Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SSR2

"Excuse me, boleh saya duduk di sini?”
Ameera Syuhadah membuka matanya. Di kalihkan pula pandangannya ke arah suara yang baru saja menegurnya itu. Di dalam kesuraman cahaya di dalam bas itu, yang kelihatan hanyalah susuk tubuh seorang lelaki. Dia yang membelakangkan cahaya yang agak suram itu, tidak dapat diketahui bagaimana rupanya. Yang Ameera Syuhadah tahu, lelaki itu punya suara yang begitu gemeresik. Sedap suaranya dan sedikit menggoda.
Walaupun kelihatannya lelaki itu cuba bersikap sopan, tetapi entah kenapa, perasaan Ameera Syuhadah dilanda perasaan yang tidak begitu menyenangkan. Takut juga sekiranya lelaki itu jenis yang miang orangnya. Namun dia cuba untuk menepis apa yang dia rasa ketika itu.
Ameera Syuhadah bangkit, bergerak ke sisi tempat duduknya dan melangkah setapak ke belakang untuk memberikan laluan. Disuakan sedikit tangannya, memberi isyarat agar lelaki itu mengambil tempat duduk di sisinya.
Tanpa lengah, lelaki itu terus menghenyakkan tubuhnya ke kerusi di sebelah Ameera Syuhadah. Serentak melabuhkan tubuhnya ke kerusi, sempat Ameera Syuhadah menjeling memandang ke arah susuk tubuh itu. Lelaki itu agak tinggi. Dengan berbalutkan baju sejuk yang berkait, tubuhnya juga kelihatan sasa.
Bas mula bergerak meninggalkan Perhentian Bas Putra. Di kalih seketika pandangannya keluar tingkap tanpa mempedulikan lelaki di sebelahnya itu. Malam yang gelap tanpa cahaya, namun sesekali kelihatan bintang bersinar di dada langit. Teringat pula dia kepada lagu nyanyian P. Ramlee dalam filem Anakku Sazali.
Tanya sama pokok, apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok, angin yang goncang….
Bersama dengan irama yang sedang bermain di kepalanya, Ameera Syuhadah menyelesakan dirinya untuk kembali menyambung tidur yang terganggu sebentar tadi. Namun, baru dia berura-ura hendak melelapkan matanya, dia ditegur sekali lagi oleh jiran barunya.
“Hendak ke mana?”
“Bas ni bas apa?” Selamba Ameera menyoal kembali. Timbul juga geram di hatinya kerana tidurnya hendak diganggu. Apatah lagi, malam ini dia tiada hati untuk berbual dengan sesiapa. Badan dan matanya yang keletihan meminta supaya dia lebih mengutamakan tidur dari melayan sesiapa jua pada saat ini.
“Bas Ekspres.”
“Bas ni menuju ke mana?”
“Ke Kuantan.”
“Hem, sudah gaharu cendana kerisi, sudah tahu bertanya lagi?” Tempelak Ameera Syuhadah tanpa segan silu.
“Eh, peribahasa baru ke?” Selamba lelaki itu menyindir Ameera Syuhadah di atas penggunaan peribahasa yang digunakannya sebentar tadi.
Walaupun tidak kelihatan raut wajahnya itu, Ameera Syuhadah pasti lelaki itu sudah tersengih. Nada suaranya yang berbaur gurauan menyarankan demikian.
“Kenapa, salah ke?”
“Tak salah, tapi macam dalam drama.”
“Hidup ni kan memang sebuah drama. Drama kehidupan. Sebuah realiti. Yang kat TV tu hanyalah sebahagian darinya yang dipersembahkan kembali untuk tontonan umum, sama ada untuk dijadikan sempadan, ataupun tauladan.” Ameera Syuhadah membidas sambil mengeluarkan hujahnya yang panjang meleret. Tanpa di sedarinya, lelaki di sebelahnya sudah tersenyum meleret.
“Memang betul seperti kata awak tu. Cik ke puan ni?” Selamba sahaja lelaki itu menyelitkan pertanyaan tentang status diri Ameera Syuhadah. Dia sendiri terasa seronok bertikam lidah dengan gadis di sebelahnya itu. Mungkin juga dia seorang pelajar memandangkan Kuantan adalah salah sebuah negeri yang menempatkan ramai pelajar sama ada di cawangan-cawangan universiti ataupun kolej-kolej.
“Kenapa nak tahu?”
“Saja nak tahu. Sekurang-kurangnya saya tahu serba sedikit mengenai diri teman saya berbual.”
“Kalau kita tak berbual, boleh tak?”
“Kalau kita berbual, bagaimana?” Tukas lelaki itu pula.
Hati Ameera Syuhadah semakin geram. Dirasakan lelaki di sebelahnya itu seorang yang sedikit degil.
“Untuk apa?”
“Saja. Saya tak mengantuk, jadi awak temankanlah saya berbual di sepanjang perjalanan kita ni.”
“Tapi, saya yang mengantuk. Saya nak tidur.” Tekan Ameera Syuhadah pula. Malas dia melayan lelaki itu berbual hanya kerana dia yang tidak mengantuk.
“Awak tak kasihankan saya ke?”
Suara lelaki itu kedengaran seperti sedang merayu kepadanya. Kepala lelaki itu pula menoleh memandang-nya. Namun Ameera Syuhadah buat-buat tidak faham dengan rayuan lelaki yang semakin kurang menyenangkan hatinya itu.
“Awak tak kasihankan saya ke?” tanya lelaki itu sekali lagi bila pertanyaannya tidak diendahkan oleh Ameera Syuhadah.
“Siapa awak un….”
“Saya Eddy Arif.“ Belum sempat Ameera Syuhadah menyambung kata-katanya, pantas lelaki itu memperke-nalkan dirinya.
Ameera Syuhadah menghadiahkan jelingan tajam ke arah lelaki itu. Pasti lelaki itu tidak nampak akan jelingan matanya, tapi Ameera Syuhadah tidak peduli.
“Awak tak percaya?” Tanya lelaki itu bila Ameera Syuhadah masih mendiamkan dirinya.
“Percaya tentang apa?” Akhirnya Ameera Syuhadah membuka mulutnya bila lelaki itu masih menanti jawapannya.
“Percayakan bahawa itu nama saya?”
Ameera Syuhadah hanya menjongketkan bahunya. Di perhatinya dengan ekor matanya gerak geri lelaki itu bangun dan mengambil sesuatu dari poket seluarnya.
“Nah.” Dia menghulurkan sesuatu. Ameera Syuhadah memandangkan ke arahnya. Sekeping kad yang mungkin berwarna putih sedang disuakan ke mukanya. Terpaksa Ameera Syuhadah mengambil kad yang dihulurkan itu.
Ameera Syuhadah mahu menyimpan sahaja kad yang diberikan, tapi tidak semena-mena, cahaya dari telefon bimbit lelaki itu menerangi suasana. Disuakannya ke arah kad yang sedang dipegang oleh Ameera Syuhadah.
Eddy Arif Effendi.
Pengarah Urusan.
Ameera Syuhadah melihat kembali kepada kad di tangan. Hem, seorang pengarah urusan yang menaiki sebuah bas untuk berulang alik ke Kuantan dan Kuala Lumpur.
Ada ke orang seperti itu? Hati Ameera Syuhadah tertanya-tanya kerana dia sedar yang kebanyakan manusia ni lebih suka menunjuk-nunjuk, apatah lagi bila bergelar Pengarah Urusan sesebuah syarikat.
“Awak buat apa di KL ni?” Tanpa sedar, soalan itu pula yang tercetus dari mulut Ameera Syuhadah.
“Mencari peluang perniagaan. Takkan saya nak cari peluang perniagaan hanya di Kuantan. Bukankah KL lebih menjanjikan peluang yang lebih besar.”
“Kenapa naik bas? Kenapa tak naik kereta sahaja?”
“Kenapa tidak bas? Kenapa perlu berkereta?” Soal Eddy Arif semula.
“Bukankah lebih senang berkereta, lebih mudah untuk awak bergerak ke sana ke mari untuk mencari peluang perniagaan tersebut?” soal Ameera Syuhadah kembali.
“Dengan menaiki bas antara KL dan Kuantan, saya tidak perlu memenatkan diri saya memandu. Di KL pula, banyak teksi yang boleh saya naiki untuk saya ke sana ke mari. Tak perlu membuang masa mencari parking dan juga membuang duit membayar duit parking yang terlalu mahal di bandar raya ni. Lagipun, saya bukannya mempunyai perniagaan jutaan ringgit, cukup sekadar untuk berdiri tegak dan masih perlu bertatih lagi.” Terang lelaki itu dengan panjang lebar.
‘Hem, boleh diterima akal juga kata-kata lelaki ni,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah pula.
“Sekali lagi saya ingin bertanya. Awak dah berkahwin, bertunang?” Lelaki itu kembali mengajukan pertanyaan.
Ameera Syuhadah hanya menggelengkan kepalanya perlahan. Tersirna kekeliruan dari anak matanya, namun sudah pasti lelaki itu tidak akan menyedarinya.
‘Hish, kenapa mamat sorang ni beria-ia nak tahu fasal status perkahwinan aku?’ Getus hati kecilnya..
“Bagus.”
“Kenapa? Awak rasa ada tindak balas kimia ataupun rapor ke di antara kita?” Sindir Ameera Syuhadah yang semakin terasa lucu dengan situasi yang sedang dihadapi-nya kini.
“Bukan begitu. Saya tidak mahu nanti dikatakan mengganggu isteri atau pun tunangan orang, apatah lagi jika orang itu mungkin juga berada di dalam bas ini.” Terang Eddy Arif selamba. Diperhatikan pula sekelilingnya, mungkin ingin memastikan keadaan sekelilingnya selamat sebelum dia menyambung bicara.
“Boleh kita berbual?” Tanyanya lagi.
“Am I likely to find you interesting?”
“Yes.”
Kali ini kening Ameera Syuhadah terangkat dengan keyakinan yang dilampiaskan oleh lelaki itu. Namun tersemat juga rasa suka dengan sikap lelaki itu yang sedikit berterus terang dan yakin akan dirinya itu.
“Such modesty.” Sindirnya kembali. Sengaja mahu menduga sejauh mana keyakinan yang ada pada lelaki itu.
“Cik adik, awak patut tahu yang false modesty tu tidak akan membawa awak ke mana-mana.” Tukas lelaki itu pula.
“Memang betul. Tapi pada masa yang sama, bila kita ada sikap rendah diri ni, ia akan menjadikan kita lebih dihormati. Awak tak terasa ke yang keyakinan yang awak katakan itu boleh memakan diri awak sendiri?”
“Keyakinan perlu ada, terutama bila kita berniaga. Macam mana orang nak yakin dengan kita sekiranya kita tidak yakin pada diri kita sendiri. Sifat tidak yakin itu sebenarnya akan terserlah semasa kita berurusan dengan pelanggan kita. Betul tak apa yang saya katakan ni?”
Ameera Syuhadah mengangguk, mengakui kebenaran kata-kata lelaki itu. Dia juga banyak berurusan dengan pelanggan, jadi dia tahu apa yang lelaki itu perkatakan.
Mereka terus berbual kosong. Pengetahuan lelaki itu agak luas, jadi banyak topik yang telah disentuh dan dibincangkan. Terasa seronok dan terus hilang rasa mengantuknya. Lelaki itu juga agak lucu orangnya. Sesekali tercetus tawa yang cuba dikawal dari meledak. Takut mengganggu penumpang yang lain. Tanpa sedar, mereka telah tiba di pertengahan perjalanan.
Bas Ekspres Transnasional itu berhenti rehat di Restoran Delima di Temerloh. Lampu di dalam bas juga telah dipasangkan. Penumpang telah mula bangun dan turun untuk merenggangkan badan dan menikmati juadah yang ada dijual. Mungkin mereka sudah kelaparan. Maklumlah, bila berada di dalam bas yang bergerak, suhu yang sejuk juga menjadikan perut yang pada mulanya kenyang, lapar semula. Seolah-olah berada di dalam gim selama 2 jam layaknya.
“Awak tak nak turun ke? Jomlah, saya belanja awak minum ke, makan ke?” Eddy Arif mempelawa Ameera Syuhadah untuk turut sama berhenti rehat di restoran berkenaan. Dia telah pun berdiri sambil memandang ke arah Ameera Syuhadah yang masih berfikir sama ada hendak turun ataupun tidak.
“Tak apalah, awak turun dulu, saya tak pasti lagi.” Ameera Syuhadah menolak ajakan itu dengan lembut. Dia malas mahu turun sebenarnya. Perutnya tidak lapar dan air minuman juga ada dibawa dari rumah abangnya tadi.
Akhirnya lelaki itu terpaksa juga melangkah pergi dan meninggalkan Ameera Syuhadah yang masih melekat di kerusinya itu.
Ameera Syuhadah memandang ke arah lelaki yang sedang melangkah pergi. Jelas kelihatan raut wajah lelaki itu di matanya. Kacak dan tampan. Segak bergaya. Tinggi orangnya. Rambutnya rapi tersisir dan kumis nipis melengkapkan lagi penampilan dirinya.
‘Em, boleh tahan jugak hensemnya tu,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah. Dia tersenyum sinis, menyindir diri sendiri yang mudah berkenan dan jatuh hati kepada lelaki kacak. Tapi dia juga sedar, hatinya akan lebih tertarik kepada lelaki yang mempunyai penampilan ala-ala lanun yang kerap menjadi hero di dalam filem-filem Hollywood. Wajah-wajah Richard Dean Anderson dalam siri MacGyver dan juga Kevin Sorbo yang nakal dalam siri Hercules bersilih ganti di ruang matanya. Bukan kekacakan wajah yang menjadi tarikannya, tapi watak-watak mereka yang lebih memikat hatinya.
Ameera Syuhadah menjongket bahunya. Entahlah, mungkin satu hari nanti dia akan bertemu juga dengan lelaki sebegini, dia mengeluh sendiri. Namun dia juga berdoa di dalam hatinya agar kehadiran lelaki itu akan hanya berlaku setelah impiannya tercapai.
Ameera Syuhadah berdiri beberapa minit di dalam bas itu untuk meregangkan badannya yang ketegangan. Sepatutnya dia tidur di dalam perjalanan tadi, tapi nampak gayanya dia terpaksa berjaga sehingga tiba ke destinasinya.
Ameera Syuhadah akui, walaupun sebentar tadi tidurnya terganggu, namun perbualannya dengan Eddy Arif agak menarik. Banyak juga yang dipelajari dari Eddy Arif.
Setelah perjalanan diteruskan, mereka berbual lagi. Akhirnya apabila bas sampai ke Taman Guru, Ameera Syuhadah membunyikan loceng. Eddy Arif memerhatikan sahaja dia melangkah turun. Sebaik bas bergerak, dia melambaikan tangannya kepada Ameera Syuhadah. Ameera Syuhadah membalas lambaian itu. Timbul juga rasa ingin tahu di hatinya. Apakah Eddy Arif akan menghubunginya kelak? Dia tidak pasti, tapi nombor telefon pejabatnya telah pun diberikan kepada Eddy Arif tadi. Ameera Syuhadah tidak kesah. Sekiranya Eddy Arif mahu terus berkawan dengannya, dia tidak akan menolak. Diakuinya yang sedikit sebanyak hatinya telah pun tertarik kepada pemuda itu!

No comments: