Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK8

MELOPONG Syirin memandang muka Erman. Memang betul Syirah ada memberitahu yang suaminya memang betul-betul kaya tapi bila melihatkan cara lelaki di hadapannya ini berpakaian dengan agak selekeh, terlintas juga di fikirannya tadi yang mungkin lelaki ini tidaklah sekaya mana.
Tetapi baru sebentar tadi bila Erman menyebut jumlah wang sepuluh ribu itu kepada Syirin, seolah-olah jumlah wang itu hanya bernilai seringgit atau dua sahaja padanya. Syirin akui hakikat betapa susahnya kehidupan dia dan Mimi selama ini. Untuk mengumpulkan wang sejumlah sepuluh ribu itu pasti akan mengambil masa yang bertahun-tahun baginya tetapi pada lelaki ini, ia bagaikan memetik jari saja.
Betapa kejamnya kehidupan ini bila difikirkan yang dia tidak akan berpeluang untuk meminjam wang daripada Erman, sedangkan abang iparnya itu memang punya kemampuan untuk menawarkan bantuan yang diperlukannya.
Syirin juga sedar yang selama ini Syirah memang boros orangnya dan dia pasti, ketika ini abang iparnya itu sememangnya begitu yakin kedatangan isterinya ke sini adalah untuk meminta wang darinya.
Timbul juga pelik di hatinya, walaupun Erman begitu membenci Syirah tapi kenapa pula dia tidak kisah untuk memberikan berapa sahaja jumlah wang yang diminta oleh isterinya itu? Agak hairan juga kalau terus difikirkan. Jika Syirah yang berada di tempatnya sekarang ini, pasti dia akan gembira dan mungkin juga sifat tamak haloba sudah menguasai dirinya.
Itulah yang menjadi masalahnya sekarang ini. Syirin bukan seperti kembarnya itu. Dia tidak pernah mengejar kemewahan. Matanya tidak pernah gelap dengan wang ringgit.
Walaupun ketika ini keperluan untuk memulihkan Mimi adalah objektif yang lebih utama. Namun Syirin juga pasti yang Erman tidak akan memberikannya walau sesen pun kalau dia berterus terang dengan menceritakan perkara yang sebenar kerana Erman tidak percaya akan kewujudan dia dan Mimi.
Jika pun Syirin dapat membuktikan kewujudannya sebagai kembar Syirah, tapi apalah gunanya bukti itu nanti. Pasti Erman akan melangkah keluar dari bilik itu tanpa sekelumit rasa bersalah kerana dia tahu bahawa Syirin bukanlah isterinya yang harus diberikan nafkah dan perbelanjaan.
‘Ala…, kau mengaku aje yang kau tu Syirah,’ hati Syirin mula mengasak dia untuk berbuat sedemikian. Syaitan juga mula memainkan jarumnya.
Walaupun tadi dia baru berura-ura untuk menyamar dan mengaku dirinya adalah Syirah sebagai usaha untuk melepaskan dirinya daripada Erman tetapi kini idea itu nampaknya semakin menarik dan lebih logik untuk dilaksanakan. Lebih mudah bagi Syirin untuk meminta dan menyebut sahaja jumlah yang diperlukan. Harap-harap Erman akan memenuhi permintaannya itu. Walau pun jumlah wang itu hanya sekadar jumlah yang kecil pada Erman tetapi ia adalah segala-galanya bagi Syirin dan Mimi.
‘Tidak… jangan lakukannya!’ marah Syirin kepada dirinya.
Sepanjang hidupnya, dia telah berusaha keras untuk mengecap apa yang dia ada sekarang ini dan dia berbangga dengan segala hasil titik peluhnya itu.
Walaupun dia pernah bercita-cita untuk menyambung pelajarannya suatu hari nanti, namun dia masih perlu bekerja dengan Kak Jah supaya dia dapat menjaga dan membesarkan Mimi dengan lebih baik lagi.
Dia bersyukur dengan apa yang ada padanya dan dia pasti kemalangan yang menimpa Mimi ada rahmat di sebaliknya. Baginya, meminta dengan meminjam ada perbezaannya. Meminta bererti dia menagih sesuatu yang bukan haknya dari seseorang. Meminjam pula bermakna dia akan menggunakan sesuatu untuk sementara waktu dan akan memulangkan semula kepada yang berhak. Mimi adalah adiknya yang memerlukan bantuan sekarang ini dan dia akan berusaha ke arah itu. Mimi adalah segala-galanya bagi Syirin.
