Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC5

"Okey, rasanya saya boleh uruskan ni semua.”
Nada suara Diana yang kelucuan memecah kesunyian. Lamunan Ilia juga terbang tiba-tiba. Dia memandang Diana yang sedang tersenyum sumbing di hadapannya.
“Maafkan saya, Datin. Saya terlupa yang Datin sebenarnya adalah seorang wanita yang masih muda, pasti naluri Datin punya keinginan yang sama seperti orang lain juga.” Sempat Diana mengusik bosnya itu.
Ilia menjelirkan lidahnya kepada Diana.
“Ada lelaki spesifik yang hendak Datin jadikan sebagai mangsa?” Gurau Diana lagi.
“Umar Affandi Muhammad Khaliq.”
“Ha?!” Terlopong mulut Diana mendengar nama itu. Sungguh tidak di sangka sama sekali itu yang akan menjadi jawapan Ilia. “Biar betul ni, Datin….”
“Apa pula tak betulnya.” Ilia memuncung. Dia seakan merajuk kerana Diana tidak percaya dengan apa yang telah dikatakannya. Dikalih pandangan kepada Diana yang masih termangu di depan matanya.
“Nak tolong ke tidak ni?” Ilia mengetuk-ngetuk meja dengan pen Mont Blanc miliknya itu.
Kasihan juga Diana melihat nasib pen yang selama ini menjadi kesayangan bosnya itu. Pen itu amat mahal harganya. Pen itu telah dijaga dengan begitu rapi. Mana tahu, hari ini, buat pertama kalinya, ia menjadi mangsa fikiran Datin Durrani yang tidak keruan itu. Memang sah dia sedang angaukan lelaki itu.
“Okeylah, okeylah.” Akhirnya Diana terpaksa menyatakan persetujuannya. “Apa sebenarnya yang Datin nak lakukan?”
“Entahlah…” Ilia menjongket bahunya. Dia menggelabah. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang diinginkan sebenarnya. Ini kali pertamanya.
“Mungkin juga untuk dapatkan perhatiannya?” Akhirnya Ilia memberikan saranan. Dilemparkan juga pandangan mengharapnya kepada Diana.
“Datin, Datin nak tahu tak? Nak dapatkan perhatian seorang lelaki ni bukannya macam nak dapatkan sebuah hartanah, seperti yang Datin selalu lakukan tu tapi ia memerlukan seni. Kalau kita nak kan seorang lelaki tu, kita kena pikat dia. Kita kena pancing dia.” Panjang lebar Diana bersyarah, mencurahkan ilmu yang dia ada.
“Pancing?” Berkerut dahi Ilia, sukar untuk dia memahami apa yang dimaksudkan oleh Diana. Cuba dibayangkannya apa yang diperlukan untuk tugas itu. “Itu maknanya kena ada umpan. Apa umpannya?” Ternaik kening Ilia cuba memikirkan jawapannya.
“Umpannya ialah Datin sendiri.” Selamba Diana menjawab sambil memeluk tubuhnya.
Ha?! Ilia ternganga. Ditunjuk ke arah dirinya sendiri dengan ibu jari tangannya. Raut wajahnya bagaikan tidak percaya dengan apa yang Diana cuba sampaikan.
Diana menganggukkan kepalanya, mengesahkan kata-katanya sebentar tadi.
“Dan Datin kenalah fikirkan umpan macam mana agaknya yang boleh digunakan ke atas orang seperti Encik Umar Affandi kita tu. Umpan yang sesuai sahaja yang akan dimakannya. Macam ikan juga. Kita kena beri cacing kalau nak tangkap sembilang di darat, dan kita kena guna ikan berdarah untuk memancing jerung di lautan. Janganlah beri umpan sembarangan, nanti buat penat aje menanti, umpan tak juga dimakannya, pancing tak juga mengena….” Sempat Diana berleter mengenakan bosnya.
“Okey, saya faham tu. Tapi macam mana pula dengan plan? Untuk berjaya, saya perlukan plan.”
“Ops, nanti dulu. Macam saya katakan tadi, nak memikat ni adalah satu seni, jadi Datin tak perlukan semua tu. A plan is exactly what you don’t need, Datin.” Sekali lagi Diana menegaskan.
“Kenapa pula macam tu? Kalau ada plan, kan lagi mudah. Saya boleh setkan gol dan juga objektifnya, boleh buat perancangan cara mana yang lebih berkesan!”
“Salah tu!” Diana menyampuk, mencantas idea yang mula berputik di dalam kepala ketuanya itu.
“Dengan lelaki ni, Datin, perempuan perlu bijak. Dia kena mengikut arus. Kalau ikut plan, pasti lelaki-lelaki itu akan dapat menghidunya. Sekali terhidu, Datin tahu apa yang akan terjadi?”
Diana memandang ke arah Ilia dengan kening yang terangkat.
Ilia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak pasti.
Diana memetik jarinya.
“Gone! Dia akan lari jauh, sejauh-jauhnya.”
“No plan?”
Diana menggelengkan kepalanya sekali lagi.
Ilia terasa seperti kehilangan punca. Sepanjang hidupnya, dia telah sebati dengan perancangan awal di dalam melakukan sesuatu. Setiap masa dia sudah tahu tindakan selanjutnya yang akan dilakukannya nanti.
Bagaimanapun, dia juga terpaksa mengakui yang kehadiran Fandi sememangnya tidak pernah termasuk di dalam perancangannya. Ia bukan satu agenda. Tapi kini, lelaki itulah yang diidamkannya.
“Okey, first, Datin perlu menunjukkan minat Datin terhadap proposal yang telah diberikan itu.”
“Minat?!” Terkejut Ilia mendengar saranan yang telah diberikan oleh PAnya itu.
“Pasti dia akan gembira,” Diana menambah. “so nanti bolehlah Datin cadangkan supaya dia datang berjumpa Datin di suatu tempat. Kira macam keluar datinglah tu.”
“Hem, bagus juga cadangan awak tu, Diana.” Ilia sudah tersengih dengan idea yang dirasakan bernas itu.
“Ala, macam kata Datin tadi tu, saya kan pakar.” Selamba Diana membalas pujian Ilia sambil tersengih macam kerang busuk. “Oh ye, sebelum saya terlupa, ada satu lagi yang saya nak beritahu Datin.”
Ilia memandang ke arah Diana .
“Datin kenalah get rid of these suits yang selalu Datin pakai ni, especially semasa keluar dengan si dia tu.”
Diana merujuk kepada pakaian yang kerap menyelubungi tubuh Ilia. Pakaian berwarna gelap dan suram itu memang tampak profesional dan sesuai dipakai ketika mesyuarat lembaga pengarah, tetapi kiranya Ilia bertujuan untuk memikat seorang lelaki, bagi Diana, itu adalah satu kepantangan yang perlu dielakkan.
“Kenapa pula?”
Ilia mula terasa tidak selesa. Dia memang tidak pandai bergaya, malah jika dilihat di dalam almari pakaiannya, hampir sama sahaja design dan warna pakaian yang dipakainya setiap hari.
“Apa tujuan Datin yang sebenarnya? Datin nak memikat lelaki yang benar-benar lelaki dalam erti kata yang sebenarnya ataupun hanya sekadar seorang lelaki yang biasa-biasa aje untuk dijadikan seorang suami?” Diana berjeda, membiarkan Ilia menyerap kata-katanya.
“Kalau nak yang biasa-biasa tu, Datin tak perlulah bersusah payah macam ni, pergi aje pilih mana-mana lelaki kat pejabat ni, petik jari dan pinang aje mereka tu. Habis cerita.” Diana memberhentikan lagi syarahannya, ingin membiarkan supaya Datin di depannya dapat memikirkan apa yang baru sahaja disampaikan.
“Okey, Datin hendak hidup yang penuh dengan passion, ataupun hidup yang suram dan tidak menceriakan, ataupun hidup kesunyian sepanjang hidup Datin? Datin hendakkan Encik Umar Affandi untuk dijadikan suami?” Diana bertanya bagaikan seorang peguam yang sedang menyoal siasat saksi di kandang saksi.
“Sudah tentu saya mahukan hidup yang penuh dengan passion. Gembira dan sentiasa ceria, apatah lagi sekiranya lelaki itu pula adalah Umar Affandi Muhammad Khaliq.” Jawab Ilia sambil tersengih. Sudah luput rasa malu yang mulanya bertapak di dalam hatinya. Dia berkira-kira sudah tiba masanya untuk dia menikmati semua itu.
“Kalau begitu, Datin better pergi shopping hujung minggu ni. Change your wardrobe!” Diana menasihati.
“Kalau nak menggoda lelaki ni, Datin kenalah goda dia dengan pakaian yang lebih seksi, lebih berwarna-warni. Tak bolehlah nampak macam orang berkabung aje…” Diana menambah.
Ilia mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda setuju untuk menerima cadangan yang diberikan oleh Diana. Lagipun, siapalah dia untuk menolaknya. Diana sentiasa dikerumuni lelaki, tetapi dia juga yang sentiasa bersendiri.
“By the way, Datin, memang betullah seperti kata orang yang Encik Umar Affandi tu masih bujang lagi?”
Melopong mulut Ilia sejurus mendengar soalan yang diajukan oleh Diana kepadanya.
“Datin tak tahu ke sama ada dia masih bujang ataupun dah berkahwin?”
Ilia laju menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia menutup mulutnya yang ternganga. Kemudian dia termenung seketika.
“Diana, saya betul-betul tak tahu tu semua. Tapi tak apa, kita suruh aje si Muhsidin siasat latar belakang Fandi.” Ilia membuat keputusan. Dibiarkan Diana melangkah keluar. Sejurus selepas itu, dia terus mengangkat gagang telefon untuk menghubungi Muhsidin untuk tindakan yang selanjutnya.

No comments: