Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, February 19, 2011

SSR7

Malam itu Ameera Syuhadah balik agak lambat dari kelas. Dia singgah ke Pasar Raya Publix sebelum melangkah pulang. Mulutnya terasa hendak mengunyah sesuatu dan keropok Nachos yang akan di cicah bersama krim putar menjadi pilihannya.
Sebaik dia melangkah masuk ke dalam rumah, telefon berbunyi. Hamd yang sedang menonton TV bergegas mengangkat gagang untuk menjawab.
“Kak Meera, panggilan untuk akak,” panggil Hamd sambil menghulurkan gagang kepada Ameera Syuhadah.
“Siapa?”
“Entahlah, tapi katanya dia Psycho.” Jawab Hamd sambil meletakkan telefon ke atas meja.
Perlahan Ameera Syuhadah melangkah mendapatkan telefon. Terasa penat badannya kerana konsentrasinya yang terganggu. Tumpuannya malam ini lebih kepada dua orang lelaki yang telah hadir dalam hidupnya. Seorang yang berada jauh di tanah air dan yang seorang lagi tidak tahu bagaimana pula rupanya. Yang dia tahu, yang empunya suara tanpa wajah itu adalah milik lelaki yang ditemui dalam mimpinya malam tadi. Dan kini ada seorang lelaki yang mengaku sebagai Psycho. Siapalah pula gerangan orangnya. Pasti dia seorang yang sakit jiwanya.
Ameera Syuhadah merengus kecil. Tidak sepatutnya itu yang difikirkan kala ini. Takut pelajarannya pula yang akan terganggu nanti.
“Helo,” sapa Ameera Syuhadah perlahan.
“Assalamualaikum.” Tegak badan Ameera Syuhadah mendengar suara Franz di sebelah sana. Badannya terasa segar tiba-tiba, bagaikan mendapat tenaga segera yang datang entah dari mana. Dijawab salam itu dengan hati yang gembira.
“Baru balik ke?”
“Yup.” Jawab Ameera Syuhadah ringkas.
“Dah makan?”
“Belum.”
“Nak makan ke?”
“Kejap lagi.”
“Why don’t you go and eat first. Saya call semula dalam setengah jam lagi, boleh?” Franz mengusulkan.
“Okaylah. Setengah jam lagi. Saya tunggu.” Janji Ameera Syuhadah kepada Franz. Timbul rasa gembira di hatinya kerana sikap Franz yang begitu prihatin.
Tanpa berlengah, Ameera Syuhadah melangkah ke bilik untuk meletakkan beg sebelum membuka tudung dan menyalin pakaian. Beberapa minit kemudian dia sudah berada di dapur. Dibuka tudung periuk dan melihat apa yang telah disediakan oleh Hamd malam itu. Pasti sesuatu yang ringkas seperti selalu.
Tepat seperti sangkaannya. Sup sayur campur bersama udang. Walaupun ringkas, tapi itu adalah salah satu dari makanan kegemaran Ameera Syuhadah. Brokoli dan lobak merah serta lada Benggala merah, kuning dan hijau benar-benar membuka seleranya. Diambil sebiji mangkuk dan diisi dengan nasi hingga separuh. Kemudian dicurahkan sup sayur campur ke atasnya.
Bersama camca di tangan, Ameera Syuhadah membawa makanannya ke hadapan TV. Rancangan 60 Minutes sedang ke udara dan teman-teman serumahnya sedang khusyuk mendengar berita yang sedang dibentangkan oleh Diane Sawyer yang menjadi pemberita jemputan pada malam itu.
Ameera Syuhadah tidak memberikan tumpuan sangat kepada berita yang sedang diulas oleh Diane. Bagaimana-pun, dia teringat kembali berita yang pernah disiarkan pada tahun lepas. Berita itu berkisar kepada cerita tentang kakitangan Perkhidmatan Kastam yang dikatakan tidak mempedulikan kegiatan pengedaran dadah yang sedang bergiat hebat di antara sempadan Amerika dan Mexico di San Diego.
Mike Horner telah menyerahkan sebuah memorandum yang kononnya telah ditulis oleh Rudy Camacho, ketua cawangan Perkhidmatan Kastam di San Diego, untuk dijadikan sebagai bahan bukti. Memorandum tersebut menyatakan bahawa lori-lori dan kenderaan dari sebuah syarikat yang terlibat hendaklah dibiarkan melalui sempadan negara itu tanpa sebarang pemeriksaan. Berita hangat itu telah menyebabkan kredibiliti Rudy Camacho terjejas teruk dan dipersoalkan oleh orang-orang bawahan-nya.
Bagaimanapun, setelah siasatan lanjut di buat, di dapati Mike Horner telah memalsukan dokumen terbabit sebagai tindakan membalas dendam terhadap layanan yang diterimanya semasa berada di dalam Perkhidmatan Kastam yang terbabit. Rudy Camacho pula telah menang di dalam saman malunya terhadap pihak CBS.
Ameera Syuhadah akui, di U.S. ni, memang mudah satu pihak menyaman satu pihak yang lain, kadangkala di atas perkara yang tidak masuk di akal langsung. Pernah ada kes di mana orang yang melakukan jenayah telah menyaman mangsanya, kononnya perkakasan dan hiasan rumah mangsa dapat dilihat hingga keluar rumahnya dan telah menimbulkan keinginan kepada penjenayah untuk mencuri masuk ke rumah mangsa tersebut. Dalam kes ini, malangnya si penjenayah telah menang dalam kes samannya itu.
Bagaimanapun, di dalam kes Rudy Camacho ini pula, pihak CBS dan para wartawannya begitu rakus dengan berita yang telah berada di tangan mereka sehingga mereka tidak melakukan siasatan dengan terperinci dan lebih mendalam. Latar belakang si pemberi maklumat juga tidak disiasat dengan baik, maka ini telah memberi ruang kepada si pemberi maklumat untuk membalas dendam. Kasihan sungguh mangsa tersebut yang hilang kredibiliti dirinya, tapi diharapkan dengan saman malunya itu, dan dengan kemenangan terhadap samannya itu, kredibilitinya dapat dipulihkan seperti sediakala.


Sedang menikmati hidangan makan malamnya, Ameera Syuhadah melihat Hamd bangun menuju ke gagang telefon.
“Hamd, lama ke nak gunakan telefon?”
“Kenapa kak?” soal Hamd kembali.
“Sebenarnya akak tengah tunggu panggilan dari kawan akak, si Psycho tu tadi. Mungkin lima minit lagi dia akan call. Akak tak ada nombor dia untuk nak memanggilnya semula.” Jelas Ameera Syuhadah kepada Hamd yang telah mula menekan nombor.
“Ala, Hamd guna sekejap aje. Kalau ada panggilan masuk sekejap lagi, Hamd akan pass pada akak,” balas Hamd kembali.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Dia sendiri serba salah sebenarnya. Tidak wajar dia tidak mengizinkan Hamd untuk menggunakan telefon itu pada waktu itu kerana masing-masing ada hak untuk menggunakannya. Cuma malam ini dia memang tidak sabar menanti panggilan dari Franz. Mujur telefon mereka mempunyai kemudahan panggilan menunggu, mudahlah mereka mengetahui siapa pemanggil baru tanpa perlu mematikan perbualan mereka sendiri.
Ameera Syuhadah mengalih pandangannya kepada jam di dinding. Selalunya pada waktu-waktu begini Hamd akan membuat panggilan ke Malaysia. Mungkin juga dia hendak membuat panggilan kepada ahli keluarganya.
‘Hish, tidak sepatutnya aku suruh Hamd memendek-kan masa bercakapnya dengan orang lain,’ getus Ameera Syuhadah dalam hatinya.
“Tak apalah Hamd, kalau Hamd nak bercakap lama pun tak apa, cuma Hamd tinggalkan aje pesanan pada kawan akak tu supaya telefon kemudian nanti.” Akhirnya Ameera Syuhadah membuat keputusan. Panggilan dari Franz pun bukannya penting sangat, cuma untuk dia mengetahui apa pandangan Franz terhadap lakarannya malam tadi. Sepatutnya dia boleh bersabar. Mungkin Hamd ada perkara penting yang hendak dibicarakan dengan temannya itu.
Setelah Ameera Syuhadah siap membasuh mangkuk supnya tadi, dia menapak masuk ke bilik. Hamd masih lagi berbual di telefon. Jika ada panggilan untuknya sebentar lagi, eloklah dia menjawabnya di bilik itu sahaja. Bebas dari pendengaran kedua gadis manis yang selalunya amat memahami sekiranya dia memerlukan privasi semasa berbual.
Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Baru hendak membuka beg yang berisi dengan buku-buku yang telah digunakan di dalam kelas hari itu, telefon berdering. Pantas dia mengangkat gagang telefon. Benar seperti yang sangkaannya, Franz adalah pemanggilnya.
“Dah kenyang?” Soal Franz setelah menjawab salam Ameera Syuhadah.
“Alhamdulillah.”
“Lauk apa?”
“Sup sayur campur.”
“Siapa masak?” Soal Franz lagi.
“Hamd.”
“Sedap?”
“Memang sedap, apatah lagi kepada saya yang memang tengah kelaparan ni.” Jawab Ameera Syuhadah dengan ketawa kecil.
“Kebulur sangat ke?”
“Yup. Baru tadi saya dapat makan setelah seharian berlapar.”
“Kenapa dibiarkan perut tu kosong?”
“Saya bekerja sejak pagi. Hari ni saya nak kena siapkan satu modul yang mereka nak uji, jadi saya tak sempat nak ke kafe. Saya cuma sempat solat aje tadi. Selepas tu saya bekejar untuk menghadiri kuliah pulak.” Ameera Syuhadah menceritakan aktivitinya pada hari itu.
“Dah siap modul tu?”
“Dah. Mereka dah test and it ran perfectly as it should be.”
“Any homework ke malam ni?”
‘Hish, banyak pula soalannya malam ni, macam PI pulak,’ getus Ameera Syuhadah dalam hati.
“Ada, tapi tak banyak. Saya dah pun siapkan tadi.” Jelas Ameera Syuhadah kembali.
“Good.”
“Why?”
“Bila perut awak dah kenyang dan homework awak pun dah siap, bolehlah kita berborak malam ni. Ataupun awak terlalu letih?”
“O… macam tu. Kalau saya letih, macam mana?”
Suasana hening seketika. Mungkin juga Franz tidak menyangka yang Ameera Syuhadah akan menyuarakan kata-kata itu.
“Kalau macam tu, saya akan telefon aje lain kali.” Perlahan sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Franz. Mungkin juga dia keberatan untuk menamatkan perbualan mereka. Ameera Syuhadah melemparkan senyuman yang entah ditujukan kepada siapa.
“Franz, there’s no need to terminate this conversation. Saya pun dah lama menunggu panggilan dari awak. Takkan saya nak tunggu lagi sehingga ke waktu yang lain pulak.”
“Ha, awak tunggu panggilan dari saya?” Suara Franz kedengaran ceria. Mungkin dia seronok memikirkan ada juga insan yang menunggu panggilannya.
“Iya. Saya ingat awak akan telefon saya semalam. Rupa-rupanya saya aje yang tertunggu-tunggu…”
“Saya minta maaf, Ameera. Sebenarnya adik saya balik lewat malam tadi, around 12. Takkanlah saya nak call awak lepas tu, saya pasti awak dah pun tidur, nanti saya mengganggu awak pulak.” Franz memberikan alasannya.
“Tak apalah. Saya tak kesah. Lagipun awak dah telefon saya malam ni, itu dah cukup bagus. Saya tak mahu menunggu ke esok, apatah lagi bila awak dah menggelar diri awak sebagai Psycho. Pasti awak sedang sakit jiwa....”
Franz tergelak. “Memang saya sedang sakit jiwa, sebab selalu teringatkan awak...”
“Franz,” tegur Ameera Syuhadah dengan lembut, tidak mahu Franz mula berperangai sebegitu.
Franz faham maksud teguran itu. Dia mula menukar topik perbualan mereka. “Well, what do you think of my brother?”
Ameera Syuhadah terkedu. Tidak disangkanya yang tiba-tiba soalan itu pula yang diajukan oleh Franz. Dia berfikir seketika.
“Fizikally or rohanily?”
Franz terkekek-kekek ketawa. “Cara itu pun ada ke?”
“Yelah. Keduanya ada perbezaannya.”
“Okeylah. Kedua-duanya sekali.”
Ameera Syuhadah berfikir sejenak. “Macam mana ye nak saya katakan. Secara fizikalnya, adik awak tu macam lanun.”
“Hah!? Macam lanun? Kenapa awak cakap macam tu pulak?” Tidak disangka oleh Franz, itu pula anggapan Ameera Syuhadah terhadap adiknya.
“Yelah, itu hanya dari sudut pandangan mata saya. Bukankah malam tadi dia berpakaian serba hitam. Rambutnya pula mencecah bahu. Raut wajahnya pula begitu serius. Ada juga bayangan hitam di pipinya, seolah-olah dia tidak sempat bercukur. Kalau sebelah dari matanya itu dilitupi oleh pelekap kulit, pasti itu akan melengkapkan lagi keterampilannya sebagai lanun.”
Franz terkekek-kekek ketawa. Terasa lucu dengan deskripsi yang diberikan oleh Ameera Syuhadah. “Awak tak rasa ke adik saya tu hensem orangnya?”
“Entahlah, Franz. Kekacakan orang ni boleh dilihat dari pelbagai sudut. Mungkin dia hodoh pada pandangan mata orang lain, tapi kacak pula pada pandangan mata saya. Begitu juga sebaliknya.”
“Bagaimana dengan tanggapan awak?” Tanya Franz lagi dengan rasa ingin tahu. Dia rasa tidak puas hati dengan jawapan berbelit-belit yang diberikan oleh Ameera Syuhadah.
“Penting ke apa yang saya anggap?”
“Mungkin juga.”
“Macam nilah Franz, apa yang saya anggap mengenai rupa paras adik awak tu adalah tidak penting. Yang penting, hati dan budinya. Rohaninya tu.” Jelas Ameera Syuhadah sambil mengelak dari memberitahu apa jua tanggapannya terhadap adik Franz yang mungkin juga adalah dirinya sendiri. Lagipun dia tidak layak untuk menilai rupa paras seseorang itu.
“Okey, what do you think of his rohani?”
“First impression, dia memang menggerunkan. Tapi rasanya itu adalah lakonannya sahaja. Saya rasa dia sedang berpura-pura, seolah-olah dia tu bukannya seorang yang baik, tapi pada masa yang sama dia cuba untuk melindungi awak, siapa jua awak yang sebenarnya.” Terang Ameera Syuhadah dengan tenang. Dia dapat melihat itu dari pertemuan yang hanya berlaku seketika. Dia berhati-hati di dalam menuturkan kata-kata kerana kemungkinan dia dipermainkan memang ada.
“Itu tafsiran awak pada pertemuan awak malam tadi?” Tanya Franz pula dengan perasaan ingin tahu.
“Franz, kita sebenarnya tidak boleh membuat andaian pada pertemuan pertama atau kedua. Tanggapan terhadap diri seseorang juga tidak boleh kita buat jika bertemu seseorang itu hanya sekali sekala. Seolah-olah kita telah mengklasifikasikan seseorang itu mengikut acuan yang kita mahu. Itu bahaya.” Jelas Ameera Syuhadah kepada Franz yang masih tekun mendengar.
“Memang menarik penjelasan awak tu. Takjub saya mendengarnya.”
“Okaylah Franz, giliran saya pula. So, what conclusion can you make out from the sketches?” Tidak sabar Ameera Syuhadah ingin mengetahui pandangan Franz kepada lakarannya.
“Well, for one thing, ia menunjukkan bahawa awak boleh multi-tasking, boleh melakukan dua benda pada satu masa yang sama,” seloroh Franz selamba. Ameera Syuhadah pula sudah melepaskan tawa kecilnya.
“Anything else?”
“Awak memang ada bakat dalam melukis.”
“Itu aje?” Tanya Ameera Syuhadah lagi.
“Apa yang sedang bermain di dalam fikiran awak, awak akan lakarkan di atas kertas putih tersebut. Segala persoalan yang sedang awak fikirkan, juga akan awak coretkan di atas kertas itu. Your subconscious is doing that.”
“Kenapa awak fikirkan demikian?” Tanya Ameera Syuhadah walaupun dia tahu kenapa Franz berkata begitu.
“Awak sebenarnya meragui kebenaran cerita saya. Awak mempertikaikan sama ada saya benar-benar seorang yang cacat ataupun sebaliknya. Awak juga tidak pasti sama ada segala yang saya ceritakan kepada awak adalah sebuah kebenaran.”
“Itu yang awak dapat simpulkan dari lakaran saya tu?” Tanya Ameera Syuhadah dengan nada sinis. Memang ketika itu dia meragui cerita lelaki itu. Namun dia cuba menyembunyikan rasa kagum yang terbit dari kesimpulan yang telah dibuat oleh lelaki itu.
“Hanya sebahagian darinya. Yang selebihnya, biarlah hanya saya yang mengetahuinya.” Jelas Franz dengan nada yang juga sinis. Mungkin dia tahu yang Ameera Syuhadah ingin mengujinya.
“Jadi, apakah kesangsian saya itu ada asasnya?”
“Mungkin juga.” Ringkas sahaja jawapan yang diberi.
“Apakah saya akan dapat confirmkan apa yang saya rasa, apa yang sedang bermain di kepala saya ni?”
“Boleh.”
“Bila?”
“Soon.”
“Bila?” Ameera Syuhadah mendesak lagi.
“Not now. Saya akan aturkan nanti. Tapi buat masa ini, saya juga nak ucapkan terima kasih di atas pemberian makanan yang telah awak bekalkan malam tadi. Terima kasih.” Franz menukar cerita. Tidak mahu dilayan kehendak Ameera Syuhadah untuk bertemu dengannya buat masa ini.
Ameera Syuhadah rasa kecewa. Dia memang tidak sukakan misteri atau apa jua persoalan. Dia lebih sukakan kebenaran, walau sepahit mana sekalipun ia.
“Sama-sama. Bagaimana rasanya?”
“Awak buat sendiri ke kuih raya tu?”
“Eh, eh, anak gadis mestilah tahu memasak, Franz. Lagipun, bila dah berjauhan dari keluarga, kenalah buat semua tu sendiri. Walaupun tak sedap, tapi kena cuba supaya tak rindu pada yang berada jauh dari sisi kita.”
“Tapi kuih raya yang awak buat tu memang sedap. Rindu pula pada kuih raya Mama saya.”
“Dia tak hantar kuih raya ke?”
“Tak.” Sepatah jawapan Franz diiringi dengan nada sugul. Timbul juga rasa tidak enak di hati Ameera Syuhadah. Namun dibiarkan sahaja perasaan itu berlalu pergi.
“Awak masih ada kedua ibu bapa?”
Franz senyap tanpa menjawab soalan gadis itu. Ameera Syuhadah menukar soalannya.
“Adik beradik?”
“Dua adik lelaki, seorang adik perempuan dan seorang kakak.”
“Termasuk adik yang malam tadi tu?”
Senyap seketika sebelum Franz menjawab. “Ya.”
“Awak tak balik ke Malaysia?”
“Tak.”
“Dah berapa lama awak tak balik?” Ameera Syuhadah menyoal lagi.
“Enam tahun.”
“Lamanya. Awak tak rindukan keluarga awak di Malaysia tu ke?”
“Saya memang rindukan mereka. Tapi saya terikat dengan kerja saya sekarang ni.”
“Ala Franz, takkanlah tak ada cuti langsung. Mereka kan ahli keluarga awak.” Ameera Syuhadah cuba memujuk. Dia sendiri hairan kenapa dia perlu memujuk lelaki itu sedangkan dia sendiri tidak mengenali lelaki itu.
“Tengoklah nanti. Bila hati saya sudah terbuka untuk pulang menemui mereka.”
“Franz, mereka kan ahli keluarga awak. Pasti mereka juga rindukan awak. Awak tak patut buat mereka begini.” Marah Ameera Syuhadah dengan lembut.
“Hei, Ameera. I have something for you,” lembut suara kata Franz membuka topik lain dalam perbualan itu. Dia tidak mahu membicarakan tentang ahli keluarganya dengan Ameera Syuhadah. Itu hanya akan membuatkan hatinya berbuku dan bosan.
“What?” Tanya Ameera Syuhadah dengan manja, mengikut rentak Franz. Dia sedar yang Franz tidak mahu dia berterusan menyoal tentang ahli keluarganya. Namun begitu, sekiranya di takdir Allah yang perkenalan mereka ini akan terus berkekalan, dia berharap yang satu hari nanti dia akan dapat memujuk Franz untuk bercerita tentang ahli keluarganya.
“Saya nak pulangkan bekas makanan awak tu malam esok, boleh?”
“La, ingatkan awak nak bagi saya something. Hadiah ke, coklat ke,” sergah Ameera Syuhadah lembut. “Oh ye, awak nak hantar ke?” Tanya Ameera Syuhadah dengan nada pura-pura terperanjat.
Franz tergelak besar. Dia tahu yang Ameera Syuhadah cuba untuk memerangkapnya.
“Not me lah, my brother, Zack.”
“So, finally your brother has a name. Zack. Tak ada nama Melayu ke?” gumam Ameera Syuhadah.
Franz ketawa. “Ameera, macam saya jugak, dia pun dah lama berada di sini. Kami lebih santai dikenali dengan nama yang pendek dan mudah.”
‘Tapi nama Melayu masih boleh dipendekkan dan bunyi pun macam Melayu. Contohnya, Mamat, Dol, atau pun Toyak.”
Franz ketawa lagi. “Toyak?”
“Ya. Singkatan dari tempoyak maka jadilah ia Toyak.” Gurau Ameera Syuhadah selamba.
Semakin panjang ketawa Franz mendengar gurauan Ameera Syuhadah. “Baiklah, saya faham. Tapi seperti yang saya katakan tadi, kami lebih selesa dengan nama yang kami gunakan ini.”
“Tapi kan Franz, kalau kita menggunakan nama kita yang sebenarnya, itu adalah lebih bermakna. Apatah lagi bila kita mempunyai nama yang baik dan bercirikan Islam. Oleh itu, boleh saya tahu nama awak yang sebenarnya?”
“Not today. Saya akan beritahu awak satu hari nanti.”
“Baiklah, berbalik pada perjumpaan saya dengan adik awak tu. Pukul berapa awak nak suruh dia datang menemui saya?”
“Macam malam tadi. Juga di tempat yang sama.”
“Kalau macam tu, insyaAllah, saya akan tunggu malam esok.”
Mereka berbual untuk beberapa minit lagi. Setelah mengucapkan salam, Ameera Syuhadah meletakkan gagang telefon. Dikalihkan pandangan matanya ke arah jam di dinding. Tanpa sedar, rupa-rupanya telah sejam berlalu. Dia menggelengkan kepalanya. Tidak disangka yang dia kini bagaikan orang yang mabuk bercinta. Cuba dielak dari perasaan itu dari terus menghantuinya. Dia bergegas untuk meneruskan kerjanya yang tergendala sejam yang lalu.

No comments: