Lamunan Naim terhenti. Dia
kembali kepada masa kini. Direnungnya lagi gadis itu. Gadis itu pernah dicintainya. Sangkanya gadis itulah yang akan menjadi suri dirumahnya, tapi
hari yang disangka akan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Harapan yang telah digarap sejak sekian lama, akhirnya berkecai dalam sekelip
mata. Tanpa angin, tanpa goyang, semuanya musnah tiba-tiba. 5 tahun telah berlalu.
Kesibukan tugasnya telah dapat mengubat lukanya yang parah. Mungkin luka itu
kini hanya tinggal parut, namun tidak pernah dia melupakan gadis itu. Apatah
lagi bila hatinya kerap kali tertanya-tanya kenapa hubungan mereka diputuskan
begitu sahaja, kenapa Nadia meminta untuk berpisah dengannya secara tiba-tiba.
Mungkin saat itu akan tiba juga dalam masa yang terdekat ini. Itu harapannya.
‘Nadia!’ Naim memanggil gadis
yang masih gadis itu tidak berganjak dari tempat duduknya. Entah apa pula yang
sedang difikirkannya.
‘Nadia!’ kali ini Naim mengetuk pula
cermin tingkap kereta bila dilihat masih tiada reaksi dari Nadia
Kali ini Nadia tersentak.
Terkejut dengan ketukan dicermin tingkapnya itu. Dikalih pandangannya ke luar.
Naim sedang tersenyum memandangnya. Rona wajah Nadia bertukar ke merah. Malu
juga bila dia tertangkap begitu. Tapi dia tahu yang Naim pasti sudah tahu yang
dia sedang mengelamun sebentar tadi. Kerana itu Naim tersenyum memandangnya. Selamba
sahaja dia keluar dari perut kereta, seolah-olah tiada apa yang berlaku
sebentar tadi.
Setelah keretanya dipastikan
berkunci dengan baik, dia melangkah mengekori Naim yang sudah berjalan di
hadapannya. Dia perhatikan keadaan sekeliling. Halaman rumah banglo itu agak
terbiar. Rumputnya semakin panjang tidak berjaga. Deretan pasu-pasu bunga yang
satu ketika dulu pastinya berbunga indah, kini sudah kering kekontangan.
Pokok-pokok bunga kertas berbagai-bagai warna juga menjalar liar tanpa sebarang
perhatian. Kawasan yang dulunya mungkin sebuah taman, kini telah menjadi hutan.
Mungkin Naim terlalu sibuk sehinggakan keadaan rumahnya tidak lagi terbela.
Pasti jiran-jirannya juga gelisah dengan apa yang berlaku kepada rumah itu
kerana menyumbang kepada pencemaran pemandangan.
Nadia menggeleng kecil. Walaupun
dia tahu yang keutamaan Naim bukan di situ, tapi fikirannya pula sudah mula
merangka apa yang patut dibuat untuk menyerlahkan kembali keceriaan di rumah
banglo itu.
Hish, Mai, ini bukannya rumah
kau. Kenapa kau perlu bersusah payah untuk Naim lagi, tempelak hatinya. Dia
pasti tidak memerlukan pertolongan kau dalam hal ini. Dan pertolongan kau itu
tidak akan dihargainyapun, tempelak hatinya lagi.
Ala, kalau setakat nak berangan
apa yang boleh aku buat pada rumah ni, takkan itu pun salah. Dah memang minat
aku pada reka bentuk hiasan landskap, takkan itu pun aku tak boleh nak
bayangkan, marah perasaannya pula.
Hem memang betul tak salah. Dan
kalau halaman rumah ni dihiaskan ala bali atau tropika, pasti akan lebih
menyerlah, sambut kata akalnya pula.
‘Nadia, awak nak masuk ke tidak!’
Sekali lagi lamunan Nadia
terhenti. Laungan Naim menampar gegendang telinganya. Dikalih pandangan-nya ke
arah lelaki itu. Dia sudah tercegat berdiri di muka pintu. Ditangannya sudah
sarat dengan barang-barang yang telah dibelinya tadi. Pantas dia bergegas
mendekati lelaki itu yang bagaikan sedang menunggu sesuatu darinya.
‘Macam mana saya nak masuk kalau
pintunya masih tertutup,’ selamba Nadia menyindir.
‘Pintu tu tak berkunci. Saya dah
buka tadi, tapi dah tertutup balik. Memandangkan tangan saya ni dah penuh,
boleh tak cik adik tolong bukakan pintu tu?’ tukas Naim sambil tersengih.
Dengan muka yang turut tersengih,
Nadia memulas tombol pintu dan menolak daun pintu ke dalam. Dibiarkan Naim
melangkah masuk terlebih dahulu, kemudian dibiarkan pintu itu terbuka luas agar
tidak mengundang keraguan dan menyebabkan mereka berdua tertangkap basah pula.
Sebaik sahaja dia melangkah
masuk, Nadia memerhati keadaan sekelilingnya. Perabot yang ada kelihatan usang
dan sebahagiannya pula masih diselimuti cadar putih. Mungkin untuk memelihara
keadaan perabot agar tidak diselaputi oleh habuk bila ditinggalkan dalam jangka
masa yang lama. Kotak-kotak pula masih berselerakan walaupun ia tidak banyak.
Keadaan rumah juga agak tersusun walaupun habuk dan sawang di sana sini.
‘Awak tak sempat nak kemas lagi
rumah ni ke?’ soal Nadia dengan dahi yang berkerut. ‘Takkanlah awak nak bawa
bayi kembar tu tinggal kat dalam rumah yang tak bersih macam ni?’
Naim hanya mampu tersengih macam
kerang busuk. Dia tahu dia bersalah dalam soal ini. Tapi dia terlalu sibuk
dengan tugasnya sejak dia berpindah ke Kuala Lumpur. Dia tidak sempat lagi
menguruskan kebersihan rumah itu sejak dia pulang sebulan yang lalu. Sudahlah masanya
banyak dihabiskan di kem, di hujung minggu pula dia diminta oleh sanak
saudaranya untuk datang bertandang ke rumah mereka. Kalau dia balik pun ke
ruamh itu, hanyalah untuk tidur dan berehat seketika. Hanya bilik tidurnya
sahaja yang telah dikemaskan buat masa ini. Yang selebihnya dibiarkan terlebih
dahulu sehingga waktu yang lebih sesuai nanti. Mana tahu yang kini dia berada
di dalam situasi yang tidak disangkanya sama sekali.
Nadia memerhati lagi keadaan
sekeliling. Di satu sudut, di atas meja kopi, terletak tempat puntung rokok
yang telah berisi dengan sisa puntung. Dahinya kembali berkerut.
‘Bukankah awak dah berhenti
merokok?’ seingat Nadia, Naim telah pun berhenti merokok enam tahun yang lalu
atas permintaannya kerana perbuatan itu adalah sia-sia dan akan menyumbang
kepada kanser paru-paru. Walaupun agak sukar pada mulanya, namun atas dorongan
yang telah diberikan, Naim telah berjaya melakukannya dalam masa dua bulan.
‘Memang pun,’ jawab Naim. Dia
melangkah ke ruang dapur untuk meletakkan sebahagian daripada barangan yang
telah dibelinya tadi.
‘Habis tu, ini milik siapa?’
‘Awak ingat lagi pada Lan dan
Razak?’
Nadia berfikir seketika, cuba
mengingatkan kedua rakan persekolahan yang telah lama tidak ditemuinya.
‘Mereka datang dua malam yang
lepas. Lan tu kan heavy smoker, jadi itu puntung rokok peninggalannya.’
‘Apa khabar mereka berdua tu?’
‘Sihat, dan sibuk. Mereka dah
berkahwin dan masing-masing sudah punya 2 dan 3 orang anak.’
Nadia tersenyum. Tidak disangka
yang kedua rakan persekolahannya itu sudah berumah tangga dan punya 2 dan 3
orang anak. Seingatnya, mereka berdua jenis yang senyap walaupun kacak
orangnya. Tidak disangka yang mereka bertemu jodoh dan berkeluarga lebih awal
dari yang lainnya.
Wei Mai, lupakan kawan-kawan kau
tu buat sementara waktu ni. tujuan kau ke sini adalah untuk membantu Naim,
bukannya membuka lembaran demi lembaran kenangan-kenangan lama tu, hati Nadia
cuba mengingatkan.
Betul tu... acuh tak acuh, Nadia
mengaku pada dirinya sendiri. Dia kembali meneliti setiap sudut rumah itu. Di
satu sudut berhampiran dengan anak tangga, terletak susunan surat khabar lama
di atas sebuah kerusi yang telah patah sebatang dari kakinya. Di sudut kiri dan
kanan ruang tamu pula terdapat beberapa buah almari kaca yang menempatkan
pinggan mangkuk dan barang-barang perhiasan kaca yang cantik dan menarik. Indah
dipandang mata tapi mudah dicapai oleh tangan-tangan comel yang pastinya nakal
dan aktif. Tidak banyak yang hendak dilakukan di sini, tapi Naim memerlukan
masa untuk mengemas dan membersihkan ruang itu dari habuk dan juga sawang agar
dia dan kembar itu akan dapat tinggal dengan lebih selesa.
Dari ruang tamu, Nadia beralih
pula ke bahagian dapur. Kabinet dapur amat bersih. Tiada apa yang boleh dilihat
di situ kecuali beberapa cawan kaca dan beberapa biji pinggan. Tiada langsung
bayangan periuk ataupun sebarang peralatan elektrik kecuali sebuah peti ais
yang besar dan juga sebiji cerek elektrik dengan wayar yang terjuntai ke bawah.
Pasti boleh dicapai oleh tangan-tangan si kembar sekiranya mereka berada di
ruang itu.
Setelah puas dengan penilaiannya
tentang ruang dapur itu, Nadia memerhatikan sahaja gerakgeri Naim yang sedang sibuk
memasukkan beberapa barangan yang telah dibelinya tadi ke kabinet atas. Sempat
juga Nadia menjengah. Ruang-ruang kabinet itu memang kosong tidak berisi.
'Awak tak masak ke, Naim?’
Naim tersengih. ‘Saya tinggal
sorang. Buang masa aje memasak. Lebih senang saya membelinya di luar ataupun
saya makan saja di mes sebelum balik ke rumah.’
‘Tak bosan ke dengan cara hidup
awak sebegini?’
‘Nadia, saya tak boleh merungut
tentang cara hidup saya. Saya seorang tentera, semuanya perlu ringkas, dan semua
tu dah sebati dengan diri saya. Lainlah masa Papa dan Mama saya ada dulu.
Semuanya mereka yang uruskan. Sekarang ni, bila dah sebatang kara begini, saya
rasa begini lebih menyenangkan. Mudah. Tak perlu peningkan kepala. Tapi nampaknya
semua tu terpaksa saya ubah demi kembar saya tu.’
“Hem, tentang perubahan tu,
memang banyak yang perlu awak lakukan. Awak kenalah tingkatkan tahap
keselamatan rumah awak ni. Awak kena baby-proofkan lagi rumah awak ni.’
‘Baby-proof?’
‘Rumah awak ni tak selamat untuk
kembar tu tinggal.’
‘Maksud awak?’
‘Cuba awak lihat ruang tamu rumah
awak tu. Rak pinggan mangkuk tu memang cantik dan mahal, tapi barang-barang
perhiasan kaca tu mudah dicapai oleh tangan mereka. Wayar-wayar elektrik yang
bersimpang siur tu pulak amat berbahaya. Kerusi berkaki tiga tu pulak menunggu
masa untuk menyembah bumi. Bayangkan kalau masa tu salah seorang dari kembar tu
sedang merangkak di situ. Awak tengok ni,’ kata Nadia sambil mengunjuk kepada
wayar elektrik pada cerek elektrik itu, ‘bayangkan apa yang akan berlaku
sekiranya salah seorang dari mereka tu menarik wayar ni ketika air panas
menggelegak, pasti akan menyimbah mereka.’
Raut wajah Naim semakin muram.
Dilontarnya gumpalan beg plastik masuk ke dalam tong sampah.
‘Awak tak boleh buat macam tu,’
pantas Nadia menegur perbuatan Naim.
‘Buat apa?’
‘Beg plastik kosong tu jangan
dimasukkan ke dalam tong sampah yang terdedah begini. Takut awak tak sedar
semasa mereka mengambilnya dan memasukkan kepala mereka ke dalam beg palstik tersebut.
Pasti mereka kelemasan.’
Sekali lagi Naim mengeluh.
‘Nadia, awak pun tahu yang saya baru aje beberapa jam yang lepas diberitahu
tentang anak segera saya ni.’ Naim melihat jam ditangannya. ‘3 jam yang lalu
saya masih seorang bujang yang tidak perlu tahu tentang baby-proofing ni, mana
saya ada masa nak lakukan semua ni dalam masa terdekat ni?’ kata-kata Naim
terhenti di situ. Dikalih pandangannya ke arah Nadia. Jelas tersirna
keresahannya di situ. ‘Saya akui, kalau saya diberi masa seminggu pun, belum
tentu saya dapat nak sediakan semua kelengkapan dan keperluan kembar-kembar tu,
apatah lagi nak memikirkan tentang tahap keselamatan mereka berdua di rumah
ni.’ Jelas semua yang berlaku ini mula memeningkan kepalanya. Naim rasa
terkapai-kapai, bagaikan terasa hilang punca. Segala disiplin dirinya sebagai
seorang tentera laut bagaikan hilang entah ke mana. Dia mengaup muka dengan
kedua telapak tangannya, cuba menghilangkan resah yang mula melanda.
‘Naim, cuba awak bawa bertenang.
Awak kena berfikiran positif. Semua yang sedang berlaku ini tidaklah seteruk
yang awak bayangkan. Pasti ada hikmah yang tersembunyi yang tidak kita sebagai
manusia ni dapat melihatnya pada masa ini.’ Nadia cuba memujuk. Tangannya mula
melipat begi-beg plastik yang telah dikosongkan isinya sebentar tadi.
‘Tak teruk awak kata? Awak
sendiri pun dah lihat apa yang sedang berlaku ni...’ tukas Naim perlahan. ‘I am
just not ready...’ gumamnya lagi. Wajahnya semakin monyok. Kasihan juga Nadia
yang melihatnya.
‘Naim, awak kan seorang tentera
laut. Saya yakin yang awak akan dapat menguruskan semuanya ini dalam sehari dua
ni. Awak hanya perlukan sedikit masa untuk mula memikirkan strategi yang dapat
awak gunakan untuk menangani masalah awak ni. Ingat, strategi....’ ucap Nadia
sambil melayangkan tangannya dari mukanya ke hadapan. Cuba berseloroh untuk
mengurangkan tekanan yang semakin menghimpit Naim. Jarang benar dia melihat
Naim dalam keadaan sedemikian.
‘Mana ada sehari dua lagi,’ omel
Naim sambil melihat jam ditangannya. Dia mula mengelabah. ‘Saya memang tak ada
masa, not even one hour...’
Melimpah rasa simpati Nadia
kepada lelaki yang pernah menjadi igauan tidurnya itu. gerakhatinya mula
menerjah dan meminta dia sekali lagi menghulurkan bantuannya. Dia tahu yang dia
mungkin akan menyesali tindakannya ini kelak, tapi dia juga sedar yang dia
tidak patut membiarkan Naim yang sedang dilanda kesusahan. Dia tidak dapat
menahan dirinya dari memberikan cadangannya itu.
‘Naim, berapa lama awak akan
berada di Sarawak?’
‘Tak pasti. Kenapa? Tanya Naim.
‘Boleh saya cadangkan sesuatu
kepada awak?’
Naim menganggukkan kepalanya.
‘Apa dia?’
‘Saya sebenarnya sedang bercuti.
Kalau awak sudi, awak tinggalkan kunci rumah awak tu pada saya dan saya akan
buat persediaan yang awak perlukan pada rumah ni sepanjang masa awak tak ada di
sini. Bagaimana?’
‘Apa?’ tersentak Naim mendengar
cadangan Nadia. Terangkat kepalanya memandang gadis di hadapannya itu.
Nadia mengetap bibirnya. Dibalas
pandangan Naim dengan penuh yakin walaupun hatinya kini mula dilanda resah.
‘Awak jangan takut. Saya tak akan
larikan barang-barang awak ni.’ Nadia cuba berseloroh. ‘sebaliknya saya akan
cuba untuk membuat persediaan serapi yang mungkin,’ jelasnya lagi. ‘Kalau awak
izinkan, saya akan belikan segala keperluan kembar awak tu, jadi bila awak
balik nanti, awak dah tak perlu bersusah payah. Awak boleh terus tumpukan
perhatian awak kepada kembar tu.’
Naim kelu seribu bahasa. Dia
masih terkejut dengan cadangan yang dibuat oleh Nadia. Direnungnya wajah gadis
itu. agak lama. Masih tidak yakin dengan pendengarannya.
Telah lima tahun mereka berpisah.
Selama itu juga Nadia telah meninggalkannya tanpa sebarang berita. Selama itu
juga mereka tidak pernah bersua muka ataupun bertegur sapa. Tidak pernah ujud
sebarang komunikasi di antara mereka berdua. Mereka baru sahaja bertemu kembali
sejam yang lalu dan kini gadis itu menawarkan diri untuk membantunya,
seakan-akan jurang lima tahun itu tidak pernah ujud di antara mereka. Kini
persoalannya ialah, kenapa?
‘Naim, saya ikhlas ingin
membantu,’ sambung Nadia bila dilihat Naim masih membisu. Dia semakin resah.
Dia mula bergerak di ruang dapur itu, mula menyusun apa yang tercapai oleh
tangannya untuk mengatasi keresahan yang mula bersarang didada. ‘Saya boleh siapkan semuanya dalam masa
seminggu.’ Ujarnya untuk memberikan keyakinan itu kepada Naim yang tampak
semakin tegang raut wajahnya.
‘Saya tahu awak boleh buat semua
tu dalam jangka masa yang telah awak tetapkan tadi. Saya tahu awak memang
efisien orangnya. Tapi persoalannya sekarang ialah, kenapa awak nak buat semua
ni?’ nada suara Naim semakin tegang dan dingin. Dia tidak suka dibebankan
dengan persoalan, dan persoalan kepada perpisahannya dengan Nadia masih tiada
jawapannya.
Nadia terkedu. Tidak disangkanya
yang tawaran-nya akan mendapat reaksi sedemikian dari Naim. Diputarkan kembali
kepala paip ke arah yang bertentangan. Aliran air terhenti. Suasana senyap
sunyi tiba-tiba.
Keadaan tegang itu berlalu Cuma
beberapa saat sahaja, tetapi terasa bagaikan terlalu lama buat Nadia. Dia cuba
mencari bait-bait kata yang dapat menjawab soalan Naim sebentar tadi. Akhirnya
dia mengangkat kepala. Dipalingkan tubuhnya untuk mengadap Naim. Dipandangnya
tepat ke anak mata lelaki itu. dilemparkan senyuman kecil yang dia tahu sebelum
ini dapat menggegarkan degupan jantung Naim. ‘Anggap sahaja yang ini adalah
sebagai bantuan dari seorang kawan kepada kawan awak,’ jawabnya ringkas.
Kawan? Naim tersenyum sendiri.
Terasa sepatah perkataan itu menyindirnya dengan tajam. Dia terlalu cintakan
Nadia. Dia sentiasa mendambakan Nadia untuk sentiasa di sampingnya. Bila Nadia
meninggal-kannya, dia begitu membenci Nadia. Walau apa pun status hubungan
mereka, tidak pernah sesekali dia menganggap Nadia sebagai seorang kawan.
‘Ini memang kes simpati, kan?’
tanya Naim.
Berkerut dahi Nadia mendengar
kata-kata Naim. Dia keliru dengan maksudnya. ‘Simpati?’
Naim mengangguk. ‘Betul. Awak
anggap yang saya tak akan dapat mengendalikan perkara ni dengan baik dan awak
ingin menjadi penyelamatnya?’
Terkedip-kedip mata Nadia
memandang Naim. ‘Naim, bukan itu maksud saya. Saya cuma nak membantu awak, itu
aje.’
‘Naim terasa bagaikan mahu
menyumpah gadis di hadapannya itu. digaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu
beberapa kali. Dijeling pula kepada jam di pergelangan tangannya. Setiap detik
berlalu dengan pantas. Dia mula resah. Dia tidak bermaksud untuk menjerkah
Nadia, tapi sesekali perasaannya yang pernah terluka dengan teruk itu
menjelmakan dirinya, lantas perasaannya mula berbolak balik.
Salah diakah bila aku tidak dapat
mengingatkan kisah semalam?
Tidak, kata hatinya.
Apakah aku benar-benar perlukan
pertolongannya?
Yup, kata hatinya lagi.
Nadia tidak betah berdiri lebih
lama di situ. Terasa dirinya tidak diperlukan lagi. Dia menganjak untuk beredar
dari situ. Namun sebaik dia melintasi Naim yang sedang berdiri di muka pintu,
lengannya dipaut kejap. Terhenti langkahnya. Dikalih pandangannya ke arah Naim
yang merenungnya dengan perasaan serba salah.
‘Nadia, saya tidak bermaksud
untuk biadap dengan awak. Maafkan saya,’ ucap Naim sambil melepaskan pautan tangannya.
Kemudian diseluk tangannya ke dalam kocek seluarnya.
‘Tiada apa yang hendak
dimaafkan,’ tukas Nadia lembut.
Naim tersenyum kecil. ‘Kalau awak
betul-betul ikhlas menghulurkan bantuan tu, saya amat-amat berbesar hati dan
menghargainya.’
Semakin lebar senyuman Nadia.
Naim pula terasa yang kali ini dia bagaikan digelek oleh steamroll. Perpisahan
selama lima tahun itu seolah-olah tidak pernah berlaku.
Betul-betul tak adil. Takkan aku
aje yang dilanda perasaan ni? Gumam Naim sendiri. Apakah aku akan dilanda
tsunami perasaan dengan Nadia?
Mungkin juga idea ini bukanlah
idea yang bagus, ngomel Naim lagi. Baru dia tersedar, semakin banyak masa yang
akan dihabiskan bersama Nadia nanti, pasti akan menjerat perasaannya sekali
lagi. Mungkin juga lukanya akan kembali terbuka dan berdarah. Dapatkah dia
bertahan sekali lagi? Tapi bagaimana pula dengan pertolongan yang ingin
dihulurkan oleh Nadia? Memang dia benar-benar memerlukan bantuan gadis itu.
Serba salah dia jadinya. Tidak pasti apa tindakan yang perlu dilakukannya kini.
‘Macam mana awak nak ke airport?’
Kata-kata Nadia membantutkan
lamunan Naim. ‘Saya akan bawa kereta ke sana dan tinggalkan kereta tu di
parking airport.’ Jawab Naim.
‘awak dah beli baby car seat?’
ha, baby car seat? Naim menggaru
kepalanya. ‘Belum.’ Jawabnya pula.
Nadia menggeleng-gelengkan
kepalanya. Takkanlah Naim nak memandu pulang dengan kembar yang dia tidak tahu
hendak diletakkan di mana nanti. Kembar itu masih bayi, pasti menjadi satu
masalah dan akan membahayakan nyawa mereka semua.
‘Habis tu macam mana awak nak
bawa mereka balik dari airport nanti? Macam mana awak nak memandu dengan kembar
tu tanpa car seat mereka?’ Nadia cuba mengingatkan Naim akan keadaan yang
terpaksa dihadapinya kelak tanpa mempunyai car-seat untuk kedua kembar itu.
‘betul jugak tu. Saya rasa lebih
baik saya naik teksi aje ke sana. Balik nanti, saya naik teksi jugak.’
‘macam nilah Naim, saya rasa baik
awak telefon saya masa nak balik nanti. Biar saya ambil awak di airport. You
definitely akan perlukan bantuan pada masa tu nanti.’
Sememangnya Nadia pasti akan
banyak membantu dengan kembar-kembarnya itu. tapi masalahnya sekarang, siapa
pula yang akan membantunya di dalam menangani masalahnya dengan Nadia nanti?
Gumam Naim sambil mengekori Nadia yang sudah melangkah keluar.
No comments:
Post a Comment