat Bandar Melaka ni tak banyak. Itu pun jenuh aku masuk dari satu kedai, ke kedai yang lain, hanya kerana nak cari kau… kau tau tak?” Syirah mengomel, memberitahu Syirin sambil kedua tangannya sudah dicekak di pinggangnya. Matanya pula sudah terjegil.
Dalam keadaan yang terkejut itu, Syirin terperasan sesuatu. Walaupun setelah lima tahun dia tidak mendengar suara ataupun sebarang berita, namun Syirah tetap kembarnya. Setiap mood kembarnya itu telah sebati dengan jiwa Syirin. Dia sedar akan nada suara kembarnya yang semakin tinggi.
Syirin pasti kedatangan kembarnya itu bukan sekadar lawatan biasa. Setelah sekian lama Syirah menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita, kini dia muncul kembali. Mungkin bersama seribu satu macam masalah, seperti kebiasaannya.
“Well, I am back…” sambung Syirah “Ada banyak perkara yang ingin aku ceritakan pada kau. Bila kau habis kerja?”
“Pukul 6.30 nanti.” kata Syirin perlahan, masih cuba untuk membiasakan dirinya dengan kehadiran Syirah. “Tapi aku terpaksa jemput Mimi di sekolah dalam setengah jam lagi. Dia akan berada di sini sehingga petang nanti sebelum kami pulang ke rumah.”
“Mm, Mimi.” berubah air muka Syirah, mungkin baru teringatkan kewujudan Mimi. “Apa khabar dia?”
“Dia sihat. Dia…” suara Syirin mati begitu sahaja apabila pandangannya tertumpu kepada sebentuk cincin emas bertatahkan sebutir berlian yang berkilau-kilauan dipanah cahaya, tersarung kemas di jari manis Syirah.
“Kau dah bertunang?” jerit Syirin dalam terkejut.
“Dah kahwin sebenarnya!” Syirah ketawa besar lalu mengangkat tangan dan menggoyang-goyangkannya untuk menayang jari manis yang tersarung sebentuk cincin itu ke muka Syirin. Namun tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan oleh Syirin.
Memandangkan keadaan itu, tiba-tiba tangan Syirah dijatuhkan dan diletakkan di atas meja. Hilang senyumannya. Kelat mukanya, serta muncung mulutnya.
“Janganlah macam tu. Kau tak suka ke? Atau kau merajuk sebab aku tak jemput kau masa aku kahwin hari tu?” Syirah cuba menduga Syirin. Suaranya sedikit meninggi kerana dilihatnya Syirah tidak menunjukkan sebarang reaksi kepadanya.
Syirin membisu. Dia cuba menyembunyikan rasa kecewa dan terluka di hatinya. Dia merasakan seolah-olah tidak dipedulikan oleh kembarnya ketika membuat perubahan yang begitu penting di dalam hidupnya. Seolah-olah Syirin tidak wujud di dalam dunianya itu.
Bagaimanapun, apabila difikirkan semula, Syirin faham, kembarnya itu tidak akan memahami erti kekeluargaan. Dia sentiasa mementingkan diri. Baginya orang lain tidak penting di dalam hidupnya, mereka jatuh ke tempat kedua ataupun jauh ke belakang.
“Kau tahu tak, masa tu aku mana ada masa nak fikirkan tentang kau ataupun orang lain.” Syirah mempertahankan dirinya. “Dan tolong ye, aku kahwin ni bukan kerana atas sebab-sebab yang mungkin kau sedang fikirkan tu.” pantas Syirah menyangkal apa yang dia rasakan sedang bermain di fikiran adik kembarnya itu.
“Kalau kau nak tahu, suami aku tu jenis yang tahu apa yang dia hendak, apa yang dia mahukan. Dia akan bertindak cepat apabila dah jumpa dengan apa yang dia hendakkan tu.”
“Dan dia hendakkan kau?”
“Yupp! Masa tu dia hendakkan aku, jadi segalanya berlaku dengan pantas. Memandangkan kita ni tak ada wali, jumpa aje tok kadi. Nikah dan habis cerita.” selamba sahaja bunyi suara Syirah bercerita. Namun perasaan yang mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena di sebalik apa yang disampaikan oleh Syirah semakin menebal di dalam hati Syirin.
Nada suara Syirah yang bersahaja ketika bercerita itu mungkin dapat menipu orang lain yang kurang mengenalinya. Tetapi Syirah adalah kembarnya dan walaupun mereka telah lima tahun berpisah, namun apa yang diceritakan oleh Syirah tetap tidak dapat meyakinkan Syirin.
“Siapa suami kau?”
“Erman Mokhtar!” dengan teragak-agak Syirah memberitahu sambil merenung Syirin, seolah-olah ingin menilai sejauh mana Syirin mengenali siapa suaminya itu. Bila Syirin tiada memberikan sebarang tindak balas, seketika kemudian, dia terus menukar topik perbualan mereka.
Apabila Syirah tidak membesarkan diri dan bercakap lebih lanjut tentang suaminya, Erman, ia menguatkan lagi perasaan tidak yakin Syirin kepada kembarnya itu. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Hei, tadi kau kata kau nak pergi jemput Mimi. Jom, aku tumpangkan kau ke sekolahnya. Tapi kau kena tunjukkan jalan ke sana.”
Malas mahu bertengkar dengan kembarnya itu, Syirin meminta salah seorang pembantu kedai mengambil alih tempatnya untuk menjaga kedai itu semasa ketiadaannya. Lalu diekorinya Syirah untuk menjemput Mimi di sekolahnya.

DI luar kedai bunga tersebut, Syirin memandang dengan rasa terperanjat kepada sebuah kereta BMW berwarna merah yang di parkir di situ.
“Ini kereta kau?” Syirin bertanya dengan rasa tidak percaya.
Syirah mengangguk dan tersenyum sinis.
“Kenapa? Tak percaya?” lagaknya seperti di dalam iklan di TV. “Kan aku dah kata pada kau tadi yang suami aku tu memang kaya. Lagipun, aku kan pernah beritahu kau yang aku akan kembali ke sini hanya bila aku dah kaya. Ingat lagi?” Syirah mengingatkan Syirin akan janjinya suatu waktu dahulu.
Mahu tak mahu, Syirin terpaksa menganggukkan kepalanya. Masih diingatinya kata-kata kembarnya itu suatu ketika dulu.
“Bukan kau yang kaya, tapi suami kau,” selamba Syirin menempelak kembarnya.
“Tak kesahlah, janji aku dapat hidup senang, tak kiralah duit tu duit siapa. Lagipun, dia tu tersangatlah kaya orangnya…” balas Syirah sambil ketawa dan membolosi dirinya ke dalam perut keretanya.
Syirin hanya menggelengkan kepala bila dilihat perangai kembarnya yang mata duitan itu masih tidak berubah. Entah kenapa hatinya memang tidak pernah senang dengan perangai Syirah yang begitu mementingkan kebendaan.
Bagi Syirin, dia tetap memegang prinsipnya untuk bersyukur dengan apa yang ada dan tetap akan berusaha untuk hari muka. Harta yang dicari dengan titik peluh itu sendiri adalah penuh dengan keberkatannya.
Itulah falsafah hidup Syirin yang dipegangnya selama ini, amat jauh bezanya dengan pendirian kakak kembarnya itu.

No comments: