Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, October 19, 2010

SPC20

Cahaya bulan yang penuh itu dipantulkan oleh air kolam yang tenang berkocak. Mungkin Durra menggunakannya setiap hari sebagai aktiviti senamannya. Timbul pula satu lagi persoalan, apakah yang dipakai Durra ketika berenang?
Eh ke situ pula fikirnya, Fandi memarahi dirinya yang mula menyimpang dan berfikir yang bukan-bukan.
Fandi melabuhkan dirinya ke salah sebuah kerusi yang ada di meja itu sambil menunggu kemunculan Ilia. Sekali lagi timbul keraguan di hatinya.
Malam ini Durra menampilkan satu lagi watak baru kepadanya. Siapa sebenarnya wanita ini, fikirnya lagi. Betul ke wanita ini boleh memasak?
Memandangkan Ilia tiada di situ, Fandi memasukkan jari telunjuk kanannya ke dalam masakan ketam itu dan di masukkan jarinya yang bersisa masakan itu ke lidahnya untuk merasa.
“Hem, boleh tahan juga sedapnya.” Dia memuji sambil menjilat bibirnya. Baru hendak merasa masakan udang pula, kelibat Ilia telah pun kelihatan dari sebalik pokok ru tersebut.
“Maaf, lambat sikit.” Ujar Ilia sambil meletakkan dulang berisi minuman di atas meja. Apronnya telah pun ditanggalkan di dapur tadi.
“Tak apa. Lagipun, kalau saya rasa bosan, boleh juga terjun kat dalam kolam tu…” seloroh Fandi sambil tersenyum.
“Pandai berenang?”
“Kalau setakat nak mengalahkan awak, Durra, mungkin boleh.”
“Itu sudah pasti.”
“Kenapa?”
“Sehingga sekarang ni pun saya masih merangkak di dalam kolam renang ni. Saya hanya boleh jadi juara jika lawan saya adalah kanak-kanak kecil yang lain yang tak pernah berenang sebelum itu…” terang Ilia selamba.
“Betul?” tanya Fandi hampir tidak percaya.
Ilia tersengih sambil menganggukkan kepalanya. Fandi kehairanan lalu menunjuk ke arah kolam renang itu dengan penuh tanda tanya.
“Selalunya kolam ini tidak berisi. Dibiarkan kosong sehingga benar-benar perlu berbuat sebaliknya. Seperti hujung minggu ini. Kolam ini akan dipenuhkan untuk tetamu-tetamu kecil saya yang akan datang berkunjung.”
“Siapa?”
“Awak betul-betul nak tahu?”
Fandi menganggukkan kepalanya.
“Anak Kak Munirah yang kedua akan menyambut ulang tahunnya yang ke sebelas pada hari Sabtu ini. Seperti biasa, kami akan meraikannya di sini sahaja. Tak perlu pergi jauh, kami akan berkelah dari pagi hingga ke petang sambil bermandi manda. Lebih selesa dan tak perlu bersusah payah dan keselamatan juga lebih terjamin.”
“Dah lama ke buat begini?”
“Sejak dua tahun yang lepas.”
“Habis tu, awak pun turut sama menyertai perkelahan tu, Durra?”
“Mestilah, sebab saya sponsor mereka, takkanlah saya tak join sekali. Lagipun, kalau saya tak ada, mesti tak meriah.”
“Kenapa pulak?”
“Saya kan penyeri majlis” selamba Ilia berseloroh sambil menyuap makanan ke mulutnya.
Fandi juga turut tersengih mendengar celoteh Ilia yang tampak lebih relaks pada malam itu. Dia terasa lebih seronok memandangkan Ilia lebih santai dan tidak menunjukkan aksi-aksi menggodanya seperti selalu.
“Oh ye, siapa Kak Munirah tu?” tiba-tiba Fandi teringat akan nama yang telah disebut oleh Ilia sebentar tadi.
“Dia pembantu rumah saya.”
“Hm. Mana dia? Tak nampak pun kelibat dia sejak saya datang tadi.”
“Dia dah balik.”
“Ha, dah balik? Habis tu siapa yang ada lagi di rumah ni ketika ni?” Fandi mula terasa kurang senang. Makanan yang sedang disuapnya itu telah mula kurang enak. Perutnya kenyang tiba-tiba.
“Just you and me…” Jawab Ilia selamba sambil memegang gelas minuman dan disuakan ke arah Fandi sambil senyum menggoda. Dia sedar keresahan yang telah mula terbit dari Fandi dengan pengakuannya itu. Dia juga tahu sebabnya.
Fandi terkedu. Baru dia hendak menenangkan perasaannya, namun ini pula yang berlaku.
“Fandi, don’t worry. Tak ada penguat kuasa agama yang akan rush kita malam ni. We won’t be disturbed. Pak guard kan ada di luar tu. And if anything, saya kan dah janji yang saya akan behave malam ni.…”
Lembut Ilia memujuk Fandi yang dia tahu tidak senang dengan keadaan yang baru diketahuinya tika itu. Dia sedar yang Fandi adalah berlainan dengan lelaki yang lain.
Lelaki lain pasti akan mengambil kesempatan itu untuk mula memainkan jarum masing-masing. Tapi bila bersama Fandi, dialah yang selalunya memainkan peranan itu. Itulah yang menyebabkan dia semakin menyenangi Fandi.
Sebenarnya Ilia sendiri telah berjanji kepada dirinya sendiri untuk berkelakuan seperti biasa. Dia ingin menonjolkan ciri-ciri dirinya yang sebenar kepada Fandi.
Biarlah Fandi tahu siapa dirinya. Tidak perlu dia berpura-pura. Penat rasanya untuk dia meneruskan lakonannya itu. Dia sedar bahawa itu bukan umpannya untuk memancing Fandi. Mungkin cara ini lebih berkesan. Itulah harapannya kini.
“Fandi, makanlah. Jangan malu-malu. Jangan tak sudi. Penat tahu saya memasak semua ini untuk awak…” Selamba Ilia mengaku dalam usahanya untuk memujuk Fandi yang telah berhenti makan.
Hakikatnya dia hanya membantu Kak Munirah untuk menyediakan hidangan malam ini. Selain itu, tugasnya adalah memanaskan sahaja semua masakan itu di dalam microwave seperti kebiasaannya.
“Betul ke awak yang masak semua ni?” Usik Fandi sambil menyambung suapannya. Timbul pula kasihan di hatinya untuk meninggalkan wanita itu ketika ini. Rezeki sudah ada di depan mata. Biarlah dia menunggu sehingga semuanya selesai.
“Kenapa? Tak percaya?” Manis senyuman yang dilemparkan Ilia kepada Fandi. Dia senang kerana Fandi telah mula menyuap semula.
“Pandai awak memasak…” Puji Fandi jujur. Lauk pauk di hadapannya itu memang sedap dan lazat, kena dengan seleranya. Tidak kisahlah siapa juga yang memasaknya.
“Terima kasih…” Sambut Ilia dengan senyuman yang masih tersimpul. Sempat dia mengingatkan dirinya untuk menyampaikan pujian itu kepada Kak Munirah yang lebih berhak menerimanya.
Walaupun pada mulanya ingin sahaja dia mengaku kepada Fandi yang semua ini adalah disediakan oleh Kak Munirah, tapi dipendamkan sahaja hasrat itu.
Hatinya memujuk supaya dia berahsia untuk sementara. Takkanlah hendak dibiarkan sahaja rancangan yang telah diatur itu punah begitu sahaja. Dia mesti mempamerkan kepada Fandi bahawa dia juga layak menjadi calon suri rumah yang baik buat Fandi. Mungkin Fandi akan terpikat dengannya nanti.

1 comment:

Zass said...

ish.. nonsense lah watak pompuan ni... memang i tak suke watak pompuan like this.. tak sesuai jadi watak utama.... dahlah janda.. miang pulak tu... jangan kau tergoda fendi... pompuan ni x patut dibuat isteri.. cari yg laen u!!