“Berapa banyak?” tinggi suara Erman, mendesak dan menyergah.
Konflik yang sedang melanda Syirin terus terhenti. Dia terkejut. Spontan mulutnya menyebut jumlah yang diperlukannya, jumlah yang sentiasa berada di dalam fikirannya. Jumlah yang diperlukan oleh Mimi untuk pembedahannya.
Terlopong mulut Erman mendengarnya. Mukanya semakin tegang dan dahinya juga semakin berkerut.
Syirin mula berasa takut dengan situasi yang dihadapinya ketika ini. Dia tidak bermaksud untuk meminta tapi bila sudah disergah begitu, dia terus tersasul. Lupa semuanya.
“Banyaknya!” ujar Erman perlahan. Tidak di sangka sama sekali bahawa isterinya itu memerlukan jumlah wang yang begitu banyak. “Nampaknya kau betul-betul dalam kesusahan kali ni, wahai isteriku yang tersayang,” sinis suara Erman menyindir.
“Kau berjudi ke?”
“Tidak, jangan nak merepek. Itu bukan untuk saya tapi… ” Syirin cuba sekali lagi untuk menerangkan duduk perkara yang sebenar, tapi sekali lagi dipotong katanya oleh Erman. Tangan kanan Erman sudah terangkat ke udara.
“Hmm… aku akan berikan duit tu tapi dengan bersyarat.”
“Syarat?” perkataan itu terlepas dari mulutnya sebelum sempat Syirin memikirkan kewajarannya dia berbuat demikian.
Sebenarnya matanya masih lagi berpinar-pinar bila mendengar yang Erman sanggup memberikan setiap sen seperti yang diminta. Terserlah sedikit harapan walaupun dia sedar bahawa sebenarnya pemberian itu adalah untuk Syirah.
Perkataan ‘syarat’ itu hanya disedari seketika kemudian, bermakna dia harus melakukan sesuatu sebagai balasan.
Mungkin betul juga seperti kata Kak Jah, jadikan sahaja perjanjian ini sebagai suatu bentuk urus niaga. Mungkin syarat ini boleh digantikan dengan sesuatu pekerjaan yang boleh dilakukan sebagai balasan kepada wang yang diberikan kepadanya.
Tapi apakah syarat-syaratnya? Dapatkah Syirin memenuhi syarat-syarat yang bakal diberikan atau adakah syarat-syarat itu nanti bagaikan syarat-syarat yang dikenakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud? Terasa berat perasaannya untuk mengetahui apakah syarat-syarat yang akan dikenakan itu.
“Apa syaratnya?”
“Itu kau tak perlu bimbang,” Erman berjeda. “Syaratnya tak susah, macam dulu jugak. Tapi sebelum tu, tak payahlah nak berpura-pura lagi yang kau ni bukannya isteri aku!”
“Tapi saya memang bukan…” Syirin tetap ingin Erman tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Aghhhh…!!!” kuat jeritan Erman melepaskan perasaan geramnya. Pasti dapat didengari oleh tetamu-tetamu lain di hotel itu. Syirin sendiri begitu terkejut dan dengan spontan dia menjauhkan dirinya dari Erman, dia tidak menyangka reaksi Erman sebegitu sekali.
“Sudah, aku tak mahu dengar lagi! Kau pilih. Sama ada kau ni isteri aku dan kau boleh dapat duit sebagaimana yang kau hendakkan, ataupun kau bukan Nurul dan kau tak akan mendapat sesen pun dari aku. Hanya Nurul saja yang berhak, kau faham tak?”
Syirin membungkam. Kepalanya tertunduk. Dia menganggukkan kepalanya seperti orang bodoh. Mata Erman yang mencerlung dan nada suaranya yang dingin itu memberi isyarat kepada Syirin bahawa Erman tidak main-main. Dia maksudkan apa yang dikatakannya itu.
“Kau adalah isteri aku!” Erman meneruskan kata-katanya. “Dan sebagai isteri aku, kau telah diletakkan di satu tahap yang begitu selesa. Makan dan pakai kau, aku jaga. Duit, aku beri. Aku pasti, perempuan macam kau ni memang suka dengan keadaan itu. Kau terhutang budi dengan aku dan sebagai balasannya, aku mahu kau kembali dan tinggal dengan aku semula!”
“Jangan harap!” reaksi spontan dari Syirin. Dia sudah terlalu meluat untuk berhadapan dengan lelaki ini walau seminit pun, apatah lagi untuk tinggal dengannya, tidak sanggup rasanya.
“Baiklah…” kenyataan selamba Erman yang memang tidak dijangka oleh Syirin sama sekali.
“Kalau begitu, Sayonara!”
Fikiran Syirin bercelaru. Dia hanya memandang ke arah Erman yang sedang melangkah keluar. Terasa mahu dihantukkan kepalanya ke dinding.
‘Hish…, mengapalah aku ni bodoh sangat? Aku hanya mementingkan diri. Kenapalah aku tak fikirkan langsung pasal Mimi?’ getus hati Syirin berulang kali.
‘Sanggupkah kau nak menghadap rengekan Mimi setiap hari? Dia kan sakit. Kau nak lepaskan satu-satunya peluang yang kau ada untuk membantu Mimi?’ Syirin berterusan memarahi dirinya sendiri.
Otaknya ligat berpusing. Ingin dipanggilnya Erman tapi lidahnya kelu. Erman telah berkata yang dia hanya akan memberikan wang itu kepada isterinya, kepada Syirah. Syirah yang telah menyebabkan kemalangan ini berlaku, yang menyebabkan Mimi terlantar kesakitan di hospital. Satu-satunya jalan yang ada adalah dengan mengaku dirinya sebagai isteri Erman.
Mampukah aku melakukan penipuan ini? Bolehkah aku melakukannya? Can I really pull this off? Terpandang-pandang Syirin akan wajah adiknya yang sedang terlantar di katil hospital.
“Tunggu!!! Nanti dulu…” walaupun perkataan yang diucapkannya itu terlalu perlahan tetapi Erman yang telah berada di muka pintu bilik itu masih dapat mendengarnya, seolah-olah sememangnya reaksi itu yang telah dijangkakannya. Dia menoleh dan memandang Syirin.
“Apa yang sebenarnya perlu saya lakukan?” Syirin menggumam dan membasahkan bibirnya yang kering. Pucat mukanya memikirkan kemungkinan yang bakal ditempuhinya. Dia belum mengaku dirinya sebagai isteri Erman tetapi sebaliknya dia hanya hendak bertanya tentang syarat yang perlu dilakukannya.
“Seperti yang aku katakan tadi. Aku nak kau ikut aku balik ke Vila Impian dan tinggal di sana selama sebulan lagi.”
“Tapi kenapa?” agak pelik Syirin memikirkan kehendak Erman.
Erman sendiri telah mengaku yang dia amat benci Syirah, tapi kenapa pula dia hendak Syirah mengikutnya pulang dan tinggal bersamanya selama sebulan? Dan kenapa hanya sebulan? Apakah Erman ada muslihat yang tersembunyi di sebalik tawaran yang diberi? Bagaimanapun, renungan tajam yang ditujukan oleh Erman kepadanya agak mengecutkan perut Syirin. Hatinya terasa jengkel dan cuak.
“Aku tak perlu menjawab soalan bodoh kau tu kan?” Erman menjerkah.
“Ataupun kau memang dah lupa dengan syarat ni semacam mana kau dah lupakan perkara-perkara yang lain tu? Macam kau lupa siapa diri kau yang sebenarnya?” sempat Erman menyindir Syirin.
“Baiklah, mari aku ingatkan kembali perjanjian kita dulu. Kau sepatutnya tinggal dengan aku dan berlagak seperti seorang isteri yang penyayang di depan orang ramai. Kau kan memang terror berlakon?” dengan sinis Erman mengingatkan kembali perjanjian di antara dia dan isterinya kepada Syirin, yang disangka isterinya itu.
“Hanya berlagak, tak lebih dari itu?” Syirin meminta penjelasan.
“Yupp!”
“Itu aje?”
“Iiiyyyeee...” Erman bersuara kebosanan.
Terasa pulih semangat Syirin setelah mendengar kata-kata Erman. Rupa-rupanya Erman hanya memerlukan seorang isteri hanya pada nama, bukan isteri yang sebenarnya.
Lelaki jenis apakah dia ni? Bisik kata hatinya pula.
‘Tapi, kalau ini sememangnya perjanjian mereka sejak dahulu, kenapa pula Syirah harus bersedih dengan layanan yang telah diberikan oleh Erman semasa mereka bersama? Atau Syirah sebenarnya mahukan lebih dari itu? Dan kenapa pula Erman membuat perjanjian seperti itu? Adakah dia seorang lelaki homoseksual?’ Syirin tertanya-tanya kepada dirinya sendiri. Agak gerun bila difikirkan tetapi walaupun semuanya agak pelik dan tidak masuk di akal, dia tidak peduli tentang itu semua kerana kini jalan untuk mendapatkan wang untuk pembedahan Mimi telah terbuka luas untuknya.
Ini merupakan suatu penyelesaian buatnya walaupun Erman sebenarnya membuat tawaran ini kepada orang yang disangka isterinya. Syarat “isteri hanya pada nama” yang diletakkan oleh Erman memungkinkan untuk dia menerima tawaran tersebut.
‘I can do it! Aku boleh!’ Syirin memasang tekad di dalam hatinya. Dia pasti boleh melakukannya seperti mana yang telah dilakukan oleh Syirah sebelum ini.
Walaupun ini adalah suatu bentuk penipuan kepada Erman tetapi Syirin berjanji untuk melakukan yang terbaik sebagai ‘isteri hanya pada nama’ kepada Erman.
Syirin akan menganggap ini sebagai satu lakonan dan dia merupakan pelakon utamanya. Pelakon juga layak menerima ganjaran dan wang yang bakal diperolehnya itu adalah ganjarannya. Wang itu akan menjadi sebahagian daripada hasil titik peluhnya dan yang pasti, mungkin dia adalah pelakon baru tanpa filem yang menerima ganjaran tertinggi di Malaysia.
“Bagaimana Nurul, bolehkan?” suara Erman kembali tenang, cuba memujuk agar Syirin akan menerima tawarannya itu. “Berapa lama lagi kau perlukan untuk putuskan menerima tawaran aku ni? Perlu fikir ke? Aku rasa tak perlu. Kau boleh dapat duit tu tapi kau kena ikut syarat aku. Kalau kau lakukan yang terbaik, selepas satu bulan nanti aku akan ceraikan kau. Bagaimana?”
Terpinga-pinga Syirin bila mendengar perkataan ‘cerai’ yang diucapkan oleh Erman. Rasanya, jika Erman menceraikan Syirah maka kelak akan timbul pula masalah-masalah sampingan yang ingin dielakkannya. Pasti akan ada urusan turun naik mahkamah Syariah, dan mungkin akan timbul isu khalwat pula.
“Errr .. awak tak perlu ceraikan saya. Awak tak perlu susah-susah. Saya hanya perlukan duit tu sahaja dan tentang perkara cerai tu, kita selesaikan kemudian.” Akhirnya Syirin mengusulkan. Dia rasa bersalah. Cukuplah dengan masalah penipuan yang sedang dilakukannya dan dia berharap agar segalanya akan dapat diterangkan kepada Erman kelak setelah semua urusan pembedahan Mimi selesai.
“Aik, kau tak kisah ke dengan status gantung tak bertali? Memang luar biasa dan lain dari yang lain. Bagaimanapun, aku tak terkejut dengan kata-kata kau tu. Kau nak tahu kenapa?” Erman memandang Syirin dengan sinis.
Syirin hanya mampu menjeling ke muka Erman dan menggelengkan kepalanya.
“Sebagai isteri aku, kau akan punya banyak kelebihan berbanding daripada menjadi janda aku. Hmmm… tak kisahlah, seperti yang kau katakan tadi, perkara tu kita akan bincangkan kemudian.” Jawab Erman sambil terus merenung wajah Syirin yang telah mula bertukar kelat.
Nada sinis dan sindiran yang diluahkan Erman memang betul-betul menaikkan kemarahan Syirin dan menimbulkan semula perasaan meluat yang bersarang di dalam hatinya. Benci dia kepada lelaki ini yang telah mensia-siakan kehidupan kembarnya. Benci dia kepada Syirah juga kerana telah menjerumuskan dia ke dalam situasi yang dihadapinya sekarang ini.
Lelaki yang pertama kali ditemuinya ini telah membangkitkan seribu satu macam perasaan yang tidak pernah dialaminya hanya dalam masa sehari. Takut, marah, benci, kecewa, pilu, hiba dan entah apa lagi.
Malah, lelaki ini tidak bertanya pun untuk apa dia memerlukan wang sebanyak yang diminta. Dia bagaikan tidak peduli.
Apa yang dilakukan oleh lelaki ini adalah menggunakan kesempitan dan keperluan Syirin untuk memaksa Syirin mengikut kehendak hatinya. Untuk menunjukkan bahawa dia lebih berkuasa terhadap Syirin.
Mungkin inilah juga yang dilakukan oleh Erman terhadap Syirah semasa memujuk Syirah untuk berkahwin dengannya.
Meluap-luap kemarahan Syirin ketika itu. Tanpa sedar, dia melompat dari katil dan mula menyerang Erman. Dengan sekuat hatinya, dia cuba menampar muka Erman. Tamparan pertamanya berjaya tetapi tamparan keduanya tiba-tiba terhenti di udara. Erman mencengkam tangannya dan memulas tangannya ke belakang.
Syirin mengaduh kesakitan. Dia juga ketakutan. Dia baru tersedar akan tindakannya tadi.
Erman menolaknya ke katil. Syirin mengalih pandang ke muka Erman. Kesan merah tapak tangannya di pipi Erman jelas kelihatan. Ditancap pula matanya ke arah mata Erman yang semakin dekat, sinar yang terpancar dari mata itu terlalu dingin. Rasa takut mula menyelubungi perasaan Syirin.
“Memang sahlah kau ini Nurul. Mulanya aku ingat yang aku ni dah tersalah orang tapi reaksi kau kali ini…” kata-kata Erman terhenti tiba-tiba. Dia merenung muka Syirin yang kepucatan. Matanya terkedip-kedip, seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Suaranya telah berubah dan semakin mendalam.
“Kau tahu tak Nurul? Kau ni memang cantik dan menggoda, apatah lagi bila kau marah-marah macam tadi…” Erman menundukkan kepalanya dan tanpa disangka sama sekali oleh Syirin yang Erman menciumnya. Bibirnya diragut kasar.
Syirin cuba meronta tapi tidak berjaya. Rangkulan Erman terlalu kemas dan kuat hinggakan Syirin tidak terdaya untuk melakukan apa-apa. Akhirnya dia mengejangkan dirinya dan cuba untuk berfikir tentang dosa yang sedang dilakukannya. Dia jadi semakin takut.
Bagaimanapun, lain pulanya dengan Erman. Apabila dirasakan tiada lagi rontaan dari Syirin yang disangka adalah isterinya itu, dia mula menukar taktik.
Ciuman yang tadinya kasar bertukar lembut. Bagaikan suatu kejutan buat Syirin, reaksi kejangnya tadi mula beralih arah.
Dia mula memberikan respons terhadap ciuman pertamanya. Lupa dia akan dosa yang baru sebentar tadi bermain di fikirannya. Syaitan mula bersorak gembira.
Tiba-tiba Syirin tersedar. Mujur ALLAH masih menyedarkan dia akan hakikat bahawa dia bukannya isteri Erman. Malah dia sedang melakukan suatu dosa, suatu perbuatan zina yang lebih besar akibatnya. Dia meronta. Cubaannya kali ini berjaya.
“Bagaimana?” suara Erman masih mendesah dan keningnya terangkat. “Mungkin elok juga sekiranya kita menghabiskan masa kita selama sebulan ni seperti suami isteri yang lain, berbulan madu. Baru berbaloi dengan duit yang aku beri pada kau tu.”
Syirin rasa tersasar. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Matanya tepat memandang ke muka Erman. Dia rasa bagaikan dirinya terkapai-kapai, berada di awang-awangan. Dia cuba mencari tempat untuk bergantung tapi tiada apa yang dapat digapainya ketika itu.
Dia terduduk di tepi katil. Diusap mukanya. Dia rasa terlalu kerdil. Dosa dan pahala, syurga dan neraka, silih berganti bermain di mindanya. Wajah Mimi berselang seli dengan wajah Syirah.
Apakah yang patut dilakukannya? Apakah dia sanggup untuk membiarkan Mimi lumpuh sepanjang hayatnya? Apakah jalan yang dia ada? Apakah pilihannya? Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Dia harus mencubanya. Semangatnya tiba-tiba bangkit kembali.
“Itu bukan perjanjian kita!” Erman ditengkingnya.
“Ingat! Awak jangan sesekali cuba nak memegang ataupun nak mengusik saya. Jika tidak, the deal is off. Perjanjian kita akan terbatal dengan sendirinya.” Dia cuba mengugut Erman.
Senyuman sinis yang terukir di bibir Erman hampir mematahkan semangat Syirin. Dia memaksa dirinya untuk terus bercakap. Dia cuba berlagak seperti Syirah.
“Mengenai wang itu pula, saya perlukan sebahagian daripada wang itu atau lebih tepat lagi, separuh daripada jumlah yang saya telah sebutkan tadi.” Syirin mula memainkan peranannya.
Wang itu boleh digunakan oleh Mimi secepat yang mungkin. Kak Jah boleh membantu. Dia akan mengirimkan wang itu kepada Kak Jah kelak. Mimi adalah keutamaannya kini.
“Baiklah. Aku akan berikan wang itu. Aku akan berikan cek kepada kau nanti,” Erman menjawab sambil badannya masih santai di atas katil itu.
“Tunai! Saya perlukan wang itu dalam bentuk tunai!” Syirin menegah.
Nasib baik fikirannya masih waras. Sekiranya wang itu diberikan dalam bentuk cek, sudah semestinya nama yang tertera di atas cek itu nanti adalah nama Syirah, bukan namanya dan sudah pasti cek itu tidak akan dapat ditunaikannya nanti.
“Baiklah, aku akan bawakan duit itu esok semasa aku datang ambil kau,” Erman bersetuju.
“Ingat, perjanjian kita yang telah terputus itu akan disambung semula setelah kau terima duit tu. Aku akan kembali semula dalam pukul sebelas pagi esok. Pastikan kau dah kemas semua barang-barang kau ni. Kalau tak pun, aku cadangkan kau tinggalkan aje barang-barang tu di sini. Sekali lagi, ingat… jangan lewat! Aku ni bukannya jenis yang suka menunggu.” Begitu keras suara Erman mengingatkan Syirin.
Syirin hanya menganggukkan kepalanya seperti orang bodoh. Dia sebenarnya masih lagi berharap yang dia akan punya lebih masa untuk memikirkan kewarasan tindakannya itu. Syirin terasa seperti mahu berpatah balik. Barangkali elok juga begini. Lebih cepat segalanya bermula, maka akan lebih cepatlah semuanya berakhir.
‘Syirin, kenapa kau perlu takut? Hanya sebulan, bukannya sehingga kiamat pun,’ Syirin cuba memujuk dirinya. Dia memandang sekilas ke muka Erman.
Senyuman yang menjelikkan itu masih terukir di mukanya. Terasa amat menjengkelkan hatinya. Syirin mencemikkan raut mukanya.
Terasa mahu diambil sahaja sabun pencuci pinggan dan dilumurkan ke muka itu. Selepas itu mungkin muka itu akan tampak lebih bersinar-sinar seperti dalam iklan pencuci itu. Tersirna senyuman di bibir dan matanya dengan apa yang baru terlintas di fikirannya.
Erman yang sedang asyik memandang perubahan demi perubahan yang bermain pada raut wajah Syirin, terkesima dengan senyuman itu. Semakin direnungnya wajah Syirin. Agak lama.
Suasana semakin sunyi. Timbul pula rasa pelik di hati Syirin. Dikalihkan sekali lagi pandangan matanya ke arah Erman. Baru dia tersedar yang Erman sedang merenungnya. Tersirna pancaran yang tidak tahu hendak ditafsirkan dari anak matanya itu.
Syirin jadi keliru. Senyumannya mati di situ juga. Dia bangun dan menuju ke pintu. Daun pintu dingangakan.
“Awak tunggu apa lagi. Urusan kita untuk hari ni dah selesai. Esok baru segalanya bermula. Saya rasa baik awak balik. Saya penat dan nak berehat.” Syirin menghalau Erman keluar, gayanya persis Syirah. Kedua tangannya sudah dipeluk ke dadanya.
Sempat Erman memberikan senyuman sinis ke arah Syirin sebelum dia bingkas bangun dari katil itu. Sebelum melangkah keluar, sekali lagi dia mengingatkan Syirin.
“Ingat! Jangan lewat!”
Syirin tidak menjawab, sebaliknya pintu bilik itu dihempaskannya di muka Erman.

HANYA sebulan! Perkataan itu sering berulang-ulang di fikirannya sebaik saja Erman pergi meninggalkan bilik itu. Pada orang lain, sebulan itu mungkin tidak lama. Pejam celik, pejam celik, dah pun berakhir.
Tetapi bagi Syirin, sebulan itu bagaikan seribu tahun. Segala macam musibah telah berlaku dalam sekelip mata, maka macam-macam boleh berlaku dalam sebulan. Mampukah dia menghadapinya? Mampukah dia melalui semua ini….?

No comments: