Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC12

Semakin kawasan banglo yang didiaminya di Bukit Tunku itu dihampiri, semakin Ilia rasa gelisah. Memang tadinya dia rasa gembira dengan pertemuannya dengan Fandi malam ini, tapi kini dia mula merasakan yang sebaliknya.
Perasaan itu semakin menghimpitnya. Dia sedar akan puncanya.
Perasaan itulah yang sering menjenguknya ketika dia sedang bersendirian. Perasaan itu jugalah yang akan menjenguknya tatkala melihat kegembiraan yang sedang di kecapi oleh orang lain.
Dia cemburu dengan kekalutan yang sering dialami oleh ibu-ibu yang sedang menangani karenah anak-anak kecil mereka di pusat-pusat membeli-belah dan di taman-taman. Dia cemburu dengan ilai riang dan gelak ketawa yang datangnya dari sebuah keluarga yang sedang menghabiskan masa mereka walaupun hanya sekadar di sebuah restoran makanan segera.
Dia mendambakan itu semua. Tapi entah bilalah agaknya semua itu akan dapat di kecapinya.
Mata Ilia melirik memandang ke arah lelaki yang sedang memandu di sebelahnya untuk menghantarnya pulang ke mahligainya yang sunyi itu.
Ilia sedar, apabila tiba di situ nanti, perasaan yang telah bergolak bagaikan dilanda ribut sejak seminggu yang lalu pasti tidak akan menjengahnya lagi dalam waktu yang terdekat ini.
Apakah masih ada peluang baginya? Fikirnya sayu. Kesedihan mula bertapak di jiwa. Hatinya pula merintih sendu. Wajahnya murung memikirkan detik-detik sepi yang bagaikan tiada kesudahannya itu.


SEGALA kemaruk yang sedang dirasakan oleh Ilia, tidak disedari oleh Fandi. Dia sendiri sedang melayan badai perasaannya. Gelora yang sedang melanda sedang cuba hendak ditenangkan.
Akhirnya mereka tiba juga ke banglo Ilia. Fandi memberhentikan keretanya di perkarangan banglo itu dengan tenang.
Ilia tidak berganjak dari tempatnya. Dia hanya memerhatikan sahaja banglo itu dari dalam kereta. Fikirannya menerawang seketika.
Banglo dua tingkat sepuluh bilik itu memang terlalu besar untuknya hidup bersendirian. Banglo itu terlalu sunyi. Tapi itulah mahligainya kini. Ilia pasrah.
Pernah juga dia terfikir untuk menjualkan sahaja banglo mewah itu, tapi ditahannya sahaja buat masa ini. Mungkin bila suatu hari kelak dia akan berkeluarga baru, mungkin saat itu, banglonya ini akan bertukar menjadi sebuah mahligai yang diimpikannya. Dia perlu bersabar dan semoga kesabaran itu akan membuahkan hasilnya nanti.
Untuk menghilangkan kesunyiannya itu, pernah Ilia mempelawa Munirah dan suaminya untuk tinggal di situ menemaninya, tapi Munirah telah menolaknya.
Bukannya apa, sayang untuk meninggalkan rumah mereka begitu sahaja. Apatah lagi, rumah mereka berdekatan dengan sekolah, jadi lebih mudah bagi anak-anaknya untuk ke sekolah saban pagi.
Sekali sekala, menjelang cuti sekolah, Ilia menjemput mereka untuk tidur di rumahnya dan menggunakan kolam mandi yang jarang sekali digunakan itu. Biarlah anak-anak mereka yang menggunakannya.
Sekurang-kurangnya, pada waktu itu akan riuh rendahlah suasana banglo itu dengan gelak ketawa anak-anak Munirah seramai tiga orang itu. Hilang sedikit perasaan sunyi yang sentiasa datang menziarahinya.


LAMUNAN Ilia terhenti. Fandi telah membuka pintu kereta untuknya. Dia melepaskan keluhan kecil sebelum dia melangkah keluar. Dibiarkan Fandi menutup pintu kereta.
Dilemparkan pula sebutir senyuman manis kepada jejaka yang sedang berdiri segak di sebelahnya itu. Di bawah sinaran lampu di perkarangan taman itu, terserlah ketampanan lelaki itu yang kini menjadi igauan tidurnya.
“Thank you for tonight. That was fun, regardless of the outcome…!” Ilia ingin memberitahu bahawa usaha Fandi pada malam itu hanya sia-sia.
Fandi merenung tajam ke dalam anak mata Ilia. Dalam kesamaran itu, pandangannya dirasakan begitu redup dan mengasyikkan. Tanpa amaran, jantung Ilia kembali berdegup kencang.
“Saya tak akan mengaku kalah begitu sahaja,” suara Fandi seakan berbisik lembut di telinganya, terasa intim dan menggoda.
Jantung Ilia bagaikan menendang kuat ke tulang rusuknya. Dia keliru.
Adakah Fandi sedang menyatakan tentang proposal itu ataupun sedang menyatakan sesuatu yang lebih berbentuk peribadi?
“Apa yang awak nak buat lagi?” Ilia mengangkat keningnya kepada Fandi.
“Eh! Takkanlah saya nak beritahu awak pulak, Durra?” Fandi tersenyum nakal sambil menyandarkan tubuhnya ke dinding kereta.
Senyumannya itu membangkitkan kembali perasaan Ilia yang hampir terlena sebentar tadi.
“Mestilah. Forewarned is forearmed. Saya mesti bersedia untuk menangkis segala kemungkinan.” Ilia lembut memujuk. Suaranya begitu manja dan menggoda.
“Rasanya, biarlah ia menjadi satu kejutan buat awak, Durra.” Fandi cuba mengelak dari memecahkan rahsia yang ingin dikorek oleh Ilia.
“Janganlah nak muncung pula. Macam muncung itik,” sambung Fandi sambil mengusik bila dilihatnya Ilia sudah memuncung, seperti mahu merajuk.
“Mana ada….” Ilia menafikan sambil tertawa lembut.
Fandi merenung wajah Ilia yang disinari cahaya lampu. Wajah yang sebentar tadi suram, kembali ceria. Semakin manis, semakin ayu.
Fandi mengangkat tangannya menghampiri wajah Ilia. Ingin disentuhnya wajah itu. Ingin dikucup bibirnya yang merah.
Semakin menghampiri. Hampir tersentuh, namun dia kembali tersedar akan perbuatannya. Pantas ditarik kembali tangannya.
“Ahem…” Fandi melegakan kerongkongnya seketika. Kerongkong itu terasa sempit. Dia melarikan dirinya agak jauh dari sisi Ilia agar tidak tersentuh tubuh itu. Dialihkan pandangannya pula ke arah banglo mewah di hadapan matanya.
Apa agaknya yang dilakukannya di dalam rumah itu, Fandi berfikir sendiri. Banglo itu terlalu besar buat seorang wanita seperti Durra. Pasti bahaya tinggal di situ sendirian. Nasib baiklah juga dia mempunyai seorang pengawal untuk memastikan keselamatannya di situ.
Fandi menoleh pula ke arah pondok pengawal yang terletak agak jauh dari perkarangan banglo. Kehijauan dan kegelapan yang menyelubungi perumahan di Bukit Tunku itu memencilkan lagi lokasinya. Kalau ada apa-apa yang berlaku, pasti sukar untuk orang lain mengetahuinya, fikirnya lagi.
Resah mula menapak. Bila fikirannya berputar memikirkan segala kemungkinan yang mungkin terjadi kepada wanita di sisinya itu, Fandi jadi semakin risau untuk meninggalkan Durra di situ.
Oi, Fandi, kau dah lupa ke? Dia kan ada seorang pembantu rumah, hatinya berbisik mengingatkan. Baru dia teringat semula kepada perempuan yang ditemuinya awal malam tadi. Memandangkan malam semakin larut, pasti pembantu rumahnya itu sudah tidur tanpa menunggu Durra pulang terlebih dahulu.
Perlahan Fandi mengekori Ilia menuju ke pintu utama. Setibanya di situ, diambilnya kunci yang telah tersedia di tangan Ilia untuk membukakan kunci pintu rumah tersebut.
Memang gentleman jejaka ku ini, getus hati kecil Ilia sambil tersenyum sendiri. Dipandang Fandi yang membelakangkannya.
Cahaya lampu yang samar, menyapa keluar sebaik sahaja pintu utama itu ditolak ke dalam. Setelah dipastikan keadaan di dalam agak selamat, Fandi menyerahkan kembali kunci di tangannya kepada Ilia.
“Well, thank you for tonight. Saya rasa seronok kerana dapat keluar dengan awak, Durra. Walaupun masih tiada keputusan, tapi hati saya puas kerana dapat mengenali awak dengan lebih rapat lagi.” Fandi merenung Ilia yang telah pun melangkah masuk ke dalam tapi masih berdiri menghadapnya di muka pintu.
Ilia tidak berkata apa-apa. Dia menyepikan diri. Namun tersimpul sebutir senyuman di bibirnya. Dia tampak begitu ayu dan manis.
Seketika kemudian, Ilia mengangkat tangan kanannya ke bibir. Dikucupkan sebuah ciuman di tapak tangannya itu, kemudian dihembuskan bayangan ciuman itu ke arah Fandi.
Terkesima Fandi dengan aksi itu, tapi hanya sesaat. Secara berseloroh, Fandi mula memberi reaksi. Tangan kanannya didepangkan, seolah-olah menangkap ciuman yang telah dihembuskan ke arahnya itu, lalu dilekapkan ke dadanya, sebagai tanda ciuman itu melekat terus ke dalam hatinya. Dia tersenyum sambil mengenyit nakal matanya ke arah Ilia.
Giliran Ilia pula yang tersipu-sipu. Namun begitu, semakin lebar senyuman yang dilemparkan kepada Fandi. Tanpa banyak bicara, perlahan dia menutup daun pintu itu sambil masih merenung manja kepada Fandi.
Fandi juga masih merenungnya di situ, seolah-olah dia juga keberatan untuk meninggalkan Ilia. Dia hanya memerhatikan bayangan Ilia yang semakin hilang dari pandangannya. Akhirnya dia melangkah menuju ke keretanya kembali.
Sebaik sahaja pintu itu tertutup rapat dan dikunci dari dalam, Ilia menyandarkan dirinya ke daun pintu. Senyuman masih melekat di bibirnya. Ditarik nafasnya dalam-dalam.
Ingin disimpan rapat saat-saat manis yang baru ditempuhinya ke ruang hatinya. Ingin dipahat kejap ke dalam ruang memorinya.
Walaupun dia sendiri sebenarnya malu dengan tingkah lakunya malam ini, namun itu hanyalah cubaannya untuk menggapai impiannya. Tanpa usaha, impiannya tidak akan berjaya.
Seperti yang diberitahu Fandi seminggu yang lepas, tidak salah bermimpi, tapi jangan sehingga menjadi seperti Mat Jenin.
Itulah yang ingin dijadikan tunggak. Dan dia amat berharap yang Fandi akan menghubunginya lagi. Ataupun mungkin juga dia akan dapat memberanikan dirinya untuk menghubungi Fandi kelak.
Ilia amat berharap yang dia akan dapat mengorak langkah sekali lagi untuk memikat lelaki yang menjadi igauannya kini. Sambil melangkah menuju ke biliknya, Ilia sedar yang mimpinya malam ini pasti akan menjadi suatu yang indah dan menyeronokkan.

No comments: