Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC16

Mesyuarat ahli lembaga pengarah Permata Resorts and Constructions sedang berlang-sung. Kala ini mereka sedang berhenti rehat dan menikmati jamuan ringkas yang telah disediakan.
“Apa khabar Datin Salina?” Ilia bertanyakan khabar isteri Datuk Hamdan yang sedang duduk di sisinya ketika itu.
“Alhamdulillah, dia sihat. Sekarang ni dia sedang sibuk menjaga cucu-cucunya di rumah.” Jawab Datuk Hamdan sambil tersenyum.
“Eh, sejak bila cucu Datuk tinggal dengan Datuk pula?”
“Hm, dah seminggu mereka ada di rumah. Nora dan Razman pergi bercuti ke New Zealand selama dua minggu. Kononnya untuk second honeymoon. Yelah Datin, dah sepuluh tahun mereka tu berkahwin, agaknya nak merasakan semula saat-saat masa mula berumah tangga dulu. Jadi isteri saya pun offerkan diri untuk menjaga cucu-cucunya tu. Seronok sungguh dia dapat menjaga budak-budak tu. Tak adalah sunyi dia di rumah. Budak-budak tu pulak memang pandai mengambil hati neneknya.” Panjang lebar Datuk Hamdan bercerita. Nampaknya dia juga gembira dengan kehadiran cucu-cucunya di rumahnya ketika ini.
“Datuk bila lagi nak pergi honeymoon dengan Datin?”
Tergelak besar Datuk Hamdan mendengar pertanyaan yang diajukan Ilia.
“Kalau Datin nak tahu, hampir setiap tahun kami pergi honeymoon, especially when business is this good.” Jawab Datuk Hamdan dengan ketawa yang masih bersisa. Secara tidak langsung, dia juga turut memuji Datin Ilia bila mengenangkan perniagaan mereka yang semakin maju di bawah pengurusannya itu. Pada mulanya hatinya juga risau bila tampuk pengurusan telah bertukar tangan kepada Datin Ilia sebaik sahaja kematian Datuk Majid dua tahun yang lepas, tapi Datin Ilia telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan syarikat itu.
“Sayang juga Datuk pada Datin Salina ye, walau dah tua-tua begini.” Usik Ilia lagi.
“Mestilah sayang. Itulah cinta pertama dan terakhir saya. Tanpa dia, tak tahulah bagaimana agaknya saya nak menjalani kehidupan seharian saya.” Datuk Hamdan tidak malu meluahkan perasaan sayangkan isterinya itu kepada Ilia.
“Sampai begitu sekali? Dah berapa lama Datuk berkahwin dengan Datin Salina?”
“Hampir empat puluh tahun.” Jelas Datuk Hamdan sambil tersenyum puas. Memang perkahwinannya bahagia, walaupun kadangkala sesekali masalah datang melanda. Tapi itu kan asam garam dan rempah ratus sebuah perkahwinan. Bila ada semuanya itu, barulah terasa kemanisan perkahwinannya yang telah dapat bertahan selama itu.
“Oi, lama tu. Apa yang membuatkan perkahwinan Datuk dengan Datin dapat bertahan selama ini? No, no, that’s not what I meant.” Pantas Ilia menggelengkan kepalanya, tidak puas hati dengan pertanyaannya sebentar tadi. Datuk Hamdan memandang Ilia dengan pandangan penuh tanda tanya.
“Maksud saya, apa yang membuatkan Datuk boleh terpikat dengan Datin masa mula-mula berkenalan dengannya dulu?”
“Datin nak saya ingatkan balik perasaan saya empat puluh tahun yang dulu?” tanya Datuk Hamdan kembali. Berkerut dahinya memikirkan jawapan kepada soalan yang diajukan Ilia.
“Kalau Datuk tak kesah. Saya cuma nak tahu, bila perkahwinan Datuk dapat bertahan sehingga kini, pasti ada rahsianya.”
Tergeleng-geleng kepala Datuk Hamdan berfikir. Tidak lama kemudian, dia melemparkan senyumannya ke arah Ilia.
“Datin tahu tak, kalau Datin tak tanyakan soalan ni, saya pun mungkin dah tak ingat sebab dan puncanya. Yelah kan, kita manusia ni selalunya take things for granted.”
“Sebenarnya, pada masa tu, Salina sama seperti gadis-gadis lain yang hadir dalam kehidupan saya. Tak banyak bezanya. Dia cantik dan menarik, begitu juga dengan gadis-gadis yang lain di kampung saya tu. Kalau tidak kerana masakannya, mungkin saya juga tidak hiraukan kewujudan Salina dalam hidup saya.” Datuk Hamdan menyambung ceritanya.
Masakan? Berkerut dahi Ilia yang mendengar.
“Maksud Datuk?”
“Salina memang pandai memasak. Masakannya sedap dan lazat. Saya pula tu memang suka makan. Dia juga selalu menghantar makanan yang dimasaknya tu kepada kami sekeluarga. Ibu bapa saya memang selalu memuji masakannya tu. Itu yang membuatkan saya lagi senang dengannya. Lama kelamaannya saya tertarik kepada orangnya pula.”
“Bagus betul strategi yang Datin Salina gunakan tu. Ini dah kira kes nak pikat anak, kena pikat emak bapanya dulu. Lepas tu guna perut si anak untuk nak pikat hatinya pulak lah ye…” usik Ilia sambil ketawa dan mengunjuk pada perut Datuk Hamdan yang sememangnya gendut itu.
Pecah ketawa Datuk Hamdan mendengar usikan Ilia. Ilia pun turut tersengih sama.
Ahli lembaga pengarah yang lain mula merenung mereka kehairanan. Pasti ada sesuatu yang menggeletek perasaan kedua Datuk dan Datin yang sedang seronok ketawa itu tanpa mempedulikan kehadiran mereka yang lain.
Namun begitu, mereka tidak kecil hati kerana selalunya bila berbual kosong dengan Datin Ilia, pasti ada sahaja usikan yang akan dihamburkan kepada mereka. Itu jugalah yang menjadi penyebab untuk mereka semakin senang dengan Datin Ilia.


MESYUARAT itu akhirnya disambung semula beberapa minit kemudian. Bagaimanapun tumpuan fikiran Ilia bukan lagi kepada mesyuarat itu. Dia tidak dapat memberikan fokusnya kepada agenda yang sedang diperbincangkan di hadapannya ketika itu.
Perasaannya sedang berbelah bagi. Kata-kata Datuk Hamdan menggugat ketenangannya.
Masakan. Apa yang dia tahu pasal masakan?
Kosong. Nothing. Nil.
Dia mana pernah memasak sebelum ini? Semasa dia sedang meningkat dewasa, neneknya memang memanjakannya. Neneknyalah yang melakukan semua kerja-kerja di dapur. Di asrama pula, semuanya telah terhidang. Semasa berkahwin dengan Datuk Majid pula, semuanya disediakan oleh Kak Munirah. Menjerang air dengan dapur gas pun dia tidak pernah, inikan pula memasak.
Apa yang boleh dilakukannya?
Dia berkira-kira untuk belajar memasak. Paling senang dan tidak banyak kerenah, semestinya daripada Kak Munirah. Mungkin Kak Munirah akan merasa sedikit pelik dengan permintaannya itu, tapi apa lagi yang nak dihairankan. Bukankah perangainya sejak bertemu dengan Fandi sememangnya pelik lagi memelikkan.

No comments: