Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC1

Lelaki bernama Umar Affandi Muhammad Khaliq hadir di dalam hidup Datin Ilia Durrani Abdullah tepat pada pukul enam petang. Pertemuan yang tidak terduga itu memberikan satu bentuk kejutan yang tidak pernah dialaminya walaupun usianya kini akan mencecah ke angka tiga puluh tahun. Hidupnya yang begitu teratur tapi agak mendatar dan membosankan itu tidak lagi sama selepas pertemuan itu.
Awan mendung yang sedang berarak perlahan menandakan hari akan hujan. Itu sahaja yang dia tahu. Bila hujan akan turun, entahlah. Itu bukan bidangnya. Dia bukan pakar hujan. Kerana itu, dia tidak pernah mahu mempedulikan cuaca yang sedang mengalami perubahan.
Bagi Ilia, hujan yang sedang turun tidak akan mendatangkan bahaya.
Yang akan mendatangkan bahaya adalah jika orang itu menjadi terlalu bodoh ataupun hilang akal dan kemudiannya berdiri di bawah sepohon pokok yang letaknya di tengah-tengah padang ketika hujan turun bersama kilat sabung menyabung.
Dia pernah diberitahu bahawa peluang untuk orang yang berteduh di bawah pokok di tengah padang ketika petir sedang hebat sambar menyambar adalah lima puluh lima puluh.
Memandangkan dia kini sedang selesa di dalam pejabatnya yang berhawa dingin, masakan kilat akan dapat menyambar masuk ke situ. Tak masuk di akal langsung. Itu andaiannya. Mana tahu andaiannya itu salah kali ini.


ILIA sedang meneliti model untuk satu lagi rangkaian hotel dan resort yang kini berada di fasa terakhir di dalam perancangannya ketika itu. Sebuah kereta mainan sebesar tiga inci berada di dalam genggaman tangannya. Dahinya berkerut seribu.
Pelan yang telah dibuat memang mantap. Pembinaan rangkaian hotel dan resort itu pula akan dimulakan dalam masa sebulan sahaja lagi. Tapi kini baru dia terfikir, untuk pintu masuk utama hotel tersebut, yang mana lebih baik, menghadap ke bukit bukau ke, ataupun menghadap ke laut Cina Selatan. Pemandangan Laut Cina Selatan sememangnya akan lebih dramatik, manakala pemandangan bukit bukau itu pula penuh kemegahan dan kehebatan.
“Eeny, meeny, miney, mo” Ilia mengomel sendirian, cuba membuat pilihan. “Laut atau bukit? Depan atau belakang?” Dia menimbang dan berkira-kira. Separa sedar, perlahan tangannya membaling-baling kereta mainan yang berada di tangannya ke atas dan ditangkapnya semula sambil matanya terus tertancap pada model resort tersebut.
“Hem, apa pula yang akan dikatakan oleh pengurus projek ni nanti jika aku menukarkan fikiran aku sekarang ni?” Ilia mengomel lagi. Berkerut mukanya seketika. Masih tidak pasti apakah wajar dia membuat perubahan pada saat-saat akhir ini.


“O…rupanya beginilah caranya wanita korporat membuat keputusan.”
“Whoa!!” Ilia terjerit kecil. Dia terkejut. Ada suara yang datang dari arah belakang. Suatu kejutan yang memang tidak disangkanya sama sekali. Spontan dia menoleh ke arah suara itu.
Kerana terkejut juga, kereta mainan yang sedang di genggamannya sebentar tadi terus terlepas dan ia melompat masuk ke dalam genggaman lelaki yang pantas cuba menangkapnya dari terjatuh ke lantai.
“dan kini beberapa nyawa dapat diselamatkan…” seloroh lelaki di hadapannya itu. Di bibirnya telah tersisip sebutir senyuman yang ditujukan kepada Ilia. Kereta mainan di tangannya dihulurkan kembali kepada Ilia.
Ilia tidak menyambut huluran tersebut. Dia terkedu seketika di situ. Mulutnya ternganga. Terasa bagaikan anak rambutnya telah berdiri tegak dan rambutnya yang pendek itu telah meremang. Dia bagaikan terkena panahan petir. Beberapa saat berlalu. Dia masih begitu. Seketika kemudian baru dia tersedar.
Dikatup kembali bibirnya. Digeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Ingin dicari fokusnya yang telah hilang sebentar tadi.
Diamati sekali lagi wajah itu. Memang lelaki itu dikenalinya.
Berterusan direnung wajah lelaki di hadapannya. Tidak berkedip matanya. Terasa bagaikan nafasnya semakin sesak.
Hish, Ilia, what happened to you? Wake up, girl…! Ilia memarahi dirinya.
Cuba ditarik nafasnya sedikit demi sedikit. Tidak mahu dia pengsan di situ pula nanti. Malu jika orang lain mengetahui yang wanita korporat yang glamour ini pengsan sebaik bertemu dengan Umar Affandi Muhammad Khaliq.
Ilia memang mengenali lelaki ini, tapi hanya pada nama. Mereka tidak pernah bersemuka. Wajah itu pula pernah ditatap pada gambar yang telah ditunjukkan kepadanya satu ketika dulu.
Nama lelaki itu sebenarnya kerap timbul di setiap kali perjumpaan dengan wakil syarikatnya. Diana pernah memberitahu Ilia serba sedikit maklumat mengenai lelaki ini, tapi dia lupa semuanya itu pada saat ini.
Itu tak penting. Yang pentingnya ialah lelaki ini telah cuba untuk mengambil alih syarikat yang sedang diterajuinya. Lelaki ini memang patut dibencinya. Itulah yang dirasainya selama beberapa bulan ini. Namun kini dia sedar yang dia sebenarnya masih belum bersedia untuk menghadapi lelaki ini.
Apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah di luar dugaannya sama sekali.
Kehadiran lelaki itu bagaikan menerangi suasana bilik pejabatnya. Dia tidaklah sekacak mana, malah kacak lagi si pelakon Rosyam Nor tu. Namun begitu, sebaik sahaja dia mengarahkan senyuman dan lesung pipitnya yang manis itu pada Ilia, dunianya bagaikan hilang begitu sahaja.
Yang ujud hanya dia dan lelaki itu. Dan mereka bagaikan tidak lagi berada di situ. Bahkan mereka kini dikelilingi oleh pemandangan yang begitu indah. Air tasik yang membiru dan pepohon yang berwarna- warni tatkala musim luruh menjadi latar belakangnya. Melodi yang mengusik jiwa pula bagaikan berputar di dalam kepalanya, terngiang-ngiang di telinganya. Senyuman lelaki itu begitu menggetarkan jiwanya.
Fikiran Ilia seakan kosong dan dia berdiri di situ bagaikan orang yang terencat akal tiba-tiba.
“Helo, Datin… kenapa membisu? Kenapa tiba-tiba Datin macam ayam berak kapur aje ni?” Lelaki itu bertanya, memecahkan kesepian yang semakin hening. Timbul pula rasa kasihan di hatinya bila melihatkan keadaan wanita di hadapannya itu yang seakan keliru dengan kehadirannya di situ.
Ilia pula cuba memberikan jawapan. Dibukanya mulut untuk menjawab, tapi hampa. Bibirnya sahaja yang terkumat-kamit, namun masih tiada suara yang dilontarkan keluar.
Lidahnya masih kelu. Dia memandang ke wajah lelaki itu, ke tangannya yang masih memegang kereta mainan tadi, ke wajah itu dan kembali ke tangan itu semula.
Ilia mula membayangkan sesuatu. Tangan dan jejari lelaki itu yang sedang membelai wajah dan tubuhnya. Jantungnya mula berdegup kencang.
Ilia panik. Dia mula mencari arah.
Hish, Ilia, get a grip of yourself! Ilia memarahi dirinya lagi buat sekian kalinya.
Tulah, lain kali jangan banyak sangat menonton Drama Korea. Sekarang, tengok apa dah jadi... Sindir hati Ilia pula. Ilia jadi semakin geram pada dirinya sendiri yang dirasakan telah hilang akal itu.
“Apa yang awak hendakkan sebenarnya?” Ilia membuka mulutnya untuk berkata, tapi kedengaran begitu kelam-kabut, bagaikan hendak tergigit lidahnya sendiri.
“A few minutes of your time.” Lelaki itu terus menghampiri Ilia dan begitu berhati-hati meletakkan kereta mainan itu ke tempatnya di jalan raya yang terdapat di atas model resort tersebut.
Ilia memerhatikan sahaja gerak-geri lelaki itu yang jelas penuh dengan keprihatinan dan ketelitian.
Walau pada zahirnya memang lelaki itu nampak tegap dan sasa, namun pada saat itu, dia kelihatan seperti seorang lelaki yang begitu lembut, dan sentiasa berhati-hati. Begitu prihatin hatta ke atas barang-barang mainan sekalipun.
Wuiiii, gentle jugak dia ni…. Bisik hati Ilia pula. Sedikit menggeletar, dia membayangkan perasaannya sekiranya lelaki itu memberikan perhatian sebegitu kepada dirinya pula. Terasa lemah lututnya. Dadanya kembali berdebar-debar.
“Hish Ilia, bertuah betul kau ni. You better snap out of it!” Sekali lagi Ilia memarahi dirinya sendiri yang bagaikan hilang daya kawalan. Dia memaksa dirinya untuk berjalan menuju ke mejanya.
“Saya harap awak dapat memenuhi permintaan saya. Ya atau tidak, sudah mencukupi.” Getar suara lelaki itu menusuk masuk ke sanubari Ilia. Begitu lunak dan lembut, bagaikan alunan lagu yang begitu menusuk kalbu.
“Permintaan?” Ilia terasa kaget. Cuba ditelan air liurnya. Kerongkongnya pula terasa kering.
“A few minutes of your time.” Ulang lelaki itu sekali lagi.
Huh, ingatkan apa tadi, getus hati kecil Ilia.
“Baiklah. 15 minit dan ianya bermula sekarang.” Ilia menekankan sambil mempersilakan lelaki itu untuk mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya.“Saya akan mempergunakannya dengan sebaik mungkin,” balas lelaki itu sambil mengambil tempat duduknya di hadapan Ilia. Dia menyelesakan dirinya di situ.

No comments: