Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK7

ERMAN berpusing dan melangkah menghala ke Hotel Seri Malaysia. Tangannya masih lagi memegang pergelangan tangan Syirin. Pegangan itu terlalu kuat dan Syirin terus berusaha untuk melepaskannya.
Walaupun begitu, semua usahanya itu sia-sia saja. Malah pegangan lelaki itu lebih kemas dan lebih kuat dari sebelumnya. Syirin semakin tidak dapat menahan kesakitan yang dirasainya.
“Lepaslah! Saya tak akan lari!” Syirin cuba merentap tangannya sekali lagi. Rasa panik mula menyelubungi kerana dia sedar yang dia tidak akan dapat melepaskan dirinya daripada Erman.
“Kau telah melakukannya sekali sebelum ini. Dan aku rasa, kau akan cuba melakukannya sekali lagi. Apa, kau rasa aku patut percaya dengan kau lagi ke? Kau tak akan aku lepaskan, sekurang-kurangnya sehingga kita telah berbincang.” Walaupun nada suara Erman agak perlahan, namun ada terselit nada ugutan di dalamnya.
Tidak jadi Syirin hendak meneruskan niatnya. Pasti dia yang akan lebih merasakan kesakitannya kelak. Akhirnya dia hanya menurut sahaja langkah Erman berjalan menuju ke hotel.

SETIBANYA mereka di hotel, Syirin berasa lega kerana suasana agak lengang. Kalau tidak, pasti dia akan bertambah malu. Mujurlah kunci ada padanya, jadi mereka terus menuju ke biliknya.
Di pintu bilik, Erman melepaskan tangan Syirin dan membiarkan Syirin membuka pintu. Syirin teragak-agak, apakah patut dia membenarkan Erman untuk memasuki biliknya.
‘Masuk cepat-cepat, lepas tu hempaskan aje pintu ni ke mukanya,’ hati Syirin membisikkan dan mengajarnya untuk melakukan perbuatan itu.
Bagaimana pun Erman tidak sebodoh itu. Dia telah mengagak kemungkinan itu dari awal lagi. Sebaik sahaja Syirin memegang tombol pintu itu, Erman terlebih dahulu menolak daun pintu itu jauh ke dalam dengan tangan kirinya sementara tangan kanannya menolak Syirin masuk tanpa membiarkan ada ruang untuk Syirin berbuat demikian.
Pintu bilik ditutup. Setelah itu Erman menunjuk ke arah katil dengan jari telunjuknya.
Syirin faham dengan arahan yang diberi tapi buat-buat tidak faham. Dia menuju ke arah kerusi yang terdapat di dalam bilik itu sebagai tanda protes dengan apa yang dilakukan oleh Erman.
Erman hanya berlagak selamba dan tenang memerhati keadaan sekeliling. Berkerut dahinya bila melihat hanya terdapat beberapa barang peribadi di atas meja dan katil itu. Erman menuju ke almari pakaian dan membukanya. Hanya terdapat sehelai pakaian Syirin yang tersangkut di situ dan selebihnya di dalam beg pakaiannya.
“Nampaknya, kau memang tak rancang nak tinggal lama di sini,” komen Erman dengan nada sinis sambil menyelak pakaian di dalam beg itu satu persatu.
Erman seperti berkata sesuatu tapi isinya tidak jelas kepada Syirin yang berada di belakangnya. Syirin agak bengang bila melihat Erman menyelongkar barang-barangnya tanpa kebenaran, tapi bila mengingatkan yang Erman menyangka bahawa dia adalah isterinya, perlakuannya itu mungkin dirasakan layak oleh Erman.
‘Hai, kenapalah si Erman ni macam ni pulak perangainya…’ getus hati kecil Syirin. Bengang dia mengenangkan kejadian yang sedang dilaluinya ini.
Syirin cuba untuk memerhati riak air muka Erman tapi sia-sia. Elok juga begitu kerana tanpa renungan mata Erman yang tajam dan wajahnya yang berkerut-kerut itu, Syirin kini dapat berfikir semula dengan tenang dan rasional. Erman kini tampak lebih tenang dan kurang agresif, tidak seperti tadi.
Apakah reaksinya nanti sekiranya Syirin cuba untuk memberitahu dia akan kebenaran yang masih terpendam. Pengenalan dirinya amat mudah untuk dibuktikan, hanya tunjukkan sahaja MyKad yang ada dalam dompetnya, Erman mesti akan percaya dengan bukti yang terdampar di depan matanya.
Tapi apakah yang akan terjadi kemudiannya? Akan adakah perasaan simpati kepada Syirin dan Mimi setelah mengetahui yang Syirah telah pun meninggal dunia. Apakah Erman akan sudi membantunya kelak?
‘Syirah, Syirah, kenapalah perangai kau macam ni. Kerana hanya ingin mengejar kekayaan, sampai kau boleh terpedaya dan berkahwin dengan lelaki ini,” keluh hatinya hiba.
Bagaimanakah agaknya kehidupan Syirah sebelum dia lari meninggalkan Erman? Apakah sebenarnya yang telah berlaku di antara mereka berdua? Satu demi satu persoalan timbul di dalam fikiran Syirin.
“Bang!!” terkejut Syirin dengan bunyi dentuman itu apabila Erman tiba-tiba menghempaskan pintu almari dengan kuat dan berpusing menghadapnya pula.
“Kenapa kau datang ke sini, Nurul? Apa yang kau hendak sebenarnya?” Erman mendesak, tampak api kemarahan terpancar semula dari sinar matanya. Seolah-olah cuba untuk menembusi jauh ke dalam lubuk hati Syirin. Seolah-olah ingin mengetahui apa yang tersirat di sebalik kehilangan isterinya selama ini.
“Apa yang kau hendak kali ini? Kau nak minta cerai? Atau kau nak duit lagi? Aku tahu, tengok keadaan kau saja, aku pasti kau mesti perlukan duit. Betul tak?”
Terasa musnah harapan Syirin untuk membantu Mimi. Pasti kini Erman amat membenci Syirah dan sudah pasti yang dia tidak akan mahu membantu sesiapa pun dari ahli keluarga Syirah.
“Saya tak nak apa-apa dari awak!” tinggi suara Syirin, menengking Erman. Dia cuba berlagak berani, memaksa matanya untuk memandang tepat ke mata Erman.
Tapi tindakannya yang teragak-agak itu telah memberikan tanggapan lain kepada Erman. Dia mengangguk perlahan, seolah-olah bersetuju dengan apa yang sedang difikirkan oleh otaknya.
“Tak payahlah kau nak dolak-dalik lagi. Tak usah nak tipu aku, wahai isteriku yang cantik rupawan. Semuanya jelas terpampang di wajah kau yang jelita tu. Aku pasti akaun bank kau tu dah kosong, jadi kau balik cari aku di sini untuk minta duit lagi. Apa yang kau dah buat dengan semua duit yang aku beri kau dulu, aku pun tak tahu. Ha… kali ni kau nak berapa banyak pulak?” sinis Erman menempelak Syirin yang disangka isterinya itu.
Kata-kata Erman itu bagaikan hempedu, bagaikan sembilu yang menghiris perasaannya dan merobek jiwanya. Jauh di lubuk fikirannya, dia teringat kembali kata-kata Syirah yang sedang kesedihan ketika itu.
Dia hanya memikirkan duit, duit, duit!
“Saya dah kata yang saya tak nakkan duit awak tu!” Syirin melontarkan ayat itu kepada Erman.
Tangannya terasa ringan saja untuk menampar muka Erman. Betapa kurang ajarnya lelaki ini menuduh yang bukan-bukan terhadap kakak kembarnya. Apatah lagi setelah melihat layanan yang diberikan oleh lelaki ini kepada dirinya sendiri. Ditahan rasa hatinya agar tidak bertindak keterlaluan kerana dia sedar, tindakannya itu nanti pasti akan mengundang padah kepadanya.
“Aku dengar apa yang kau beritahu aku tu, tapi aku juga kenal siapa kau yang sebenarnya.” Erman hanya memandang sepi protes yang ditunjukkan oleh Syirin.
“Aku tahu kau seorang penipu besar, memang susah nak cari orang yang setanding dengan kau ni. Bagaimanapun, kali ni aku kena akui yang cara kau ni agak berlainan, agak baru. Aku ingat aku dah tahu segala helah yang ada pada kau tu, tapi lakonan kau seperti orang yang tak bersalah ni agak unik, lengkap dengan pakaian kau dan mekap kau. Memang berbeza. Tapi buat apalah kau nak bersusah payah buat ni semua? Kenapa kau tak berterus terang? Kan senang kalau kau beritahu aje, berapa jumlahnya yang kau hendakkan? Berapa? Sepuluh ribu? Tak cukup, nak lebih lagi? Berapa?”

No comments: