Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC17

Petang Sabtu itu Ilia mengambil peluang untuk menghabiskan masa yang terluang dengan bersiar-siar di Taman Tasik Perdana yang hanya beberapa minit sahaja dari rumahnya.
Tujuannya cuma satu. Untuk memerhatikan gelagat manusia. Namun, tidak seperti orang lain yang kebanyakannya berpasangan, dia hanya bersendirian di situ.
Begitulah dia. Tanpa ada orang yang menemani. Ke mana-mana, dia hanya sendiri. Entah bila dia akan berteman, dia sendiri tidak pasti. Sememangnya Fandi dirasakan begitu layak untuk menjadi teman hidupnya, tapi entah bila agaknya lelaki itu akan lembut hati dan tertarik dengannya.

ILIA menjongketkan bahunya. Tidak guna dia membazirkan waktu memikirkan benda yang belum pasti. Dia memandang sekitar taman itu. Di hujung minggu begitu, ramai pengunjung yang datang beriadah. Mereka mengambil peluang yang ada untuk merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
Masing-masing dengan aktiviti yang berlainan. Sepasang remaja perempuan sedang berlari-lari anak mengejar antara satu dengan yang lain sambil usik mengusik dan bercerita. Sesekali pecah ketawa mereka. Mungkin ada yang mencuit hati.
Di satu sudut yang lain pula, kelihatan beberapa kumpulan manusia sedang berjalan pantas mengelilingi tasik itu. Mungkin mereka tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Namun tujuannya tetap sama, mengeluarkan peluh sekadar yang termampu.
Perhatian Ilia beralih pula kepada seorang wanita separuh umur yang sedang melayan sepasang kanak-kanak kecil bermain-main di tepian tasik. Mungkin itu anak-anaknya, mungkin juga itu cucu-cucunya. Agak sukar untuk memastikan kerana wajah wanita tua itu begitu bersih dan masih terpapar keayuan dan kelembutannya.
Si kakak yang besar terjatuh dan cuba dipujuk oleh wanita tua itu. Kerana asyik cuba memujuk si kakak yang kesakitan, wanita tua itu tidak menyedari yang si adik telah bergerak dari sisinya dan menuju ke arah tasik. Dia sedang mengejar bola yang telah terlepas dari tangannya.
Ilia terus memerhatikan si kecil yang comel itu. Dia pantas melangkah menghampirinya kerana dia pasti yang si comel itu akan terus melangkah dan tidak mempedulikan bahaya yang sedang dihampirinya.
Wanita tua yang baru menyedari ketiadaan si comel di sisinya memerhati mencari si comel yang entah ke mana perginya.
“Ya ALLAH, ke mana pula perginya Nurin?” bisik hati tua itu penuh kebimbangan.
Berkerut dahinya memandang sekeliling. Sebaik terpandangkan tubuh mongel itu menghampiri tasik, dia terkedu di tempatnya berdiri. Kakinya bagaikan terpaku di situ. Pucat wajahnya tidak berdarah.
“Ya ALLAH, cucu aku!” Wanita tua itu cuba menjerit, namun kerana terlalu takut dan bimbang, suaranya langsung tidak kedengaran.
Sedetik. Dua detik. Ketika itu si comel hampir mencecah tepian tasik, ingin dicapai bola yang telah masuk ke dalam air.
Sememangnya takdir telah menentukan. Dilihat wanita tua itu seorang gadis pantas menyambar tubuh si comel sebelum dia sempat terjatuh menyembah air di tasik. Si comel pula menangis kerana terkejut.
Tindakan pantas Ilia menyedarkan wanita tua itu dari perasaan terkejutnya. Dia menarik si kakak di sisinya dan berjalan pantas menuju ke arah Ilia dan si comel.
“Alhamdullillah. Terima kasih nak. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap wanita itu dengan perasaan lega yang bukan kepalang. Di dokongnya si comel yang masih tersedu-sedu kesedihan. Cuba dipujuk anak kecil itu. Kakaknya juga mengusap badan si adik, mungkin dia juga ingin sama cuba untuk memujuk adiknya itu.
Tampak sungguh yang si kakak begitu sayangkan si adik. Cemburu Ilia melihat kasih sayang yang sedang dipertontonkan di depannya.
“Sama-sama Makcik. Bukannya apa-apa pun, sekadar menolong apa yang terdaya. Saya tengok dia begitu asyik mengejar bola sampai tak memandang ke depan. Itu yang saya cuba tangkap dia daripada terjatuh. Saya rasa dia tak apa-apa. Saya juga minta maaf kerana menyebabkan si comel ni menangis. Mungkin dia terkejut agaknya sebab dia tidak mengenali saya yang cuba menangkapnya tadi.” Lembut bicara Ilia cuba menjelaskan kejadian tadi kepada wanita tua itu.
“Terima kasih sekali lagi sebab dah selamatkan Nurin. Ya ALLAH Ya Tuhanku, tak beranilah lagi makcik nak bawa budak-budak berdua ni lagi. Kalau emak dan bapanya tahu, pasti mereka akan kecewa dengan makcik. Makcik betul-betul tak perasan tadi. Sebab nak pujuk Akila yang terjatuh, makcik bolehkan tak perasan yang Nurin mengejar bolanya sampai ke sini.”
“Alhamdullillah, nasib baiklah anak ada tadi, kalau tak, tak tahulah apa nak jadi dengan cucu makcik yang sorang ni.” Ujar wanita tua itu sambil terus mengusap tubuh Nurin yang telah senyap di dalam pelukannya. Di hatinya tidak henti-henti mengucap syukur ke hadrat ALLAH kerana DIA menggerakkan wanita muda di hadapannya itu untuk menyelamatkan cucunya yang amat disayangi itu.
“Tak ada apa-apa tu makcik. Takdirlah yang menentukan segalanya ini.” Balas Ilia dengan lembut. Wanita tua itu membalas dengan senyuman ikhlas yang datang dari hatinya.
“Eh sibuk dengan budak-budak berdua ni, lupa pulak makcik nak bertanyakan nama anak ni. Siapa namanya?”
“Saya Ilia Durrani, makcik. Makcik pula?”
“Hem, nama makcik ni Adawiyah. Yang ini pula, Akila Hannah dan yang kecil ni pula namanya Nurin Zuhairah.” Hajah Adawiyah memperkenalkan dirinya dan cucu-cucunya.
“Sedap nama cucu-cucu makcik ni.” Ilia memuji.
“Nama-nama zaman milenium ni, semuanya sedap-sedap, Durra. Eh, boleh makcik panggil anak, Durra aje? Rasanya sesuai benar nama tu dengan anak. Sebutir permata yang rasanya betul-betul telah berkilauan pada hari ini.” Ulas Hajah Adawiyah dengan sedikit panjang lebar. Tangannya pula mengeluarkan dua botol air minuman dari dalam beg sandang yang dibawa bersama dan dihulurkan kepada Akila dan juga Nurin.
Pujian dan kata-kata Hajah Adawiyah sedikit memeranjatkan Durra. Dia tersentak kerana wanita tua itu memilih untuk memanggilnya begitu.
Teringat dia akan kata-kata seorang lagi insan yang juga memanggilnya begitu. Insan itulah yang kerap menjadi igauannya kini. Lelaki itu juga ada menyatakan fakta yang hampir sama dengan makcik di sisinya ini. Terasa bagaikan satu kebetulan.
“Selalu ke Durra datang ke sini?” soal Hajah Adawiyah sambil memerhati cucu-cucunya yang telah minum itu bermain-main di kakinya.
“Tak juga. Bila sesekali rasa nak tengok manusia yang bermacam ragam ni, barulah saya ke sini. Kalau tak tu, saya selalunya bersantai aje di rumah.” Ilia menjelaskan.
“Durra tinggal di mana?”
“Saya tinggal dekat sini aje, di Bukit Tunku. Makcik pula?”
“Makcik tinggal di Bukit Damansara tu. Berdua aje dengan suami makcik. Makcik ada tiga anak. Dua dah kahwin dan seorang lagi tu masih membujang. Anak-anak semuanya dah berumah sendiri. Mereka tak nak makcik kesunyian, jadi mereka ambil pembantu rumah dan waktu siangnya mereka biarkan cucu-cucu makcik ni berada bersama makcik.” Jelas Hajah Adawiyah tanpa dipinta.
“Pakcik tak kesah ke?”
“Hem, pakcik pun bekerja, jadi dia pun tak kesah sangat bila cucu-cucunya yang ramai tu meriuhkan rumah kami.” Hajah Adawiyah memberitahu sambil tersengih.
“Ramai ke cucu-cucu makcik?”
“Ada enam orang. Empat lagi tu, anak kepada anak makcik yang sulung. Dua lelaki, dua perempuan. Bila dah berkumpul ramai-ramai, riuh rendah bunyinya. Sampaikan kadang-kadang suara kita ni pun kena ditinggikan supaya boleh mendengar bila bercakap.” Hajah Adawiyah tenang bercerita.
Lembut dan lunak suaranya. Tidak dapat Ilia bayangkan bagaimana dia melayan cucu-cucunya yang enam orang itu dengan kelembutan yang ada padanya.
Ilia suka menatap wajah tua itu. Ada ketenangan dan kelembutan yang terpancar di situ.
Teringat dia kepada Allahyarhamah neneknya yang telah lama meninggalkan dunia ini. Hanya itu saudara yang dia ada. Dia tidak pernah mengenali kasih sayang kedua ibu bapanya yang telah pergi meninggalkan dia sejak dia kecil lagi.
Ibunya telah meninggal selepas melahirkannya. Bapanya pula pergi setelah diserang kanser beberapa tahun kemudiannya. Neneknya yang kaya dengan kasih sayang itulah yang membesarkannya dan menatangnya bagaikan minyak yang penuh.
“Durra dah kahwin?” tiba-tiba tercetus soalan dari mulut Hajah Adawiyah.
Kaget Ilia seketika. Tidak disangka soalan itu yang akan ditanya oleh wanita itu.
“Durra marah ke bila makcik bertanya macam-macam ni? Kalau ye, makcik minta maaf, makcik pun tak tahu kenapa hari ini macam-macam soalan yang makcik tanyakan daripada Durra yang baru aje makcik kenal ni…” Hajah Adawiyah meminta maaf. Dia mula merasa kurang senang dengan sikap dirinya sendiri yang bertanya bermacam-macam soalan kepada Ilia.
Dia sendiri tidak pasti kenapa hari ini dia begitu peramah dan mudah bertanya itu ini dengan wanita yang baru sahaja dikenalinya itu. Ringan sahaja mulutnya bertanya. Mana tahu, mungkin juga Ilia tidak menyenanginya.
Melihatkan Hajah Adawiyah yang kelihatan serba salah, akhirnya Ilia menghadiahkan sebutir senyuman kepadanya.
“Tak apalah makcik. Saya tak kesah. Sebenarnya saya pernah berkahwin, tapi dua tahun yang lepas, suami saya meninggal dunia.” Akhirnya Ilia bersuara. Kasihan juga dia melihatkan Hajah Adawiyah yang semakin resah.
“O…. begitu. Kasihan Durra. Sabar ajelah. Semuanya tu dah ditakdirkan ALLAH, Durra dah menjanda di dalam usia yang begini muda. Habis tu, sekarang ni Durra tinggal dengan siapa?”
“Saya tinggal sendirian.”
“Masih ada keluarga yang lain?”
“Tak ada makcik. Saya sebatang kara aje di dunia ni.” Mendung riak air muka Ilia mengenangkan nasib dirinya.
“Begitulah hidup ni Durra. Semuanya berada di dalam ketentuan ALLAH. Pasti ada hikmahnya, cuma kita sebagai manusia ni sahaja yang tak tahu.” Hajah Adawiyah cuba membuang resah di hati anak muda di sebelahnya itu. Diurut bahunya, seakan memberitahu bahawa dia juga turut bersimpati kepada nasibnya itu.
“Bila dengar cerita Durra begini, makcik terasa begitu bersyukur kepada ALLAH kerana masih punya ahli keluarga. Tak apalah Durra, walaupun Durra sebatang kara, makcik pasti Durra akan bahagia. Usia Durra masih muda dan perjalanan Durra masih panjang. Durra redalah dengan apa yang Durra ada sekarang ni, ye….”
Hajah Adawiyah menyambung nasihatnya. Tangan Ilia pula diusap lembut. Timbul rasa kasih pada wanita yang nampak cekal melalui perjalanan hidupnya itu.
Walaupun baru mengenali wanita itu, entah kenapa, terasa kemesraan yang tidak dapat hendak diungkai. Mudah saja dia menjawab soalan demi soalan yang ditanya oleh wanita di sebelahnya itu.
Sambil memerhatikan gadis-gadis comel itu bermain, kedua-dua wanita itu terus bercerita dan mengenali hati budi masing-masing. Hampir sejam berlalu tanpa disedari. Mereka berpisah setelah senja semakin berlabuh dengan harapan mungkin esok atau lusa mereka akan bertemu lagi.

No comments: