Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC15

fandi memicit dahinya, mahu menghilangkan sakit kepala yang entah datang dari mana. Tanpa mempedulikan arahan Fandi yang dirasakan sungguh kurang sopan, Ilia menghenyakkan punggungnya ke sofa empuk itu, bersebelahan dengan Fandi.
Bagaikan terkena kejutan elektrik, Fandi bingkas bangun dan menuju ke mejanya. Meja itu ingin dijadikan sebagai pengadang kepada Ilia yang sama bangkit dan menuju ke arahnya. Ilia sedang tersenyum sinis memandangnya.
Ilia mengimbas kembali babak-babak menggoda yang pernah ditontonnya di kaca televisyen. Dipilih adegan yang dirasakan sesuai dengan tempat dan masanya ini. Dia lantas melabuhkan punggungnya di atas meja Fandi, hampir di tengah-tengah meja itu, bukan di kerusi di hadapannya.
Kakinya disilangkan. Pos istimewa itu setanding dengan pos seorang model di dalam iklan fesyen, siap dengan senyuman yang menawan.
“Awak telah menyerbu masuk ke pejabat saya dua minggu yang lepas.” Ilia mengingatkan Fandi. Dia kemudiannya menyondongkan badannya ke hadapan ke arah Fandi. Aksinya betul-betul memberikan tamparan yang hebat kepada Fandi yang sedang cuba mengawal nafsunya itu.
“Baiklah. Tapi silalah duduk di kerusi yang telah disediakan tu, takut nanti roboh pula meja saya ni nanti.”
Sempat Fandi memerli, cuba menangkis godaan yang dia tahu sedang ditujukan kepadanya. Untuk apa Ilia melakukannya, dia tidak pasti. Apa yang dia tahu, wanita di hadapannya ini memang membahayakan, terutama kepada kesihatannya. Tidurnya semakin tidak lena dan makannya juga tidak lalu kerana asyik teringatkan aksi-aksi manja wanita itu.
Ilia hanya tersengih dengan teguran yang dilemparkan oleh Fandi. Tidak diendahkan sindiran itu, malah sebaliknya, diketuk-ketuk meja itu dengan jari jemarinya yang runcing dengan perlahan. Nada yang kedengaran sedikit bermelodi.
“Eleh, inikan kayu mahogani. Besar dan teguh. Kita berdua di atasnya pun belum tentu ia akan runtuh.” Ilia mengangkat-angkat keningnya sambil terus tersenyum.
Hish, mak Datin ni, lebih-lebih pulak. Macam orang ketagih aje… getus Fandi dalam hatinya.
Teringat dia kepada persepsi orang ramai terhadap kebanyakan janda-janda. Mungkin juga ini adalah salah satu dari contohnya.
Fandi berterusan menatap wajah Ilia tanpa berkata sepatah pun perkataan. Malas dia mahu melayan wanita itu ketika ini. Dia pasti Ilia akan memberitahu tujuannya ke sini sebentar lagi.
“Saya nak tahu untuk apa awak berjumpa dengan ahli lembaga pengarah saya? Apa tujuan awak yang sebenarnya?”
Benar seperti sangkaannya, omel Fandi dalam hati.
“Kan saya dah beritahu awak dari awal lagi yang saya tak akan menyerah kalah begitu sahaja. Lagi pun saya tidak melakukannya secara bersembunyi. I’m not doing it behind your back.” Itu kata yang keluar dari bibir Fandi.
Because your back is too small for me to do anything without you noticing it. Itu kata yang keluar dari hatinya pula.
“Perlu ke saya memberitahu awak segala pergerakan saya?” Fandi berjeda. Ingin membiarkan Ilia menimbangkan apa yang dikatakannya. Dia tidak mahu dituduh sembarangan.
“Awak bukannya sekretari saya. Sekretari saya ada di luar sana tu, bersama jadual saya sehingga sebulan yang akan datang. Dan untuk pengetahuan awak, saya berjumpa ahli lembaga pengarah awak tu ketika waktu pejabat dan di pejabat mereka. Tidak salah, kan?” Fandi menyambung bicara.
“Memang tidak salah, tapi awak dah kira lawan tokehlah ni.”
Omel Ilia sambil bangkit dari meja itu. Cukuplah setakat itu sahaja aksinya buat masa ini. Penat juga meliuk lentuk begitu, mahu patah pinggangnya jika dia beraksi lebih lama lagi di situ.
“Saya juga nak mengingatkan awak yang perbuatan awak tu tidak akan mendatangkan faedah ataupun kebaikan kepada awak mahupun saya. Awak membazirkan waktu awak dengan cubaan awak untuk mempengaruhi dan memujuk saya untuk bersetuju dengan idea gila awak tu. Dan awak juga mempertikaikan kewibawaan saya.”
“Durra, saya tidak mempertikaikan kewibawaan awak tu. Saya cuma mahu mencuba cara yang saya rasakan akan dapat menangani dilema dan masalah saya ni.”
“Fandi, saya sebenarnya nak juga lihat sejauh mana awak akan bertindak untuk berjaya di dalam rancangan awak ni. Tak perlu menggunakan ahli lembaga pengarah saya. Awak kena pujuk saya. Saya nak juga tengok kepakaran awak dalam hal pujuk memujuk ni.” Ilia mencabar Fandi. Dia berjalan mendekati Fandi.
Terlalu dekat sehinggakan Fandi terhidu bau wangian Poison yang dipakai Ilia.
Wangian yang sedikit kuat itu bagaikan racun yang telah meresap masuk ke dalam urat saraf Fandi. Begitu mengasyikkan dan sedikit sebanyak ia telah melekakan Fandi. Fikirannya mula nakal memikirkan adegan yang ingin dilakukannya bersama Ilia.
Namun nasibnya baik kerana deringan telefon di mejanya membawa dia kembali ke alam realiti. Diangkat gagang telefon itu untuk menjawab panggilan.
“Encik Umar, pelanggan yang you tengah tunggu tu dah pun tiba. You nak dia tunggu dulu ke atau dia boleh jumpa you sekarang?” Raihana bertanya untuk kepastian.
“Ask him to give me a few more seconds. Tetamu saya yang kat dalam ni akan beredar sebentar lagi.”
Fandi meletakkan gagang telefon tanpa menunggu jawapan dari Raihana.
Tanpa disedari, Ilia telah pun bergerak ke sisinya. Begitu dekat sehingga desah nafas Ilia yang panas mengena pipinya.
Fandi menoleh ke arah Ilia. Dia hampir terkedu. Bibirnya hanya beberapa inci sahaja dari bibir merah Ilia yang sedang menyondongkan tubuhnya ke arah Fandi.
Pandangan mata Fandi tertancap ke bibir yang ranum itu. Bibirnya sedikit terbuka, bagaikan mengharapkan sesuatu.
“Thanks for your time.” Ilia berkata lembut. Dihembus nafasnya perlahan agar membelai wajah Fandi. Matanya redup merenung jauh ke dalam mata Fandi. Sesaat dia begitu, namun dunia bagaikan telah berhenti berputar.
Ilia akhirnya mengundurkan diri.
Fandi memerhatikan sahaja jejak Ilia yang melangkah keluar.
Sebaik sahaja tubuh itu menghilang di sebalik pintu, barulah Fandi dapat bernafas semula. Untuk pertama kali dalam hidupnya, Fandi terasa bagaikan dirinya disedut ke dalam ruang hampa gas, dan dia terkapai-kapai untuk mencari tempat untuk bertaut.


ILIA memandu keretanya pulang ke pejabat. Tersenyum dia dengan adegan di pejabat Fandi yang baru sebentar tadi ditinggalkannya.
Sebenarnya dia sengaja datang menjengah. Tidak dilakukannya sebelum ini kerana dia tidak punya alasan yang lebih kukuh untuk berbuat demikian.
Namun peluang yang terbuka tidak dibiarkan begitu sahaja. Sebaik Datuk Mirzan memberitahu yang dia dikunjungi oleh Fandi di pejabatnya, tanpa berlengah Ilia berkejar ke pejabat Fandi. Tujuannya cuma satu. Ingin ditatap wajah yang dirindunya itu.
Hakikatnya Ilia sedar yang dia sememangnya telah jatuh hati kepada lelaki itu. Kalau tidak, masakan wajah itu yang kerap bertandang di matanya. Wajah itu jugalah yang kerap menghiasi mimpinya.
Mimpinya tidak lagi seperti dahulu. Walaupun kadang kala mimpi itu tidak seindah yang diharapkan, namun Ilia bagaikan telah dapat mengawal perasaannya kini.
Keresahan kala jaganya juga semakin kurang kerana dia kini ditemani oleh senyuman Fandi yang memberikan dia tenaga untuk mengharungi hari-hari yang dilalui.
Ilia juga sedar realiti kehidupannya itu.
Mungkin hanya dia yang syok sendiri. Mungkin hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Mungkin Fandi tidak pernah memikirkan tentang dirinya. Mungkin juga Fandi telah ada teman istimewa yang menjadi kekasih hatinya.
Namun Ilia tidak ingin mengalah begitu sahaja. Kerana itulah dia jadi begini. Biarlah orang mengatakan yang dia adalah perigi yang mencari timba.
Yang penting, hatinya. Dan hatinya berkata, walaupun mungkin Fandi tidak senang dengannya, tapi dia harus mencuba. Biarlah orang mengatakan yang hidungnya tidak mancung dan pipinya pula tersorong-sorong, dia tidak akan menghiraukannya.
Biarlah sekali sekala dia menonjolkan dirinya di hadapan lelaki itu. Biarlah kejutan demi kejutan diberikan. Mungkin suatu hari nanti lelaki itu akan memberi peluang kepadanya. Mungkin suatu hari nanti lelaki itu akan tertarik juga kepadanya.
Siapa tahu? Tak salah mencuba kerana jika tidak dicuba, dia sendiri pasti tidak akan tahu apa hasilnya kelak. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dan sekiranya dia tidak berjaya nanti, barulah Ilia akan menerima hakikat bahawa Fandi bukan untuknya.
Ketika itu barulah dia akan hanya memandang dari jauh. Biarlah ketika itu dia menjadi seperti pungguk yang rindukan bulan. Dia akan reda dengan ketetapan itu, jika memang itu takdirnya kelak.

No comments: