Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC13

"No! No! Don’t leave me! Please don’t go!” Kepiluan yang sedang dirasainya tika itu menyedarkan Ilia dari tidurnya. Masih terasa pedihnya. Dia bingkas bangun. Dilihat jam di dinding. Pukul lima pagi.
Tangannya disentuh ke pipi. Masih ada sisa-sisa air mata. Pasti air matanya bercucuran lagi sebentar tadi. Disapu perlahan dengan segala kepiluan yang amat sukar untuk dibendung.
Lututnya diangkat menghampiri dadanya. Dipeluk lutut dengan tangannya dan dagunya diletakkan pula di atas kepala lutut.
Entah kenapa hatinya begitu sayu, dia keliru. Cuba diimbas kembali mimpinya sebentar tadi. Baru dia tersedar. Linangan air matanya kembali deras mengalir.
Disangka mimpinya malam itu akan menjanjikan sesuatu yang indah. Namun itu hanyalah di peringkat permulaannya sahaja.
Saat itu hatinya berbunga riang. Fandi di sisinya di sebuah pantai yang begitu indah pemandangannya. Berdua, mereka berjalan beriringan, berpimpin tangan meredah ombak yang menghempas pantai. Begitu romantis sekali. Gelak ketawa sesekali memecahkan kesunyian.
Tiba-tiba, di sebuah selekoh, pantai yang tadinya begitu indah, bertukar wajah. Tubuh Fandi tiba-tiba hilang dari pandangannya. Tangannya kini terlepas dari pegangan. Cuba dicari-cari tubuh yang mungkin bersembunyi, namun hampa.
Menjelma pula wajah ibunya. Tapi tidak lama. Wajah itu digantikan oleh wajah ayahnya pula. Juga tidak lama. Wajah neneknya pula datang menjelma dan kemudian digantikan pula oleh wajah suaminya.
Wajah-wajah itu kini silih berganti. Mereka hanya senyap memerhatinya di situ yang sedang terkapai-kapai kekeliruan. Wajah-wajah itu juga mempamerkan wajah sugul dan tidak senang dengannya. Wajah-wajah itu juga yang dirindunya sejak sekian lama.
Ingin didekati mereka, tetapi sekali lagi dia hampa. Semakin dihampiri, mereka semakin menjauhkan diri. Ilia semakin keliru.
Apa salahnya? Kenapa mereka begitu? Kenapa mereka menjauhkan diri darinya? Tidak kasihankah mereka kepadanya?
Dia begitu rindukan mereka. Ingin diubat rasa rindu dengan mendakap mereka seorang demi seorang. Tapi entah mengapa tiada seorang pun yang sudi untuk menghampirinya, malah mereka semakin menjauhkan diri. Ilia rasa terpinggir. Jiwanya terasa begitu sedih. Hatinya bagaikan disayat sembilu.
Ilia terasa kehilangan yang amat sangat. Dipeluk tubuhnya di situ. Dicari insan lain yang dapat membantu. Akhirnya Fandi ditemui kembali. Nun di satu sudut, dia sedang memerhati Ilia dan keluarganya. Ilia kembali memandang satu persatu wajah yang bermain di sekitarnya.
Dilemparkan pandangan sayu kepada mereka, penuh pengharapan agar dirinya dikasihi dan dimanja. Namun dia masih tidak diendahkan oleh bayangan-bayangan yang sedang menghantuinya itu.
Hati Ilia dipagut pilu. Dia sedih diperlakukan sebegitu. Sampai hati mereka membiarkan dia terkapai-kapai bersama satu pengharapan. Dia bungkam. Ingin di jerit kepada mereka rasa hatinya, namun tiada suara yang dapat diluahkan.
Akhirnya Ilia mengambil keputusan. Dia berlari menuju ke arah Fandi yang masih berdiri di sudut itu. Namun hatinya semakin kecewa.
Fandi juga bagaikan tidak sudi menerima kehadirannya. Semakin dia menghampiri, semakin Fandi menjauhkan diri. Dia kepenatan mengejar sesuatu yang bukan miliknya. Akhirnya dia melutut di situ.
Dihulurkan tangannya ke arah Fandi. Matanya merayu agar huluran tangannya disambut Fandi. Dia memohon simpati kepada jejaka yang telah dapat menawan hatinya. Namun Fandi hanya merenungnya. Akhirnya dia melangkah pergi meninggalkan Ilia kehampaan.
Air mata Ilia semakin mengalir laju. Dia menangis di situ. Kekecewaan yang dirasainya tika itu tidak dapat hendak digambarkan. Rayuannya tiada siapa yang peduli. Akhirnya dia dapat bersuara.
“Fandi!! Jangan pergi!’ pintanya dalam sendu. Namun Fandi tidak mengendahkannya. Dia terus melangkah setapak demi setapak.
“No! No! Don’t leave me! Please don’t go!”
Ilia sudah teresak-esak. Bersama tangisan, dia menjerit memohon simpati dari Fandi. Dia merayu kepada Fandi agar tidak meninggalkannya seperti ahli keluarga yang lain.
Rayuan yang datang dari hatinya itu, akhirnya menyedarkan dia dari mainan tidurnya. Ketika itu jugalah dia tersedar dari mimpinya.


LAMA Ilia termenung. Air matanya akhirnya kering juga. Ingin diketahui rahsia mimpinya, tapi pada siapa dapat dia mengadu?
Hatinya kembali dipagut rindu kepada insan-insan yang terlebih dahulu telah meninggalkannya sendirian dan kesunyian. Hatinya terusik juga dengan mainan mimpinya.
Mengapa mereka seserius itu? Mengapa wajah sugul yang menjadi tatapan matanya? Adakah kerana mereka tidak merestui apa yang telah dilakukannya malam tadi?
Ilia mengelamun lagi. Kenapa pula Fandi pergi meninggalkannya? Adakah tindakannya malam tadi tidak berjaya seperti yang diharapkan?
Entahlah, segala-galanya sungguh mengelirukan. Semuanya sungguh menyedihkan. Dunianya kembali sepi. Sunyi kian menyelubungi.
Ilia membaringkan semula tubuhnya di atas tilam empuk itu. Air mata yang kembali merembes keluar cepat-cepat disapunya kembali. Ditarik nafas sedalam yang mungkin. Segala kekecewaan yang mula bersarang, cuba ditepis jauh dari fikirannya.
Ilia pasrah dengan nasib dirinya.
Akhirnya dia terlena kembali….

No comments: