Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SSR1

Mac 1997.
Suasana di Hentian Bas Pekeliling agak sunyi. Cahaya yang memancar di situ tidak seterang mana. Di dalam kekelaman malam itu, masih kelihatan beberapa kelompok manusia lain di dalam situasi yang sama dengan Ameera Syuhadah. Mungkin mereka juga sedang menanti kehadiran bas yang akan membawa mereka ke Kuantan, Pahang.
Ameera Syuhadah tenang di bahagian tempat duduk belakang di dalam kereta Azmeer, abang sulungnya. Di kalih pula pandangan matanya ke arah jam di tangan. Masih ada sepuluh minit sebelum waktu untuk berangkat.
Azmeer dan isterinya Nadia memerhatikan sahaja gerak geri Ameera Syuhadah yang sedang mengambil tiket bas dari kocek bahagian dalam beg sandangnya itu.
“Jaga diri Angah baik-baik. Dah tengah-tengah malam ni, jangan dok tegur orang-orang kat sekeliling tu. Lelaki kat KL ni, bukannya boleh percaya sangat, nampak aje baik tapi ramai yang buaya, lebih suka mengambil kesempatan ke atas anak-anak dara macam kamu tu…” Beria-ia Azmeer berpesan kepada Ameera Syuhadah.
Walaupun itulah nasihat Alongnya setiap kali dia berpergian, Ameera Syuhadah tetap akur mendengar. Dia tahu betapa abang sulungnya itu sayangkan dirinya.
“Nanti, bila dah tiba di Kuantan, telefon Along,” pesan Azmeer lagi.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. “Yelah Along, Angah tahulah nanti. Bila tiba aje di rumah, nanti Angah call, Angah janji.” Janji Ameera Syuhadah untuk menenangkan hati abangnya.
Ameera Syuhadah tahu betapa abangnya yang seorang itu amat gusarkan keselamatan dirinya. Dia akan menanti panggilan dari Ameera Syuhadah, memastikan yang dia telah selamat sampai ke destinasinya, walaupun kala itu jam telah menunjukkan angka pukul 5 pagi.
“Hati-hati bila dah tiba di Kuantan nanti,” pesan Azmeer sekali lagi. Dia nyata agak berat hati untuk melepaskan Ameera Syuhadah pergi dengan menaiki bas TransNasional di waktu tengah malam begini.
Azmeer akui adiknya itu memang gadis yang pandai menjaga diri, namun nalurinya sebagai seorang abang yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap perjalanan hidup adiknya yang seorang itu membuatkan dirinya sentiasa tidak senang bila adiknya dibiarkan pulang sendirian ke Kuantan. Jika tidak kerana esok dia ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri, pastinya dia akan menghantar adiknya pulang ke sana. Dialah satu-satunya adik perempuannya. Dialah racun dan dialah juga penawar di dalam keluarganya. Walaupun dia sendiri telah beristeri dan berkeluarga, namun kasih sayangnya terhadap adiknya yang seorang itu tidak pernah pudar.
Azmeer sedar, setelah ayah mereka meninggal dunia di dalam satu kemalangan yang meragut nyawanya beberapa tahun yang lepas, kini dialah pengganti ayahnya. Dia yang perlu menjaga adik-adiknya, Ameera Syuhadah dan juga Azmil. Diakuinya juga yang adiknya yang seorang ini memang manja. Namun begitu dia juga nakal tetapi tegas dan berani menghadapi segala kesedihan dan dugaan di dalam perjalanan hidupnya.
Ameera Syuhadah hanya mampu tersengih. Pesanan itu memang kerap di dengarnya. Alongnya pasti berpesan sebegitu setiap kali dia hendak melepaskan Ameera Syuhadah pergi ke mana-mana walaupun dia tahu bahawa adiknya ini memang boleh berdikari dan lebih senang ke sana ke mari tanpa dia menemaninya. Bukan sekali itu Ameera Syuhadah dibenarkan pulang sendirian ke Kuantan, tapi sudah berulang kali.
Bas yang akan ke Kuantan telah pun menghampiri. Bergegas Ameera Syuhadah mencapai beg sandangnya itu dan melangkah keluar. Kedua abang dan kakak iparnya turut sama keluar dari perut kereta. Ameera Syuhadah berjalan menghampiri keduanya. Tangannya disuakan untuk bersalam sebelum dia meninggalkan mereka.
“Along, Angah pergi dulu. Kak Long, jangan lupa tolong hantarkan baju Angah tu pada Makcik Sapura ye, nanti baju tu Angah nak pakai masa jamuan makan malam yang dianjurkan oleh syarikat Angah tu nanti.” Sempat Ameera Syuhadah berpesan kepada kakak iparnya itu agar tidak lupa untuk menghantar kain untuk dijahit oleh Makcik Sapura, tukang jahit yang biasa mengambil tempahan baju dari mereka.
“Yelah, Kak Long tak lupa, tapi kalau nak pastikan lagi, nanti telefon dan ingatkan Kak Long. Boleh?”
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. “Okey, sa....yang akak…” jawabnya Ameera Syuhadah sambil memeluk kakak iparnya dengan manja.
Nadia membalas pelukan adik iparnya. Dia senang dengan sifat Ameera Syuhadah yang manja itu. Terasa juga yang dirinya dihargai. Sikap adik iparnya yang suka berterus terang dan lebih terbuka telah memudahkan mereka lebih banyak bercerita dan menjadikan hubungan mereka begitu rapat. Sikap Ameera Syuhadah jelas sungguh berbeza sekali dengan sikap adik-adiknya sendiri yang kurang mesra sesama mereka.
Seketika Ameera Syuhadah memerhati keadaan sekitarnya. Kalau tadi kurang kelihatan penumpang yang akan menaiki bas itu, tapi sebaik bas datang menghampiri, agak ramai juga orang yang telah berkumpul dan bersedia untuk menaiki bas tersebut.
‘Hem… nampaknya, malam ini bas mesti penuh. Maklumlah sekarang ni kan awal bulan, mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk menziarahi sanak saudara dan sahabat handai. Tidak kurang juga yang balik dari membeli belah di Kuala Lumpur ni. Lagi pun sekarang ni jugak tengah musim Mega Sale, pasti ramai yang mengambil kesempatan ini untuk membeli belah di Kuala Lumpur yang menawarkan lebih banyak pilihan dengan adanya kompleks membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga Bukit Bintang.’ Omel Ameera Syuhadah sendirian.
‘Aku harap penumpang kat sebelah aku malam ini bukanlah jenis tangan sotong.’ Gumam Ameera Syuhadah. Dia bungkam memikirkan kemungkinan itu. Teringat kembali peristiwa di mana dia pernah diraba oleh penumpang yang duduk di sebelahnya. Nasib baik juga kejadian itu hanya berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya dengan menaiki bas mini. Dia tetap bersyukur kerana kejadian seperti itu belum pernah dialaminya semasa menaiki bas ekspres sebegini. Dan dia tetap berdoa yang kejadian yang sama tidak akan dialaminya lagi.

Bas mula bergerak dari Perhentian Bas Jalan Pekeliling menuju ke arah Perhentian Bas Putra. Seperti biasa, sebaik sahaja bas bergerak, kepala Ameera Syuhadah akan mula terlentok. Dia mula tidur-tidur ayam. Baru hendak terlena, bas telah pun tiba ke destinasi seterusnya. Beberapa orang penumpang baru sudah mula menapak naik ke dalam perut bas. Ameera Syuhadah cuba untuk tidak mengendah-kan kehadiran mereka walaupun dia tahu, pasti salah seorang dari mereka itu akan duduk di sebelahnya yang masih kosong. Namun timbul juga harapan di hatinya. Dia berharap jirannya itu adalah seorang wanita. Jadi dia tidak perlu risau di sepanjang perjalanan itu. Dia cuba untuk tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya sehinggalah satu suara menegurnya.

No comments: