Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, February 19, 2011

SAS8

Hari Sabtu itu tiba jua akhirnya. Wirdah berpakaian santai. Berblaus longgar tangan panjang hitam berbunga merah dan berseluar dan bertudung hitam. Tampak ringkas, kerana itu adalah dirinya. Dengan debaran di dada, dia mengambil teksi menuju ke Pasar Seni. Jalan agak lengang pagi itu, maka dia hadir lebih awal di situ. Sementara menunggu ke pukul 11 pagi, dia mundar mandir melihat-lihat barangan yang dipasarkan di tempat itu. Para peniaga pula masih sibuk mengemas kedai-kedai mereka untuk jualan pada hari itu. Sempat juga dia melihat hasil lukisan dan ukiran kaca yang dipamerkan berdekatan dengan pintu masuk ke Pasar Seni. Sesekali dia menjengah ke telefon bimbit di tangan, takut-takut dia tidak mendengar panggilan masuk. Resah di hati, hanya Allah Yang Mengetahui. Terasa bagaikan jantungnya mahu melompat keluar dari dada. Dup dap dup dap….
‘Hish, Wirdah. Kenapa yang kau gabra sangat ni? Anggap aje kau akan berjumpa pelanggan buat kali pertama,’ omel Wirdah di dalam hati.
‘Itu pelanggan. Mana sama dengan calun bakal suami….’
‘Hish, relaks… kau tu manusia, dia pun manusia. Dia bukannya Mr Hannibal yang suka makan daging manusia tu…’
Wirdah terus bermonolog di dalam hati. Dia dalam dunianya sendiri. Segala hasil seni yang terpampang di depan mata, langsung tidak dapat dinikmati seperti selalunya.
“Kring….!! Kring….!!” Nada dering telefon bimbit yang telah disetkan kepada nada dering telefon lama menyentak dia dari dunianya. Nada yang sedikit kuat mengajak orang lain mengalihkan pandangan ke arahnya. Wirdah tidak ambil peduli. Walaupun pengguna telefon bimbit masa kini terlalu asyik dengan nada dering lagu-lagu terkini, tapi Wirdah lebih senang dengan nada dering lama ini. Lebih nostalgik dan lebih mudah menarik dia dari dunia kerjanya.
“Assalamualaikum.”
“Walaikumussalam. Dah sampai?”
“Dah.”
“Awak di mana?”
“Kat dalam. Depan pelukis-pelukis handalan ni…”
“Jumpa saya diluar.”
“Luar tu luas. Boleh lebih spesifik?”
“Kampong awak kat mana?”
“Apa kaitannya?”
“Kampong. Awak. Kat. Mana?” tanya Ahmad Sabran sekali lagi satu persatu.
Hish, mamat ni. Sabar ajelah, getus Wirdah dalam hati. “Melaka.”
“Apa yang kat luar Central Market ni yang boleh dikaitkan dengan Melaka?”
Wirdah melampiaskan pandangannya ke luar.
“Kereta lembu.”
“Kereta lembu, dari Melaka, jalannya tak laju, sejam sebatu…”
Ahmad Sabran mula menyanyi lagu Kereta Lembu dengan riang. Namun segera dipintas Wirdah. “Oit, Encik Sabran, boleh tolong tak?”
“Tolong apa?”
“Tolong jangan nyanyi. Awak nak suruh hujan turun kat luar tu ke? Kalau dah hujan kejap lagi, jalan jam kat KL ni, naik kereta lembu tu lagi laju tau…” sindir Wirdah selamba. Berdekah-dekah Ahmad Sabran ketawa. Tak ambil kesah dengan sindiran Wirdah tu.
“Okeylah, saya ada di kereta lembu ni. Saya tunggu kat sini ajelah…” ujarnya sebaik ketawanya reda.
Tubuh Wirdah masih sedikit tersembunyi dari pandangan luar. Sekali lagi dia melemparkan pandangannya ke luar. Kelibat seorang lelaki mula kelihatan. Dia tersentak. Lelaki itu begitu santai memakai kaca mata jenama Rayban. Rambut pendek ala GI Joe. Berpakaian baju T berwarna merah yang hujung bajunya dimasukkan ke dalam seluar slack berwarna hitam. Diperhatikan pada pakaiannya. ‘Eiii… sedondonlah pulak. Macam berjanji aje…’ getus hati kecil Wirdah.
Wirdah resah. 1 minit. 2 minit. 3 minit. Dia terus memerhati. Lelaki itu masih tenang menunggu, sesekali melontarkan pandangannya ke dalam. Senyuman sentiasa tersisip di bibir. Akhirnya Wirdah melangkah keluar.
Sebaik melihat kehadiran Wirdah, lelaki itu membuka kaca matanya. Senyumannya juga semakin lebar. “Wirdah?”
Wirdah tersenyum dan mengangguk. “Ahmad Sabran?”
Giliran lelaki itu pula mengangguk. “Wa… matchinglah kita….” Guraunya lagi menunjuk kepada pakaian di tubuh mereka.
“Ni mesti awak ada pasang web cam kat mana-mana ni,” tempelak Wirdah pula.
“Nope, inilah namanya soulmate, cik Wirdah….” Ahmad Sabran lembut membalas.
Wirdah memandang lelaki itu ke atas, ke bawah dan ke atas semula.
“Like what you saw?”
‘Memang hensem…’ Wirdah mencemik. “Biasa je…” ucapnya. Lain di hati, lain di bibir.
“But I like what I saw. I can’t wait to make you mine!” ucap Ahmad Sabran lembut menggoda.
“Such confidence. Are you so sure that I will accept you?”
“Who knows? Allah yang Maha Mengetahui. Dan saya sentiasa berdoa kepadaNya agar dibuka hati awak untuk menerima saya.” Jawab Ahmad Sabran dengan rasa rendah diri.
Wirdah tersentap dan kali ini dia kehilangan kata-kata.
“Jom ke dalam.” Ajak Ahmad Sabran sambil tangannya melayang ke arah dalam.
“Errr…” Wirdah ragu-ragu untuk menerima pelawaan itu. Mereka hanya berjanji untuk berjumpa, bukannya untuk keluar berjalan sekali.
“Sekejap aje. Alang-alang kita dah jumpa ni, kita minum dulu.”
“Di mana?”
“Restoran Hameed ni aje, boleh?”
“Tak kesah.”
“Okey, ikut saya.”
Wirdah membontoti langkah Ahmad Sabran menuju ke restoran yang terletak di tingkat bawah itu. Agak ramai pelanggan, mungkin kerana hari itu hujung minggu dan tempat itu pula menjadi salah satu dari tarikan pelancung.
“Nak minum apa?” tanya Ahmad Sabran sebaik pelayan restoran mendekati.
“Horlick Ais.”
“Makan?”
Wirdah menggelengkan kepala.
“Horlick Ais satu. Kopi Radix satu.” Arah Ahmad Sabran kepada pelayan yang sabar menanti.
“Ada apa-apa soalan?” soalan Ahmad Sabran memecahkan kebisuan di antara mereka.
Wirdah menggelengkan kepala, tidak tahu apa yang hendak ditanya. Tidak tahu apa yang boleh dibualkan. Dia bagaikan mati kutu. Sesuatu yang janggal kerana selalunya dialah yang paling banyak bercakap. Dia memandang sekeliling kecuali ke arah lelaki itu.
“Boleh saya tahu sesuatu?”
“You may ask, but you may not get the answer.”
Ahmad Sabran tersenyum. “Any news for me?”
Wirdah menggeleng. “Nope. Apa sahaja keputusan, semuanya akan diberitahu oleh ayah saya kepada keluarga awak.”
“Kenapa?”
“Maksud awak?”
“Keputusan bukan ditangan awak ke?”
“Ini masa depan saya. Saya tidak berhak untuk membuat keputusan sendiri dan keluarga saya juga tidak berhak membuat keputusan bagi pihak saya.” Wirdah mula menerangkan.
“Jadi?”
“Keputusan ini adalah keputusan majority semua orang.”
“O… pentadbiran demokrasilah ni ye?”
Wirdah mengangguk. “Bakal suami saya bukan hanya akan mengahwini saya, tetapi dia juga akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga saya. Keluarga saya akan berkumpul hari Sabtu depan. Setiap ahli keluarga saya punya hak untuk bersuara dan menzahirkan pendapat. Kami berbincang baik dan buruknya and keputusan muktamat akan kami capai. Lepas tu barulah ayah saya akan memberitahu keluarga awak.”
“Bertuah juga awak dapat keluarga macam tu.”
“Alhamdulillah. Memang saya bersyukur.”
“So, what next?”
Wirdah tersenyum. “Tunggu…!!!!” katanya
Ahmad Sabran tergelak. Baru sahaja mahu meneruskan kata-kata, pelayan tadi sudah kembali bersama pesanan mereka.
“Awak nak ke mana lepas ni?” tanya Ahmad Sabran sambil menghirup kopi Radix di depannya dengan berhati-hati.
“Balik.” Jawab Wirdah sambil pantas menyedut minuman di depannya. Kat kepala tu nak cepat aje. Lagi cepat dia beredar, lagi bagus. Malas nak berlama-lama di situ. Lagipun dia tahu pasti pergerakannya sedang diperhati oleh seseorang.
“Tak shopping?”
Wirdah menggeleng kepala. “Tak minat.”
“Aik, pelik tu…”
“Kenapa?”
“Perempuan dan shopping ni kan synonym.”
“Tapi perempuan tu bukan saya.” bangkang Wirdah.
“I like.” Ahmad Sabran tersenyum. Satu lagi point untuk gadis di depannya. ‘Kurang maintenance minah ni…’ hatinya suka. “Habis tu siapa yang belikan pakaian awak?”
“Tak suka bukan bermakna saya terus tak shopping, Encik Sabran. Saya juga pergi shopping, tapi hanya bila perlu. Sebab shopping tu memenatkan. Saya dah sediakala penat, jadi saya tak mahu tambah memenatkan lagi badan saya. Hujung minggu macam ni, saya perlukan rehat. Rehat, maknanya tidur.”
“Memang banyak kerja, yek?”
Wirdah mengangguk. “Hectic sampai tak ada masa untuk diri sendiri.”
“Balik selalu pukul berapa?”
“Tak tentu. Tapi seawal pukul 11 malam. Kadang-kala tidur kat office.”
“Bila dah kahwin nanti?”
Wirdah menjongket bahu. “It’s not an option. Dan awak kena pertimbangkan faktor yang satu ini. Awak tak kesah ke kalau dapat isteri yang sibuk sentiasa dan kadang-kala awak terpaksa ditinggalkan?”
“Saya tak kesah. Saya faham, tapi saya tidak mahu kesibukan itu sampai melibatkan kesihatan awak. Bila itu yang terjadi, barulah ia perlu dibincangkan semula.”
Hm… macam caring aje orangnya. Another point to him, getus hati kecil Wirdah.
“Okeylah Encik Sabran. Air pun dah habis. Saya juga perlu berehat. Saya nak balik,” ujar Wirdah seraya bangun dari duduk. Tindakan Wirdah diikuti oleh Ahmad Sabran.
“Awak bayar?” unjuk Wirdah kepada minuman mereka.
“Of course!” jawab Ahmad Sabran tersenyum. Manis. Lebih manis dari Horlick Ais yang diminum sebentar tadi. Terus memanah ke jantung Wirdah. Segera dia mengeraskan tangan yang mahu bergerak ke dada, mahu menutup degupan jantung yang seakan mahu berhenti. Dia terus memandang ke arah Ahmad Sabran yang berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran. Mujur apabila lelaki itu datang kembali ke sisinya, degupan jantungnya sudah seperti sedia kala.
“Datang dengan apa tadi?” tanya Ahmad Sabran sebaik mereka berjalan meninggalkan restoran itu.
“Teksi.”
“Saya hantar awak balik?”
“Tak perlu. Since saya datang dengan teksi, saya akan balik juga dengan teksi.”
“Betul ni?”
Wirdah mengangguk. “Yup.”
“Saya pun parking kat depan tu, so jom saya temankan awak ke taxi stand,” akur Ahmad Sabran sambil menyaingi langkah Wirdah yang laju berjalan ke Jalan Tun Tan Cheng Lock.
Sementara menunggu gilirannya sampai, Ahmad Sabran menemaninya di situ. “Wirdah!” panggil Ahmad Sabran dengan lembut.
Wirdah berpaling. Sepantas itu gambarnya diambil dengan menggunakan telefon bimbit lelaki itu. “Nak buat apa?” tanya Wirdah dengan dahi berkerut.
“Nak tunjuk pada family. Mereka juga nak kenal awak.”
“Okeylah kalau macam tu. Tapi janji dengan saya, jangan guna-gunakan saya lepas tu, boleh?”
“Cik Wirdah. InsyaAllah saya ni seorang Islam yang baik. Not perfect, neither bad. Saya tak guna cara halus macam tu untuk mendapatkan seorang isteri. Saya lebih yakin pada Allah. Pada DIA saya meminta dan berserah.” Jelas Ahmad Sabran dengan tenang.
Wirdah senyap. Dia rasa terpukul. Jelas dia bergurau tidak kena pada tempatnya. “Errr.. maaf, saya gurau aje tadi tu,” dia meminta maaf.
“Tak apa. Saya pun minta maaf juga sebab ambil gambar awak ni tanpa kebenaran.
“Apology accepted.”
“Tapi ada satu yang saya nak beritahu awak.”
“Apa dia?”
“Saya nak simpan gambar ni.”
“Untuk?”
“Sebagai pembakar semangat saya.”
“Tak boleh!”
“Ala… bolehlah…” pujuk Ahmad Sabran tersengih.
“Tak boleh..!!” tegas Wirdah pula.
“Kenapa?”
“Takut awak yang terbakar. Habis tu, siapalah yang hendakkan awak lagi…” sindir Wirdah selamba.
Ahmad Sabran melambakkan tawa. Wirdah mula menjulingkan mata, malu bila beberapa orang penunggu teksi lain sudah mula memandang mereka.
“Lepas ni gerenti saya akan masuk tidur lebih awal…” ujar Ahmad Sabran bila ketawanya reda kembali.
“Kenapa?”
“Bila tidur awal, boleh mimpi awal. Boleh jumpa awak dalam mimpi lebih awal...” jawab Ahmad Sabran dengan berlagu.
Wajah Wirdah mula merona merah. Dia malu bila diusik begitu. Mujur gilirannya sampai. Teksi yang dinanti berhenti betul-betul di depannya. Pantas Ahmad Sabran menghampiri pintu belakang dan membukanya.
“Assalamu’alaikum,” ucap Wirdah sebaik dia memasuki teksi.
“Wa’alaikumussalam,” balas Ahmad Sabran seraya menutup pintu teksi itu.
Sebaik teksi bergerak, masing-masing melemparkan sebuah senyuman dan saling berbalas lambaian.

No comments: