Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SGK6

PEMERGIAN lelaki itu melegakan hati Syirin. Dia terus menghabiskan makanan dan minuman yang ada di hadapannya. Setelah selesai, dia memanggil pelayan gerai dan lalu membayar harga makanan dan minumannya. Kemudian dia melangkah pulang menuju ke hotel tempatnya menginap.
Walaupun pada mulanya dia mahu meneruskan usaha untuk mencari Erman. Namun keletihan telah mula menjalar ke dalam diri Syirin. Nampak gayanya, terpaksalah ditangguhkan dahulu pencariannya itu sehingga esok agar keletihan badannya dapat dihilangkan terlebih dahulu. Badan yang segar pasti akan membantu di dalam memfokuskan mindanya.
Dia mula terbayangkan biliknya yang berhawa dingin. Angin pantai yang menghembus lembut dan sepoi-sepoi bahasa serta pemandangan tepian pantai yang mengasyikkan itu menjadikan Syirin terleka seketika.

“NURUL…” perlahan sahaja nada suara seorang lelaki di belakangnya, namun ia sudah cukup untuk mematikan lamunan Syirin.
Syirin mengambil beberapa saat untuk menoleh ke belakang. Reaksi spontan diberikan kepada pemanggil yang menggunakan nama awalnya, Nurul Asyirin. Bagaimana pun, baru dia tersedar yang dia mungkin telah melakukan kesilapan.
Ini tempat baru, daerah yang cukup asing buatnya. Tiada sesiapa yang mengenalinya di sini, apatah lagi nama yang terucap tadi dipanggil dengan nada yang begitu mesra. Agak terlewat untuk berpusing semula. Biar malu tapi mungkin juga dia boleh mengetahui siapa lagi yang bernama Nurul di situ.
Sebaik sahaja dia berpusing ke arah suara tadi, Syirin terkesima. Wajah lelaki yang di gerai tadi kini berada di hadapannya. Tiada orang lain di situ. Entah bila dia diekori, Syirin langsung tidak menyedarinya.
Lelaki itu memandang Syirin sambil bercekak pinggang. Walaupun ketinggian Syirin adalah 5 kaki 4, dia terasa begitu kerdil bila berhadapan dengan lelaki itu. Dia terpaksa mendongakkan sedikit kepalanya. Badan lelaki itu juga agak sasa dan tegap, matanya yang tajam itu memerhatikan sahaja gerak geri Syirin.
Syirin memerhati keadaan sekeliling sekali lagi. Kawasan taman menyusuri sungai di pantai itu sepi dari orang ramai. Syirin kaget. Keadaan tentu akan menjadi sukar jika dia ingin meminta pertolongan sekiranya terjadi sesuatu di luar dugaan kelak. Syirin cuba mengawal emosinya agar tidak kelihatan terlalu ketara kepada lelaki itu.

“APA yang awak hendak?” Syirin cuba berlagak berani tetapi suara yang keluar nyata tersekat-sekat dan takut-takut.
Lelaki itu pula hanya tersenyum sinis seakan mengejeknya.
“Apa jenis soalan yang kau tanya ni?”
“Sudah pasti aku hendakkan kau. Aku telah mencari kau di merata-rata tempat. Pandai kau bersembunyi sampai sukar aku hendak menjumpai kau. Siapa sangka, rupa-rupanya aku akan berjumpa dengan kau di sini...”
Syirin mula terasa sesak nafas. Jantungnya berdegup kencang. Dia berdiri kaku di situ. Otaknya mula berputar ligat, memikirkan segala macam kemungkinan yang bakal terjadi. Tiba-tiba dia teringatkan kes-kes rogol yang semakin berleluasa. Semakin kecut perutnya. Apakah lelaki ini tergolong di dalam golongan yang tidak diingini ini?

“DAN memandangkan aku dah pun jumpa kau…”
Selangkah yang diambil oleh lelaki itu bagaikan memberikan satu bentuk tenaga yang datang entah dari mana kepada Syirin. Dia berpusing ke arah hotelnya dan cuba menyelamatkan diri.
Bagaimana pun tindakannya itu sia-sia saja. Lelaki itu terlebih dahulu menghulurkan kakinya ke hadapan kaki Syirin, lalu menghalang lariannya.
Syirin tersungkur. Dengan pantas dia bangun semula. Lelaki di hadapannya tersenyum mengejek, seolah-olah ingin memberitahu bahawa usahanya untuk menyelamatkan dirinya akan menemui jalan buntu.
Siapakah lelaki ini? Teringat kembali nama yang dipanggilnya sebentar tadi. Bagaimana lelaki itu tahu namanya? Perlahan Syirin menapak ke belakang. Air matanya sudah mula bergenang. Mukanya pula semakin pucat lesi.
“Si.. siapa awak?” Syirin bertanya dengan suara yang terketar-ketar.
“Apa yang awak mahu?”
“Hei, apa ni Nurul?” marah lelaki itu. Suaranya kedengaran seperti bengang dan kehairanan. Nada cemuhan dan ejekan telah tiada.
“Kau tahukan siapa aku ni!” lelaki itu menjerkah lagi.
“Saya tak tahu!!” Syirin menidakkan kata-kata lelaki itu.
“Saya tak kenal siapa awak! Saya tak pernah pun tengok muka awak seumur hidup saya!”
“Hei, Nurul, kau dengar sini baik-baik...” lelaki itu berkata perlahan tapi penuh dengan nada amaran. Tangannya telah mula ditudingkan ke arah Syirin.
“Aku tak tahu apa permainan kau, tapi semua tu sia-sia aje. Jangan nak berlakon lagi. Kau tahu siapa aku yang sebenarnya dan aku juga tahu siapa kau. Walaupun tempoh perkahwinan kita terlalu singkat, setakat lima bulan sahaja tapi aku pasti tak akan dapat melupakan isteri yang pernah aku nikahi…!!” satu kenyataan tetapi penuh dengan nada kekesalan. Nada yang menyatakan perasaan lelaki itu yang sebenarnya di sebalik kata-kata yang diucapkannya sebentar tadi, yang tersirat di sebalik yang tersurat.

KATA-KATA lelaki itu bagaikan satu ledakan bom kepada Syirin.
‘Isteri…..?’ fikiran Syirin berputar ligat, badannya terasa bagaikan melayang seketika.
Peristiwa yang baru sebentar tadi berlaku ada juga logiknya. Pasti lelaki ini Erman, suami Syirah. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan suami Syirah dalam masa yang sesingkat ini, tidak seperti yang dirancang.
Satu kebetulan. Suatu pertemuan yang amat tidak dijangkakan. Lelaki itu telah memanggil namanya, atau lebih tepat lagi nama isterinya, Nurul Asyirah. Syirin sedar bahawa lelaki itu sebenarnya memanggil Syirah, kembarnya. Bukannya dia. Sudah tentu lelaki ini menyangka bahawa dia adalah Syirah kerana wajah mereka yang serupa.
Bagaimanapun, timbul syak di hati Syirin. Kalau ini suami Syirah, siapa pula lelaki yang dilihat di dalam gambar kelmarin? Lelaki ini juga jauh lebih tua daripada lelaki yang berada di dalam gambar tersebut. Wajah dan penampilannya juga berbeza. Lelaki ini jauh lebih matang.
Ahhh, semuanya mengelirukan Syirin. Cuma satu yang pasti, kalau betul beginilah perangai suami Syirah, tidak hairanlah kenapa Syirah melarikan diri.
Sungguh menakutkan. Kecut perut dibuatnya. Patutlah Syirah seperti kehilangan punca semasa pulang menemui Syirin sebelum kematiannya.
Walau pertemuan ini tanpa diduga, sekurang-kurangnya pencarian Syirin telah berakhir. Syirin memandang tepat ke arah muka Erman.
Rupanya dia juga sedang memerhatikan gerak geri Syirin, menanti dan menunggu apakah reaksi Syirin yang seterusnya. Pandangannya yang sungguh tajam dan jelik itu mengganggu konsentrasi Syirin. Ditelannya air liur supaya lebih mudah dia berkata-kata.

“SAYA bukannya isteri awak.” cuba mengawal suaranya agar kedengaran lebih tenang tapi tidak berjaya. Suaranya masih takut-takut. “Awak ni dah silap! Saya…”
“Kau ni memang boleh menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik!” suara sinis Erman mematahkan kata-kata Syirin untuk menjelaskan kedudukan perkara yang sebenar.
“Pakaian kau dan lakonan kau memang bagus sekali. Kau memang boleh tipu orang yang tak tahu duduk perkara yang sebenarnya. Orang yang tidak mengenali siapa kau. Tapi tidak aku! Kau isteri aku dan cincin yang kau pakai di jari manis kau tu adalah cincin tunang yang aku berikan pada kau dulu. Aku masih belum lupakan cincin tu. Cita rasa kau memang mahal!”
“Tidak!” Syirin cuba membantah, baru tersedar yang dia telah melakukan kesilapan dengan memakai cincin itu. Tujuannya hanyalah untuk memudahkan dia mencari cincin itu apabila hendak diserahkannya kepada Erman kelak. Mana tahu sebaliknya ia telah menimbulkan salah faham di antara mereka berdua.
“Betul,” Erman bersetuju.
“Dan tak payahlah lagi kau nak bersusah payah cari alasan lain. Tak payahlah kau nak reka cerita tentang ahli keluarga kau pulak. Aku masih ingat lagi yang kau pernah beritahu aku yang kau ni sebatang kara aje di dunia ini, tanpa sanak saudara. Tak payahlah nak reka cerita lain pulak sekarang ni.” sambung Erman sambil menjegilkan matanya.

BUNTANG mata Syirin mendengar penjelasan Erman. Terkesima seketika.
Tidak disangka yang Syirah sanggup mengaku dirinya sebatang kara. Sedih hatinya kerana Syirah tidak mengakui akan kewujudan dia dan Mimi di dunia ini, walaupun kepada suaminya sendiri.
Dalam kesedihan itu, kini dia sedar adalah agak sukar untuk dia menerangkan perkara yang sebenarnya kepada Erman. Pasti lelaki itu tidak mahu mendengar apa pun jua alasan yang hendak diberikan. Alangkah malangnya sekiranya Erman tidak lagi mahu percaya kepada apa yang mahu dikatakannya.

“TAK ada apa-apa yang nak kau cakapkan? Selalunya kau mesti banyak idea, banyak alasan. Kenapa diam?” lelaki itu mengejek. Matanya dingin, tanpa perasaan.
“Tolonglah dengar … ” baru saja hendak memulakan kata-kata, timbul pula perasaan teragak-agak. Hatinya kecut bila direnung begitu. Wajah duka Syirah semasa hidupnya sebelum pulang ke rahmatullah pula terbayang di depan mata. Rasa hiba bila terkenangkan kedukaan yang dirasai oleh Syirah jika kembarnya betul-betul sayangkan lelaki ini. Tanpa disedari Syirin, air mata sudah bergenang di kolam matanya dan mengalir perlahan di pipi.
“Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada!” lelaki di hadapan Syirin mendengus.
“Nurul, dengar sini! Aku tahu segala tipu helah kau tu. Tak ada apa-apa yang kau akan dapat dengan berperangai macam ni. Kau tengok sini…” dia mengambil tangan kanan Syirin dan mengangkatnya ke atas, separas dengan mata Syirin.
“Beritahu aku…” katanya.
“Adakah ini cincin yang aku belikan untuk isteri aku?”
Perasaan lega menyelinap ke tubuh Syirin. Soalan ini dapat dijawab dengan tepat tanpa banyak persoalan. Dia menganggukkan kepalanya.
“Satu pengakuan akhirnya! Nampaknya kau ni macam diserang amnesia secara tiba-tiba. Mungkin aku patut ingatkan sikit siapa diri aku ni kepada kau.” dia membongkokkan sedikit badannya di hadapan Syirin.
“Nama aku, Erman.” dia berkata perlahan-lahan sambil menunjuk kepada dirinya dengan ibu jari. Gayanya seolah-olah seperti seorang guru yang sedang memberi tunjuk ajar tentang mata pelajaran yang sukar kepada anak muridnya.
“Dan kau adalah…”
Bibir Syirin terasa kering. Takut-takut, dia membasahkan bibirnya. Hanya ada satu perkara yang patut diberitahu kepada Erman dan sudah pasti lelaki itu tidak akan mempercayainya….
“Saya adalah Nurul Asyirin.” serak suara Syirin dan tanpa sedar, matanya yang bundar itu cuba meraih simpati dari Erman.

ERMAN menggelengkan kepalanya. Semakin ketara kemarahan yang tersirna di wajahnya. Masih dicuba untuk menahan kemarahannya dari meledak.
“Tidak! Itu tak tepat. Itu bukan jawapannya.” Erman menyatakan dengan keras. Giginya terketap kejap.
“Tapi saya bukanlah…” Syirin memaksa dirinya untuk mencuba sekali lagi tanpa membangkitkan kemarahan Erman. Dia tidak mahu menjadi mangsa kemarahan lelaki tersebut. Agak payah untuk dia menghadapinya kerana situasi sebegini tidak pernah dilaluinya seumur hidup.
“Tolonglah dengar. Saya ni bukannya Nurul Asyirah. Dia…” perkataan yang ingin diluahkannya itu tersangkut di kerongkongnya, seolah-olah ingin menjerutnya. Dia memaksa dirinya untuk meluahkan kata-katanya sekali lagi. “Dia dah meninggal dunia dan…”
“Hei Nurul, memang dah banyak kali aku doakan yang kau ni memang lebih baik mati aje daripada hidup menyusahkan orang lain! ” Erman menjerkah, memotong kata-kata Syirin.
“Kalau kau masih nak teruskan dengan lakonan kau ini, baiklah. Kau boleh teruskannya. Tapi aku tak akan bertanggungjawab dengan akibat yang bakal kau terima nanti.” Erman mula mengugut.
“Kenapa pulak?”
“Kau nak aku percaya dengan apa yang kau cakapkan tu? Heh! Kau adalah bukti yang terbaik yang mengatakan kau ni masih hidup dan berada di depan mata aku sekarang ni. Sekali lagi. Siapa kau yang sebenarnya?” Erman meluahkan kejengkelan yang dirasakan kala itu. Kesabarannya makin sukar untuk dibendung.
Syirin membungkam. Lidahnya kelu. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menjawab persoalan Erman. Perkara sebenar telah pun diberitahu kepada Erman dan dia tidak mahu mempercayainya.
‘Hish, apa yang perlu aku buat ni?’ Syirin buntu memikirkan jalan penyelesaian. Tidak tahu apa tindakan yang patut diambil.
‘Rin, kau tak akan rugi apa-apa sekiranya kau mengaku bahawa kau adalah Syirah.’ Idea gila itu tiba-tiba muncul di benaknya tanpa di undang.
Segala apa yang diperkatakan oleh Erman sebentar tadi membayangkan yang Syirah adalah orang terakhir yang dia ingin jumpa.
‘Kenapa tidak kau mengaku aje yang kau tu Syirah? Mana tahu, mungkin dia akan lepaskan kau?’ Syirin bermonolog lagi dalam dirinya.
Mungkin di sini ada logiknya. Sekiranya Syirin memberitahu Erman apa yang dia ingin dengar, mungkin juga Erman akan melepaskan dia pergi dan meninggalkannya bersendirian di situ.
‘Tapi bagaimana pula dengan Mimi?’ Syirin bermonolog lagi.
Air matanya mula bergenang di kelopak mata. Hatinya bagai dihiris sembilu apabila terkenangkan adiknya yang kini keseorangan terlantar di hospital, bersendirian dan kesakitan.
Syirin amat berharap agar Mimi mengerti akan kegagalannya nanti. Sememangnya lelaki ini adalah harapan terakhir Syirin untuk masa depan Mimi yang lebih cerah. Adakah lelaki ini akan sudi menghulurkan bantuan seperti yang diharapkan?
Syirin mengelipkan mata agar air matanya tidak mengalir jatuh. Sekilas pandang ke muka Erman yang tegang itu, membuat Syirin merasakan bahawa harapan itu semakin tipis.
‘Dia tampak seperti seorang yang kasar dan tidak berhati perut. Adakah kerana sikapnya itu membuatkan Syirah melarikan diri daripadanya? Apakah dia sudi membantu, sekiranya dia tahu yang aku ni hanya kembar kepada Allahyarham isterinya?’ bermacam persoalan bermain di minda Syirin.

“NURUL!” ledakan suara Erman yang sudah cukup membuatkan Syirin tersentak.
Tidak pernah dirasainya perasaan takut sebegini. Fikirannya libang-libu, terasa bagai dia ingin menjerit sekuat hati agar hilang segala apa yang terbelenggu di minda. Tapi beranikah Syirin untuk berbuat sedemikian kerana perasaan takutnya semakin menebal? Apa adakah cara lain untuk dia menenangkan Erman supaya dia dapat meluahkan apa yang terbuku di hatinya? Konflik yang sedang bermain di fikiran Syirin mematahkan cubaannya untuk berkata-kata. Di dalam kekeliruan yang melanda, Syirin terdengar Erman bersuara.
“Kita perlu berbincang!”akhirnya Erman berkata tegas. Syirin hanya mampu menganggukkan kepalanya, bersetuju dengan kata-kata Erman.
“Tapi bukan di sini. Kau tinggal di hotel mana? Kita berbincang di bilik kau saja.”
“Tak boleh!” pantas Syirin membantah.
“Takkan kita nak berdiri saja di sini sepanjang masa? Hari sudah semakin gelap.” Erman berjeda.
“Macam nilah, Nurul. Kau boleh pilih untuk bercakap di bilik kau tu, ataupun kita balik ke rumah aku. Terserah pada kau. Macam mana?”
Syirin terkesima.
Apakah pilihan yang dia ada?
Pulang ke rumah Erman bermakna dia akan berada di sarang lelabah dan dia akan berada di dalam keadaan yang lebih tertekan daripada apa yang sedang dialaminya ketika ini. Seperti pepatah yang pernah dibacanya ‘the fly is entangled in the web – come to my house, lure the spider to the fly.’
Pulang ke hotel pula, sekurang-kurangnya peluang untuk dia menjerit meminta tolong pasti ada jika keadaan memerlukan dia berbuat demikian..
“Kalau macam tu, baiklah, kita pergi aje ke bilik saya.” Dia bersetuju akhirnya walaupun tanpa rela.
“Rugilah kalau macam tu,” Erman berjeda.
Syirin memandangnya kehairanan.
“Kau kan tak pernah ke Vila Impian? Kau tak tahu peluang apa yang kau telah lepaskan. Tapi tak apa, itu pilihan kau. So, kau tinggal di hotel mana?”
“Seri Malaysia,” jawab Syirin, masih bungkam.
Sekali lagi kening Erman terangkat persis gaya Ziana Zain bila mendengar kata-kata Syirin. Timbul rasa kurang percayanya mengapa hotel itu yang menjadi pilihan, setahunya isterinya itu mempunyai cita rasa tinggi. Tapi bila dia terpandangkan pakaian yang dipakai oleh ‘Syirah’, dia mula mengerti. Mungkin ada sesuatu yang dia tidak ketahui sedang berlaku.

No comments: