Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC3

Terasa dunia Ilia berputar di sekelilingnya. Direnung jauh ke dalam anak mata Fandi yang tenang dan sejuk itu. Cuba di analisa maksud di sebalik kata-kata Fandi sebentar tadi.
Company?
Syarikatnya ataupun kehadirannya? Mungkin juga kedua-duanya sekali.
Ilia mula terasa bahang kehangatan menular sedikit demi sedikit naik ke mukanya. Wajahnya mula berona merah.
Bilik itukah yang terasa semakin panas, ataupun dirinya yang kehangatan oleh panahan dari sinaran mata yang redup itu?
Ilia terasa serba salah. Dia kalut. Dia bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah penghawa dingin yang masih terpasang walaupun hujan renyai di luar telah membasahi bumi. Terasa kesejukan mula menjalar.
Sekilas dijeling ke arah Fandi. Dilihat senyuman lelaki itu masih melekat di wajahnya. Lesung pipitnya juga masih terletak di tempat yang sama.
Tanpa disedari Ilia, Fandi juga kegelisahan di tempat duduknya itu. Fandi sebenarnya semakin tergugat dengan jelingan yang dilontarkan oleh wanita itu terhadapnya. Jiwanya bergetar. Hatinya berdebar-debar. Dia tergoda, tapi godaan itu cuba ditepisnya. Dia tidak mahu nafsunya yang mengatasi keimanannya kala ini.
“Saya sebenarnya ingin sangat nak appeal to your goodwill, Datin, tapi rasanya Datin tak ada tu semua.” Fandi menyambung bicaranya kembali.
Ilia mula terasa hati. “Kenapa pula awak cakap macam tu?” tanya Ilia dengan nada sedikit merajuk.
“Sebab tak ada seorang pun kenalan Datin yang pernah mengaitkannya dengan Datin. Seolah-olah goodwill tu is not part of your vocab, seolah-olah ia memang tak pernah ujud dalam diri Datin.” Fandi berjeda.
Diletakkan minumannya ke atas meja Ilia sambil membiarkan Ilia memikirkan kata-katanya sebentar tadi.
“Boleh saya ceritakan apa yang saya tahu tentang Datin?” Fandi mengusulkan bila dilihat Ilia masih mendiamkan dirinya.
Ilia menganggukkan kepalanya kerana dia juga ingin tahu apa maklumat tentang dirinya yang kini berada di tangan lelaki itu.
Fandi tersenyum. Dia bangkit dari duduknya. Dia mundar mandir di dalam pejabat itu. Ilia pula cepat-cepat duduk di kerusinya semula, tidak mahu nanti dia berlaga dengan lelaki yang telah membuat pejabat itu bagaikan pejabatnya sendiri.
“Datin merupakan seorang wanita yang licik, pandai memutar belit and always landed on your feet. Like a cat with its nine lives. Ada juga yang mengatakan Datin ni macam Catwoman. Sentiasa bangkit dan tidak mudah mengaku kalah.” Fandi memulakan ceritanya sambil tersenyum.
“Datin mengahwini Datuk Majid pada usia yang muda, kalau tak silap saya, pada umur 22 tahun, iaitu sebaik sahaja tamat pengajian Datin di bidang Pengurusan Perniagaan, yang mana Datin telah lulus dengan begitu cemerlang, first degree honor. Datuk Majid pula empat puluh tahun lebih tua dari Datin ketika itu. Jadi banyak juga gosip yang telah bertiup dan menular, yang menggambarkan seolah-olah Datin adalah seorang wanita pisau cukur. Bagaimana pun masa telah membuktikan bahawa Datin adalah seorang yang berkaliber. Datin seorang yang genius dalam bidang perniagaan, dan adalah orang yang paling layak mewarisi perniagaan Datuk. Datuk memang tidak tersalah pilih.”
“Terima kasih.” Ilia mencelah sinis, mengangkat botol minumannya ke arah Fandi.
Terangkat kening Fandi mendengar ucapan itu. Dia tidak pasti ucapan itu untuk apa. Mungkin juga kerana pujiannya di atas kebolehan Datin Ilia yang tidak boleh disangkal itu. Pujian itu memang kena dengan tempatnya.
Mata Ilia redup seketika. Dia perasan yang lelaki di hadapannya itu tidak sedikit pun menyentuh tentang fitnah yang ditimbulkan oleh beberapa pihak yang mengatakan bahawa dia berkahwin dengan Datuk Majid hanya kerana harta, bahawa dia adalah pelacur kelas atasan, dan macam-macam lagi.
Untuk itu, Ilia rasa bersyukur kerana ada juga insan yang tidak membangkitkan lagi tentang hal itu di hadapannya kini.
“Datuk Majid telah mencurahkan segala ilmunya kepada Datin.” Fandi menyambung semula kata-kata sambil terus merenung wajah ayu wanita yang sedang tunduk di hadapannya itu.
“Seperti yang disangka oleh semua pihak.” Celah Ilia tanpa emosi.
“Dia meninggal dunia dua tahun yang lepas dan Datin mewarisi sebuah perniagaan yang agak besar.”
“Anak perempuannya juga mewarisi hartanya.”
“Tapi Datin telah membeli sahamnya di dalam syarikat ini.”
Tersenyum Ilia dengan penjelasan Fandi. Dikalih matanya untuk terus memandang ke arah Fandi. Dia kemudiannya meneguk minumannya.
“Betul tu.” Akhirnya Ilia mengiakan kata-kata lelaki itu.
“Dan pada usia yang masih muda, sekarang ni Datin adalah peneraju dan pemilik saham terbesar kepada syarikat ini. Syarikat ini memang telah ditakdirkan ALLAH buat Datin.”
“That’s about the size of it.” Ilia menyetujui tanpa rasa riak. Bagi diri Ilia, itu semua adalah apa yang diketahui oleh orang ramai, bukan sebuah rahsia. Namun begitu, hakikat yang terjadi adalah sebaliknya. Kehidupan peribadinya tiada siapa yang mengetahui. Semuanya disimpan rapi di dalam diari hidupnya.
“Mereka juga berkata yang Datin hanya fikirkan bottom line sesuatu perkara, tidak lebih dari itu.” Fandi terus menyambung kata-katanya.
Namun tanpa disedari Fandi, kata-katanya kali ini sedikit sebanyak telah melukakan perasaan Ilia.
Hakikatnya, dia bukanlah jenis manusia sebegitu. Sesuatu keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan logik. Lagipun pemegang sahamnya yang lain perlu diberi keutamaan. Untung rugi syarikat menjadi keutamaannya semasa membuat sebarang keputusan di dalam mengendalikan syarikatnya itu.
“Mungkin benar, tapi sekali lagi, ianya bukanlah sesuatu yang tepat.” Ilia menyangkal. Entah kenapa dia begitu mengharapkan agar lelaki itu menganggap yang terbaik sahaja akan dirinya.
“Dan Datin kesunyian sekarang.”
Kali ini Ilia benar-benar terkedu. Kenyataan itu bagaikan sedang merobek jiwanya. Terasa bagaikan anak panah telah tepat mengena sasaran di hatinya. Bagaikan lelaki itu telah mencurahkan sesejuk air ke atas tubuh badannya.
Di toleh ke arah Fandi, namun dilihatnya Fandi sedang meneliti model resort yang bakal dibinanya itu.
Apakah benar lelaki itu telah mengucapkannya, ataupun dia sendiri yang sedang mengelamun?
Timbul kembali perasaan gusar di hati Ilia. Gugup dia dengan gerak hatinya yang mengatakan bahawa lelaki ini dapat membaca fikirannya, dapat membaca apa yang dia rasa. Memang benar kesunyian telah lama bertapa di hatinya. Sejak bila dia sendiri tidak pasti. Dan kesunyian itulah yang menjadi temannya kini.
Nampaknya kata-kata aku tadi dah menimbulkan reaksi dari dia, kata Fandi kepada dirinya sendiri. Terus diperhatikan Ilia dari ekor matanya.
Bertapak pula rasa kasihan di hatinya terhadap Datin yang baru dikenalinya itu.
“Boleh saya tahu apa panggilan kawan-kawan Datin kepada Datin?”
“Kenapa?” Tanya Ilia. Dia agak terkejut dengan soalan itu. Apa kaitan panggilan namanya dengan apa yang sedang mereka bincangkan ini?
“Datin, Durrani, Ilia?” Fandi tidak menjawab, sebaliknya terus bertanya.
“Dulu Ilia, tapi sekarang ni mereka hanya panggil gelaran saya sahaja, iaitu Datin.” Ilia akur menjawab, masih tidak mengerti mengapa soalan itu yang diajukan oleh Fandi.
“Ah...”
Kali ini sepatah perkataan yang diucapkan oleh Fandi seakan membelai tubuhnya dengan sutera yang begitu lembut dan mengasyikkan.
“Ah.. What?” Sekali lagi timbul rasa sangsi di hati Ilia.
“Just Ah... Hem, boleh saya panggil Datin hanya sebagai Durra sahaja? Saya rasa panggilan ini lebih mesra dan lebih bersesuaian dengan Datin.”
“Kenapa awak tidak panggil saya Ilia, ataupun Durrani sahaja? Ataupun, seperti orang lain, panggil saja saya Datin.” Ilia pula mengesyorkan. Namun hatinya terasa juga cuaknya kerana mencadangkan kepada lelaki itu agar memanggilnya Datin sahaja seperti orang lain. Tampak sangat seperti egonya yang berkata begitu.
“Durrani lebih sesuai buat Datin, tapi Durrani bermaksud permataku, jadi saya rasa saya bukanlah orang yang layak untuk memanggil Durra begitu. Not yet, anyway.” Fandi menjelaskan sambil tertawa kecil.
Tersipu-sipu Ilia dibuatkannya bila mendengar penjelasan Fandi. Dia faham dengan maksud yang ingin disampaikan. Diakui bahawa lelaki ini memang pandai berkata-kata, semakin menjadikan hatinya gundah gulana.
“Boleh saya suggest something about this resort?” Sengaja Fandi mengalih topik perbualan kepada apa yang sedang berada di depan matanya itu.
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Entrance resort ni patut menghadap ke laut.”
“Why?” Ilia duduk tegak di kerusinya. Ingin tahu apa pandangan lelaki itu terhadap resortnya.
“The restaurant is here, right?” tanya Fandi sambil mengunjuk kepada salah satu dari bahagian yang berhampiran dengan pintu masuk utama.
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Bayangkan suasana ketika hujan dan rebut petir sedang melanda. Ombak yang menghempas pantai dan pokok-pokok kelapa dan pokok-pokok ru yang ditanam sepanjang pantai meliuk lentok menahan asakan angin yang sedang bertiup kuat. Pelanggan pula sedang tenang menyaksikan semua itu di bawah bumbung resort, sambil menikmati secawan kopi atau pun teh panas. Kepada mereka yang peka, pasti mereka dapat menyaksikan kebesaran ALLAH, di antara sebuah keributan dan sebuah ketenangan yang diciptakan oleh ALLAH untuk manusia menikmati dan membezakan-nya.”
“Bagus juga tu. Nanti saya akan pertimbangkan. Ada lagi?” sinis nada suara Ilia di dalam memberikan reaksi terhadap pandangan Fandi.
Fandi tertawa kecil. Dia sedar bidang pembinaan bukanlah bidangnya. Tapi dia rasa tidak salah untuk dia menyuarakan pandangannya.
“Berbalik semula kita kepada persoalan pokok pertemuan ini. Saya amat berharap yang Durra akan mempertimbangkan kertas cadangan yang pihak saya telah ajukan kepada pihak Durra.”
“Jangan nak mimpi.” Tegas Ilia menyatakan keputusannya.
“Saya memang suka bermimpi, tapi saya bukan seperti Mat Jenin dengan mimpi kosongnya itu.” Balas Fandi.
Ditatap wajah Fandi seketika. Walaupun tidak sekacak mana, namun wajah yang kaya dengan senyuman manis dan berlesung pipit itu memang sesuai untuk dibawa ke alam mimpi. Mungkin mimpinya akan menjadi sebuah mimpi yang indah, mimpi yang manis…
Hish, ke situ pulak perginya fikiran aku ni! Ilia menempelak dirinya yang sekali lagi tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada topik perbualan mereka ketika itu. Fikirannya acap kali menerawang dan mengelamun. Perkara seperti ini tidak pernah terjadi di dalam hidupnya sebelum ini.
“Jawapan saya tetap sama, iaitu tidak!” selamba Ilia menempelak Fandi, ingin mendera lelaki yang dirasakan menjadi punca hatinya kini terdera.
“Kalau begitu, baiklah, kita jumpa lagi.” Fandi berjalan menuju ke pintu. Daun pintu pejabat itu dibukanya dan Fandi menoleh ke arah Ilia.
“Please don’t take anything from here on in personally. For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.”
Pada ketika itu juga Ilia semakin sedar yang Fandi telah mula memanggilnya sebagai Durra sahaja tanpa sebarang gelaran Datin dipangkal namanya itu. Sebenarnya Ilia bukannya jenis yang ambil peduli, tapi bila dia memanggilnya sebagai Durra sahaja, seakan ada keintiman di antara dia dan lelaki itu. Memang satu kelainan dari kebiasaannya.
“That’s Datin to you!” Ilia membalas walaupun jantungnya berdegup semakin pantas dan kencang.
Fandi hanya tertawa mendengar kata-kata Ilia. Dia melangkah keluar dan terus hilang bersama tawa yang masih bersisa.
Ilia terasa begitu aneh. Dia bagaikan berada di awang-awangan. Dadanya masih berdebak debuk.
Ditarik nafas sedalam-dalamnya. Dihembuskan kembali dengan perlahan. Disandarkan tubuhnya ke kerusi empuk itu. Dilihat jam di dinding. Setengah jam telah berlalu sejak dia dikejutkan oleh suara lelaki itu.
Dia termenung melayan perasaan. Apakah yang sebenarnya baru berlaku?
Fikirannya melayang semula kepada detik pertama tadi. Diimbas perasaannya kembali.
Bagaikan ada satu daya tarikan yang begitu kuat yang telah menyentapnya. Panahan petir bagaikan telah tepat mengena hatinya. Dia bagaikan sedang terbakar.
Perasaan itu sungguh menggerunkannya. Dia sendiri tidak pasti apakah yang patut dilakukannya sekarang.
Yang pasti, sejak sekian lama, jiwanya yang telah mati kini hidup semula.

No comments: