Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Tuesday, April 15, 2014

SJM8

Nadia memberhentikan keretanya di belakang kereta Naim. Dilontar pandangannya ke halaman rumah banglo 2 tingkat itu. sebuah rumah yang besar buat seorang lelaki seperti Naim.
Nadia tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan kedua ibu bapa Naim, tapi dia tahu siapa keduanya. Tan Sri Takiyuddin adalah bekas pegawai tentera berpangkat Brigedier. Setelah bersara, beliau telah menjadi seorang usahawan yang berjaya. Puan Sri Rohana juga turut sama membantu suaminya di dalam menguruskan perniagaan mereka. Kini keduanya telah meninggal dunia di dalam kemalangan semasa mengerjakan umrah di tanah suci Mekah. Syarikat perniagaan keluarganya itu telah Naim pertanggungjawabkan kepada bapa saudaranya yang juga merupakan rakan kongsi ayahnya. Naim telah bercadang untuk menerajui syarikat itu apabila dia telah bersara kelak. Sejak 7 tahun yang lalu, Naim akan bekerja di syarikat itu setiap kali dia mengambil cuti yang panjang untuk menimba pengalaman mengurus-kan syarikat. Naim telah menyertai angkatan tentera kerana minatnya yang mendalam di dalam bidang itu. dibesarkan di kalangan tentera sedikit sebanyak telah mempengaruhi minatnya itu.
Jadi, disinilah tempat tinggal Naim pernah dibesarkan. Dia tersenyum sendiri. Setelah bertahun-tahun mengenali Naim, baru saat ini dia berpeluang untuk datang ke rumah lelaki itu. Fikirannya kembali melayang kepada kenangan silam.

‘Piiwiiiit….!!!’ Kedengaran siulan dari tingkat 2 berhadapan dengan makmal Sains.  Nadia menoleh kearah siulan yang amat galak bertalu-talu.
‘Hemm… nampaknya mamat-mamat tu nak mengusik lagilah tu.  Tak habis-habis nak menyakat kerjanya mereka nilah…’ getus suara hati Nadia. 
Nadia pasti, Naim mesti ada berdekatan ataupun berhampiran dengan mereka yang bersiul itu.  Dicari wajah yang satu itu. Sah wajah itu ada di situ.
Naim. Nama yang semakin popular dikalangan pelajar perempuan. Agak ramai juga adik-adik dan rakan-rakannya yang semakin jatuh hati padanya.
Naim merupakan seorang pelajar baru disekolah itu.  Kacak, kemas dan bergaya walaupun dengan hanya berpakaian seragam sekolah.  Dia memasuki sekolah itu 3 bulan yang lepas.
Digelengkan kepalanya beberapa kali. Bukan dia tidak tahu, rakan-rakannya itu ingin mengusiknya. Rata-rata pelajar tingkatan 5 tahu bahawa Naim amat meminati dirinya. 
Cuma dia sahaja yang tidak pernah melayan Naim.  Malas dia mahu memikirkan tentang soal hati dan perasaan. Dia di situ adalah untuk belajar. Melayan perasaan lelaki bukan sebahagian dari agendanya.


Naim telah pun keluar dari perut keretanya. Dia mengkalih pandangannya ke kereta Nadia. Gadis itu sedang termenung.
‘Dia berubah fikiran ke?’ getus hati kecil Naim. Dia berjalan mendekati kereta itu. memandangkan Nadia masih leka dengan dunianya, diambil kesempatan itu untuk merenung wajah Nadia yang pernah bertahta dihatinya. Teringat kembali kepada kisah mereka pada zaman persekolahan dahulu.

Naim tersenyum dengan gelagat rakan-rakan disekelilingnya. Dia sedar mereka sedang mengusiknya dan Nadia. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti. Mungkin sedar yang dia sukakan gadis itu. Dia menjadi igauannya saban hari. Walau di usia semuda ini, dia tahu yang dia telah jatuh hati. Inilah cinta pertamanya. Mungkin cinta monyet. Tapi itu semua tidak dipedulikan. Yang dia tahu hatinya telah terusik sejak hadirnya dia di sekolah itu 3 bulan yang lalu.
Secara kebetulan, Nadialah orang pertama yang ditegurnya semasa hari pertama dia tiba untuk mendaftar di sekolah itu. 
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Nadia, mereka akan menyangka Nadia seorang yang sombong dan serius.  Jarang terpalit senyuman diwajahnya.  Mulanya Naim juga agak keberatan untuk menegur Nadia, tapi dek kerana tiada orang lain disitu, dia terus menyapa gadis itu.
‘Errr… boleh saya tumpang bertanya?’  Teragak-agak suara Naim.  Takut juga disergah oleh gadis itu. Dikepalanya sudah terbayang adegan lagak ngeri. Seorang gadis dengan asap yang keluar dari kepalanya sedang merengus kepadanya bersama wajah masam mencuka.
Nadia yang sedang dalam perjalanan ke kelasnya dari tandas terus berhenti dan hanya mengangkat kepalanya sambil memandang Naim.  Tanpa suara dan memandang tepat kearah Naim, menantikan soalan yang seterusnya.
‘Hish, bisu ke budak perempuan ni?  Dahlah muka sombong semacam, bolehke aku nak tanya ni?  Cuba ajelah…’ bisik hati Naim ketika itu. 
‘Boleh tunjukkan saya arah bilik pengetua?’ tanya Naim dengan sopan.
Tanpa suara, Nadia mengangkat tangan kanannya dan menunjukkan dengan ibu jarinya arah bilik pengetua.  Bilik itu hanya terletak beberapa meter sahaja dihadapan mereka. 
Setelah itu, tanpa sepatah katapun, Nadia meneruskan perjalanannya untuk memasuki kelasnya semula.  Sudah pasti cikgu telahpun memulakan kelas dan sudah pasti dia akan dimarahi oleh cikgu Mariah nanti jika dia terus berlama di situ.  
Naim termangu. Dia ditinggalkan tanpa sebarang kata. Pertama kali dia dilayan sedemikian rupa oleh spesis yang bernama gadis.  Tidak sempat juga untuk dia mengucapkan terimakasih.
‘Hemmm… bisu agaknya…’ bisik hati Naim.
Kesimpulan itu yang tercerna diruang mindanya. Kepalanya yang tidak gatal digaru beberapa kali.  Masih celaru dengan peristiwa yang baru sebentar tadi berlaku kepada dirinya. Akhirnya diteruskan perjalanan ke bilik Pengetua untuk memperkenalkan dirinya.
Setelah mendaftarkan diri, Naim dibawa ke kelasnya.  Dia diperkenalkan kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 omega.  Diteliti wajah-wajah ceria dihadapannya satu persatu.
  Rupa-rupanya gadis bisu itu satu kelas dengannya.  Semua mereka memandangkan ke arahnya semasa sessi perkenalan itu kecuali gadis itu.  Dia seperti tidak berminat untuk mengetahui keujudan Naim di situ.  Terasa juga bengang dihati Naim apabila menerima layanan sebegitu dari seorang gadis. Namun cuba ditahan rasa hatinya.
Naim mengambil tempat di tempat yang telah dikosongkan untuknya, hanya selang dua meja di hadapan gadis bisu itu.  Ketika itu cikgu Mariah sedang mengajar pelajaran bahasa Inggeris.  Mereka menyambung kembali pelajaran yang tergendala tadi. 
‘Adie, please continue with the second paragraph.’ Arah cikgu Mariah terhadap seseorang.
Kedengaran bunyi kerusi ditarik dari bahagian belakang.

Merdu, lembut, dan tepat serta teratur. Ayat yang dibaca disebut satu persatu. 
Naim mengkalih pandangannya kebelakang. Dia terkedu. Gadis yang disangkanya bisu itu yang berdiri di situ, sedang membaca perenggan kedua.  Agak terperanjat kerana rupa-rupanya sangkaannya adalah meleset sama sekali. 
Gadis itu tidak bisu, malah suaranya bagaikan halwa ditelinganya. Terpegun Naim buat seketika.  Namun dilawan perasaan yang datang menyinggah agar dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajaran pagi itu, apatah lagi dia adalah pelajar baru di kelas itu.
Semasa loceng berbunyi menandakan tamat pelajaran waktu itu, cikgu Mariah pun meninggalkan kelas tersebut.  Naim dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang ingin berkenalan lebih jauh dengannya.  Setelah keadaan agak reda, Naim berjalan menuju kearah Nadia.
‘Hai, saya Naim’ ujar Naim sambil menghulurkan tangannya.  Nadia mengangkat kepalanya dan hanya memandang tepat kearah Naim.  Agak lama, membuatkan Naim tidak tentu arah dan serba salah.  Tangannya ditarik kembali.
‘Assalamualaikum dan ahlan wasahlan.  Saya Adie,’ balas Nadia sambil tiba-tiba menghadiahkan senyumannya kepada Naim.  Senyuman yang begitu manis dan menawan, menyentap ke jantung hati Naim.  Sungguh comel dan manis.  Berubah sama sekali raut wajah yang tadinya begitu serius dan sombong. 

Rambut ikalnya yang lebat dan terurai ke hadapan itu diselaknya ke atas agar tidak menutupi matanya. Naim terpana bagaikan terkena panahan kilat.  Mujurlah Cikgu Manan masuk untuk memulakan pelajaran matematik.  Cepat-cepat dia duduk semula ditempatnya.  Cuba ditepis perasaan itu….

No comments: