Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK1

BAB 1
KEADAAN di hospital tu agak sunyi. Kedengaran hanyalah suara kanak-kanak di sekelilingnya yang bermacam ragam. Ada yang merengek, ada yang menangis, dan ada juga yang menjerit-jerit kesakitan.
Mereka sama-sama sedang sakit, walaupun kesakitan itu dari jenis penyakit yang berbeza.
Dikalih sekilas pandangannya ke arah adiknya yang sedang terbaring di katilnya. Dia kini sedang tidur.
Memang Mimi telah pun tersedar dari komanya sejak beberapa hari yang lalu dan tidak lagi berada di bawah pengawasan di wad ICU, tapi dia masih belum sedar dengan sepenuhnya akan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Mungkin keadaan mamai ini adalah akibat dari kesan ubat tahan sakit yang telah diberikan oleh doktor kepadanya.

SYIRIN sendiri tidak pasti apakah adiknya itu menyedari kehadiran dia di sisinya. Perasaan sayu yang acap kali hadir tanpa pamitan itu kembali menyelubungi sanubarinya.
Syirin menghela nafas panjang, sedalam yang mungkin dan menghembus kembali nafasnya. Dia cuba menolak perasaan sayu itu ke tepi.
Sekali lagi pandangannya di kalih ke arah tubuh Mimi yang tampak begitu kerdil dan pucat. Perasaannya kembali pilu tatkala matanya tertancap kepada jarum dan tiub yang tercucuk di tangan adiknya itu.
Semenjak kemalangan itu, boleh dikatakan hampir setiap detik yang terluang telah dihabiskan di sisi adiknya. Tidak banyak yang dapat dilakukan. Sekadar hanya memegang tangan Mimi yang longlai dan berbicara mengenai segala macam perkara yang kadang kala tidak masuk di akal.
Hanya doa yang sentiasa tersemat di hati dengan harapan agar segala perbuatannya itu akan mengizinkan dia untuk berkomunikasi dengan Mimi untuk menyampaikan bahawa dia amat memerlukan kehadiran adiknya itu di dalam hidupnya.
Mungkin ianya kedengaran seperti dia amat mementingkan dirinya tetapi hatinya sendiri sayu bila memikirkan bahawa dia mungkin akan tinggal sebatang kara kalau ditakdirkan Mimi terlebih dahulu dijemput Allah. Namun, kalau itu sudah takdirnya, dia pasrah.
Walaupun begitu, semua yang sedang bermain di dalam fikirannya itu masih tidak dapat menenangkan hatinya yang lara. Hatinya runtun. Jiwanya pilu.
Mimilah satu-satunya ahli keluarganya yang masih ada untuk dia mencurah kasih dan sayang. Hanya Mimilah tempat dia bermanja dan dimanja. Tapi sejak adiknya sedang terlantar di hospital, tidak banyak perubahan yang positif berlaku.

MIMI kelihatan begitu lemah dan pucat. Rambutnya yang satu ketika dahulu begitu hitam dan ikal, kini sudah tidak kelihatan lagi. Yang tinggal, hanyalah tompokan-tompokan nipis rambut adiknya di sebalik balutan yang membaluti kepalanya.
Syukurlah, kesan-kesan lebam dan birat yang dahulunya memenuhi wajah comel itu telah beransur pudar.
Amat berbeza sekali keadaan Mimi apabila dibandingkan dengan keadaan Syirah yang tidak langsung kelihatan sebarang tanda-tanda kecederaan fizikal pada tubuh badannya itu.
Syirin menarik nafas sedalam-dalamnya apabila teringatkan Syirah, kakak kembarnya itu. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak dapat mempercayai apa yang telah terjadi. Ingatannya kembali kepada hari bersejarah yang penuh tragedi itu.

TENGAHARI itu, seorang anggota polis wanita datang mencarinya di kedai bunga tempat dia bekerja. Kerisauan mula bertandang di benaknya ketika dia memperkenalkan diri kepada wanita di hadapannya itu.
Untuk tujuan apa dia dicari? Adakah dia telah melakukan apa-apa kesalahan? Seingatnya, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang telah melibatkan pihak berkuasa. Jadi, kemungkinan itu ditolaknya ke tepi.
Dia mula memikirkan pelbagai kemungkinan yang lain. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi. Fikirannya mula tertuju kepada hari ketika dia diberitahu tentang kemalangan kedua ibu bapanya. Dia mula rasa tidak sedap hati.
Melihatkan keadaan Syirin yang mula keresahan, dengan suara lembut dan perlahan, polis wanita itu terus meminta supaya dia duduk, menyuruhnya bertenang dan bersabar. Kemudian dia memberitahu Syirin tentang berita kemalangan yang telah menimpa Syirah dan Mimi. Pandangan simpati terpamer di wajah polis wanita tersebut ketika berita sedih itu disampaikan kepada Syirin.
Walaupun Syirin telah dapat mengagak apa yang bakal diberitahu, namun dia masih belum bersedia untuk mendengar berita yang sedemikian.
Dia terpempan. Dia tergamam. Dunianya rasa berputar dan gelap. Fikirannya pula telah bertukar menjadi buntu dan terkejut. Otaknya bagaikan enggan untuk berfungsi. Mindanya hanya memberitahunya bahawa Mimi yang baru menjangkau usia tujuh tahun itu sedang bertarung nyawa di hospital.
Mujurlah ada Kak Jah, dia yang menyedarkan bahawa kehadirannya amat diperlukan Mimi pada ketika ini dan Kak Jah jugalah yang membawa dia ke hospital untuk melihat keadaan adiknya itu.
Sepanjang perjalanan ke hospital, Syirin bagaikan berada di awangan. Dalam kesedihan dan kebuntuannya itu, dia mula termenung.
Fikirannya berkecamuk, perasaannya bergelojak. Acap kali dia berfikir, kenapalah Syirah kembali ke sisi mereka? Kenapa? Mengapa? Apakah hikmah di sebalik segala yang terjadi? Soalan-soalan itu sering bermain di kotak fikirannya.
Hanya dalam tempuh 24 jam, kehadiran Syirah telah memporak-perandakan kehidupannya dan Mimi, mengocakkan ketenangan mereka. Kehadiran Syirah telah memusnahkan segala kedamaian yang telah Syirin kecapi selama lima tahun ini.
Kata-kata polis wanita yang penuh nada simpati itu tidak dapat mengubah kenyataan.
Adiknya yang tidak berdosa dan masih tidak mengerti lumrah kehidupan itu telah koma dan sedang bertarung dengan maut di ICU manakala kembarnya yang telah memandu laju dan menyebabkan kemalangan itu pula telah meninggal serta merta di tempat kejadian setelah berlanggar dengan sebuah lori dari arah yang bertentangan.
Apakah rahmat di sebalik kejadian ini? Entahlah! Syirin bingung memikirkan segalanya.
Kak Jah pula hanya mampu melampiaskan perasaan simpati kepada gadis di sebelahnya itu. Sekali sekala ditepuk-tepuk dan diusap lembut tangan Syirin. Sesekali tangan itu digenggamnya erat, cuba untuk memberikan kekuatan kepada gadis malang itu.
Dia faham perasaan Syirin. Dia juga menyayangi Mimi, tapi Mimi adalah adik Syirin. Manakan sama kesedihan yang sedang mereka berdua rasai.

SUARA mengerang dari arah katil mengalih perhatian Syirin kepada adiknya itu. Mimi telah pun membuka matanya.
“Assalamualaikum. Hai sayang…” Syirin berkata lembut sambil mengusap tangan adiknya. “Bagaimana Mimi malam ni? How’s my sweet little girl tonight?”
“Kak Rin, sakitnya kaki Mimi!” suara Mimi serak berbisik, meluahkan rasa kesakitan yang sedang ditahannya itu. Tangannya mengelus kembali tangan Syirin, bagai inginkan pengertian Syirin.
“Akak tahu sayang, tapi Mimi kena sabar...” pujuk Syirin. Matanya telah diselubungi kesayuan.
“Malam ni nanti kakak nurse tu akan berikan ubat untuk kurangkan sakit Mimi. Sabar ye...”

MASA untuk Mimi disuntik hampir tiba. Setelah hampir tiga minggu berada di sisi adiknya, dia telah hafal semua rutin harian di wad tersebut sehinggakan kalau terpaksa, Syirin sendiri boleh merawat dan menjaga Mimi – sebagaimana yang akan terpaksa Syirin lakukan sepanjang hidup sekiranya dia masih tidak dapat mencari jalan untuk mengubati adiknya secepat mungkin.
Mimi resah di tempat perbaringannya. Perlahan dia mengerang kesakitan.
“Kak Rin, sakitnya kak. Bila sakit ni nak baik?” Mimi merengek lagi.
Sedangkan orang dewasa pun akan membuat perangai ketika sakit, inikan pula gadis comel berusia tujuh tahun itu.
“Tak lama lagi, sayang. Sabarlah…” Syirin cuba menenangkan Mimi, dengan harapan kata-katanya itu akan memberi perangsang dan keyakinan kepada adiknya itu dan juga kepada dirinya sendiri.
Sebenarnya, Syirin sendiri masih tidak pasti dengan situasi adiknya sekarang ini. Direnung wajah adiknya dengan penuh rasa sayang. Diusap tangan adiknya dengan lembut.
Bergenang air mata Mimi mendengar kata-kata Syirin, diketap bibirnya untuk menahan tangis lalu diambilnya tangan Syirin dan digenggam erat.
Walaupun dia masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, namun didikan yang telah diberikan oleh Syirin membuatkan dia menjadi seorang yang kuat dan tidak mudah mengalah, seperti kakaknya juga.
“Kak Rin janji?”
“Akak janji.” janji Syirin dengan tegas, menutup pintu hati dan fikirannya dari segala kemungkinan bahawa janjinya yang satu ini sememangnya amat sukar untuk dikotakannya.

BUNYI pintu dibuka menandakan kedatangan jururawat yang bertugas malam itu. Setelah memberikan suntikan kepada Mimi dan berbual seketika dengan Syirin, jururawat yang bernama Shamsiah itu berlalu pergi.
Setelah kelibat jururawat itu hilang dari pandangannya, Syirin lantas memberikan sebuah ciuman ke dahi adiknya sambil meyakinkan Mimi bahawa dia akan datang lagi keesokan paginya. Mimi disuruhnya melelapkan mata.
Selepas memastikan Mimi telah lena, Syirin mengatur langkah meninggalkan wad itu dengan lemah longlai.
Selama lima tahun dia menjaga dan memelihara Mimi dan dia rasa bersalah untuk meninggalkan Mimi di tangan orang lain, apatah lagi dalam keadaan begini.
Bagaimana pun, Syirin tahu bahawa tiada gunanya dia terusan berada di situ. Mimi akan tidur sepanjang malam dan jururawat yang bertugas akan sentiasa memerhatikan keadaan Mimi.
Dia juga perlukan rehat. Dia perlu bekerja untuk menyara kehidupan mereka berdua.
Sejak beberapa hari yang lalu, setiap pagi dia akan datang melawat Mimi terlebih dahulu sebelum pergi ke tempat kerjanya dan di sebelah petangnya pula, dia akan singgah di hospital itu sekali lagi sebelum pulang ke rumah.

“RIN dah nak balik ke?” tegur Shamsiah dengan ceria sebaik sahaja Syirin lalu di hadapan mejanya.
Syirin melemparkan sebutir senyuman seraya menganggukkan kepalanya.
“Nampaknya perkembangan Mimi hari ini semakin bagus. Dia nampak lebih sihat dan bertenaga.” Syirin memberitahu Shamsiah sekadar berbasa basi. Dia sedar bahawa jururawat itu pasti lebih tahu akan keadaan adiknya daripada dirinya sendiri. Itu telah menjadi tugas jururawat berkenaan.
Shamsiah mengangguk, mengiakan apa yang dikatakan oleh Syirin. “Mimi juga berjaga lebih lama daripada semalam.” Shamsiah menambah.
Syirin tersenyum mendengar kenyataan itu.
“Jumpa lagi esok, Kak Sham.” ucapnya sambil melambaikan tangan kepada Shamsiah.
Dia melangkah keluar dari wad itu. Walau di wajahnya tersisip senyuman, namun apa yang bermain di kepalanya pula adalah lebih memedihkan hatinya.
Dia asyik memikirkan apakah yang lebih menyakitkan, Mimi yang terbaring kaku di dalam koma atau pun Mimi yang telah terjaga tetapi sentiasa dalam kesakitan!

No comments: