Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC8

Menjelang pukul lapan keesokan malamnya, Ilia menatap imejnya yang terpantul di cermin meja soleknya. Jantungnya berdegup kencang.
Ilia keliru sebenarnya. Dia sendiri tidak pasti apakah yang cuba dilakukannya ini adalah betul.
Patutkah digodanya lelaki yang bernama Umar Affandi itu? Apakah tujuannya menggoda? Adakah sekadar untuk mengisi kekosongan jiwanya, ataupun untuk mengelakkan lelaki itu dari berterusan mengganggu syarikatnya? Tidakkah tindakannya ini keterlaluan? Perlukah dia mengubah taktiknya? Strategi apa pula yang perlu digunakan agar tindakannya akan tampak lebih bijaksana? Patutkah diteruskan rancangan gilanya ini?
Ilia sendiri tidak pasti apakah lelaki itu akan terus tertarik kepadanya, ataupun lelaki itu akan membuka langkah seribu, menjauhkan diri darinya? Dan apakah Fandi sendiri sudah tertarik kepadanya?
For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.
Sekali lagi kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinganya.
Ilia menarik nafas sedalam-dalamnya. Satu. Dua. Tiga. Dilepaskan kembali nafasnya dengan tenang. Dia kembali menanam tekad.
“Kita boleh lakukannya! Kita boleh!” Beritahu Ilia kepada dirinya sendiri. Dia mesti yakin.
“Senang macam kacang!” Dia berseloroh kepada bayangannya di dalam cermin itu. Ditatap kembali kepada penampilannya.
Ditilik pakaian di tubuhnya. Memang seksi. Dia sendiri terasa kekok sewaktu mengenakan pakaian itu ke tubuhnya. Pertama kali di dalam hidupnya dia mengenakan pakaian sedemikian.
Pakaian itu dibelinya hasil dari catatan dan senarai yang telah didapatkannya daripada soalan-soalan yang telah diajukan kepada beberapa orang lelaki yang ditemuinya di KLCC.
Mulanya dia malu, tapi akhirnya dia mendapat idea. Diberitahu kepada lelaki-lelaki itu bahawa dia sedang menjalankan kaji selidik untuk sebuah majalah yang tersohor di Malaysia. Soalannya – pakaian bagaimanakah yang dianggap seksi oleh lelaki dan pakaian yang bagaimanakah yang perlu dipakai untuk menarik perhatian lelaki.
Berbagai jawapan yang diterima. Ada di antara jawapan-jawapan itu yang tidak masuk di akal langsung dan Ilia sendiri tidak dapat membayangkan dirinya memakai pakaian tersebut.
Bolehlah disimpulkan yang sebahagian lelaki yang ditemuinya itu memang berajakan nafsu semata-mata. Namun begitu, sebahagian lagi lelaki-lelaki ini memang menyenangkan. Pendapat-pendapat yang diberikan oleh mereka memang boleh diambil kira dan diterima pakai. Ia menjadi spesifikasi yang akan dipenuhi di dalam pencarian Ilia untuk mencari pakaian yang akan dijadikan umpannya nanti.
Akhirnya, kesimpulan telah dapat dibuat dan keputusan telah dapat dicapai. Jadi, di sebelah petangnya, bersama spesifikasi pakaian itu di dalam tangannya, Ilia melangkah masuk ke beberapa buah butik yang terdapat di KLCC.
Dia memberitahu jurujual yang mendekatinya tentang kehendaknya dan mereka telah membawa kepadanya beberapa helai pakaian yang boleh dikategorikan sebagai memenuhi spesifikasi yang telah diberikan oleh Ilia.
Bulat mata Ilia memerhati satu persatu pakaian yang ditunjukkan kepadanya. Yang satu itu begitu jarang sehingga menampakkan pakaian dalamnya sendiri! Yang satu lagi itu pula betul-betul membayangkan seolah-olah dia adalah seorang pelacur jalanan yang sedang giat mencari pelanggan!
Seram sejuk Ilia melihat imejnya di dalam cermin ketika sedang mencuba sehelai demi sehelai pakaian yang telah diberikan kepadanya.
Tidak pernah terlintas pun di kotak fikirannya yang pakaian-pakaian seperti itu akan membaluti tubuhnya tapi pada petang itu, satu persatu pakaian itu dicubanya. Akhirnya dia memilih dua helai pakaian yang dirasakan sesuai dan selesa bagi dia melaksanakan rancangannya.

Ilia merenung kembali bayangannya. Ilia sedar, pasti Diana akan berleter dengannya sekiranya dia tahu apa yang telah Ilia lakukan. Diana telah menasihatkan dia supaya tidak membuat sebarang perancangan di dalam hal ini, namun Ilia merasakan yang sebaliknya.
Untuk berjaya, perancangan perlu ada. Baik dalam soal mengurus dan mengendalikan syarikat, ataupun di dalam perkara yang melibatkan soal hati. Dia baru hendak belajar menyelam, jadi mesti ada taktik dan teknik yang perlu diikuti. Takkan hendak terus terjun ke dalam air, pasti dia juga yang akan kelemasan jua akhirnya nanti.


TOK! TOK! Kedengaran pintu bilik tidurnya di ketuk dari luar.
“Ya, Kak Irah?!” Ilia melaungkan soalan itu kepada pembantu rumahnya.
“Datin, ada tetamu nak jumpa Datin!” Munirah meninggikan suaranya supaya dapat didengari oleh Ilia di sebalik daun pintu yang tebal itu.
Bergegas Ilia mengambil tas tangannya yang sedondon dengan warna bajunya dan berjalan menuju ke pintu. Daun pintu dibukanya dan dia melangkah keluar. Hampir terbeliak biji mata Munirah melihat penampilan majikan yang telah lama dikenalinya itu. Terlopong mulutnya.
Ilia perasan dan dia tersengih di sisi Munirah. “Di mana dia?”
“Saya dah jemput dia masuk, tapi dia kata nak tunggu di luar aje.” Jawab Munirah sambil matanya terus memerhati susuk tubuh Ilia yang begitu ganjil pada pandangan matanya.
Apa, dah buang tabiat ke Datin ni? Getus hati kecilnya pula.
“Er.. Datin?” Munirah memanggil Ilia yang baru hendak melangkah turun.
Ilia menoleh ke arah Munirah. Dahinya berkerut kehairanan.
“Datin sihat ke?”
“Kenapa?”
“Taklah, saya rasa hairan sebab tak pernah saya tengok Datin berpakaian begini sebelum ni, macam orang buang tabiat. Tu yang saya tanya –”
Ilia tersenyum. Dia faham kekeliruan yang sedang dirasakan oleh Kak Munirah. Masakan tidak, dia sendiri pun keliru dengan apa yang sedang dilaluinya ketika ini.
“Sekali sekala saya nak bertukar angin, tak apa, kan?” Lembut Ilia membalas kata-kata Munirah. Dia tidak marah dengan teguran Munirah kerana dia sedar pembantu rumah itu sememangnya mengambil berat akan dirinya.
Munirah menganggukkan kepalanya.
“Hem, Kak Irah, saya nak keluar sekejap lagi. Kak Irah tolong pastikan semuanya telah berkunci sebelum Kak Irah dan Abang Man balik nanti. Saya ada bawa kunci.” Ilia mengunjukkan kunci di tangannya sambil memberi arahan.
Munirah dan suaminya Osman hanya datang pada sebelah paginya dan pulang semula ke rumah mereka di sebelah malamnya pula. Kedua mereka ditugaskan untuk menjaga rumah dan mengendalikan kawasan taman yang agak luas itu.
Munirah menganggukkan kepala, tanda faham dengan arahan yang diberikan.
Tanpa berlengah, Ilia melangkah turun untuk bertemu dengan jejaka yang telah mula mendapat tempat di dalam hatinya itu.

No comments: