Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Wednesday, July 3, 2013

SJM7

Suasana hening. Raut wajah Naim tegang dalam sekelip mata. “Untuk apa?” tanya Naim dengan suara yang agak dingin.


“Naim, awak jangan salah sangka. Saya hanya nak membantu. Saya perlu tengok sendiri keadaan di rumah awak sebelum saya boleh beritahu awak apa lagi persediaan yang awak perlukan.” Nadia melontarkan jawapannya dengan nada teragak-agak. Sangkanya pasti kali ini Naim akan menolak pertolongan yang ingin dihulurkannya.

Mai, tak patut kau beri cadangan tadi. Memang patut Naim menolaknya. Dan itu lebih baik buat kau dan dia. Takkanlah kau nak pergi ke rumah Naim? Kau kan seorang gadis, tak baik kau bertandang ke rumah seorang lelaki bujang, Nadia menasihati dirinya. Dia tahu pemergiannya ke rumah Naim nanti juga bukan satu idea yang baik. Naim amat dicintainya, dan sudah pasti kehadirannya ke rumah yang pernah dikunjungi itu akan kenangan demi kenangan akan membuka tirainya.

Mai, betul ke kau sanggup nak menolong mamat ni? Kau tak takut terluka lagi? Dulu, puas kau pujuk hati kau tu, baru sekarang lukanya nak sembuh, dan kau tawarkan lagi pertolongan kau pulak? Apa nak jadi dengan kau ni?” tukas hatinya lagi.

Nadia menggelengkan kepalanya. Bayangan dua wajah comel yang belum pernah dilihatnya itu, bagaikan melambai-lambai di pintu hatinya. Simpati kepada kedua anak yatim itu datang mencurah-curah.

Mai, kau bukan lagi gadis 5 tahun yang lalu. Kau semakin dewasa. Kau semakin matang. Kau juga dah berubah. Pasti Naim juga dah berubah. Apa yang mungkin dirasainya kini hanyalah sisa dan saki baki dari sekam cintanya bertahun yang lalu. Dan kau pulak, walaupun kau mungkin akan tertarik atau jatuh cinta padanya sekali lagi, pasti kau akan dapat mengatasinya, macam dulu jugak. Kau pasti boleh mengharungi kepedihan luka itu sekali lagi, demi kembar itu untuk memulakan kehidupan baru mereka. Buktikan kepada diri kau dan Naim yang tindakan kau 5 tahun yang lalu adalah wajar.

Memandangkan Naim masih lagi senyap, Nadia semakin serba salah jadinya. Mungkin juga dia boleh memujuk lelaki itu. “Naim, tadi awak kata awak hanya ada beberapa jam sahaja sebelum awak kena ke LCC untuk mengambil mereka di Sarawak. Kalau awak sudi terima pertolongan saya, bukankah lebih cepat untuk awak buat persiapan. Awak boleh ambil mereka dengan hati yang lebih tenang.” Nadia memujuk dengan tenang.

Naim terus berfikir. Dia memang terkejut dengan pelawaan Nadia tadi. Tidak disangka sama sekali yang Nadia akan sanggup menawarkan diri untuk datang ke rumahnya. Hatinya merasa sangsi dengan pelawaan itu. namun, sebaik sahaja Nadia memberikan alasannya, dia mula merasakan kebenaran kata-kata Nadia. Dia tidak patut meragui pelawaan itu. dia kenal siapa gadis itu. walaupun telah 5 tahun mereka berpisah, tapi Nadia sentiasa ikhlas di dalam perbuatannya. Sentiasa tidak mengharapkan balasan. Gadis itu hanya ingin membantunya. Tidak lebih dari itu. dan dia pula harus memikirkan tentang kebajikan kedua kembar itu.

Akhirnya Naim menganggukkan kepala. “Baiklah, saya amat menghargai pertolongan yang awak hulurkan ni.” Ucapnya sambil tersenyum.

Nadia membalas senyuman itu. “Itulah gunanya kawan,” katanya sambil tersengih.

“Betul ke kita ni kawan?” omel Naim sedikit kuat. Meragui status hubungan mereka selama ini.

“Kita boleh menjadi kawan,” balas Nadia lembut. “Dan berkawan adalah lebih baik daripada bermusuhan, betul kan?”

“Nadia, saya tak pernah menjadi musuh awak,” dengan lembut juga Naim cuba mengingatkan gadis itu.

Nadia tertunduk seketika. Kemudian diangkat kepalanya perlahan dan dipandangnya tepat ke anak mata Naim. Redup dan hangat, sehangat kenangan dan perasaannya ketika itu. “Saya tahu tu, tapi saya....”

“Sudahlah tu, Nadia,” Naim memintas kata-kata gadis itu. “rasanya lebih selesa kalau kita jangan bangkitkan lagi kisah lama kita. Yang dah lepas tu, biarlah menjadi sejarah yang tidak perlu kita ingatkan lagi. Kenapa tidak kita start semula. Fresh. Bermula di sini.” Akhirnya Naim memberikan cadangannya.

Bersama sebutir senyuman yang dilemparkan ke arah Naim, Nadia menganggukkan kepalanya. Amat bersetuju dengan cadangan itu. “Baiklah,” ucapnya. Dia kemudiannya menapak ke tepi, memberikan laluan untuk Naim menolak troli dan berjalan mendahuluinya. Sambil mengekori Naim, perasaan Nadia berbolak balik. Dia sedar, walaupun pada dasarnya mereka telah bersetuju untuk tidak memperkatakan tentang kisah silam mereka, namun dia juga tahu, jauh di sudut hati masing-masing, pasti mereka berdua tetap akan terkenangkan tentang sejarah cinta mereka!

Sunday, June 9, 2013

SJM6

Suasana hening seketika. Nadia cuba untuk menyerap maklumat yang baru disampaikan oleh Naim kepadanya. Terbit rasa sedih kepada kedua pasangan suami isteri yang kini tidak dapat melihat anak-anak mereka membesar. Melimpah rasa simpati kepada kedua bayi yang baru sahaja kehilangan kedua ibu bapa mereka.
Tiba-tiba dia tersedarkan sesuatu. Sekarang bukan masanya untuk bersimpati kepada lelaki itu. sebaliknya ini masa untuk bertindak. Naim perlu ke LCC KLIA dalam beberapa jam sahaja lagi, dan pasti banyak yang perlu disediakan oleh Naim untuk menyambut kembar tersebut. Sekurang-kurangnya dia ada di sini untuk membantu lelaki itu. tapi sudikah dia menerima pertolongan yang ingin dihulurkan?
“Awak perlukan bantuan?” Nadia cuba menawarkan bantuannya.
Naim tersenyum lebar sehingga menampakkan kedua-dua lesung pipitnya. Kepalanya juga sudah terangguk-angguk bagaikan burung belatuk. Jelas dia gembira dengan pelawaan Nadia.
Terhenti seketika degupan jantung Nadia. Pandangannya terpaku kepada senyuman yang terukir di bibir Naim. Betapa dia rindukan lesung pipitnya itu.
“Okey, kita nak mulakan di mana?”
pertanyaan Naim mematikan lamunan Nadia. Dia kaget seketika. Cuba ditutupi rasa kaget itu dengan memandang ke arah rak makanan bayi di hadapan mereka dan juga susunan lampin pakai buang di hujung laluan itu.
“Saya akan pilihkan makanan bayi ini,” Nadia mula memberi arahan. “Awak pula pergi dapatkan diapers di situ.” Arahnya lagi sambil mengunjuk ke arah susunan lampin pakai buang tersebut.
Naim segera menarik nafas sedalam yang mungkin, kemudian dihembusnya dengan perlahan. Cuba ditenangkan perasaannya yang kembali kaget.
“Er, Nadia, awak pun tahu kan yang saya ni bukannya pakar dalam hal-hal macam ni, jadi diapers yang macam mana yang perlu saya dapatkan? Apa saiznya?”
Nadia termangu seketika. Pertama, kerana Naim kembali memanggilnya Nadia. Kedua, kerana dia sendiri tidak pasti saiz apa yang bersesuaian dengan kembar berusia 10 bulan itu. seperti Naim, dia juga tidak pernah berkesempatan untuk menjaga bayi sebelum ini. Walaupun sepupu-sepupunya mempunyai anak-anak kecil, tidak pernah pula dia bertanya kepada mereka saiz apa yang dipakai oleh anak-anak mereka. Yang dia tahu, mereka sudah siap apabila dia bermain dengan anak-anak mereka.
“Naim, saya sendiri pun tak pasti. Kenapa tidak awak ambil saiz yang paling besar? Kalau longgar nanti, awak boleh lipat atau ubahsuai semasa dipakaikan kepada mereka. Kalau awak ambil yang kecil, susah pulak nanti. Mana boleh nak regang  atau besarkan diapers tu untuk dipakaikan kepada mereka, betul tak?” akhirnya Nadia mencadangkan.
“Hem, betul jugak kata awak tu.” Jawab Naim sambil mula melangkah menuju ke arah susunan lampin pakai buang itu. langkahnya kini lebih yakin, bagaikan seorang tentera yang sedang menjalankan misinya.
Nadia memerhatikan sahaja gerakgeri Naim. “Memangpun dia sedang menjalankan misinya,” omel Nadia sambil tersenyum sendirian. Dikalihkan pula pandangannya  kepada rak makanan bayi di hadapannya. Dia juga punya misi, dia perlu memilih makanan bayi yang bersesuaian. Diteliti satu persatu apa yang ada di situ. Mujur juga pembuat makanan tersebut ada melabelkan umur yang bersesuaian dengan makanan yang patut diberikan kepada bayi tersebut.
Dipilihnya pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan juga bijirin. Dipastikan semuanya bertanda halal kerana dia sedar apa yang dimakan oleh seseorang manusia itu akan mempengaruhi pembesarannya dan juga akhlaknya. Sebaik sahaja dia selesai, Naim juga telah kembali dan meletakkan 2 bungkusan lampin pakai buang itu ke dalam trolinya.
“Apa lagi?” tanya Nadia.
“Susu.”
“Bayi berusia 10 bulan pasti masih minum susu formula. Jom kita cari di rak susu.” Nadia memberikan arahan seterusnya.
Tanpa banyak bicara, Naim menolak troli ke arah bahagian ‘Diary’ pula. Sekali lagi Naim dan Nadia pening kepala. Bermacam-macam jenama yang ada di situ. Tidak tahu susu yang mana satu perlu dipilih oleh mereka.
“Yang mana satu?” Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Saya pun tak tahu, tapi jangan risau. Biar saya tanya daripada Kak Long Hamisah. Pasti dia boleh cadangkan sesuatu.” Tanpa berlengah, Nadia menelefon kakak sepupunya yang telah punya 3 orang anak.
“Kak Long, Mai ni. Mai nak belikan susu formula untuk anak kawan Mai, tapi Mai tak pasti susu yang macam mana yang sesuai dengan anaknya tu. Boleh Kak Long cadangkan sesuatu?” tanya Nadia sebaik Hamisah menjawab panggilannya.
“Berapa umur anak kawan Mai tu?”
“10 bulan.”
“Baby tu alergi dengan susu formula tak?”
“Alergi? Ada baby yang alah dengan susu ke?” tanya Nadia kembali. Tidak pernah didengarnya yang ada bayi alah kepada susu. Kalau dah begitu, apa yang boleh diberikan kepada bayi itu, fikirnya pula.
“Mai, ada baby yang tak boleh minum susu formula, jadi dia kena minum susu yang berasaskan soya.”
“O, macam tu. Tapi Mai tak tahulah pulak, Kak Long. Bagaimanapun, kalau setakat susu formula tu, susu mana yang Kak Long boleh rekomen?”
“Kak Long rasa baik Mai belikan aje susu Dutch Lady 456. Susu tu sesuai untuk kanak-kanak. Anak-anak Kak Long pun Kak Long berikan susu tu. Setakat ni, alhamdulillah, tak ada masalah.” Nadia mendengar nasihat kakak sepupunya dengan teliti. Sesekali dijelingnya ke arah Naim yang sedang asyik mengetuk-ngetuk jejarinya ke pemegang troli. Itu tandanya yang dia sedang resah menanti. 5 tahun tidak melupakan Nadia kepada fakta yang satu ini.
“Okey Kak Long. Terimakasih banyak-banyak. Love you...” ucap Nadia sambil menamatkan perbualan dengan Hamisah. Dikalihkan pula pandangan matanya ke wajah Naim. Dia termangu seketika kerana lelaki itu sedang asyik merenungnya. Dia jadi serba salah.
“Ehem,” deham Nadia untuk menegur Naim dan sekali gus meredakan perasaannya sendiri.
Naim sedikit tersentak dengan deheman Nadia. Baru dia tersedar yang dia sedang merenung gadis itu.
“Macam mana?” pantas Naim bertanya, cuba menyembunyikan perasaannya yang berbolak balik seketika tadi.
“Kak Long cadangkan supaya kita belikan susu Dutch Lady 456.” Nadia membiarkan Naim memilih susu yang dimaksudkannya itu sementara dia bergerak jauh sedikit untuk membeli beberapa kotak minuman untuk anak-anak saudaranya itu.
“Yang mana satu?”
“Ducth Lady 456.” Ujar Nadia sekali lagi.
“Yalah, tapi yang mana satu?”
Berkerut dahi Nadia mendengar kata-kata Naim. Tidak faham kenapa dia masih tidak mengambil susu yang dimaksudkannya itu. Didekatinya Naim untuk melihat sendiri apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
Patutlah, getus Nadia di dalam hati. Dipandang satu persatu tin-tin susu Dutch Lady 456 yang berada di situ. Ada perisa vanila, perisa coklat, perisa biasa dan perisa madu.
“Naim, awak ambil aje perisa madu. Kan elok untuk ketahanan badan dan boleh juga mengikut sunah Rasulullah.”
Naim tidak menjawab. Dia hanya mampu tersengih mendengar kata-kata Nadia. Dicapainya dua tin besar susu Dutch Lady 456 berperisa madu. Baru hendak memasukkan tin-tin itu ke dalam troli, Nadia menegurnya.
“Naim, awak ambil satu tin yang sederhana besar tu dulu.”
“Kenapa?” tanya Naim keliru. Bagi Naim, kalau diambil dua tin yang lebih besar, maka tidak perlu dia selalu berulangalik untuk membeli susu tersebut.
“Awak tak pasti lagi sama ada susu ni sesuai ataupun tidak dengan kembar tu. Masa permulaan awak berikan kembar tu susu ni, awak kena pastikan sama ada mereka serasi atau tidak dengan susu ni.” Nadia menghamburkan nasihatnya. Dia pernah diberitahu oleh teman sepejabatnya, Kak Normala, satu ketika dulu yang bayinya mengalami muntah-muntah kerana tidak sesuai dengan susu yang diberikannya ketika itu.
“Serasi?” tanya Naim bagaikan orang bodoh. Memang pun ketika itu dia terasa begitu bodoh sekali. Banyak benda yang tidak diketahuinya. Hari ini baru terasa celik matanya dengan segala maklumat yang perlu dicerna dalam sekelip mata.
Nadia menganggukkan kepalanya. “Kalau bayi-bayi kembar tu tak serasi dengan susu ni, mulalah mereka muntah-muntah dan cirit birit. Terpaksa tukar dengan jenama lain ataupun seperti kata Kak Long, tukar kepada susu soya. Kalau awak beli tin yang besar, 2 tin pulak tu, takkan ke membazir aje nanti,” terang Nadia bagaikan seorang ibu yang berpengalaman.
“Mana awak tahu semua ni, Nadia?” tanya Naim sambil mengambil tin susu yang sederhana besarnya. Terbit rasa ingin tahu dihatinya kerana seingatnya, Nadia kini tinggal sebatang kara. Adik beradiknya dan juga kedua ibu bapanya telah meninggal di dalam kemalangan jalanraya 6 tahun yang lepas. Ketika itu mereka masih bersama dan Nadia pula tinggal dengan keluarganya.
“Ala, Kak Mala, rakan sepejabat yang pernah memberitahu. Dia dah besarkan dua orang anaknya. Dia rajin bercerita apabila dia menghadapi masalah dengan anak-anaknya itu.” terang Nadia sambil mengambil beberapa bungkus Nescafe 3+1 dari rak berdekatan dan dimasukkannya ke dalam troli.
Naim yang sedari tadi asyik memerhati gerakgeri Nadia mula rasa keliru. Ringan sahaja mulutnya bertanya. “Baby boleh minum nescafe ke?”
Nadia terkedu. Lidahnya kelu untuk menjawab. Diperhatikan kepada bungkusan nescafe yang telah diletakkannya ke dalam troli sebentar tadi. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Sejak bila pula awak minum nescafe? Awak kan alah dengan nescafe?” tanya Naim lagi dengan dahi yang berkerut. Dia teringat kembali bagaimana Nadia akan mula muntah-muntah setiap kali dia minum minuman itu. memang gadis itu alah dengan nescafe, tapi dia minum juga apabila Naim membelikan untuknya. Pada masa itu Naim tidak menyedari akan alahan Nadia kerana gadis itu tidak pernah menolak pemberiannya.
“Err...” Nadia teragak-agak untuk menjawab. Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. akhirnya dia mengambil keputusan untuk berterus terang sahaja kepada Naim. “Sebenarnya Nescafe ni untuk awak.” Jawabnya perlahan. Kepalanya tertunduk malu. Nampak sangat yang dia masih ingat lagi kepada minuman kegemaran Naim walaupun mereka telah berpisah sejak 5 tahun yang lalu.
Naim tersenyum sinis. Gembira kerana Nadia masih mengingati kegemarannya. Kegemaran yang telah lama ditinggalkannya kerana pasti dia akan teringatkan gadis itu setiap kali mahu meminumnya.
“Kenapa 3 dalam 1?”
“Setiap kali lalu di sini,saya pasti akan teringat betapa awak amat gemarkan minuman nescafe ini. Dengan pek 3 dalam 1 ni, pasti mudah awak nak bawa ke mana-mana. Tak perlu lagi nak fikirkan tentang bekas gula dan susu, tentang fobia awak tu yang selalu takutkan botol nescafe ni pecah, dan macam-macam lagi. Awak ni kan banyak sangat kerenahnya tentang soal makan minum ni. Dan setiap kali lalu di sini, pasti tangan saya ringan nak mengambilnya. Reaksi spontan setiap kali lalu di rak begini. Lepas tu cepat-cepat kena letakkan balik bila teringat yang kita dah pun berpisah.” Terselit nada lucu pada hujung kata-kata Nadia. Dia tertawa kecil, menggelakkan dirinya yang masih tetap mengingati Naim walaupun mereka telah pun berpisah.
“Nadia, kita bukannya berpisah. Awak yang tinggalkan saya.” Selamba Naim menempelak Nadia.
Nadia mengetapkan bibir bawahnya. Cuba ditahan perasaan sebak yang ingin melanda. Dia tahu memang itu silapnya. Dia sedar dia yang bersalah, namun dia tidak mahu memohon maaf. Apa yang dilakukannya pada ketika itu adalah untuk kebaikan Naim.dia yang terpaksa berkorban rasa dan perasaan. Nadia menarik nafas sedalam yang boleh. Dihembusnya perlahan. Cuba dibina kembali keyakinan dirinya. Ditolak perasaan bersalahnya ke tepi. Dia berdeham untuk melegakan kerongkongnya yang semakin terasa sempit.
“Awak rasa dah cukup ke keperluan awak untuk si kembar tu setakat ini?” tanya Nadia, membawa mereka kembali kepada masalah yang perlu ditangani oleh Naim pada masa itu.
“Entahlah, saya pun tak tahu...” gumam Naim. Dia juga tidak mahu membangkitkan kisah lama mereka.
“Awak dah siapkan rumah awak untuk menerima kedatangan mereka?”
Naim mencemikkan mukanya. “Nadia, kalau awak maksudkan sama ada saya dah belikan katil atau tilam untuk mereka, memang saya belum belikan. Saya rasa, untuk sementara waktu ni, biarlah mereka tidur sekali dengan saya di atas katil saya tu.”
Nadia menggelengkan kepalanya, tidak setuju dengan cadangan Naim. “Naim, kembar tu bukannya budak kecil. Mereka masih bayi lagi. Kembar pulak tu. Untuk keselamatan mereka, sepatutnya mereka ada tempat tidur mereka sendiri. Mereka perlukan sebuah baby cot, jadi awak akan dapat tidur dengan lena dan tak perlu risau mereka terjatuh semasa mereka sedang tidur ataupun sedang bermain.” Nadia menghamburkan nasihatnya. Naim pula mengangguk-angguk, tanda faham dengan apa yang dimaksudkan oleh gadis itu.
“Hem, makanan dan susu mereka, saya dah belikan. Baby cot tu pulak, nanti saya belikan juga bila balik nanti. Lampin juga dah belikan. Apa lagi yang perlu saya sediakan?” tanya Naim teragak-agak. Dia agak takut untuk mendengar jawapan yang akan diberikan oleh Nadia kepadanya.
Nadia senyap seketika. Cuba memikirkan apa lagi yang diperlukan oleh Naim sebagai persediaannya. Dia cuba membayangkan persediaan Kak Long Hamisah tatkala hendak menyambut kelahiran bayinya yang pertama dahulu. “Banyak lagi,” jawabnya ringkas.
“Apa dia?”

Baru hendak menyatakan senarai yang ada di dalam kepalanya, terlintas pula perkara lain dibenaknya. Tidak tahu bagaimana hendak menyatakan buah fikirannya itu, akhirnya Nadia membuat cadangan di luar jangkaan, pada dirinya sendiri, apatah lagi kepada Naim. “Naim, bagaimana kalau saya ikut awak balik ke rumah?”

Tuesday, June 4, 2013

SAS9

Dua minggu sudah berlalu. Hujung minggu itu Haji Mukhsin telah meminta agar anak-anaknya dapat berkumpul bersama untuk membincangkan perihal Wirdah. Riuh rendah rumahnya yang selalunya hanya tinggal dia, Hajah Wahidah dan juga Fauzan yang masih di Tingkatan Lima.


Lima anaknya yang lain masing-masing berada jauh dari mereka kerana tugas dan kerjaya. Hanya Firdaus sahaja yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata, manakala Wirdah pula adalah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Firdaus, Fauzi dan Fadzil menguruskan perniagaannya di Kuala Lumpur manakala Fadzli pula lebih berminat bekerja sebagai pegawai penyiasat dengan PDRM. Wirdah pula telah membuka syarikat konsultannya sendiri bersama beberapa orang kawannya dan sentiasa sibuk dan selalu sahaja outstation. Kerana perjalanan syarikat tidak bermasalah, maka Haji Mukhsin jarang sekali mencampuri urusan anak-anaknya di pejabat itu.

Haji Mukhsin lebih selesa menjalani kehidupan seharian dan menghabiskan usia tuanya di kampong itu. Sekiranya perlu, segala urusan syarikat dilakukan dari rumah sahaja. Dunia telekomunikasi terkini juga memudahkan segala urusannya itu. Lagipun, jarak perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur bukannya jauh. Sekali sekala dia akan turun juga ke Kuala Lumpur bila kehadirannya diperlukan, terutamanya bila ada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Bila ke Kuala Lumpur, Haji Mukhsin lebih suka tinggal di rumah anak-anaknya. Walaupun lima anaknya berada di Kuala Lumpur, tapi masing-masing tinggal di rumah berlainan. Bosan kata mereka sebab dahlah di berada di tempat kerja yang sama, tak mahu mengadap muka yang sama apabila balik ke rumah pula. Fadzli pula tidak berumah. Kerjanya yang sering berada di luar menyebabkan dia akan ke rumah Fauzi atau Fadzil apabila dia terpaksa melakukan kerja-kerja pejabat. Wirdah pula lebih selesa tinggal bersama sahabat baiknya. Walaupun Haji Mukhsin dan Hajah Wahidah risaukan anak gadis mereka yang terlalu sibuk dengan kerja sehinggakan kadang-kadang tidur di pejabat, tapi mereka tahu yang Wirdah pandai menjaga diri. Dengan tali pinggang hitam judo dan juga silat yang telah diperolehi Wirdah, sedikit sebanyak mengurangkan resah yang sering bertandang. Adik beradik lelakinya juga sering dipesan untuk sentiasa mengawasi Wirdah di tengah-tengah kota metropolitan yang punya seribu satu macam kes yang menakutkan hati tua mereka.

“Hemm, memandang semua orang dah ada ni, perut masing-masing pun dah kenyang, Ayah rasa dah tiba masa untuk kita berbincang.” Haji Mukhriz memulakan bicara. Dia memandangkan satu persatu anak-anak lelaki dan perempuannya yang sedang duduk tenang di hadapannya. Cuma Fauzan, Fadzli dan Wirdah yang tahu tujuan dia memanggil mereka semua balik.

“Perkara apa yang Ayah nak bincangkan malam ni?” tanya Firdaus agak kehairanan. Selalunya dia yang akan lebih dahulu mengetahui tajuk perbincangan, tetapi malam ini dia pula yang ketinggalan keretapi.

“Tentang Wirdah.”

“Ha?! Ada orang dah pinang Wirdah ke? Siapa lelaki yang malang tu?” selamba Fauzi pula mengenakan adiknya yang memang liat bila diajukan soal kahwin ni.

“Woi, apa pulak lelaki malang… Lelaki yang bertuah sahaja yang akan dapat Wir ni, tau….” Cebik Wirdah pula kepada abangnya.

“Betul ke bertuah? Semuanya kantoi kecuali kalau bab kerja pejabat….” Usik Firdaus pula. Semua sudah melambakkan tawa kerana mereka tahu betapa liatnya Wirdah untuk melakukan sesuatu yang berkaitan dengan kerja rumah. Walaupun Wirdah boleh memasak, tapi dia lebih rela berjalan kaki ke kedai makan yang jauhnya setengah jam dari rumah daripada dia yang memasak. Dapur rumahnya pula jarang berasap. Beras sekilo yang dibeli, mungkin telah berulat apabila dibuka tutup bekasnya. Fuh, memang career woman betul... Nasib baik dia serumah dengan Anis yang rajin jugalah kalau bab ke dapur ni walaupun dia lebih suka masak makanan barat. Kalau mereka nak ke rumah Wirdah, awal-awal lagi bekal makanan nak kena dibawa, kalau tak, ke kedai makan ajelah jawabnya.

“Woi, abang-abang tersayang semua jangan nak kutuk, ey, mana tahu, satu hari nanti, Wir yang akan dapat title isteri mithali, mengalahkan isteri dan bakal-bakal isteri abang-abang dan adik tersayang yek…” Selamba Wirdah membalas kutukan abang-abangnya.

Haji Mukhriz hanya mampu menggelengkan kepala. Dia tahu memang berita ini agak mengejutkan anak-anaknya yang lain kerana mereka kenal siapa Wirdah.

“Isteri mithali konon. We’ll see.” Perli Firdaus menjeling adiknya. “Siapa orangnya, Yah?” Dia bertanya ayahnya pula. Ingin tahu lelaki mana yang telah datang merisik adiknya yang seorang ini. Adik yang selalunya memberikan keutamaan kepada kerja. Adik yang tidak pernah ada masa untuk mempunyai hubungan cinta dengan makhluk yang dinamakan lelaki.

“Fadzli?”

Apabila Haji Mukhriz menyebut nama Fadzli yang duduk bersebelahan Wirdah, semua yang hadir terus senyap. Mata pula memandang ke arah Fadzli dengan tenang. Mereka sedar, sekiranya Fadzli telah terlibat, pasti lelaki yang tidak mereka kenali itu telah berada di dalam siasatannya. Kini mereka hanya perlu menunggu hasilnya.

“Ahmad Sabran Ahmad Idris. Berumur 34 tahun. Anak kelahiran Sarawak. Anak sulung dari empat orang adik beradik. Masih bujang. Dua orang adiknya dah berkahwin manakala yang bongsu masih belajar.”

Wirdah mengangguk-anggukkan kepala. Itu maklumat yang telah diberitahu kepadanya oleh Ahmad Sabran.

Fazdli menyambung, “Pernah bekerja di UK dan German selama 5 tahun sebelum kembali ke Malaysia dan membuka syarikat sendiri bersama dua lagi rakannya. Dia merupakan rakan kongsi terbesar dalam Perdana ICT Consultancy. Sekarang ni mereka sedang menjalankan beberapa projek bersama MAMPU dan Telekom Malaysia. Lokasi pejabatnya di Plaza Sentral. Tinggal di bangunan bersebelahan. Agak workaholic. Keluar ke tempat kerja sekitar pukul 9 pagi dan balik semula ke apartmentnya seawal pukul 12 malam. Jadual sehariannya agak rutin dan tidak banyak berubah. Social life dalam masa dua minggu ni, macam tak ada. Ia lebih banyak terluang di tempat kerja, samada di Plaza Sentral ataupun di site, dan maghrib serta Isyak di Masjid Negara sebelum kembali ke pejabat sehingga tengahmalam, barulah pulang ke apartmentnya. Pada hari Sabtu lepas, dia keluar dating dengan cik adik kita ni,” ujar Fadzli sambil menjeling kepada adiknya yang sudah tersengih macam kerang busuk, disambut pula oleh sorakan “Pewittt!!!” adik beradik lelakinya yang lain. Setelah suasana reda, dia menyambung kembali, “Selepas dating tu, dia pulang ke kampong. Rutin yang sama berulang dari Isnin hingga semalam.”

“Anything else?” tanya Haji Mukhriz sambil tersenyum. Jelas terpancar kelegaan di wajah tuanya. Mungkin gembira kerana peribadi Ahmad Sabran yang agak baik pada pandangan mata kasarnya.

“Dari siasatan, Ahmad Sabran ni tenang orangnya, tidak mudah melenting, suka menyakat, akan berdiplomasi apabila ada masalah yang dihadapi. Dia sukakan warna merah hati, kerana itu kebanyakan barang peribadinya berwarna merah hati termasuklah pen yang dipakai serta kereta Honda Accord yang digunakan. Makanan kegemaran, daging salai cicah air asam. Minuman kegemaran, kopi Radix. Binatang kegemaran, arnab. Pernah berpacaran dengan seorang gadis, tapi telah berpisah. Dengar kata, si gadis itu tidak memenuhi cita rasanya.”

“Cop!” Wirdah mengangkat tangan, menghentikan seketika penerangan abang keduanya itu buat sementara. “Memandangkan Angah dah begitu terror mengintip Ahmad Sabran, sampai dia pernah berpacaran pun termasuk dalam pengetahuan, boleh Wir tahu apa ciri-ciri wanita idamannya tu?”

“That, I don’t know. Masih lagi rahsia. Tapi gadis yang pernah berpacaran dengan Ahmad Sabran memang kelas. Ciri-ciri Miss Universe. Kaya. Cantik. Pintar. Diplomasi. Tangkas. Angelina Jolie and Lara Croft in the making…” jawab Fadzli tersengih.

“Fuh, kalau Angelina Jolie and Lara Croft in the making pun kena reject, apa yang ada pada Wir yang buat dia masuk merisik?” tanya Wirdah kehairanan.

“Ciri-ciri wanita idaman tu ada pada Wir agaknya?” saran Fauzi.

“Tak mungkin, sebab dia mana kenal Wir sebelum ni,” nafi Wirdah pantas.

“Mungkin dia dah kenal Wirdah, tapi Wirdah yang tak kenal dia?” saran Haji Mukhriz pula.

“Tapi macamana?” Tanya Wirdah keliru.

“Hah, pilihan keluarga, maybe?” Saran Firdaus.

“Mungkin betul jugak tu, kak Wir.” Tambah Fauzan pula.

“Wirdah tak tanya Sabran apa-apa masa telefon dia hari tu?” Kali ini Hajah Wahidah pula bersuara.

“Banyak. Tapi ada dua soalan yang tidak berjawab pada masa tu. Satu soalan terjawab kemudian. Satu soalan masih tak terjawab sehingga kini.”

“Dan soalannya?” tanya Fauzi.

“Ciri-ciri calun isteri.”

“Fuh, soalan cepumas nampaknya tu. Nasib baik tak masuk SPM…” gurau Fauzan selamba.

“Memanglah tak masuk SPM. Jawapan tak standard. Kalau soalan tu yang keluar dalam exam, mahu kelabu asap mata cikgu nak memberi markah…” sampuk Fauzi pula.

“Soalan itu hanya layak disoal kepada mereka yang nak jadi Doktor Cinta!” sampuk Firdaus ketawa.

“Soalan tu memanglah kena tanya pada calun suami supaya awal-awal dah tahu dia nak isteri yang macamana, supaya calun isteri awal-awal dah tahu samada dia menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh lelaki tu. Kalau dah tahu awal-awal, dah tahu kita tak sesuai, kan senang reject awal-awal?” tukas Wirdah. Dia ingin mempertahankan kenapa dia bertanyakan soalan itu kepada Ahmad Sabran.

“Betul tu. Angah sokong. Lainlah kalau dah bercinta awal-awal, lelaki tu sudah pasti tahu samada perempuan tu menepati ciri-ciri gadis idaman dia atau tidak. Bila dah pinang tu, confirm dia dah suka …” kenyit Fadzli kepada Wirdah. Dia tersenyum sebagai tanda sokongan. Wirdah membalas senyuman itu dan pantas juga dia melayangkan tapak tangannya ke atas dan tanpa lengah, Fadzli membalas dan menepuk tapak tangan itu dengan tapak tangannya pula.

“Hm, bercakap tentang ciri-ciri calun isteri ni, Ayah nak tanya Wirdah pulak. Macamana dengan Ahmad Sabran? Ciri-ciri lelaki idaman Wirdah ada padanya?” Haji Mukhriz kembali mengawal suasana yang gamat dengan gelak ketawa dan gurau senda itu

“Huh!” Wirdah mencebik.

“Kenapa Wirdah?” tanya Hajah Wahidah lembut.

“Ada masalah?” tanya Haji Mukhriz pula.

Wirdah senyap. Cuba mencari ayat bagaimana mahu memberitahu semua yang hadir apa yang dia rasa.

“Masa jumpa Ahmad Sabran hari tu, apa yang dibualkan?” sampuk Fauzi ingin tahu.

“Tak ada apa.”

“Mana boleh.” Tukas Firdaus kurang percaya. Dia kenal adiknya. Dia tahu Wirdah tidak akan berdiam diri. Mesti banyak pertanyaan yang akan diajukan untuk memuaskan perasaan ingin tahunya itu.

“Boleh. Sebenarnya tujuan kami berjumpa hari tu sekadar untuk bersemuka. Kan Wir dah cakap tadi, masa Wir telefon dia last week, banyak soalan Wir yang dia dah jawab. Wir puas hati walaupun dia tu agak sewel sikit-”

“Sewel? Maksud Wirdah?” pantas Hajah Wahidah mencelah.

“Ada ke dia kata dia kerja model? Model seluar dalam lelaki pulak tu. Dah tu dia tak nak hantar gambar sebab dia kata dia terlebih fotogenik, nanti lepas tengok gambar tu, Wir tak boleh tidur sebab angaukan dia…” jelas Wirdah dengan nada bengang. Dia menayangkan muka selamba walaupun ruang tamu itu sudah hingar bingar dengan gelak ketawa ahli keluarganya.

“Habis tu, bila dah jumpa ni?” tanya Haji Mukhriz dengan tawa yang masih bersisa.

“Biasa aje…” balas Wirdah tanpa riak.

“Ye ke…” usik Fadzli di sebelahnya. Bahu Wirdah sudah dipeluk erat.

“Boleh percaya ke ni?” usik Firdaus dengan kening terangat.

“Tak ada kes dari mata jatuh ke hati ke?” usik Hajah Wahidah pula bila wajah selamba Wirdah sudah mula merona merah.

“Kak Wir, takkan tak ada gambar?” tanya Fauzan dengan nada teruja.

Wirdah menggelengkan kepala.

“Fadzli?” tanya Haji Mukhriz kepada anak keduanya. Masih ada senyuman di wajah tua itu. Seronok kerana suasana gembira di ruang tamu itu.

Tanpa lengah, Fadzli segera mengambil sampul surat coklat yang sedari tadi terletak agak tersorok dari pandangan orang lain. Diserahkan sampul surat itu kepada ayahnya. Seketika dibelek satu persatu gambar di tangannya. Kemudian diserahkan kepada isteri di sisi. Giliran Hajah Wahidah membelek. Gambar-gambar Ahmad Sabran yang diambil secara curi. Gambar lelaki itu ketika bersama Wirdah juga ada. Dia tersenyum lebar. Kemudian diserahkan pula pada anak sulungnya. Fauzi dan Fauzan sudah tidak sabar menanti. Segera mengerumuni Firdaus yang leka memandang satu persatu gambar di tangan. Fauzi dan Fauzan mula riuh.

“Wow! Patutlah mamat tu cakap macam tu. Memang pun boleh angau lepas tengok gambar ni…” Fauzan mula mengusik.

“O teruna, di manalah dikau…. Datanglah dekat padaku, aku rindu…” Fauzi pula mula bercanda. Gambar Ahmad Sabran direnung dengan mata yang luyu, kemudian gambar itu dibawa perlahan ke muka. Bagaikan mahu mencium gambar itu.

“Uwek… loyanya tekak ni….” Pantas Wirdah membuat aksi bagaikan mahu muntah walaupun rona di wajahnya bagaikan udang kena bakar. Merah semerah merahnya. Dia dah tak tahu nak sorokkan mukanya ke mana. Akhirnya dada abang keduanya yang menjadi mangsa.

“Oit… adik kita ni cover malu…” panggil Fadzli kepada adik beradiknya yang lain dan diunjukkan kepada Wirdah di dalam pelukannya. Semakin galak mereka mengusik. Haji Mukhriz dan Hajah Wahidah pula hanya mampu menggelengkan kepala.

“Hm, dah puas ketawa?” tegur Haji Mukhriz bila suasana semakin reda.

“Dah.” Jawab adik beradik Wirdah dengan tawa yang masih bersisa.

“Wirdah?”

Wirdah mengangkat muka. Malu masih bersisa.

“Dah buat istikharah?”

Wirdah mengangguk.

“Jawapannya?”

“Wirdah akan terima jika semua orang terima. Semua keputusan adalah ditangan Ayah dan Emak.” Akur Wirdah.

“Macamana semua?” Haji Mukhriz memandang ke arah anak-anak lelakinya pula.

“Setuju!!!!” kedengaran sorakan dari semua anak lelakinya. “Tak sabar nak dapat abang ipar hensem!” Pekik Fauzan pula.

“Alhamdulillah!!” Haji Mukhriz dan Hajah Wahidah mengucap syukur dengan penerimaaan kesemua anak-anaknya. InsyaAllah akan bertambah seorang lagi ahli keluarganya.

Monday, June 3, 2013

SJM5

Nadia tergamam. Mulutnya ternganga. Tidak disangkanya berita itu yang akan didengarnya pada saat ini. ‘Bila pulak masanya dia kahwin?’ getus hati Nadia. Dia keliru. Tidak pernah didengarnya yang Naim telah melangsungkan perkahwinan. Tapi siapa dia untuk mempertikaikan kata-kata Naim. Dia memang tidak mendengar sebarang berita tentang lelaki itu sejak mereka berpisah, seolah-olah dia tidak pernah ujud di dalam hidupnya. Perasaan menyesal mula menyelinap menusuk keruang hatinya yang sepi bila dia cuba membayangkan rupa paras isteri Naim dan anak kecil mereka.


‘Biar padan dengan muka kau tu,’ dia memarahi dirinya sendiri. 5 tahun berlalu. Dia telah punya kehidupannya sendiri. Dia yakin Naim juga begitu. ‘Sudahlah Mai, menyesal sekarang pun tak ada gunanya. Segala-galanya telah ditakdirkan buat kau dan Naim.’ Dia kembali memujuk hatinya yang lara.

“Saya...’ kata-kata Nadia terhenti. Dia cuba mencari ayat yang paling sesuai untuk diucapkan kepada lelaki di hadapannya itu. Dari raut wajah Naim yang kelat itu, mungkin ada sesuatu sedang berlaku dan ucapan tahniah mungkin tidak bersesuaian untuk diucapkan kala itu.

Akhirnya kata-kata “Alhamdulillah,” sahaja yang mampu diucapkannya.

Naim tidak menjawab, hanya senyuman kelat yang dilemparkan ke arah Nadia.

“Lelaki ke perempuan?” Nadia memaksa dirinya untuk bertanya lagi.

“Kembar perempuan.”

Kembar. Bayangkan wajah dua bayi kembar perempuan yang mempunyai lesung pipit Naim. Pasti comel, keluh Nadia dengan perasaan cemburu.

“Bila?”

“2 jam yang lalu.”

“Eh awak, awak serius ke ni?” tanya Nadia keliru. ‘Kalau baru 2 jam, kenapa awak ada kat sini? Kenapa tidak dengan isteri awak aje?’

“Ha?!” Naim memandang Nadia dengan rasa terperanjat. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. “Eh, awak jangan salah faham. Saya belum kahwin lagi. Kembar tu bukannya baru lahir. Usia mereka dah 10 bulan.”

Semakin keliru Nadia jadinya. Baru sebentar tadi Naim memberitahunya yang dia baru 2 jam yang lalu menjadi seorang bapa, tapi kini dia diberitahu pula yang bayinya sudah berumur 10 bulan. Biar betul?

“Saya confuselah,” ujar Nadia ragu-ragu.

“Join the club,” omel Naim pula. Dilontarkan pandangannya ke kanannya pula. Di hujung sana terletak susunan lampin pakai buang yang berbagai-bagai jenis dan jenama. Sekali lagi dia merasakan yang dia semakin tenggelam dengan misinya yang satu ini.

“Ya Allah...” Naim mengeluh perlahan.

Perasaan ingin tahu semakin menebal di dalam diri Nadia. “Apa yang berlaku sebenarnya, Naim? Cuba awak ceritakan baik-baik kepada saya.” Sekali lagi Nadia cuba mengorek maklumat dari Naim.

Naim mengkalih pandangannya ke arah Nadia. Direnungnya wajah gadis itu. 5 tahun telah berlalu dan kematangan menambahkan lagi keayuan di wajahnya. Jelas kebimbangan dan ingin tahu dari pancaran sinar matanya.

Naim tersenyum kecil. Teringat kembali kepada Nadia Maisarah 5 tahun yang lalu. Acap kali dia memberitahu Naim bahawa, curiosity might have killed a cat, tapi sekurang-kurangnya kucing itu akan mati dengan ilmu yang penuh didada. Tipulah dia sekiranya dia mengatakan yang dia tidak rindukan gadis itu. memang dia tidak mahu merindui gadis itu dan dia memang merancang untuk melupakannya, tapi semua itu adalah di luar kawalannya. Merancang adalah lebih mudah. Melupakan Nadia Maisarah adalah terlalu sukar untuk dilaksanakan.

“Naim?” teguran Nadia membantutkan ingatan Naim kepada peristiwa lalu.

“Awak nak beritahu saya ke tidak ni?” tanya Nadia dengan nada manja. Dia tetap tidak berputus asa untuk mengetahui cerita Naim yang masih tergantung sedari tadi.

‘Aku sendiri pun tak pasti apa yang sedang berlaku, jadi macam mana aku nak beritahu kau pulak?’ keluh Naim sambil merenung ke anak mata Nadia. Dia menggaru-garu rahang kanannya. Dia berfikir sejenak. Dia mengaku yang dia amat-amat memerlukan pertolongan seseorang dan orang itu mungkin juga Nadia.

“Sebenarnya kembar tu bukanlah anak saya, tapi anak kawan. Mereka terbunuh di dalam kemalangan jalanraya di Sarawak. Saya akan terbang ke sana petang ini untuk mengambil mereka dan bawa pulang ke Semenanjung.”

“Awak dapat hak penjagaan?” Nadia bertanya lagi. Hampir tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.

Naim mengangguk. Dia tidak menyalahkan gadis itu sekiranya dia tidak mempercayai apa yang telah didengarnya itu. dia sendiripun hampir tidak memper-cayainya. Dia masih lagi terperanjat dengan berita yang baru didengarnya 2 jam yang lalu. Tidak disangkanya yang kawannya itu telah meninggal. Baru sebulan yang lalu Naim pergi bercuti bersama mereka dan memangpun dia telah bersetuju untuk menjadi penjaga kembar itu bila ditanya oleh Manaf dan isterinya. Namun tidak pernah dia menyangka yang dia akan memikul tanggungjawab itu dalam masa yang terdekat. Inilah takdir. Manusia hanya merancang tapi Allah juga yang menentukan segala-galanya.

5 kualiti sebagai Muslim sejati


1. Berlaku Jujur.


Rasainya. Lakukannya. Berkata benar atau bertindak jujur bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan, terutamanya jika kita akan mendapat susah kerananya. Namun, hakikatnya, kita akan merasa lebih gembira setelah memberitahu tentang sesuatu kebenaran itu, walaupun akibatnya adalah akan dimarah atau didenda. Lakukanlah kerana Allah S.W.T.
2. Tepati Janji.

Kamu didefinasikan melalui perbuatan kamu, bukannya kata-kata kamu.

Rasainya. Lakukannya. Kita tidak bermaksud untuk tidak menunaikan janji-janji kita tapi telah acap kali juga kita memperlekehkan janji yang dibuat kepada orang-orang yang tersayang. Tanyalah diri kita apakah kita telah mencuba sedaya upaya kita untuk mengotakan setiap janji yang telah diucapkan kepada orang lain?
3. Boleh Dipercayai (be trustworthy).

Seorang sahabat yang sedang ditimpa masalah telah memberitahu kita secara peribadi dan meminta agar kita tidak memberitahu orang lain tentang masalahnya itu. Namun, sebaik kita berjumpa dengan seorang lagi sahabat kita, kita telah memecahkan rahsia tersebut dalam keasyikan perbualan.

Rasainya. Apakah kita boleh dikategorikan sebagai orang yang boleh dipercayai? Apakah anggapan sahabat pertama kita tadi apabila kepercayaannya tadi kita tidak endahkan atau kita lontarkan ke tepi? Apakah perasaan kita jika ada sahabat lain melakukan perkara yang sama kepada kita? Bertanggungjawablah dan laksanakanlah. Apabila seseorang telah memberikan kepercayaannya kepada kita, maka terima dan hormatilah kepercayaan itu. Do not betray their trust.

4. Jadilah seorang penasihat yang ikhlas.

Tahukah kamu apabila kamu menyambungkan kembali silaturrahim dua orang lelaki/perempuan yang sedang bergaduh, kamu akan dimasukkan ke dalam Syurga?

Sememangnya mudah untuk menjadi batu api, tapi adakah ini satu tindakan yang mulia? Apakah perasaan mereka apabila akhirnya mereka tahu bahawa kamu sebenarnya telah berbohong kepada mereka? Bukankah kamu akan rasa lebih bahagia apabila dapat memulihkan hubungan dua sahabat yang telah berantakan? Bukankah kamu akan lebih bahagia apabila melihat senyuman yang terpancar dari kedua wajah sahabat kamu apabila mereka bertemu?
Sedarilah, menasihati dengan ikhlas, hanya kerana Allah, merupakan tindakan yang akan membahagiakan semua pihak.

5. Memberi dengan penuh keikhlasan.

Suatu hari kita sedang makan di sebuah gerai makanan di kotaraya. Seketika kemudian kita didatangi oleh seorang kanak-kanak membawa sepucuk surat yang kononnya datang dari Jabatan Agama Islam memberi kebenaran untuk mengutip derma. Samada kita sekadar melayangkan jari jemari menyuruhnya pergi dari situ dan tidak mengganggu kita yang mahu makan, atau mungkin juga terdetik di hati kita bahawa mungkin kanak-kanak itu berada dalam satu sindiket penipuan.

Rasainya. Lakukannya. Adakah apa yang kita lakukan tadi adalah satu tindakan yang tepat? Adakah kita marasa gembira dengan tindakan kita? Bukankah kita akan rasa lebih gembira sekiranya kita dapat memberi, hanya kerana Allah? Bukankah kita akan rasa lebih bahagia sekiranya kita memberikan sedikit wang dan meminta agar dia membeli makanan dengannya, atau belikan makanan untuk dia sama-sama menikmatinya sekali?

Harga Sebuah Kejujuran

“Bos!” Omar memanggil Safian, bosnya yang sedang asyik menikmati makanan tengahari. Safian pula tidak ambil pusing panggilan Omar. Jam dah menunjuk ke pukul 3 petang, barulah mereka berpeluang untuk mengisi perut yang sudah lama mendendangkan rock and roll. Kalau boleh, Safian tidak mahu ada sebarang gangguan tatkala perut hendak diisi.


“Bos!!” sekali lagi Omar memanggil. Oktaf suara dinaikkan. Kali ini diikuti pula dengan cuitan pada bahu bos yang sedang leka di sebelahnya.

“Apa dianya?” Kali ini panggilan Omar mendapat respon walaupun cemberut di wajah bos yang sedang memandangnya itu amat tidak diharapkan.

“Bos, bos tengok tu!!!” Omar menjuihkan bibirnya ke sudut di sebelah kanan yang agak tersorok sedikit dari pandangan mata. Safian memenuhi permintaan pembantunya. Isa yang berada di depan mereka turut memalingkan badannya untuk mengetahui apa yang ingin ditunjukkan oleh Omar kepada ketua mereka itu.

Di situ, seorang lelaki tua sedang merenung mereka. Tajam. Dalam. Dingin. Kiranya pandangan itu adalah sebuah pisau, pasti ada yang sudah terluka. Pandangan yang begitu menusuk. Dia sedar yang dia sedang diperhatikan oleh mereka, tapi lelaki tua itu tidak kisah langsung. Sebaliknya dia seolah-olah sedang mencabar supaya mereka bertiga melakukan sesuatu. Safian terasa seram sejuk. Bulu roma terasa sudah meremang. Perasaannya mula tidak enak, serasa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Dia teringat kata-kata seorang ustaz, bahawa seseorang itu boleh dikenakan sihir hanya melalui pandangan mata. Sihir dalam kategori ‘Ain itu boleh berlaku dengan cepat dan tepat.

“Dah, jangan pedulikan orang tua tu. Makan!” Sebaliknya Safian memberi arahan. Lagipun mereka tidak punya banyak masa. Kerja yang menunggu masih banyak. Jika lewat mereka pulang ke pejabat, makin lamalah mereka di situ.

Malam itu, Safian merehatkan diri di dalam bilik. Mereka baru sahaja balik usai makan malam. Dia bersendirian di bilik itu manakala Omar dan Isa di bilik sebelah. Dia benar-benar kepenatan. Bukan penat secara fizikal, tapi penat mental. Begitulah kalau dah bekerja membuat audit. Bukan satu dua syarikat yang perlu di audit, tapi berpuluh-puluh anak syarikat yang perlu di audit sepanjang tahun. Kadar penyelewengan yang mungkin berlaku pula terlalu tinggi, jadi perhatian yang perlu diberikan juga adalah tinggi. Kerana itu rehat perlu cukup untuk memastikan setiap penyelewengan yang berlaku dapat dikesan dengan segera.

Lampu bilik telah dipadamkan kecuali lampu sisi. Baru sahaja beberapa saat melelapkan mata, dirasakan ada orang asing di bilik itu. “Isk…isk…” hidungnya mula berdecit-decit menghidu sesuatu. “Wanginya….” Getus hati kecil Safian. Pantas dia membuka mata.

“Hah!??!!” dia terkedu. Di dalam kesamaran bilik itu, di hujung kakinya, jelas kelihatan seorang perempuan berdiri di situ. Rambutnya hitam pekat berkilat, panjang mengurai.

“Teknik rebonding ke?” “Tak, Rejoice aje…” Iklan itu pula yang terbayang di ruang mata, bagaikan terdengar dek telinga. “Haish…. masa ni pulaklah kau nak ingat kat iklan Rejoice tu…” Safian menempelak dirinya sendiri.

Safian mula bangkit dari baringnya. Dia meneliti perempuan di hadapannya. Walau dalam kesamaran itu, jelas sekali yang perempuan itu memang cantik. Senyuman pulak memang menggoda. “Eh, tunggu dulu, aku nak kat mana? Kat bilik kan?” Safian mengkalihkan matanya ke sekeliling. “Betul, betul aku kat dalam bilik aku ni.” Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Tapi, macamana pulak perempuan ni boleh masuk bilik aku ni?” Safian mula bermonolog. Dia masih keliru. Tiba-tiba dia seakan baru tersedarkan sesuatu. Diperhatikan sekali lagi perempuan itu. Masih di situ. Masih dengan senyuman menggoda. Diperhatikan pula pakaiannya. Serba putih. Seakan-akan melayang pula. Teringat pulak cerita ‘Pontianak Harum Sundel Malam’.

“Ya Allah, jauhkanlah aku dari godaan jin dan syaitan,” Safian berdoa ke hadrat Allah. Baru sahaja hendak membaca ayat-ayat suci al-Quran, dilihatnya perempuan itu mula menuju ke arahnya. Lemah gemalai. Pakaian putih yang dipakainya beralun-alun bagaikan ditiup angin. Begitu juga rambut hitamnya yang panjang itu. Tertampil sesusuk tubuh yang mengiurkan. Walau dalam cahaya yang hanya datang dari lampu sisi, jelas terserlah kulit yang halus dan gebu. Kedua tangan yang dihulurkan kepada Safian serta matanya yang tertala ke mata Safian bagaikan memukaunya dari berfikir tentang perkara lain. Safian terpaku di situ.

“Abaaangggg….” Suara manja yang begitu gemersik bagaikan terus memukau Safian. Perempuan itu semakin menghampiri. Fikirannya kosong sekosong kosongnya. Tiada langsung ingatannya kepada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan di Kuala Lumpur. Tiada lagi ingatan kepada Allah. Dia bagaikan patung bernyawa. Perempuan itu pula semakin mendekati. Hanya beberapa inci sahaja sebelum tangan yang terhulur itu menjamah wajah Safian. Mata Safian terus memandang tanpa berkelip sekali pun.

“Abaaannggg….” Sekali lagi suara perempuan itu mendayu dan berlagu di cuping telinga Safian. Terasa lemah lutut dan badannya bagaikan berada di awang-awangan. Tangan perempuan cantik itu pula mula menyentuh kulit wajahnya.

Tiba-tiba, “Aaaahhhhh….!!!!” jeritan perempuan itu memenuhi ruang bilik. Safian tersentak, tersedar dari keadaannya yang bagai terpukau dan lupa diri. Dipandang kepada perempuan itu. Wajah yang tadinya cantik, kini bertukar hodoh. Kulit yang mulus tadi sudah berubah, hitam sana hitam sini. Bernanah sana bernanah sini. Bau busuk juga mula memenuhi ruangan bilik. Perempuan itu sedang memegang tangan kanannya. Telapak tangannya bagaikan terbakar.

Kesan terbakar itu juga dapat dibau pada wajahnya. Mujur juga dia telah berwudhuk sebelum dia tidur tadi. Safian yakin itulah pembentengnya dari godaan jin itu tadi. Terlintas dikepalanya peristiwa semasa makan petang tadi. Mungkin juga lelaki tua itu yang telah menghantar ‘pesuruhnya’ ke sini. “Astaghfirullah,” Safian beristighfar. Tidak baik dia menaruh sebarang syak wasangka kepada lelaki tua itu. Mungkin dia hanya sekadar memerhati dan secara kebetulan perhatian itu seakan-akan tertumpu kepada mereka bertiga.

“Na’uzubillahi minassyaithonirrajum!! Allahu Akbar!!!” Dia menjerit kuat. Mula berdepan dengan makhluk yang masih tajam merenungnya. Tanpa lengah, mulut Safian mula terkumat-kamit. Kedengaran ayat-ayat suci al Quran dari beberapa surah-surah terpilih termasuklah ayat Qursi dan ayat 285, 286 dari al Baqarah. Makhluk hodoh itu tidak menunggu lama. Dalam raungan kepanasan, dia mula menghilang dari pandangan.

Safian melepaskan keluhan lega. “Alhamdulillah…” bibir Safian tidak lepas-lepas mengucapkan syukur kepada Allah yang telah melindunginya pada godaan kali ini. Ternyata hatinya yang resah tadi rupanya mempunyai sebab.

Sebenarnya Safian adalah timbalan ketua juru audit di sebuah syarikat gergasi di Malaysia. Sudah menjadi tugas dia dan anak-anak buahnya untuk mengesan penyelewengan yang semakin berleluasa itu. Dan dia semakin ramai musuh. Dia digelar sebagai Jebat oleh rakan dan musuh hanya kerana dia berasal dari Melaka dan kerana sikapnya yang tegas menangani penyelewengan di dalam syarikat gergasi itu. Walaupun dia hanya makan gaji, tapi dia sedar akan tanggungjawabnya. Apatah lagi dia seorang Islam. Amanah itu penting. Itu adalah harga dirinya. Jika integriti itu di perkotak katikkan, pasti mudah baginya untuk mengumpul harta kekayaan. Tapi dia sedar, harta yang tidak berkat itu tidak akan ke mana. Kalau menjadi darah daging dia dan ahli keluarganya, pasti kelak bala sahaja yang akan menimpa. Dia sedar itu. Dan dia cuba untuk sentiasa berpegang kepada amanah yang diberikan. Mujur ada emaknya yang memantau perjalanan hidupnya sekeluarga. Emaknya juga yang kerap mengingatkan. Tiap kali dia pulang menemui emaknya, pasti akan ada pesanan yang dititipkan kepadanya.

“Yan, duit boleh dicari, tapi hanya iman yang akan dapat menyelamatkan kau dari harta yang haram. Harta haram tak akan menjamin kebahagiaan. Jika harta haram yang kau gunakan untuk membesarkan anak-anak kau yang berlima tu, mereka tak akan jadi manusia. Percayalah cakap mak ni….” Safian ingat pesanan emaknya itu. Dia mahukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan dapat mendoakan dirinya apabila dia meninggalkan dunia ini kelak. Kerana itu, dia sentiasa berdoa agar Allah sentiasa memelihara dia dan keluarganya. Berdoa agar hidupnya sekeluarga sentiasa dalam keberkatan dan Rahmat Allah.

Dunia Safian sentiasa sibuk. Tugas sebagai juru audit memang mencabar, apatah lagi bila melibatkan syarikat gergasi ini. Dikala ini, dia sedang terlibat dengan dua buah kes besar yang melibatkan sebuah syarikat perkapalan dan sebuah syarikat kraftangan yang berada di bawah syarikat gergasi itu. Kes penyelewengan yang melibatkan pegawai atasan. Dia pernah dicari di hotel tempat dia menginap oleh konco-konco yang telah diupah untuk membelasahnya. Mujur dia terselamat. Teringat pula dia kepada ugutan yang pernah diterimanya sebelum ini. “Kau jangan ingat kau akan menang. Tak dapat jalan kasar, jalan halus aku akan guna untuk hapuskan kau!”

Nampaknya musuhnya itu sudah memulakan tindakan. “Ya Allah, kau peliharalah aku dan keluargaku dan selamatkanlah kami dari segala musibah….” Doa Safian dari sudut hatinya yang paling dalam. Hanya kepada Allah dia berserah. Dia memandang ke arah jam yang terletak di meja sisi di bilik itu. Hampir 12 malam. Kantuknya mampir semula. Baru berkira mahu mengambil wudhuk sekali lagi sebelum tidur semula, dirasakan suasana di bilik itu sudah berubah corak. Semakin aneh. Diperhatikan sekeliling. Sedikit berkabut. Seolah-olah ada asap. Dahinya berkerut. Dititip pula pandangannya ke arah pintu. Kelihatan kepulan-kepulan asap putih menembusi dari ruang bawah pintu yang agak sempit itu.

“Eh, ada kebakaran ke?” Safian bermonolog. Dahinya semakin berkerut. Cuba mengamati dengan telinga. Tiada pula bunyi penggera kebakaran.

“Ya Allah, musibah apa lagi yang bakal datang ni?” getusnya.

Safian tidak perlu menunggu lama. Dia terkejut. Sekelipan, asap yang berkepul tadi sudah membentuk rupa. Seekor harimau. Besar. Matanya tajam merenung Safian. Kini mengaum menunjukkan taringnya. Belum lagi mendekati. Safian terpaku. Sekali lagi dia bagaikan terpukau. Mujur tidak lama. Dadanya sudah berombak kencang.

Dup dap dup dap. Bagaikan baru berlari 100 meter. Peluh dingin sudah menitik halus di dahi. Safian cuba bertenang. “Ya Allah, Engkau bantulah aku Ya Allah. Engkau selamatkanlah aku, Ya Allah…” dia berdoa di dalam hati. Bertawakal. Kerana dia tahu hanya Allah yang dapat membantunya melawan makhluk jin ini. Hendak melarikan diri, itu bukan pilihan yang dia ada. Makhluk itu berada di laluannya. Jadi apa ikhtiarnya sekarang?

Hemm, tanpa melengahkan masa, Safian mula membuka langkah silatnya. Seni mempertahankan diri yang pernah dipelajari dari Allahyarham datuknya satu ketika dulu cuba diingati kembali walau dia tahu harimau di hadapannya kini bukanlah lawannya. Ngaumannya sahaja sudah cukup menggeletarkan kepala lututnya.

Sambil langkah dibuka, bibirnya mula berzikir. Baru hendak membaca ayatul qursi, sang harimau sudah mula bertindak. Mula menerkam. Tubuhnya yang besar, bertambah besar apabila kaki depannya telah terangkat ke atas. Berterusan menderam, kaki depan itu mula mencakar. Safian mula kesakitan. Mukanya mula calar balar. Tidak berdaya hendak menepis. Langkah silatnya bagaikan bukan tandingan kepada harimau yang tegak berdiri lebih besar dari dirinya itu. Ruang bilik yang tidak seluas mana, tidak memihak kepada Safian. Safian hanya mampu mengelak selagi terdaya. Lengannya juga telah calar balar. Pedihnya hanya Allah yang tahu. Serangan demi serangan yang cuba dielak, menyebabkan badannya terhempas ke dinding. Tangannya pula terus cuba untuk menahan asakan sang harimau. Tetapi makhluk itu terlalu berat. Safian tidak lagi dapat menampung. Dia terjatuh di atas katil. Diikuti oleh makhluk yang semakin mengganas. Keduanya terus bergelut. Safian tidak mahu berputus asa atau mengalah. Mengalah bererti kecundang. Kecundang bererti mati. Itu bukan pilihan.

Kedua Safian dan makhluk itu terus bergelutan. Habis bertaburan barang-barang di dalam bilik itu. Cakaran-cakaran yang dapat dielak, kini meninggalkan kesan-kesan cakaran yang sudah memenuhi katil dan sebahagian dinding. Badannya juga sudah semakin lemah. Luka sudah penuh dibadan. Namun Safian masih tidak berputus asa.

Dum! Dum!

Tiba-tiba kedengaran ketukan dipintu. Bertalu-talu. Kedengaran suara Omar dan Isa menjerit memanggil namanya. Jeritan itu bagaikan memberikan sumber tenaga baru kepada Safian. Dikerah segenap tenaga yang masih tinggal untuk menolak dan menepis serangan makhluk harimau itu. Memberi sedikit ruang yang diperlukan. Dia berlari menuju ke pintu. Cakaran kuku harimau dibelakang badan dan kakinya tidak diambil peduli. Inilah satu-satunya peluang yang dia ada. Pantas pintu dibuka. Segera dia meloloskan diri. Dia akhirnya terkulai dipangkuan Omar yang sedang berdiri dimuka pintu.

Terkejutnya Omar dan Isa bukan kepalang sebaik melihatkan keadaan ketua mereka yang begitu memeranjatkan. Pakaiannya sudah koyak rabak. Luka pula penuh di badan. Bau darah yang hanyir sudah mula menusuk ke lubang hidung. Mereka berpandangan sesama sendiri sambil soalan, “Bos, apa dah jadi, bos? Kenapa ni?” berulang kali ditanya mereka kepada Safian yang sudah terkulai dipangkuan Omar. Soalan tanpa sebarang jawapan. Memaksa mereka untuk membuat keputusan.

“Isa, cepat! Kau pergi laporkan pada pihak pengurusan hotel. Aku tunggu kat sini!” Pantas Omar memberi arahan.

Isa pantas melakukan seperti yang diarahkan. Berlari masuk ke biliknya dan memberitahu kepada pihak pengurusan hotel. Sebaik laporan telah dibuat, dia bingkas keluar semula ke luar bilik untuk menemani Omar, berjaga-jaga di situ dan menanti sekiranya ada serangan susulan. Mereka memang cuak dan berdebar. Masakan tidak, penyerang Safian masih belum keluar, masih tiada kelibatnya.

Sebenarnya mereka sudahpun tertidur. Mereka memang keletihan. Sebaik kepala mencecah bantal, mimpi sudah menjadi mainan tidur. Namun tidur mereka yang enak menjadi terganggu apabila hentakan pada dinding bilik yang kuat menyedarkan mereka dari mimpi. Bukan sekali, tapi banyak kali. Pasti sesuatu telah berlaku dan pantas mereka berkejar ke bilik ini. Memang mereka terkejut besar melihat keadaan Safian yang begitu parah sekali.

Omar dan Isa tidak perlu menunggu lama. Pihak keselamatan hotel telah tiba. Zulkipli dan beberapa pembantunya dari pihak keselamatan hotel datang untuk membantu sebelum pasukan polis tiba ke situ.

“Encik, apa yang dah berlaku?” tanya Zulkipli sambil membongkok melihat keadaan Safian yang sudah tidak sedarkan diri. Agak terkejut melihatkan keadaan lelaki itu yang cedera parah. Lebih terkejut lagi peristiwa itu berlaku di hotel tempat dia bertugas. Tidak pernah kejadian yang seumpama itu berlaku di hotel itu.

“Kami sendiri pun tak pasti. Tadi, dengar macam bunyi orang bergaduh, tu yang kami datang serbu kat sini. Bila pintu bilik terbuka sahaja, kami tengok keadaan bos kami dah macam ni.” Dengan wajah keruh, Omar cuba menerangkan keadaan yang tidak tahu hujung pangkalnya itu.

“Ada nampak sesiapa keluar dari bilik ni?”

Omar dan Isa menggelengkan kepala mereka. Lantas Zulkipli bangkt dan mula memberi arahan. Kedua kakitangannya semakin berhati-hati di muka pintu, semakin bersedia untuk bertindak. Cortar juga semakin dipegang kejap. Dengan pistol yang tergenggam erat di tangan kanannya, pintu yang sedikit ternganga itu ditolak sehingga habis dengan kaki kirinya oleh Zulkipli. Badannya masih terselindung di dinding. Apabila dapat dipastikan tiada sesiapa yang bersembunyi di belakang pintu, Zulkipli mula melangkah ke dalam bilik diikuti oleh kedua kakitangannya. Kali ini pintu bilik air dan pintu almari pula ditolak dan digeledah. Apabila keadaan semakin selamat, mereka maju lagi ke dalam bilik. Kosong. Tiada sesiapa di situ. Namun bilik itu tunggang langgang. Bagai dilanggar ribut taufan. Atau puting beliung. Kerusi meja sudah tidak pada tempatnya. Kaki kerusi sudah ke atas dan tercampak ke sudut bilik. Walaupun tidak pecah, tapi kesan hentakan yang kuat ada pada kaca cermin bilik itu. TV juga sudah jatuh ke lantai. Dinding dan tilam di katil pula penuh dengan kesan calar dari kuku binatang. Sebahagian besar cadar sudah koyak rabak. Hanya sekali pandang, Zulkipli yakin, penyerang Safian bukan manusia. Tapi akalnya menolak firasat hatinya. Dimana logiknya. Dari mana pula datangnya binatang itu? Dan ke mana pula lesapnya penyerang itu? Siapa penyerang itu? Superman ke? Batman ke? Atau Cicakman?

Zulkipli menapak ke luar bilik, menghampiri Omar dan Isa. “Tak ada sesiapa pun kat dalam ni. Awak pasti penyerang tu belum keluar?”

“Masa kami ketuk pintu tu, memang kami dengar bunyi orang sedang bergelut. Tak lama lepas tu Encik Safian keluar. Saya ada kat sini sejak tadi tapi saya tak nampak pun ada orang keluar dari sini. Encik pasti ke?” tanya Omar kembali. Mula terasa cuak bila Zulkipli memberitahu tiada sesiapa di dalam. Habis tu, bunyi apa yang mereka dengar tadi? Habis tu, macamana Encik Safian boleh jadi macam ni? Habis tu, apa yang dia orang nak jawab dengan bos-bos besar yang ada kat KL tu? Habis tu, apa yang dia orang nak beritahu pada keluarga Encik Safian? Hish, pening pening…. Omar dan Isa masing-masing menggaru kepala yang tidak gatal. Wajah Safian ditenung dengan penuh simpati.

Hish, masak aku ni nampaknya…getus hati kecil Zulkipli. Macamana nak jawab dengan pihak pengurusan ni? Dia menggaru kepala yang terasa semakin gatal, semakin buntu. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Sedar malam ini adalah malam yang panjang. Baru berhasrat hendak mundar mandir di situ dan memikirkan bagaimana hendak menulis laporannya nanti, kelibat Inspektor Hashim diikuti oleh dua orang pembantunya serta dua orang paramedik telah menghampiri.

“Assalamualaikum.” Inspektor Hashim menyapa sambil menghulurkan tangannya kepada Zulkipli yang pernah menjadi rakan sejawatnya dan kepada kedua Omar dan Isa.

“Wa’alaikumussalam.”

“Dapat?”

Zulkipli menggelengkan kepala. “Hilang.”

“Lolos?”

Sekali lagi Zulkipli menggelengkan kepala. “Puff, hilang. Nothing.” Dia menekankan jawapannya sekali lagi. Kali ini diturutkan dengan gerakan memetik jari tengah dan ibu jari kedua tangannya, bagaikan apa yang berlaku tadi adalah sebuah pertunjukan magik pula.

Inspektor Hashim tidak memberi sebarang komen. Setelah memberi arahan kepada kedua pembantunya untuk menyiasat di dalam, dia pula melutut di sisi Safian dan mula menilik badan Safian yang penuh luka itu. Safian yang sudah tidak sedarkan sedari tadi, cuba untuk tidak diganggu sementara pasukan Paramediks memberikan bantuan. Cuba hendak diselidiki jenis serangan ke atas lelaki itu. “Masalah ni….” Inspektor Hashim mengeluh perlahan. Dapat dirasakan bahawa agak sukar hendak menyelesaikan kes ini. Rasanya kes ini termasuk dalam kategori X-Filesnya.

“Kau dah tengok kesan luka pada badan mangsa?”

Inspektor Hashim mengangguk. “Sekali pandang macam ni, aku tengok macam kena cakar dengan sesuatu.”

“Betul.” Zulkipli mengesahkan. “Banyak lagi kesan cakaran tu kat dalam!” tegas Zulkipli.

Inspektor Hashim mengangguk perlahan. “Apa pun, kena tunggu keputusan forensik.” Dia melihat sahaja Safian yang sedang dibawa pergi oleh pasukan Paramedik. Dia tidak mahu membuat kesimpulan awal. “Kerja aku banyak kat dalam tu. Kau pun tahu, seperti biasa, kawasan ni akan jadi kawasan larangan buat sementara ni. Aku nak mintak tolong sikit,” Inspektor Hashim memandang bekas rakan sekerjanya itu.

“Apa dia?”

“Itu…” Inspektor Hashim memalingkan wajahnya dan memuncung kepada tetamu-tetamu hotel yang semakin ramai mengerumuni. Perasaan ingin tahu seorang manusia memang sukar hendak dibendong.

“Tang tu, no problem. Dah tugas aku pun kat hotel ni…”

“Thanks….” Ucap Inspektor Hashim sambil melangkah masuk ke dalam bilik hotel itu.

---------------------------

Berada di hospital, Omar terpaksa menghubungi ahli keluarga Safian untuk memaklumkan keadaannya di sini. Segera Fatimah menelefon emak Safian dan keluarganya di kampong. Dia meminta mereka semua bersabar dan berdoa sementara dia akan ke Kota Bharu awal pagi esoknya dengan menaiki kapalterbang. Harap-harap, masih ada tiket. Dia akan meminta tolong dari kawannya yang bekerja dengan kaunter tiket MAS. Sementara menanti pagi, Fatimah melakukan solat hajat dan berdoa akan keselamatan suaminya. Anak-anaknya dibiarkan tidur, tidak mahu mengganggu lena mereka. Namun mereka perlu diberitahu kerana mereka pasti akan tertanya-tanya kenapa dia perlu meninggalkan mereka dengan pembantu rumah dan ke Kota Bharu sendirian. Mana pernah dia meninggalkan mereka untuk pergi sejauh ini. Mujr kedua ibubapa dan emak mertuanya akan tiba di rumah itu pagi esok. Mereka akan menjaga anak-anaknya seramai lima orang itu sepanjang ketiadaannya nanti. Harapannya suaminya akan selamat dan dia akan dapat segera kembali ke Kuala Lumpur untuk mengambil anak-anaknya pula.

Dua hari berada di hospital, masih tiada tanda-tanda yang Safian akan sedar. Menurut doktor, walaupun keadaan Safian tidak terlalu kritikal, tapi dia dalam keadaan koma. Keadaan itu memaksa Fatimah untuk berbincang dengan keluarganya dan keluarga mertuanya melalui telefon. Kata sepakat dicapai. Untuk memudahkan mereka semua menjaga Safian, Fatimah telah membuat permohonan agar Safian dapat dipindahkan ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans. Walaupun jauh dan memenatkan, pilihan apa lagi yang mereka ada. Tambahan pula, semua ahli keluarganya berada di Kuala Lumpur. Sedang menanti dengan solat hajat, doa dan Yassin agar Safian selamat dari segala bahaya. Sebaik tiba di Hospital Tawakal, semua ahli keluarga Safian telah menunggu. Berbekalkan air Yassin dan doa dari ahli keluarga dan sanak saudara selama beberapa hari itu, Mak Munah, ibu Safian, menatap wajah tenang anak sulungnya. Sayu hati seorang ibu sebaik melihat wajah Safian. Luka-luka yang dibaluti oleh kain pembalut itu diusap perlahan. Sedih mengenangkan nasib si anak yang cuba menangkis segala godaan duniawi. Tapi dia redha kerana anaknya sentiasa tenang menghadapi segala bahaya yang datang. Walau disuakan dengan wang dan harta benda, namun tuntutan nafsu dan godaan syaitan dapat dipatahkan. Walau ini adalah akibat dari tekanan itu, dia seribu kali rela. Inilah perjuangan anaknya dalam menjaga imannya.

Mak Munah terus menyapu air Yassin ke muka Safian. Surah-surah Rukyah terus meniti dibibir tuanya. Sesekali dihembus ke muka Safian. Hati memohon ke hadrat Allah agar anak sulungnya akan bangkit dari komanya. Masa yang berlalu tidak diendah. Ucapan sayang tidak diucap, namun disalurkan dari sentuhan kasih seorang ibu. Tidak jemu membelai dengan air Yassin yang membawa berkah. Akhirnya, beberapa jam di sisi ibu tersayang, Safian membuka mata. Bergenang airmata seorang ibu sebaik melihat anak kesayangannya itu kembali sedar.

“Alhamdulillah, akhirnya anak emak dah sedar….” Ujar Mak Munah sambil mencium lembut dahi anaknya. Dia bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umar anaknya, walau sedetik, dia tetap akur. Dia sedar, perjalanan anaknya terlalu bahaya kerana terpaksa menghadapi segala bentuk serangan, baik secara lahiriah atau batiniah. Alhamdulillah anaknya punya jati diri dan tidak mudah putus asa. Walau hampir di setiap negeri di Semenanjung Malaysia ini dia punya musuh, namun dia tetap cekal menjalankan tanggungjawabnya. Semuanya kerana Allah.

Sebulan berlalu dan Safian semakin pulih. Dia sudah dibenarkan pulang kerumah, malah sudah mula bekerja. Walau pada luarannya dia telah pulih seperti sediakala, hanya doktor yang merawatnya yang tahu dia masih mempunyai masalah kesihatan. Dia sukar untuk menelan dan bernafas. Bahagian lehernya sentiasa terasa panas. Dia juga mengalami insomnia. Tidur malamnya hanya beberapa minit sahaja. Telah dua minggu dia mengalami kesukaran tidur. Walau di dalam bilik berhawa dingin sekali pun, dia akan dilanda rasa kepanasan melampau. Kalau dihitung dengan jari, tidak sampai sepuluh jari pun jumlah jam tidurnya dalam dua minggu ini. Semuanya disimpan sendiri. Tidak mahu emaknya mengetahui, apatah lagi Mak Munah telah pulang ke kampong dua minggu yang lepas. Tapi seminggu kemudian, dia kembali ke rumah itu. Hati seorang ibu, tiada siapa yang dapat menafsirnya. Sepanjang Mak Munah dikampong, dia kerap bermimpi yang anaknya dilanda musibah. Kembali ke Kuala Lumpur, sebaik melihat Safian, sekilas ikan di air, dia sudah tahu jantan betinanya. Dia sudah tahu keadaan Safian. Dia tidak perlu bertanya. Bila berpeluang, dia akan memberi minuman yang telah dibacakan ayat-ayat Rukyah kepada Safian. Dapatlah Safian menyejukkan sedikit badannya. Dapatlah dia melelapkan mata barang seketika. Sebaik membuka mata, cuba dihabiskan masa yang terluang itu dengan mengabdikan diri kepada Illahi. Namun tekak yang sentiasa kering itu amat menyukarkan dia untuk berkata-kata, bagaikan kaca-kaca kecil dan halus menghiris anak tekaknya. Tiada apa yang dapat Safian lakukan kecuali menyerahkan dirinya kepada Allah. Berdoa agar dia sabar mengharungi penderitaannya ini.

Sebulan berlalu. Keadaan Safian tetap sama. Tiada perubahan. Doktor pakar juga telah kehilangan kata, tidak tahu hendak dicari di mana lagi punca penyakitnya. Dari sudut dan aspek kedoktoran, Safian memang tiada masalah kesihatan. Dan hari demi hari, Safian semakin kurus. Hanya mampu menelan bubur kosong yang dimakan menggunakan straw. Semangkuk bubur, mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Itupun secara sembunyi-sembunyi setiap kali emaknya datang menziarah. Tidak mahu hati si emak gusar melihat keadaannya. Biarlah emaknya hanya nampak senyuman yang tersisip di bibirnya. Walau dia tahu emaknya tidak akan tertipu dengan persembahannya.

“Yan, Yan sihat?” tegur Mak Munah di pagi Ahad itu. Dia telah mengambil tempat di sisi Safian di sofa 2 tempat duduk itu.

Safian tersenyum. Kepala pula sudah dianggukkan. “Kenapa Mak?”

“Mak tengok Yan makin hari makin kurus…” jawab Mak Munah dengan nada penuh kerisauan.

Safian melebarkan senyumnya. “Yan dietlah Mak. Dah gemuk benar rasanya badan Yan ni…” dengan manja Safian memberikan jawapan.

“Haish, dah kurus macam ni pun nak kurus lagi?” tempelak Mak Munah selamba.

“Bukan macam tu. Yan ikat perut la Mak… Yan nak kumpul duit hantaran untuk isteri nombor dua… hik hik…” dia berbisik mengusik kepada Mak Munah, namun tidak mahu isteri kesayangannya pula yang terdengar gurauannya itu.

“Amboi… amboi… dah pasang niat rupanya anak mak ni. Boleh mak tahu siapa dia? Kenalkan pada Mak. Kalau Mak berkenan, mak top up aje mana yang tak cukup tu… tak payah nak ikat-ikat perut ni…” Mak Munah mengusik dan memberi saranan sambil mengusap perut Safian dengan lembut. Diikutkan rentak permainan anak sulungnya itu walau hati terasa pilu.

“Betul ni, Mak?” tanya Safian manja. Walaupun dia yang paling tua di antara dia tujuh beradik, tapi dialah anak yang paling manja, kalah adiknya yang bongsu.

Mak Munah mengangguk. Tersisip senyuman dibibir tuanya.

“Alhamdulillah, best dapat Mak yang sporting ni…” Safian tergelak kecil sambil memeluk lembut bahu emaknya. Terasa betapa emaknya begitu menyayangi dirinya. Bila bersama emak, terasa diri yang sudah berumur lebih 40 tahun ini bagaikan masih berumur 4 tahun. Masih boleh bermanja bagai anak kecil. Dia tersenyum kecil.

“Mak…” panggil Safian dengan lembut.

“Hmmm…” balas Mak Munah sambil merenung Safian dengan penuh kasih.

“Yan sayang sangat dengan Mak….” Ucap Safian sambil mencium tangan kanan emaknya. Bagaikan pasangan kekasih pula kedua beranak itu.

“Mak tahu. Mak pun sayangkan Yan…” balas Mak Munah lembut.

“Mak….”

“Iye…”

“Mak jangan sedih nanti yek…”

“Kenapa Mak nak sedih pulak?” tanya Mak Munah sedikit cuak.

“Tak adalah… saje je Yan mintak macam tu. Manalah tahu kan, esok-esok…”

“Yan, kenapa cakap macam tu?” pantas Mak Munah memintas cakap anaknya. “Mak sentiasa doakan agar semua anak-anak Mak sihat wal’afiat. Emak ni yang dah tua….” Tidak sanggup Mak Munah hendak menyambung kata-katanya. Tidak terzahir. Perasaan sedih yang menyelubunginya sedari menjejakkan kakinya ke rumah anaknya semalam cuba ditahan dari tersirna.

Safian menggenggam tangan emaknya. Erat. Lembut. Penuh kasih. Sayang seorang anak kepada emaknya. Terimakasih seorang anak kepada emaknya. Hanya sebuah sentuhan. Tidak perlu sebarang luahan. Safian tahu emaknya amat memahami. Dan dia terus berdoa agar Allah akan mempermudahkan perjalanannya nanti. Dia redha.

Esoknya Safian ke pejabat seperti biasa. Menjelang tengahari, dia pengsan. Segera dia dikejarkan ke Hospital Tawakal. Namun akhirnya doktor yang merawat menyarankan agar dia di bawa pulang ke rumah kerana tiada apa yang dapat mereka lakukan lagi. Mak Munah merayu kepada Fatimah agar Safian dapat dibawa pulang ke kampong. Tiada apa yang dapat Fatimah lakukan selain dari akur dengan permintaan emak mertuanya itu.

Setibanya di kampong, Mak Munah mula melakukan segala persiapan yang dirasakan perlu. Anak-anak melakukan arahan yang diberi tanpa banyak soal. Malam itu Safian sedar kembali. Tapi cuma seketika. Namun masih sempat meninggalkan sedikit wasiat dan meminta maaf dari semua. Selepas itu dia kembali nazak. Mak Munah dan isterinya Fatimah membisikkan “Allah!!!” ditelinga Safian, membantunya yang sedang dalam perjalanan pulang untuk mengadap Allah. Sebelum dia menutupkan mata buat selama-lamanya. Dan Mak Munah sentiasa berdoa agar anaknya ini termasuk di dalam golongan orang-orang yang Soleh.

Tiba sudah waktu untuk memandikan jenazah. Bilal kampong yang bertanggungjawab meminta adik beradik lelaki Safian seramai 4 orang itu untuk sama-sama membantu. Dia menolak tawaran orang lain dengan memberi alasan bahawa lebih afdal sekiranya adik beradik Safian yang membantu dia memandikan jenazah abang mereka. Itu hanyalah sekadar alasan untuk mengelakkan sebarang fitnah oleh penduduk kampong. Semasa melihat mayat Safian tadi, bahagian torso atau dada Safian telah bertukar warna hitam legam bagaikan arang. Mengikut fitrahnya, itu menunjukkan kematian Safian ada bersangkut paut dengan unsur-unsur sihir atau ilmu hitam. Mungkin juga Allahyarham Safian telah dikenakan santau memandangkan dia terlalu sukar untuk bercakap atau menelan hatta benda-benda yang lembut sekalipun.

Mak Munah begitu bersyukur kerana jenazah anaknya selamat disemadikan dengan lancar. Menitis air matanya tatkala memandang kelima-lima cucunya, anak-anak Allahyarham Safian. Dan dia berserah kepada Allah untuk memberi pembalasan kepada mereka yang telah menyiksa kehidupan terakhir anaknya itu.



Nota kaki: mereka-mereka yang terlibat di dalam kes penyelewengan yang diuruskan oleh Safian khabarnya telah menerima hukuman oleh pihak berkuasa. Apabila samseng-samseng yang telah diupah, gagal menjalankan misi mereka, Safian telah dikenakan sihir untuk mengelakkan dia dari menjadi saksi utama. Namun bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Safian sebelum itu telah diserahkan oleh Safian kepada pihak pendakwaan. Omar, Isa dan beberapa saksi lain telah menguatkan lagi dakwaan tersebut sehingga pelaku-pelaku jenayah telah disabitkan kesalahan.

Dengarnya pihak kerajaan juga akan melaksanakan enakmen undang-undang yang melibatkan sihir terhadap mangsa. Semuga usaha ini akan berjaya dan dapat dipercepatkan pelaksanaanya agar pemangsa dan pengamal-pengamal sihir mendapat hukuman yang setimpal. Apatah lagi amalan-amalan ini adalah syirik dan menyengutukan Allah. Mangsa juga sebenarnya dizalimi dengan kejam oleh mereka-mereka ini cuma penderitaan mereka tidak terzahir di mata kasar manusia.