Hak Cipta Terpelihara. Baca Yes, Copy No

Monday, June 23, 2014

DI SEBALIK "TAK ADA APA-APA" SEORANG IBU

DI SEBALIK "TAK ADA APA-APA"... ...dari ibu...
Beberapa bulan yang lalu hati saya tiba-tiba rasa berdebar, cemas, bimbang dan runsing. Perasaan itu datang bukan sekali dua malah terlalu kerap. Ketika memandu pun saya turut diserang rasa yang demikian. Saya cuba dapatkan nasihat doktor. Doktor kata takde apa-apa. Hairan juga!
Sewaktu balik ke kampung, saya bertemu dengan guru mengaji Quran. Saya ceritakan perkara yang saya alami. "Mungkin ada buat silap dengan mak kot. Cuba check," katanya. Saya tersandar seketika. Insiden apakah yang boleh membuatkan saya diuji sebegini rupa? Puas saya memikirkannya. Seingat saya, walau ke mana saya hendak pergi dan apa yang saya nak buat, tak pernah saya lupamemberitahu mak. Meminta maaf memang saya jadikan kebiasaan dalam diri. Saya balik ke rumah mak, lalu saya ceritakan peristiwa yang saya alami itu.
Saya pohon padanya, "Mama, Sabri nak tanya dari hati ke hati, adakah Sabri pernah buat dosa dengan mama yang mama tak ampunkan?"
"Tak ada apa-apa. Mama restu dengan apa yang Sabri buat sekarang ini." Saya masih tak puas hati. Esoknya saya tanya lagi.
Mama masih menjawab, "Tak ada apa-apa."
Saya masih tidak puas hati lagi. Malam itu saya munajat dengan Tuhan minta ALLAH tunjukkan jalan kebenaran. Hari ketiganya dalam keadaan mak masih bertelekung, saya menghadap mama sekali lagi.
Mama ketika itu sedang berehat di sofa. Saya pandang wajah mama, saya genggam tangan nya erat-erat,
"Mama, Sabri pohon sekali lagi, tolonglah mama luahkan apa yang terbuku di hati mama. Sabri tahu Sabri ada buat salah, tapi mama tak nak bagitau." Airmata sudah membasahi pipi.
"Tak ada apa-apa?" tingkah mama semula.
Dalam keluhan yang dalam, ibu tua seakan mahu bersuara tapi terdiam kembali. Akhirnya dia bersuara. "Sabri ada satu kisah yang mama susah nak lupakan dan sesekali ingatan itu datang akan membuatkan hati mama terluka. Kadang-kadang ketika membasuh pinggan mama boleh menangis tersedu-sedu mengenangkan peristiwa itu. Lukanya amat dalam, masih berbekas hingga sekarang." Saya terkedu.
Mama menyambung, "Sabri tentu ingat arwah ayah meninggal ketika adik masih kecil. Tanggungan kita ketika itu sangat berat. Duit pencen ayah memang sedikit dan tak cukup nak tampung hidup kita, Sabri ingat tak?" Mama mula menangis.
Saya tunduk. "Selepas SPM, Sabri ditawarkan menjadi guru sandaran. Wang hasil titik peluh Sabri tu mama gunakan untuk perbelanjaan adik-adik. Satu hari Sabri bagitau mama Sabri nak melanjutkan pelajaran. Mama merayu supaya hajat itu ditangguhkan dulu sebab kita kesempitan wang dan minta Sabri terus bekerja. Berkali-kali Sabri minta dan merayu pada mama nak sambung belajar juga. Akhirnya mama terpaksa melepaskan Sabri belajar dalam hati yang penuh terpaksa." Saya benar-benar
terkejut.
Mama menyambung lagi, "Cuba bayangkan ketika itu kalau mama tak izinkan Sabri pergi, mama rasa Sabri akan berkeras pergi juga. Dan perginya Sabri ketika itu adalah sebagai anak derhaka!"
Saya meraung sepuas-puasnya, terjelepuk lembik di pangkuan mama.
"Mulai hari ini mama ampunkan semua dosa Sabri. Adik-adik pun dah berjaya. Segala yang terbuku di hati dah habis mama luahkan. Mama harap mama dapat mengadap ALLAH dengan hati yang tenang." Ungkapan terakhir mama terasa bagaikan air sungai jernih yang mengalir sejuk ke seluruh urat saraf saya seakan membasuh dosa yang lalu. Badan saya terasa ringan yang amat sangat.
Syukur kepada ALLAH. Hati saya kembali tenang. Terasa kerja-kerja yang dibuat semakin dibantu ALLAH. Sejak peristiwa
itu saya selalu berpesan kepada anak-anak, ahli keluarga dan kawan-kawan agar bersihkan hubungan hati kita dengan ibu kerana ia sebagai jambatan menuju ke syurga. Saya yang terlibat
dalam program motivasi turut menceritakan pengalaman saya ini kepada peserta kursus. Bukan niat di hati untuk berbangga tapi apa yang saya harapkan semua orang dapat berbuat baik
dengan ibu, demi kebaikan di dunia dan di akhirat.
Suatu hari selepas selesai menyampaikan ceramah di sebuah kem motivasi, saya dicuit oleh seorang pegawai lelaki yang sudah melewati usia 40-an. "Encik Sabri, bulan depan telefon
saya." Saya kehairanan. Dari sumber yang diketahui, penganjur program memaklumkan lelaki tersebut mengambil cuti seminggu untuk pulang ke kampung. Sebulan kemudian saya
menghubunginya dengan telefon. "Encik Sabri, terima kasih banyak-banyak kerana mengingat kan saya tempoh hari. Kalau tidak saya tak tahulah nasib saya." Suara lelaki itu seakan sebak.
Saya bagaikan berteka-teki dengannya.
Menurut ceritanya, selepas program tersebut dia terus pulang ke kampung menziarahi ibunya yang sudah terlalu uzur dan sudah sekian lama tidak juga dijengah bertanyakan khabar berita.
Sampai dikampung ibu yang uzur itu dipeluk dan dicium. Ibu tua itu kehairanan kerana selama ini si anak tidak pernah berbuat demikian. Dalam tangisan yang penuh syahdu si anak memohon
ampun dan maaf di atas segala silapnya selama ini.
"Syukur kamu dah insaf. Selama hari ini kamu tidak pernah meminta maaf bersunguh-sungguh. Kamu mungkin jadi anak derhaka kalau mak tak ampunkan dosa kamu yang satu ini. Umur mak dah 80 tahun. Selama 50 tahun mak memendam rasa. Dosa yang lain mak boleh ampunkan, tapi dosa yang satu ini mak rasa
sungguh berat dan amat tersinggung. Mak terlalu sedih anak yang mak kandung sembilan bulan, anak yang mak kenyangkan perutnya dengan air susu mak ini sanggup mengherdik
mak dengan kata-kata 'Orang tua bodoh. Tak ada otak.'"
Cerita lelaki itu, satu hari dia meminta ibunya membasuh sehelai seluar yang berjenama, dibeli hasil duit gaji pertamanya. Seluar itu terlalu kotor lalu si ibu merendamnya dengan peluntur. Mak gosok dan lipat. Beberapa hari kemudian dia mencari seluar itu untuk dipakai bekerja, malangnya seluar mahal itu didapati telah bersopak-sopak warnanya. Lalu dia yang berdarah muda menjadi berang, mengherdik si ibu,"Hei, orang tua bodoh! Tak ada
otak ke? Buta ke? Seluar ni mahal tau!!" Akhirnya dosa si anak diampunkan.
Daripada kedua-dua cerita ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa di sebalik ungkapan 'tak ada apa-apa' dari mulut seorang ibu mungkin ada tersimpan 'apa-apa' yang sangat memilukan hati ibu, akibat tingkah laku atau tutur kata kita yang menyinggung hatinya. Jagalah hati ibu, dan sentiasa minta mereka doakan kesejahteraan hidup kita. Sesungguhnya doa dari seorang ibu sangat makbul.
Firman ALLAH dalam surah An-Nisa':36
"... ... . dan hendaklah kamu berbuat baik dengan sesungguhnya kepada ibubapa. Sesungguhnya ALLAH itu tidak suka kepada orang yang sombong dengan perbuatannya, sombong dengan perkataannya."
Renungkanlah...

Alkisah seekor kuda...

Alkisah seekor kuda... (Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man)
Kuda ini cantik dan mempunyai banyak kualiti yang dipuji. Namun kuda tidak berpuas hati, kuda merasakan dirinya tidak cukup sempurna, terutama kecantikan luarannya.
Kuda berkata pada penciptanya, “Saya bersyukur saya telah diberi kecantikan dan nilai-nilai yang baik. tapi saya mengharapkan Tuan boleh menjadikan saya lebih cantik. Saya akan lagi bersyukur, amat bersyukur jika Tuan boleh menjadikan saya lebih cantik. “
Pencipta membalas, “Saya sedia menjadikan anda lebih cantik. beritahu apa yang anda harap bertukar.”
Kuda tersebut berkata, “Saya rasa badan saya tak seimbang. Leher saya terlalu pendek. jika tuan boleh panjangkan leher saya sikit, bahagian atas badan saya akan nampak lebih elok. Dan kalau tuan boleh panjangkan dan kuruskan sikit kaki saya. saya akan nampak lebih menawan di bahagian bawah badan saya.”
Tuan tersebut menyuruh kuda menutup mata untuk 30 saat.
30 saat berlalu, kuda pun membuka mata. lalu melihat cermin di depannya.
Kuda terkejut. “Siapa unta itu?”
Melihat pada penciptanya kuda (yang kini menjadi unta) merungut, "Tuan, saya nak jadi lebih cantik menawan. Bagaimana rupa luar sebegini boleh dikira sebagai cantik dan menawan?”
Penciptanya membalas, “Itu yang anda mahukan, itu yang saya buatkan.”
Kuda (yang kini menjadi unta) itu menangis, “Ini bukan yang saya nak. Saya tak nak jadi unta. Saya nak kekal sebagai kuda. Sebagai kuda, semua orang puji saya mempunyai kualiti nilai yang baik. tiada yang akan menghargai saya sebagai unta.”
Pencipta itu menjawab:
“Jangan cuba untuk mencapai dan menerima lebih daripada apa yang kurniakan pada kamu. Jika kamu sentiasa ingin hidup memuaskan nafsu, setiap waktu kamu akan meminta lebih dan lebih. Kamu tidak tahu apa kesan pada akhirnya. Kamu merayu untuk panjangkan leher dan kaki, inilah apa yang berlaku.”
“Semua benda yang dicipta saya ada kualitinya sendiri. Ya, unta tidak secantik kuda, tapi ia boleh membawa beban yang banyak dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi.”
Mulai hari itu, kuda (yang kini menjadi unta) berubah dan menjadi seekor unta yang baik sehingga dipuji ramai sebagai haiwan yang meringankan beban manusia untuk bergerak sana sini.
Wahai anakku,
Walaupun ini sekadar cerita dongeng . tapi di dalamnya banyak isi tersirat di dalamnya. Jika kamu membuka mata hati dan ingin belajar, kamu akan mendapat pengajarannya.
Senyum...

Friday, April 18, 2014

SJM9

Lamunan Naim terhenti. Dia kembali kepada masa kini. Direnungnya lagi gadis itu. Gadis itu pernah dicintainya. Sangkanya gadis itulah yang akan menjadi suri dirumahnya, tapi hari yang disangka akan panas sehingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Harapan yang telah digarap sejak sekian lama, akhirnya berkecai dalam sekelip mata. Tanpa angin, tanpa goyang, semuanya musnah tiba-tiba. 5 tahun telah berlalu. Kesibukan tugasnya telah dapat mengubat lukanya yang parah. Mungkin luka itu kini hanya tinggal parut, namun tidak pernah dia melupakan gadis itu. Apatah lagi bila hatinya kerap kali tertanya-tanya kenapa hubungan mereka diputuskan begitu sahaja, kenapa Nadia meminta untuk berpisah dengannya secara tiba-tiba. Mungkin saat itu akan tiba juga dalam masa yang terdekat ini. Itu harapannya.
‘Nadia!’ Naim memanggil gadis yang masih gadis itu tidak berganjak dari tempat duduknya. Entah apa pula yang sedang difikirkannya.
‘Nadia!’ kali ini Naim mengetuk pula cermin tingkap kereta bila dilihat masih tiada reaksi dari Nadia
Kali ini Nadia tersentak. Terkejut dengan ketukan dicermin tingkapnya itu. Dikalih pandangannya ke luar. Naim sedang tersenyum memandangnya. Rona wajah Nadia bertukar ke merah. Malu juga bila dia tertangkap begitu. Tapi dia tahu yang Naim pasti sudah tahu yang dia sedang mengelamun sebentar tadi. Kerana itu Naim tersenyum memandangnya. Selamba sahaja dia keluar dari perut kereta, seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi.
Setelah keretanya dipastikan berkunci dengan baik, dia melangkah mengekori Naim yang sudah berjalan di hadapannya. Dia perhatikan keadaan sekeliling. Halaman rumah banglo itu agak terbiar. Rumputnya semakin panjang tidak berjaga. Deretan pasu-pasu bunga yang satu ketika dulu pastinya berbunga indah, kini sudah kering kekontangan. Pokok-pokok bunga kertas berbagai-bagai warna juga menjalar liar tanpa sebarang perhatian. Kawasan yang dulunya mungkin sebuah taman, kini telah menjadi hutan. Mungkin Naim terlalu sibuk sehinggakan keadaan rumahnya tidak lagi terbela. Pasti jiran-jirannya juga gelisah dengan apa yang berlaku kepada rumah itu kerana menyumbang kepada pencemaran pemandangan.
Nadia menggeleng kecil. Walaupun dia tahu yang keutamaan Naim bukan di situ, tapi fikirannya pula sudah mula merangka apa yang patut dibuat untuk menyerlahkan kembali keceriaan di rumah banglo itu.
Hish, Mai, ini bukannya rumah kau. Kenapa kau perlu bersusah payah untuk Naim lagi, tempelak hatinya. Dia pasti tidak memerlukan pertolongan kau dalam hal ini. Dan pertolongan kau itu tidak akan dihargainyapun, tempelak hatinya lagi.
Ala, kalau setakat nak berangan apa yang boleh aku buat pada rumah ni, takkan itu pun salah. Dah memang minat aku pada reka bentuk hiasan landskap, takkan itu pun aku tak boleh nak bayangkan, marah perasaannya pula.
Hem memang betul tak salah. Dan kalau halaman rumah ni dihiaskan ala bali atau tropika, pasti akan lebih menyerlah, sambut kata akalnya pula.
‘Nadia, awak nak masuk ke tidak!’
Sekali lagi lamunan Nadia terhenti. Laungan Naim menampar gegendang telinganya. Dikalih pandangan-nya ke arah lelaki itu. Dia sudah tercegat berdiri di muka pintu. Ditangannya sudah sarat dengan barang-barang yang telah dibelinya tadi. Pantas dia bergegas mendekati lelaki itu yang bagaikan sedang menunggu sesuatu darinya.
‘Macam mana saya nak masuk kalau pintunya masih tertutup,’ selamba Nadia menyindir.
‘Pintu tu tak berkunci. Saya dah buka tadi, tapi dah tertutup balik. Memandangkan tangan saya ni dah penuh, boleh tak cik adik tolong bukakan pintu tu?’ tukas Naim sambil tersengih.
Dengan muka yang turut tersengih, Nadia memulas tombol pintu dan menolak daun pintu ke dalam. Dibiarkan Naim melangkah masuk terlebih dahulu, kemudian dibiarkan pintu itu terbuka luas agar tidak mengundang keraguan dan menyebabkan mereka berdua tertangkap basah pula.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk, Nadia memerhati keadaan sekelilingnya. Perabot yang ada kelihatan usang dan sebahagiannya pula masih diselimuti cadar putih. Mungkin untuk memelihara keadaan perabot agar tidak diselaputi oleh habuk bila ditinggalkan dalam jangka masa yang lama. Kotak-kotak pula masih berselerakan walaupun ia tidak banyak. Keadaan rumah juga agak tersusun walaupun habuk dan sawang di sana sini.
‘Awak tak sempat nak kemas lagi rumah ni ke?’ soal Nadia dengan dahi yang berkerut. ‘Takkanlah awak nak bawa bayi kembar tu tinggal kat dalam rumah yang tak bersih macam ni?’
Naim hanya mampu tersengih macam kerang busuk. Dia tahu dia bersalah dalam soal ini. Tapi dia terlalu sibuk dengan tugasnya sejak dia berpindah ke Kuala Lumpur. Dia tidak sempat lagi menguruskan kebersihan rumah itu sejak dia pulang sebulan yang lalu. Sudahlah masanya banyak dihabiskan di kem, di hujung minggu pula dia diminta oleh sanak saudaranya untuk datang bertandang ke rumah mereka. Kalau dia balik pun ke ruamh itu, hanyalah untuk tidur dan berehat seketika. Hanya bilik tidurnya sahaja yang telah dikemaskan buat masa ini. Yang selebihnya dibiarkan terlebih dahulu sehingga waktu yang lebih sesuai nanti. Mana tahu yang kini dia berada di dalam situasi yang tidak disangkanya sama sekali.
Nadia memerhati lagi keadaan sekeliling. Di satu sudut, di atas meja kopi, terletak tempat puntung rokok yang telah berisi dengan sisa puntung. Dahinya kembali berkerut.
‘Bukankah awak dah berhenti merokok?’ seingat Nadia, Naim telah pun berhenti merokok enam tahun yang lalu atas permintaannya kerana perbuatan itu adalah sia-sia dan akan menyumbang kepada kanser paru-paru. Walaupun agak sukar pada mulanya, namun atas dorongan yang telah diberikan, Naim telah berjaya melakukannya dalam masa dua bulan.
‘Memang pun,’ jawab Naim. Dia melangkah ke ruang dapur untuk meletakkan sebahagian daripada barangan yang telah dibelinya tadi.
‘Habis tu, ini milik siapa?’
‘Awak ingat lagi pada Lan dan Razak?’
Nadia berfikir seketika, cuba mengingatkan kedua rakan persekolahan yang telah lama tidak ditemuinya.
‘Mereka datang dua malam yang lepas. Lan tu kan heavy smoker, jadi itu puntung rokok peninggalannya.’
‘Apa khabar mereka berdua tu?’
‘Sihat, dan sibuk. Mereka dah berkahwin dan masing-masing sudah punya 2 dan 3 orang anak.’
Nadia tersenyum. Tidak disangka yang kedua rakan persekolahannya itu sudah berumah tangga dan punya 2 dan 3 orang anak. Seingatnya, mereka berdua jenis yang senyap walaupun kacak orangnya. Tidak disangka yang mereka bertemu jodoh dan berkeluarga lebih awal dari yang lainnya.
Wei Mai, lupakan kawan-kawan kau tu buat sementara waktu ni. tujuan kau ke sini adalah untuk membantu Naim, bukannya membuka lembaran demi lembaran kenangan-kenangan lama tu, hati Nadia cuba mengingatkan.
Betul tu... acuh tak acuh, Nadia mengaku pada dirinya sendiri. Dia kembali meneliti setiap sudut rumah itu. Di satu sudut berhampiran dengan anak tangga, terletak susunan surat khabar lama di atas sebuah kerusi yang telah patah sebatang dari kakinya. Di sudut kiri dan kanan ruang tamu pula terdapat beberapa buah almari kaca yang menempatkan pinggan mangkuk dan barang-barang perhiasan kaca yang cantik dan menarik. Indah dipandang mata tapi mudah dicapai oleh tangan-tangan comel yang pastinya nakal dan aktif. Tidak banyak yang hendak dilakukan di sini, tapi Naim memerlukan masa untuk mengemas dan membersihkan ruang itu dari habuk dan juga sawang agar dia dan kembar itu akan dapat tinggal dengan lebih selesa.
Dari ruang tamu, Nadia beralih pula ke bahagian dapur. Kabinet dapur amat bersih. Tiada apa yang boleh dilihat di situ kecuali beberapa cawan kaca dan beberapa biji pinggan. Tiada langsung bayangan periuk ataupun sebarang peralatan elektrik kecuali sebuah peti ais yang besar dan juga sebiji cerek elektrik dengan wayar yang terjuntai ke bawah. Pasti boleh dicapai oleh tangan-tangan si kembar sekiranya mereka berada di ruang itu.
Setelah puas dengan penilaiannya tentang ruang dapur itu, Nadia memerhatikan sahaja gerakgeri Naim yang sedang sibuk memasukkan beberapa barangan yang telah dibelinya tadi ke kabinet atas. Sempat juga Nadia menjengah. Ruang-ruang kabinet itu memang kosong tidak berisi.
'Awak tak masak ke, Naim?’
Naim tersengih. ‘Saya tinggal sorang. Buang masa aje memasak. Lebih senang saya membelinya di luar ataupun saya makan saja di mes sebelum balik ke rumah.’
‘Tak bosan ke dengan cara hidup awak sebegini?’
‘Nadia, saya tak boleh merungut tentang cara hidup saya. Saya seorang tentera, semuanya perlu ringkas, dan semua tu dah sebati dengan diri saya. Lainlah masa Papa dan Mama saya ada dulu. Semuanya mereka yang uruskan. Sekarang ni, bila dah sebatang kara begini, saya rasa begini lebih menyenangkan. Mudah. Tak perlu peningkan kepala. Tapi nampaknya semua tu terpaksa saya ubah demi kembar saya tu.’
“Hem, tentang perubahan tu, memang banyak yang perlu awak lakukan. Awak kenalah tingkatkan tahap keselamatan rumah awak ni. Awak kena baby-proofkan lagi rumah awak ni.’
‘Baby-proof?’
‘Rumah awak ni tak selamat untuk kembar tu tinggal.’
‘Maksud awak?’
‘Cuba awak lihat ruang tamu rumah awak tu. Rak pinggan mangkuk tu memang cantik dan mahal, tapi barang-barang perhiasan kaca tu mudah dicapai oleh tangan mereka. Wayar-wayar elektrik yang bersimpang siur tu pulak amat berbahaya. Kerusi berkaki tiga tu pulak menunggu masa untuk menyembah bumi. Bayangkan kalau masa tu salah seorang dari kembar tu sedang merangkak di situ. Awak tengok ni,’ kata Nadia sambil mengunjuk kepada wayar elektrik pada cerek elektrik itu, ‘bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya salah seorang dari mereka tu menarik wayar ni ketika air panas menggelegak, pasti akan menyimbah mereka.’
Raut wajah Naim semakin muram. Dilontarnya gumpalan beg plastik masuk ke dalam tong sampah.
‘Awak tak boleh buat macam tu,’ pantas Nadia menegur perbuatan Naim.
‘Buat apa?’
‘Beg plastik kosong tu jangan dimasukkan ke dalam tong sampah yang terdedah begini. Takut awak tak sedar semasa mereka mengambilnya dan memasukkan kepala mereka ke dalam beg palstik tersebut. Pasti mereka kelemasan.’
Sekali lagi Naim mengeluh. ‘Nadia, awak pun tahu yang saya baru aje beberapa jam yang lepas diberitahu tentang anak segera saya ni.’ Naim melihat jam ditangannya. ‘3 jam yang lalu saya masih seorang bujang yang tidak perlu tahu tentang baby-proofing ni, mana saya ada masa nak lakukan semua ni dalam masa terdekat ni?’ kata-kata Naim terhenti di situ. Dikalih pandangannya ke arah Nadia. Jelas tersirna keresahannya di situ. ‘Saya akui, kalau saya diberi masa seminggu pun, belum tentu saya dapat nak sediakan semua kelengkapan dan keperluan kembar-kembar tu, apatah lagi nak memikirkan tentang tahap keselamatan mereka berdua di rumah ni.’ Jelas semua yang berlaku ini mula memeningkan kepalanya. Naim rasa terkapai-kapai, bagaikan terasa hilang punca. Segala disiplin dirinya sebagai seorang tentera laut bagaikan hilang entah ke mana. Dia mengaup muka dengan kedua telapak tangannya, cuba menghilangkan resah yang mula melanda.
‘Naim, cuba awak bawa bertenang. Awak kena berfikiran positif. Semua yang sedang berlaku ini tidaklah seteruk yang awak bayangkan. Pasti ada hikmah yang tersembunyi yang tidak kita sebagai manusia ni dapat melihatnya pada masa ini.’ Nadia cuba memujuk. Tangannya mula melipat begi-beg plastik yang telah dikosongkan isinya sebentar tadi.
‘Tak teruk awak kata? Awak sendiri pun dah lihat apa yang sedang berlaku ni...’ tukas Naim perlahan. ‘I am just not ready...’ gumamnya lagi. Wajahnya semakin monyok. Kasihan juga Nadia yang melihatnya.
‘Naim, awak kan seorang tentera laut. Saya yakin yang awak akan dapat menguruskan semuanya ini dalam sehari dua ni. Awak hanya perlukan sedikit masa untuk mula memikirkan strategi yang dapat awak gunakan untuk menangani masalah awak ni. Ingat, strategi....’ ucap Nadia sambil melayangkan tangannya dari mukanya ke hadapan. Cuba berseloroh untuk mengurangkan tekanan yang semakin menghimpit Naim. Jarang benar dia melihat Naim dalam keadaan sedemikian.
‘Mana ada sehari dua lagi,’ omel Naim sambil melihat jam ditangannya. Dia mula mengelabah. ‘Saya memang tak ada masa, not even one hour...’
Melimpah rasa simpati Nadia kepada lelaki yang pernah menjadi igauan tidurnya itu. gerakhatinya mula menerjah dan meminta dia sekali lagi menghulurkan bantuannya. Dia tahu yang dia mungkin akan menyesali tindakannya ini kelak, tapi dia juga sedar yang dia tidak patut membiarkan Naim yang sedang dilanda kesusahan. Dia tidak dapat menahan dirinya dari memberikan cadangannya itu.
‘Naim, berapa lama awak akan berada di Sarawak?’
‘Tak pasti. Kenapa? Tanya Naim.
‘Boleh saya cadangkan sesuatu kepada awak?’
Naim menganggukkan kepalanya. ‘Apa dia?’
‘Saya sebenarnya sedang bercuti. Kalau awak sudi, awak tinggalkan kunci rumah awak tu pada saya dan saya akan buat persediaan yang awak perlukan pada rumah ni sepanjang masa awak tak ada di sini. Bagaimana?’
‘Apa?’ tersentak Naim mendengar cadangan Nadia. Terangkat kepalanya memandang gadis di hadapannya itu.
Nadia mengetap bibirnya. Dibalas pandangan Naim dengan penuh yakin walaupun hatinya kini mula dilanda resah.
‘Awak jangan takut. Saya tak akan larikan barang-barang awak ni.’ Nadia cuba berseloroh. ‘sebaliknya saya akan cuba untuk membuat persediaan serapi yang mungkin,’ jelasnya lagi. ‘Kalau awak izinkan, saya akan belikan segala keperluan kembar awak tu, jadi bila awak balik nanti, awak dah tak perlu bersusah payah. Awak boleh terus tumpukan perhatian awak kepada kembar tu.’
Naim kelu seribu bahasa. Dia masih terkejut dengan cadangan yang dibuat oleh Nadia. Direnungnya wajah gadis itu. agak lama. Masih tidak yakin dengan pendengarannya.
Telah lima tahun mereka berpisah. Selama itu juga Nadia telah meninggalkannya tanpa sebarang berita. Selama itu juga mereka tidak pernah bersua muka ataupun bertegur sapa. Tidak pernah ujud sebarang komunikasi di antara mereka berdua. Mereka baru sahaja bertemu kembali sejam yang lalu dan kini gadis itu menawarkan diri untuk membantunya, seakan-akan jurang lima tahun itu tidak pernah ujud di antara mereka. Kini persoalannya ialah, kenapa?
‘Naim, saya ikhlas ingin membantu,’ sambung Nadia bila dilihat Naim masih membisu. Dia semakin resah. Dia mula bergerak di ruang dapur itu, mula menyusun apa yang tercapai oleh tangannya untuk mengatasi keresahan yang mula bersarang didada.  ‘Saya boleh siapkan semuanya dalam masa seminggu.’ Ujarnya untuk memberikan keyakinan itu kepada Naim yang tampak semakin tegang raut wajahnya.
‘Saya tahu awak boleh buat semua tu dalam jangka masa yang telah awak tetapkan tadi. Saya tahu awak memang efisien orangnya. Tapi persoalannya sekarang ialah, kenapa awak nak buat semua ni?’ nada suara Naim semakin tegang dan dingin. Dia tidak suka dibebankan dengan persoalan, dan persoalan kepada perpisahannya dengan Nadia masih tiada jawapannya.
Nadia terkedu. Tidak disangkanya yang tawaran-nya akan mendapat reaksi sedemikian dari Naim. Diputarkan kembali kepala paip ke arah yang bertentangan. Aliran air terhenti. Suasana senyap sunyi tiba-tiba.
Keadaan tegang itu berlalu Cuma beberapa saat sahaja, tetapi terasa bagaikan terlalu lama buat Nadia. Dia cuba mencari bait-bait kata yang dapat menjawab soalan Naim sebentar tadi. Akhirnya dia mengangkat kepala. Dipalingkan tubuhnya untuk mengadap Naim. Dipandangnya tepat ke anak mata lelaki itu. dilemparkan senyuman kecil yang dia tahu sebelum ini dapat menggegarkan degupan jantung Naim. ‘Anggap sahaja yang ini adalah sebagai bantuan dari seorang kawan kepada kawan awak,’ jawabnya ringkas.
Kawan? Naim tersenyum sendiri. Terasa sepatah perkataan itu menyindirnya dengan tajam. Dia terlalu cintakan Nadia. Dia sentiasa mendambakan Nadia untuk sentiasa di sampingnya. Bila Nadia meninggal-kannya, dia begitu membenci Nadia. Walau apa pun status hubungan mereka, tidak pernah sesekali dia menganggap Nadia sebagai seorang kawan.
‘Ini memang kes simpati, kan?’ tanya Naim.
Berkerut dahi Nadia mendengar kata-kata Naim. Dia keliru dengan maksudnya. ‘Simpati?’
Naim mengangguk. ‘Betul. Awak anggap yang saya tak akan dapat mengendalikan perkara ni dengan baik dan awak ingin menjadi penyelamatnya?’
Terkedip-kedip mata Nadia memandang Naim. ‘Naim, bukan itu maksud saya. Saya cuma nak membantu awak, itu aje.’
‘Naim terasa bagaikan mahu menyumpah gadis di hadapannya itu. digaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu beberapa kali. Dijeling pula kepada jam di pergelangan tangannya. Setiap detik berlalu dengan pantas. Dia mula resah. Dia tidak bermaksud untuk menjerkah Nadia, tapi sesekali perasaannya yang pernah terluka dengan teruk itu menjelmakan dirinya, lantas perasaannya mula berbolak balik.
Salah diakah bila aku tidak dapat mengingatkan kisah semalam?
Tidak, kata hatinya.
Apakah aku benar-benar perlukan pertolongannya?
Yup, kata hatinya lagi.

Nadia tidak betah berdiri lebih lama di situ. Terasa dirinya tidak diperlukan lagi. Dia menganjak untuk beredar dari situ. Namun sebaik dia melintasi Naim yang sedang berdiri di muka pintu, lengannya dipaut kejap. Terhenti langkahnya. Dikalih pandangannya ke arah Naim yang merenungnya dengan perasaan serba salah.
‘Nadia, saya tidak bermaksud untuk biadap dengan awak. Maafkan saya,’ ucap Naim sambil melepaskan pautan tangannya. Kemudian diseluk tangannya ke dalam kocek seluarnya.
‘Tiada apa yang hendak dimaafkan,’ tukas Nadia lembut.
Naim tersenyum kecil. ‘Kalau awak betul-betul ikhlas menghulurkan bantuan tu, saya amat-amat berbesar hati dan menghargainya.’
Semakin lebar senyuman Nadia. Naim pula terasa yang kali ini dia bagaikan digelek oleh steamroll. Perpisahan selama lima tahun itu seolah-olah tidak pernah berlaku.
Betul-betul tak adil. Takkan aku aje yang dilanda perasaan ni? Gumam Naim sendiri. Apakah aku akan dilanda tsunami perasaan dengan Nadia?
Mungkin juga idea ini bukanlah idea yang bagus, ngomel Naim lagi. Baru dia tersedar, semakin banyak masa yang akan dihabiskan bersama Nadia nanti, pasti akan menjerat perasaannya sekali lagi. Mungkin juga lukanya akan kembali terbuka dan berdarah. Dapatkah dia bertahan sekali lagi? Tapi bagaimana pula dengan pertolongan yang ingin dihulurkan oleh Nadia? Memang dia benar-benar memerlukan bantuan gadis itu. Serba salah dia jadinya. Tidak pasti apa tindakan yang perlu dilakukannya kini.

‘Macam mana awak nak ke airport?’
Kata-kata Nadia membantutkan lamunan Naim. ‘Saya akan bawa kereta ke sana dan tinggalkan kereta tu di parking airport.’ Jawab Naim.
‘awak dah beli baby car seat?’
ha, baby car seat? Naim menggaru kepalanya. ‘Belum.’ Jawabnya pula.
Nadia menggeleng-gelengkan kepalanya. Takkanlah Naim nak memandu pulang dengan kembar yang dia tidak tahu hendak diletakkan di mana nanti. Kembar itu masih bayi, pasti menjadi satu masalah dan akan membahayakan nyawa mereka semua.
‘Habis tu macam mana awak nak bawa mereka balik dari airport nanti? Macam mana awak nak memandu dengan kembar tu tanpa car seat mereka?’ Nadia cuba mengingatkan Naim akan keadaan yang terpaksa dihadapinya kelak tanpa mempunyai car-seat untuk kedua kembar itu.
‘betul jugak tu. Saya rasa lebih baik saya naik teksi aje ke sana. Balik nanti, saya naik teksi jugak.’
‘macam nilah Naim, saya rasa baik awak telefon saya masa nak balik nanti. Biar saya ambil awak di airport. You definitely akan perlukan bantuan pada masa tu nanti.’
Sememangnya Nadia pasti akan banyak membantu dengan kembar-kembarnya itu. tapi masalahnya sekarang, siapa pula yang akan membantunya di dalam menangani masalahnya dengan Nadia nanti? Gumam Naim sambil mengekori Nadia yang sudah melangkah keluar.


Tuesday, April 15, 2014

SJM8

Nadia memberhentikan keretanya di belakang kereta Naim. Dilontar pandangannya ke halaman rumah banglo 2 tingkat itu. sebuah rumah yang besar buat seorang lelaki seperti Naim.
Nadia tidak pernah berpeluang untuk bertemu dengan kedua ibu bapa Naim, tapi dia tahu siapa keduanya. Tan Sri Takiyuddin adalah bekas pegawai tentera berpangkat Brigedier. Setelah bersara, beliau telah menjadi seorang usahawan yang berjaya. Puan Sri Rohana juga turut sama membantu suaminya di dalam menguruskan perniagaan mereka. Kini keduanya telah meninggal dunia di dalam kemalangan semasa mengerjakan umrah di tanah suci Mekah. Syarikat perniagaan keluarganya itu telah Naim pertanggungjawabkan kepada bapa saudaranya yang juga merupakan rakan kongsi ayahnya. Naim telah bercadang untuk menerajui syarikat itu apabila dia telah bersara kelak. Sejak 7 tahun yang lalu, Naim akan bekerja di syarikat itu setiap kali dia mengambil cuti yang panjang untuk menimba pengalaman mengurus-kan syarikat. Naim telah menyertai angkatan tentera kerana minatnya yang mendalam di dalam bidang itu. dibesarkan di kalangan tentera sedikit sebanyak telah mempengaruhi minatnya itu.
Jadi, disinilah tempat tinggal Naim pernah dibesarkan. Dia tersenyum sendiri. Setelah bertahun-tahun mengenali Naim, baru saat ini dia berpeluang untuk datang ke rumah lelaki itu. Fikirannya kembali melayang kepada kenangan silam.

‘Piiwiiiit….!!!’ Kedengaran siulan dari tingkat 2 berhadapan dengan makmal Sains.  Nadia menoleh kearah siulan yang amat galak bertalu-talu.
‘Hemm… nampaknya mamat-mamat tu nak mengusik lagilah tu.  Tak habis-habis nak menyakat kerjanya mereka nilah…’ getus suara hati Nadia. 
Nadia pasti, Naim mesti ada berdekatan ataupun berhampiran dengan mereka yang bersiul itu.  Dicari wajah yang satu itu. Sah wajah itu ada di situ.
Naim. Nama yang semakin popular dikalangan pelajar perempuan. Agak ramai juga adik-adik dan rakan-rakannya yang semakin jatuh hati padanya.
Naim merupakan seorang pelajar baru disekolah itu.  Kacak, kemas dan bergaya walaupun dengan hanya berpakaian seragam sekolah.  Dia memasuki sekolah itu 3 bulan yang lepas.
Digelengkan kepalanya beberapa kali. Bukan dia tidak tahu, rakan-rakannya itu ingin mengusiknya. Rata-rata pelajar tingkatan 5 tahu bahawa Naim amat meminati dirinya. 
Cuma dia sahaja yang tidak pernah melayan Naim.  Malas dia mahu memikirkan tentang soal hati dan perasaan. Dia di situ adalah untuk belajar. Melayan perasaan lelaki bukan sebahagian dari agendanya.


Naim telah pun keluar dari perut keretanya. Dia mengkalih pandangannya ke kereta Nadia. Gadis itu sedang termenung.
‘Dia berubah fikiran ke?’ getus hati kecil Naim. Dia berjalan mendekati kereta itu. memandangkan Nadia masih leka dengan dunianya, diambil kesempatan itu untuk merenung wajah Nadia yang pernah bertahta dihatinya. Teringat kembali kepada kisah mereka pada zaman persekolahan dahulu.

Naim tersenyum dengan gelagat rakan-rakan disekelilingnya. Dia sedar mereka sedang mengusiknya dan Nadia. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti. Mungkin sedar yang dia sukakan gadis itu. Dia menjadi igauannya saban hari. Walau di usia semuda ini, dia tahu yang dia telah jatuh hati. Inilah cinta pertamanya. Mungkin cinta monyet. Tapi itu semua tidak dipedulikan. Yang dia tahu hatinya telah terusik sejak hadirnya dia di sekolah itu 3 bulan yang lalu.
Secara kebetulan, Nadialah orang pertama yang ditegurnya semasa hari pertama dia tiba untuk mendaftar di sekolah itu. 
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Nadia, mereka akan menyangka Nadia seorang yang sombong dan serius.  Jarang terpalit senyuman diwajahnya.  Mulanya Naim juga agak keberatan untuk menegur Nadia, tapi dek kerana tiada orang lain disitu, dia terus menyapa gadis itu.
‘Errr… boleh saya tumpang bertanya?’  Teragak-agak suara Naim.  Takut juga disergah oleh gadis itu. Dikepalanya sudah terbayang adegan lagak ngeri. Seorang gadis dengan asap yang keluar dari kepalanya sedang merengus kepadanya bersama wajah masam mencuka.
Nadia yang sedang dalam perjalanan ke kelasnya dari tandas terus berhenti dan hanya mengangkat kepalanya sambil memandang Naim.  Tanpa suara dan memandang tepat kearah Naim, menantikan soalan yang seterusnya.
‘Hish, bisu ke budak perempuan ni?  Dahlah muka sombong semacam, bolehke aku nak tanya ni?  Cuba ajelah…’ bisik hati Naim ketika itu. 
‘Boleh tunjukkan saya arah bilik pengetua?’ tanya Naim dengan sopan.
Tanpa suara, Nadia mengangkat tangan kanannya dan menunjukkan dengan ibu jarinya arah bilik pengetua.  Bilik itu hanya terletak beberapa meter sahaja dihadapan mereka. 
Setelah itu, tanpa sepatah katapun, Nadia meneruskan perjalanannya untuk memasuki kelasnya semula.  Sudah pasti cikgu telahpun memulakan kelas dan sudah pasti dia akan dimarahi oleh cikgu Mariah nanti jika dia terus berlama di situ.  
Naim termangu. Dia ditinggalkan tanpa sebarang kata. Pertama kali dia dilayan sedemikian rupa oleh spesis yang bernama gadis.  Tidak sempat juga untuk dia mengucapkan terimakasih.
‘Hemmm… bisu agaknya…’ bisik hati Naim.
Kesimpulan itu yang tercerna diruang mindanya. Kepalanya yang tidak gatal digaru beberapa kali.  Masih celaru dengan peristiwa yang baru sebentar tadi berlaku kepada dirinya. Akhirnya diteruskan perjalanan ke bilik Pengetua untuk memperkenalkan dirinya.
Setelah mendaftarkan diri, Naim dibawa ke kelasnya.  Dia diperkenalkan kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 omega.  Diteliti wajah-wajah ceria dihadapannya satu persatu.
  Rupa-rupanya gadis bisu itu satu kelas dengannya.  Semua mereka memandangkan ke arahnya semasa sessi perkenalan itu kecuali gadis itu.  Dia seperti tidak berminat untuk mengetahui keujudan Naim di situ.  Terasa juga bengang dihati Naim apabila menerima layanan sebegitu dari seorang gadis. Namun cuba ditahan rasa hatinya.
Naim mengambil tempat di tempat yang telah dikosongkan untuknya, hanya selang dua meja di hadapan gadis bisu itu.  Ketika itu cikgu Mariah sedang mengajar pelajaran bahasa Inggeris.  Mereka menyambung kembali pelajaran yang tergendala tadi. 
‘Adie, please continue with the second paragraph.’ Arah cikgu Mariah terhadap seseorang.
Kedengaran bunyi kerusi ditarik dari bahagian belakang.

Merdu, lembut, dan tepat serta teratur. Ayat yang dibaca disebut satu persatu. 
Naim mengkalih pandangannya kebelakang. Dia terkedu. Gadis yang disangkanya bisu itu yang berdiri di situ, sedang membaca perenggan kedua.  Agak terperanjat kerana rupa-rupanya sangkaannya adalah meleset sama sekali. 
Gadis itu tidak bisu, malah suaranya bagaikan halwa ditelinganya. Terpegun Naim buat seketika.  Namun dilawan perasaan yang datang menyinggah agar dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajaran pagi itu, apatah lagi dia adalah pelajar baru di kelas itu.
Semasa loceng berbunyi menandakan tamat pelajaran waktu itu, cikgu Mariah pun meninggalkan kelas tersebut.  Naim dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang ingin berkenalan lebih jauh dengannya.  Setelah keadaan agak reda, Naim berjalan menuju kearah Nadia.
‘Hai, saya Naim’ ujar Naim sambil menghulurkan tangannya.  Nadia mengangkat kepalanya dan hanya memandang tepat kearah Naim.  Agak lama, membuatkan Naim tidak tentu arah dan serba salah.  Tangannya ditarik kembali.
‘Assalamualaikum dan ahlan wasahlan.  Saya Adie,’ balas Nadia sambil tiba-tiba menghadiahkan senyumannya kepada Naim.  Senyuman yang begitu manis dan menawan, menyentap ke jantung hati Naim.  Sungguh comel dan manis.  Berubah sama sekali raut wajah yang tadinya begitu serius dan sombong. 

Rambut ikalnya yang lebat dan terurai ke hadapan itu diselaknya ke atas agar tidak menutupi matanya. Naim terpana bagaikan terkena panahan kilat.  Mujurlah Cikgu Manan masuk untuk memulakan pelajaran matematik.  Cepat-cepat dia duduk semula ditempatnya.  Cuba ditepis perasaan itu….

Wednesday, July 3, 2013

SJM7

Suasana hening. Raut wajah Naim tegang dalam sekelip mata. “Untuk apa?” tanya Naim dengan suara yang agak dingin.


“Naim, awak jangan salah sangka. Saya hanya nak membantu. Saya perlu tengok sendiri keadaan di rumah awak sebelum saya boleh beritahu awak apa lagi persediaan yang awak perlukan.” Nadia melontarkan jawapannya dengan nada teragak-agak. Sangkanya pasti kali ini Naim akan menolak pertolongan yang ingin dihulurkannya.

Mai, tak patut kau beri cadangan tadi. Memang patut Naim menolaknya. Dan itu lebih baik buat kau dan dia. Takkanlah kau nak pergi ke rumah Naim? Kau kan seorang gadis, tak baik kau bertandang ke rumah seorang lelaki bujang, Nadia menasihati dirinya. Dia tahu pemergiannya ke rumah Naim nanti juga bukan satu idea yang baik. Naim amat dicintainya, dan sudah pasti kehadirannya ke rumah yang pernah dikunjungi itu akan kenangan demi kenangan akan membuka tirainya.

Mai, betul ke kau sanggup nak menolong mamat ni? Kau tak takut terluka lagi? Dulu, puas kau pujuk hati kau tu, baru sekarang lukanya nak sembuh, dan kau tawarkan lagi pertolongan kau pulak? Apa nak jadi dengan kau ni?” tukas hatinya lagi.

Nadia menggelengkan kepalanya. Bayangan dua wajah comel yang belum pernah dilihatnya itu, bagaikan melambai-lambai di pintu hatinya. Simpati kepada kedua anak yatim itu datang mencurah-curah.

Mai, kau bukan lagi gadis 5 tahun yang lalu. Kau semakin dewasa. Kau semakin matang. Kau juga dah berubah. Pasti Naim juga dah berubah. Apa yang mungkin dirasainya kini hanyalah sisa dan saki baki dari sekam cintanya bertahun yang lalu. Dan kau pulak, walaupun kau mungkin akan tertarik atau jatuh cinta padanya sekali lagi, pasti kau akan dapat mengatasinya, macam dulu jugak. Kau pasti boleh mengharungi kepedihan luka itu sekali lagi, demi kembar itu untuk memulakan kehidupan baru mereka. Buktikan kepada diri kau dan Naim yang tindakan kau 5 tahun yang lalu adalah wajar.

Memandangkan Naim masih lagi senyap, Nadia semakin serba salah jadinya. Mungkin juga dia boleh memujuk lelaki itu. “Naim, tadi awak kata awak hanya ada beberapa jam sahaja sebelum awak kena ke LCC untuk mengambil mereka di Sarawak. Kalau awak sudi terima pertolongan saya, bukankah lebih cepat untuk awak buat persiapan. Awak boleh ambil mereka dengan hati yang lebih tenang.” Nadia memujuk dengan tenang.

Naim terus berfikir. Dia memang terkejut dengan pelawaan Nadia tadi. Tidak disangka sama sekali yang Nadia akan sanggup menawarkan diri untuk datang ke rumahnya. Hatinya merasa sangsi dengan pelawaan itu. namun, sebaik sahaja Nadia memberikan alasannya, dia mula merasakan kebenaran kata-kata Nadia. Dia tidak patut meragui pelawaan itu. dia kenal siapa gadis itu. walaupun telah 5 tahun mereka berpisah, tapi Nadia sentiasa ikhlas di dalam perbuatannya. Sentiasa tidak mengharapkan balasan. Gadis itu hanya ingin membantunya. Tidak lebih dari itu. dan dia pula harus memikirkan tentang kebajikan kedua kembar itu.

Akhirnya Naim menganggukkan kepala. “Baiklah, saya amat menghargai pertolongan yang awak hulurkan ni.” Ucapnya sambil tersenyum.

Nadia membalas senyuman itu. “Itulah gunanya kawan,” katanya sambil tersengih.

“Betul ke kita ni kawan?” omel Naim sedikit kuat. Meragui status hubungan mereka selama ini.

“Kita boleh menjadi kawan,” balas Nadia lembut. “Dan berkawan adalah lebih baik daripada bermusuhan, betul kan?”

“Nadia, saya tak pernah menjadi musuh awak,” dengan lembut juga Naim cuba mengingatkan gadis itu.

Nadia tertunduk seketika. Kemudian diangkat kepalanya perlahan dan dipandangnya tepat ke anak mata Naim. Redup dan hangat, sehangat kenangan dan perasaannya ketika itu. “Saya tahu tu, tapi saya....”

“Sudahlah tu, Nadia,” Naim memintas kata-kata gadis itu. “rasanya lebih selesa kalau kita jangan bangkitkan lagi kisah lama kita. Yang dah lepas tu, biarlah menjadi sejarah yang tidak perlu kita ingatkan lagi. Kenapa tidak kita start semula. Fresh. Bermula di sini.” Akhirnya Naim memberikan cadangannya.

Bersama sebutir senyuman yang dilemparkan ke arah Naim, Nadia menganggukkan kepalanya. Amat bersetuju dengan cadangan itu. “Baiklah,” ucapnya. Dia kemudiannya menapak ke tepi, memberikan laluan untuk Naim menolak troli dan berjalan mendahuluinya. Sambil mengekori Naim, perasaan Nadia berbolak balik. Dia sedar, walaupun pada dasarnya mereka telah bersetuju untuk tidak memperkatakan tentang kisah silam mereka, namun dia juga tahu, jauh di sudut hati masing-masing, pasti mereka berdua tetap akan terkenangkan tentang sejarah cinta mereka!

Sunday, June 9, 2013

SJM6

Suasana hening seketika. Nadia cuba untuk menyerap maklumat yang baru disampaikan oleh Naim kepadanya. Terbit rasa sedih kepada kedua pasangan suami isteri yang kini tidak dapat melihat anak-anak mereka membesar. Melimpah rasa simpati kepada kedua bayi yang baru sahaja kehilangan kedua ibu bapa mereka.
Tiba-tiba dia tersedarkan sesuatu. Sekarang bukan masanya untuk bersimpati kepada lelaki itu. sebaliknya ini masa untuk bertindak. Naim perlu ke LCC KLIA dalam beberapa jam sahaja lagi, dan pasti banyak yang perlu disediakan oleh Naim untuk menyambut kembar tersebut. Sekurang-kurangnya dia ada di sini untuk membantu lelaki itu. tapi sudikah dia menerima pertolongan yang ingin dihulurkan?
“Awak perlukan bantuan?” Nadia cuba menawarkan bantuannya.
Naim tersenyum lebar sehingga menampakkan kedua-dua lesung pipitnya. Kepalanya juga sudah terangguk-angguk bagaikan burung belatuk. Jelas dia gembira dengan pelawaan Nadia.
Terhenti seketika degupan jantung Nadia. Pandangannya terpaku kepada senyuman yang terukir di bibir Naim. Betapa dia rindukan lesung pipitnya itu.
“Okey, kita nak mulakan di mana?”
pertanyaan Naim mematikan lamunan Nadia. Dia kaget seketika. Cuba ditutupi rasa kaget itu dengan memandang ke arah rak makanan bayi di hadapan mereka dan juga susunan lampin pakai buang di hujung laluan itu.
“Saya akan pilihkan makanan bayi ini,” Nadia mula memberi arahan. “Awak pula pergi dapatkan diapers di situ.” Arahnya lagi sambil mengunjuk ke arah susunan lampin pakai buang tersebut.
Naim segera menarik nafas sedalam yang mungkin, kemudian dihembusnya dengan perlahan. Cuba ditenangkan perasaannya yang kembali kaget.
“Er, Nadia, awak pun tahu kan yang saya ni bukannya pakar dalam hal-hal macam ni, jadi diapers yang macam mana yang perlu saya dapatkan? Apa saiznya?”
Nadia termangu seketika. Pertama, kerana Naim kembali memanggilnya Nadia. Kedua, kerana dia sendiri tidak pasti saiz apa yang bersesuaian dengan kembar berusia 10 bulan itu. seperti Naim, dia juga tidak pernah berkesempatan untuk menjaga bayi sebelum ini. Walaupun sepupu-sepupunya mempunyai anak-anak kecil, tidak pernah pula dia bertanya kepada mereka saiz apa yang dipakai oleh anak-anak mereka. Yang dia tahu, mereka sudah siap apabila dia bermain dengan anak-anak mereka.
“Naim, saya sendiri pun tak pasti. Kenapa tidak awak ambil saiz yang paling besar? Kalau longgar nanti, awak boleh lipat atau ubahsuai semasa dipakaikan kepada mereka. Kalau awak ambil yang kecil, susah pulak nanti. Mana boleh nak regang  atau besarkan diapers tu untuk dipakaikan kepada mereka, betul tak?” akhirnya Nadia mencadangkan.
“Hem, betul jugak kata awak tu.” Jawab Naim sambil mula melangkah menuju ke arah susunan lampin pakai buang itu. langkahnya kini lebih yakin, bagaikan seorang tentera yang sedang menjalankan misinya.
Nadia memerhatikan sahaja gerakgeri Naim. “Memangpun dia sedang menjalankan misinya,” omel Nadia sambil tersenyum sendirian. Dikalihkan pula pandangannya  kepada rak makanan bayi di hadapannya. Dia juga punya misi, dia perlu memilih makanan bayi yang bersesuaian. Diteliti satu persatu apa yang ada di situ. Mujur juga pembuat makanan tersebut ada melabelkan umur yang bersesuaian dengan makanan yang patut diberikan kepada bayi tersebut.
Dipilihnya pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan juga bijirin. Dipastikan semuanya bertanda halal kerana dia sedar apa yang dimakan oleh seseorang manusia itu akan mempengaruhi pembesarannya dan juga akhlaknya. Sebaik sahaja dia selesai, Naim juga telah kembali dan meletakkan 2 bungkusan lampin pakai buang itu ke dalam trolinya.
“Apa lagi?” tanya Nadia.
“Susu.”
“Bayi berusia 10 bulan pasti masih minum susu formula. Jom kita cari di rak susu.” Nadia memberikan arahan seterusnya.
Tanpa banyak bicara, Naim menolak troli ke arah bahagian ‘Diary’ pula. Sekali lagi Naim dan Nadia pening kepala. Bermacam-macam jenama yang ada di situ. Tidak tahu susu yang mana satu perlu dipilih oleh mereka.
“Yang mana satu?” Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Saya pun tak tahu, tapi jangan risau. Biar saya tanya daripada Kak Long Hamisah. Pasti dia boleh cadangkan sesuatu.” Tanpa berlengah, Nadia menelefon kakak sepupunya yang telah punya 3 orang anak.
“Kak Long, Mai ni. Mai nak belikan susu formula untuk anak kawan Mai, tapi Mai tak pasti susu yang macam mana yang sesuai dengan anaknya tu. Boleh Kak Long cadangkan sesuatu?” tanya Nadia sebaik Hamisah menjawab panggilannya.
“Berapa umur anak kawan Mai tu?”
“10 bulan.”
“Baby tu alergi dengan susu formula tak?”
“Alergi? Ada baby yang alah dengan susu ke?” tanya Nadia kembali. Tidak pernah didengarnya yang ada bayi alah kepada susu. Kalau dah begitu, apa yang boleh diberikan kepada bayi itu, fikirnya pula.
“Mai, ada baby yang tak boleh minum susu formula, jadi dia kena minum susu yang berasaskan soya.”
“O, macam tu. Tapi Mai tak tahulah pulak, Kak Long. Bagaimanapun, kalau setakat susu formula tu, susu mana yang Kak Long boleh rekomen?”
“Kak Long rasa baik Mai belikan aje susu Dutch Lady 456. Susu tu sesuai untuk kanak-kanak. Anak-anak Kak Long pun Kak Long berikan susu tu. Setakat ni, alhamdulillah, tak ada masalah.” Nadia mendengar nasihat kakak sepupunya dengan teliti. Sesekali dijelingnya ke arah Naim yang sedang asyik mengetuk-ngetuk jejarinya ke pemegang troli. Itu tandanya yang dia sedang resah menanti. 5 tahun tidak melupakan Nadia kepada fakta yang satu ini.
“Okey Kak Long. Terimakasih banyak-banyak. Love you...” ucap Nadia sambil menamatkan perbualan dengan Hamisah. Dikalihkan pula pandangan matanya ke wajah Naim. Dia termangu seketika kerana lelaki itu sedang asyik merenungnya. Dia jadi serba salah.
“Ehem,” deham Nadia untuk menegur Naim dan sekali gus meredakan perasaannya sendiri.
Naim sedikit tersentak dengan deheman Nadia. Baru dia tersedar yang dia sedang merenung gadis itu.
“Macam mana?” pantas Naim bertanya, cuba menyembunyikan perasaannya yang berbolak balik seketika tadi.
“Kak Long cadangkan supaya kita belikan susu Dutch Lady 456.” Nadia membiarkan Naim memilih susu yang dimaksudkannya itu sementara dia bergerak jauh sedikit untuk membeli beberapa kotak minuman untuk anak-anak saudaranya itu.
“Yang mana satu?”
“Ducth Lady 456.” Ujar Nadia sekali lagi.
“Yalah, tapi yang mana satu?”
Berkerut dahi Nadia mendengar kata-kata Naim. Tidak faham kenapa dia masih tidak mengambil susu yang dimaksudkannya itu. Didekatinya Naim untuk melihat sendiri apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
Patutlah, getus Nadia di dalam hati. Dipandang satu persatu tin-tin susu Dutch Lady 456 yang berada di situ. Ada perisa vanila, perisa coklat, perisa biasa dan perisa madu.
“Naim, awak ambil aje perisa madu. Kan elok untuk ketahanan badan dan boleh juga mengikut sunah Rasulullah.”
Naim tidak menjawab. Dia hanya mampu tersengih mendengar kata-kata Nadia. Dicapainya dua tin besar susu Dutch Lady 456 berperisa madu. Baru hendak memasukkan tin-tin itu ke dalam troli, Nadia menegurnya.
“Naim, awak ambil satu tin yang sederhana besar tu dulu.”
“Kenapa?” tanya Naim keliru. Bagi Naim, kalau diambil dua tin yang lebih besar, maka tidak perlu dia selalu berulangalik untuk membeli susu tersebut.
“Awak tak pasti lagi sama ada susu ni sesuai ataupun tidak dengan kembar tu. Masa permulaan awak berikan kembar tu susu ni, awak kena pastikan sama ada mereka serasi atau tidak dengan susu ni.” Nadia menghamburkan nasihatnya. Dia pernah diberitahu oleh teman sepejabatnya, Kak Normala, satu ketika dulu yang bayinya mengalami muntah-muntah kerana tidak sesuai dengan susu yang diberikannya ketika itu.
“Serasi?” tanya Naim bagaikan orang bodoh. Memang pun ketika itu dia terasa begitu bodoh sekali. Banyak benda yang tidak diketahuinya. Hari ini baru terasa celik matanya dengan segala maklumat yang perlu dicerna dalam sekelip mata.
Nadia menganggukkan kepalanya. “Kalau bayi-bayi kembar tu tak serasi dengan susu ni, mulalah mereka muntah-muntah dan cirit birit. Terpaksa tukar dengan jenama lain ataupun seperti kata Kak Long, tukar kepada susu soya. Kalau awak beli tin yang besar, 2 tin pulak tu, takkan ke membazir aje nanti,” terang Nadia bagaikan seorang ibu yang berpengalaman.
“Mana awak tahu semua ni, Nadia?” tanya Naim sambil mengambil tin susu yang sederhana besarnya. Terbit rasa ingin tahu dihatinya kerana seingatnya, Nadia kini tinggal sebatang kara. Adik beradiknya dan juga kedua ibu bapanya telah meninggal di dalam kemalangan jalanraya 6 tahun yang lepas. Ketika itu mereka masih bersama dan Nadia pula tinggal dengan keluarganya.
“Ala, Kak Mala, rakan sepejabat yang pernah memberitahu. Dia dah besarkan dua orang anaknya. Dia rajin bercerita apabila dia menghadapi masalah dengan anak-anaknya itu.” terang Nadia sambil mengambil beberapa bungkus Nescafe 3+1 dari rak berdekatan dan dimasukkannya ke dalam troli.
Naim yang sedari tadi asyik memerhati gerakgeri Nadia mula rasa keliru. Ringan sahaja mulutnya bertanya. “Baby boleh minum nescafe ke?”
Nadia terkedu. Lidahnya kelu untuk menjawab. Diperhatikan kepada bungkusan nescafe yang telah diletakkannya ke dalam troli sebentar tadi. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Sejak bila pula awak minum nescafe? Awak kan alah dengan nescafe?” tanya Naim lagi dengan dahi yang berkerut. Dia teringat kembali bagaimana Nadia akan mula muntah-muntah setiap kali dia minum minuman itu. memang gadis itu alah dengan nescafe, tapi dia minum juga apabila Naim membelikan untuknya. Pada masa itu Naim tidak menyedari akan alahan Nadia kerana gadis itu tidak pernah menolak pemberiannya.
“Err...” Nadia teragak-agak untuk menjawab. Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. akhirnya dia mengambil keputusan untuk berterus terang sahaja kepada Naim. “Sebenarnya Nescafe ni untuk awak.” Jawabnya perlahan. Kepalanya tertunduk malu. Nampak sangat yang dia masih ingat lagi kepada minuman kegemaran Naim walaupun mereka telah berpisah sejak 5 tahun yang lalu.
Naim tersenyum sinis. Gembira kerana Nadia masih mengingati kegemarannya. Kegemaran yang telah lama ditinggalkannya kerana pasti dia akan teringatkan gadis itu setiap kali mahu meminumnya.
“Kenapa 3 dalam 1?”
“Setiap kali lalu di sini,saya pasti akan teringat betapa awak amat gemarkan minuman nescafe ini. Dengan pek 3 dalam 1 ni, pasti mudah awak nak bawa ke mana-mana. Tak perlu lagi nak fikirkan tentang bekas gula dan susu, tentang fobia awak tu yang selalu takutkan botol nescafe ni pecah, dan macam-macam lagi. Awak ni kan banyak sangat kerenahnya tentang soal makan minum ni. Dan setiap kali lalu di sini, pasti tangan saya ringan nak mengambilnya. Reaksi spontan setiap kali lalu di rak begini. Lepas tu cepat-cepat kena letakkan balik bila teringat yang kita dah pun berpisah.” Terselit nada lucu pada hujung kata-kata Nadia. Dia tertawa kecil, menggelakkan dirinya yang masih tetap mengingati Naim walaupun mereka telah pun berpisah.
“Nadia, kita bukannya berpisah. Awak yang tinggalkan saya.” Selamba Naim menempelak Nadia.
Nadia mengetapkan bibir bawahnya. Cuba ditahan perasaan sebak yang ingin melanda. Dia tahu memang itu silapnya. Dia sedar dia yang bersalah, namun dia tidak mahu memohon maaf. Apa yang dilakukannya pada ketika itu adalah untuk kebaikan Naim.dia yang terpaksa berkorban rasa dan perasaan. Nadia menarik nafas sedalam yang boleh. Dihembusnya perlahan. Cuba dibina kembali keyakinan dirinya. Ditolak perasaan bersalahnya ke tepi. Dia berdeham untuk melegakan kerongkongnya yang semakin terasa sempit.
“Awak rasa dah cukup ke keperluan awak untuk si kembar tu setakat ini?” tanya Nadia, membawa mereka kembali kepada masalah yang perlu ditangani oleh Naim pada masa itu.
“Entahlah, saya pun tak tahu...” gumam Naim. Dia juga tidak mahu membangkitkan kisah lama mereka.
“Awak dah siapkan rumah awak untuk menerima kedatangan mereka?”
Naim mencemikkan mukanya. “Nadia, kalau awak maksudkan sama ada saya dah belikan katil atau tilam untuk mereka, memang saya belum belikan. Saya rasa, untuk sementara waktu ni, biarlah mereka tidur sekali dengan saya di atas katil saya tu.”
Nadia menggelengkan kepalanya, tidak setuju dengan cadangan Naim. “Naim, kembar tu bukannya budak kecil. Mereka masih bayi lagi. Kembar pulak tu. Untuk keselamatan mereka, sepatutnya mereka ada tempat tidur mereka sendiri. Mereka perlukan sebuah baby cot, jadi awak akan dapat tidur dengan lena dan tak perlu risau mereka terjatuh semasa mereka sedang tidur ataupun sedang bermain.” Nadia menghamburkan nasihatnya. Naim pula mengangguk-angguk, tanda faham dengan apa yang dimaksudkan oleh gadis itu.
“Hem, makanan dan susu mereka, saya dah belikan. Baby cot tu pulak, nanti saya belikan juga bila balik nanti. Lampin juga dah belikan. Apa lagi yang perlu saya sediakan?” tanya Naim teragak-agak. Dia agak takut untuk mendengar jawapan yang akan diberikan oleh Nadia kepadanya.
Nadia senyap seketika. Cuba memikirkan apa lagi yang diperlukan oleh Naim sebagai persediaannya. Dia cuba membayangkan persediaan Kak Long Hamisah tatkala hendak menyambut kelahiran bayinya yang pertama dahulu. “Banyak lagi,” jawabnya ringkas.
“Apa dia?”

Baru hendak menyatakan senarai yang ada di dalam kepalanya, terlintas pula perkara lain dibenaknya. Tidak tahu bagaimana hendak menyatakan buah fikirannya itu, akhirnya Nadia membuat cadangan di luar jangkaan, pada dirinya sendiri, apatah lagi kepada Naim. “Naim, bagaimana kalau saya ikut awak balik ke rumah?”