Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Saturday, November 7, 2009

SPC10

Melangkah masuk ke Restoran Berputar seakan memasuki satu alam yang baru. Berada di puncak menara, malam yang cerah itu menjanjikan sesuatu yang indah. Bintang-bintang bertaburan menghiasi dada langit. Lampu-lampu yang berwarna warni dan berkilauan, saujana mata memandang. Indah dan menawan.
Pandai Fandi memilih lokasi, puji hati kecil Ilia. Dia memang gemarkan restoran itu dek pemandangan yang boleh dinikmati sambil menjamu selera. Namun tidak banyak kesempatan yang dia ada untuk datang selalu ke tempat itu.
Mereka dibawa ke satu sudut yang agak tersorok, namun berdekatan dengan dinding bercermin itu. Keindahan malam di sebuah kota raya yang sentiasa hiruk pikuk dengan sebuah kesibukan dapat juga disaksikan dari situ. Pelayan restoran pula sudah sedia menanti untuk mereka membuat pilihan.
“Okey, Durra nak makan apa, ala Carte ataupun buffet?” Fandi memberi peluang untuk Ilia membuat pilihan. Ilia menatap menu di hadapannya.
“What do you suggest?”
“Kalau rasa nak makan banyak dan dengan pilihan yang banyak, buffet lagi bagus, tapi kalau nak jaga badan, Durra boleh order ala Carte sahaja.”
“Cuba awak tengok saya ni, awak rasa saya patut jaga badan ke ataupun tidak?” Ilia bertanya dengan manja sambil mendepangkan tangannya. Matanya terkedip-kedip menggoda. Aksi itu ada dilihatnya di dalam drama lakonan Jasmin Hamid. Dia sukakan pelakon itu yang memang pandai membawa watak penggoda. Lakonannya memang berkesan.
Tapi tak tahulah pula Ilia sama ada dia akan berjaya membawakan watak ini. Dia bukannya seorang pelakon. Lakonannya juga bukanlah untuk sebuah kamera yang sedang berputar. Dia sedang berlakon untuk memancing perhatian seorang lelaki. Dan dia mungkin terpaksa menunggu lama untuk melihat hasilnya itu.
Fandi menarik nafasnya dalam-dalam. Sekilas ditatap tubuh yang separuh terdedah di hadapannya. Gebu dan halus. Memang menggiurkan. Lagipun dia memang seorang lelaki sejati. Dia juga punya perasaan dan nafsu. Terpaksa ditelan air liurnya. Kemudian dikalih pandangannya pada wajah wanita itu kembali.
“Ukuran badan awak tu dah kira okey dah tu, Durra. Buat apa nak kuruskan lagi. Tak elok untuk kesihatan.” Fandi meluahkan buah fikirannya.
Ilia tersenyum manja. Hem… dia dah perasan… Hatinya mula berlagu riang.
‘Sebelum saya membuat pilihan, saya nak juga tahu, apa pilihan awak?’
“Saya ni jenis yang suka makan, jadi saya mesti pilih makan secara buffet sahaja.”
“Kalau macam tu, saya pun ikut sekali macam awak.”
“Minuman pula bagaimana? Awak nak minum apa, Durra?”
“Fresh orange.”
“Two fresh orange please.” Fandi menoleh memberitahu pelayan yang masih setia menanti.
“Jom, kita ambil makanan.” Fandi mempelawa Ilia untuk ke meja yang telah terhidang dengan pelbagai juadah yang menarik.
Ilia bangun dan mengekori Fandi. Dia memilih beberapa jenis lada Benggala, daun salad dan juga brokoli untuk hidangan permulaan. Baru beberapa tapak melangkah pulang ke mejanya, baru dia tersedarkan sesuatu.
Dia berpusing ke dulang yang menyediakan tiram dan mula mengambil beberapa biji tiram yang telah dibukakan kulitnya. Setelah berpuas hati dengan pilihan yang ada di dalam pinggannya, dia kembali menuju ke meja.
Fandi telah pun sedia menanti di situ.
“Hm nampaknya selera kita hampir sama” kata Ilia, merujuk kepada apa yang ada di dalam pinggan Fandi dan juga pinggannya.
Fandi hanya tersenyum dengan andaian yang telah Ilia buat. Apabila Ilia telah kembali duduk di tempatnya, Fandi mula menyuap makanannya.
Ilia juga melakukan tindakan yang sama. Perutnya memang lapar. Sejak tengah hari tadi dia tidak mengambil sebarang makanan untuk dijadikan alas perut. Mesyuarat demi mesyuarat terpaksa dihadiri kerana pelancaran tapak projek untuk resortnya yang baru itu akan diadakan tidak lama lagi. Kakitangannya juga sibuk dengan segala persiapan yang sedang diatur. Dia perlu memantau perjalanan persiapan itu untuk memastikan tiada perkara yang sangkut di mana-mana.
Sedang asyik mereka menjamu selera, seketika kemudian, pelayan restoran itu datang dan mula menghidangkan minuman yang telah dipesan Fandi.
“Selalu ke awak datang ke sini?” Ilia memulakan bicara apabila pelayan itu beredar dari meja itu dan membiarkan mereka menikmati juadah yang telah terhidang.
“Tidak juga. Itu pun bila diajak oleh kawan-kawan saya. Bagaimana dengan Durra pula?”
“Pun jarang sekali. Kali terakhir adalah bersama dengan Datuk Majid.” Ilia menjelaskan. Makanan dikunyahnya perlahan-lahan agar mudah terhadam nanti.
Sebaik disebut nama Datuk Majid, kenangannya bersama Datuk Majid kembali berputar di ingatannya. Datuk Majid yang sentiasa cuba untuk memanjakan dirinya. Datuk Majid sebagai seorang teman. Datuk Majid sebagai seorang bapa. Namun Datuk Majid bukan seorang suami dalam erti kata sebenarnya. Semua kenangan bersamanya ada kalanya manis dan menyentap di jiwa dan ada kalanya terlalu pahit untuk dikenang.
Wajah Ilia mendung seketika. Walaupun hanya sepintas lalu, namun Fandi tetap menyedarinya.
Kenapa dia kelihatan muram? Sudah dua tahun berlalu. Masih bersedihkah dia dengan pemergian Datuk Majid? Sayang sangatkah Durra kepadanya?
Hati Fandi terus tertanya-tanya apabila melihat kemurungan yang terpapar di wajah yang mulanya tadi begitu manja dengan aksi yang begitu menggoda itu.
Fandi sebenarnya terasa pelik kerana karakter yang ditunjukkan oleh Durra sejak pertemuan mereka minggu lepas asyik berubah-ubah.
Watak yang mana satu sebenarnya adalah kepunyaan Durra, masih menjadi misteri. Siapakah dia? Adakah dia seorang wanita yang mementingkan kerjayanya? Adakah dia seorang wanita yang benar-benar kesunyian seperti pengamatannya minggu lepas? Adakah dia seorang wanita penggoda seperti yang digosipkan oleh orang ramai?
Fandi teringat kembali kepada aksi-aksi Durra sejak pertemuan mereka. Minggu lalu, dia tampak begitu serius walaupun kelam-kabut seketika dengan kehadirannya yang tidak di undang.
Sebaliknya tidak begitu pada malam ini. Dia begitu menggoda dan mengghairahkan, mengalahkan lagak seorang pelacur kelas atasan ataupun GRO di kelab-kelab malam.
Namun baru sebentar tadi, wanita ini kelihatan muram, seperti ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya.
Nampaknya wanita ini lebih kompleks dari yang disangka.
Namun walau siapa pun dia, perasaan Fandi yang telah lama tidak bergolak kerana seorang perempuan menjadi tidak menentu, apatah lagi dengan keseksian yang dibentangkan di depan matanya kini. Hatinya terus tertanya-tanya, namun jawapannya masih tiada.


MEREKA terus menikmati hidangan yang tersedia tanpa banyak bicara. Sekali sekala mereka berbual-bual tentang beberapa tajuk yang sedang berlaku di Malaysia tika ini.
“Durra memang suka makan tiram ke? Saya tengok banyak juga yang Durra dah ambil.” Fandi menegur Ilia yang sedang leka memerah limau nipis ke atas tiram yang hendak dimakannya. Limau itu adalah untuk menghilang bau hanyir pada tiram yang hendak ditelannya. Dilihatnya hampir separuh dari pinggan itu berisi dengan tiram.
“Memang saya sukakannya. Walaupun tidak ramai orang yang menyukainya, tapi bagi mereka yang sudah biasa duduk di tepi laut yang berbatu-batu, dan telah biasa memakan teritip, pasti akan mengatakan bahawa rasa tiram ini hampir sama dengan rasa teritip.”
“Teritip?”
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Baru kali ini saya mendengar nama teritip. Apa tu?” tanya Fandi ingin tahu.
“Tidak ramai orang yang tahu tentang teritip. Teritip tidaklah sepopular tiram. Teritip adalah antara makanan bagi orang yang tinggal berdekatan dengan laut, makanan orang kebanyakan. Tiram pula popular kerana mutiara yang terkandung di dalamnya, makanan orang kaya.” Ilia membezakan status bagi kedua makanan kegemarannya itu.
“Bentuknya juga macam tiram?”
“Bentuk teritip taklah sama macam tiram, malah jauh lebih kecil dari tiram. Satu lagi, teritip ni melekat pada batu-batu di tepi laut. Bukannya seperti tiram yang perlu diselami ke dasar laut.”
“Habis tu, kalau dah melekat di batu, macam mana caranya Durra mengambilnya? Tak susah ke?”
“Teritip perlu dicatuk keluar dari batu.”
“Dicatuk? Macam mana pula tu? Macam ayam yang mematuk ke tanah tu ke?” Tanya Fandi sambil tangannya melakukan aksi kepala ayam yang sedang mencatuk cacing di tanah untuk makanannya.
Tergelak Ilia melihatkan aksi Fandi yang bersahaja. Hampir tersembur salad yang sedang dikunyahnya. Dipastikan terlebih dahulu makanan itu telah ditelan sepenuhnya sebelum dijawab pertanyaan Fandi seketika tadi.
“Lebih kurang. Tapi aksi awak tu lebih kepada aksi ular nak patuk mangsanya sahaja.”
Tercetus ketawa Fandi mendengar teguran Ilia.
“Sebenarnya, semasa nenek saya hidup dulu, saya selalu mengikut nenek saya pergi mencatuk teritip di tepi pantai. Dengan berbekalkan sebuah topi, sebiji botol dan bakul yang berisi alat mencatuk, kami akan ke pantai bila air telah surut. Kadang-kadang tu, sambil mencatuk tu, ada juga yang masuk ke mulut saya. Jadinya, orang lain bawa balik botol yang penuh berisi teritip, tapi botol saya pula hanya separuh penuh sebab yang separuh lagi dah masuk dalam perut.”
Tersengih Ilia bercerita kepada Fandi. Fandi yang sedang asyik merenung raut wajah Ilia yang ayu turut sama mentertawakan cerita lucu yang disampaikan oleh Ilia.
“Hish, tak basuh dulu ke? Tak masin?”
“Buat apa nak basuh, makan direct from the source. Kami gunakan belakang camca yang telah diasah menjadi sudip kecil untuk mengeluarkan teritip dari kerangnya, jadi tak perlu basuh sebab ianya bersih dan tidaklah masin sekiranya kita tak rendam dalam air laut tu. Lagipun teritip ni kecil aje, jadi taklah berbau hanyir seperti kita makan tiram ni. Dan satu lagi, laut dulu bukan macam sekarang ni. Dulu, air laut begitu bersih dan tidak tercemar seperti sekarang.”
“Ada benarnya kata awak tu, Durra. Tapi tak payahlah kita membincangkan dengan lebih panjang lagi. Saya cuma nak tahu, teritip awak tu dimakan begitu sahaja ke, ataupun dimasak oleh nenek awak, Durra?”
“Both. Bagaimanapun, selalunya sebaik sahaja sampai di rumah, nenek saya akan menanak nasi terlebih dahulu. Kami makan teritip mentah bersama nasi panas. Memang best.” Ilia menerangkan sambil menunjukkan isyarat ‘best’ dengan ibu jarinya sambil memasukkan sebutir lagi tiram ke dalam mulutnya.
Fandi memerhatikan sahaja Ilia yang menjilat sisa-sisa tiram dari bibirnya itu. Walaupun gerak laku itu begitu bersahaja, namun ia sudah cukup untuk membuatkan fikiran Fandi memikirkan sesuatu yang lebih nakal lagi.
Fandi! You need to concentrate here! Fandi memarahi dirinya sendiri. Cuba hendak difokuskan fikirannya kepada apa yang sedang diceritakan oleh Ilia kepadanya.
“Sebelah malamnya pula nenek akan membuat sambal teritip. Bersama dengan ulam, tak perlu lauk lain, itu pun sudah lebih dari mencukupi. Hem, dah lama benar tak makan sambal teritip ni bersama-sama dengan ulam-ulaman, terasa rindu pula.” Sambung Ilia lagi sambil mula menyuap satu demi satu tiram di pinggan ke dalam mulutnya.
Seronok Fandi mendengar cerita Ilia. Air muka Ilia juga jelas membayangkan betapa cerianya zaman kanak-kanaknya suatu ketika dulu. Dia sentiasa tersenyum simpul sambil bercerita. Fandi yang memerhati juga tidak jemu dari memandang wajah yang bersinar dengan kegembiraan itu. Hilang kemuraman yang tadinya telah datang bertandang di wajah itu.

SPC9

Alia melangkah menuju ke luar rumah. Pintu besar itu ditutup di belakangnya. Fandi sedia menanti, membelakanginya dan sedang leka memerhatikan keadaan sekeliling taman.
Kawasan taman itu memang luas. Landskapnya pula memang menarik dan terjaga rapi. Di satu sudut taman, terletak pancuran air yang berdekatan dengan gazebo berpangkin kayu, mengizinkan penghuninya bersantai dan menenangkan fikirannya di situ.
“Ahem! Sorry, lambat sikit. Dah lama tunggu?” Ilia menegur Fandi yang segak berkemeja T berkolar berwarna putih dan berseluar slack berwarna hitam.
Fandi mengalih pandangannya ke arah Ilia.
“Baru sebentar….” Melongo mulut Fandi sebaik sahaja matanya tertancap pada tubuh Ilia, atau lebih tepat lagi kepada pakaian yang menyelaputi wanita yang sedang berdiri di hadapannya itu.
Cepat-cepat dia menutup mulutnya. Jantungnya berdegup hebat. Dia meneguk air liurnya.
“Baru sekejap tadi.” Fandi memulakan semula. “Durra dah sedia?”
“Dah. How do I look? Sesuai ke dengan tempat yang awak nak bawa saya tu?” Tanya Ilia sambil mempamerkan aksi manja kepada Fandi. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya tiga ratus enam puluh darjah di hadapan Fandi.
Fandi senyap memerhati, cuba ditahan rasa hati. Diteguk lagi air liurnya beberapa kali.
Ditatap penampilan Ilia malam itu. Bergaun merah darah separas lutut, tanpa lengan dan bertali halus, mendedahkan sebahagian besar dadanya yang bidang. Loket emas bertatahkan berlian pula terletak kemas di lurah antara dua payudaranya. Sekali sekala kilauan berlian yang dipanah cahaya lampu jalan berdekatan menarik lagi perhatian Fandi kepada aset tubuh badan Ilia.
Di bawah sinaran lampu neon itu, tubuh mongel dan kulit halus Ilia begitu menggoda. Ditatap pula wajah wanita yang disaluti mekap yang nipis itu. Memang mempesonakan. Dengan tahi lalat kecil di hujung bibir sebelah kanan, makin terserlah keayuan wajahnya.
“Amboi, seksinya Mak Datin ni. Ya Allah, Engkau kuatkanlah imanku ini.” Doa Fandi di dalam hati. Di sebalik apa yang dia rasa, Fandi berlagak selamba, seolah-olah keseksian yang dibentangkan di depan matanya itu tidak mengundang apa-apa kesan dan reaksi darinya.
“Since you are obviously ready, jom kita pergi.”
Fandi mempersilakan Ilia untuk mendahuluinya menuju ke kereta Audi kepunyaannya. Tiba di kereta, Fandi membukakan pintu kereta untuk Ilia supaya Ilia dapat meloloskan dirinya ke dalam.
“Eiii, kenapalah pula dengan Datin ni malam ni?” Fandi mengomel sendirian sambil berjalan menuju ke pintunya sendiri.
“Hish, kenapalah dia berpakaian seksi malam ni, tak boleh nak concentrate le pulak. Macam mana aku nak persuade dia untuk setuju dengan proposal aku tu kalau otak aku bukannya di atas tapi lebih ke bawah? Dahlah tiap-tiap malam tidur aku tak lena sebab asyik teringatkan dia, nampaknya lepas ni, makin tak nyenyak tidurlah aku jadinya…”
Fandi terus mengomel kepada dirinya sendiri sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam perut kereta. Dijeling kepada Ilia yang sedang memerhati gerak lakunya. Dihadiahkan sebutir senyuman kepada wanita itu. Tanpa banyak bicara, Fandi memandu menuju ke destinasi.
Pada pandangan mata kasar, Fandi kelihatan tenang memandu kereta itu. Walhal, yang sebaliknya pula yang dirasai oleh Fandi. Terasa mahu sahaja dia membawa wanita itu ke Thailand dan mengajaknya bernikah sahaja di sana.
Memang kerja gila. Tapi itulah yang dia rasa. Nafsunya begitu ingin bermaharajalela. Pasti wanita di sebelahnya akan terkejut besar jika dia tiba-tiba berbuat demikian.
“Cool it Fandi, cool it, man…” Fandi cuba mengawal gelora di dada. Dia lantas cuba untuk mengingati ALLAH. Agak payah kerana syaitan sentiasa ingin menggoda tapi akhirnya dia berjaya.
Untuk memecahkan kesunyian dan keheningan yang menyelubungi, Fandi akhirnya memasangkan cakera padat sepuluh CD itu. Suara gemeresik M.Nasir berkumandang memenuhi setiap ruang kereta. Dia sememangnya meminati penyanyi dan pemuzik tersebut. Bagi Fandi, lagu-lagunya berkualiti dan kerap menjadi halwa telinganya.
“Hem… nampaknya awak sukakan M.Nasir?” Ilia bertanya bila dilihat jari jemari Fandi bergerak-gerak di stereng kereta mengikut alunan muzik yang sedang didendangkan.
“Lebih kurang macam tulah. Saya suka dengar iramanya yang rancak, jadi tak adalah bosan sangat semasa memandu, apatah lagi kalau jalan tengah jammed.”
Sekali lagi sebutir senyuman dilemparkan kepada Ilia. Ilia membalas senyuman itu. Mereka berbalas senyuman. Namun senyuman Ilia penuh makna.
Maklumat yang baru diterimanya itu akan disimpannya di dalam kotak ingatannya. Sebenarnya dia juga sukakan M.Nasir. Teringat kembali kepada kata-kata Encik Hussaini beberapa hari yang lepas.
Berkongsi minat. Shared interest. Mungkin mereka boleh berkongsi minat yang satu ini.
“Saya juga sukakan M.Nasir. Muziknya sentiasa segar. Memandangkan dia juga seorang pencipta lagu, jadi seronok bila mendengar kompilasi lagu-lagu yang telah diciptakan untuk penyanyi lain.” Ilia mula memanjangkan bicara.
“Lagu apa yang paling Ilia minat?”
“Keroncong untuk Ana, Kembara Jalanan dan juga Sumpah Semerah Padi. Bagaimana dengan awak pula?”
“Saya juga sukakan lagu Sumpah Semerah Padi. Selain dari tu, Tanya itu Hud-Hud dan Pheonix Bangkit juga menarik. Rentaknya catchy. Tak adalah rasa boring.”
Bercerita tentang M.Nasir memendekkan lagi perjalanan yang sememangnya pendek itu. Dari Bukit Tunku ke Pusat Bandar Kuala Lumpur bukannya jauh. Tanpa kesesakan lalu lintas, pasti sekejap sahaja mereka akan sampai ke destinasi yang dituju.
Tersenyum Ilia melihat destinasi mereka malam itu. Fandi telah membelok masuk ke simpang menuju ke Menara Kuala Lumpur. Tempat itu memang disukainya walau jarang dia ke sana. Dan dia gembira kerana Fandi telah memilih lokasi itu untuk makan malam mereka berdua.

SPC8

Menjelang pukul lapan keesokan malamnya, Ilia menatap imejnya yang terpantul di cermin meja soleknya. Jantungnya berdegup kencang.
Ilia keliru sebenarnya. Dia sendiri tidak pasti apakah yang cuba dilakukannya ini adalah betul.
Patutkah digodanya lelaki yang bernama Umar Affandi itu? Apakah tujuannya menggoda? Adakah sekadar untuk mengisi kekosongan jiwanya, ataupun untuk mengelakkan lelaki itu dari berterusan mengganggu syarikatnya? Tidakkah tindakannya ini keterlaluan? Perlukah dia mengubah taktiknya? Strategi apa pula yang perlu digunakan agar tindakannya akan tampak lebih bijaksana? Patutkah diteruskan rancangan gilanya ini?
Ilia sendiri tidak pasti apakah lelaki itu akan terus tertarik kepadanya, ataupun lelaki itu akan membuka langkah seribu, menjauhkan diri darinya? Dan apakah Fandi sendiri sudah tertarik kepadanya?
For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.
Sekali lagi kata-kata itu kembali terngiang-ngiang di telinganya.
Ilia menarik nafas sedalam-dalamnya. Satu. Dua. Tiga. Dilepaskan kembali nafasnya dengan tenang. Dia kembali menanam tekad.
“Kita boleh lakukannya! Kita boleh!” Beritahu Ilia kepada dirinya sendiri. Dia mesti yakin.
“Senang macam kacang!” Dia berseloroh kepada bayangannya di dalam cermin itu. Ditatap kembali kepada penampilannya.
Ditilik pakaian di tubuhnya. Memang seksi. Dia sendiri terasa kekok sewaktu mengenakan pakaian itu ke tubuhnya. Pertama kali di dalam hidupnya dia mengenakan pakaian sedemikian.
Pakaian itu dibelinya hasil dari catatan dan senarai yang telah didapatkannya daripada soalan-soalan yang telah diajukan kepada beberapa orang lelaki yang ditemuinya di KLCC.
Mulanya dia malu, tapi akhirnya dia mendapat idea. Diberitahu kepada lelaki-lelaki itu bahawa dia sedang menjalankan kaji selidik untuk sebuah majalah yang tersohor di Malaysia. Soalannya – pakaian bagaimanakah yang dianggap seksi oleh lelaki dan pakaian yang bagaimanakah yang perlu dipakai untuk menarik perhatian lelaki.
Berbagai jawapan yang diterima. Ada di antara jawapan-jawapan itu yang tidak masuk di akal langsung dan Ilia sendiri tidak dapat membayangkan dirinya memakai pakaian tersebut.
Bolehlah disimpulkan yang sebahagian lelaki yang ditemuinya itu memang berajakan nafsu semata-mata. Namun begitu, sebahagian lagi lelaki-lelaki ini memang menyenangkan. Pendapat-pendapat yang diberikan oleh mereka memang boleh diambil kira dan diterima pakai. Ia menjadi spesifikasi yang akan dipenuhi di dalam pencarian Ilia untuk mencari pakaian yang akan dijadikan umpannya nanti.
Akhirnya, kesimpulan telah dapat dibuat dan keputusan telah dapat dicapai. Jadi, di sebelah petangnya, bersama spesifikasi pakaian itu di dalam tangannya, Ilia melangkah masuk ke beberapa buah butik yang terdapat di KLCC.
Dia memberitahu jurujual yang mendekatinya tentang kehendaknya dan mereka telah membawa kepadanya beberapa helai pakaian yang boleh dikategorikan sebagai memenuhi spesifikasi yang telah diberikan oleh Ilia.
Bulat mata Ilia memerhati satu persatu pakaian yang ditunjukkan kepadanya. Yang satu itu begitu jarang sehingga menampakkan pakaian dalamnya sendiri! Yang satu lagi itu pula betul-betul membayangkan seolah-olah dia adalah seorang pelacur jalanan yang sedang giat mencari pelanggan!
Seram sejuk Ilia melihat imejnya di dalam cermin ketika sedang mencuba sehelai demi sehelai pakaian yang telah diberikan kepadanya.
Tidak pernah terlintas pun di kotak fikirannya yang pakaian-pakaian seperti itu akan membaluti tubuhnya tapi pada petang itu, satu persatu pakaian itu dicubanya. Akhirnya dia memilih dua helai pakaian yang dirasakan sesuai dan selesa bagi dia melaksanakan rancangannya.

Ilia merenung kembali bayangannya. Ilia sedar, pasti Diana akan berleter dengannya sekiranya dia tahu apa yang telah Ilia lakukan. Diana telah menasihatkan dia supaya tidak membuat sebarang perancangan di dalam hal ini, namun Ilia merasakan yang sebaliknya.
Untuk berjaya, perancangan perlu ada. Baik dalam soal mengurus dan mengendalikan syarikat, ataupun di dalam perkara yang melibatkan soal hati. Dia baru hendak belajar menyelam, jadi mesti ada taktik dan teknik yang perlu diikuti. Takkan hendak terus terjun ke dalam air, pasti dia juga yang akan kelemasan jua akhirnya nanti.


TOK! TOK! Kedengaran pintu bilik tidurnya di ketuk dari luar.
“Ya, Kak Irah?!” Ilia melaungkan soalan itu kepada pembantu rumahnya.
“Datin, ada tetamu nak jumpa Datin!” Munirah meninggikan suaranya supaya dapat didengari oleh Ilia di sebalik daun pintu yang tebal itu.
Bergegas Ilia mengambil tas tangannya yang sedondon dengan warna bajunya dan berjalan menuju ke pintu. Daun pintu dibukanya dan dia melangkah keluar. Hampir terbeliak biji mata Munirah melihat penampilan majikan yang telah lama dikenalinya itu. Terlopong mulutnya.
Ilia perasan dan dia tersengih di sisi Munirah. “Di mana dia?”
“Saya dah jemput dia masuk, tapi dia kata nak tunggu di luar aje.” Jawab Munirah sambil matanya terus memerhati susuk tubuh Ilia yang begitu ganjil pada pandangan matanya.
Apa, dah buang tabiat ke Datin ni? Getus hati kecilnya pula.
“Er.. Datin?” Munirah memanggil Ilia yang baru hendak melangkah turun.
Ilia menoleh ke arah Munirah. Dahinya berkerut kehairanan.
“Datin sihat ke?”
“Kenapa?”
“Taklah, saya rasa hairan sebab tak pernah saya tengok Datin berpakaian begini sebelum ni, macam orang buang tabiat. Tu yang saya tanya –”
Ilia tersenyum. Dia faham kekeliruan yang sedang dirasakan oleh Kak Munirah. Masakan tidak, dia sendiri pun keliru dengan apa yang sedang dilaluinya ketika ini.
“Sekali sekala saya nak bertukar angin, tak apa, kan?” Lembut Ilia membalas kata-kata Munirah. Dia tidak marah dengan teguran Munirah kerana dia sedar pembantu rumah itu sememangnya mengambil berat akan dirinya.
Munirah menganggukkan kepalanya.
“Hem, Kak Irah, saya nak keluar sekejap lagi. Kak Irah tolong pastikan semuanya telah berkunci sebelum Kak Irah dan Abang Man balik nanti. Saya ada bawa kunci.” Ilia mengunjukkan kunci di tangannya sambil memberi arahan.
Munirah dan suaminya Osman hanya datang pada sebelah paginya dan pulang semula ke rumah mereka di sebelah malamnya pula. Kedua mereka ditugaskan untuk menjaga rumah dan mengendalikan kawasan taman yang agak luas itu.
Munirah menganggukkan kepala, tanda faham dengan arahan yang diberikan.
Tanpa berlengah, Ilia melangkah turun untuk bertemu dengan jejaka yang telah mula mendapat tempat di dalam hatinya itu.

SPC7

Alia meletakkan telefon ke gagangnya. Dia termenung di situ, memikirkan peristiwa yang baru sahaja berlalu. Detik yang tidak pernah termasuk dalam perancangannya namun kini menjadi satu lagi episod dalam diari hidupnya yang sebelum ini terlalu mendatar.
Ditanamkan tekad di dalam hatinya. Dia boleh melakukannya. Dia mesti menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukan hanya pada kerjaya, malah pada hidupnya juga.
Apa gunanya menjadi pelajar yang telah lulus dengan kepujian kelas pertama dan apa gunanya mempunyai karier sebagai peneraju sebuah syarikat yang berjaya jika hidupnya sentiasa suram dan tidak ceria.
Ini lebih penting. Ini adalah hidupnya. Takkanlah hendak mengaku kalah sebelum mencuba. Biar putih tulang, jangan berputih mata. Takkan dibiarkan semua ini berlalu begitu sahaja.
Hidupnya mungkin lebih lama. Usianya juga masih muda. Perjalanan hidupnya pula mungkin masih jauh. Dia tidak mahu hidupnya menjadi lebih suram. Dia dapat merasakan yang Fandi akan dapat memberikan kebahagiaan yang diimpikannya selama ini.
Ilia berfikir lagi. Dia mula merencana. Yang penting sekarang adalah menyediakan garis panduan yang membolehkan dia membuat perancangan. Dia memerlukannya. Kata-kata Diana tidak dapat diikutinya seratus peratus. Pasti semuanya akan menjadi lebih kucar kacir jadinya.
Ilia bangun dari tempat duduknya. Berdiri seketika dan duduk semula. Dia perlu berusaha untuk mencapai apa yang diidamkannya. Betul seperti kata Fandi. Mimpi tidak salah, asalkan jangan jadi seperti Mat Jenin. Oleh itu, perancangan itu perlu untuk merealisasikan apa yang diimpikannya itu.
Pertama, dia perlu mendapatkan perhatian Fandi terlebih dahulu. Dia perlu fikirkan bagaimana untuk memancingnya. Dia perlukan perancangan untuk itu.
Akhirnya, setelah agak lama dia mengelamun di dalam bilik itu, Ilia melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Hasrat di hati adalah untuk meneruskan agendanya hari itu.
Pasti ahli lembaga pengarahnya masih menanti kehadirannya. Baru melangkah, dia terserempak pula dengan Ketua Bahagian Kewangan di muka pintu.
Teringat Ilia akan nasihat Datuk Majid agar dia sentiasa cuba mengingati maklumat peribadi para pekerjanya. Cuba dikorek kembali maklumat yang diperlukan ketika ini dari kotak ingatannya.
Hem, Ketua Bahagian Kewangan, Hussaini Embung. Berumur empat puluh lima tahun. Telah berkeluarga dan mempunyai lima orang anak. Dua lelaki dan tiga perempuan. Yang paling tua bakal menghadapi peperiksaan PMR. Isterinya bernama Hasmah. Agak jarang dia terserempak dengan Encik Hussaini kerana pejabatnya berada di tingkat atas, manakala pejabat Encik Hussaini pula di tingkat bawah. Mereka lebih kerap bertemu di dalam bilik mesyuarat sahaja.
“Encik Hussaini, apa khabar?” Ilia bertanya sekadar berbasa basi. “How’s Puan Hasmah, dia sihat ke?”
Kepala Encik Husaini tertoleh ke arah Ilia. Di bibirnya sudah tersimpul sebutir senyuman.
“Alhamdulillah, Datin. Isteri saya sihat. Terima kasih kerana bertanya.”
“Saya ada dengar dia dimasukkan ke hospital tempo hari?”
“Oh, itu. Sebenarnya dia terpaksa menjalani minor surgery sebulan yang lepas, tapi sekarang ni dia dah ada di rumah. Masih berehat untuk seminggu lagi.” Encik Hussaini menerangkan.
“Er, boleh saya tanya sesuatu pada you, Encik Hussaini?” Teragak-agak Ilia mengeluarkan kata-katanya itu.
“Datin nak tanya berkenaan apa tu?” Berkerut dahi Encik Hussaini memandang Ilia.
“Tak adalah, saya tengok you dengan isteri you tu, nampak begitu loving sekali.” Ilia memuji.
Encik Hussaini pula teragak-agak di situ, tidak tahu apa reaksi yang perlu diberikan kepada bosnya itu. “Er, terima kasih.” Akhirnya dia menjawab.
“Saya teringin sangat nak tahu satu perkara. Apa yang membuatkan you begitu tertarik dengan isteri you tu semasa pertama kali berjumpa dengan dia?”
Tergelak Encik Hussaini mendengar soalan yang diajukan. Walaupun mungkin dia terasa pelik, namun tidak ditunjukkan kepada Ilia.
“Tak tahu bagaimana saya nak cakapkan pada Datin, tapi terus terang saya katakan, bagi saya, Hasmah memang banyak kelebihannya. Dia pandai ambil hati saya dan di antara kami juga banyak persamaannya.”
“Banyak persamaan?”
“Sebenarnya Datin, kami berdua ni berkongsi minat yang sama. Kami suka membaca dan kami juga suka mengembara.” Encik Hussaini menjelaskan. Dia melihat ke jam di tangannya.
“Maafkan saya Datin, ada apa-apa lagi ke? Saya sebenarnya ada meeting sekejap lagi, jadi saya kena turun sekarang.”
“Tak apalah, you boleh pergi. Saya minta maaf kerana mengganggu.”
“No problem. Dan saya akan beritahu Hasmah yang Datin ada bertanyakan khabarnya.”
“Jangan lupa sampaikan juga salam saya kepada Hasmah.” Ucap Ilia kepada Encik Hussaini.
“InsyaAllah.” Balas Encik Hussaini sambil berlalu pergi.


HEMM, berkongsi minat yang sama? Otak Ilia kembali ligat berputar. Mungkin di situ ada logiknya. Dia dan Datuk Majid memang mempunyai minat yang sama. Itulah sebabnya mereka boleh menjadi kawan yang begitu rapat dan saling memahami. Mereka boleh berbincang dan berdebat mengenai soal perniagaan dengan panjang lebar dan tanpa jemu.
Tapi bagaimana pula dengan Fandi? Apakah perkara yang mungkin diminatinya? Adakah minat mereka berdua sama?
Ilia tidak dapat mengagaknya, tapi dia bertekad untuk mengetahuinya tidak lama lagi.
Ilia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Baru dia teringat sesuatu. Dia hampir terlupa tentang jemputan makan malamnya bersama Fandi pada esok malam. Itu patut menjadi agenda utamanya buat masa ini.
Ilia berpatah balik masuk ke pejabatnya. Diambil beg tangannya dan menapak keluar. Melintasi meja Diana, dia meninggalkan pesan.
“Saya nak keluar,” dia memberitahu Diana yang sedang leka menaip surat.
Terangkat kepala Diana, agak terperanjat dengan pesanan Ilia. “Now? Habis meeting yang sedang berjalan tu macam mana pula?”
“Beritahu mereka yang saya ada urusan yang lebih penting. Emergency.” Selamba sahaja Ilia memberitahu Diana yang sedang memandangnya dengan mata yang terkebil-kebil.
“Bila Datin nak masuk balik?”
“Saya tak pasti lagi. Tapi rasanya lebih baik awak batalkan sahaja semua appointment saya pada hari ini.”
“Datin, Datin sihat ke tidak ni? Tak pernah Datin buat macam ni –”
Kata-kata Diana terputus di situ sahaja. Datin Ilia telah pun melangkah pergi meninggalkan mejanya.
“Memang teruk juga angau si Datin ni,” getus Diana dalam hatinya. Digeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Semakin pelik dia dengan perangai Ilia sejak seminggu yang lalu.

SPC6

Alia sedang bermesyuarat bersama ahli lembaga pengarahnya pada pagi Isnin itu apabila Diana mengetuk pintu bilik mesyuarat dan melangkah masuk.
“Maafkan saya, tapi Datin ada beritahu tadi yang Datin sedang menunggu panggilan penting dan untuk terus memberitahu dan interrupt Datin bila panggilan tu masuk.” Diana memberitahu.
“Eh, ye ke?” Ilia tidak ingat pun sekiranya dia ada meninggalkan sebarang pesanan sedemikian kepada Diana .
“Pagi tadi. If he called…” Diana menekankan sedikit suaranya sebagai memberi isyarat kepada Ilia akan identiti sipemanggil tersebut.
“If he – oh!” Jantung Ilia terus berdegup hebat. Diperhatikan satu persatu wajah ahli lembaga pengarah di sekelilingnya.
“Excuse me for a while. This is very important. However, don’t wait for me. Please proceed…”
Ilia memohon diri lantas bergegas menuju ke pejabatnya yang terletak bersebelahan dengan bilik mesyuarat itu. Begitu laju dia berjalan. Menjelang sampai ke mejanya, dia sudah pun tercungap-cungap. Terasa longgar kepala lututnya.
Dipandang ke arah telefon yang terletak di atas meja itu. Lampu pada telefon itu sedang berkelip-kelip, menanti untuk diangkat. Dia menarik nafas. Satu. Dua. Tiga. Akhirnya gagang telefon itu diangkat.
“Hi!” Ilia membuka bicara.
Namun dia terkedu seketika. Lidahnya dijelirkan sedikit, tanda tidak puas hati dengan dirinya sendiri. Dikaup raut wajahnya, cuba ditahan dirinya dari mengeluh. Suaranya baru sebentar tadi kedengaran seperti orang yang tercungap-cungap, bagaikan baru sahaja memecut sebatu.
“Assalamualaikum.” Balas Fandi. Suara serak-serak basahnya yang lunak itu menyentap terus ke jantung Ilia, sekali lagi menyelinap masuk ke sanubarinya. Lututnya terasa semakin lemah. Tidak dapat menahan dirinya untuk terus berdiri di sisi meja itu, Ilia menghenyakkan dirinya ke kerusi empuknya.
“Waalaikumussalam,” balas Ilia kembali dengan lebih tenang. Semangatnya sedikit pulih. Suaranya juga semakin normal.
“Durra dah baca proposal kami tu?” tanya Fandi.
“Saya sangka yang awak call ni nak beritahu saya yang awak tak akan ganggu saya lagi.” Sengaja Ilia mengelak dari memberikan jawapan yang dinanti.
“It will never happen. Saya tak akan berputus asa begitu sahaja.” Fandi menyatakan pendiriannya.
Tidak. Aku pasti yang dia ni bukanlah jenis yang mudah putus asa, fikir Ilia.
“Kalau macam tu, nampaknya kita ada masalah. Saya juga tidak akan berganjak daripada keputusan saya.” Tegas Ilia pula.
“Apa yang Durra cuba beritahu saya ialah, kita berdua ni memang jenis yang tidak mudah mengaku kalah? Kita ni memang padan and evenly matched? Begitu?” Fandi mengusulkan.
“Mungkin juga. Maybe.” Balas Ilia selamba. Namun begitu fikirannya telah mula menerawang. Pepatah bagai pinang dibelah dua pula yang bermain di kotak fikirannya.
“Let’s talk about it.” Fandi mencadangkan lagi.
“Talk?” Nafas Ilia seakan terhenti. “Bila?”
“Malam esok. Boleh?”
Yes! Hati Ilia bersorak kegembiraan. Nafasnya juga sudah sesak menahan perasaan.
“Biar saya tengok schedule saya dulu.” Itu pula jawapan yang diberikannya.
Ilia menekan butang hold pada telefon itu. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, kemudian dilepas dengan perlahan. Dia mencuba untuk membuatkan otaknya kembali berfungsi. Dibiarkan beberapa saat.
Lima. Sepuluh. Lima belas. Ilia membilang perlahan. Ditekankannya kembali butang merah yang berkelip-kelip itu untuk menyambung perbualan mereka yang telah terhenti.
“Saya rasa boleh. Walaupun saya terpaksa adjustkan sedikit schedule saya ni, tapi saya rasa perkara ni lebih penting.”
Sengaja dia mereka alasan. Sebenarnya tidak ada perancangan yang perlu diubah. Malam esok adalah sama seperti malam ini dan juga malam-malam sebelumnya.
Malam yang serba sepi dan sunyi. Malam yang sudah lama tiada keceriaan. Tiada kegembiraan. Hanya televisyen dan radio sebagai teman untuk menghiburkan dirinya.
“Hem, nampaknya dah ada perkembangan.” Kata Fandi dengan nada yang begitu romantis.
“Ye ke?” Degup jantung Ilia kembali kencang.
“Seminggu yang lepas, Durra tak mahu pun menjawab panggilan saya, ataupun membalas e-mail saya. Could it be that I’m getting ground?”
Bukan ke arah yang awak fikirkan, getus hati Ilia menyangkal sangkaan Fandi.
“Saya akan biarkan awak fikirkan begitu.” Jawab Ilia selamba.
Pecah ketawa Fandi. Berlagu bagaikan membelai tubuh Ilia.
“Maafkan saya.” Pantas Ilia berkata. Tubuhnya menggeletar. Dadanya berdebar-debar. “Boleh hold sekejap?”
Ilia menekan butang hold itu sekali lagi tanpa menunggu jawapan dari Fandi. Tapak tangannya terasa sejuk. Dia mengusap mukanya.
Apa sebenarnya yang berlaku? Betul ke apa yang aku buat ni? Betul ke aku nak teruskan dengan niat aku ni? Betul ke aku nak menggoda lelaki ni?
Aku bukannya tahu apa-apa pun. Datuk Majid pun tidak pernah aku goda, inikan pula lelaki yang baru beberapa hari aku kenal ni? Memanglah Muhsidin dah sahkan yang Fandi ni masih bujang, tapi betul ke tindakan aku ni? Aku nak jadi macam perigi yang mencari timba ke?
Ilia menggumam kembali. Perasaannya berbalah sesama sendiri. Terbayang kembali di ruang matanya kesunyian yang acap kali menyelubungi hidupnya. Akhirnya dia nekad. Dia mengangkat gagang telefon dan menekan butang yang berkelip-kelip itu.
“Di mana kita nak jumpa?” Tanya Ilia kepada Fandi yang masih setia menanti di sebelah sana.
“Saya datang ambil Durra di rumah Durra, bagaimana?”
“Awak tahu di mana saya tinggal?”
Fandi menyebutkan alamat Ilia yang pernah diberikan oleh kakitangannya dulu.
“Hm, tepat sekali. Tapi, ke mana awak nak bawa saya?”
“Durra ikut aje. Saya bukannya nak kidnap Durra, cuma bawa Durra keluar makan malam, tidak lebih dari itu.” Seloroh Fandi.
“Formal atau santai?” Ilia tidak mengendahkan gurauan yang diberi.
“Tidak formal, tidak juga terlalu santai.” Fandi menjelaskan.
“Baiklah, kalau begitu, kita jumpa malam esok.”
“Okey, Durra. Until tomorrow night then. Tak sabar rasanya nak jumpa awak sekali lagi!”
Ilia terkesima dengan luahan kata-kata Fandi. Namun cuba dilawan perasaan gundah yang datang menyinggah.
“And again, I’m Datin to you!” Ilia menempelak bagi mengaburi Fandi dari mengetahui nafasnya yang semakin sesak dan perasaannya yang sedang bergejolak. Fandi tidak menjawab. Sebaliknya hanya gelaknya sahaja yang kedengaran sebelum dia memutuskan talian mereka.

SPC5

"Okey, rasanya saya boleh uruskan ni semua.”
Nada suara Diana yang kelucuan memecah kesunyian. Lamunan Ilia juga terbang tiba-tiba. Dia memandang Diana yang sedang tersenyum sumbing di hadapannya.
“Maafkan saya, Datin. Saya terlupa yang Datin sebenarnya adalah seorang wanita yang masih muda, pasti naluri Datin punya keinginan yang sama seperti orang lain juga.” Sempat Diana mengusik bosnya itu.
Ilia menjelirkan lidahnya kepada Diana.
“Ada lelaki spesifik yang hendak Datin jadikan sebagai mangsa?” Gurau Diana lagi.
“Umar Affandi Muhammad Khaliq.”
“Ha?!” Terlopong mulut Diana mendengar nama itu. Sungguh tidak di sangka sama sekali itu yang akan menjadi jawapan Ilia. “Biar betul ni, Datin….”
“Apa pula tak betulnya.” Ilia memuncung. Dia seakan merajuk kerana Diana tidak percaya dengan apa yang telah dikatakannya. Dikalih pandangan kepada Diana yang masih termangu di depan matanya.
“Nak tolong ke tidak ni?” Ilia mengetuk-ngetuk meja dengan pen Mont Blanc miliknya itu.
Kasihan juga Diana melihat nasib pen yang selama ini menjadi kesayangan bosnya itu. Pen itu amat mahal harganya. Pen itu telah dijaga dengan begitu rapi. Mana tahu, hari ini, buat pertama kalinya, ia menjadi mangsa fikiran Datin Durrani yang tidak keruan itu. Memang sah dia sedang angaukan lelaki itu.
“Okeylah, okeylah.” Akhirnya Diana terpaksa menyatakan persetujuannya. “Apa sebenarnya yang Datin nak lakukan?”
“Entahlah…” Ilia menjongket bahunya. Dia menggelabah. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang diinginkan sebenarnya. Ini kali pertamanya.
“Mungkin juga untuk dapatkan perhatiannya?” Akhirnya Ilia memberikan saranan. Dilemparkan juga pandangan mengharapnya kepada Diana.
“Datin, Datin nak tahu tak? Nak dapatkan perhatian seorang lelaki ni bukannya macam nak dapatkan sebuah hartanah, seperti yang Datin selalu lakukan tu tapi ia memerlukan seni. Kalau kita nak kan seorang lelaki tu, kita kena pikat dia. Kita kena pancing dia.” Panjang lebar Diana bersyarah, mencurahkan ilmu yang dia ada.
“Pancing?” Berkerut dahi Ilia, sukar untuk dia memahami apa yang dimaksudkan oleh Diana. Cuba dibayangkannya apa yang diperlukan untuk tugas itu. “Itu maknanya kena ada umpan. Apa umpannya?” Ternaik kening Ilia cuba memikirkan jawapannya.
“Umpannya ialah Datin sendiri.” Selamba Diana menjawab sambil memeluk tubuhnya.
Ha?! Ilia ternganga. Ditunjuk ke arah dirinya sendiri dengan ibu jari tangannya. Raut wajahnya bagaikan tidak percaya dengan apa yang Diana cuba sampaikan.
Diana menganggukkan kepalanya, mengesahkan kata-katanya sebentar tadi.
“Dan Datin kenalah fikirkan umpan macam mana agaknya yang boleh digunakan ke atas orang seperti Encik Umar Affandi kita tu. Umpan yang sesuai sahaja yang akan dimakannya. Macam ikan juga. Kita kena beri cacing kalau nak tangkap sembilang di darat, dan kita kena guna ikan berdarah untuk memancing jerung di lautan. Janganlah beri umpan sembarangan, nanti buat penat aje menanti, umpan tak juga dimakannya, pancing tak juga mengena….” Sempat Diana berleter mengenakan bosnya.
“Okey, saya faham tu. Tapi macam mana pula dengan plan? Untuk berjaya, saya perlukan plan.”
“Ops, nanti dulu. Macam saya katakan tadi, nak memikat ni adalah satu seni, jadi Datin tak perlukan semua tu. A plan is exactly what you don’t need, Datin.” Sekali lagi Diana menegaskan.
“Kenapa pula macam tu? Kalau ada plan, kan lagi mudah. Saya boleh setkan gol dan juga objektifnya, boleh buat perancangan cara mana yang lebih berkesan!”
“Salah tu!” Diana menyampuk, mencantas idea yang mula berputik di dalam kepala ketuanya itu.
“Dengan lelaki ni, Datin, perempuan perlu bijak. Dia kena mengikut arus. Kalau ikut plan, pasti lelaki-lelaki itu akan dapat menghidunya. Sekali terhidu, Datin tahu apa yang akan terjadi?”
Diana memandang ke arah Ilia dengan kening yang terangkat.
Ilia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak pasti.
Diana memetik jarinya.
“Gone! Dia akan lari jauh, sejauh-jauhnya.”
“No plan?”
Diana menggelengkan kepalanya sekali lagi.
Ilia terasa seperti kehilangan punca. Sepanjang hidupnya, dia telah sebati dengan perancangan awal di dalam melakukan sesuatu. Setiap masa dia sudah tahu tindakan selanjutnya yang akan dilakukannya nanti.
Bagaimanapun, dia juga terpaksa mengakui yang kehadiran Fandi sememangnya tidak pernah termasuk di dalam perancangannya. Ia bukan satu agenda. Tapi kini, lelaki itulah yang diidamkannya.
“Okey, first, Datin perlu menunjukkan minat Datin terhadap proposal yang telah diberikan itu.”
“Minat?!” Terkejut Ilia mendengar saranan yang telah diberikan oleh PAnya itu.
“Pasti dia akan gembira,” Diana menambah. “so nanti bolehlah Datin cadangkan supaya dia datang berjumpa Datin di suatu tempat. Kira macam keluar datinglah tu.”
“Hem, bagus juga cadangan awak tu, Diana.” Ilia sudah tersengih dengan idea yang dirasakan bernas itu.
“Ala, macam kata Datin tadi tu, saya kan pakar.” Selamba Diana membalas pujian Ilia sambil tersengih macam kerang busuk. “Oh ye, sebelum saya terlupa, ada satu lagi yang saya nak beritahu Datin.”
Ilia memandang ke arah Diana .
“Datin kenalah get rid of these suits yang selalu Datin pakai ni, especially semasa keluar dengan si dia tu.”
Diana merujuk kepada pakaian yang kerap menyelubungi tubuh Ilia. Pakaian berwarna gelap dan suram itu memang tampak profesional dan sesuai dipakai ketika mesyuarat lembaga pengarah, tetapi kiranya Ilia bertujuan untuk memikat seorang lelaki, bagi Diana, itu adalah satu kepantangan yang perlu dielakkan.
“Kenapa pula?”
Ilia mula terasa tidak selesa. Dia memang tidak pandai bergaya, malah jika dilihat di dalam almari pakaiannya, hampir sama sahaja design dan warna pakaian yang dipakainya setiap hari.
“Apa tujuan Datin yang sebenarnya? Datin nak memikat lelaki yang benar-benar lelaki dalam erti kata yang sebenarnya ataupun hanya sekadar seorang lelaki yang biasa-biasa aje untuk dijadikan seorang suami?” Diana berjeda, membiarkan Ilia menyerap kata-katanya.
“Kalau nak yang biasa-biasa tu, Datin tak perlulah bersusah payah macam ni, pergi aje pilih mana-mana lelaki kat pejabat ni, petik jari dan pinang aje mereka tu. Habis cerita.” Diana memberhentikan lagi syarahannya, ingin membiarkan supaya Datin di depannya dapat memikirkan apa yang baru sahaja disampaikan.
“Okey, Datin hendak hidup yang penuh dengan passion, ataupun hidup yang suram dan tidak menceriakan, ataupun hidup kesunyian sepanjang hidup Datin? Datin hendakkan Encik Umar Affandi untuk dijadikan suami?” Diana bertanya bagaikan seorang peguam yang sedang menyoal siasat saksi di kandang saksi.
“Sudah tentu saya mahukan hidup yang penuh dengan passion. Gembira dan sentiasa ceria, apatah lagi sekiranya lelaki itu pula adalah Umar Affandi Muhammad Khaliq.” Jawab Ilia sambil tersengih. Sudah luput rasa malu yang mulanya bertapak di dalam hatinya. Dia berkira-kira sudah tiba masanya untuk dia menikmati semua itu.
“Kalau begitu, Datin better pergi shopping hujung minggu ni. Change your wardrobe!” Diana menasihati.
“Kalau nak menggoda lelaki ni, Datin kenalah goda dia dengan pakaian yang lebih seksi, lebih berwarna-warni. Tak bolehlah nampak macam orang berkabung aje…” Diana menambah.
Ilia mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda setuju untuk menerima cadangan yang diberikan oleh Diana. Lagipun, siapalah dia untuk menolaknya. Diana sentiasa dikerumuni lelaki, tetapi dia juga yang sentiasa bersendiri.
“By the way, Datin, memang betullah seperti kata orang yang Encik Umar Affandi tu masih bujang lagi?”
Melopong mulut Ilia sejurus mendengar soalan yang diajukan oleh Diana kepadanya.
“Datin tak tahu ke sama ada dia masih bujang ataupun dah berkahwin?”
Ilia laju menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia menutup mulutnya yang ternganga. Kemudian dia termenung seketika.
“Diana, saya betul-betul tak tahu tu semua. Tapi tak apa, kita suruh aje si Muhsidin siasat latar belakang Fandi.” Ilia membuat keputusan. Dibiarkan Diana melangkah keluar. Sejurus selepas itu, dia terus mengangkat gagang telefon untuk menghubungi Muhsidin untuk tindakan yang selanjutnya.

SPC4

"Awak tahu siapa yang datang menziarahi saya di pejabat ni petang semalam?” Itu kata-kata pertama yang dilontarkan oleh Ilia sebaik sahaja PAnya, Diana melangkah masuk ke pejabatnya itu.
“Siapa?” Tanya Diana yang kaget dilontarkan soalan itu oleh Ilia secara tiba-tiba.
“Umar Affandi Muhammad Khaliq.” Beritahu Ilia. Diana terus terbayangkan wajah yang pernah muncul di dada akhbar The Edge.
“Untuk apa?”
“Untuk meminta supaya saya menimbangkan semula kertas cadangan penggabungan syarikat ini dengan syarikatnya.” Ilia menjelaskan.
“Eh, diakan tak ada appointment dengan Datin semalam?” Diana bertanya untuk kepastian.
“Tapi, dengan machonya dia telah menceroboh masuk!” Jawab Ilia sambil tersengih.
“He did what!?” Diana terjerit kecil, terperanjat dengan berita yang baru disampaikan kepadanya itu.
Ilia lantas menceritakan apa yang telah berlaku kepada Diana. Diana merupakan seorang wanita jelita dan tinggi lampai. Rambutnya yang lurus panjang pasti dicemburui oleh syarikat syampu rambut. Gaya dan penampilannya pula bagaikan seorang model, menyebabkan ramai orang yang sering menyangka bahawa Diana hanya pandai bergaya tapi tidak tahu membuat kerja. Kononnya dia hanya sekadar perhiasan di pejabat Datuk Majid.
Ilia juga menjangkakan begitu pada mulanya tatkala diperkenalkan kepada Diana oleh Datuk Majid. Namun setelah melihat sendiri kepada kecekapan yang ditonjolkan oleh Diana, persepsi itu telah berubah dengan sendirinya.
Mereka menjadi semakin rapat setelah kematian Datuk Majid. Dianalah satu-satunya teman yang dia ada. Tanpa Diana, Ilia sedar yang dunianya akan lebih sepi dan lebih sunyi. Kata-kata Umar Affandi terngiang-ngiang kembali ke telinganya.
Dan Datin kesunyian sekarang.
Ilia cuba menepis kata-kata itu dari berterusan menghantuinya.
“Bagaimana awak lakukannya?” Tanpa sedar, soalan itu tiba-tiba terpacul dari mulut Ilia.
Berkerut dahi Diana mendengar soalan yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Dipandang wajah Ilia dengan pandangan yang keliru.
“Maksud Datin?”
“Macam mana awak membuatkan semua lelaki-lelaki tu boleh tertarik kepada awak? Macam lebah tertarik kepada madu, macam semut tertarik kepada gula?” Ilia mengubah soalan agar lebih difahami Diana akan maksudnya.
Dalam pemerhatian Ilia, selama lebih tiga tahun mengenali Diana, terlalu mudah lelaki-lelaki tertarik dan terpikat kepada gadis itu.
Mereka mengerumuni Diana bagaikan semut mengerumuni gula. Namun Diana memilih hanya seorang lelaki untuk menjadi pasangannya pada satu-satu masa. Dan hubungan mereka tidak kekal lama. Lelaki-lelaki itu silih berganti. Yang ditinggalkan pasti berganti.
Termangu Diana seketika. Dia keliru. Kenapa soalan itu diajukan oleh Datin Ilia? Semakin berkerut dahinya memikirkan jawapannya.
Sebenarnya dia tidak hairan dengan soalan itu, sebaliknya terasa pelik akan tujuan soalan itu sendiri. Dia kenal siapa Datin Ilia Durrani. Kemesraan yang telah terjalin membuatkan Diana tidak kesah bila disuakan soalan sedemikian.
“Kenapa Datin nak tahu?” Soalnya semula.
For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.
Kata-kata Fandi menampar kembali gegendang telinganya. Mula terasa kehangatan yang menyelinap menyelubungi tubuhnya, menggetarkan perasaannya. Perasaan yang tidak pernah dirasainya selama ini.
Ilia ingin merasakan lebih dari itu. Keghairahan yang timbul terasa amat sukar untuk dibendungnya. Wajah lelaki itu memenuhi setiap ruang mimpinya malam tadi.
“Saya dah buat keputusan yang saya perlukan seorang lelaki dalam hidup saya.”
Terkedu Diana sebaik mendengar kata-kata itu. Ha?!
“Tapi Datin kan isteri Datuk Majid!”
“Memanglah, tapi itu dua tahun yang lalu.” Ilia membetulkan kenyataan itu. “Dan awak juga yang selalu menyarankan supaya saya keluar berhibur dan berseronok.” Ilia mengusik Diana.
“Saya tahu tu, Datin. Mungkin juga apa yang saya maksudkan ialah supaya Datin keluar berhibur ataupun berjalan-jalan dengan kawan-kawan Datin. Saya lupa yang Datuk Majid dah lama meninggalkan kita semua. Terasa masih baru lagi. Terasa seperti Datuk Majid masih lagi berada bersama kita.”
Sayu nada suara Diana. Melaut rasa simpatinya kepada wanita di hadapannya ini. Dia turut merasa serba salah bila memikirkan kehidupan Datin Ilia yang terpinggir dan terasing sejak berkahwin dengan Datuk Majid.
“Datuk dah tak ada dan saya masih di sini. Awak pun tahu kan yang saya mana ada kawan. Awaklah satu-satunya kawan yang saya ada.”
Perlahan nada suara Ilia tatkala dia meluahkan perasaannya kepada Diana . Dia juga sedar yang dia tidak pernah mengalami kejutan perasaan seperti apa yang dirasakannya ketika bersama Fandi.
Ilia teringat kembali kepada peristiwa lapan tahun yang lalu. Dia telah berkenalan dengan Datuk Majid semasa menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh Zizie, anak Tan Sri Roslan yang sama sekuliah dengannya.
Mereka telah berbual dan mengenali antara satu sama lain. Kerana keserasian, Datuk Majid telah mengajaknya keluar bersama sejurus selepas itu dan beberapa kali kemudiannya. Selang beberapa bulan, Datuk Majid telah melamarnya.
Ilia sedar, tidak seperti yang disangka oleh semua pihak, mereka bukanlah seperti pasangan suami isteri yang lain. Sedari awal memang telah diketahuinya yang perkahwinan itu hanyalah sekadar pada nama.
Kewujudan Ilia hanya setakat menjadi peneman dan rakan kepada suaminya yang hidup kesunyian setelah kematian isterinya yang tercinta. Anak tunggalnya pula tiada di situ. Dia telah berkahwin dan mengikut suaminya yang membuka perniagaan di Kanada.
Di depan khalayak ramai, mereka berdua bagaikan pasangan suami isteri yang lain. Namun tiada siapa mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Di sepanjang tempoh perkahwinan mereka, tidak pernah sekalipun Datuk Majid memberikan nafkah batin kepadanya. Ilia tidak pernah disentuh selayak seorang isteri. Mereka juga tinggal di bilik yang berasingan.
Bagaimanapun, Datuk Majid telah mengajarnya tentang dunia perniagaan, memberinya perangsang dan motivasi serta melindunginya dari pelbagai perkara. Selama enam tahun di bawah satu bumbung, akhirnya Ilia menjadi jelmaan ataupun bayangan kepada Datuk Majid.
Bagaimanapun, apa yang dirasakannya sekarang ini adalah terlalu berbeza. Bagaikan ada bunga api yang sedang meletup dan berdentam dentum di dalam mindanya.
Wajah Fandi, senyumannya, lesung pipitnya dan renungannya yang redup itu sentiasa bermain di matanya.
Dia terkapai-kapai sendirian. Mungkin juga telah bersemi bunga-bunga cinta di dalam hatinya. Dia tidak tahu.
Yang pasti, dia sedang mengalami sakit angau yang maha dahsyat! Dan dia kembali mengelamun.

SPC3

Terasa dunia Ilia berputar di sekelilingnya. Direnung jauh ke dalam anak mata Fandi yang tenang dan sejuk itu. Cuba di analisa maksud di sebalik kata-kata Fandi sebentar tadi.
Company?
Syarikatnya ataupun kehadirannya? Mungkin juga kedua-duanya sekali.
Ilia mula terasa bahang kehangatan menular sedikit demi sedikit naik ke mukanya. Wajahnya mula berona merah.
Bilik itukah yang terasa semakin panas, ataupun dirinya yang kehangatan oleh panahan dari sinaran mata yang redup itu?
Ilia terasa serba salah. Dia kalut. Dia bangun dari kerusinya dan berjalan ke arah penghawa dingin yang masih terpasang walaupun hujan renyai di luar telah membasahi bumi. Terasa kesejukan mula menjalar.
Sekilas dijeling ke arah Fandi. Dilihat senyuman lelaki itu masih melekat di wajahnya. Lesung pipitnya juga masih terletak di tempat yang sama.
Tanpa disedari Ilia, Fandi juga kegelisahan di tempat duduknya itu. Fandi sebenarnya semakin tergugat dengan jelingan yang dilontarkan oleh wanita itu terhadapnya. Jiwanya bergetar. Hatinya berdebar-debar. Dia tergoda, tapi godaan itu cuba ditepisnya. Dia tidak mahu nafsunya yang mengatasi keimanannya kala ini.
“Saya sebenarnya ingin sangat nak appeal to your goodwill, Datin, tapi rasanya Datin tak ada tu semua.” Fandi menyambung bicaranya kembali.
Ilia mula terasa hati. “Kenapa pula awak cakap macam tu?” tanya Ilia dengan nada sedikit merajuk.
“Sebab tak ada seorang pun kenalan Datin yang pernah mengaitkannya dengan Datin. Seolah-olah goodwill tu is not part of your vocab, seolah-olah ia memang tak pernah ujud dalam diri Datin.” Fandi berjeda.
Diletakkan minumannya ke atas meja Ilia sambil membiarkan Ilia memikirkan kata-katanya sebentar tadi.
“Boleh saya ceritakan apa yang saya tahu tentang Datin?” Fandi mengusulkan bila dilihat Ilia masih mendiamkan dirinya.
Ilia menganggukkan kepalanya kerana dia juga ingin tahu apa maklumat tentang dirinya yang kini berada di tangan lelaki itu.
Fandi tersenyum. Dia bangkit dari duduknya. Dia mundar mandir di dalam pejabat itu. Ilia pula cepat-cepat duduk di kerusinya semula, tidak mahu nanti dia berlaga dengan lelaki yang telah membuat pejabat itu bagaikan pejabatnya sendiri.
“Datin merupakan seorang wanita yang licik, pandai memutar belit and always landed on your feet. Like a cat with its nine lives. Ada juga yang mengatakan Datin ni macam Catwoman. Sentiasa bangkit dan tidak mudah mengaku kalah.” Fandi memulakan ceritanya sambil tersenyum.
“Datin mengahwini Datuk Majid pada usia yang muda, kalau tak silap saya, pada umur 22 tahun, iaitu sebaik sahaja tamat pengajian Datin di bidang Pengurusan Perniagaan, yang mana Datin telah lulus dengan begitu cemerlang, first degree honor. Datuk Majid pula empat puluh tahun lebih tua dari Datin ketika itu. Jadi banyak juga gosip yang telah bertiup dan menular, yang menggambarkan seolah-olah Datin adalah seorang wanita pisau cukur. Bagaimana pun masa telah membuktikan bahawa Datin adalah seorang yang berkaliber. Datin seorang yang genius dalam bidang perniagaan, dan adalah orang yang paling layak mewarisi perniagaan Datuk. Datuk memang tidak tersalah pilih.”
“Terima kasih.” Ilia mencelah sinis, mengangkat botol minumannya ke arah Fandi.
Terangkat kening Fandi mendengar ucapan itu. Dia tidak pasti ucapan itu untuk apa. Mungkin juga kerana pujiannya di atas kebolehan Datin Ilia yang tidak boleh disangkal itu. Pujian itu memang kena dengan tempatnya.
Mata Ilia redup seketika. Dia perasan yang lelaki di hadapannya itu tidak sedikit pun menyentuh tentang fitnah yang ditimbulkan oleh beberapa pihak yang mengatakan bahawa dia berkahwin dengan Datuk Majid hanya kerana harta, bahawa dia adalah pelacur kelas atasan, dan macam-macam lagi.
Untuk itu, Ilia rasa bersyukur kerana ada juga insan yang tidak membangkitkan lagi tentang hal itu di hadapannya kini.
“Datuk Majid telah mencurahkan segala ilmunya kepada Datin.” Fandi menyambung semula kata-kata sambil terus merenung wajah ayu wanita yang sedang tunduk di hadapannya itu.
“Seperti yang disangka oleh semua pihak.” Celah Ilia tanpa emosi.
“Dia meninggal dunia dua tahun yang lepas dan Datin mewarisi sebuah perniagaan yang agak besar.”
“Anak perempuannya juga mewarisi hartanya.”
“Tapi Datin telah membeli sahamnya di dalam syarikat ini.”
Tersenyum Ilia dengan penjelasan Fandi. Dikalih matanya untuk terus memandang ke arah Fandi. Dia kemudiannya meneguk minumannya.
“Betul tu.” Akhirnya Ilia mengiakan kata-kata lelaki itu.
“Dan pada usia yang masih muda, sekarang ni Datin adalah peneraju dan pemilik saham terbesar kepada syarikat ini. Syarikat ini memang telah ditakdirkan ALLAH buat Datin.”
“That’s about the size of it.” Ilia menyetujui tanpa rasa riak. Bagi diri Ilia, itu semua adalah apa yang diketahui oleh orang ramai, bukan sebuah rahsia. Namun begitu, hakikat yang terjadi adalah sebaliknya. Kehidupan peribadinya tiada siapa yang mengetahui. Semuanya disimpan rapi di dalam diari hidupnya.
“Mereka juga berkata yang Datin hanya fikirkan bottom line sesuatu perkara, tidak lebih dari itu.” Fandi terus menyambung kata-katanya.
Namun tanpa disedari Fandi, kata-katanya kali ini sedikit sebanyak telah melukakan perasaan Ilia.
Hakikatnya, dia bukanlah jenis manusia sebegitu. Sesuatu keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dan logik. Lagipun pemegang sahamnya yang lain perlu diberi keutamaan. Untung rugi syarikat menjadi keutamaannya semasa membuat sebarang keputusan di dalam mengendalikan syarikatnya itu.
“Mungkin benar, tapi sekali lagi, ianya bukanlah sesuatu yang tepat.” Ilia menyangkal. Entah kenapa dia begitu mengharapkan agar lelaki itu menganggap yang terbaik sahaja akan dirinya.
“Dan Datin kesunyian sekarang.”
Kali ini Ilia benar-benar terkedu. Kenyataan itu bagaikan sedang merobek jiwanya. Terasa bagaikan anak panah telah tepat mengena sasaran di hatinya. Bagaikan lelaki itu telah mencurahkan sesejuk air ke atas tubuh badannya.
Di toleh ke arah Fandi, namun dilihatnya Fandi sedang meneliti model resort yang bakal dibinanya itu.
Apakah benar lelaki itu telah mengucapkannya, ataupun dia sendiri yang sedang mengelamun?
Timbul kembali perasaan gusar di hati Ilia. Gugup dia dengan gerak hatinya yang mengatakan bahawa lelaki ini dapat membaca fikirannya, dapat membaca apa yang dia rasa. Memang benar kesunyian telah lama bertapa di hatinya. Sejak bila dia sendiri tidak pasti. Dan kesunyian itulah yang menjadi temannya kini.
Nampaknya kata-kata aku tadi dah menimbulkan reaksi dari dia, kata Fandi kepada dirinya sendiri. Terus diperhatikan Ilia dari ekor matanya.
Bertapak pula rasa kasihan di hatinya terhadap Datin yang baru dikenalinya itu.
“Boleh saya tahu apa panggilan kawan-kawan Datin kepada Datin?”
“Kenapa?” Tanya Ilia. Dia agak terkejut dengan soalan itu. Apa kaitan panggilan namanya dengan apa yang sedang mereka bincangkan ini?
“Datin, Durrani, Ilia?” Fandi tidak menjawab, sebaliknya terus bertanya.
“Dulu Ilia, tapi sekarang ni mereka hanya panggil gelaran saya sahaja, iaitu Datin.” Ilia akur menjawab, masih tidak mengerti mengapa soalan itu yang diajukan oleh Fandi.
“Ah...”
Kali ini sepatah perkataan yang diucapkan oleh Fandi seakan membelai tubuhnya dengan sutera yang begitu lembut dan mengasyikkan.
“Ah.. What?” Sekali lagi timbul rasa sangsi di hati Ilia.
“Just Ah... Hem, boleh saya panggil Datin hanya sebagai Durra sahaja? Saya rasa panggilan ini lebih mesra dan lebih bersesuaian dengan Datin.”
“Kenapa awak tidak panggil saya Ilia, ataupun Durrani sahaja? Ataupun, seperti orang lain, panggil saja saya Datin.” Ilia pula mengesyorkan. Namun hatinya terasa juga cuaknya kerana mencadangkan kepada lelaki itu agar memanggilnya Datin sahaja seperti orang lain. Tampak sangat seperti egonya yang berkata begitu.
“Durrani lebih sesuai buat Datin, tapi Durrani bermaksud permataku, jadi saya rasa saya bukanlah orang yang layak untuk memanggil Durra begitu. Not yet, anyway.” Fandi menjelaskan sambil tertawa kecil.
Tersipu-sipu Ilia dibuatkannya bila mendengar penjelasan Fandi. Dia faham dengan maksud yang ingin disampaikan. Diakui bahawa lelaki ini memang pandai berkata-kata, semakin menjadikan hatinya gundah gulana.
“Boleh saya suggest something about this resort?” Sengaja Fandi mengalih topik perbualan kepada apa yang sedang berada di depan matanya itu.
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Entrance resort ni patut menghadap ke laut.”
“Why?” Ilia duduk tegak di kerusinya. Ingin tahu apa pandangan lelaki itu terhadap resortnya.
“The restaurant is here, right?” tanya Fandi sambil mengunjuk kepada salah satu dari bahagian yang berhampiran dengan pintu masuk utama.
Ilia menganggukkan kepalanya.
“Bayangkan suasana ketika hujan dan rebut petir sedang melanda. Ombak yang menghempas pantai dan pokok-pokok kelapa dan pokok-pokok ru yang ditanam sepanjang pantai meliuk lentok menahan asakan angin yang sedang bertiup kuat. Pelanggan pula sedang tenang menyaksikan semua itu di bawah bumbung resort, sambil menikmati secawan kopi atau pun teh panas. Kepada mereka yang peka, pasti mereka dapat menyaksikan kebesaran ALLAH, di antara sebuah keributan dan sebuah ketenangan yang diciptakan oleh ALLAH untuk manusia menikmati dan membezakan-nya.”
“Bagus juga tu. Nanti saya akan pertimbangkan. Ada lagi?” sinis nada suara Ilia di dalam memberikan reaksi terhadap pandangan Fandi.
Fandi tertawa kecil. Dia sedar bidang pembinaan bukanlah bidangnya. Tapi dia rasa tidak salah untuk dia menyuarakan pandangannya.
“Berbalik semula kita kepada persoalan pokok pertemuan ini. Saya amat berharap yang Durra akan mempertimbangkan kertas cadangan yang pihak saya telah ajukan kepada pihak Durra.”
“Jangan nak mimpi.” Tegas Ilia menyatakan keputusannya.
“Saya memang suka bermimpi, tapi saya bukan seperti Mat Jenin dengan mimpi kosongnya itu.” Balas Fandi.
Ditatap wajah Fandi seketika. Walaupun tidak sekacak mana, namun wajah yang kaya dengan senyuman manis dan berlesung pipit itu memang sesuai untuk dibawa ke alam mimpi. Mungkin mimpinya akan menjadi sebuah mimpi yang indah, mimpi yang manis…
Hish, ke situ pulak perginya fikiran aku ni! Ilia menempelak dirinya yang sekali lagi tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada topik perbualan mereka ketika itu. Fikirannya acap kali menerawang dan mengelamun. Perkara seperti ini tidak pernah terjadi di dalam hidupnya sebelum ini.
“Jawapan saya tetap sama, iaitu tidak!” selamba Ilia menempelak Fandi, ingin mendera lelaki yang dirasakan menjadi punca hatinya kini terdera.
“Kalau begitu, baiklah, kita jumpa lagi.” Fandi berjalan menuju ke pintu. Daun pintu pejabat itu dibukanya dan Fandi menoleh ke arah Ilia.
“Please don’t take anything from here on in personally. For the record, saya memang semakin menyukai awak, Durra.”
Pada ketika itu juga Ilia semakin sedar yang Fandi telah mula memanggilnya sebagai Durra sahaja tanpa sebarang gelaran Datin dipangkal namanya itu. Sebenarnya Ilia bukannya jenis yang ambil peduli, tapi bila dia memanggilnya sebagai Durra sahaja, seakan ada keintiman di antara dia dan lelaki itu. Memang satu kelainan dari kebiasaannya.
“That’s Datin to you!” Ilia membalas walaupun jantungnya berdegup semakin pantas dan kencang.
Fandi hanya tertawa mendengar kata-kata Ilia. Dia melangkah keluar dan terus hilang bersama tawa yang masih bersisa.
Ilia terasa begitu aneh. Dia bagaikan berada di awang-awangan. Dadanya masih berdebak debuk.
Ditarik nafas sedalam-dalamnya. Dihembuskan kembali dengan perlahan. Disandarkan tubuhnya ke kerusi empuk itu. Dilihat jam di dinding. Setengah jam telah berlalu sejak dia dikejutkan oleh suara lelaki itu.
Dia termenung melayan perasaan. Apakah yang sebenarnya baru berlaku?
Fikirannya melayang semula kepada detik pertama tadi. Diimbas perasaannya kembali.
Bagaikan ada satu daya tarikan yang begitu kuat yang telah menyentapnya. Panahan petir bagaikan telah tepat mengena hatinya. Dia bagaikan sedang terbakar.
Perasaan itu sungguh menggerunkannya. Dia sendiri tidak pasti apakah yang patut dilakukannya sekarang.
Yang pasti, sejak sekian lama, jiwanya yang telah mati kini hidup semula.

SPC2

"Sebelum tu, biar saya perkenalkan diri saya. We have never met before, but I am sure we already know of each other. Saya Umar Affandi Muhammad Khaliq, CE AlKhaliq Berhad. Panggil saja saya Fandi.” Dengan suara yang lembut, Fandi memperkenalkan dirinya kepada Ilia.
“Itu saya dah tahu.” Balas Ilia pula.
“Hem, nampaknya Datin sudah mengenali siapa saya. Bagaimanapun, saya mungkin tersalah orang. Mungkin juga awak ni sebenarnya bukanlah Datin Ilia Durrani Abdullah seperti yang dijangka?”
“Why not?”
“Menurut peguam saya, Datin Ilia Durrani adalah seorang yang pandai berhujah. Petah berkata-kata. Pintar dan tegas orangnya. Dia terkenal dengan sikap begitu. Tapi nampaknya mereka mungkin tersilap, ataupun saya sendiri yang melakukan kesilapan ini?” Selamba Fandi meluahkan apa yang sedang bermain di kepalanya.
Semangat Ilia sedikit pulih dengan kata-kata itu. Malu juga bila dia disindir begitu oleh Fandi.
“Saya memang Datin Ilia Durrani, tapi sekejap tadi tu awak telah mengejutkan saya. Bukankah awak telah menceroboh masuk? And that put me into a dis-advantange!” Ilia menekankan. Berkerut dahinya dan terangkat keningnya.
“Ah.” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Fandi bagaikan menyatakan kepuasan hatinya kerana berjaya berbuat demikian. “Bagus juga tu,” sambung Fandi sambil tersenyum.
“Itu biadab namanya!” sergah Ilia kembali, tidak senang diperlakukan begitu.
“Maafkan saya kerana telah berbuat demikian. Saya tidak memaksudkannya. Tapi saya harap Datin faham. Saya terpaksa kerana telah beberapa kali PA saya telah cuba untuk mengaturkan pertemuan saya dengan Datin, tapi sia-sia sahaja usahanya itu.” Fandi menjelaskan kenapa dia berbuat demikian.
“Saya rasa awak ni seorang lelaki yang bijak, jadi sepatutnya awak dah faham kenapa saya berbuat demikian.” Ilia menyindir. Hidungnya pula terhidu sesuatu.
Hem, sedapnya bau pewangi yang dipakainya ni, getus hatinya pula.
“Well, memang saya faham, tapi pada masa yang sama, takkan saya nak berputus asa. Kalau macam tu, macam mana saya nak berjaya?” Fandi pula bertegas.
“PA saya dah balik awal hari ni, so no hot drinks at this moment. Bagaimanapun, awak boleh pilih, mineral water or yogurt drink.” Ilia tidak membalas, sebaliknya diberinya peluang untuk Fandi membuat pilihan.
“Anything that you are having.” Beritahu Fandi tanpa mahu menyusahkan Ilia.
Sebenarnya dia telah menjangkakan yang Datin Ilia akan meminta dia berhambus sahaja dari pejabat itu ketika itu juga. Paling tidak pun, mungkin juga dia akan memanggil pihak keselamatan untuk melakukannya bagi pihaknya. Namun siapa sangka, yang sebaliknya pula yang berlaku.
Wanita itu masih berada di hadapannya, malah menawarkan minuman untuknya pula. Itu lebih dari bagus bagi dirinya.
Fandi memerhati Datin Ilia bangun dan menuju ke arah peti sejuk mini yang terletak di sudut bilik pejabat itu. Datin Ilia tidak seperti yang disangka.
Fandi pernah beberapa kali melihat gambar Datin Ilia Durrani Abdullah di dalam Malaysian Business. Gambar-gambar itu nampaknya tidak bersikap adil kepadanya.
Rambutnya yang hitam pekat dan digunting pendek separas bahu itu tampak kemas dan menarik. Mukanya yang bujur sirih dan putih bersih itu hanya diselaputi mekap nipis dan diserikan oleh sepasang anting-anting berlian yang bergemerlapan disinari cahaya lampu pejabat itu.
Orangnya pula kecil molek, mungkin hanya mencecah dagunya sahaja. Tubuhnya pula langsing dan pergerakannya pula sungguh lemah gemalai, bagaikan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.
Ewah-ewah, sejak bila aku ni pandai bermadah ni, kutuk Fandi di dalam hatinya.
Lembut ataupun tidak, pasti Datin ini tidak akan memberikannya ruang untuk bertindak, tambah Fandi sambil tersenyum kepada dirinya sendiri.
Pada pendapatnya, walau terserlah kelembutan itu, namun ketara juga ketegasan pada tindak tanduk dan percakapan Datin di hadapannya ini, selayak jawatannya sebagai peneraju di syarikatnya itu.
Fandi mula memikirkan langkah yang patut diambil dalam usahanya untuk mengubah keputusan supaya berpihak kepada dirinya.
“Silakan.”
Fandi menyambut botol minuman yogurt yang dihulurkan oleh Ilia. “Terima kasih.”
Fandi memerhatikan sahaja gerak laku Ilia yang kembali duduk mengambil tempat di hadapannya.
Dia tampak manis dengan sut lengkap berwarna kelabu. Dilabuhkan punggungnya ke kerusi empuk itu lalu disilangkan kedua kakinya. Tampak begitu santai sambil memegang botol minuman dengan kedua belah tangannya. Jari jemarinya yang runcing dan renungan matanya yang bulat dan redup serta tertancap ke arahnya itu menggodanya. Jantung Fandi semakin hebat berdegup.
“Hish, nampaknya dia ni menggoda juga. Boleh tahan impaknya pada aku.” Hati Fandi berbisik.
“Hm. Where were we?” Ilia bertanya sekadar ingin memulakan semula perbincangan mereka bila dilihat Fandi seperti sedang merenungnya. Dia mula rasa gelisah di tempatnya itu.
Fandi tersedar dari renungannya. “Datin, kita belum pun memulakan apa-apa lagi.”
Ilia menganggukkan kepalanya, setuju dengan kata-kata Fandi.
“Kalau begitu, kenapa tidak awak mulakan sahaja. Lagipun, awak yang datang merempuh masuk ke pejabat saya ni. Kononnya untuk bertemu dengan saya!” Sempat Ilia menyindir sambil menganggukkan kepalanya dan mengingatkan Fandi situasi yang baru sahaja berlaku sebentar tadi.
Fandi hanya tersengih mendengar sindiran itu. Dia mula berfikir dan memfokuskan mindanya kepada tujuannya ke situ. “Baiklah, saya akan go straight to the point,” katanya sambil mula merangka apa yang ingin disampaikan kepada Datin Ilia.
“Kakitangan saya telah beberapa kali bertemu dengan Datin dan telah membuat presentation kepada Datin mengenai usul untuk penggabungan syarikat kita. Penggabungan kedua syarikat ini nanti pasti akan meningkat dan menambahkan value kedua-dua syarikat kita ni. Saya pasti, ini akan mendatangkan keuntungan kepada kita semua.”
“Mungkin keuntungan bagi pihak awak, tapi bukan bagi pihak saya,” tukas Ilia pula. Dia mempertikaikan cadangan Fandi yang dirasakannya tidak mendatangkan keuntungan kepada pihaknya.
Ilia tidak mahu mengalah di dalam soal ini. Sebenarnya dia telah pun meneliti proposal yang telah dihantarkan kepadanya itu, namun proposal itu tidak menarik minatnya sama sekali.
“Tidak, saya dah pastikan bahawa terma-terma yang ditawarkan itu akan mendatangkan keuntungan kepada kita semua,” ujar Fandi sambil cuba untuk meyakinkan Ilia.
“Why this company? Company ni kan kecil aje. Bukankah banyak lagi company lain yang lebih besar dan bagus serta boleh mendatangkan lebih banyak keuntungan kepada awak?”
Fandi tidak segera menjawab. Direnung wanita di hadapannya itu dengan pandangan yang redup dan lembut. Senyuman manis mula terukir di bibirnya.
“Your company is much more attractive than the others!” Akhirnya Fandi mengucapkan kata, namun sempat dia memberikan maksud yang tersembunyi di sebalik kata-katanya tadi. Yang tersirat di sebalik yang tersurat. Dia ingin melihat sama ada Datin Ilia faham maksudnya itu.

SPC1

Lelaki bernama Umar Affandi Muhammad Khaliq hadir di dalam hidup Datin Ilia Durrani Abdullah tepat pada pukul enam petang. Pertemuan yang tidak terduga itu memberikan satu bentuk kejutan yang tidak pernah dialaminya walaupun usianya kini akan mencecah ke angka tiga puluh tahun. Hidupnya yang begitu teratur tapi agak mendatar dan membosankan itu tidak lagi sama selepas pertemuan itu.
Awan mendung yang sedang berarak perlahan menandakan hari akan hujan. Itu sahaja yang dia tahu. Bila hujan akan turun, entahlah. Itu bukan bidangnya. Dia bukan pakar hujan. Kerana itu, dia tidak pernah mahu mempedulikan cuaca yang sedang mengalami perubahan.
Bagi Ilia, hujan yang sedang turun tidak akan mendatangkan bahaya.
Yang akan mendatangkan bahaya adalah jika orang itu menjadi terlalu bodoh ataupun hilang akal dan kemudiannya berdiri di bawah sepohon pokok yang letaknya di tengah-tengah padang ketika hujan turun bersama kilat sabung menyabung.
Dia pernah diberitahu bahawa peluang untuk orang yang berteduh di bawah pokok di tengah padang ketika petir sedang hebat sambar menyambar adalah lima puluh lima puluh.
Memandangkan dia kini sedang selesa di dalam pejabatnya yang berhawa dingin, masakan kilat akan dapat menyambar masuk ke situ. Tak masuk di akal langsung. Itu andaiannya. Mana tahu andaiannya itu salah kali ini.


ILIA sedang meneliti model untuk satu lagi rangkaian hotel dan resort yang kini berada di fasa terakhir di dalam perancangannya ketika itu. Sebuah kereta mainan sebesar tiga inci berada di dalam genggaman tangannya. Dahinya berkerut seribu.
Pelan yang telah dibuat memang mantap. Pembinaan rangkaian hotel dan resort itu pula akan dimulakan dalam masa sebulan sahaja lagi. Tapi kini baru dia terfikir, untuk pintu masuk utama hotel tersebut, yang mana lebih baik, menghadap ke bukit bukau ke, ataupun menghadap ke laut Cina Selatan. Pemandangan Laut Cina Selatan sememangnya akan lebih dramatik, manakala pemandangan bukit bukau itu pula penuh kemegahan dan kehebatan.
“Eeny, meeny, miney, mo” Ilia mengomel sendirian, cuba membuat pilihan. “Laut atau bukit? Depan atau belakang?” Dia menimbang dan berkira-kira. Separa sedar, perlahan tangannya membaling-baling kereta mainan yang berada di tangannya ke atas dan ditangkapnya semula sambil matanya terus tertancap pada model resort tersebut.
“Hem, apa pula yang akan dikatakan oleh pengurus projek ni nanti jika aku menukarkan fikiran aku sekarang ni?” Ilia mengomel lagi. Berkerut mukanya seketika. Masih tidak pasti apakah wajar dia membuat perubahan pada saat-saat akhir ini.


“O…rupanya beginilah caranya wanita korporat membuat keputusan.”
“Whoa!!” Ilia terjerit kecil. Dia terkejut. Ada suara yang datang dari arah belakang. Suatu kejutan yang memang tidak disangkanya sama sekali. Spontan dia menoleh ke arah suara itu.
Kerana terkejut juga, kereta mainan yang sedang di genggamannya sebentar tadi terus terlepas dan ia melompat masuk ke dalam genggaman lelaki yang pantas cuba menangkapnya dari terjatuh ke lantai.
“dan kini beberapa nyawa dapat diselamatkan…” seloroh lelaki di hadapannya itu. Di bibirnya telah tersisip sebutir senyuman yang ditujukan kepada Ilia. Kereta mainan di tangannya dihulurkan kembali kepada Ilia.
Ilia tidak menyambut huluran tersebut. Dia terkedu seketika di situ. Mulutnya ternganga. Terasa bagaikan anak rambutnya telah berdiri tegak dan rambutnya yang pendek itu telah meremang. Dia bagaikan terkena panahan petir. Beberapa saat berlalu. Dia masih begitu. Seketika kemudian baru dia tersedar.
Dikatup kembali bibirnya. Digeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Ingin dicari fokusnya yang telah hilang sebentar tadi.
Diamati sekali lagi wajah itu. Memang lelaki itu dikenalinya.
Berterusan direnung wajah lelaki di hadapannya. Tidak berkedip matanya. Terasa bagaikan nafasnya semakin sesak.
Hish, Ilia, what happened to you? Wake up, girl…! Ilia memarahi dirinya.
Cuba ditarik nafasnya sedikit demi sedikit. Tidak mahu dia pengsan di situ pula nanti. Malu jika orang lain mengetahui yang wanita korporat yang glamour ini pengsan sebaik bertemu dengan Umar Affandi Muhammad Khaliq.
Ilia memang mengenali lelaki ini, tapi hanya pada nama. Mereka tidak pernah bersemuka. Wajah itu pula pernah ditatap pada gambar yang telah ditunjukkan kepadanya satu ketika dulu.
Nama lelaki itu sebenarnya kerap timbul di setiap kali perjumpaan dengan wakil syarikatnya. Diana pernah memberitahu Ilia serba sedikit maklumat mengenai lelaki ini, tapi dia lupa semuanya itu pada saat ini.
Itu tak penting. Yang pentingnya ialah lelaki ini telah cuba untuk mengambil alih syarikat yang sedang diterajuinya. Lelaki ini memang patut dibencinya. Itulah yang dirasainya selama beberapa bulan ini. Namun kini dia sedar yang dia sebenarnya masih belum bersedia untuk menghadapi lelaki ini.
Apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah di luar dugaannya sama sekali.
Kehadiran lelaki itu bagaikan menerangi suasana bilik pejabatnya. Dia tidaklah sekacak mana, malah kacak lagi si pelakon Rosyam Nor tu. Namun begitu, sebaik sahaja dia mengarahkan senyuman dan lesung pipitnya yang manis itu pada Ilia, dunianya bagaikan hilang begitu sahaja.
Yang ujud hanya dia dan lelaki itu. Dan mereka bagaikan tidak lagi berada di situ. Bahkan mereka kini dikelilingi oleh pemandangan yang begitu indah. Air tasik yang membiru dan pepohon yang berwarna- warni tatkala musim luruh menjadi latar belakangnya. Melodi yang mengusik jiwa pula bagaikan berputar di dalam kepalanya, terngiang-ngiang di telinganya. Senyuman lelaki itu begitu menggetarkan jiwanya.
Fikiran Ilia seakan kosong dan dia berdiri di situ bagaikan orang yang terencat akal tiba-tiba.
“Helo, Datin… kenapa membisu? Kenapa tiba-tiba Datin macam ayam berak kapur aje ni?” Lelaki itu bertanya, memecahkan kesepian yang semakin hening. Timbul pula rasa kasihan di hatinya bila melihatkan keadaan wanita di hadapannya itu yang seakan keliru dengan kehadirannya di situ.
Ilia pula cuba memberikan jawapan. Dibukanya mulut untuk menjawab, tapi hampa. Bibirnya sahaja yang terkumat-kamit, namun masih tiada suara yang dilontarkan keluar.
Lidahnya masih kelu. Dia memandang ke wajah lelaki itu, ke tangannya yang masih memegang kereta mainan tadi, ke wajah itu dan kembali ke tangan itu semula.
Ilia mula membayangkan sesuatu. Tangan dan jejari lelaki itu yang sedang membelai wajah dan tubuhnya. Jantungnya mula berdegup kencang.
Ilia panik. Dia mula mencari arah.
Hish, Ilia, get a grip of yourself! Ilia memarahi dirinya lagi buat sekian kalinya.
Tulah, lain kali jangan banyak sangat menonton Drama Korea. Sekarang, tengok apa dah jadi... Sindir hati Ilia pula. Ilia jadi semakin geram pada dirinya sendiri yang dirasakan telah hilang akal itu.
“Apa yang awak hendakkan sebenarnya?” Ilia membuka mulutnya untuk berkata, tapi kedengaran begitu kelam-kabut, bagaikan hendak tergigit lidahnya sendiri.
“A few minutes of your time.” Lelaki itu terus menghampiri Ilia dan begitu berhati-hati meletakkan kereta mainan itu ke tempatnya di jalan raya yang terdapat di atas model resort tersebut.
Ilia memerhatikan sahaja gerak-geri lelaki itu yang jelas penuh dengan keprihatinan dan ketelitian.
Walau pada zahirnya memang lelaki itu nampak tegap dan sasa, namun pada saat itu, dia kelihatan seperti seorang lelaki yang begitu lembut, dan sentiasa berhati-hati. Begitu prihatin hatta ke atas barang-barang mainan sekalipun.
Wuiiii, gentle jugak dia ni…. Bisik hati Ilia pula. Sedikit menggeletar, dia membayangkan perasaannya sekiranya lelaki itu memberikan perhatian sebegitu kepada dirinya pula. Terasa lemah lututnya. Dadanya kembali berdebar-debar.
“Hish Ilia, bertuah betul kau ni. You better snap out of it!” Sekali lagi Ilia memarahi dirinya sendiri yang bagaikan hilang daya kawalan. Dia memaksa dirinya untuk berjalan menuju ke mejanya.
“Saya harap awak dapat memenuhi permintaan saya. Ya atau tidak, sudah mencukupi.” Getar suara lelaki itu menusuk masuk ke sanubari Ilia. Begitu lunak dan lembut, bagaikan alunan lagu yang begitu menusuk kalbu.
“Permintaan?” Ilia terasa kaget. Cuba ditelan air liurnya. Kerongkongnya pula terasa kering.
“A few minutes of your time.” Ulang lelaki itu sekali lagi.
Huh, ingatkan apa tadi, getus hati kecil Ilia.
“Baiklah. 15 minit dan ianya bermula sekarang.” Ilia menekankan sambil mempersilakan lelaki itu untuk mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya.“Saya akan mempergunakannya dengan sebaik mungkin,” balas lelaki itu sambil mengambil tempat duduknya di hadapan Ilia. Dia menyelesakan dirinya di situ.

SGK9

SEKITAR pukul sebelas pagi, terdengar ketukan di pintu biliknya. Agak keras bunyi ketukan itu. Sudah pasti itu adalah Erman.
‘Aku pasti yang dia ni memang bukan seorang yang jenis penyabar,’ fikir Syirin.
Sengaja dia melengahkan masa. Dia belum bersedia untuk bersemuka dengan Erman walaupun dia tahu itu hanyalah satu angan-angan.
Kalau boleh, sampai bila-bila pun lelaki itu tidak mahu ditemuinya. Walaupun itu adalah abang iparnya sendiri. Tetapi dia tiada pilihan lain.
Terasa kecut juga perutnya bila teringatkan peristiwa semalam. Wajah Mimi yang terbaring pucat di katil hospital melintas kembali di hadapan matanya. Dia akur dengan kehendak takdir. Tentu ALLAH telah mengaturkan sesuatu buatnya.
Dia memberanikan diri. Dikumpulkan semangat yang masih bersisa dan berjalan menuju ke pintu bilik. Sebaik pintu bilik itu terbuka, dilihatnya Erman sedang berdiri di situ. Tangan kanannya diseluk ke dalam kocek seluarnya dan yang sebelah lagi berada di palang pintu. Tangan itu juga memegang sampul surat yang tebal.
Syirin berjalan menuju semula ke dalam bilik. Dibiarkan pintu ternganga. Dibiarkan Erman berdiri di situ.
Syirin pasti Erman akan masuk mengekorinya walau tanpa dijemput. Itu satu kepastian. ‘Muktamad!’ seperti kata pengacara rancangan ‘Who wants to be a millionaire’.
Dia meneruskan semula aktiviti mengemas pakaiannya yang tidak seberapa itu ke dalam beg pakaian. Dia melambat-lambatkan pergerakannya.
Biar ada kerja daripada memandang muka Erman yang meloyakan itu, bisik hatinya walau sekilas tadi sempat dia memandang muka Erman sebelum berpaling kepada kerja-kerja di tangannya.
Wajah Erman tampak lebih tenang, malah pagi ini baru Syirin tersedar bahawa lelaki itu memang kacak. Dia santai dengan berkemeja putih dan berseluar denim berwarna hitam. Tergugat perasaannya seketika.
“Kan aku dah kata semalam, jangan lambat. Dah siap ke belum ni? Aku tak ada banyak masa nak menangguk kat sini tunggu kau tu siap!” Erman melemparkan rasa tidak puas hatinya.
Syirin tidak menjawab. Dia hanya menjeling ke arah Erman. Masih geram di atas sikap Erman yang menyakitkan hatinya. Sebenarnya dia punya alasan untuk lewat bersiap pagi itu.
Sepanjang pagi itu dia telah menghubungi Doktor Basri dan juga Kak Jah untuk mengetahui perkembangan Mimi. Dia ingin memberitahu Doktor Basri yang dia akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan pembedahan yang diperlukan oleh Mimi. Doktor Basri amat gembira dengan perkhabaran itu dan berjanji akan menguruskan hal tersebut dengan secepat mungkin.
Bagaimanapun, Doktor Basri memberitahu bahawa pakar pembedahan tersebut tidak akan dapat berbuat apa-apa sekarang ini.
“Kita perlu pastikan yang Mimi kuat dan lebih bertenaga untuk melalui pembedahan itu nanti. Tapi awak jangan risau, kita akan buat persiapan itu dari sekarang agar segala-galanya akan berjalan dengan lancar nanti.”
“Terima kasih doktor. Buat pengetahuan doktor juga, saya tak dapat nak datang melawat Mimi buat masa ini.” Bergetar suara Syirin dengan ayat yang baru diluahkannya.
Sebak hatinya bila mengenangkan keadaan Mimi yang terlantar sendirian di hospital. Dia berharap Mimi faham akan pengorbanan yang sedang dilakukannya sekarang ini.
“Saya akan menghubungi doktor setiap hari nanti, bolehkan?”
“Boleh, tiada masalah. Awak jangan risau, Mimi akan kami jaga dengan baik.” Doktor Basri cuba meredakan kerisauan yang jelas bertapak di hati Syirin.
Keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh Syirin kepada adiknya sedikit sebanyak telah menarik perhatian doktor muda itu.
Doktor Basri kagum dengan kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Syirin kepada adiknya itu. Dia bagaikan seorang ibu kepada Mimi. Tidak ramai wanita yang dapat berbuat demikian.
Walaupun Doktor Basri mempunyai 2 orang kakak dan seorang adik perempuan, namun kerana masing-masing sibuk dengan tugas, kemesraan yang suatu ketika dulu pernah wujud di antara mereka kini telah hilang ditelan dek masa. Dia juga tidak pasti apakah adik beradik perempuannya akan setabah Syirin sekiranya mereka berada di tempat gadis itu.
“Terima kasih doktor. Assalamualaikum.” Syirin menekan butang ‘OFF’ di telefon bimbit yang baru dibelinya semalam.
Perbualan di telefon sebentar tadi sedikit sebanyak melegakan perasaan Syirin. Kini dia harus menumpukan perhatiannya kepada agenda yang telah dipersetujuinya bersama Erman.
Tiada lagi pusingan U untuknya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundurkan, terlajak kata, buruk padahnya.
Komitmen telah pun dibuat dengan pihak hospital, walaupun masih tiada hitam putihnya, kata-kata sebagai seorang Islam perlu dikotakan. Itu amanah yang perlu dipikul dan dia berharap Erman juga akan berpegang pada janjinya.

PANGGILAN kedua dibuat kepada Kak Jah. Nombor telefon Kak Jah pula didailnya. Kali ini terasa lebih sukar kerana Kak Jah adalah antara kenalan yang terdekat.
Tidak sanggup rasanya untuk memberitahu Kak Jah tentang perjanjiannya dengan Erman. Dia hanya memberitahu yang Erman telah bersetuju memberikannya wang dengan syarat dia perlu menguruskan salah satu dari syarikatnya yang ketiadaan pengurus, buat sementara waktu memandangkan dia punya pengalaman menguruskan kedai bunga Kak Jah sebelum ini.
“Habis tu, Rin akan tinggal di mana? Macam mana akak nak hubungi Rin nanti kalau ada apa-apa masalah yang timbul?” soal Kak Jah pula.
Syirin cuba untuk menghindarkan dirinya dari memikirkan sebarang kemungkinan yang timbul. Dia harus fokus terhadap apa yang bakal dilaluinya nanti agar Mimi akan menemui kebahagiaan yang sepatut menjadi miliknya.
“Kak Jah, nanti akak simpan aje nombor telefon yang saya gunakan untuk telefon akak ni.” Syirin menyarankan kepada Kak Jah kerana telefon bimbit yang digunakan ini baru saja dibelinya semalam untuk kegunaan ketika kecemasan seperti sekarang ini. Apatah lagi apabila difikirkan kegunaannya di dalam mencari Erman. Tidak tanpa di sangka, pencariannya itu telah pun berakhir di dalam masa yang singkat. Siapa sangka ianya menjadi begitu berguna di dalam situasinya sekarang ini. Mudah untuk dia menghubungi Doktor Basri dan mengetahui perkembangan Mimi dari masa ke semasa. Mudah juga untuk dia menghubungi Kak Jah dan dapatlah dia bercakap dengan Mimi pada masa Kak Jah pergi melawat Mimi nanti.
“Hmm… dah ada telefon bimbit nampaknya?” Kak Jah menegur, bertujuan untuk mengusik Syirin.
“Yelah kak. Senang sikit bila dah ada telefon bimbit ni, taklah saya tercari-cari pondok telefon bila keadaan memaksa begini. Lagipun senang akak nak menghubungi saya, apatah lagi bila dah berada di tempat orang begini.”
Kak Jah tersenyum mendengar penjelasan Syirin. Dia gembira kerana Syirin kini berpandangan jauh. Dia tahu, Syirin tidak suka berbelanja kecuali untuk keperluan yang terdesak seperti mana sekarang ini.
“Ini pun saya hanya gunakan kad prepaid sahaja, senang… tak banyak kerenah.” Syirin menambah. “Satu lagi Kak Jah, saya berharap benar Kak Jah dapat tolong tengok-tengokkan Mimi sepanjang ketiadaan saya di sana. Tolong ye Kak Jah?” Syirin merayu memohon kesudian Kak Jah untuk menjaga Mimi yang kini keseorangan.
“Rin… Rin jangan bimbang. Kan Kak Jah dah janji pada Rin semalam yang Kak Jah akan jaga Mimi macam adik Kak Jah sendiri. Rin jangan risau tentang tu semua, tahulah Kak Jah nak uruskan hal di sini nanti. Setiap petang, Rin jangan lupa telefon akak, nanti akak boleh bagi Rin cakap dengan Mimi sendiri. Macam mana?” Luluh hati Syirin mendengar jawapan Kak Jah itu.
Mengalir air mata Syirin. Sayu hatinya akan kebaikan yang ditunjukkan oleh Kak Jah terhadap mereka adik beradik.
“Terima kasih, Kak Jah,” sebak suara Syirin mengucapkan rasa terharunya kepada Kak Jah.
“Dahlah tu, Rin. Rin pun dah banyak membantu akak selama ni. Inilah peluang akak untuk membantu Rin pulak. Dahlah tu, jangan nangis lagi,” Kak Jah cuba memujuk.
Kak Jah faham perasaan Syirin yang begitu menyayangi Mimi. Syirin tidak pernah berpisah dengan adik comelnya sebelum ini, jadi sudah tentu lebih sukar untuk dia berpisah dengan Mimi di dalam keadaan begini.
Dia juga sayangkan Syirin dan Mimi. Mereka begitu rapat dengannya, lebih rapat dari ahli keluarganya sendiri.
Masakan tidak, mereka lebih kerap menghabiskan masa bersama di kedai bunga itu daripada di rumah, jadi kemesraan yang terbina di antara mereka adalah lebih akrab dan utuh daripada ahli keluarganya sendiri.
“Kak, bagaimana dengan kedai bunga akak tu pulak? Siapa yang akan membantu akak di kedai?” Syirin baru teringat akan situasi yang ditinggalkannya kepada Kak Jah.
“Itu Rin jangan risau. Buat sementara ni, Lina ada untuk membantu. Semester dia tu, dua minggu lagi baru nak mula. Jadi semasa cuti ni akak mintalah dia tolong. Pertolongan yang kena berbayar, Rin oii! Katanya nak cari duit extra untuk tampung bil telefonnya tu. Hish!! budak-budak sekarang ni, duit telefon tu bukan main tinggi lagi. Agaknya, biar tak makan asalkan dapat bercakap di telefon. Kena pulak kalau yang tengah bercinta tu.” Kak Jah mengomel akan kerenah Lina, adiknya yang agak boros menggunakan telefonnya.
“Orang muda kak, kita nak cakap macam mana lagi? Lepas tu, bila Lina dah masuk semester nanti, macam mana pulak?”
“Rin, tu semua Rin jangan risau. Akak memang kena cari pengganti sementara dalam waktu terdekat ni. Yelah, sebulan Syirin di sana dan lepas tu Syirin nak teruskan dengan rawatan Mimi pulak, mesti Rin kena cuti lama. Nanti akak buat iklan, mesti ramai yang sudi bekerja dengan akak nanti.” Kak Jah memberitahu Syirin perancangannya.
Kak Jah tahu Syirin amat sayangkan kedai bunga itu sebagaimana dirinya juga. Mereka berdua telah sama-sama membangunkan kedai bunga itu sejak dulu lagi dan mereka sememangnya telah menumpukan sepenuh perhatian kepada kedai itu.
Itulah sebabnya dia tidak ragu-ragu untuk mengambil Syirin sebagai rakan kongsi dan menyerahkan sebahagian daripada keuntungan yang mereka raih kepada Syirin setiap bulan sejak dua tahun yang lalu.
Kak Jah sedar kalau tanpa Syirin, tidak mungkin kedai bunganya akan maju seperti sekarang ini. Syirin sememangnya punya idea dan kreativiti yang tinggi.
Susunan bunga segarnya menarik perhatian pelanggan dan bunga tekapnya pula melariskan lagi jualan di kedai bunganya itu. Di samping itu juga, Syirin rajin membuat cross-stitch bila ada kelapangan.
Dari masa ke semasa, Syirin juga akan memberikan idea-idea baru dan bernas kepadanya. Jika boleh digunakan idea tersebut, mereka kemudiannya akan sama-sama merealisasikannya.
Kerana inovasi dan perubahan yang kerap berlaku di kedai itu, pelanggan mereka tidak jemu-jemu datang ke kedai bunga tersebut untuk melihat sendiri kreativiti yang dipamerkan dan kehadiran mereka ini telah meningkatkan lagi hasil jualan di kedai bunga itu.
Kedai bunga itu bagaikan sebuah galeri seni yang tidak formal. Mereka mempunyai pelanggan-pelanggan tetap yang kini sentiasa bertanyakan khabar Syirin dan Mimi. Kedai bunga itu tidak berseri tanpa Syirin dan Mimi.
Kini tiada lagi terdengar suara-suara riang dan ceria dari kedua-duanya mereka. Mereka berdua juga adalah penyeri kedai bunga itu. Yang seorang itu adalah gadis cilik yang comel dan keletah, sementara yang seorang lagi adalah gadis jelita dan manja.

Kak Jah sedar yang Syirin tidak menyedari akan kejelitaan semula jadi yang dimilikinya. Kak Jah juga sedar bahawa kejelitaan itulah yang menjadi daya penarik kepada kedainya kerana mereka mempunyai pelanggan tetap, tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Semuanya menerima layanan yang sama rata dari Syirin.
“Kalau macam tu, baiklah Kak Jah. Insya ALLAH, esok saya telefon lagi. Assalamualaikum!” Syirin mengakhiri perbualan dengan mengucapkan salam dan terus mematikan talian.
Syirin terasa sebak semula. Dia terkenangkan Mimi. Dia tidak pasti apakah Mimi sedar bahawa dia sekarang berada jauh di tempat orang. Semalam sebelum melangkah datang ke sini, dia singgah terlebih dahulu di hospital untuk berjumpa Mimi dan menerangkan kepada Mimi tentang pemergiannya untuk mencari Erman. Bagaimanapun, ketika itu Mimi berada di dalam keadaan separuh sedar akibat ubat penahan sakit yang disuntik kepadanya.
Syirin telah pergi meninggalkan Mimi tanpa menyedari bahawa dia akan berada sebulan di sini. Dia harap Mimi akan mengerti keadaannya nanti.
Dia hanya ditinggalkan buat sementara, untuk mencari wang yang diperlukan untuk membiayai pembedahan Mimi. Syirin pasti Mimi akan rindu padanya sebagaimana dia juga akan merindui Mimi. Dia berharap panggilan telefonnya petang nanti akan dapat memberikan pengertian kepada Mimi akan tujuan kenapa dia ditinggalkan pergi.

SGK8

MELOPONG Syirin memandang muka Erman. Memang betul Syirah ada memberitahu yang suaminya memang betul-betul kaya tapi bila melihatkan cara lelaki di hadapannya ini berpakaian dengan agak selekeh, terlintas juga di fikirannya tadi yang mungkin lelaki ini tidaklah sekaya mana.
Tetapi baru sebentar tadi bila Erman menyebut jumlah wang sepuluh ribu itu kepada Syirin, seolah-olah jumlah wang itu hanya bernilai seringgit atau dua sahaja padanya. Syirin akui hakikat betapa susahnya kehidupan dia dan Mimi selama ini. Untuk mengumpulkan wang sejumlah sepuluh ribu itu pasti akan mengambil masa yang bertahun-tahun baginya tetapi pada lelaki ini, ia bagaikan memetik jari saja.
Betapa kejamnya kehidupan ini bila difikirkan yang dia tidak akan berpeluang untuk meminjam wang daripada Erman, sedangkan abang iparnya itu memang punya kemampuan untuk menawarkan bantuan yang diperlukannya.
Syirin juga sedar yang selama ini Syirah memang boros orangnya dan dia pasti, ketika ini abang iparnya itu sememangnya begitu yakin kedatangan isterinya ke sini adalah untuk meminta wang darinya.
Timbul juga pelik di hatinya, walaupun Erman begitu membenci Syirah tapi kenapa pula dia tidak kisah untuk memberikan berapa sahaja jumlah wang yang diminta oleh isterinya itu? Agak hairan juga kalau terus difikirkan. Jika Syirah yang berada di tempatnya sekarang ini, pasti dia akan gembira dan mungkin juga sifat tamak haloba sudah menguasai dirinya.
Itulah yang menjadi masalahnya sekarang ini. Syirin bukan seperti kembarnya itu. Dia tidak pernah mengejar kemewahan. Matanya tidak pernah gelap dengan wang ringgit.
Walaupun ketika ini keperluan untuk memulihkan Mimi adalah objektif yang lebih utama. Namun Syirin juga pasti yang Erman tidak akan memberikannya walau sesen pun kalau dia berterus terang dengan menceritakan perkara yang sebenar kerana Erman tidak percaya akan kewujudan dia dan Mimi.
Jika pun Syirin dapat membuktikan kewujudannya sebagai kembar Syirah, tapi apalah gunanya bukti itu nanti. Pasti Erman akan melangkah keluar dari bilik itu tanpa sekelumit rasa bersalah kerana dia tahu bahawa Syirin bukanlah isterinya yang harus diberikan nafkah dan perbelanjaan.
‘Ala…, kau mengaku aje yang kau tu Syirah,’ hati Syirin mula mengasak dia untuk berbuat sedemikian. Syaitan juga mula memainkan jarumnya.
Walaupun tadi dia baru berura-ura untuk menyamar dan mengaku dirinya adalah Syirah sebagai usaha untuk melepaskan dirinya daripada Erman tetapi kini idea itu nampaknya semakin menarik dan lebih logik untuk dilaksanakan. Lebih mudah bagi Syirin untuk meminta dan menyebut sahaja jumlah yang diperlukan. Harap-harap Erman akan memenuhi permintaannya itu. Walau pun jumlah wang itu hanya sekadar jumlah yang kecil pada Erman tetapi ia adalah segala-galanya bagi Syirin dan Mimi.
‘Tidak… jangan lakukannya!’ marah Syirin kepada dirinya.
Sepanjang hidupnya, dia telah berusaha keras untuk mengecap apa yang dia ada sekarang ini dan dia berbangga dengan segala hasil titik peluhnya itu.
Walaupun dia pernah bercita-cita untuk menyambung pelajarannya suatu hari nanti, namun dia masih perlu bekerja dengan Kak Jah supaya dia dapat menjaga dan membesarkan Mimi dengan lebih baik lagi.
Dia bersyukur dengan apa yang ada padanya dan dia pasti kemalangan yang menimpa Mimi ada rahmat di sebaliknya. Baginya, meminta dengan meminjam ada perbezaannya. Meminta bererti dia menagih sesuatu yang bukan haknya dari seseorang. Meminjam pula bermakna dia akan menggunakan sesuatu untuk sementara waktu dan akan memulangkan semula kepada yang berhak. Mimi adalah adiknya yang memerlukan bantuan sekarang ini dan dia akan berusaha ke arah itu. Mimi adalah segala-galanya bagi Syirin.
“Berapa banyak?” tinggi suara Erman, mendesak dan menyergah.
Konflik yang sedang melanda Syirin terus terhenti. Dia terkejut. Spontan mulutnya menyebut jumlah yang diperlukannya, jumlah yang sentiasa berada di dalam fikirannya. Jumlah yang diperlukan oleh Mimi untuk pembedahannya.
Terlopong mulut Erman mendengarnya. Mukanya semakin tegang dan dahinya juga semakin berkerut.
Syirin mula berasa takut dengan situasi yang dihadapinya ketika ini. Dia tidak bermaksud untuk meminta tapi bila sudah disergah begitu, dia terus tersasul. Lupa semuanya.
“Banyaknya!” ujar Erman perlahan. Tidak di sangka sama sekali bahawa isterinya itu memerlukan jumlah wang yang begitu banyak. “Nampaknya kau betul-betul dalam kesusahan kali ni, wahai isteriku yang tersayang,” sinis suara Erman menyindir.
“Kau berjudi ke?”
“Tidak, jangan nak merepek. Itu bukan untuk saya tapi… ” Syirin cuba sekali lagi untuk menerangkan duduk perkara yang sebenar, tapi sekali lagi dipotong katanya oleh Erman. Tangan kanan Erman sudah terangkat ke udara.
“Hmm… aku akan berikan duit tu tapi dengan bersyarat.”
“Syarat?” perkataan itu terlepas dari mulutnya sebelum sempat Syirin memikirkan kewajarannya dia berbuat demikian.
Sebenarnya matanya masih lagi berpinar-pinar bila mendengar yang Erman sanggup memberikan setiap sen seperti yang diminta. Terserlah sedikit harapan walaupun dia sedar bahawa sebenarnya pemberian itu adalah untuk Syirah.
Perkataan ‘syarat’ itu hanya disedari seketika kemudian, bermakna dia harus melakukan sesuatu sebagai balasan.
Mungkin betul juga seperti kata Kak Jah, jadikan sahaja perjanjian ini sebagai suatu bentuk urus niaga. Mungkin syarat ini boleh digantikan dengan sesuatu pekerjaan yang boleh dilakukan sebagai balasan kepada wang yang diberikan kepadanya.
Tapi apakah syarat-syaratnya? Dapatkah Syirin memenuhi syarat-syarat yang bakal diberikan atau adakah syarat-syarat itu nanti bagaikan syarat-syarat yang dikenakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud? Terasa berat perasaannya untuk mengetahui apakah syarat-syarat yang akan dikenakan itu.
“Apa syaratnya?”
“Itu kau tak perlu bimbang,” Erman berjeda. “Syaratnya tak susah, macam dulu jugak. Tapi sebelum tu, tak payahlah nak berpura-pura lagi yang kau ni bukannya isteri aku!”
“Tapi saya memang bukan…” Syirin tetap ingin Erman tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Aghhhh…!!!” kuat jeritan Erman melepaskan perasaan geramnya. Pasti dapat didengari oleh tetamu-tetamu lain di hotel itu. Syirin sendiri begitu terkejut dan dengan spontan dia menjauhkan dirinya dari Erman, dia tidak menyangka reaksi Erman sebegitu sekali.
“Sudah, aku tak mahu dengar lagi! Kau pilih. Sama ada kau ni isteri aku dan kau boleh dapat duit sebagaimana yang kau hendakkan, ataupun kau bukan Nurul dan kau tak akan mendapat sesen pun dari aku. Hanya Nurul saja yang berhak, kau faham tak?”
Syirin membungkam. Kepalanya tertunduk. Dia menganggukkan kepalanya seperti orang bodoh. Mata Erman yang mencerlung dan nada suaranya yang dingin itu memberi isyarat kepada Syirin bahawa Erman tidak main-main. Dia maksudkan apa yang dikatakannya itu.
“Kau adalah isteri aku!” Erman meneruskan kata-katanya. “Dan sebagai isteri aku, kau telah diletakkan di satu tahap yang begitu selesa. Makan dan pakai kau, aku jaga. Duit, aku beri. Aku pasti, perempuan macam kau ni memang suka dengan keadaan itu. Kau terhutang budi dengan aku dan sebagai balasannya, aku mahu kau kembali dan tinggal dengan aku semula!”
“Jangan harap!” reaksi spontan dari Syirin. Dia sudah terlalu meluat untuk berhadapan dengan lelaki ini walau seminit pun, apatah lagi untuk tinggal dengannya, tidak sanggup rasanya.
“Baiklah…” kenyataan selamba Erman yang memang tidak dijangka oleh Syirin sama sekali.
“Kalau begitu, Sayonara!”
Fikiran Syirin bercelaru. Dia hanya memandang ke arah Erman yang sedang melangkah keluar. Terasa mahu dihantukkan kepalanya ke dinding.
‘Hish…, mengapalah aku ni bodoh sangat? Aku hanya mementingkan diri. Kenapalah aku tak fikirkan langsung pasal Mimi?’ getus hati Syirin berulang kali.
‘Sanggupkah kau nak menghadap rengekan Mimi setiap hari? Dia kan sakit. Kau nak lepaskan satu-satunya peluang yang kau ada untuk membantu Mimi?’ Syirin berterusan memarahi dirinya sendiri.
Otaknya ligat berpusing. Ingin dipanggilnya Erman tapi lidahnya kelu. Erman telah berkata yang dia hanya akan memberikan wang itu kepada isterinya, kepada Syirah. Syirah yang telah menyebabkan kemalangan ini berlaku, yang menyebabkan Mimi terlantar kesakitan di hospital. Satu-satunya jalan yang ada adalah dengan mengaku dirinya sebagai isteri Erman.
Mampukah aku melakukan penipuan ini? Bolehkah aku melakukannya? Can I really pull this off? Terpandang-pandang Syirin akan wajah adiknya yang sedang terlantar di katil hospital.
“Tunggu!!! Nanti dulu…” walaupun perkataan yang diucapkannya itu terlalu perlahan tetapi Erman yang telah berada di muka pintu bilik itu masih dapat mendengarnya, seolah-olah sememangnya reaksi itu yang telah dijangkakannya. Dia menoleh dan memandang Syirin.
“Apa yang sebenarnya perlu saya lakukan?” Syirin menggumam dan membasahkan bibirnya yang kering. Pucat mukanya memikirkan kemungkinan yang bakal ditempuhinya. Dia belum mengaku dirinya sebagai isteri Erman tetapi sebaliknya dia hanya hendak bertanya tentang syarat yang perlu dilakukannya.
“Seperti yang aku katakan tadi. Aku nak kau ikut aku balik ke Vila Impian dan tinggal di sana selama sebulan lagi.”
“Tapi kenapa?” agak pelik Syirin memikirkan kehendak Erman.
Erman sendiri telah mengaku yang dia amat benci Syirah, tapi kenapa pula dia hendak Syirah mengikutnya pulang dan tinggal bersamanya selama sebulan? Dan kenapa hanya sebulan? Apakah Erman ada muslihat yang tersembunyi di sebalik tawaran yang diberi? Bagaimanapun, renungan tajam yang ditujukan oleh Erman kepadanya agak mengecutkan perut Syirin. Hatinya terasa jengkel dan cuak.
“Aku tak perlu menjawab soalan bodoh kau tu kan?” Erman menjerkah.
“Ataupun kau memang dah lupa dengan syarat ni semacam mana kau dah lupakan perkara-perkara yang lain tu? Macam kau lupa siapa diri kau yang sebenarnya?” sempat Erman menyindir Syirin.
“Baiklah, mari aku ingatkan kembali perjanjian kita dulu. Kau sepatutnya tinggal dengan aku dan berlagak seperti seorang isteri yang penyayang di depan orang ramai. Kau kan memang terror berlakon?” dengan sinis Erman mengingatkan kembali perjanjian di antara dia dan isterinya kepada Syirin, yang disangka isterinya itu.
“Hanya berlagak, tak lebih dari itu?” Syirin meminta penjelasan.
“Yupp!”
“Itu aje?”
“Iiiyyyeee...” Erman bersuara kebosanan.
Terasa pulih semangat Syirin setelah mendengar kata-kata Erman. Rupa-rupanya Erman hanya memerlukan seorang isteri hanya pada nama, bukan isteri yang sebenarnya.
Lelaki jenis apakah dia ni? Bisik kata hatinya pula.
‘Tapi, kalau ini sememangnya perjanjian mereka sejak dahulu, kenapa pula Syirah harus bersedih dengan layanan yang telah diberikan oleh Erman semasa mereka bersama? Atau Syirah sebenarnya mahukan lebih dari itu? Dan kenapa pula Erman membuat perjanjian seperti itu? Adakah dia seorang lelaki homoseksual?’ Syirin tertanya-tanya kepada dirinya sendiri. Agak gerun bila difikirkan tetapi walaupun semuanya agak pelik dan tidak masuk di akal, dia tidak peduli tentang itu semua kerana kini jalan untuk mendapatkan wang untuk pembedahan Mimi telah terbuka luas untuknya.
Ini merupakan suatu penyelesaian buatnya walaupun Erman sebenarnya membuat tawaran ini kepada orang yang disangka isterinya. Syarat “isteri hanya pada nama” yang diletakkan oleh Erman memungkinkan untuk dia menerima tawaran tersebut.
‘I can do it! Aku boleh!’ Syirin memasang tekad di dalam hatinya. Dia pasti boleh melakukannya seperti mana yang telah dilakukan oleh Syirah sebelum ini.
Walaupun ini adalah suatu bentuk penipuan kepada Erman tetapi Syirin berjanji untuk melakukan yang terbaik sebagai ‘isteri hanya pada nama’ kepada Erman.
Syirin akan menganggap ini sebagai satu lakonan dan dia merupakan pelakon utamanya. Pelakon juga layak menerima ganjaran dan wang yang bakal diperolehnya itu adalah ganjarannya. Wang itu akan menjadi sebahagian daripada hasil titik peluhnya dan yang pasti, mungkin dia adalah pelakon baru tanpa filem yang menerima ganjaran tertinggi di Malaysia.
“Bagaimana Nurul, bolehkan?” suara Erman kembali tenang, cuba memujuk agar Syirin akan menerima tawarannya itu. “Berapa lama lagi kau perlukan untuk putuskan menerima tawaran aku ni? Perlu fikir ke? Aku rasa tak perlu. Kau boleh dapat duit tu tapi kau kena ikut syarat aku. Kalau kau lakukan yang terbaik, selepas satu bulan nanti aku akan ceraikan kau. Bagaimana?”
Terpinga-pinga Syirin bila mendengar perkataan ‘cerai’ yang diucapkan oleh Erman. Rasanya, jika Erman menceraikan Syirah maka kelak akan timbul pula masalah-masalah sampingan yang ingin dielakkannya. Pasti akan ada urusan turun naik mahkamah Syariah, dan mungkin akan timbul isu khalwat pula.
“Errr .. awak tak perlu ceraikan saya. Awak tak perlu susah-susah. Saya hanya perlukan duit tu sahaja dan tentang perkara cerai tu, kita selesaikan kemudian.” Akhirnya Syirin mengusulkan. Dia rasa bersalah. Cukuplah dengan masalah penipuan yang sedang dilakukannya dan dia berharap agar segalanya akan dapat diterangkan kepada Erman kelak setelah semua urusan pembedahan Mimi selesai.
“Aik, kau tak kisah ke dengan status gantung tak bertali? Memang luar biasa dan lain dari yang lain. Bagaimanapun, aku tak terkejut dengan kata-kata kau tu. Kau nak tahu kenapa?” Erman memandang Syirin dengan sinis.
Syirin hanya mampu menjeling ke muka Erman dan menggelengkan kepalanya.
“Sebagai isteri aku, kau akan punya banyak kelebihan berbanding daripada menjadi janda aku. Hmmm… tak kisahlah, seperti yang kau katakan tadi, perkara tu kita akan bincangkan kemudian.” Jawab Erman sambil terus merenung wajah Syirin yang telah mula bertukar kelat.
Nada sinis dan sindiran yang diluahkan Erman memang betul-betul menaikkan kemarahan Syirin dan menimbulkan semula perasaan meluat yang bersarang di dalam hatinya. Benci dia kepada lelaki ini yang telah mensia-siakan kehidupan kembarnya. Benci dia kepada Syirah juga kerana telah menjerumuskan dia ke dalam situasi yang dihadapinya sekarang ini.
Lelaki yang pertama kali ditemuinya ini telah membangkitkan seribu satu macam perasaan yang tidak pernah dialaminya hanya dalam masa sehari. Takut, marah, benci, kecewa, pilu, hiba dan entah apa lagi.
Malah, lelaki ini tidak bertanya pun untuk apa dia memerlukan wang sebanyak yang diminta. Dia bagaikan tidak peduli.
Apa yang dilakukan oleh lelaki ini adalah menggunakan kesempitan dan keperluan Syirin untuk memaksa Syirin mengikut kehendak hatinya. Untuk menunjukkan bahawa dia lebih berkuasa terhadap Syirin.
Mungkin inilah juga yang dilakukan oleh Erman terhadap Syirah semasa memujuk Syirah untuk berkahwin dengannya.
Meluap-luap kemarahan Syirin ketika itu. Tanpa sedar, dia melompat dari katil dan mula menyerang Erman. Dengan sekuat hatinya, dia cuba menampar muka Erman. Tamparan pertamanya berjaya tetapi tamparan keduanya tiba-tiba terhenti di udara. Erman mencengkam tangannya dan memulas tangannya ke belakang.
Syirin mengaduh kesakitan. Dia juga ketakutan. Dia baru tersedar akan tindakannya tadi.
Erman menolaknya ke katil. Syirin mengalih pandang ke muka Erman. Kesan merah tapak tangannya di pipi Erman jelas kelihatan. Ditancap pula matanya ke arah mata Erman yang semakin dekat, sinar yang terpancar dari mata itu terlalu dingin. Rasa takut mula menyelubungi perasaan Syirin.
“Memang sahlah kau ini Nurul. Mulanya aku ingat yang aku ni dah tersalah orang tapi reaksi kau kali ini…” kata-kata Erman terhenti tiba-tiba. Dia merenung muka Syirin yang kepucatan. Matanya terkedip-kedip, seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Suaranya telah berubah dan semakin mendalam.
“Kau tahu tak Nurul? Kau ni memang cantik dan menggoda, apatah lagi bila kau marah-marah macam tadi…” Erman menundukkan kepalanya dan tanpa disangka sama sekali oleh Syirin yang Erman menciumnya. Bibirnya diragut kasar.
Syirin cuba meronta tapi tidak berjaya. Rangkulan Erman terlalu kemas dan kuat hinggakan Syirin tidak terdaya untuk melakukan apa-apa. Akhirnya dia mengejangkan dirinya dan cuba untuk berfikir tentang dosa yang sedang dilakukannya. Dia jadi semakin takut.
Bagaimanapun, lain pulanya dengan Erman. Apabila dirasakan tiada lagi rontaan dari Syirin yang disangka adalah isterinya itu, dia mula menukar taktik.
Ciuman yang tadinya kasar bertukar lembut. Bagaikan suatu kejutan buat Syirin, reaksi kejangnya tadi mula beralih arah.
Dia mula memberikan respons terhadap ciuman pertamanya. Lupa dia akan dosa yang baru sebentar tadi bermain di fikirannya. Syaitan mula bersorak gembira.
Tiba-tiba Syirin tersedar. Mujur ALLAH masih menyedarkan dia akan hakikat bahawa dia bukannya isteri Erman. Malah dia sedang melakukan suatu dosa, suatu perbuatan zina yang lebih besar akibatnya. Dia meronta. Cubaannya kali ini berjaya.
“Bagaimana?” suara Erman masih mendesah dan keningnya terangkat. “Mungkin elok juga sekiranya kita menghabiskan masa kita selama sebulan ni seperti suami isteri yang lain, berbulan madu. Baru berbaloi dengan duit yang aku beri pada kau tu.”
Syirin rasa tersasar. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Matanya tepat memandang ke muka Erman. Dia rasa bagaikan dirinya terkapai-kapai, berada di awang-awangan. Dia cuba mencari tempat untuk bergantung tapi tiada apa yang dapat digapainya ketika itu.
Dia terduduk di tepi katil. Diusap mukanya. Dia rasa terlalu kerdil. Dosa dan pahala, syurga dan neraka, silih berganti bermain di mindanya. Wajah Mimi berselang seli dengan wajah Syirah.
Apakah yang patut dilakukannya? Apakah dia sanggup untuk membiarkan Mimi lumpuh sepanjang hayatnya? Apakah jalan yang dia ada? Apakah pilihannya? Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Dia harus mencubanya. Semangatnya tiba-tiba bangkit kembali.
“Itu bukan perjanjian kita!” Erman ditengkingnya.
“Ingat! Awak jangan sesekali cuba nak memegang ataupun nak mengusik saya. Jika tidak, the deal is off. Perjanjian kita akan terbatal dengan sendirinya.” Dia cuba mengugut Erman.
Senyuman sinis yang terukir di bibir Erman hampir mematahkan semangat Syirin. Dia memaksa dirinya untuk terus bercakap. Dia cuba berlagak seperti Syirah.
“Mengenai wang itu pula, saya perlukan sebahagian daripada wang itu atau lebih tepat lagi, separuh daripada jumlah yang saya telah sebutkan tadi.” Syirin mula memainkan peranannya.
Wang itu boleh digunakan oleh Mimi secepat yang mungkin. Kak Jah boleh membantu. Dia akan mengirimkan wang itu kepada Kak Jah kelak. Mimi adalah keutamaannya kini.
“Baiklah. Aku akan berikan wang itu. Aku akan berikan cek kepada kau nanti,” Erman menjawab sambil badannya masih santai di atas katil itu.
“Tunai! Saya perlukan wang itu dalam bentuk tunai!” Syirin menegah.
Nasib baik fikirannya masih waras. Sekiranya wang itu diberikan dalam bentuk cek, sudah semestinya nama yang tertera di atas cek itu nanti adalah nama Syirah, bukan namanya dan sudah pasti cek itu tidak akan dapat ditunaikannya nanti.
“Baiklah, aku akan bawakan duit itu esok semasa aku datang ambil kau,” Erman bersetuju.
“Ingat, perjanjian kita yang telah terputus itu akan disambung semula setelah kau terima duit tu. Aku akan kembali semula dalam pukul sebelas pagi esok. Pastikan kau dah kemas semua barang-barang kau ni. Kalau tak pun, aku cadangkan kau tinggalkan aje barang-barang tu di sini. Sekali lagi, ingat… jangan lewat! Aku ni bukannya jenis yang suka menunggu.” Begitu keras suara Erman mengingatkan Syirin.
Syirin hanya menganggukkan kepalanya seperti orang bodoh. Dia sebenarnya masih lagi berharap yang dia akan punya lebih masa untuk memikirkan kewarasan tindakannya itu. Syirin terasa seperti mahu berpatah balik. Barangkali elok juga begini. Lebih cepat segalanya bermula, maka akan lebih cepatlah semuanya berakhir.
‘Syirin, kenapa kau perlu takut? Hanya sebulan, bukannya sehingga kiamat pun,’ Syirin cuba memujuk dirinya. Dia memandang sekilas ke muka Erman.
Senyuman yang menjelikkan itu masih terukir di mukanya. Terasa amat menjengkelkan hatinya. Syirin mencemikkan raut mukanya.
Terasa mahu diambil sahaja sabun pencuci pinggan dan dilumurkan ke muka itu. Selepas itu mungkin muka itu akan tampak lebih bersinar-sinar seperti dalam iklan pencuci itu. Tersirna senyuman di bibir dan matanya dengan apa yang baru terlintas di fikirannya.
Erman yang sedang asyik memandang perubahan demi perubahan yang bermain pada raut wajah Syirin, terkesima dengan senyuman itu. Semakin direnungnya wajah Syirin. Agak lama.
Suasana semakin sunyi. Timbul pula rasa pelik di hati Syirin. Dikalihkan sekali lagi pandangan matanya ke arah Erman. Baru dia tersedar yang Erman sedang merenungnya. Tersirna pancaran yang tidak tahu hendak ditafsirkan dari anak matanya itu.
Syirin jadi keliru. Senyumannya mati di situ juga. Dia bangun dan menuju ke pintu. Daun pintu dingangakan.
“Awak tunggu apa lagi. Urusan kita untuk hari ni dah selesai. Esok baru segalanya bermula. Saya rasa baik awak balik. Saya penat dan nak berehat.” Syirin menghalau Erman keluar, gayanya persis Syirah. Kedua tangannya sudah dipeluk ke dadanya.
Sempat Erman memberikan senyuman sinis ke arah Syirin sebelum dia bingkas bangun dari katil itu. Sebelum melangkah keluar, sekali lagi dia mengingatkan Syirin.
“Ingat! Jangan lewat!”
Syirin tidak menjawab, sebaliknya pintu bilik itu dihempaskannya di muka Erman.

HANYA sebulan! Perkataan itu sering berulang-ulang di fikirannya sebaik saja Erman pergi meninggalkan bilik itu. Pada orang lain, sebulan itu mungkin tidak lama. Pejam celik, pejam celik, dah pun berakhir.
Tetapi bagi Syirin, sebulan itu bagaikan seribu tahun. Segala macam musibah telah berlaku dalam sekelip mata, maka macam-macam boleh berlaku dalam sebulan. Mampukah dia menghadapinya? Mampukah dia melalui semua ini….?