Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 20, 2010

SAS5

“What? Seriously?”
“Yup.”
Adoi, model seluar dalam? Biar betul?
“So, kiranya awak ni sama level lah dengan Mark Wahlberg yang dok peraga seluar dalam jenama Calvin Klein gitu?”
Amboi minah ni, dah pernah tengok Mark Wahlberg pakai seluar dalam tu… “Lebih kurang…”
“So, kiranya kat perut awak tu, ada 6 pack abs lah gitu?”
“Lebih kurang…”
“So, kiranya awak ni famous lah gitu?”
“Awak agak?”
“Ya Allah Ya Tuhanku….” Wirdah mengeluh perlahan, namun masih dapat didengar oleh lelaki yang sedang seronok menahan tawanya itu.
“Wirdah…” panggil Ahmad Sabran dengan lembut. Lunak dan menggetarkan jiwa sesiapa yang mendengar.
“Saya.”
“Awak percaya ke cerita saya sebentar tadi?”
Wirdah terkesima. Cuba dicerna apa yang didengarnya sebentar tadi.
“Ya Allah, Encik Sabran! Awak kelentongkan saya?”
“Yup.”
“Awak kelentongkan saya?” tekan Wirdah sekali lagi, bagaikan tidak percaya yang dia hidup-hidup dikenakan oleh lelaki yang baru dikenali itu.
‘Iya.”
“Kenapa?”
“Saja.”
“Kenapa?” kali ini suaranya ditekankan sedikit.
“Well, awak tu serius sangat, macam nak interview saya untuk diambil bekerja.” Seloroh Ahmad Sabran tertawa kecil.
“Oi, cik abang oi. Mestilah kena serius. Keluarga awak yang datang merisik saya, untuk awak. Ingat nak main kahwin-kahwin ke ni?” suara Wirdah sudah semakin meninggi. Lupa akan kesabaran yang selalu menjadi tunggaknya selama ini bila berurusan dengan orang lain.
“Ey, dulu-dulu tu awak suka main kahwin-kahwin ke?” balas Ahmad Sabran menyambung tawa. Kemarahan Wirdah tidak diambil peduli langsung, bagaikan mencurah air di daun keladi.
“Hish, ke situ pulak awak ni,’ marah Wirdah lagi.
“Okey, okey. Cool ye cik adik. Tak mahu marah-marah. Tak best, nanti cepat tua.” Pujuk Ahmad Sabran lembut.
“Awaklah…” tukas Wirdah.
“Okey, what else do you want to know?”
“Pekerjaan sekarang?”
“Berniaga.”
“Jenis?”
“Import export.”
“Import apa, export apa?”
“Budu, cencalok, petai dan jering.”
“Hah?!”
“He..he.. saya acah ajelah,” jelas Ahmad Sabran tertawa kecil.
“Hish, nak mengenakan orang aje awak ni ye…”
“Ketawa tu kan ubat yang paling baik…”
“Sebab awak yang asyik mengenakan orang lain. Cuba kalau awak yang dikenakan?”
“Touche.”
“Tolong serius sikit, boleh tak?”
“Boleh…”
“Okay, kerja awak?”
“Kuli sepenuh masa.”
“Company?”
“Perdana ICT Consultancy.”
“Hm, awak mesti banyak deal dengan Telcos, kan?”
“Tak semestinya. Pelanggan kami terdiri daripada campuran Telcos dan juga government.”
“Hebat.”
“Taklah sehebat mana pun, company kecik aje,” tukas Sabran merendah diri. “And, next question, please.”
“Apa pendapat awak tentang perkahwinan?” Kali ini Wirdah ingin mengetahui pendapat lelaki itu terhadap alam yang mungkin bakal mereka tempohi tidak lama lagi.
“Berat soalan tu. Boleh saya jawab lain kali?”
“Okay, kita simpan soalan tu lain kali. So, soalan kali ni, awak nak cari isteri yang bagaimana?”
“Saya rasalah kan, saya tak payah jawab soalan tu.”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Dan sekarang saya nak tahu tentang diri awak pula.”
“Tak banyak yang boleh saya beritahu awak.”
“Tak apa, awak beritahu aje apa yang awak rasa nak beritahu saya.”

SAS4

Tepat 9 malam, usai solat Isyak, Wirdah memegang handphone di tangannya. Masih lagi berkira-kira samada mahu menelefon lelaki itu ataupun tidak.
‘Hemmm, nampaknya aku yang beria-ia nak call mamat ni. Mamat ni tak kesah ke dengan siapa dia bakal berkahwin? Siapa bakal isteri dia?’ gumam Wirdah sambil ibu jarinya terus menekan nombor telefon Ahmad Sabran yang begitu mudah diingati. Pasti mahal harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan nombor sedemikian.
“Assalamu’alaikum.” Wirdah menghulurkan salam dengan suara yang sedikit lunak. Takkan nak gunakan saura yang garang, bakal suami tu…
“Wa’alaikumussalam. Siapa yang bercakap, dan nak bercakap dengan siapa?” kedengaran suara seorang lelaki membalas dengan sedikit berlagu. Tapi Wirdah masih dapat mengenali bahawa suara inilah yang menjawab petang tadi.
“Saya Wirdah dan nak bercakap dengan Encik Ahmad Sabran. Ini Encik Ahmad Sabran ke?”
“Kalau bukan?”
Hish, ni memang macam kes pelanggan yang banyak songeh… “Tadi ada mamat yang dah terbakar tadi tu, minta saya call nombor ni.”
“O… mamat tu tadi memang dah tak betul sikit otaknya. Dah kena perasap tadi tu…”
“Habis tu saya bercakap dengan siapa ni? Bukan dengan Encik Ahmad Sabran ke?”
“Kalau ye?”
“Hish, loyar buruk juga ye awak ni. Atau awak memang tiga suku?” Wirdah mula hilang sabar dengan sikap lelaki yang menjawab panggilannya itu.
“Awak rasa?”
“Saya tak boleh rasa sebab lidah saya hanya kat dalam mulut saya ni.”
Tergelak besar lelaki itu sebaik mendengar jawapan Wirdah. “Betul, betul, betul.” Balasnya pula.
Wirdah melepaskan keluhan kecil. “Saya sebenarnya sedang bercakap dengan awak, kan, Encik Ahmad Sabran. Tadi dan sekarang ni. Awak mungkin ingin menduga sejauh mana saya akan bertahan melayan karenah awak yang biul ni.”
Sekali lagi tercetus kuat gelak lelaki yang masih belum mengaku siapa dirinya yang sebenar sedari tadi.
“Ehem, saya perkenalkan diri saya. Saya Ahmad Sabran. Panggil saja Sabran. Terima kasih sebab sudi dan rajin menelefon saya.”
“Awak tahu kenapa saya telefon awak ni?”
“Memandangkan anak dara yang telefon anak teruna, pastinya sebab perigi nak cari timba.”
“What!?”
“Wh..a..t…”
“Itu yang awak fikirkan?”
“Yup.”
“Excuse me. Please. Jangan nak perasan ye. If it’s up to me, I won’t even give you a call.” Sindir Wirdah dengan cuak.
“Kenapa?”
“Sebab saya memang tak nak jadi perigi yang cari timba. Dan kalau boleh saya tak nak mana-mana lelaki gatal nak jadikan saya sebagai isteri.”
“Tapi saya tak gatal. Doktor pun boleh sahkan yang saya tak ada penyakit gatal.”
“Ei… awak tahu kan apa maksud saya?” tanya Wirdah kebengangan.
“Okeylah. Habis tu, kenapa telefon saya?”
“Sebab saya nak tahu siapa lelaki yang bernama Ahmad Sabran ni.”
“Kenapa tak tunggu saya telefon?”
“Perlu ke? Jari saya ni masih aje boleh saya gunakan untuk dial nombor awak, jadi kenapa perlu saya tunggu awak telefon saya dulu? Lagipun, bukannya ada masa. Tempoh yang diberi cuma dua minggu.”
Hmm, fokus jugak minah sorang ni. “Okey, what do you want to know?”
Suasana senyap beberapa ketika. Wirdah mencari soalan. Sabran menanti soalan.
“Your full name, please?” Akhirnya Wirdah memecah kesunyian yang mula mahu menjalar.
“Ahmad Sabran Ahmad Idris.”
“Macam nilah, tell me about yourself.”
“Fuh, macam temuduga nak minta kerja lah pulak…”
“It’s a start, kan?”
“Baik. Saya harap awak tak bosan.”
“I’m all ears….” Tukas Wirdah.
“Saya, Ahmad Sabran Ahmad Idris. Dilahirkan 34 tahun yang lalu di Kuching, Sarawak. Status, belum berkahwin tapi bakal berkahwin sekiranya awak sudi terima saya dan sekiranya semuanya berjalan lancar. Adik beradik 4 orang. Saya yang sulung. Angah dan Alang sudah berkahwin. Anak buah 6 orang. Ucu masih belajar di UTP. Saya dan Ucu, lelaki manakala Angah dan Alang, perempuan. Emak saya seorang suri rumah. Bapa saya seorang askar pencen. Disiplin kami amat tinggi. Cita-cita nak jadi angkasawan macam Sheikh Muzaffar tapi tak kesampaian. Jadi saya pilih the next best thing, peragawan.”
Suasana hening. Wirdah yang mendengar setiap butir kata-kata Sabran, tersenyum simpul. Lelaki itu bagaikan sedang membaca testimony kerjayanya. Tapi ada sesuatu yang perlukan kepastian. Kata-kata lelaki itu yang terakhir tadi.
“Peragawan?”
“Yup.”
“As in modeling?”
“Iye…kenapa? Tak percaya?” lagaknya bagai dalam iklan CIMB pula.
“Hensem sangat ke awak ni?”
“Hei, the second most handsome man in the galaxy!!”
“Eiuhh, perasannya…”
“Tolong sikit ye, perasan saya bersebab.”
“Sebab?”
“Sebab saya adalah anak kepada the most handsome man in the galaxy.”
“O… kiranya bapa borek anak rintiklah ni.”
“Betul, betul, betul.” Akui Sabran tertawa kecil. Dah dua kali dia menggunakan skrip popular Upin & Ipin. Mesti dia sukakan rancangan itu.
Eii, tak sangka ada jugak orang yang perasan macam ni… Wirdah menggeleng-geleng sendiri.
“So, awak selalunya jadi model apa?”
“Seluar dalam.” Selamba lelaki itu menjawab.
Ha???

SAS3

Wirdah memerhatikan sahaja dokumen-dokumen yang berlambak di atas meja yang memerlukan perhatiannya. Tumpuannya tidak dapat difokuskan kepada kerjanya ketika itu. Fikirannya terlayang kepada perbualan dengan kedua ayah dan emaknya dua malam yang lepas. Diambil handphone di sisi. Diselak satu persatu nombor telefon, akhirnya jumpa. Tertera nama Mamat Sabar??? di skrin.
‘Hm… namanya Ahmad Sabran. Adakah dia seorang penyabar sebagaimana namanya? Ataupun dia bukan seperti namanya.’ Omelnya sendiri. ‘Telefon ajelah. Kalau bukan sekarang, esok atau lusa, kau kena telefon jugak mamat ni. Baik kau selesaikan segera…’ Dup dap dup dap, jantungnya berdegup laju. Sepantas itu ibu jarinya bergerak dan menekan butang hijau.
“Tut…tut…tut…tut…” Engage.
Wirdah melepaskan keluhan kecil. Entah kenapa dia agak resah dengan risikan ini. Sedikit sebanyak fikirannya terganggu. Dan dia tidak sukakan keadaan itu. Beberapa minit menunggu, akhirnya dia mencuba sekali lagi.
“Tut tut, tut tut,” kedengaran telefon itu berbunyi. Beberapa saat menanti. Akhirnya panggilannya berjawab.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
“Boleh saya bercakap dengan Encik Ahmad Sabran?”
“Ahmad Sabran mana?”
“Ahmad Sabran tuan punya telefon ni.”
“Eh, Ahmad Sabran bukan tuan punya telefon tu, rasanya telefon tu, awak yang punya.”
Hish, kurang asam pulak mamat ni… “Errr, maksud saya, tuan punya telefon di sana tu…” lembut Wirdah menangkis walau hatinya dah sedikit punya gerammm…
“O… tapi tuan punya telefon ni, bukannya Ahmad Sabran, tapi Sabrina.” Sekali lagi jawapan selamba yang diterima Wirdah.
Ughh… ni yang aku makin geram ni… sabar Wir, sabar… “Tapi saya diberitahu yang saya boleh menghubungi Encik Ahmad Sabran di nombor ini. Dia ada?” Sekali lagi Wirdah mencuba.
“Ahmad Sabran mana?” sekali lagi pertanyaan Wirdah dibalas pertanyaan juga.
“Encik Ahmad Sabran, anak yang soleh, yang ikut cakap emak dan ayahnya untuk merisik anak dara orang untuk jadi bakal isteri?” jawab Wirdah dengan gigi terketap dan dengan nada bengang.
“O… ada ada. Alamak!!! We are on firelah!! Call balik nombor ni, 0198287888. Call malam ni. Now it’s time to put out the fire! Chao…!!!”
Suara cemas itu terus terputus. Hanya bunyi “tut…tut…tut…” menendang gegendang telinga Wirdah.
“Hish, mamat manalah yang banyak songeh ni…” omel Wirdah dengan cuak. Terfikir juga dibenaknya apa yang sedang terjadi di sana. Untuk mengalihkan perhatiannya dari semua pertanyaan itu, dia cuba untuk memfokuskan perhatiannya kepada kerja yang berlambak di atas meja.

SAS2

Sebulan telah berlalu sejak peristiwa malam itu. Semuanya masih tersimpan kemas dalam ingatan. Masih terasa malunya walau Wirdah sedar tak siapa yang tahu akan kemalangan itu. Dia juga telah meminta maaf kepada Fazilah kerana terpaksa memungkiri janji untuk berjumpanya malam itu. Namun tidak diberitahu kepada Fazilah akan peristiwa yang telah menimpanya. Takkanlah nak dibuka pekung di dada.
“Fuh, time to relax…” omelnya perlahan. Diambil novel yang baru suku dibaca. Novel itu baru dibelinya di QMR World of Books petang tadi. Sebelum makan malam tadi dia sudah berpeluang untuk mula membacanya. Tak sabar untuk menyambung pembacaan. Mungkin dia akan dapat menghabiskan pembacaannya malam itu.
“Wirdah!!”
Baru hendak baring dan memulakan pembacaan, kedengaran ketukan dipintu dan namanya dipanggil emaknya. Dia segera bingkas untuk membuka pintu.
“Saya, Mak.” Balas Wirdah sebaik memandang muka emak yang tersenyum.
“Jom ke ruang tamu. Ada hal yang Ayah dan Mak nak bincangkan dengan kamu,” jawab Hajah Wahidah sambil melangkah ke ruang tamu.
“Nak bincang pasal apa?” Wirdah pantas bertanya, membontoti langkah emaknya. Langkahnya terhenti sebaik terpandangkan wajah ayahnya. Emaknya terus mengambil tempat di sebelah ayahnya.
“Wirdah, duduk situ,” arah Haji Mukhriz dengan wajah serius.
Tanpa banyak soal, Wirdah terus mengambil tempat duduk di hadapan kedua ayah dan emaknya.
“Wirdah, Ayah nak tanya sikit?”
“Sikit aje? Kalau dengan Ayah, Wir tak kesah, seribu satu soalan pun okay aje…” jawabnya selamba.
Haji Mukhriz mengulum senyum. Dia tahu Wirdah tak pernah mengelak bila diajukan soalan. Anaknya yang seorang ini memang sentiasa ada jawapan dan sentiasa mengambil sikap berterus terang dengan mereka.
“Wirdah dah ada teman lelaki?”
Wirdah tersentak. ‘Erk!? Soalan jenis apakah ini? Soalan jenis membunuh tu….’ getus hatinya. Kepalanya mula terasa gatal. Dia mula resah. Sudah mula menjangka arah tujuan sesi ramah mesra malam ini.
“Kenapa senyap? Tadi kata seribu soalan pun okay aje…” sinis suara Haji Mukhriz menyindirnya.
Wirdah tersengih. Sedar dia disindir. Dan dia tak kesah. “Ala Ayah, memanglah seribu soalan tu okay aje, tapi bila Ayah tanya soalan cepu emas tu tadi, Wir macam dah boleh agak dah apa tajuk perbincangan kita malam ni.” Balasnya selamba.
“Tahu pun, jadi, apa jawapannya?”
“Ala, macam Ayah dengan Emak tak kenal siapa Wir ni. Jadi mesti Ayah dan Emak dah tahu jawapan Wir…” balasnya lembut.
“Dah, tak payah nak berbelit-belit pulak malam ni. Ayah nakkan kepastian. Jadi apa jawapan muktamad Wirdah? Perlukan talian hayat ke ni?”
Wirdah tergelak kecil dengan gelagat ayahnya bagaikan Jalaludin Hassan dalam rancangan Who Wants To Be A Millionaire. “Tak perlulah Yah. Jawapannya mudah aje. Tak ada.”
“Muktamad?”
Wirdah menganggukkan kepala.
“Tak nak tukar fikiran?”
Wirdah menggelengkan kepala. Masih tersengih. Seronok juga bermain dengan Ayahnya yang selalunya serius ni. Lagipun dia lebih senang berterus terang dengan kedua ayah dan emaknya.
Tidak perlu malu-malu. Tidak perlu putar belit. Kalau ya katakan ya, kalau tidak katakan tidak. Senang. Tidak perlu banyak cerita. Tak perlu berkias-kias. Tidak mahu menyusahkan kepala yang sememangnya punya banyak perkara lain yang hendak difikirkan.
“Kalau begitu, baiklah. Untuk pengetahuan Wirdah, petang tadi masa Wirdah ke pekan, ada rombongan merisik datang ke rumah kita ni.”
“Ha? Biar betul?”
“Memang betul dan tiada yang salah melainkan yang betul sahaja…” jawab Haji Mukhriz selamba.
‘Hish, ayah ni, taulah…’ Wirdah mencebik sesaat. “Hah… Ayah kenal?”
“Kenal.”
“Siapa?”
“Orang kampong sebelah.”
“Mereka kenal Wir ke?” tanya Wirdah ingin tahu kerana terlalu sedikit orang kampong itu yang kenal dengannya. Dia bukan dibesarkan di situ. Baliknya ke kampong pun hanya sebulan sekali. Itupun banyak masanya dihabiskan di rumah. Lagipun dia sedar dia siapa. Dia tidaklah secantik Miss Universe, tapi taklah jugak sehodoh si Ugly Betty tu. Dia perempuan yang biasa-biasa aje. Susah orang nak tahu keujudannya, apatah lagi bila ada kenduri kendara, pasti dia akan cuba mengelak dari menonjolkan dirinya. Dia lebih senang bekerja di sebalik tabir. Kenapa? Sebab inilah. Sebab nak mengelak dari rombongan merisik dari orang yang tidak dia kenali.
“Kalau tak kenal, takkan mereka datang merisik. Mungkin mereka ada maklumat Wirdah kot, mungkin juga mereka ada connection dalam Special Branch agaknya…” sampuk emaknya. Baru terdengar suara wanita tua itu yang sedari tadi hanya menjadi pendengar setia.
“Ele, yang ada connection dalam Special Branch tu, Ayah…” balas Wirdah kembali.
Haji Mukhsin hanya tersengih. Dia tahu perkara ini pasti akan berbangkit sebentar lagi. “Hm… manalah tahu, kan…. Bukannya kita kenal SB SB yang tengah dok menyamar tu. Entah-entah, mamat yang asyik bertenggek kat atas tiang letrik tu adalah salah seorang SB yang tengah menyiasat. Untuk keselamatan kita dan negara jugak, tak gitu?”
“Betul, betul, betul.” Balas Wirdah tersengih. Sesaat dia teringat pada watak Upin dan Ipin. Tapi masalah dia bukannya macam dalam cerita kartun kegemaran ramai tu. “Jadi, Ayah dengan Emak nak suruh Wir terima ke?”
“Terpulang pada Wirdah.”
“Apa pendapat Ayah? Emak?” Wirdah memandang ke wajah Haji Mukhsin dan Hajah Wahidah silih berganti. Walau ini soal hidup dan masa depannya, pendapat mereka paling dia hargai. Mereka adalah ayah dan emaknya, yang sentiasa mementingkan kebahagiaannya.
“Walaupun kami kenal dengan keluarga yang datang merisik tu, tapi kami langsung tak kenal dengan anaknya.”
“Tak pernah jumpa?”
Haji Muhksin dan Hajah Wahidah menggelengkan kepala.
“Jadi, sekarang ni macamana?”
“Wirdah fikirkan dulu. Ayah dah mintak tempoh 2 ke 3 minggu sebelum memberi sebarang keputusan. Lakukan istikharah. Sementara tu, Ayah pulak akan siasat latar belakang budak lelaki tu. Ayah kan ada connection dengan Special Branch, kan? Bagaimana? Setuju?” Tersengih, Haji Mukhriz memberi saranan.
Wirdah mengangguk. Dia tahu ayahnya tidak akan sesekali mendesaknya. Kebahagiaan anak-anaknya adalah keutamaannya. Sehingga kini, Wirdah amat-amat bersyukur akan kenyataan itu. Lagipun, orang yang akan dihubungi ayahnya di Special Branch tu pula adalah orang yang paling dipercayainya. Pasti Angah Fadzlinya akan menyiasat secara terperinci tentang ahli keluarga lelaki yang telah datang merisiknya itu. Eii.... bukan senang nak jadi calun bakal menantu Haji Mukhsin tau…. “Wir okay aje. Tapi Wir ada satu permintaan. Sementara Ayah dapatkan maklumat calun bakal menantu Ayah tu, Wir nak kenal dulu siapa orangnya secara berdepan. Boleh?”
“Boleh, no problem.” Haji Mukhriz bersetuju kerana dia tidak nampak di mana kesukaran yang bakal Wirdah akan hadapi. Anak gadisnya itu seorang konsultan dan seorang arkitek, sudah lali bersemuka dengan pelanggan, dari peringkat bawah hinggalah ke peringkat VVIP.
“Ada nombor telefon?”
“Nanti Ayah minta.”
“Siapa nama calun bakal menantu Ayah tu?”
Haji Mukhriz memandang Hajah Wahidah. Keningnya terangkat ke atas.
“Ahmad Sabran.” Jawab Hajah Wahidah bagi pihak suaminya.
“Kerja?”
Haji Mukhriz dan Hajah Wahidah tidak menjawab. Sebaliknya Haji Mukhriz menyindir anak gadisnya. “Ala Wirdah, buat buang air liur aje ayah dengan emak nak jawab soalan Wirdah tu. Wirdah kan konsultan terunggul abad ni. Tak payah tanya soalan-soalan tu daripada kami. Nanti Wirdah tanya aje soalan-soalan cepumas tu pada Sabran. Macam tak biasa…”
Wirdah tersengih. “Okeylah, nanti Wir kumpulkan soalan-soalan yang boleh diajukan kepada calun bakal menantu Ayah tu. So, in the mean time, ada soalan lagi, Yah?”
Haji Mukhsin menggelengkan kepala.
“Hemm… tak adalah banyak mana soalannya tu, ingatkan tadi nak kena bawak bantal dengan selimut kat sini sementara nak jawab soalan-soalan Ayah tadi….” Selamba Wirdah mengenakan ayahnya. Tergelak Haji Mukhsin dan Hajah Wahidah mendengar kata-kata Wirdah. Namun terlekat juga dihati yang anak perempuan mereka yang seorang ini mungkin akan bertemu jodoh akhirnya.

SAS1

“Wir!!”
Wirdah tersentak. Berhenti dari terus melangkah. Dipandang ke kiri dan ke kanan. Cuba dicari suara yang memanggil. Memanglah sukar. Mana taknya, dia kini sedang berdiri dalam kegelapan malam. Kejelasan pandangan matanya hanya sekadar 1 meter. Itupun belum tentu dia akan nampak dengan begitu jelas. Kalau ada yang menghunuskan pisau, hanya akan disedari kalau mata pisau dah betul-betul kat depan mata.
Tak ada cahaya langsung ke? Ada, tapi nun 5 meter kat depan sana nun. Itu pun dari tingkap bilik tidur Mak Ngah yang berada 2 meter dari tanah. Cahaya tu pulak hanya mampu menerangi 1 meter dari laluan itu. Lorong dari depan ke belakang rumah yang jaraknya 20 meter tu pula terasa sangat-sangat jauh dalam gelap-gelap macam ni. Mujur juga laluan itu lurus dan tiada apa yang jadi penghalang. Mula-mula melalui jalan itu, jenuh dia teraba-raba, sambil hatinya mengomel kenapa Pak Ngahnya tidak memasang lampu di tepi rumah itu dan kenapa tingkap-tingkap yang bersusun di tepi rumah itu tidak dibuka. Namun, setelah masuk 4 kali melalui lorong itu pergi balik dalam masa 5 minit, semuanya telah tersemat kat dalam kepala. Alah bisa tegal biasa. Dah jadi macam peta minda. Langkahnya juga semakin laju meredah kegelapan malam tanpa perlu lagi terlalu berhati-hati. Dia juga semakin laju membawa dulang makanan ke hadapan untuk dihidangkan kepada tetamu yang pasti sudah kelaparan.
Wirdah seorang sahaja ke? Tak. Bukan dia sahaja yang sedang bekerja membawa dulang makanan itu. Ramai. Tapi hanya dia yang membawa dulang itu melalui lorong yang gelap itu. Yang lain hanya menggunakan laluan dalam rumah. Wirdah? Dia ni lain. Dia memang malas nak ikut jalan kat dalam tu.
Sebab? Leceh. Susah. Banyak halangan. Tak efisen. Itu kata hatinya. Dan dia mendengar kata hatinya. Bagi Wirdah, laluan di dalam rumah tu memang leceh dan menyusahkan. Terpaksa mengharungi lebih 80 orang tetamu-tetamu perempuan yang duduk di bahagian tengah rumah. Terpaksa turun naik tangga yang sempit dari dapur ke ruang tengah, seterusnya ke bahagian kilik anak dan barulah sampai ke ruang beranda di mana tetamu-tetamu lelaki berada.
Ada sebab lain ke? Ada. Sebab laluan tu tersangatlah sesuai untuk gadis-gadis yang ingin mencalunkan diri mereka sebagai Gadis Melayu Terakhir kepada bakal-bakal emak mertua. Maklumlah, inikan kampong. Di dalam majlis-majlis macam nilah si gadis nak mempromosi diri agar kelak tak termasuk ke dalam kelab Andartu ataupun kelab Andalusia.
Penting? Mesti. Kat dalam majlis-majlis dan kenduri kendaralah para-para emak nak cari calun menantu untuk anak lelakinya. Masa macam ni jugaklah akan digunakan untuk menilai dan mengkritik para-para gadis, macam kat dalam realiti TV Gadis Melayu di TV9, Dekat Di Hati. Namun pengkritik ni bukan sembarangan orang. Bakal-bakal mertua tu. Kritikan mereka pulak tu, kadang-kadang kat dalam hati aje dan kadang-kadang sampai terbawa-bawa ke dalam sesi umpat mengumpat bila dah berkumpul beramai-ramai. Kalau dapat kritikan membina, adalah potensi untuk dijadikan menantu dalam masa terdekat. Kalau dapat kritikan yang negatif tu, kalau terdengar dek telinga sendiri atau dapat disampaikan oleh orang yang boleh dipercayai, adalah peluang untuk meningkatkan usaha semasa majlis akan datang. Kalau tak, nampak gayanya besarlah peluang untuk masuk Kelab Andalusia tu… Fuh… dasyat tu…
Habis tu, Wirdah tak berminat ke nak promosikan diri dia tu? Hish, Wirdah ni lain. Dia tak rasa majlis dan kenduri kendara ni adalah masa yang sesuai nak cari bakal emak mertua. Dia tak terfikir pun nak kahwin lagi dalam masa terdekat ni walaupun umurnya dah hampir mencecah 28 tahun. Dia lebih rela mengharungi kegelapan malam daripada terpaksa melalui laluan persis Project Runaway itu untuk diadili dan di analisa oleh bakal-bakal emak mertua. Lagipun, dia lebih pentingkan produktiviti. Dia mahu cepat. Dia tidak mahu tetamu-tetamu terpaksa menanti dengan perut kelaparan. Melalui laluan di luar ni, produktivitinya lebih dua kali ganda. Gadis kat dalam tu baru sekali berulang alik, tapi dia dah 3 kali menghantar makanan kat depan tu.
Okey, berbalik pada suara tadi. Wirdah terus mencari suara yang memanggil namanya tadi. Dia menarik nafas sedalam yang boleh untuk menenangkan hatinya yang sedang berdegup pantas.
“Oit!! Siapa yang nak main-main ni?” Tegas Wirdah bersuara bila degupan jantungnya kembali normal.
“Hai Wir, ni akulah…” Lunak suara seorang perempuan. Merdu. Meremang seketika bulu roma di tengkuk.
“Kau? Ponti Harum Sundel Malam ke?” Sergah Wirdah cuba melawan perasaan takut yang mahu muncul kembali.
“Hish, sampai hati kau kata aku ni Ponti? Ni akulah….” Merdu suara perempuan itu hilang digantikan dengan nada suara yang cuba menahan tawa.
“Mana aku tahu kau tu siapa. Aku bukan nampak pun… Dahlah tak beri salam… Aku cuma tahu kau tu bukan Ponti sebab kau tak cakap Pulangkan… Pulangkan…”
“Hish, ada ke macam tu.. Okey, Assalamualaikum. Ni akulah, Fazilah….” Jawab gadis itu sambil menala sinaran lampu picit ke wajahnya.
“Wa’alaikumussalam.” Balas Wirdah. Dia menghulur tangan. Bertemankan cahaya dari lampu picit, tangan mereka bertaut. Beberapa saat kemudian, senyuman mula berbalas sebaik mereka berada di bawah cahaya yang datang dari lampu bilik tidur Mak Ngah. Yelah kan, takkan dalam gelap tadi tu nak senyum. Kalau dalam gelap tu dia senyum, bukan manusia yang nampak, tapi hanya hantu-hantu yang terlebih hensem aje yang nampak. Takut pulak hantu-hantu tu yang tertangkap cintun kat dia.
“Eh, kau ni dari mana sebenarnya, Faz?”
“Dari rumahlah…”
“Boleh pulak kau cam aku dalam gelap-gelap ni?”
“Ala, aku dah nampak kelibat kau kat depan tu, jadi aku tunggu aje kat sini. Eh, tak takut pulak kau jalan dalam gelap-gelap ni, Wir?”
“Ala Faz, setakat kat tepi rumah ni aje, apa yang nak ditakutkan. Aku lagi takut kalau lalu kat dalam rumah tu…”
Fazilah ketawa kecil. Dia faham maksud Wirdah. Dulu dia juga kurang gemar berjalan di tengah ‘bakal-bakal mak mertua’ ni. Memang cuba dielakkan, apatah lagi dia memang sudah punya ‘buah hati’. Dan sekarang dia dah pun berkeluarga dan sudah punya 2 orang anak yang masih kecil.
“Eh Faz, aku tengah busy sikit ni. Kita jumpa kat dalam lepas ni, boleh?” pinta Wirdah.
“Okey, karang kau cari aku kat dalam. Kalau kat sini, aku takut bukan aku yang kau jumpa…” sakat Fazilah dengan suara mendayu.
Wirdah tergelak kecil sambil berjalan pantas meninggalkan Fazilah beberapa langkah dibelakangnya. Dia masih tersengih sebaik melangkah memasuki ruang dapur untuk mendapatkan dulang makanan yang baru.
“Hush, Wirdah! Kenapa tersenyum sorang-sorang ni? Dah tersampuk ke?” Tegur Mak Usu kehairanan. Takkanlah anak buahnya yang seorang ini boleh tersenyum sorang-sorang sedangkan sedari awal tadi riak mukanya sentiasa serius.
“Ha’ah,” Wirdah menjawab selamba. Tangannya mula mengangkat dulang yang berisi makanan.
“Ha?” kerut di wajah Mak Usu mula kelihatan.
“Relak la Mak Usu. Wir tersampuk dengan Fazilah tadi…” Jawab Wirdah sambil memandang ke arah Fazilah yang telah menampakkan diri di belakangnya. Fazilah pula mengangkat jari telunjuk dan jari tengah membentuk tanda V dan menghadiahkan sebuah senyuman kepada Mak Usu.
Mak Usu menggeleng-gelengkan kepalanya. Sebaik melihat kelibat Wirdah yang mula bergerak dari muka pintu, baru dia teringat sesuatu.
“Wirdah!” panggil Mak Usu.
Wirdah berpaling. Menanti. Pasti Mak Usu ingin berpesan sesuatu.
“Dulang tak cukup. Ambil dulang kat depan tu bawa ke sini.” Pesan Mak Usu.
Wirdah tersenyum. Kepala dianggukkan. Tanda faham pesanan Mak Usu.
Sekali lagi dia melangkah pantas ke ruang depan bersama dulang di tangan. Setelah memberikan dulang itu kepada lelaki yang menyambut huluran dulang itu tanpa memandang mukanya, selamba dia mengeluarkan arahan supaya memberikan beberapa dulang yang telah kosong isinya kepadanya semula. Seketika menanti, akhirnya beberapa biji dulang sudah ditangannya. Tanpa berlengah, dia bergegas kembali ke bahagian dapur. Melalui jalan yang sama. Jalan yang tiada halangan. Erk???
Buk!!! Gedegang!!! Kabooommm!!! “Ya Allah!!!”
Bagaikan baru tersedar dari tidur, Wirdah memandang sekeliling. Dia sendiri tidak pasti apa yang telah berlaku. Gelap. Cahaya lampu dari bilik Mak Ngah beberapa langkah di depannya. Dulang ditangannya pula sudah terbang entah ke mana. Dia pulak? Tidak lagi berdiri. Lebih tepat lagi dia sedang dalam kedudukan hendak sujud. Lututnya sudah mencecah tanah. Perutnya sedang menekan sesuatu yang terasa bagaikan kepingan besi yang lebar. Tangannya pula bukan di atas tanah, tapi sudah basah terendam ke dalam air sedalam 1 inci.
“Tapi hari ni mana ada hujan? Lagipun tadi tak ada pun lopak air ni tadi?” getus hatinya sambil memandang ke tapak tangan yang sebenarnya tidak jelas pun pada pandangan matanya. Dia kembali meraba-raba di dalam kegelapan malam itu untuk memastikan kedudukannya.
“Eh, apa ni?” omelnya perlahan. Dia mula mencangkung. Kembali meraba bagaikan orang buta. Tangannya meraba objek di depan. Berdinding melengkung? Tangannya bergerak ke atas. Bermulut bulat? Lebih besar dari pemeluknya. Sah!
“Ya Allah,” keluhnya perlahan, “aku terjatuh ke dalam periuk rupanya.” Wirdah tergeleng-geleng sendiri. “Fuh, nasib baik tak lemas!” gumamnya lagi. “Oit, cik kak, jangan perasan le, setakat satu inci aje dalamnya air tu, nak lemas apanya…” dia menempelak dirinya semula.
Dia bangun untuk berdiri. Kesakitan di kedua-dua belah tangan yang cuba menampung dirinya dari terus menjunam ke dalam periuk itu mula terasa. Perut yang menekan bibir periuk juga mula berdenyut. Dia membuang pandangannya ke sekeliling untuk memastikan sesuatu.
“Eiii.. nasib baik gelap. Tak ada orang. Kalau tak, mesti malu besar…. Tak tahulah kat mana nak letak muka comel aku ni…” dia terkekek-kekek perlahan. Dia melangkah perlahan sambil memicit-micit tubuh yang semakin sengal.
“Hei.. entah makhluk manalah agaknya yang letak periuk ni kat tengah-tengah jalan aku ni? Mana pulak aku nak cari dulang-dulang tu semua?” keluhnya sambil berlalu pergi. Dia terus pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah Mak Ngahnya. Tidak sanggup lagi dia berlama di situ. Badannya semakin kuat menggigil. Mungkin semangatnya tadi dah terbang melayang. Entah kemana perginya, tak tahu nak cari kat mana. Teringat pula kata-katanya pada Fazilah tadi. “Pulangkan!!... Pulangkan!!” dia menyanyi kecil sambil melangkah pergi dari situ. Dulang yang melayang entah kemana juga telah dilupakan. Janjinya dengan Fazilah juga dah terbang dari fikiran. Yang termaktub sekarang ialah “baik aku chau sebelum orang perasan…!”

SGK10

"NAH!”
Lamunan Syirin terhenti tiba-tiba. Tindakan Erman melontarkan sampul surat berwarna coklat ke sisi beg pakaian yang sedang dizipkan itu mengejutkannya. Dia tersentak.
“Aku dah kotakan apa yang aku janjikan pada kau,” Erman berkata tegas. Ada nada ugutan, seolah-olah ingin menyatakan kepada Syirin bahawa sekarang giliran dia pula untuk berbuat demikian.
“Kau tak nak ke kira duit tu?” Erman menyindir apabila dilihatnya Syirin terus memasukkan duit itu ke dalam beg tangannya tanpa mengiranya terlebih dahulu.
“Kau tak takut ke kalau-kalau aku tipu kau?”
“Saya tak fikir awak akan berbuat demikian,” Syirin menjawab spontan. Dia sendiri terkejut dengan kata-katanya itu.
Bila difikirkan semula, dia percaya dengan apa yang baru diucapkannya sebentar tadi. Walaupun tindak tanduk Erman sehingga kini menunjukkan dia seorang yang tidak berhati perut, tapi gerak hatinya begitu kuat menyatakan bahawa Erman adalah seorang yang boleh dipercayai. Dia akan mengotakan setiap apa yang dikatakannya. Mungkin itu adalah antara ciri-ciri yang menjadikan dia seorang yang berjaya di dalam perniagaannya.
Mata Erman tajam memandang Syirin. “Jadi kau akui yang aku ni jujur? Bagaimana pula dengan kau?”
“Saya juga akan berlaku jujur terhadap awak,” Syirin berkata tegas. Dia akan melakukan yang terbaik seperti yang dijanjikan kepada Erman. Hanya itu yang terdaya dilakukan untuk merasionalkan apa yang sedang dilakukannya ini.
“No second thought? Kau pasti yang kau tak nak ubah fikiran?”
Buat pertama kalinya pagi itu Syirin memandang tepat ke wajah Erman dan sekali gus menentang mata Erman yang telah dikecilkannya itu.
Kalaulah Erman tahu betapa malam tadi dia tidak dapat melelapkan matanya kerana asyik memikirkan perjanjian mereka ini. Otak dan hatinya sentiasa berbalah sesama sendiri. Dia berada di dalam dilema.
Apakah betul tindakannya itu? Tiada jalan lainkah yang boleh dilakukannya untuk Mimi? Adakah Erman akan terus membantu sekiranya dia mengetahui bahawa Syirin bukanlah isterinya yang sebenar, cuma adik iparnya sahaja? Apakah tindakan Erman seterusnya? Entahlah, dia buntu dan benar-benar membutuhkan pertolongan. Namun, tiada siapa yang dapat membantunya pada ketika ini.
Menatap wajah Erman, abang ipar yang tidak dikenalinya itu sedikit sebanyak mengentalkan lagi pendiriannya yang acap kali bergoyang sejak malam tadi.
“No, no second thought.” cuba disembunyikannya perasaan resah di sebalik sikap selamba dan bersahaja.
Wajah Erman berubah keruh. Dahinya berlipat-lipat dan rahangnya bergerak-gerak, seolah-olah cuba menahan perasaan marahnya.
“Nampaknya kau memang amat memerlukan duit ini,” dia bersuara.
“Kalau tidak, pasti kau tidak akan bersetuju dengan perjanjian ini sehingga membuatkan kau lupa betapa bencinya kau pada aku, sehingga kau sanggup lari sebelum tempohnya tamat. Huh! Nampaknya sebulan yang akan datang ini pasti akan menjadi lebih menarik lagi.” Sambil berkata, mata Erman melorot ke arah Syirin dari atas ke bawah dan ke atas kembali. Tersirna kejengkelan di matanya apabila melihat cara Syirin berpakaian yang ternyata jauh berbeza dengan Syirah.
Sudah semestinya Syirah biasa tampil dengan gaya anggun dan sofistikated serta pakaian berjenama mahal. Tapi Syirin yang berada di depannya sekarang ini tampil biasa dengan blaus berlengan panjang dan juga skirt panjang yang agak lusuh. Syirin selesa begitu. “Mana kau pungut kain buruk ni? Teruk sangat penampilan kau sekarang ni. Selalunya aku perhatikan, kaulah yang paling suka bergaya.”
“Saya akan pakai apa aje yang saya suka, awak peduli apa?” selamba Syirin memprotes.
Syirin sedar bahawa dia bukanlah seperti Syirah yang sentiasa menitik beratkan penampilannya. Bagi Syirin, pakaian hanyalah satu keperluan yang akan dibeli sekali atau dua kali dalam setahun. Mimi yang semakin membesar lebih memerlukan perhatiannya. Mujur juga sikap jimat cermat yang telah disemainya sejak kecil itu, sedikit sebanyak dapat membantunya menanggung perbelanjaan Mimi di hospital.
“Biar betul, kau dah tengok ke diri kau kat dalam cermin? Mana perginya isteri aku yang dulunya begitu anggun dan pandai bergaya?” Erman menjerkah.
Tangannya menarik bahu Syirin dan kemudiannya menolak Syirin ke cermin panjang yang terletak di satu penjuru di bilik itu.
“Cuba kau tengok diri kau tu betul-betul!” Erman memerintah, lagak bagi seorang ketua kepada anak buahnya.
Syirin hanya menurut. Dipandang dirinya di dalam cermin. Menilai dirinya dari sudut pandangan Erman dan menilai dirinya dari sudut pandangan Syirah.
Syirin akui, memang dia tiada keterampilan. Kalau ada skuad Fashion Cops, sebuah siri fesyen yang ke udara di salah sebuah saluran televisyen masa kini, sudah pastinya dia akan termasuk di dalam golongan orang-orang yang akan tertangkap kerana tiadanya keterampilan yang menyerlah.
Pakaian yang dipakainya itu agak lusuh walaupun selesa, wajahnya juga pucat dan muram akibat banyaknya tekanan yang dihadapinya kebelakangan ini. Ditambahkan pula lagi oleh rambutnya yang kusut dan tidak bermaya. Syirin terpaksa mengakui bahawa penampilannya pada ketika itu sememangnya selekeh.
Syirin bukannya jenis orang yang begitu, cuma sejak akhir-akhir ini dia sibuk dengan Mimi sehingga dia tidak punya tenaga dan masa untuk menguruskan dirinya sendiri.
Sebelum tragedi itu berlaku, dia memang memastikan pemakanannya terjaga dan berkhasiat kerana dia sedar bahawa kecantikan seseorang itu bermula dari dalam. Namun kini, dia makan apa yang ada sahaja, asalkan kenyang dan penampilannya juga terlalu ringkas kerana dia sentiasa mengejar masa.
“Mana perginya semua pakaian yang kau bawa bersama dengan kau dulu?” sergah Erman.
Sergahan itu mengingatkan Syirin kepada pakaian-pakaian Syirah yang telah ditinggalkan di rumahnya. Walaupun Syirah telah pergi meninggalkan mereka semua, tidak pernah terlintas di hati Syirin untuk memakai pakaian tersebut.
Dia sedar siapa dirinya. Dia juga sedar, pakaian kepunyaan Syirah adalah terlalu berjenama dan tidak sesuai untuk dipakai olehnya yang hanya bekerja di kedai bunga itu.
Lagipun untuk apa semua itu. Dia telah diajar sejak kecil oleh ibu mereka agar bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa beralah kepada Syirah yang mempunyai perangai yang agak jauh berbeza dengannya. Pertanyaan Erman tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“Sepanjang sebulan kau berada dengan aku, aku hendak kau jaga sikit penampilan kau tu. Hish… tak ada kelas langsung!” Erman terus mengomel sambil memerhatikan Syirin di dalam cermin.
Syirin tidak mengendahkan amaran itu, malah fikirannya semakin jauh menerawang ke saat di mana Syirah hadir di kedai bunga itu buat pertama kalinya. Walaupun ketika itu jelas ternyata Syirah sedang sugul dan berduka, namun penampilannya tetap anggun dan jelita. Memang hakikat itu tidak dapat dinafikannya.
Pakaian Syirah sungguh cantik dan menarik serta berkualiti tinggi. Rambutnya terdandan rapi. Syirah bagaikan model yang selalu wajahnya terpampang sebuah majalah fesyen yang tersohor di Malaysia.
Walaupun tika itu Syirah telah mendapat apa yang diidam-idamkannya, namun kemewahan yang diperoleh nyata tidak dapat memberikan kebahagiaan yang diimpikannya.
Dari kata-kata Erman sebentar tadi, ia jelas menunjukkan bahawa Erman tiada langsung perasaan kasih kepada Syirah. Mungkin dia hanya menganggap Syirah hanyalah sekadar barang hiasan yang akan ditayangkan kepada semua bila diperlu, hanya sekadar untuk menjaga statusnya sebagai orang-orang kelas atasan.
Syirin terasa begitu jelik terhadap lelaki yang berada di belakangnya ketika itu. Cuba dilarikan bayangan dirinya di cermin itu tetapi tangan Erman lebih pantas mencengkam bahunya. Erman menarik Syirin rapat ke dadanya.
Terasa kehangatan tubuh Erman. Bau minyak wangi yang dipakai Erman menular ke rongga hidungnya. Hangat dan wangi. Syirin kenal sangat dengan aromanya. “Obssession” yang dipakai Erman adalah salah satu wangian kegemarannya.
Terasa lemah lutut Syirin berada di dalam situasi sedemikian. Debaran yang dirasakan membuatkan jiwanya bergetar.
Syirin kaget, takut Erman akan sedar dengan perasaannya. Dikawal ekspresi mukanya agar tidak terpancar jiwanya yang bergelora di dalam cermin itu. Dia malu kiranya Erman menyedari pergolakan perasaan yang baru pertama kali dirasainya itu.
“Apa sebenarnya yang telah terjadi, Nurul? Apa yang telah berlaku kepada diri kau ni?” Erman bertanya dengan nada lembut dan menggoda, seolah-olah ada rasa kasih dan sayang kepada Syirah.
Bahu Syirin diurut lembut, melenturkan sedikit ketegangan yang dirasakan Syirin. Rambut Syirin diulit lembut dan kemudian diciumnya rambut itu.
Simpati dan sayang yang ditunjukkan Erman melemahkan Syirin. Dia terasa bagaikan dikasihi dan disayangi. Dia lemah menghadapi situasi itu. Dia bagaikan terpukau.
“Kau macam bukan Nurul yang aku kenali!”
Kata-kata lembut Erman bagaikan kejutan kepada Syirin, menyedarkan Syirin dari lenanya. Dia bingkas berpusing dan melepaskan dirinya dari genggaman Erman yang tidak menyangka tindakan pantas dari Syirin.
“Itu adalah kerana saya bukannya perempuan yang sama yang pernah awak kenali satu ketika dulu!” Jerkah Syirin spontan.
“Apa maksud kau?”
Syirin terkedu. Detik demi detik berlalu tanpa suara.
‘Sebab aku bukan Syirah!’ ingin saja dia menjerit kepada Erman tetapi dia tidak berani. Peristiwa semalam masih segar di ingatannya. Dilema yang dihadapi masih terlalu pahit untuk ditelan. Wajah Syirah dan Mimi hadir silih berganti. Wajarkah dia berterus terang? Sekilas dia memandang ke arah wajah Erman yang sudah mula tegang.
“Cuba awak tengok aje saya ni,” Syirin menyergah, menyembunyikan hakikat di sebalik kejengkelan yang ditunjukkan.
“Awak rasa saya suka ke berpakaian macam ni?” Dia menunjuk kepada tubuh badannya, cuba melakonkan watak Syirah yang sedang merasa jengkel.
‘Syirah… maafkan aku,’ getus suara hati Syirin pula.
“Aku akui, ini memang bukan stail kau.” Erman terpaksa mengakuinya walaupun telah timbul persoalan di dalam hatinya.
Di hadapannya sekarang ini adalah seorang wanita yang jauh berbeza perwatakannya dengan isteri yang dikenalinya yang dahulu. Bukan hanya dari segi penampilan tetapi juga dari segi tingkah laku. Nurul yang dahulu bergaya dan kata tuturnya agak kasar. Dia biasa membahasakan “aku” dan “kau” ataupun “I” dan “you” dalam perbualan mereka.
Bagaimanapun, Nurul yang baru ini pula adalah di sebaliknya. Penampilannya itu sudah termasuk dalam kategori outdated dan perwatakannya lebih lemah lembut dan bersopan santun. Dia juga lebih kerap berangan-angan dan hilang ke dalam dunianya yang tersendiri.
Mungkin benar, Nurul sudah berubah. Mungkin di sepanjang kehilangannya itu, sesuatu yang drastik telah berlaku ke atasnya yang menyebabkan perubahan tersebut. Persoalan demi persoalan timbul tetapi dibiarkan saja ianya berlalu buat masa ini. Dia akan berbuat sesuatu tentang itu nanti.
“Bagaimanapun, aku sedikit hairan. Takkanlah duit yang aku beri pada kau dulu sudah habis? Patutnya ia cukup untuk setahun lagi. Itu pun kalau kau masih lagi mengekalkan gaya hidup kau yang boros tu. Nampaknya kali ni kau lebih hebat lagi hingga keadaan kau jadi begini teruk! Dan mana pula kereta kau? Apa yang dah terjadi sebenarnya, Nurul?” ada nada bimbang di dalam suara Erman.
Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Erman menimbulkan keraguan di hati Syirin.
‘Siapakah Erman yang sebenarnya? Betulkah dia seperti yang digambarkan oleh Syirah, tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut seperti semalam ataupun seorang yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab seperti sekarang ini?’
Baru Syirin tersedar bahawa sepanjang hari ini, tidak sekalipun Erman meninggikan suaranya walaupun ketika mengugut dan menyergahnya, tidak seperti semalam. Dia teringat kembali kepada kata-kata kembarnya.
‘Dia hanya mementingkan duit, duit, duit!’
Syirin kini tidak lagi pasti sama ada Erman sememangnya seorang yang mementingkan duit atau pun tidak. Tetapi apa yang dia tahu pada ketika ini, Erman menggunakan kuasa duit itu untuk memaksa Syirin yang disangka isterinya itu untuk terus kekal bersamanya selama sebulan lagi, walaupun Erman tahu dia tidak menginginkannya begitu.
‘Lelaki jenis apakah dia ini? Siapa dia yang sebenarnya? Dan kenapa hanya sebulan sahaja lagi? Dapatkah misteri-misteri ini diselongkar?’ Soalan demi soalan dikeluarkan oleh otak Syirin yang suka kan misteri.
Ingin diketahuinya kenapa Erman melakukan semua ini sedangkan dia adalah seorang lelaki yang kacak dan kaya, maka sudah pasti tidak sukar untuk dia mencari wanita lain yang boleh disayangi sebagai seorang isteri. Tetapi kenapa Syirah yang menjadi pilihannya?
‘Permainan apakah yang sedang dimainkan oleh Erman dan Syirah sebenarnya?’ Syirin berbisik sendiri. Otaknya berputar kembali, keliru memikirkan tentang Erman dan Syirah.
‘Hish… lantaklah! Itu semua mereka punya pasallah. Buat tak tahu aje, sudah…!’ marah hati Syirin.
Pening kepalanya memikirkan misteri-misteri yang ada dan segala kemungkinan yang berlaku. Otak dan hatinya juga sering berbalah sesama sendiri. Dia penat. Dia perlu memfokuskan dirinya kepada situasinya sekarang ini.
Yang penting, duit telah pun diserahkan oleh Erman kepadanya. Dia akan menggunakan duit itu untuk membantu Mimi.
“Ehem…” kedengaran suara Erman berdeham di depannya. Syirin kembali tersedar. Lelaki itu sedang menantikan jawapannya.
“Awak peduli apa! Apa yang saya dah buat dengan duit dan kereta tu, itu hal saya. Bukan masalah awak!” selamba Syirin menjawab soalan Erman yang tertunda tadi. Ingin disembunyikan apa yang terjadi buat masa ini. Suatu hari nanti dia pasti akan memberitahu Erman akan kedudukan perkara yang sebenarnya, iaitu setelah segala urusannya dengan lelaki itu selesai.
“Baiklah, kalau itu yang kau mahukan. Aku tak akan tanya lagi.” Erman memutuskan.
“Tapi kau harus ingat, ini kali terakhir aku akan tolong kau. Dan kau mesti kotakan apa yang telah kau janjikan. Lepas ni, kau dengan hal kau dan aku dengan hal aku!”
“Baiklah, saya akur dengan apa yang awak cakapkan tu.” Syirin menghabiskan kerjanya mengemas beg pakaiannya dan mengangkat beg pakaian tersebut. Sebelum beredar, Erman mencengkam tangannya kembali.
“Satu lagi, sepanjang sebulan ni, aku nak kau jaga sikit mulut kau yang laser tu. Cuba berhemah sikit sebab aku dah penat nak melayan kerenah kau macam dulu. Kalau kau masih degil dengan sikap kau, aku akan pastikan yang kau akan terus susah macam sekarang ni. Kau faham tak?”
Syirin hanya menganggukkan kepalanya walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah terjadi di antara Erman dan Syirah. Dia berharap, masa sebulan yang bakal ditempuhinya ini nanti akan berlalu dengan cepat, tanpa sebarang masalah.
Sedikit sebanyak, timbul juga perasaan ingin tahunya terhadap lelaki yang pernah menjadi suami Syirah yang pernah mencetuskan satu episod dalam kehidupan kembarnya itu. Ingin diselidiki siapa sebenarnya Erman di sebalik peristiwa semalam dan pagi ini. Mungkin misteri itu akan terbongkar dalam jangka masa sebulan ini. Syirin yang hilang dalam angan-angannya, sekali lagi dikejutkan oleh suara Erman.
“Ada lagi barang yang tertinggal?”
Syirin hanya menggelengkan kepalanya.
“O.K., jom kita pergi!” Erman mengambil beg pakaian di tangan Syirin dan berjalan menuju ke pintu dan membukanya untuk Syirin, memberi dia laluan untuk berjalan keluar dari bilik hotel itu.
‘Gentleman juga abang ipar aku ni,’ getus hatinya bila melihat tindak tanduk Erman.
Erman melihat sekeliling sebelum menutup pintu itu tetapi matanya tertancap kepada suatu barang yang masih terletak di atas katil.
“Hey Nurul, betul ke kau tak ada tertinggal apa-apa lagi?”
Ejekan Erman dengan suara sinisnya itu mematikan langkah Syirin. Dia memandang Erman kehairanan. Dengan senyuman sinis, Erman memuncungkan dengan mulutnya ke arah beg tangan Syirin yang masih terletak di atas katil itu.
Tersipu-sipu Syirin mengingatkan kelalaiannya sebentar tadi.
“Takkanlah beg tangan sendiri pun kau boleh lupa?” Erman menyindir.
Syirin tidak membalas. Berwajah selamba, dia berjalan masuk untuk mendapatkan beg tangannya semula.
Agak culas hatinya mengenangkan sejumlah wang yang agak besar yang akan dibawanya bersama. Tidak pernah dia merasa memegang dan membawa wang sebanyak itu.
Namun itu bukan wangnya. Wang itu adalah untuk masa depan Mimi. Dipegang erat beg tangannya itu bagaikan memegang nyawanya. Dia memandang Erman. Di wajah itu masih terpancar senyuman sinis yang sukar untuk ditafsirkannya.
‘Biarkanlah,’ bisik hati Syirin memujuk.
“Saya perlu masukkan duit ni ke dalam bank.”
“Baiklah. Lepas ni kita terus menuju ke bandar. Nak pergi bank yang mana satu?”
“Bank Islam.” Syirin lebih suka menggunakan perkhidmatan bank ini kerana di tempatnya, dia telah kenal lama dengan kebanyakan kerani di Bank Islam tersebut. Di samping peramah dan mesra, dia sebagai pelanggan, menerima layanan yang baik dari mereka. Apatah lagi, jika difikirkan dengan lebih mendalam, segala urus niaga adalah berlandaskan agama.
“Baiklah, aku akan bawa kau ke sana. Tapi ingat, kau boleh masukkan semua sekali duit tu ke dalam bank nanti. Sepanjang masa kita bersama, aku yang akan berikan kau duit belanja. Kau tak perlu nak gunakan duit kau tu walau sesen pun,” Erman memberi arahan.
“Macam perempuan simpanan!” spontan Syirin menempelak tajam.
“Betul tu!” dengan selamba Erman bersetuju.
“Kau kan memang dari dulu lagi dah termasuk dalam kategori tu. Takkan kau tak sedar lagi kot. Cuma dengan aku, kelas kau tu tinggi sikit iaitu sebagai isteri simpanan aku.”
Belum sempat Syirin membalas kata-kata tersebut, Erman menambah.
“Aku dah uruskan semua pembayaran bilik ni tadi, jadi serahkan aje kunci ni di kaunter dan tunggu aku di pintu hotel!”
Mahu sahaja rasanya Syirin menjerit. Timbul perasaan geramnya pada Erman. Kalau Erman itu kawan perempuannya, mahu sahaja disekelnya kepala Erman. Digenggam tangannya erat agar dapat menahan dirinya dari melakukan perbuatan itu terhadap lelaki tersebut. Tidak dapat dibayangkan akan reaksinya nanti.
‘Aghh…!!!’ jerit Syirin di dalam hati untuk melepaskan geram yang berbuku di dada.
Melihatkan Syirin telah terhenti dari menuruni anak tangga hotel itu, Erman memandang ke arahnya.
“Kenapa kau tercegat aje di situ? Kau nampak hantu ke?” selamba dia menyindir.
“Erman, awak ingat saya ni apa, hah?” berkerut muka Syirin menahan perasaan geramnya.
“Saya ni bukannya koleksi barang-barang perhiasan awak, awak tahu tak? Saya bukan seorang perempuan murahan yang boleh awak buat sesuka hati.”
“Dah..dah… hakikatnya, untuk jangka masa sebulan ni memang kau adalah salah satu daripada koleksi aku. Aku terpaksa membayar harga yang tinggi untuk itu. Apa, kau dah lupa?”
Bertambah geram hati Syirin bila dicemuh begitu. Mahu sahaja dia menamatkan perjanjian mereka ketika itu juga tapi wajah Mimi yang terlintas di hadapan matanya mematikan tindakannya.
‘Hish… kenapalah nasibnya begitu malang…?’ keluh hati Syirin

Wednesday, October 20, 2010

SJM4

Naim terkedu. Agak lama dia kaku di situ. Suara itu telah 5 tahun tidak didengarnya. Sukar dia mempercayai yang dia akan mendengar kembali suara lunak itu pada saat ini. Terlalu lama suara itu menjadi igauan mimpinya. Terlalu lama pemilik suara itu telah cuba dilupakannya. Kenapa pula hari ini dia akan mendengar kembali suara itu?
Naim memusingkan badannya. Perlahan. Sedikit demi sedikit, imej gadis yang pernah mengisi ruang mimpinya, kini memenuhi ruang penglihatannya. Sekali lagi dia terkedu. Akalnya seakan mati tiba-tiba. Tidak mahu berfungsi seperti selalu. Tiada sebarang ekspresi pada raut wajahnya.
Mati senyuman Nadia pada ketika itu. Walaupun dia sudah menjangkakan reaksi Naim, namun terhiris juga perasaannya. Dia tahu dia bersalah. Tapi 5 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama. Dia amat-amat berharap yang Naim telah memaafkannya.
‘Maisarah.’ Sapa Naim dengan dingin. Diamati gadis di hadapannya. Memang dia tidak salah. Wajah ayu yang pernah dipujanya itu tidak banyak berubah. Kini dia tampak lebih kurus dari dahulu. Raut wajahnya tampak lebih matang, namun masih lembut dan menenangkan mata yang memandang.
Nadia menelan airliurnya. Walaupun nada suara Naim agak dingin, sekurang-kurangnya dia masih mahu menegur, tidak menjerkah. Dan jauh disudut hatinya, dia terasa sedih kerana lelaki itu kini memanggilnya Maisarah, bukan lagi Nadia. Hanya dia yang akan memanggilnya Nadia. Nadia tahu kenapa dia bersikap begitu, namun dia cuba untuk tidak ambil peduli. Dipaksa dirinya untuk kembali mengukir senyuman buat lelaki yang pernah menjadi pujaannya itu.
‘Assalamulaikum Naim. Apa khabar?’ ucap Nadia sambil melontarkan pandangannya ke arah kedua tangan Naim yang begitu kuat menggenggam kedua-dua botol comel makanan bayi itu. Mungkin kedua botol itu akan pecah sekiranya dia terus berbuat demikian.
Nadia tersenyum kecil kepada dirinya sendiri. Mungkin Naim sedang membayangkan yang tangannya sedang menjerut lehernya pada ketika itu untuk melepaskan geram yang bersarang dihati.
‘Baik.’ Jawab Naim ringkas.
‘Balik bercuti ke?’ tanya Nadia sekadar berbasa basi. Memandangkan reaksi Naim yang terus dingin, ingin sahaja dia beredar dari situ. Dia sedar yang kehadirannya tidak diingini oleh lelaki di depannya ketika itu.
‘Tak. Saya dah ditukarkan ke sini.’
Terkedu Nadia seketika. ‘Dia dah ditukarkan ke sini. Ini bererti aku mungkin akan berpeluang untuk bertemu dengan dia lagi. Itu pun jika takdir mengizinkan.’
‘Dah lama?’
“Baru sebulan.’
Naim masih terus kekok di situ. Dia sendiri tidak pasti apa yang boleh dilakukannya kini. Hatinya yang pernah terluka gara-gara gadis di hadapannya itu seakan mahu berdarah kembali. Pedihnya kembali terasa. Kalau boleh, dia ingin sekali melangkah pergi. Tapi kakinya enggan menurut kata hatinya.
‘So, what are you up to, Naim?’
‘My neck,’ gumam Naim walaupun hatinya berat untuk menjawab, ‘dan rasa macam akan tenggelam dengan cepat.’
‘Hah?!’
Nadia keliru, tidak pasti dengan apa yang dimaksudkan oleh Naim sebentar tadi.
‘Cuba awak tengok ni.’ Jawab Naim. Tanpa sedar dia sudah mengunjuk kepada botol-botol ditangannya dan ke arah rak di hadapannya. Dia bagaikan sudah terlupa persengketaannya dengan Nadia selama ini.
‘Macam mana seseorang tu nak tahu apa yang perlu didapatkannya? Jenis sayur apa? Brand apa? Yang dalam botol ke atau yang dalam kotak? Bijiran ke formula?’ Suara Naim semakin meninggi. ‘Kalau formula pulak, jenis apa yang paling baik? Soya ke, cecair ke, tepung ke? Yang dah siap untuk diminum ke atau pun yang dah siap dicampur?’
Nadia terasa mahu ketawa, tapi cuba ditahannya. Dia tahu yang Naim tidak akan menghargai ketawanya itu pada saat ini.
‘Seingat saya, awak kan sukakan jus buah-buahan, bukannya makanan sebegini.’
Mata Naim mencerlung. Dia memandang Nadia dengan mata yang buntang. ‘Memanglah saya sukakan jus buah-buahan, dan ini semua bukannya untuk saya.’
Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jelas tersirna keresahan diwajahnya yang kacak itu. Tersirna juga rasa hatinya yang kaget dengan situasi yang sedang dihadapinya itu.
Naim nampak macam tengah panik. Setahu aku, dia tak pernah panik. Tak pernah macam ni. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlaku di luar kawalannya, gerutu Nadia di dalam hati. Tapi mungkin juga tekaannya itu salah. Setahunya, Naim sentiasa tenang menghadapi apa jua keadaan.
‘Naim, apa yang sedang berlaku sebenarnya ni?’ tanya Nadia sambil cuba memujuk hatinya bahawa dia hanya sekadar ingin mengetahui perkembangan lelaki itu.
‘Tak ada apa-apa,’ omel Naim perlahan sambil tangannya mula meletak botol-botol comel yang dipegangnya tadi kembali ke atas raknya. Dilakukan dengan berhati-hati agar susunan botol-botol itu tidak terjatuh pula nanti.
‘Takkanlah tak ada apa-apa. Saya tengok awak macam tak tentu arah aje,’ tukas Nadia.
‘Just the end of the world.’ Gumam Naim sekali lagi.
‘Sound serious.’
‘Memang pun.’
Hish, susahnya nak dapatkan maklumat dari dia ni, omel Nadia di dalam hati. Memang begitu perangainya sejak dulu. Berat mulut. Sepatah ditanya, setengah patah yang dijawab. Nadia tidak bertanya lagi. Sebaliknya dia berterusan merenung lelaki di hadapannya.
Walaupun Naim membelakangkannya, dia terus menunggu. Dia terus menanti reaksi Naim. Telah lama dia mengenali lelaki itu. 2 tahun mereka bersama sebelum Nadia menamatkan hubungan mereka. Dia yakin Naim masih belum berubah dari sikapnya yang satu itu.
Tepat seperti sangkaannya. Macam dulu juga, Naim pasti tidak akan bertahan bila dihadiahkan renungan ataupun suasana senyap yang lama. Akhirnya dia berpaling menghadap Nadia. Kedua tangannya sudah berpeluk ke tubuh. Kedua kakinya pula sedikit terkangkang. Nadia tahu lelaki itu sudah mula rasa tercabar.
“Saya dah jadi seorang bapa,’ perlahan kata-kata itu terhambur dari mulut Naim. Nada suaranya tidak kedengarannya gembira, seolah-olah dia kini sedang berada di dalam situasi yang tidak disenanginya sama sekali.

SJM3

Nadia tergamam. Dahinya berkerut. Cuba memastikan sesuatu. Dia menapak mendekati. Direnung dan diteliti tanpa berkelip wajah yang sedang berkerut tapi tetap gagah di dalam pakaian seragamnya yang serba putih itu.
‘Sah, memang dia!’ Hati Nadia melonjak gembira, tapi hanya seketika. Dia beralih arah. Berdiri di satu sudut, menyembunyikan dirinya dari pandangan lelaki itu. Diperhatikan sahaja gerakgeri lelaki itu dengan hati yang sendu. Direnung setiap raut yang bermain diwajahnya. Cuba ditahan rasa hatinya dari tersirna di anak matanya. Rasa rindu yang telah lama terpendam cuba untuk membuak keluar, namun dia cuba untuk memendamkannya kembali.
Nadia terus menatap susuk tubuh lelaki itu. Memang tinggi dan kacak. Rambutnya yang hitam lebat itu masih dipotong pendek, selayak tugasnya sebagai seorang pegawai tinggi Tentera Laut. Tubuhnya masih sasa seperti dahulu. Teringat pula kepada pancaran kasih yang sering tersirna dari anak matanya. Hanya untuk dirinya. Redup dan hangat. Telah 5 tahun berlalu sejak pandangan itu dilihatnya. Pandangan yang sering membuai perasaannya. Dia bagaikan berada di masa itu. 5 tahun yang lalu. Dan kehangatan mula menular ke dalam dirinya.

Pengumuman yang dibuat dari corong pembesar suara, menyentak Nadia dari perjalanan memorinya. Dia menarik nafas panjang, sedalam yang mungkin. Dia mengingatkan dirinya tentang duka lalu. Duka yang masih menjadi igauan buruk semasa tidurnya.
‘Mai, jangan diingat perkara yang lalu, hanya akan membuka parut yang telah lama sembuh. Kau jalan ke arah lain, jangan kau tegur dia. Jangan biarkan parut luka kau tu kembali berdarah.’ Nadia cuba menasihatkan dirinya.
‘Kami berdua semakin dewasa. Kami semakin matang. Pasti aku boleh menegur Naim tanpa mendatangkan sebarang masalah. Hanya menegur, takkan itu pun salah....’ akalnya memberikan alasan. Dia memang benar-benar ingin bertanyakan khabar lelaki itu.
‘Eekk,’ tukas hatinya pula. ‘Mana mungkin tak salah, kau akan mengundang padah...’
‘Tapi aku hanya nak bertanya khabar. Kami pernah bercinta, takkan sekarang tak boleh berkawan?’
‘Berkawan? Setelah apa yang kau lakukan pada Naim? I dont think so...’ tukas hatinya lagi.
‘tapi tak salah kan kalau aku hanya menegurnya?’ pintas akalnya pula.
‘Mai, lebih baik kau berpura-pura tak nampak dia. Baik kau cepat-cepat beredar dari sini.’

Nadia terus mengomel sendirian. Dia benar-benar rindukan lelaki itu. Tidak cukup melihatnya dari tempatnya berdiri. Ingin didengar sekali lagi suara lelaki yang garau dan serak-serak basah itu. Suara penuh kelakian. Suara yang kerap mengganggu tenangnya satu ketika dulu.
Nadia ingin melangkah pergi, tapi kakinya tidak mahu mendengar perintah hatinya. Sebaliknya kakinya terus melangkah perlahan mendekati Naim. Dia berhenti di belakang lelaki yang sedang khusyuk melihat apa yang berada ditangannya. Diperhatikan pula apa yang berada di atas rak di depan Naim.
“Baby food? Makanan bayi? Dia dah ada anak ke? Dia dah beristeri?’
Fikiran Nadia mula bercelaru. Kesedihan mula bertapak di dalam hati. Terasa luluh, namun cuba ditahan rasa hati agar tidak tersirna di saat itu.
“Strained carrots, strained spinach. Baby makan benda-benda macam ni ke?’
Kedengaran suara Naim mengomel perlahan, namun masih jelas menampar gegendang telinga Nadia yang berada di belakangnya.
Begitu lama suara itu tidak didengarnya. Betapa dia begitu merindui suara itu. Dia mula teragak-agak, namun dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia mengetap kedua bibirnya seketika sebelum mengulum senyuman kecil. Dia menegur Naim.
“Memang susah nak makan daging bila tak ada gigi ni,’ seloroh Nadia sambil menanti reaksi dari lelaki di hadapannya yang sedang khusyuk menilik satu persatu makanan bayi di dalam botol-botol bersaiz comel yang terletak cantik di atas rak sehinggakan kehadirannya tidak disedari.

SJM2

Nadia Maisarah Ismail. Cantik dan ayu. Sentiasa tegas di dalam membuat keputusan. Namun pagi ini dia benar-benar berada di dalam dilema.
Direnung rak yang berada di hadapannya. Berbagai jenis roti dan kek tersusun rapi di situ. Semuanya nampak enak dan lazat. Kecur airliurnya.
‘Wei Maisarah, kau nak tamatkan diet kau hari ini atau kau nak teruskan?’ cabar hati kecilnya.
‘Dah 5 hari aku asyik makan sayur, mana ada tenaga kalau aku terus macam ni?’ jawab nafsunya pula.
‘Hei, kau kata kau nak turunkan berat kau tu sebanyak 3 kg. Apa kau dah lupa ke?’ hatinya cuba mengingatkan.
‘Tak. Tapi hidup tanpa kabohidrat dan lemak sekali sekala, amatlah tidak bermakna. Kalau aku mati kat tengah jalan yang sentiasa membahayakan tu, tak ke kempunan namanya?’ gumam nafsunya pula.
Akhirnya Nadia nekad. Dicapai sebungkus Potato Bread dari atas rak. Terasa mahu dibukanya bungkusan itu ketika itu juga. Perutnya memang sudah berlagu. Dia masih belum makan sedari pagi tadi. Agak sibuk sehingga dia terlupa untuk makan. Baru hendak membuka bungkusan ditangannya, tiba-tiba dia terasa malu. Tidak patut dia berbuat begitu.
“Mai, kau bukan budak kecik lagi. Takkanlah kau tidak boleh tahan rasa lapar kau tu,’ nasihat hatinya yang sentiasa mahu menjaga tatasusila diri.
Nadia melepaskan keluhan kecil. Diusap perutnya perlahan. Dia akur dengan kata hatinya. Mungkin juga dia boleh ke Medan Selera yang terletak di luar pasar raya itu selepas ini. Sekarang masanya untuk dia menahan kelaparan yang semakin menyeksakan itu. Dia meneruskan perjalanannya untuk melengkapkan senarai barangan yang perlu dibeli.
Nadia cuba melupakan rasa laparnya. Dia cuba memikirkan perkara lain. Difikirkan tentang kerjanya pula. Dia tersenyum gembira. Tersirna di raut wajahnya. Dia benar-benar terasa bebas. Bebas dan ceria. Setelah beberapa hari memerap di dalam pejabatnya bersama dengan komputer ribanya itu, kerjanya itu dapat diselesaikan juga akhirnya.
Sejak sebulan yang lepas, pejabat adalah dunianya. Keluar rumah sebaik jam menunjuk ke angka 6 pagi dan hanya pulang ketika jam sudah dinihari. Pulangnya ke rumah hanya sekadar untuk menukar baju. Telah sebulan juga dia tidak melihat panas matahari. Kulitnya juga semakin pucat tanpa vitamin D yang datangnya dari pancaran mentari pagi yang percuma itu. Mujur Mak Ngah memahami kesibukannya saban hari. Dan mujur juga semuanya itu akan berubah hari ini. Dia akan bercuti selama sebulan. Tapi dia masih lagi belum ada apa-apa perancangan bagaimana dia mahu menghabiskan cutinya itu.
Bila memikirkan tentang cutinya, dia sudah terasa bosan. Entah apa yang boleh dibuatnya untuk menghabiskan cutinya itu. Mak Ngah pasti akan memerap di dalam rumah seperti biasa. Mak Lang dan dan Pak Lang pula pasti akan sibuk, tiada masa untuk menemaninya ke mana-mana. Irdina pula pasti sibuk dengan kuliahnya. Cuti semesternya hanya akan bermula sebulan dari sekarang. Abang Irfan pula tidak mahu melayannya sekarang. Dia sedang sibuk dengan projek barunya itu.
Fikiran Nadia melayang pula kepada kawan-kawannya pula. Marina sudah berumah tangga tiga bulan yang lepas. Zarina pula sedang mengandungkan anak kedua. Maria pula sedang berkhusus di luar negara. Kamalia pula pasti sibuk dengan anak-anak muridnya.
“Hai, nampaknya cuti kali ni aku bertemankan novel-novel jugalah....’ Nadia mengeluh sendirian. Dipandang pula ke arah sekelilingnya. Seorang kanak-kanak perempuan sedang merengek memegang bucu baju ibunya. Si ibu pula cuba untuk tidak melayan kerenah anaknya. Dia sedang sibuk memilih di antara 2 jenama susu. Dikalihkan kembali pandangannya kepada kanak-kanak kecil tadi. Comel dan manja. Bibir merahnya sedang memuncung. Air mata pula bergenang di tubir matanya.
Tersentap hati Nadia dengan senario yang berada di depan matanya. Namun cuba ditepis perasaan sayu yang ingin menyelinap masuk ke dalam hatinya. Dia memang mahukan anak dari zuriatnya sendiri, tapi sehingga kini dia masih sendiri. Sama seperti lelaki yang berada 4 meter di depannya itu. Dia berpakaian seragam serba putih. Pasti seorang Tentera Laut. Tapi dia kelihatan seperti seorang yang sedang kehilangan arah. Tangannya sedang menggaru-garu kepala. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca maklumat yang tertera pada tin-tin susu formula itu.
Nadia terus tertarik untuk terus merenung lelaki itu. Bagaikan sebuah tarikan magnet. Terlalu kuat untuk dialihkan pandangannya ke arah lain. Hatinya turut berdetik. Susuk tubuh itu bagaikan dikenali dan dia terus memerhati.

SJM1

Kapten Muhammad Naim Tan Sri Takiyuddin. Kacak bergaya. Sentiasa tenang dalam apa jua situasi. Pakar di dalam menjana strategi. Namun tidak pada hari ini.
Naim membelokkan keretanya masuk ke tempat meletak kenderaan di Alpha Angle, Wangsa Maju. Dicari ruang parkir kosong yang berdekatan dengan pintu masuk ke bangunan itu. Mujurlah hari ini pagi Isnin, jadi masih banyak ruang parkir yang masih kosong.
Setelah dipastikan keselamatan keretanya terjamin, dia pun melangkah masuk ke pusat membeli-belah itu. Diperhatikan sekeliling, tercari-cari arah yang hendak ditujunya. Sebaik semuanya telah dapat dikenalpasti, akhirnya Naim mula menapak laju. Destinasinya adalah bahagian pasar raya. Dia berhenti di pintu masuk. Dipandang ke dalam. Terasa begitu aneh. Terasa kehilangan arah. Tidak tahu ke mana yang hendak dimulakannya terlebih dahulu. Dipandang pula keadaan sekeliling. Terdapat beberapa barisan troli di situ.
‘Naim, mungkin juga kau patut ambil troli tu terlebih dahulu.’ Omel Naim kepada dirinya.
Tanpa membuang masa, dia terus mencapai troli yang berada di depannya dan kembali menuju ke pintu masuk pasar raya. Sekali lagi dia tercegat di situ.
Seorang wanita yang agak berumur telah mengekori Naim dari belakang. Namun wanita itu bukan penyabar orangnya. Marah kerana Naim menghalang laluan masuknya ke pasar raya itu. Selamba sahaja dia melanggar belakang Naim. Sakit belakang Naim akibat hentakan troli yang sedikit kuat itu.
Naim menoleh ke belakang. Dikerutkan dahinya ke arah wanita itu. Hasrat hatinya ingin memberi isyarat agar wanita itu akan lebih berhati-hati. Namun lain pula jadinya. Bukannya wanita itu meminta maaf darinya, sebaliknya dia menjegilkan matanya pula ke arah Naim.
‘Maafkan saya, Makcik!’ Ucap Naim untuk memohon kemaafan dari wanita tua itu. Mungkin dia yang bersalah, jadi biarlah dia yang beralah.
“Hei, pihak tentera sekarang ni hanya ajar supaya kau orang jadi pak pacak kat muka pintu aje ke? Dah tak ajar benda lain lagi?’
Cemuhan wanita tua itu sedikit sebanyak memeranjatkan Naim. Tidak disangka yang dia akan dijerkah sebegitu oleh wanita tua yang mungkin sebaya dengan Allahyarham ibunya. Malas mahu melayan kerenah wanita tua itu, Naim melangkah ke tepi, memberikan laluan kepada orang tua itu.
“Sepatutnya lelaki tidak dibenarkan masuk ke pasar raya macam ni, buat menyemak aje,’ bebel wanita tua itu lagi sambil melangkah pergi.
Naim menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Bukan kecik pun pintu masuk ke pasar raya ni,’ omel Naim di dalam hati. Dia bengang dengan sikap wanita yang kurang ajar itu.
“Sabar ajelah Naim. Agaknya perempuan tu baru menopos, tu yang angin satu badan tu,’ Naim cuba memujuk hatinya yang kurang senang dengan sikap wanita tua itu.
‘Okey, kini tibalah saat yang dinanti-nantikan. Mari kita mulakan!’ serunya di dalam hati.
Naim mula berjalan dengan tegak. Troli ditolak dengan berhati-hati. Rak-rak yang tersusun itu diperhatikan satu persatu, bagaikan sedang memerhati barisan musuh-musuh yang hendak dikalahkannya. Serius raut wajahnya ketika itu. Cuba diingati setiap barang yang perlu sambil melihat sekiranya barang itu ada di rak yang berdekatan. Namun semuanya itu agak menyukarkan. Dia mula terasa sesal kerana tidak mencatatkan terlebih dahulu barang keperluannya di atas kertas.
Naim mengeluh kecil. Dia tahu yang dia telah kehilangan arah ketika itu. Bukannya dia pernah membeli-belah di situ. Ini kali pertamanya. Dan ini juga kali pertamanya hendak membeli setiap barang yang berada di dalam kepalanya. Dia cuba untuk menumpukan perhatiannya kepada pembeliannya. Namun agak sukar. Di satu penjuru, kelihatan seorang wanita muda sedang memujuk anak lelakinya yang sedang menjerit-jerit dengan lantang. Jeritan kanak-kanak kecil itu sudah cukup membingitkan telinganya dan mengganggu konsentrasinya.
Sekali lagi Naim mengeluh kecil. Semuanya ini memang meresahkan. Dia memang tidak gemar membeli belah dipusat-pusat membeli-belah begini. Terlalu ramai orang dan terlalu sukar hendak mencari barang-barang keperluannya. Kerana itu dia lebih gemar pergi ke kedai-kedai runcit berdekatan dengan tempat tinggalnya. Dia sebatang kara. Dia juga seorang tentera. Bukan sebarang tentera. Dia seorang tentera laut yang sentiasa dedikasi menjaga keamanan dan keselamatan laut negara. Dan dia juga sudah biasa hidup bersendirian dan tinggal di berek tentera. Keperluannya tidak banyak kerana makan minumnya sentiasa dijaga dan disediakan oleh pihak tentera laut. Namun pada hari ini semuanya itu bakal berubah. Dan kerana itu dia kini berada di sini. Untuk cuba memenuhi keperluan barunya itu.
‘Naim, kau kena anggap shopping trip kau ni macam satu misi jugak. Kau pastikan tempat letak setiap barang-barang tu terlebih dahulu, lepas tu kau ambil setiap barang yang kau perlukan, dan kemudian kau kena keluar dari sini dengan segera. Kau pasti boleh!’ Naim cuba membangkitkan semangatnya.
Kali ini Naim mengubah strategi. Dia berjalan ke bahagian yang paling depan sekali daripada setiap deretan rak yang ada. Diamati setiap laluan di sebelah kirinya. Diperhatikan pula kepada setiap papan tanda yang tergantung di siling. Di hujung sekali, tertera tanda “Toilettries, Feminine Hygine”.
“Naim, yang pasti, laluan terakhir tu tak ada kaitan langsung dengan apa yang kau nak beli, jadi kau boleh elakkan dari melaluinya,’ omelnya sendirian. Otaknya terus membuat perancangan setiap laluan yang akan ditempuhinya. Setiap barang yang perlu dibeli juga sudah mula tersenarai kembali di fikirannya satu persatu. Tugasnya kini semakin mudah. Hatinya juga semakin tenang membeli-belah. Dia tidak lagi panik seperti tadi.
Muzik sedang berkumandang di udara. Sesekali suara lunak seorang lelaki yang mungkin adalah DJnya akan mencelah di sebalik alunan muzik itu untuk membuat pengumuman. Sering kali riuh rendah mulutnya berbicara memberitahu tentang harga terendah barangan ataupun promosi yang sedang dijalankan oleh pihak pasar raya, sesekali dia mengumumkan meminta ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka untuk tampil ke kaunter perkhidmatan.
Suara hingar bingar dan jerit pekik kanak-kanak kini tidak lagi dihiraukan oleh Naim. Setiap kebisingan itu telah ditapis oleh otaknya. Dia semakin tekun mencari setiap barang keperluan yang baru pertama kali hendak dibelinya itu. Walaupun dia tampak tenang, namun resah dihatinya tak siapa yang tahu. Hatinya begitu bercelaru bila mengingatkan situasi yang bakal dihadapinya sedikit masa lagi.

SJM Prolog

Suasana petang itu agak hening. Yang kedengaran hanyalah desiran ombak yang membelah pantai. Boy hanya merenung jauh pantai yang sunyi tanpa penghuni. Hari ini hari Isnin. Jam di tangannya pula baru menunjukkan ke angka lima petang. Jalan besar mula sibuk dengan kenderaan. Keadaan semakin sibuk dengan orang ramai yang mahu pulang dari kerja. Kesibukan itu tidak dipedulikan sangat oleh Boy. Dia lebih sukakan pemandangan di pantai. Laut memang minatnya. Dan perpindahan keluarganya ke Kem Si Rusa di Port Dickson itu dua bulan yang lalu telah memberikan kelebihan kepadanya. Hampir setiap hari dia akan berada di situ, kecuali pada hari Sabtu dan Ahad yang menjanjikan ramai pengunjung ke pantai itu, apatah lagi sekarang adalah musim cuti sekolah.

Ucu kebosanan. Cuaca pula agak panas untuk dia memeruk di dalam rumah.
‘Mak, Ucu nak pergi pantai, boleh?’
‘Tunggu petang sikit. Kan panas kat luar tu,’ ujar Puan Sufiyah memberikan alasan.
‘Ala, Mak, Ucu panas la. Kat luar tu banyak angin. Kat pantai lagi banyak angin. Nanti Ucu jalan kat bawah pokok ajelah...’ rayu Ucu pula.
‘Baiklah, tapi hati-hati masa melintas jalan tu dan jangan lupa bawa air minuman ni sekali,’ Puan Sufiyah mengingatkan. Jarang benar dia menyekat pergerakan Ucu semasa cuti sekolah kerana dia mahu anaknya membesar dengan baik seperti kanan-kanak yang lain. Jika di waktu persekolahan, pasti anaknya itu akan memerap di rumah kerana banyak kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan, apatah lagi dia juga menghadiri kelas tuisyen dengan cikgu sekolahnya. Sebaik sahaja anaknya itu selesai dengan UPSRnya, dia telah memberikan kelonggaran kepadanya untuk bermain di luar. Anaknya yang telah dua kali lompat kelas itu memang bergeliga otaknya dan telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam UPSRnya walaupun umurnya dua tahun lebih muda dari rakan-rakannya yang lain. Kerana umurnya yang lebih muda itu jugalah, Ucu tidak pernah hiraukan penampilannya, seperti hari ini. Dengan T-Shirt dan seluar sukan serta rambut yang menggerbang tidak terurus, dia keluar ke mana sahaja yang tergerak hatinya untuk melangkah. Rupanya yang comot dan selekeh itu juga dibiarkan begitu sahaja.
Ucu menyeberang jalan setelah dipastikan tiada sebarang kenderaan. Kemudian ditunggang basikalnya dengan berhati-hati di tepi jalan agar tidak berlaku kemalangan. Dia menuju ke arah Pantai Teluk Kemang. Di situ nanti pasti lebih santai berbasikal dan boleh juga dia menjamu matanya dengan aneka barang yang dipamerkan di kedai-kedai yang berderetan di situ.
Sebaik tiba di Pantai Teluk Kemang, Ucu tersenyum. Tidak ramai pengunjung kala itu. Hanya beberapa buah kenderaan. Tiada kanak-kanak langsung kecuali seorang budak lelaki yang sedang duduk menghadap pantai. Bolehlah dia bermain kasut berodanya di situ dengan senang tanpa sebarang gangguan. Litar simen itu akan menjadi miliknya untuk sementara waktu.
Ucu meletak basikalnya di tepi litar. Dikeluarkan kasut berodanya dari tempat membawa barangan. Dia mula memakai kasut itu dengan perasaan yang seronok. Dia mula bermain dengan gembira. Tidak disedarinya pandangan kanak-kanak lelaki tadi sudah pun berpindah kepadanya, memandangnya bermain dengan asyik.
Ucu semakin melajukan lariannya. Tiba-tiba, bedebuk!
‘Aduh!!’ Ucu mengerang kesakitan. Dia terjatuh. Tidak disangka dia akan jatuh ketika itu. Dia melihat sekeliling. Rupa-rupanya seketul batu berada di dalam laluannya.
‘Eh awak, sakit ke?’
Tiba-tiba satu suara kanak-kanak lelaki menegurnya dari arah sisi.
Ucu mengalih matanya ke arah suara itu. Dilihat pula pada sekeliling. Hanya kanak-kanak itu yang berada di situ. Mungkin juga itu kanak-kanak yang dilihatnya tadi.
Ucu menganggukkan kepala. Dia memang sakit. Sakit lutut dan sakit hati. Sakit hati lebih dari sakit lutut. Sakit hati kerana malu terjatuh di depan budak lelaki itu.
‘Eh, darah mengalir ni. Awak tak apa-apa ke?’ tanya budak lelaki itu sekali lagi kepada Ucu. Dia segera melutut di depan Ucu, kemudian menghembuskan sedikit udara ke lukanya yang mula berdarah. Mungkin untuk melegakan sedikit kesakitan yang Ucu rasakan ketika itu. Sedikit sebanyak, Ucu rasa tersentuh dengan tindakan budak lelaki itu.
‘Luka ni sikit aje. Saya akan bersihkan bila saya balik nanti.’ Jawab Ucu sambil cuba menahan sakit di lututnya itu.
‘Rumah awak kat mana?’
Ucu menunjukkan arah rumahnya.
‘Jauh tu. Awak datang naik apa?’ tanya budak itu lagi.
Ucu mengunjukkan basikalnya pula.
‘Awak tunggu kat sini kejap.’ Arah budak lelaki itu pula.
Ucu memerhatikan sahaja budak itu berlalu pergi menuju ke arah salah sebuah kedai yang berada di situ. Tidak lama kemudian dia kembali ke tempat itu. Ada sesuatu yang berada di dalam genggaman tangannya.
‘Meh sini saya tolong kesatkan,’ arah budak lelaki itu sekali lagi. Di tangannya sudah ada tisu muka, bersedia untuk mengelap darah yang berada di kesan luka Ucu.
Ucu menghulurkan lututnya yang berdarah. Dibiarkan budak itu membersihkan lukanya. Kemudian budak itu meletakkan pula dua keping handyplast di atas lukanya.
‘Okey, dah siap,’ ujar budak lelaki itu dengan perasaan puas. Ditekankan sedikit agar lekatan handyplast itu lebih kemas. Mungkin dia bangga dengan hasil kerjanya.
‘Saya Ucu, awak?’ Ucu memperkenalkan dirinya. Dia menyorokkan sedikit lututnya kerana seluarnya kini telah koyak. Malu juga bila dilihat oleh budak itu.
‘Saya Boy.’ Boy memperkenalkan dirinya pula.
‘Awak nak minum?’ Pelawa Ucu bila tiada idea yang singgah padanya.
‘Air? Boleh jugak. Mana?’ Tanya Boy bila dilihat tiada air di situ.
Wajah Ucu merona merah. ‘Ada, ada kat basikal saya.’
‘Saya ambilkan?’
“Tak apa, saya boleh ambil.’ Kata Ucu sambil berdiri.
‘Boleh jalan?’
Ucu mencuba kakinya. Dia menganggukkan kepala. ‘Boleh. Awak tunggu kat situ,’ arahnya sambil mengunjuk kepada tempat duduk yang berdekatan. Dia mula berjalan berjengkot menuju ke basikalnya.
Sambil minum air yang telah dibekalkan oleh Puan Sufiyah, mereka mula bercerita tentang latar belakang keluarga masing-masing. Sejak itu juga mereka akan kerap keluar bermain bersama. Boy juga akan turut bermain kasut beroda yang memang menjadi permainan kegemarannya itu.

Hari demi hari berlalu. Saban hari mereka menghabiskan masa berdua kecuali di hujung minggu. Satu hari, mereka berbual mesra di tepi pantai setelah sejam bermain kasut roda itu.
‘Boy, dah besar nanti, awak nak jadi apa?’
‘Saya nak jadi tentera.’
‘Kenapa?’
‘Saya nak ikut jejak ayah saya. Saya nak pertahankan kedaulatan Islam dan negara kita. Awak?’
‘Saya tak tahu lagi.’ Jawab Ucu tersengih.
‘Kenapa?’
‘Sebab saya lebih suka bermain. Penatlah belajar ni,’ jawab Ucu beria-ia. Dia lebih sukakan cuti sekolah yang panjang ini kerana lebih banyak masanya dapat dihabiskan dengan bermain basikal dan kasut roda. Tidak perlu menyemakkan kepalanya dengan segala macam kerja rumah yang perlu disiapkannya.
‘Ceh, mana boleh main aje. Kenalah bekerja untuk cari duit. Awak kan suka makan,’ tukas Boy kembali. Dia sudah punya sasaran yang hendak dikejar di dalam hidupnya, dan dia tidak akan mensia-siakan hidupnya begitu sahaja.
‘Kalau macam tu, saya kahwin dengan awak aje.’
‘Hah? Kenapa?’ Boy terlongo, hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Kenapa pula harus ditimbulkan soal kahwin, mereka kan budak lagi. Soal kahwin adalah soal orang-orang tua.
‘Sebab, bila awak dah jadi pegawai tentera macam ayah awak, awak mesti banyak duit. Kalau saya kahwin dengan awak, awak boleh jaga saya macam ayah awak dan ayah saya yang jaga emak awak dan emak saya. Awak juga boleh bagi duit awak tu pada saya, jadi saya tak payah kerja,’ jawab Ucu selamba.
‘Okey,’ pantas Boy bersetuju. Dia mengangguk deras. Walaupun mereka masih budak-budak dan tidak wajar memikirkan tentang kahwin semasa usia mereka masih muda, tapi dia akui, sehingga kini, Uculah satu-satunya kawan perempuan yang dia ada. Tapi apalah yang dia tahu apakah maksud perkahwinan itu yang sebenarnya. Yang dia tahu, dia selesa bersama Ucu. Dan kalau boleh dia mahu Ucu menemaninya buat selama-lamanya. Dia bahagia bersama Ucu.

Tuesday, October 19, 2010

SSR5

Tepat pada masa yang dijanjikan, Ameera Syuhadah telah pun berada di hadapan deretan kedai seperti yang dikehendaki. Sambil menanti, sekali lagi dia mempertikaikan kewajarannya menerima ajakan Eddy Arif untuk berjumpa dengannya. Walaupun hatinya berat untuk bertemu dengan lelaki itu, namun dia tidak mahu berbuat yang sebaliknya. Dia telah berjanji dan dia tidak mahu memungkiri janji itu.
Sambil menanti, dia mundar mandir dan melihat-lihat barangan yang dijual di kedai-kedai yang terdapat di situ. Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Sekitar lima minit kemudiannya, kedengaran hon kereta dibunyikan berdekatan dengan tempatnya berdiri. Dia menoleh dan memandang ke arah kereta Nissan Sentra yang telah berhenti tidak jauh darinya. Di belakang stereng kereta pula, seorang lelaki sedang ralit memandangnya. Di tatap wajah pemandu dengan lebih teliti. Sah memang Eddy Arif sedang tersenyum memerhatinya.
Ameera Syuhadah membalas senyumannya sambil melangkah mendekati kereta itu. Pintu kereta telah pun siap dibuka oleh Eddy Arif dari dalam.
“Assalamualaikum,” sapanya sambil memboloskan dirinya ke dalam perut kereta.
“Waalaikumussalam. Dah lama tunggu?”
“Baru sekejap. Belum pun hangat menanti,” jawab Ameera Syuhadah selamba sambil merenung wajah Eddy Arif. Pertama kali bertemu dengannya di bawah sinaran mentari, jelas kelihatan di mata Ameera Syuhadah yang Eddy Arif mempunyai wajah yang begitu tampan. Ketampanan itu semakin terserlah dengan senyuman yang sedang meniti di bibir lelaki itu...
“Ameera, awak tunggu sebentar di sini. Saya nak jumpa pelanggan pertama saya di kedai tu,” kata Eddy Arif sambil mengunjuk ke salah sebuah kedai yang berada di hadapan mereka.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Matanya mengekori langkah Eddy Arif yang keluar dan menuju ke arah kedai yang dimaksudkannya. Dari situ, Ameera Syuhadah dapat melihat yang kedai tersebut menjual pelbagai jenis cenderahati untuk pelbagai keadaan.
Ameera Syuhadah tidak perlu menunggu lama. Seperti yang dijanjikannya, Eddy Arif hanya menghabiskan sekitar sepuluh minit di kedai itu. Kelibatnya muncul bersama seorang lagi lelaki lain di muka pintu kedai. Mungkin lelaki itu adalah tuan punya kedai tersebut. Dia sedang mengatakan sesuatu sambil memandang ke arah Ameera Syuhadah yang berada di dalam kereta. Sesaat kemudian, Eddy Arif tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya sebelum bibirnya bergerak menjawab sesuatu kepada lelaki itu.
‘Entah apalah agaknya yang sedang diperkatakan oleh mereka berdua. Mungkin sedang mengumpat aku kot,’ omel Ameera Syuhadah di dalam hatinya. Dilihatnya Eddy Arif melangkah laju menuju semula ke arahnya.
“Apa yang awak berdua bualkan semasa memandang saya tadi?” Pantas Ameera Syuhadah menghujani Eddy Arif dengan pertanyaan itu sebaik sahaja lelaki itu memboloskan dirinya ke dalam kereta.
“Tak ada apa-apa.”
“Jangan bohong.”
“Saya tak bohong.” Tukas Eddy Arif pula.
Ameera Syuhadah senyap, malas dia berbalah. Tapi entah kenapa perasaan tidak senang yang telah menyelinap ke dalam dirinya tadi tidak dapat ditolaknya ke tepi.
“Ameera, kawan saya tadi cuma bertanya sama ada yang menunggu kat dalam kereta ni kawan ke lawan.” Akhirnya Eddy Arif memberitahu bila dilihat gadis di sebelahnya diam membisu.
“Habis tu apa jawapan awak?” Tanya Ameera Syuhadah dengan muka berkerut.
“Mestilah saya katakan yang awak tu kawan saya. Takkan saya nak biarkan lawan yang berada di dalam kereta saya ni, mahu sahaja lawan tu sabotaj saya pulak nanti. Tak gitu?” Jawab Eddy Arif dengan nada selamba. Matanya dijeling ke arah Ameera Syuhadah beberapa kali sambil tangannya pula terus memandu ke destinasi yang seterusnya.
Ameera Syuhadah senyap. Firasatnya kuat mengatakan bahawa bukan itu yang diperkatakan oleh mereka berdua tadi. Tapi dia tidak punya bukti. Dia tidak berkemampuan seperti Superman ataupun Bionic Woman yang mempunyai kelebihan pendengaran Supersonik dan mendengar kata-kata lelaki berdua itu.
Akhirnya Ameera Syuhadah mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan perkara itu. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana yang baru sahaja hendak dibina. Lagipun untuk apa dia mempertikaikan semua itu. Lelaki di sebelahnya itu pun bukanlah dikenalinya. Baru dia tersedar. Entah kenapa dia begitu mudah untuk menyetujui ajakan lelaki itu beberapa hari yang lepas. Salahnya kerana terburu-buru.
Hatinya kembali berbolak balik. Dia tidak sepatutnya keluar dengan lelaki ini. Teringat pula dia kepada beberapa berita yang telah disiarkan di dada akhbar mutakhir ini. Banyak kes yang berlaku bermula dengan kesanggupan si gadis mengikut teman lelaki yang baru dikenalinya pergi ke mana sahaja yang difikirkan menarik pada awalnya. Tapi siapa sangka malang pula yang sedang menunggu mereka.
Ameera Syuhadah semakin gusar. ‘Ke manalah pulak agaknya destinasi mereka selepas ini?’ Hatinya mengomel sendiri. Sudah terlambat untuk dia melepaskan dirinya ketika ini.
‘Itulah kau Meera, terlalu ikutkan perasaan. Apa kau rasa lelaki ini boleh dipercayai ke?’ Dia mengomel lagi. Dia kemudiannya terus menyepikan diri. Terus diperhatikan sahaja pemanduan Eddy Arif dengan hati yang resah. Dilihat pula pada papan tanda yang terdapat di jalan raya. Mereka kini menuju ke arah Sungai Lembing.
“Kita nak ke mana ni?” Akhirnya Ameera Syuhadah membuka mulut bertanya.
“Hai, ingatkan dah tak ada suara tadi,” sindir Eddy Arif yang menyedari keresahan yang telah menyerang gadis di sebelahnya.
“Bukan tak ada suara, cuma suara tu bersembunyi sekejap. Sekarang ni dia dah keluar semula.” Tukas Ameera Syuhadah selamba. “Kita nak ke mana sebenarnya ni?” Sekali lagi dia mengulang pertanyaannya.
“Ke Institut Perindustrian Belia.” Jawab Eddy Arif ringkas.
“Nak jumpa pelanggan kat sana ke?”
Eddy Arif mengangguk. “Yup. Saya perlu berjumpa salah seorang pensyarah di situ. Mereka ada menempah cenderahati untuk majlis sukan yang akan diadakan di situ nanti.”
“Banyak ke tempahan yang awak terima dari mereka?”
“Nak kata banyak tu, taklah, tapi agak kerap juga kami menerima tempahan. Jadi saya selalu ke sana untuk bertemu mereka. Saya perlu menunjukkan prototaip yang dikehendaki sebelum cenderahati tersebut dibuat dengan jumlah yang dipesan.”
Suasana sunyi seketika. Eddy Arif mula senyap. Mungkin dia terpaksa menumpukan perhatiannya kepada pemanduannya. Jalan raya agak sibuk. Orang ramai sedang berpusu-pusu menuju ke Stadium Darul Makmur yang sedang menjadi tapak bagi Pesta Pertanian. Deretan kereta yang di parkir di tepi jalan menambahkan kesesakan.
“Awak nak singgah ke sini ke nanti?” Tanya Eddy Arif sambil membelok ke kiri.
“Tak mahulah. Terlalu sesak dengan orang.” Jawab Ameera Syuhadah. Dia sememangnya tidak gemarkan suasana sesak begitu. Lagipun tiada apa yang hendak dicarinya di situ. Dahlah malas bercucuk tanam, memasak pun dua kali lima sahaja. Dia lebih kerap membeli makanan untuk santapan tengah hari dan malamnya. Emaknya pun tahu betapa malasnya dia untuk melakukan kerja-kerja dapur. Ada sahaja alasan yang diberikan. Bukannya dia tidak tahu memasak, cuma itu bukan keutamaannya. Dia juga sedar, pasti kemahiran memasaknya akan dapat digilap satu hari nanti, apatah lagi dia juga punya impian untuk menyambung pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi. Kini dia sentiasa berdoa kepada Allah yang permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akan termakbul juga akhirnya.


Dari Institut Perindustrian Belia, mereka menuju ke beberapa lagi buah kedai yang terdapat di Kuantan. Akhirnya Eddy Arif membelok masuk ke jalan yang menuju ke Pantai Teluk Cempedak. Telah dua kali Ameera Syuhadah ke situ sebelum ini bersama Along Azmeer dan keluarganya. Pantai itu memang cantik. Di sebelah kanannya terletak Hotel Hyatt yang bertaraf 5 bintang dan di sebelah kirinya pula terletak deretan kedai-kedai makan dan cenderahati.
Ameera Syuhadah menanti di pantai sementara menunggu Eddy Arif masuk bertemu pelanggannya di salah sebuah kedai cenderahati yang terdapat di situ. Dibuang pandangannya ke tengah laut. Damai dan tenang. Angin laut yang bertiup lembut, membuai perasaannya. Teringat dia kepada kampung halamannya di Tanjung Bidara, Melaka. Apa khabar agaknya emak di sana?

“Meera, awak lapar ke?” Suara Eddy Arif mematikan lamunannya tiba-tiba.
‘Kenapa?”
“Jom kita makan.”
“Awak belanja?”
“Saya yang ajak, sudah pasti saya yang akan belanja,” jawab Eddy Arif sinis.
‘Ada juga kes di mana orang lain yang mengajak, orang lain yang kena belanja....” tukas Ameera Syuhadah selamba.
Eddy Arif tergelak kecil. “Tapi orang tu bukan saya,” jawabnya tegas. Dijeling ke arah gadis di sebelahnya.
Ameera Syuhadah tersengih. Dia tahu yang lelaki itu agak egois orangnya. “Kita nak makan di mana?”
“Di gerai tu, boleh?” Eddy Arif mengunjuk ke arah gerai yang dimaksudkannya.
“Saya tak kesah, asalkan sedap.”
Eddy Arif tersenyum sambil menganggukkan kepala. Dia sudah biasa makan di gerai itu. Masakannya sedap dan terdapat pelbagai pilihan yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Jom kita duduk di situ,” ajak Eddy Arif ke meja yang dimaksudkan. Ameera Syuhadah terus menurut kerana dia juga sukakan kedudukannya yang mengadap ke laut. Apatah lagi memandangkan hari itu masih belum ramai pengunjung yang datang, pemandangan yang terbentang luas di hadapannya lebih menarik dan selesa dengan angin pantai yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Ameera Syuhadah membiarkan sahaja Eddy Arif memesan makanan untuk mereka berdua. Pesanan juga amat cepat disiapkan. Ameera Syuhadah akui yang makanan yang telah disediakan di situ memang sedap dan kena dengan seleranya.
Sambil mengisi perut yang kosong, mereka berdua berbual santai. Hampir sejam mereka di situ sebelum Eddy Arif menghantarnya pulang semula ke Taman Guru.


Sejak hari itu, telah beberapa kali Ameera Syuhadah keluar bersama dengan Eddy Arif, sama ada untuk keluar makan ataupun sekadar berjalan-jalan. Bagaimanapun ia tidak sekerap yang lelaki itu diinginkan. Saban minggu Eddy Arif mengajaknya keluar tetapi Ameera Syuhadah yang lebih kerap mengelaknya. Dia tidak mahu pertemuan demi pertemuan itu akan di salah anggapkan oleh Eddy Arif. Dia hanya menganggap lelaki tidak lebih dari seorang kawan. Dia masih punya impian yang ingin digapai. Menambah ilmu di dada sudah menjadi cita-citanya yang utama.

SSR4

Ameera Syuhadah mengemaskan fail-fail yang berselerakan di atas meja. Dia perlu ke Bahagian Pentadbiran untuk membantu menyelesaikan masalah Sistem Gaji yang sedang dihadapi oleh Jennifer, seorang pegawai HR di syarikatnya. Baru dia hendak melangkah menuju ke sana, terdengar pula teriakan Kak Masyitah memanggilnya.
“Ameera, panggilan untuk kamu!” Teriaknya sambil mengunjukkan gagang telefon di tangannya.
“Siapa?” Dia menyebut walaupun tiada bunyi yang keluar dari bibirnya.
Kak Masyitah tidak menjawab, sebaliknya dia menjongketkan bahunya, raut wajahnya pula dicemikkan.
Memandangkan Kak Masyitah masih menanti dia datang untuk menjawab panggilan itu, terpaksa Ameera Syuhadah berpatah dan mengambil gagang telefon dari tangannya.
“Helo, Ameera Syuhadah bercakap.” sapanya dengan lembut.
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam kepadanya.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Soal Ameera Syuhadah setelah menjawab salam yang dihulurkan. Terasa seperti pernah didengarnya suara itu, tetapi suara yang kurang jelas itu menyukarkan dia untuk membuat kepastian.
“Memang pun saya memerlukan bantuan Cik Ameera,” balas lelaki itu kembali.
“Bantuan yang bagaimana tu?” Ameera Syuhadah terasa cuak. Ada sesuatu yang agak mencurigakannya, seakan-akan lelaki itu sedang cuba mempermainkannya.
“Bantu saya untuk melelapkan mata. Bantu saya untuk membasahkan mandi saya, dan bantu saya untuk mengenyangkan perut saya?” Selamba lelaki itu menjawab pertanyaan Ameera Syuhadah.
Berdegup jantung Ameera Syuhadah seketika. Kelu lidahnya untuk membalas kembali kata-kata lelaki itu. Nampaknya ada mamat gila yang menghubunginya.
‘Siapa pula gerangannya mamat ni?’ hati Ameera Syuhadah cuba meneka. Cuba dibayangkan beberapa wajah lelaki yang pernah dikenali, tapi tiada satu pun yang menyerupai suara lelaki ini.
“Ini siapa?” Akhirnya dia terpaksa bertanya apabila tiada nama yang timbul dalam kepalanya. “Apa kena mengena tidur, mandi dan makan awak tu dengan saya pulak?” Tempelaknya pula dengan nada yang sedikit tinggi. Kak Masyitah yang berada di meja sebelah pula mula memasang telinga, semakin tertarik kepada perbualan sebelah pihak yang didengarinya ketika itu.
Lelaki itu sudah terkekek-kekek ketawanya, mungkin seronok kerana dapat mempermainkan Ameera Syuhadah.
“Takkan awak tak tahu siapa saya? Awak yang menyebabkan tidur saya tak lena, mandi saya tak basah, dan tidur saya tak lena….”
Ameera Syuhadah semakin gelisah. Cuba diamati lagi suara itu. Ditumpukan pula pada gelaknya yang bersahaja. Teringat kembali kepada perjalanan malamnya. Dia yakin lelaki itu orangnya.
“Encik Eddy Arif Effendi. Dah tak ada kerja lain ke?” Dia menyindir pula.
“Hem, kenal juga akhirnya awak pada saya. Masih ingat lagi rupanya awak pada saya ni. I’m touched…” ujar Eddy Arif sambil tertawa kecil.
“Hem, hanya awak sahaja lelaki yang saya kenal yang loyar buruk orangnya.”
“Terima kasih,” balas Eddy Arif, masih dengan nada berseloroh.
“Ya, ada apa-apa yang boleh saya bantu selain daripada memenuhi permintaan awak yang awal tadi tu?”
“Tak ada apa-apa. Saya call ni sekadar untuk mendengar suara awak yang manja tu. Saya selalu terkenang-kenangkan awak….”
‘Hish, biar betul mamat ni,’ getus hati kecil Ameera Syuhadah. Walaupun dia juga mungkin sudah terpikat kepada lelaki itu, namun dia tidak akan berterus terang sebegitu sekali. Naik geli geleman juga dibuatkan bila mendengar seorang lelaki menyatakan perasaan sebegitu kepadanya.
“En. Eddy, awak baru sahaja mengenali saya dan saya pun baru aje mengenali awak. Rasanya tak sesuai awak buat perangai sebegini,” nasihat Ameera Syuhadah kepada Eddy Arif. Dijelingnya pula kepada Kak Masyitah yang masih memasang telinga, cuba mendengar perbualannya.
“Yelah, saya aje yang hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong,” balas Eddy Arif dengan nada pura-pura merajuk.
“En. Eddy, pipi dan hidung awak tu dah elok terletak di tempatnya. Tak payahlah nak merendahkan diri awak tu tidak pada tempatnya, nanti awak bongkok sebelum masanya pulak,” tukas Ameera Syuhadah selamba.
“Yelah…cik adik sayang…” jawab Eddy Arif masih dengan nada berguraunya.
Ameera Syuhadah menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Ingin dilepaskan keluhannya kepada Eddy Arif yang bagaikan hilang akal itu, namun ditahankan sahaja rasa hatinya.
“En. Eddy, saya agak sibuk sekarang ni. Awak nak apa sebenarnya?” Ameera Syuhadah cuba mengingatkan Eddy Arif tujuan dia menelefon di waktu begini. Dia agak sibuk, jadi dia malas hendak melayan kerenah lelaki itu. Lagipun sekarang adalah waktu pejabat, tidak elok dia melayan panggilan yang tidak berkaitan dengan kerjanya.
“Boleh kita jumpa?”
Tersentak Ameera Syuhadah dengan permintaan itu. Tidak disangkanya sebegitu sekali kehendak Eddy Arif. Dia jadi serba salah. Teringat kembali kata-kata Kak Hasnah kepadanya beberapa hari yang lalu.
Kerana nasihat Kak Hasnah jugalah dia kerap menepis ingatannya kepada Eddy Arif. Lagipun dia masih punya perjuangan yang belum selesai.
“Eddy Arif, bagaimana kalau awak telefon saya di waktu lain sahaja? Saya agak sibuk sekarang ni,” sekali lagi Ameera Syuhadah cuba menekankan kesibukannya kala itu sambil cuba untuk mengelak dari memberikan jawapan kepada pelawaan lelaki itu sebentar tadi.
“Boleh, tapi awak kenalah bagi jawapan kepada pelawaan saya terlebih dahulu.” Desak Eddy Arif pula.
Ameera Syuhadah cuba mencari alasan. “Macam nilah, biar saya fikirkan dahulu. Awak telefon saya esok petang, selepas waktu pejabat, boleh?”
“Baiklah. Saya akan telefon lagi esok,” pantas Eddy Arif bersetuju dengan saranan Ameera Syuhadah. Dia dapat merasakan yang dia punya peluang untuk bertemu dengan gadis itu lagi.
‘Hm, macam mana ni? Apa aku nak buat? Aku nak pergi ke tidak?’ Ameera Syuhadah terus bersoal jawab dengan dirinya sendiri. Dia tidak sangka perkenalannya malam itu akan berlanjutan sehingga ke saat itu.


Eddy Arif menelefon lagi keesokan petangnya seperti yang dijanjikan. Kali ini Ameera Syuhadah lebih bersedia.
“Bagaimana Ameera, boleh kita berjumpa?”
“Di mana?”
“Awak ikut saya menemui beberapa orang pelanggan saya terlebih dahulu dan lepas tu saya akan bawa awak keluar makan.”
“Bila?”
“Hari Sabtu ini.”
“Pelanggan awak tak kesah ke kalau saya ada bersama dengan awak pada masa tu?” Tanya Ameera Syuhadah dengan rasa kurang senang.
“Mereka tak kesah, tapi kalau awak rasa tak selesa, awak duduk aje dalam kereta dan tunggu saya di situ. Saya berjumpa mereka tak lama, dalam sepuluh hingga ke dua puluh minit sahaja. Bagaimana?” Tanya Eddy Arif kembali untuk mengetahui pendapat Ameera Syuhadah pula.
“Kalau macam tu, baiklah. Saya setuju. Tapi di mana awak nak ambil saya nanti?” Akhirnya Ameera Syuhadah bersetuju untuk keluar menemui Eddy Arif. Sebenarnya hatinya turut meronta-ronta ingin bertemu dengan lelaki itu sekali lagi. Lain benar perasaannya kali ini.
“Awak tahu di mana letaknya Balai Polis?” suara Eddy Arif mematikan lamunan Ameera Syuhadah seketika tadi.
“Di sebelah Kompleks Teruntum.”
“Awak perasan tak dengan deretan kedai yang terletak bersebelahan dengan Balai Polis tu?”
Ameera Syuhadah cuba untuk mengingatinya. Cuba dibayangkan tempat yang dimaksudkan oleh Eddy Arif.
“Saya tahu. Kenapa?” Tanya Ameera Syuhadah kembali.
“Saya jemput awak di situ.”
“Pukul berapa?”
“Awak kerja ke hari Sabtu ni?”
“Tidak.”
“Kalau begitu, saya jemput awak di depan deretan kedai-kedai tu sekitar pukul 11 pagi,” ujar Eddy Arif sambil menetapkan masa pertemuan mereka.“Baiklah.” Setuju Ameera Syuhadah dengan hati yang sedikit berat. Walaupun dia ingin menatap wajah lelaki itu sekali lagi, entah kenapa hatinya agak keberatan untuk berbuat demikian. Tapi memandangkan dia baru sahaja bersetuju, cuba ditetapkan hatinya untuk mengotakan janji yang telah dibuatnya baru sebentar tadi.

SSR3

Jam di dinding baru sahaja menunjuk ke angka 10. Namun begitu telah beberapa kali Ameera Syuhadah cuba menahan dirinya dari menguap.
‘Hai, inilah akibatnya kalau tak cukup tidur,’ omelnya sendirian.
“Hai, Meera, dah beberapa kali akak tengok Meera menguap. Tak cukup tidur ke malam tadi?” Tegur Kak Hasnah sambil menghulurkan semug air Nescafe susu yang menjadi kegemaran Ameera Syuhadah. Telah menjadi tugasnya untuk membuat dan mengedarkan air minuman kepada kakitangan di syarikat itu. Telah beberapa kali dia lalu lalang di hadapan meja Ameera Syuhadah dan setiap kali itu juga dilihatnya gadis yang selalunya ceria itu bagaikan tidak bermaya. Mungkin juga dia tidak cukup tidur. Pasti ada sesuatu yang telah terjadi kepada gadis itu.
“Bukannya tak cukup tidur, malah tak tidur pun,” jawab Ameera Syuhadah. Dia menepuk mukanya beberapa kali agar dapat menyegarkan mata dan dirinya yang keletihan itu.
“Hai, yang akak tahulah, kamu tu masih bujang, jadi takkanlah letih jaga anak ataupun bapak anak kot,” seloroh Kak Hasnah pula.
“Ala, letih melayan bakal bapak anak la kak,” seloroh Ameera Syuhadah kembali sambil tersengih. Dia sudah biasa bergurau dan bercerita dengan Kak Hasnah yang memang peramah dengan semua orang.
“Ha? Sejak bila tu?” Kak Hasnah terlongo. Dia kehairanan. Sebelum ini memang Ameera Syuhadah tidak pernah bercerita tentang sebarang lelaki dalam hidupnya kepadanya, tup-tup hari ni dia mengatakan begitu pula.
‘Biar betul…’ ucap Kak Hasnah di dalam hati.
“Sejak malam tadi.” Selamba Ameera Syuhadah menjawab. Sengaja mahu menimbulkan perasaan ingin tahu di dalam diri Kak Hasnah.
Dahi Kak Hasnah semakin berkerut. “Malam tadi? Kamu ke mana sebenarnya?” Tanya Kak Hasnah dengan perasaan semakin ingin tahu.
“Akak kan tahu hujung minggu lepas ni saya balik ke rumah Along saya di KL, kan?”
Kak Hasnah menganggukkan kepalanya. “Jadi, kamu sepatutnya balik dari KL malam tadi, kan?” Sekali lagi dahinya berkerut memikirkan sesuatu.
Ameera Syuhadah menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum. Pasti Kak Hasnah akan mengajukan soalan yang seterusnya.
“Habis tu bila masanya kamu berjumpa dengan bakal bapak anak kamu tu?” Kak Hasnah terus bertanya kerana dia tahu Ameera Syuhadah adalah gadis yang selalunya tidak menyimpang dari tujuannya bila melakukan sesuatu perkara.
“Malam tadi. Kat dalam bas.” Sekali lagi Ameera Syuhadah menjawab selamba.
“Dalam bas?” Tanya Kak Hasnah kembali bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.
Terkekek-kekek ketawa yang tercetus dari bibir Ameera Syuhadah. Terasa lucu dengan reaksi Kak Hasnah. “Yep.” Selamba dia menjawab dengan ketawa yang masih bersisa.
“Ameera Syuhadah, kalau nak mencari bakal bapak anak, bukannya kat dalam bas. Tu semua takkan kekal lama.” Kak Hasnah mula meluahkan nasihatnya kepada Ameera Syuhadah. Dia tidak senang dengan apa yang telah berlaku. Bagi Kak Hasnah, pertemuan di dalam bas ni tidak akan menjanjikan apa-apa kebahagiaan.
“Kenapa pulak kak?” Sengaja Ameera Syuhadah bertanyakan soalan itu untuk mengetahui alasan yang akan Kak Hasnah berikan. Kak Hasnah berumur lebih dari 50 tahun dan telah punya beberapa anak yang telah berkahwin. Pasti ada sebabnya dia berkata begitu.
“Meera, bercinta kat dalam bas tu, sebenarnya tak akan membuatkan kamu mengenali lelaki tu dengan baik. Kamu tidak akan mengenali siapa diri lelaki itu yang sebenarnya. Bila tiba di perhentian dan di hujung perjalanan, maka setakat itu sahajalah perkenalan kamu. Cinta kamu tu juga akan mati di situ juga. Cinta itu tidak akan ke mana. Cinta tu macam cinta Chipsmore, kejap ada, kejap lagi dah tak ada.” Nasihat Kak Hasnah kepada Ameera Syuhadah.
Ameera Syuhadah tertawa kecil. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Kak Hasnah. “Oi, cinta pun ada yang macam biskut, ye kak…” usiknya pula sambil terus tersenyum.
“Eiii, cinta ni macam-macam jenisnya, Meera. Ada yang macam biskut, ada yang macam monyet,” gurau Kak Hasnah kembali.
“Cinta yang macam monyet tu, cinta yang macam mana pulak, Kah Nah?”
“Cinta yang suka melompat-lompat dari seorang ke seorang yang lain, macam monyet tu…”
Ameera Syuhadah dan Kak Hasnah semakin galak ketawa. Lucu juga bila memikirkan yang manusia ni mempunyai bermacam-macam ragam dan perangai. Kerana kelainan yang ada pada diri setiap manusia ini jugalah yang menjadikan asam garam dan rempah ratus hidup di dunia ini.


Petang itu Zen menelefonnya di pejabat. Hampir sebulan lamanya sejak mereka menghubungi di antara satu sama lain. Zamzalina atau lebih dikenali hanya sebagai Zen di kalangan rakan-rakannya kini telah pun bekerja sementara di pejabat FAMA di Tangkak.
Ameera Syuhadah dan Zen telah lama berkawan. Mereka mula saling mengenali pada hari pertama persekolahan dan pendaftaran Tingkatan Satu di Sekolah Muzaffar Shah, Melaka. Hanya mereka berdua sahaja yang datang mendaftar di sekolah itu dengan memakai pakaian seragam untuk Keluar Bandar, iaitu sepasang baju kurung kuning air dan berkain biru tua bersama dengan kasut hitam. Pelajar-pelajar yang lain semuanya berpakaian rasmi sekolah iaitu baju putih dan berseluar biru tua atau berkain biru muda. Kerana kelainan itu, mereka telah menjadi begitu akrab. Mereka juga pernah beberapa kali bertandang ke rumah teman masing-masing. Hubungan mereka tidak pernah putus. Surat dan panggilan telefon mendekatkan lagi jarak waktu dan lokasi. Mereka tidak pernah berahsia. Setiap rasa hati selalu dibincangkan bersama.
“Kenapa dengan kau hari ni, Meera. Aku dengar macam tak bermaya aje?” Ngomel Zen pada temannya itu.
“Ala, aku ngantuklah. Malam tadi aku tak cukup tidur.” Jawab Ameera Syuhadah sambil cuba mengawal keletihannya. Dikalihkan pandangan matanya kepada jam di dinding. Nasib baik setengah jam lagi waktu pejabat akan berakhir. Bolehlah digantikan tidurnya bila balik ke rumah nanti.
“Kau balik dari rumah Along kau ke malam tadi?” Zen meneka. Dia sudah mahir dengan keadaan Ameera Syuhadah yang selalunya akan keletihan setiap kali balik dari rumah abang sulungnya itu. Dahlah dia letih melayan anak-anak buahnya, baliknya pula pasti dengan bas tengah malam.
“Haah.” Ameera Syuhadah menjawab sepatah.
“Kenapa kau tak tidur dalam bas?”
“Ala. Macam mana aku nak tidur, mamat yang duduk di sebelah aku tu ajak berborak.”
“Hensem ke mamat tu?”
“Bolehlah tahan.”
“Kau mengurat dia eh...” Zen mengusik.
“Mana ada. Dia yang ajak aku berborak.” Ameera Syuhadah menafikan sangkaan temannya itu.
“Kau berborak pasal apa sampai empat jam?”
“Zen, mamat tu kata dia adalah ahli perniagaan. Dia juga kelakar orangnya. Pada masa yang sama, dia tu agak loyar buruk. Mulanya memanglah aku ada beritahu yang aku ni nak tidur, tapi dia buat endah tak endah. Jadinya aku kena layan dia bercakap.”
“Ha, tulah kau. Siapa suruh layan. Sekarang ni kau juga yang terpaksa tanggung akibatnya…” bebel Zen kepada temannya itu.
“Yelah, yelah. Tak usahlah kau nak membebel pada aku pulak. Ha, kau ada hal ke telefon aku petang-petang macam ni?”
“Tak ada apa. Cuma aku dah rindu sangat pada kau yang comel tu. Bila kita nak jumpa, Meera?”
“Kau tak ada seru ke nak datang ke Kuantan ni?” Tanya Ameera Syuhadah kembali.
“Hei, kau pun tahu kan yang aku ni mana pernah menjejakkan kaki aku ke Kuantan tu. Takut aku nak ke sana sorang-sorang. Aku ni bukannya jenis kaki merayau macam kau, sampai rumah aku di Felda Air Kangkung pun kau boleh datang terjah sorang-sorang. Aku ni kena orang bawa dulu, barulah aku berani nak ke tempat tu kemudiannya….” Ngomel Zen selamba sambil memberikan alasan untuk tidak ke sana dalam waktu yang terdekat.
“Yelah, Zen, aku tahulah tu,” cepat-cepat Ameera Syuhadah memotong cakap Zen. Kalau dia tidak berbuat demikian, pasti Zen akan berterusan bersyarah dengannya. Memang patut pun dia begitu. Dia bercita-cita hendak menjadi seorang pendidik suatu hari nanti. Kerjanya di FAMA hanya sekadar untuk memenuhi masa sebelum dia dapat mengisi kekosongan yang diimpikannya itu.
“Macam nilah Zen, dua minggu lagi aku nak balik kampung, nak jumpa emak. Apa kata kita jumpa di Melaka aje pada masa tu?” Ameera Syuhadah akhirnya mengusulkan.
“Okey juga cadangan kau tu. Kita jumpa dua minggu lagi.”
“Nanti kau belanja, okey?” Sempat Ameera Syuhadah memberikan cadangannya.
““Yelah. Nanti aku belanjalah. Lagipun minggu depan aku dapat gaji. Kaulah orang pertama yang aku belanja selepas emak dan bapak aku, amacam?”
“Itu sudah kira sangat bagus. Dua minggu lagi…”
Setelah mencapai kata sepakat, akhirnya Ameera Syuhadah bersetuju untuk pergi menemui Zen di Perhentian Bas Melaka, di tempat biasa mereka bertemu beberapa kali sebelum ini.