Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC7

Alia meletakkan telefon ke gagangnya. Dia termenung di situ, memikirkan peristiwa yang baru sahaja berlalu. Detik yang tidak pernah termasuk dalam perancangannya namun kini menjadi satu lagi episod dalam diari hidupnya yang sebelum ini terlalu mendatar.
Ditanamkan tekad di dalam hatinya. Dia boleh melakukannya. Dia mesti menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukan hanya pada kerjaya, malah pada hidupnya juga.
Apa gunanya menjadi pelajar yang telah lulus dengan kepujian kelas pertama dan apa gunanya mempunyai karier sebagai peneraju sebuah syarikat yang berjaya jika hidupnya sentiasa suram dan tidak ceria.
Ini lebih penting. Ini adalah hidupnya. Takkanlah hendak mengaku kalah sebelum mencuba. Biar putih tulang, jangan berputih mata. Takkan dibiarkan semua ini berlalu begitu sahaja.
Hidupnya mungkin lebih lama. Usianya juga masih muda. Perjalanan hidupnya pula mungkin masih jauh. Dia tidak mahu hidupnya menjadi lebih suram. Dia dapat merasakan yang Fandi akan dapat memberikan kebahagiaan yang diimpikannya selama ini.
Ilia berfikir lagi. Dia mula merencana. Yang penting sekarang adalah menyediakan garis panduan yang membolehkan dia membuat perancangan. Dia memerlukannya. Kata-kata Diana tidak dapat diikutinya seratus peratus. Pasti semuanya akan menjadi lebih kucar kacir jadinya.
Ilia bangun dari tempat duduknya. Berdiri seketika dan duduk semula. Dia perlu berusaha untuk mencapai apa yang diidamkannya. Betul seperti kata Fandi. Mimpi tidak salah, asalkan jangan jadi seperti Mat Jenin. Oleh itu, perancangan itu perlu untuk merealisasikan apa yang diimpikannya itu.
Pertama, dia perlu mendapatkan perhatian Fandi terlebih dahulu. Dia perlu fikirkan bagaimana untuk memancingnya. Dia perlukan perancangan untuk itu.
Akhirnya, setelah agak lama dia mengelamun di dalam bilik itu, Ilia melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Hasrat di hati adalah untuk meneruskan agendanya hari itu.
Pasti ahli lembaga pengarahnya masih menanti kehadirannya. Baru melangkah, dia terserempak pula dengan Ketua Bahagian Kewangan di muka pintu.
Teringat Ilia akan nasihat Datuk Majid agar dia sentiasa cuba mengingati maklumat peribadi para pekerjanya. Cuba dikorek kembali maklumat yang diperlukan ketika ini dari kotak ingatannya.
Hem, Ketua Bahagian Kewangan, Hussaini Embung. Berumur empat puluh lima tahun. Telah berkeluarga dan mempunyai lima orang anak. Dua lelaki dan tiga perempuan. Yang paling tua bakal menghadapi peperiksaan PMR. Isterinya bernama Hasmah. Agak jarang dia terserempak dengan Encik Hussaini kerana pejabatnya berada di tingkat atas, manakala pejabat Encik Hussaini pula di tingkat bawah. Mereka lebih kerap bertemu di dalam bilik mesyuarat sahaja.
“Encik Hussaini, apa khabar?” Ilia bertanya sekadar berbasa basi. “How’s Puan Hasmah, dia sihat ke?”
Kepala Encik Husaini tertoleh ke arah Ilia. Di bibirnya sudah tersimpul sebutir senyuman.
“Alhamdulillah, Datin. Isteri saya sihat. Terima kasih kerana bertanya.”
“Saya ada dengar dia dimasukkan ke hospital tempo hari?”
“Oh, itu. Sebenarnya dia terpaksa menjalani minor surgery sebulan yang lepas, tapi sekarang ni dia dah ada di rumah. Masih berehat untuk seminggu lagi.” Encik Hussaini menerangkan.
“Er, boleh saya tanya sesuatu pada you, Encik Hussaini?” Teragak-agak Ilia mengeluarkan kata-katanya itu.
“Datin nak tanya berkenaan apa tu?” Berkerut dahi Encik Hussaini memandang Ilia.
“Tak adalah, saya tengok you dengan isteri you tu, nampak begitu loving sekali.” Ilia memuji.
Encik Hussaini pula teragak-agak di situ, tidak tahu apa reaksi yang perlu diberikan kepada bosnya itu. “Er, terima kasih.” Akhirnya dia menjawab.
“Saya teringin sangat nak tahu satu perkara. Apa yang membuatkan you begitu tertarik dengan isteri you tu semasa pertama kali berjumpa dengan dia?”
Tergelak Encik Hussaini mendengar soalan yang diajukan. Walaupun mungkin dia terasa pelik, namun tidak ditunjukkan kepada Ilia.
“Tak tahu bagaimana saya nak cakapkan pada Datin, tapi terus terang saya katakan, bagi saya, Hasmah memang banyak kelebihannya. Dia pandai ambil hati saya dan di antara kami juga banyak persamaannya.”
“Banyak persamaan?”
“Sebenarnya Datin, kami berdua ni berkongsi minat yang sama. Kami suka membaca dan kami juga suka mengembara.” Encik Hussaini menjelaskan. Dia melihat ke jam di tangannya.
“Maafkan saya Datin, ada apa-apa lagi ke? Saya sebenarnya ada meeting sekejap lagi, jadi saya kena turun sekarang.”
“Tak apalah, you boleh pergi. Saya minta maaf kerana mengganggu.”
“No problem. Dan saya akan beritahu Hasmah yang Datin ada bertanyakan khabarnya.”
“Jangan lupa sampaikan juga salam saya kepada Hasmah.” Ucap Ilia kepada Encik Hussaini.
“InsyaAllah.” Balas Encik Hussaini sambil berlalu pergi.


HEMM, berkongsi minat yang sama? Otak Ilia kembali ligat berputar. Mungkin di situ ada logiknya. Dia dan Datuk Majid memang mempunyai minat yang sama. Itulah sebabnya mereka boleh menjadi kawan yang begitu rapat dan saling memahami. Mereka boleh berbincang dan berdebat mengenai soal perniagaan dengan panjang lebar dan tanpa jemu.
Tapi bagaimana pula dengan Fandi? Apakah perkara yang mungkin diminatinya? Adakah minat mereka berdua sama?
Ilia tidak dapat mengagaknya, tapi dia bertekad untuk mengetahuinya tidak lama lagi.
Ilia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Baru dia teringat sesuatu. Dia hampir terlupa tentang jemputan makan malamnya bersama Fandi pada esok malam. Itu patut menjadi agenda utamanya buat masa ini.
Ilia berpatah balik masuk ke pejabatnya. Diambil beg tangannya dan menapak keluar. Melintasi meja Diana, dia meninggalkan pesan.
“Saya nak keluar,” dia memberitahu Diana yang sedang leka menaip surat.
Terangkat kepala Diana, agak terperanjat dengan pesanan Ilia. “Now? Habis meeting yang sedang berjalan tu macam mana pula?”
“Beritahu mereka yang saya ada urusan yang lebih penting. Emergency.” Selamba sahaja Ilia memberitahu Diana yang sedang memandangnya dengan mata yang terkebil-kebil.
“Bila Datin nak masuk balik?”
“Saya tak pasti lagi. Tapi rasanya lebih baik awak batalkan sahaja semua appointment saya pada hari ini.”
“Datin, Datin sihat ke tidak ni? Tak pernah Datin buat macam ni –”
Kata-kata Diana terputus di situ sahaja. Datin Ilia telah pun melangkah pergi meninggalkan mejanya.
“Memang teruk juga angau si Datin ni,” getus Diana dalam hatinya. Digeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Semakin pelik dia dengan perangai Ilia sejak seminggu yang lalu.

No comments: